Jumaat, Ogos 31, 2007

HARI KEBANGSAAN KE 50



MERDEKA!
MERDEKA!
MERDEKA!

Selamat menyambut hari ulang tahun Kemerdekaan Negara yang ke 50. Malam tadi di Dataran Merdeka, lebih 200,000 rakyat melaungkan ‘merdeka’ sebanyak tujuh kali sebaik Jalur Gemilang dikibarkan.

Dan pagi ini acara yang sama akan diadakan diseluruh negara.

Sempena menyambut hari kemerdekaan ini sebuah sekolah menengah di Jelebu menjemput saya untuk berucap mengenai “Sejarah kemerdekaan Negara” di dalam satu perhimpunan yang akan dihadiri lebih 800 pelajar dan 50 guru sekolah tersebut.

Sempena acara itu saya mengambil kesempatan membawa novel-novel sejarah. Menurut salah seorang guru pusat sumber pihak sekolah berminat membeli novel-novel sejarah yang saya hasilkan itu.

Alhamdulillah.

Namun berdebar juga rasanya kerana inilah kali pertama diminta berucap di depan pelajar sekolah menengah dan guru yang melebihi 800 orang. Semoga saya mampu melakukannya dengan baik. InsyaAllah.

Sempena cuti Hari Kebangsaan ini, ramai yang membawa keluarga bercuti. Pastinya hotel-hotel di Kuala Lumpur dan di kawasan Bandar seluruh negara penuh.

Esok (Sabtu 1hb) saya membawa keluarga bercuti ke Cameron Highland. Saya pernah ke sana kira-kita 15 tahun yang lalu. Dan kini ingin berkunjung ke sana sekali lagi bersama isteri dan anak-anak.

Selamat menyambut hari kebangsaan dan selamat bercuti.

Rabu, Ogos 29, 2007

TURKI OH TURKI

Turki antara negara yang ingin saya lawati. Tambahan pula setelah selesai menulis novel Sultan Muhamad al Fateh.

Turki pernah diperintah oleh kerajaan Byzantium (Kristian) lalu menjadikan Constantinopel sebagai ibu kotanya.

Sultan Muhamad al Fateh berjaya menawan Constantinopel lalu menukar namanya menjadi Istanbul (Islam seluruhnya.)

Setelah tumbangnya Kerajaan Usmaniyah maka Mustafa Kamal Ataturk berjaya menjadikan Turki sebuah Negara sekuler pada 3 Mac 1924. Seterusnya Ataturk berjaya menghapuskan undang-undang syariat Islam di Turki sehingga kaum wanita dilarang memakai tudung kerana dianggap bertentangan dengan sistem sekular.

Ada seorang ulama (saya terlupa namanya) mengatakan Islam kembali bersinar di Turki selepas diperintah oleh tujuh Firaun.

Hari ini Abdullah Gul dilantik sebagai Presiden baru Turki. Dengan ini usaha pihak sekular yang cuba menghalangnya dengan alasan Hayrunisa, isteri Abdullah Gul, memakai tudung telah gagal. Namun pihak tentera dikatakan tidak menyokongnya.

Semoga Islam bersinar semula di Turki.

Satu hari nanti saya ingin melawat Masjid Kubah Biru ini. InsyaAllah.

Sultan Muhamad al Fateh ketika berusia 21 tahun berjaya menawan Constantinopel.



Abdullah Gul, Presiden baru Turki dan isterinya Hyrunisa yang tidak disenangi oleh golongan sekular kerana bertudung.

Selasa, Ogos 28, 2007

BENARKAH HULAGU KHAN TOKOH ISLAM


Hulagu Khan adalah cucu kepada Genghis Khan. Ayahnya Tolui dan ibunya Sorghaghtani Beki. Dia dilahirkan pada 1217 dan meninggal dunia pada 8.2.1265.

Hulagu Khan menjadi terkenal kerana berjaya menakluk Baghdad pada tahun 1258 serta menumbangkan kerajaan Bani Abbasiyah yang telah memerintah selama lebih 500 tahun.

Hulagu Khan bertanggung jawab memusnahkan peradaban Islam yang telah dibina selama 500 tahun di Kota Baghdad. Tentera Monggol membunuh Ulama, memperkosa wanita dan membuang kitab-kitab ke dalam sungai sehingga airnya berwarna hitam.

Hulagu Khan dikatakan seorang yang kejam sehingga membenarkan tenteranya berbuat apa sahaja terhadap penduduk Kota Baghdad. Mereka mengganas selama 40 hari 40 malam sehingga kota 1001 malam itu menjadi padang jarak padang tekukur.

Menurut Abdullah Wassaf, tokoh sejarah Islam, semasa tentera Monggol menakluk Baghdad mereka telah membunuh beratus ribu orang Islam. Ian Frazier seorang penulis barat dari majalah The New York Worker pula dalam satu rencananya mengatakan antara 200 ribu hingga 1 juta orang Islam telah menjadi mangsa keganasan tentera Hulagu Khan.

Tentera Monggol yang dikatakan ganas itu akhirnya berjaya dikalahkan oleh tentera Mesir di bawah pimpinan Saifudin Qutz, Berke Khan dan Baibars.Selepas itu kekalahan demi kekalahan dialami oleh Hulagu Khan dan pasukan tenteranya apabila bertempur dengan tentera Islam.

Nama Hulagu Khan akan terus dikenang sebagai penakluk Baghdad. Namun yang sering ditonjolkan ialah keganasannya sahaja. Kebaikannya jarang diperkatakan. Sebagai manusia biasa, Hulagu Khan juga ada sifat kejam dan kasih sayang. Memang benar dia bertindak kejam dengan membunuh beratus ribu penduduk Baghdad serta menghancurkan kota 1001 malam itu.

Tetapi selepas itu dia mula berjasa kepada Islam dan menyesali kekejaman yang dilakukan oleh tenteranya. Dia mengumpulkan semula para cendikiawan Islam lalu membantu mereka membina peradaban baru.

Contohnya, Hulagu Khan telah membina sebuah balai cerap dan Pusat Pengajian di Maragheh untuk Nasir Al Din Al Tusi, seorang ahli falsafah, matematik, astronomi, teologi, pakar perubatan dan penulis Islam berbangsa Iran. Kemudian Hulagu Khan melantik Abul Muzhaffar Athamalik Juwaini, seorang cendikiawan Islam untuk mengatur pemerintahan di Baghdad. Hulagu Khan juga memberi kebenaran kepada Abul Muzhaffar Athamalik Juwaini memperkenalkan pemerintahan Islam dan penduduk Baghdad dibenarkan semula mengamalkan ajaran agama Islam.

Ekoran dari itu ramai tentera Monggol memeluk agama Islam dan Hulagu Khan tidak menghalangnya walaupun dia sendiri masih berpegang kepada kepercayaan nenek moyangnya, agama Syamaniah (Syamanism), menyembah bintang-bintang, dan sujud kepada matahari yang sedang terbit. Tetapi ada yang mengatakan Hulagu Khan kemudiannya menganut agama Kristian.

Tetapi beberapa tahun sebelum meninggal dunia, Hulagu Khan dikatakan mula tertarik dengan Islam. Malah turut menyibarkan Islam ke Azerbaijan. Akhirnya dari keturunan Hulagu Khan ramai yang menjadi pahlawan Islam dan mereka turut menyibarkan Islam hingga sampai ke India. Kerana itu ada yang mengatakan Hulagu Khan adalah tokoh Islam.

Sebuah buku yang ditulis oleh Haji Mohd Said Abdul Hadi diterbitkan oleh Bahagian Penerbitan Jabatan Agama Johor tahun 1977 berjudul “28 Tokoh-tokoh Islam Yang Terkemuka” nama Hulagu Khan termasuk dalam senarai tersebut.

Hulagu Khan akhirnya memilih Azerbaijan sebagai destinasi terakhirnya lalu mendirikan sebuah kota yang indah. Di situlah dia berehat sambil mempelajari Islam dari ulama-ulama yang terkemuka pada masa itu.

Hulagu Khan meninggal dunia pada 2.8. 1265 dan mayatnya dikebumikan di pulau Kaboudi, di pinggir Danau Urmia, Azerbaijan.

Kisah Hulagu Khan ini akan saya jadikan novel. Kepada mereka yang mempunyai maklumat mengenai tokoh ini sudilah menyampaikannya kepada saya.

Terima kasih.

Isnin, Ogos 20, 2007

SI BONGKOK TANJUNG PUTERI


Abdul Latip bin Talib,
PTS Fortuna
Harga: RM 32.00 / RM 35.00 (Sabah & Sarawak)
ISBN: ISBN 983-192-188-7
Barcode: 978-983-192-188-3
Jumlah Halaman: 576 halaman
Tarikh Terbit: 22 August 2007
Skor : [ dari 5 ]

----------------------------------------------------------
Berita Minggu 19/8/2007

Jejak: Si Bongkok pahlawan Johor
Oleh Nasron Sira Rahim (nasron@bharian.com.my)

Kebencian terhadap penjajah punca pendekar yang didakwa lanun bersama pengikut bangkit menentang British.Ada beberapa tokoh misteri yang nama mereka ‘hilang’ dalam lembaran sejarah perjuangan menentang penjajah di tanah air, ratusan tahun lalu. Walaupun kewujudan mereka suatu ketika dulu memberi sumbangan besar dan mencetuskan kegerunan di jiwa penjajah, kebanyakan tokoh ini tidak disebut dalam mana-mana dokumen sejarah.

Seterusnya melewati masa, nama dan kisah perjuangan tokoh berkenaan semakin dilupakan generasi kini dan mungkin pada masa akan datang. Jika pun ada, rentetan kehidupan pahlawan itu sekadar tersebar menerusi lisan dan ingatan orang lama sehingga ramai keliru memikirkan sama ada kisah itu benar-benar wujud atau sekadar legenda.

Menyedari pentingnya sumbangan dan kewujudan pahlawan misteri itu didedahkan kepada khalayak untuk diiktiraf sejarah tanah air, ahli Persatuan Sejarah Malaysia cawangan Jelebu, Negeri Sembilan; Abdul Latip Talib, memulakan penyelidikan bagi membongkar rahsia kehilangan mereka.

“Antara tokoh terbabit adalah Si Bongkok Tanjung Puteri yang sehingga kini, sejarah perjuangannya masih tidak diketahui ramai pihak,” katanya yang menulis novel sejarah berkenaan pahlawan itu, tahun lalu. Beliau berkata, tidak seperti tokoh pejuang lain seperti Datuk Bahaman di Pahang atau Rentap di Sarawak, sejarah negara ini tidak pernah mengenali siapa Si Bongkok yang berjuang menentang British dan sekutunya di Johor.

“Ceritanya bermula apabila British mula menjajah Singapura seterusnya cuba melebarkan pengaruh mereka ke Johor,” kata Abdul Latip seterusnya memulakan kisah perjuangan Si Bongkok Tanjung Puteri yang kini semakin hilang dalam lipatan sejarah negara.

Pernah suatu ketika sekitar abad ke-19, Kerajaan Johor tidak diperintah oleh Sultannya tetapi pentadbiran dan segala urusan negeri diuruskan Temenggung Abdul Rahman atas sokongan British.

Polemik itu berlaku apabila Sultan Hussein mangkat pada 1835; putera baginda iaitu Tengku Ali cuba mendapatkan haknya sebagai Sultan Johor tetapi dihalang Temenggung Abdul Rahman.

Akibat daripada perebutan kuasa itu, muncul kisah perjuangan Si Bongkok di Tanjung Puteri (kini Johor Bahru). Beliau berhasrat mengusir pengaruh penjajah dari bumi Johor dan tidak bersetuju dengan hasrat pemerintah negeri yang berbaik-baik dengan British.

Si Bongkok juga inginkan takhta kesultanan Johor yang ketika itu dikuasai Temenggung Abdul Rahman, dikembalikan kepada pewaris asal iaitu Tengku Ali.Si Bongkok memang nama asalnya manakala nama bapanya adalah Damak.

Dinamakan dirinya sebagai ‘Si Bongkok’ berikutan keadaan tubuh badannya yang cacat iaitu bongkok ke kanan manakala tangan kirinya pula cengkung. Mukanya pula herot dan bengkak ke kanan.

Walaupun dilahirkan sebagai insan yang cacat, Si Bongkok membesar sebagai seorang pemuda yang gagah dan berani. Beliau cekap bermain senjata dan mahir dalam ilmu lautan. Si Bongkok juga dikatakan memiliki ilmu kebal yang menyebabkan jasadnya tidak akan luka sama ada ditembak atau ditikam senjata tajam.

Kewibawaan beliau dikagumi ramai pihak sehingga Si Bongkok diangkat menjadi pemimpin oleh pengikutnya yang ramai. Di kalangan musuhnya sendiri beliau digelar Panglima Si Bongkok.

Si Bongkok hidup di atas kapal layar di tengah laut. Dia mempunyai pengikut yang ramai dan masing-masing memang cekap bermain senjata serta mengendalikan kapal di laut.

Kebenciannya terhadap penjajah dan pemimpin tempatan yang mengadakan hubungan dengan bangsa asing itu menyebabkan Si Bongkok bersama pengikutnya bangkit menentang. Mereka akan menyerang kapal bangsa asing yang melalui perairan Johor untuk berdagang di pelabuhan Tanjung Puteri atau Singapura. Tindakan itu menyebabkan British melabelkan mereka sebagai lanun.

Disebabkan serangan Si Bongkok dan pengikutnya, aktiviti perdagangan dan ekonomi di Tanjung Puteri dan Singapura semakin merosot kerana kebanyakan pedagang asing tidak lagi berani memasuki wilayah itu.Keadaan itu menimbulkan kebimbangan kepada British menyebabkan bangsa asing itu mengarahkan Temenggung Abdul Rahman supaya menghapuskan kumpulan Si Bongkok.

Bagaimanapun, walau pelbagai cara digunakan untuk membunuh Si Bongkok, usaha itu tidak pernah berhasil kerana dipercayai tiada siapa yang mengetahui cara untuk mengatasi ilmu kebal yang dikuasai pahlawan itu.Usaha mengekang serangan Si Bongkok terus diperketat dengan rondaan berterusan diadakan di perairan Selat Tebrau.

Kerajaan Johor dan British juga semakin khuatir kerana angkatan laut Si Bongkok memiliki ubat bedil dan senjata api hasil rampasan kapal dagang Barat yang diserang mereka. Pada suatu hari, satu angkatan laut Johor diketuai Panglima Johor, Laksamana Daeng Alek meronda di Selat Tebrau mencari Si Bongkok. Kehadiran tentera diraja itu untuk menangkapnya sudah diketahui Si Bongkok melalui perisiknya di istana.

Si Bongkok pun bersedia menghadapi tentangan angkatan Panglima Johor.Rondaan kapal perang Panglima Johor akhirnya berjaya mengesan kedudukan kapal Si Bongkok. Mereka segera merapati kapal itu untuk menyerangnya.Si Bongkok mengarahkan pengikutnya seramai lima puluh orang menyerang belas askar diraja itu.

Pertempuran hebat berlaku di atas kapal, di tengah lautan. Selepas lama bertempur, akhirnya angkatan Panglima Johor tewas. Mereka terpaksa berundur kembali ke pangkalan di Tanjung Puteri selepas ramai askar diraja yang terkorban dan lima kapal perangnya, karam.Kekalahan itu tidak memutuskan semangat Panglima Johor untuk terus menyerang Si Bongkok.

Pada hari yang lain, mereka menyerang lagi dengan lebih ramai askar. Angkatan perang Panglima Johor berjaya mengepung beberapa kapal Si Bongkok tetapi dengan kebijaksanaannya, Si Bongkok berjaya melarikan diri ke tempat persembunyiannya sekitar Tanjung Belungkur.

Kegagalan itu menyebabkan Laksamana Daeng Alek, Kerajaan Johor serta British semakin marah dan tertekan.Selain Panglima Johor, turut menentang Si Bongkok adalah adiknya sendiri iaitu Panglima Putih. Berbeza dengan Si Bongkok yang menyokong Tengku Ali, Panglima Putih menyokong Temenggung Abdul Rahman menyebabkan mereka bermusuhan.

Mereka berdua juga dikatakan mencintai gadis yang sama iaitu Si Tanjung. Bersama Laksamana Daeng Alek, Panglima Putih beberapa kali menyerang abangnya tetapi tetap gagal menghapuskan Si Bongkok. Si Bongkok pula terus menyerang kapal dagang yang ingin berlabuh di Tanjung Puteri dan Singapura.

Episod akhir perjuangan Si Bongkok berlaku apabila sekali lagi kapalnya diserang. Akan tetapi, serangan pada kali itu lebih dahsyat kerana setiap penjuru perairan Selat Tebrau sudah dikepung angkatan laut Johor.

Si Bongkok dapat melepaskan diri ke Tanjung Belungkur, tempat persembunyiannya tetapi kapal Panglima Putih terus mengejar. Akhirnya, di tepi pantai Tanjung Belungkur, dua beradik itu bersemuka buat kali terakhir.

Pertelingkahan terus tercetus dengan masing-masing menegakkan prinsip yang tersemat di hati.Panglima Putih terus membela Temenggung Abdul Rahman dan Si Bongkok terus mempertahankan hak kedaulatan Tengku Ali dan maruah tanah air daripada campur tangan British.Pertengkaran hebat itu akhirnya berlarutan kepada pergaduhan.

Kedua-dua pahlawan gagah perkasa itu bertempur hebat dan tangkas tetapi Panglima Putih tetap gagal membolosi keris ke jasad Si Bongkok lantaran kekebalan pahlawan itu.Selepas melihat adiknya beriya-iya mahu membunuhnya walaupun beliau adalah abang kandung panglima diraja itu, Si Bongkok akhirnya pasrah.

Beliau tidak sanggup membunuh adiknya sendiri atau melihat adiknya yang sudah dipengaruhi British, membunuhnya dirinya.Ketika itulah, Si Bongkok membongkar rahsia kelemahan ilmu kebalnya. Beliau menikam dirinya sendiri dan di tepi pantai Tanjung Belungkur, berakhirlah riwayat dan perjuangan Si Bongkok demi membela tanah airnya yang tercinta. Pahlawan itu mati di atas pangkuan adiknya.

Lirik lagu Tanjung Puteri

Tajuk Johor Tanjung Puteri
Selat Tebrau airnya biru
Di Pantai Lido tepian mandi
Sepanjang masa di hari minggu

Atas bukit Tanjung Puteri
Taman hiburan indah berseri
Pemandangan menawan hati
Jalan tambak hubungan negeri

( korus )Tanjung Sekijang nun di kuala
Tempat nelayan mengail gelama
Istana Hinggap di Kuala Danga
Pantai berkelah keluarga diraja

Dari Tebrau orang berakit
Singgah Stulang membeli kopi
Pusara Si Bongkok di lereng bukit
Di tepi pantai Tanjung Puteri

Inggeris label pemuda cacat sebagai pengganas

“SELEPAS Si Bongkok menemui ajalnya di tepi pantai itu, mayatnya dijumpai seorang penduduk tempatan dikenali Uteh Jantan.

“Kemudian Uteh Jantan bersama beberapa penduduk kampung membawa mayat Si Bongkok sehingga ke lereng bukit Tanjung Puteri dan pahlawan itu dikebumikan di situ secara rahsia,” kata penulis novel Si Bongkok Tanjung Puteri, Abdul Latip Talib.

Beliau berkata, pengebumian itu dilakukan secara rahsia kemungkinan bagi mengelakkan Kerajaan Johor dan British mengambil jasad pahlawan yang sememangnya disokong penduduk tempatan.

Katanya, penduduk terbabit juga mungkin khuatir mereka akan ditahan pihak berkuasa kerana mengebumikan jasad Si Bongkok menyebabkan mereka tidak menghebohkan lokasi mayat itu ditanam.

Kini, pusara berkenaan terletak dalam hutan belukar di kaki bukit Tanjung Puteri dan pengunjung perlu meredah semak dan denai selama setengah jam untuk sampai di sana. Penduduk yang tidak biasa dengan keadaan hutan itu, pasti tersesat dan tidak menemui kubur pahlawan berkenaan.

Sebaik melihat pusara berkenaan pula, perasaan sayu dan pilu menjelma di jiwa tatkala melihat keadaannya yang terbiar tanpa ada usaha untuk memuliharanya. Pusara itu sekadar bernesankan sekeping papan yang sudah reput.

“Mengikut cerita penduduk tempatan, nesan itu diletakkan seorang lelaki pada 23 Januari 1981 selepas dia bermimpi didatangi Si Bongkok yang menyuruhnya menanda pusara pahlawan berkenaan,” katanya.

Abdul Latip berkata, berdasarkan penemuan kubur berkenaan selain cerita mengenai Si Bongkok yang tersebar secara lisan sehingga hampir ke seluruh Johor sehingga kini, maka beliau yakin yang Si Bongkok sememangnya pernah wujud dan bukanlah cerita dongeng. Malah, namanya turut disebut dalam lagu rakyat Johor iaitu ‘Tanjung Puteri’.

Katanya, beliau mula menulis novel sejarah mengenai Si Bongkok sejak tahun lalu bagi memperbetulkan kembali ‘fitnah’ yang dilemparkan terhadap pahlawan itu kononnya beliau adalah lanun dan bukannya pejuang menentang penjajah.

Selain itu, usaha membukukan kisah perjuangan Si Bongkok juga dibuat Abdul Latip bagi membolehkan cebisan sejarah lisan yang tersimpan dalam ingatan orang lama, tidak hilang ditelan masa seterusnya nama Si Bongkok akan dikenang melewati masa.

“Saya percaya ramai pejuang Melayu yang nama mereka hilang daripada lipatan sejarah negara kita dan Si Bongkok adalah seorang daripada pejuang itu; sejarah kita dulu ditulis British menyebabkan ramai pahlawan kita yang menentang mereka dianggap penderhaka dan nama mereka tidak dicatat dalam sejarah.

“Saya berharap supaya sejarah ini boleh diperbetulkan semula dan pihak terbabit perlu tampil mengiktiraf perjuangan Si Bongkok setaraf dengan nama pejuang lain seperti Tok Janggut, Dol Said dan sebagainya,” katanya.

Abdul Latip juga menggesa pihak berkuasa supaya memulihara pusara Si Bongkok sebagai satu daripada warisan peninggalan sejarah yang bukan saja dibanggakan rakyat Johor tetapi rakyat negara ini.

“Saya sendiri sudah pergi ke Tanjung Belungkur untuk melihat sendiri pusara Si Bongkok Tanjung Puteri, keadaannya amat menyedihkan kerana terbiar. Selepas 50 tahun kita merdeka, masihkah kita sependapat dengan penjajah yang melabelkan Si Bongkok itu lanun dan pengganas?” katanya.

CATATAN:

Ekoran tersiarnya rencana ini saya menerima beberapa kiriman SMS antaranya daripada saudara A. Hamid Jemain, seorang penulis dari Johor mengatakan;

“Saya berasa amat terharu kerana kisah Si Bongkok Tanjung Puteri ini ditulis oleh penulis luar bukan penulis Johor.”

Saya membalasnya dengan mengatakan; “Saudara usahakan melalui persatuan supaya pusara Si Bongkok dipulihara.”

Dia menjawab; “InsyaAllah saya akan usahakan.”

Sabtu, Ogos 18, 2007

FRAGMEN SETELAH ROBOH KOTA MELAKA


BAB: 1

“Tidak akan hilang Melayu di dunia,” kata Hang Tuah, pahlawan Melayu yang gagah perkasa.
“Selagi belum kering air di Selat Melaka jangan harap beta akan tunduk kepada penjajah,” kata Sultan Muzaffar Shah kepada orang-orang Siam yang hendak menyerang Melaka.
“Selagi aku menjadi bendahara, akan kupastikan sultan Melaka berlaku adil terhadap rakyatnya,” demikian pula kata-kata Bendahara Tun Perak.

Ketika itu Melaka berada di puncak kegemilangannya. Pelabuhan Melaka menjadi tempat persinggahan para pedagang dari Cina, India dan Arab. Melaka menjadi pusat penyibaran agama Islam di Alam Melayu. Negeri Johor, Pahang, Terengganu, Selangor dan Perak bernaung di bawah kesultanan Melayu Melaka. Manakala Jambi, Inderagiri, Siak, Kampar, Rokan, Kepulauan Bentan dan Lingga menjadi tanah jajahan Melaka.
Ketika Tun Perak menjadi Bendahara dan Hang Tuah menjadi Laksamana, Melaka menjadi pelabuhan dan tempat berdagang yang terpenting di Alam Melayu. Pedagang Arab, India dan Cina singgah di Melaka kerana berasa selamat.
Ketika itu lada hitam dan rempah sangat laris di Eropah mendorong para pelayar dan pedagang Eropah datang ke Alam Melayu. Kerana Melaka kedudukannya strategik maka menjadi rebutan kuasa penjajah dari Eropah.

Peristiwa ini terjadi pada sekitar tahun 1511. Ketika itu Melaka diperintah oleh Sultan Mahmud Shah, sultan yang ke 7 dan yang terakhir memerintah Melaka.

Sultan Mahmud Shah mempunyai sebuah kereta kuda 30 tayar yang
diperbuat daripada emas dan dihiasi dengan kain sutera. Setiap kali baginda keluar bersiar-siar dengan kereta kudanya dia dikawal ketat oleh berpuluh pengawal yang bersenjata. Ini disebabkan baginda mempunyai ramai musuh termasuk dari kalangan keluarganya sendiri.
Perlantikan Sultan Mahmud Shah sebagai sultan Melaka ketika usianya masih terlalu muda tidak dipersetujui oleh ramai orang termasuk nendanya Raja Tua. Pernah suatu ketika Sultan Mahmud Shah mengidap sakit buang air kecil. Nendanya cuba hendak membunuhnya tetapi diselamatkan oleh Bendahara Tun Perak dan Laksamana Hang Tuah.
Dengan kebijaksanaan Bendahara Tun Perak mentadbir Melaka dan kehebatan Hang Tuan menjadi laksamana, negeri Melaka aman makmur hingga penduduknya berjumlah hampir 200,000 orang. Rumah dan pasar kelihatan di sepanjang pantai dari Tanjung Keling hingga ke Kuala Linggi dan dari Air Leleh hingga ke Muar. Ketika itu Melaka berada di puncak kegemilangannya setelah 110 tahun Kerajaan Melayu Melaka berkuasa.
Namun segalanya berubah setelah Bendahara Tun perak meninggal dunia, Hang Tuah kehilangan keris Taming Sarinya dan Sultan Mahmud Shah berlaku zalim terhadap rakyatnya.

Pagi itu laut nampak tenang. Seperti hari-hari sebelumnya, orang ramai berpusu-pusu di pelabuhan Melaka untuk mendapatkan barang-barang keperluan harian. Para peniaga pula ramai yang berjualan. Tiba-tiba suasana menjadi kecuh dan kelam kabut.
“Benggali putih mendarat di pantai Melaka!” teriak satu suara.
“Benggali putih memakai topi dan baju besi,” teriak yang lain pula.
Orang ramai berebut-rebut hendak melihat orang asing yang baru pertama kali sampai ke pelabuhan Melaka. Mereka memanggilnya “Benggali Putih” kerana tubuhnya yang besar dan tinggi serta janggut lebat dan berambut panjang.
“Orang asing itu adalah musuh kita. Mereka datang bukan hendak berniaga tetapi hendak menimbulkan huru hara. Halau mereka dari sini. Jangan benarkan mereka berdagang di Melaka,” kata beberapa orang pedagang Arab dan India. Ternyata mereka tidak senang dengan kedatangan orang-orang asing itu di negeri Melaka.
“Mari kita mengadu kepada datuk Syahbandar supaya Benggali Putih itu dihalau keluar dari sini!” cadang Nina Chatu ketua saudagar India di Melaka. Dia saudagar India yang paling kaya mempunyai seribu orang pekerja. Hatinya cukup bimbang kalau perniagaannya terjejas dengan kedatangan saudagar Portugis itu.
“Lebih baik kita terus mengadu kepada sultan supaya orang-orang Benggali Putih itu ditangkap dan dihukum bunuh,” kata Utimutraraja pula. Dia seorang saudagar Jawa yang kaya raya..
Akhirnya pada pedagang itu mencapai kata sepakat untuk mengadukan perkara itu kepada Sultan Mahmud Shah. Mereka membawa pelbagai hadiah yang berharga untuk diberikan kepada sultan dan Syahbandar.
“Ampun tuanku. Orang-orang Feringgi itu bukan beragama Islam. Mereka memusuhi orang-orang Islam dan Hindu. Mereka datang bukan hendak berniaga tetapi hendak menyebarkan agama mereka. Akhirnya nanti penganut agama Islam dan Hindu menjadi murtad dan masuk agama mereka. Kerana itu jangan benarkan mereka berniaga di sini,” kata Nina Chatu.
“Mungkin juga mereka bukan peniaga tetapi pengintip yang disuruh oleh raja mereka untuk mengintip hal keadaan Melaka. Kemudian mereka akan datang menyerang Melaka,” sokong Utimutraraja pula. Dia juga bimbang perniagaan orang-orang Jawa di Melaka akan terjejas.
“Apa pendapat Syahbandar?” Tanya Sultan Mahmud Shah kepada Raja Mendeliar.
“Patek bersetuju dengan pendapat Nina Chatu dan Utimutraraja. Orang-orang Benggali Putih itu jangan dibenarkan berniaga di Melaka. Mereka mestilah dihalau dari sini. Kalau berdegil kita tangkap atau bunuh mereka,” jawab Raja Mendeliar dengan semangat yang berkobar-kobar.
“Bagaimana pula pendapat bendahara?” Tanya Sultan Mahmud Shah kepada Tun Mutahir.
“Ampun tuanku. Pendapat patek berbeza,” jawab Bendahara Tun Mutahir. Kemudian katanya lagi.
“Sejak dari dahulu, pelabuhan Melaka terbuka kepada sesiapa sahaja yang datang hendak berniaga. Kita benarkan pedagang Arab, India dan Cina datang. Kerana itu pada pendapat patek, kita benarkan juga orang-orang Feringgi itu berniaga di Melaka,” katanya
“Orang Arab, CIna dan India itu beragama Islam. Tetapi Benggali Putih itu bukan Islam. Mereka memusuhi Islam,” sanggah Shahbandar Raja Mendeliar pula.
“Mereka datang bukan hendak berniaga tetapi hendak menyebarkan agama mereka,” Nina Chatu mengulangi kebimbangan di hatinya. Dia sangat bimbang kalau orang-orang India terpengaruh dengan dakyah orang-orang Portugis.
“Sanggupkah tuanku melihat rakyat tuanku bertukar agama?”Tanya Utimutraraja pula.
Akhirnya Sultan Mahmud Shah berjaya dipengaruhi oleh Syahbandar Raja Mendeliar, Nina Chatu dan Utimutraraja. Tambahan pula setelah diberikan pelbagai hadiah.
“Beta mahu Bendahara Tun Mutahir menghalau orang-orang Feringgi itu keluar dari pelabuhan Melaka. Kalau mereka enggan maka hendaklah ditangkap atau dibunuh,” perintah Sultan Mahmud Shah.
Bendahara Tun Mutahir terpaksa mematuhi perintah sultan walaupun dengan hati yang berat. “Baiklah tuanku. Patek akan suruh mereka meninggalkan Melaka sekarang juga,” katanya.
“Jangan pergi sendirian. Bawalah beberapa orang pengawal,” titah Sultan Mahmud Shah.
“Baiklah tuanku,” kata Bendahara Tun Mutahir.
Dengan diiringi oleh beberapa orang anak buahnya maka Bendahara Tun Mutahir menemui pedagang-pedagang Portugis itu. Kedatangan mereka disambut dengan baik. Melalui jurubahasanya, Tun Mutahir menyampaikan perintah sultan yang meminta mereka meninggalkan pelabuhan Melaka.
“Nampaknya sultan Melaka telah menunjukkan sikap permusuhannya terhadap kami,” kata ketua orang-orang Portugis itu.
“Kami tidak mahu bermusuhan dengan sesiapa. Kerana itu ada baiknya kamu pergi dari sini buat sementara waktu. Kamu boleh datang semula pada masa yang sesuai,” kata Bendahara Tun Mutahir tanpa menunjukkan sikap permusuhan.
“Kami ingin berniaga di sini kerana negeri ini menjadi tempat persinggahan pedagang Arab, India dan Cina,” balas ketua pedagang orang-orang Portugis itu.
“kamu boleh berniaga di sini dengan syarat tidak mengancam keselamatan negeri kami dan tidak menyebarkan agama kamu kepada rakyat negeri ini,” kata Bendahara Tun Mutahir.
“Baiklah kami patuhi syarat itu asalkan kami dibenarkan berniaga di sini,’ rayu mereka.
“Hanya untuk kali ini kerana sultan telah memerintahkan kamu meninggalkan Melaka dengan segera. Dan kamu boleh datang setelah mendapat kebenaran daripada sultan kami,” kata Bendahara Tun Mutahir.
Akhirnya orang-orang Portugis itu mengalah dan bersetuju meninggalkan Melaka. Mereka juga tertarik dengan sikap baik dan budi bahasa yang ditunjukkan oleh Bendahara Tun Mutahir. Sebagai balasannya mereka menghadiahkan sebuah kalung yang dibawa dari negara mereka.
“Kami hadiahkan kalung ini kepada bendahara sebagai tanda persahabatan,” kata ketua orang-orang Portugis itu.
Kemudian kalung itu dipakaikannya ke leher Bendahara Tun Mutahir. Tiba-tiba para pengiring bendahara naik berang.
“Ketua orang-orang Benggali Putih ini bersikap kurang ajar kepada bendahara Melaka. Mari kita ajar mereka!” teriak salah seorang daripada mereka.
“Kita bunuh Benggali Putih dan campakkan mayat mereka ke dalam laut. Kemudian kita rampas barang-barang mereka,” sokong yang lain pula.
Tetapi Bendahara Tun Mutahir dapat menenangkan orang-orang Melaka. “Kalung ini diberi sebagai tanda persahabatan. Kerana itu saya menerimanya,”kata Tun Mutahir.
“Menyarungkan sesuatu ke leher pembesar Melaka adalah satu penghinaan kerana perbuatan itu sama seperti menyarungkan tali gantung ke leher bendahara,” kata yang lain pula.
“Perbuatan mereka memakaikan kalung pada leher saya itu bukan satu penghinaan. Tetapi satu penghormatan di kalangan mereka,” katanya.
Barulah orang-orang Melaka tidak jadi mengamuk. Suasana yang kecuh dapat ditenteramkan semula. Namun untuk mengelakan kejadian yang tidak diingini maka saudagar-saudagar Portugis itu bersetuju meninggalkan pelabuhan Melaka.
“Izinkan kami tinggal di sini selama tiga hari sahaja. Kemudian kami berjanji akan pergi dari sini,” rayu Diego Lopez de Sequierra.
“Baiklah aku benarkan dengan satu syarat. Jangan cuba buat kacau nanti buruk padahnya,” kata Bendahara Tun Mutahir.
“Baiklah kami berjanji tidak buat kacau,” kata Diegio Lopesz de Suquiera.
Tetapi Raja Mendeliar, Nina Chatu dan Utimutraraja tidak berpuas hati kerana Bendahara Tun Mutahir menunjukkan sikap yang baik kepada Benggali Putih itu. Mereka mengadu kepada Sultan Mahmud Shah.
“Bendahara Tun Mutahir tidak menghalau Benggali Putih itu tetapi membenarkan mereka tinggal di Melaka selama tiga hari lagi. Ini menunjukkan bendahara Melaka telah mengingkari perintah tuanku,” kata Si Kitul mengadu domba.
“Kalau patek yang tuanku perintahkan maka patek halau Benggali Putih itu keluar dari Melaka pada hari ini juga. Kemudian harta mereka patek rampas untuk diserahkan kepada tuanku,” kata Raja Mendeliar sambil meluahkan rasa tidak puas hatinya terhadap Tun Mutahir.
“Sikap baik yang ditunjukkan oleh Tun Mutahir akan menyebabkan musuh-musuh kita itu datang lagi ke Melaka,” sokong Nina Chaitu pula.
“Patek lihat saudagar Feringgi itu menghadiahkan kalung mutiara kepada Bendahara Tun Mutahir. Kalung itu teramat mahal harganya kerana itu Bendahara Tun Mutahir merasa terhutang budi lalu membenarkan mereka tinggal di Melaka,” kata Utimutraraja pula.
“Sepatutnya kalung mutiara itu diserahkan kepada tuanku. Tetapi Bendahara menjadikannya milik sendiri. Ini bermaksud Bendahara Tun Mutahir telah menderhaka kepada tuanku,” tambah Si Kitul bertujuan menambah sakitnya hati sultan kepada bendahara.
Sultan Mahmud Shah menjadi murka apabila mendengar pengaduan itu. Baginda sudah mula hilang kepercayaan kepada Bendahara Tun Mutahir.
“Benarkah Bendahara Tun Mutahir membenarkan Benggali Putih itu tinggal selama tiga hari di Melaka?” tanya Sultan Mahmud Shah.
“Benar tuanku,” jawab Raja Mendeliar.
“Benarkah benggali putih itu menghadiahkan kalung mutiara kepada Tun Mutahir?” tanya Sultan Mahmud lagi.
“Benar tuanku, sebab patek nampak dengan mata sendiri,” jawab Nina Chatu pula.
Sultan Mahmud Shah memerintahkan Bendahara Tun Mutahir datang mengadap. Sebaik sahaja sampai maka sultan pun terus memarahinya.
“Kenapa Benggali Putih itu dibenarkan tinggal di Melaka selama tiga hari?. Dan benarkah mereka telah memberi sogokan kepada bendahara berupa kalung Mutiara,” tanya baginda dengan nada suara yang tinggi.
Dengan tenang Bendahara Tun Mutahir pun menjawab. “Patek benarkan mereka tinggal di Melaka selama tiga hari setelah mereka berjanji tidak membuat huru hara. Mereka juga telah berjanji akan membayar kepada tuanku sebanyak tiga kati emas jika dibenarkan tinggal di Melaka selama tiga hari. Adapun kalung mutiara itu, memang benar mereka menghadiahkannya kepada patek. Tetapi patek tidak berhajat kepada kalung itu. Patek memang hendak menyerahkannya kepada tuanku.”
Setelah mendengar penjelasan itu barulah reda kemarahan baginda. Malah Sultan Mahmud Shah berasa gembira kerana akan mendapat tiga kali emas dan kalung Mutiara seperti yang dijanjikan oleh Bendahara Tun Mutahir.
“Baiklah, beta bersetuju mereka tinggal di Melaka selama tiga hari. Tetapi selepas itu beta mahu mereka meninggalkan Melaka dan jangan datang lagi,” kata Sultan Mahmud Shah.
Si Kitul, Raja Mendeliar, Utimutraraja dan Nina Chatu berasa malu kerana rancangan mereka hendak menjatuhkan Bendahara Tun Mutahir tidak berjaya.
Di atas kapal pula Diego Lopez de Sequiera sedang berbincang dengan orang-orangnya. “Bendahara Tun Mutahir membenarkan kita tinggal selama tiga hari di Melaka. Aku mahu kamu jalankan tugas seperti yang telah aku arahkan. Dapatkan maklumat mengenai negeri ini sebanyaknya,” katanya. Kemudian katanya lagi.
“Kita perlu menjalin hubungan baik dengan saudagar India dan Cina untuk mendapatkan maklumat yang kita perlukan. Tetapi jauhi saudagar Arab dan Melayu kerana mereka tidak akan mahu memberikan kerjasama,” katanya.
Adapun Raja Mendeliar, Nina Chatu dan Utimutraraja pula setelah mendapati Sultan Mahmud Shah menerima tiga kati emas dan satu kalung mutiara dari orang-orang Portugis itu maka timbul pula perasaan tamak dalam hati mereka.
“Aku Syahbandar Melaka yang bertanggung jawab menjaga pelabuhan Melaka. Kalau sultan mendapat habuannya dari Benggali Putih maka aku juga patut mendapatnya,” bisik hati Raja Mendeliar.
“Rupanya Benggali Putih itu lebih kaya dari saudagar Arab dan Cina. Lebih baik aku berbaik dengan mereka,” bisik hati Nina Chatu pula.

NOSTALGIA SEJARAH KEMERDEKAAN


51 tahun yang lalu atau pada 20 Februari 1956 laungan “Merdeka” bergema di Padang Pahlawan Banda Hilir Melaka apabila Tuanku Abdul Rahman mengumumkan tarikh kemerdekaan negara, sekembalinya dari London.
Malam tadi laungan “Merdeka” sekali lagi bergema di tempat yang sama apabila lebih 50,000 orang ramai berkumpul bagi mengimbas kembali peristiwa tersebut.
Turut serta dalam perhimpunan itu 3,500 orang veteran kemerdekaan dari seluruh negara.
Sebelum perhimpunan di Padang Pahlawan malam tadi, pada sebelah petangnya Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meraikan veteran-veteran kemerdekaan itu di dewan MITC.
Saya dan isteri turut dijemput dalam Perhimpunan Perdana Veteran Merdeka Sempena Sambutan 50 Tahun Kemerdekaan Negara Malaysia. Kami berkampung di Melaka Water Resort Bukit Katil Melaka sejak hari Khamis hingga pagi Sabtu.

Selama berada di bumi Melaka saya terkenang sejarah Kesultanan Melayu Melaka yang berada pada zaman kemuncaknya tetapi setelah 110 tahun berkuasa berjaya diruntuhkan oleh Portugis.
Saya juga terkenang beberapa tokoh yang menyebabkan kejatuhan kerajaan Melayu Melaka, antaranya Sultan Mahmud Shah, Alfonso de Albuquerque, Si Kitul, Raja Mendeliar,Khoja Hasan dan beberapa orang lagi.
Kebetulan pula novel terbaru saya berjudul “Setelah Roboh Kota Melaka” baru saja diterbitkan menambah lagi terkesannya hati saya dengan Nostalgia Sejarah Kemerdekaan ini.
Setelah 110 tahun Kesultanan Melayu Melaka berkuasa dan setelah 446 tahun negara kita dijajah baru kini kita mengecapi nikmat kemerdekaan selama 50 tahun.

Kami menjamu selera selepas mendengar ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sempena Majlis Perhimpunan Perdana Veteran Merdeka di Dewan MITC Melaka.

Saya dan isteri sempat bergambar kenangan setelah selesai majlis tersebut.

Rabu, Ogos 15, 2007

BERJAGUNG MENUNGGU PADI MASAK

Hari ini sekali lagi saya ke UiTM Shah Alam bagi menjual novel-novel pahlawan Islam. Kali pertama pada bulan Julai yang lalu.

Siapa kata pensyarah Universiti di negara kita tidak suka membaca?. Buktinya pensyarah UiTM Shah Alam sahaja sudah membeli banyak novel daripada saya.

Salahudin Penakluk Jerusalem (cetakan ke 2) 30 naskhah
Khalid Memburu Syahid 28 naskhah
Ikramah Penentang Jadi Pembela 29 naskhah
Tariq Menang atau Syahid 30 naskhah

Terima kasih diucapkan kepada Professor Madya Nurazzah dan sahabat-sahabatnya yang sudi membeli novel-novel tersebut.

Inilah yang dikatakan berjagung-jagung dahulu sementara menunggu padi masak.

Kawan-kawan penulis yang lain kelihatan tersenyum-senyum kerana sudah mendapat pembayaran royalti daripada penerbit, saya juga tersenyum kerana mendapat rezeki yang tidak disangka.

Alhamdulillah.




Melalui novel juga boleh terjalin persahabatan.

Ahad, Ogos 12, 2007

NOVEL BARU TERBIT


Abdul Latip bin Talib,
PTS Fortuna
Harga: RM 32.00 / RM 35.00 (Sabah & Sarawak)
ISBN: ISBN 983-192-188-7
Barcode: 978-983-192-188-3
Jumlah Halaman: 576 halaman
Tarikh Terbit: 10 August 2007
Skor : [ dari 5 ]

Novel Si Bongkok Tanjung Puteri baru saja terbit. Mengisahkan perjuangan seorang pahlawan Melayu yang menentang campur tangan British di Tanjung Puteri dan mereka yang bersubahat dengannya. Kerana tindakan Si Bongkok yang menyerang kapal-kapal dagang Inggeris dan membunuh mereka yang dimusuhinya menyebabkan Si Bongkok Tanjung Puteri dianggap sebagai penderhaka dan lanun yang sangat merbahaya.
Setelah dia meninggal dunia maka mayatnya dikuburkan oleh penduduk kampung Belungkur di kaki bukit Tanjung Puteri. Dan kubur itu terus terbiar sehingga kini.

Kubur Si Bongkok Tanjung Puteri cuma bernisankan sekeping papan yang telah reput. Menurut Encik Shaharum Husain dalam bukunya Memoir Shaharum Husain yang diterbitkan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia tahun 1996, beliau pernah ke sini pada tahun 1960 bagi membuat penyelidikan terhadap orang tua dan tokoh tempatan bagi menghasilkan Drama Si Bongkok Tanjung Puteri.

Perigi ini terdapat di kaki bukit Tanjung Puteri. Airnya jernih, sejuk dan perigi ini masih digunakan.

KHIDMAT MASYARAKAT


Johan Sayembara Deklamasi Puisi Bulan Kemerdekaan Negeri Sembilan tahun 2007 Mohd Faizal Hassan.

Lima peserta masuk ke perengkat akhir termasuk johan menanti Farah Nabila Noor (tidak ada dalam gambar)

Menjadi Panel Hakim Sayembara Deklamasi Puisi Bulan Kemerdekaan Peringkat Negeri Sembilan tahun 2007. Seramai 120 peserta termasuk 5 bukan bumiputra yang menyertainya. Pertandingan terpaksa dijalankan perengkat saringan, separuh akhir dan akhir, bermula dari jam 10 pagi selesai jam 11.30 malam. Saya mengadili peringkat saringan dan separuh akhir.

Mengiringi anak kakak ke rumah pengantin perempuan di Felda Lui Muda, Bahau. Cantiknya pemandangan. Ada ladang kelapa sawit, ada sungai, di belakangnya Banjaran Titiwangsa.

Sempena Mesyuarat Agung (BAKA) Jelebu yang dirasmikan oleh YB Dato' Seri Utama Dr Rais Yatim maka Persatuan Sejarah Malaysia Bahagian Jelebu mengadakan pameran karya ahli-ahlinya. Maka novel2 saya turut dipamerkan. (Dalam majlis itu Persatuan Sejarah Jelebu dapat peruntukan RM20,000.00 daripada Dato' Rais)

Pak Cik ini tertarik dengan novel Khalid Memburu Syahid. Bentuk tulisannya memudahkan golongan tua membacanya. Khalid Memburu Syahid kini kehabisan stok.

"Dah banyak tulis buku. Kami tak tahu pun awak ni seorang penulis," kata salah seorang dari mereka.

Khamis, Ogos 09, 2007

TIGA NOVEL AKAN TERBIT



Setelah Roboh Kota Melaka
Abdul Latip bin Talib,
PTS Fortuna
RM 28.00 / RM 31.00 (Sabah & Sarawak)
ISBN 983-192-104-6
400 halaman
Terbit: 15 Ogos 2007

Novel ini membawa pembaca ke abad 15, di mana ketika itu Kerajaan Melayu Melaka yang sudah berkuasa selama 110 tahun di ambang kejatuhan akibat perpecahan dari dalam. Apabila pemerintah berlaku zalim, para pembesar berebut kuasa maka adu domba dan fitnah bagaikan api yang membakar ketuanan Melayu. Akhirnya pada tahun 1511, Kerajaan Melayu Melaka dilenyapkan oleh Portugis. Ekoran daripada itu, bangsa Melayu dijajah selama 446 tahun






Si Bongkok Tanjung Puteri
Abdul Latip bin Talib,
PTS Fortuna
RM 32.00 / RM 35.00 (Sabah & Sarawak)
ISBN 983-192-188-7
576 halaman
Terbit 10 Ogos 2007

Novel ini mengisahkan perjuangan Si Bongkok Tanjung Puteri menentang Inggeris dan mereka yang dimusuhinya, berlatar belakangkan negeri Johor yang dahulunya dikenali dengan nama Tanjung Puteri. Tokoh realiti ini pernah menjadi sebutan di kalangan rakyat negeri Johor suatu ketika dahulu. Si Bongkok Tanjung Puteri sanggup berkorban nyawa dan harta benda demi mempertahankan tanah airnya. Namun seperkasa manapun fizikal dan semangatnya menentang kuasa penjajah, dianggap sebagai penderhaka yang namanya tidak tercatat dalam lipatan sejarah.





Dewan Bahasa Dan Pustaka
560 Halaman

Khamis, Ogos 02, 2007

SINGGAH DI KOTA TINGGI



Menurut cerita orang tua-tua, suatu ketika dahulu orang Jelebu tidak boleh menjejakkan kaki ke Kota Tinggi kerana sumpahan Sultan Abdul Jalil yang marah ekoran peristiwa Moyang Salleh memutus tali ke Johor. Kerana marahnya Sultan Abdul Jalil kepada Moyang Salleh (Datuk Undang Jelebu) lalu dia bersumpah orang Jelebu akan muntah darah kalau menjejakkan kaki ke Kota Tinggi. Saya yakin sumpahan itu telah berakhir. Seperti sumpahan Mahsuri di Pulau Langkawi.
Kami singgah di Kota Tinggi. Itulah pertama kali kami menjejakkan kaki ke sana nasib baik tidak ada yang muntah darah. hehe.
Beberapa bulan yang lalu seluruh pekan ini dilanda banjir. Tetapi sekarang keadaan telah pulih. Malah telah berubah wajah. Bangunan yang rosak diganti baru. Semasa kami singgah di deretan kedai menjual pakaian terasa seperti berada di Bukit Tinggi Indonesia kerana banyaknya kedai menjual pakaian batek dan kain ela tambahan pula pekedainya terdiri dari orang seberang. Tidak jauh dari situ terdapat deretan kedai makanan yang menjual masakan orang seberang juga. Masakannya memang sedap dan menjadi tumpuan ramai.
Selepas membeli beberapa helai kain batik dan kain ela untuk pakaian hari raya kami pun bertolak balik ke Jelebu.
Alhamdulillah, perjalanan kami selamat.

Selasa, Julai 31, 2007

BERMALAM DI RENGIT


REPLIKA UDANG GALAH MERCU TANDA RENGIT.


Pekan yang paling dekat dengan Belungkur ialah Rengit yang jauhnya 30km. Desaru lebih kurang sama saja jauhnya. Selain itu ada Sabana dan pelbagai lagi tempat peranginan yang menarik. Kami bermalam di Sungai Rengit kerana selain tempat penginapan yang murah (RM50- RM86) di sini juga terkenal dengan udang galah. Tidak jauh dari hotel penginapan kami ada medan ikan bakar.
Di Rengit kami dapat menonton siaran televisyen Indonesia. Banyak juga rancangan yang menarik. Tetapi kerana letih berkereta selama 8 jam (termasuk makan dan solat) dari Jelebu ke Belungkur menjadikan kami memilih untuk tidur awal.
Bermalam di pantai Rengit membuat kami tidur nyenyak. Pendingin udara dimatikan kerana angin laut bertiup masuk melalui tinggkap yang terbuka. Dari bilik penginapan nampak cahaya bergemerlapan dari kapal-kapal di tengah lautan.
Keesokan harinya semasa bersarapan pagi di sebuah restoran sempat berbual dengan seorang lelaki berusia 60an. Namanya Haji Bajuri.
“Encik datang ke sini melawat sedara?” dia bertanya ramah.
“Saja berjalan-jalan,” jawab saya dan perbualan kami semakin rancak.
“Tuan pernah dengar nama Si Bongkok Tanjung Puteri?” tanya saya.
“Encik datang nak tengok kubur dia?” dia bertanya pula
“Iya,” jawab saya.
“Sudah tengok atau belum?” .
“Belum sebab kami sampai petang semalam lalu bermalam di sini. Pagi ini baru ke Belungkur.”
“Biasanya orang yang datang dari jauh tentu ada hajat.”
“Hajat saya Cuma hendak menziarahi pusara dia.”
“Tapi kebanyakan yang datang nak minta nombor.”
“Si Bongkok Tanjung Puteri itu memang benar wujud atau Cuma rekaan?” tanya saya.
“Kuburnya ada di Belungkur,” jawab Haji Bajuri.
Pada mulanya saya menyangka penduduk Belungkur sahaja yang tahu di situ kubur Si Bongkok Tanjung Puteri. Tetapi penduduk daerah lain seperti Rengit, Mersing, Kukub dan daerah sekitarnya juga tahu di sana kuburnya.
Menurut Haji Bajuri, Si Bongkok Tanjung Puteri di anggap menderhaka kerana menentang Temenggong yang berkuasa.
“Si Bongkok Tanjung Puteri itu memang lahir di Tanjung Puteri?” tanya saya,
“Itu saya tak pasti.” Jawab Haji Bajuri.
“Siapa nama ayah dan ibu Si Bongkok?”
“Itupun saya tak tahu.”
Sebenarnya itulah antara hambatan semasa saya mengumpulkan maklumat mengenai Si Bongkok Tanjung Puteri. Selain mendapatkannya melalui internet, rencana surat khabar dan majalah, saya juga banyak mengumpulkan maklumat mengenai Si Bongkok Tanjung Puteri melalui cerita lisan. Kebetulan saya mempunyai keluarga di Singapura dan Johor Bahru.

MENCARI JEJAK SI BONGKOK


Pohon-pohon kelapa yang mencuar tinggi menaungi perkampungan nelayan yang terletak di tepi pantai itu. Kebanyakan penghuninya menjadi nelayan namun ada juga yang menanam padi dan sayur-sayuran. Mereka tinggal di pondok-pondok beratap rembia. Walaupun kehidupan mereka nampak daif namun kelihatan gembira.
Hari itu seperti hari-hari sebelumnya, apabila menjelang petang, perahu-perahu nelayan kelihatan mendarat di pantai dengan membawa hasil tangkapan masing-masing. Damak, suami Inang turun dari perahu bersama kawan-kawannya. Mereka nampak gembira walaupun penat bekerja kerana sehari suntuk berada di laut. Damak berjalan pulang ke rumahnya. Di bahunya tergantung serawan jala dan kantung ikan. Setibanya Damak di halaman rumah, Inang turun menyambut kepulangan suaminya.
Di mana anak-anak kita Bongkok dan Putih?”tanya Damak kepada isterinya.

Ini adalah petikan dari bab 1 novel Si Bongkok Tanjung Puteri.
Sebelum sampai ke Belungkur saya bayangkan ia sebuah perkampungan nelayan seperti yang saya gambarkan dalam novel itu. Tetapi alangkah hampanya kerana Belungkur dan Tanjung Puteri sekarang tidak seperti yang saya gambarkan. Kawasan tersebut telah ditanam dengan Kelapa Sawit manakala bukit Tanjung Puteri terbiar dipenuhi hutan.
Tempat itu yang dulunya sebuah perkampungan nelayan kina Cuma didiami tidak sampai 10 keluarga kerana penghuninya sudah berpindah ke tempat lain.

Ketika saya berdiri di tepi pantai tergambar Si Bongkok dan kawan-kawannya sedang memintas kapal-kapal Inggeris yang melalui kawasan tersebut. Maka berlaku pertempuran di laut.
Saya bayangkan juga di tepi pantai inilah berlakunya pertarungan antara Si Bongkok Tanjung Puteri dengan adiknya panglima Putih yang berakhir dengan tewasnya Si bongkok.

Harga: RM 32.00 / RM 35.00 (Sabah & Sarawak)
ISBN: ISBN 983-192-188-7
Barcode: 978-983-192-188-3
Jumlah Halaman: 576 halaman
Tarikh Terbit: 31 July 2007
Skor : [ dari 5 ]

Isnin, Julai 30, 2007

PUSARA SI BONGKOK TANJUNG PUTERI


Kami meredah semak dan denai sebelum sampai ke pusara Si Bongkok Tanjung Puteri.

Sedih melihat pusara Si Bongkok Tanjung Puteri terbiar. Mungkin tidak lama lagi akan hilang kalau tidak ada usaha untuk menjaganya.

Puan Asmah Binti Ahmad penduduk Belungkur yang sempat saya temui.

Encik Khalid Saidun 49 tahun penduduk Belungkur yang membenarkan saya mengambil gambarnya.

Encik Ramzdan yang membawa saya ke kubur Si Bongkok Tanjung Puteri.

Saya baca tulisannya, Bismillah..Alhamdulillah, segala puji untuk Allah. Inilah kubur Si Bongkok Tanjung Puteri...banyak tulisan yang sudah kabur...

Nama Si Bongkok Tanjung Puteri selalu disebut apabila lagu Tanjung Puteri berkumandang. Dan nama itu masih diingat orang ramai sampai sekarang. Tetapi ramai yang tidak tahu di mana kuburnya. Malah penduduk Belungkur sendiri ada yang tidak pernah menjejakkan kaki ke tanah perkuburan pahlawan itu walaupun mereka percaya Si Bongkok Tanjung Puteri itu sememangnya wujud dan kuburnya ada di lereng bukit Tanjung Puteri.

Menurut salah seorang penduduk Belungkur Puan Asmah Ahmad 50 tahun, di situ terdapat dua tanjung iaitu Tanjung Belungkur Dan Tanjung Puteri.

“Di bukit Tanjung Puteri ini ada gua tempat persembunyian Si Bongkok,” kata Encik Ramzdan Sakyun 47 tahun yang membawa saya ke pusara Si Bongkok Tanjung Puteri.

Menurut Encik Ramzdan, Moyangnya yang bernama Uteh Jantan (Pak Teh Jantan) orang yang mula-mula menjumpai mayat Si Bongkok Tanjung Puteri di tepi pantai. Kemudian mayat itu dikebumikan oleh penduduk kampung tersebut di lereng bukit Tanjung Puteri.

Di Situ Cuma ada sebuah kubur sahaja dan untuk sampai ke sana bukannya mudah kerana terpaksa meredah semak samun dan denai. Kerana itu tidak hairanlah kubur itu terbiar ditumbuhi pokok-pokok kayu.

Menurut Encik Khalid Saidon 55 tahun, yang dilahirkan di Belungkur, ramai orang luar yang pulang hampa kerana tidak dapat mencari kubur Si Bongkok Tanjung Puteri. Mujur saya dapat memujuk Ramzdan supaya membawa saya ke tempat tersebut.

“Biasanya saya dibayar antara RM 40 ke RM60 kerana susah hendak ke sana,” katanya berterus terang.

Setelah berjalan kaki meredah belukar dan kawasan denai selama kira-kira setengah jam barulah kami sampai ke sebuah kubur lama. Mujur masih ada penanda dua batang kayu yang sudah reput tinggal sejengkal. DI bahagian kepalanya ada tulisan yang mengatakan itulah pusara Si Bongkok Tanjung Puteri.

Saya lihat pada tulisan itu ada tercatat tarikh 23.1.1981. Menurut Puan Asmah, ayah mertuanya arwah Pak Saidon Wahab pernah bermimpi Si Bongkok menyuruh dia menandakan kubur itu kerana sebelum itu tidak pernah bertanda.

"Maka pak mertua saya pergilah menandakan kubur itu. Ditanamnya dua batang kayu cengal pada bahagian kaki dan kepala kubur itu. Kemudian ditulisnya pada sekeping kayu sebagai batu nisannya. Itu adalah tarikh ditandakan kubur itu kerana dia pun tidak tahu bila Si Bongkok Tanjung Puteri meninggal dunia ,” katanya.

Dari penemuan kubur tersebut dan dari cerita penduduk Belungkur memang sahlah Si Bongkok Tanjung Puteri sememangnya wujud.

Alangkah baiknya kalau kubur itu dipelihara sebagai peninggalan sejarah.

Rabu, Julai 25, 2007

ZIARAH PUSARA SI BONGKOK TANJUNG PUTERI





PUSARA SI BONGKOK TANJUNG PUTERI TERLETAK DI TANJUNG BELUNGKOR.




NOVEL SI BONGKOK TANJUNG PUTERI BERADA DI PASARAN BERMULA PADA 31 JULAI.

Saya teringin sangat hendak menziarahi pusara Si Bongkok Tanjung Puteri tetapi tidak tahu di mana letaknya Belungkor. Mujur Professor Madya Nurazzah berikan peta jalan ke tempat tersebut.

Kalau tidak ada apa-apa halangan saya akan menziarahinya. InsyaAllah.

Sabtu, Julai 21, 2007

DIRGAHAYU TUANKU



Hari ini saya menerima surat ini namun isi kandungannya tidak boleh dihebahkan sehingga hari tersebut.

RANDAU RUAI

Novel ini memenangi hadiah Pertama Peraduan Menulis Sastera Kreatif Budaya Sarawak 2003.


Inilah wajah lakaran novel RANDAU RUAI yang akan terbit tidak lama lagi.

DARI JELEBU KE SHAH ALAM


Semalam Jumaat 20072007, saya ke UiTM Shah Alam membawa 42 naskhah novel Pahlawan Islam untuk dijual kepada mereka yang telah membuat pesanan melalui Prof Madya Nurazzah.
Alhamdulillah, jumlah pesanan 80 naskhah tetapi novel Salahudin Penakluk Jerusalem dan Khalid Memburu Syahid sudah kehabisan stok. Kerana itu cuma 42 buah sahaja yang dapat saya bawa. Ada di antara mereka yang telah membayar untuk 1 set (4 buah) dan saya berjanji akan datang lagi apabila novel yang diulangcetak itu siap.


Terharu rasanya apabila beberapa orang Profesor turut membelinya.



Prof Madya Nurazzah dan Naemah antara peminat novel pahlawan Islam. (gambar dari blog Nurazzah)

Khamis, Julai 19, 2007

MAKLUMAN



Sudah kehabisan stok





Alhamdulillah, novel sejarah Islam begitu laris sehingga diulangcetak.

Kepada mereka yang telah membuat tempahan dari saya bagi membeli novel SEjarah Islam adalah dimaklumkan novel Salahudin Penakluk Jerusalem dan Khalid Memburu Syahid telah kehabisan stok. Harap bersabar sehingga novel yang sedang diulangcetak berada di pasaran.

Selasa, Julai 17, 2007

SI BONGKOK TANJUNG PUTERI


Si Bongkok Tanjung Puteri

PTS Fortuna

Harga: RM 32.00

RM 35.00 (Sabah & Sarawak)

ISBN: ISBN 983-192-104-6

Barcode: 978-983-192-104-3

Jumlah Halaman: 576 halaman

Tarikh Terbit: 20 July 2007

Skor : [ dari 5 ]

Sinopsis

Novel ini mengisahkan perjuangan Si Bongkok Tanjung Puteri menentang Inggeris dan mereka yang dimusuhinya, berlatar belakangkan negeri Johor yang dahulunya dikenali dengan nama Tanjung Puteri. Tokoh realiti ini pernah menjadi sebutan di kalangan rakyat negeri Johor suatu ketika dahulu. Si Bongkok Tanjung Puteri sanggup berkorban nyawa dan harta benda demi mempertahankan tanah airnya. Namun seperkasa manapun fizikal dan semangatnya menentang kuasa penjajah, dianggap sebagai penderhaka yang namanya tidak tercatat dalam lipatan sejarah.

Sebuah novel sejarah yang mesti dibaca oleh mereka yang meminati serta yang ingin menghayati kisah perjuangan seorang pahlawan Melayu yang namanya hampir dilupakan.

Khamis, Julai 12, 2007

ALHAMDULILLAH

Disalin dari blog Sifu Puan Ainon

http://universitipts.com/


Hak Penerbitan 4 Buah Novel A Latip Talib Sekaligus Dilesen oleh Jakarta


Sudahlah dapat pelanduk, tanduknya pula emas.

Apa hendak dikatakan lagi, melainkan syukur kepada Tuhan yang maha memberi rezeki.

Maka terbukti, tidaklah benar sangkaan kononnya karya sastera Malaysia tidak dapat diekspot ke Jakarta.

Empat buah novel ini ditulis menggunakan Bahasa Melayu Tinggi dan dengan menggunakan teknik surah Yusuf.

A Latip Talib sedang menyiapkan novel Sultan Muhammad al-Fateh, pahlawan yang mengalahkan tentera empayar Romawi bagi menawan Constantinople lalu
menamakannya semula menjadi Istanbul.
----------------------------------------------------------
Alhamdulillah, gembira hati saya menerima perkhabaran ini. Kegembiraan ini pastinya dikongsi bersama oleh warga kerja PTS terutama Puan Ainon, Pengerusi PTS dan Cik Ashikin, Editor PTS Fortune.

Kejayaan novel-novel terbitan PTS menembusi pasaran Indonesia ini juga pastinya memberi semangat kepada penulis-penulis lain termasuk saya sendiri.

Saya sedang menulis kisah Sultan Muhamad al Fateh. Semoga novel ini juga mendapat sambutan yang baik dari pembaca. InsyaAllah.

Selasa, Julai 10, 2007

TERIMA KASIH BERITA HARIAN

Hari ini ada disiarkan Novel Sejarah Islam dalam ruangan Jejak Kretif Berita Harian.

Terima kasih Berita Harian.


http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Section/index_html?mysec=Sastera

Ahad, Julai 08, 2007

KHABAR GEMBIRA 07.07.07

Semalam telah berlangsung tarikh 07. 07. 07. Beberapa khabar gembira telah saya terima pada tarikh tersebut. Apa lagi ucapan yang paling baik selain dari Alhamdulillah. Bersyukur kepada Allah SWT.



Semalam 07. 07. 07 anak adik isteri saya telah melangsungkan pertunangan dengan gadis pilihannya orang Johor. Saya bersama rombongan pergi meminang bertolak dengan 8 buah kereta dan alhamdulillah, majlis tersebut selesai disempurnakan dalam suasana meriah dan mesra.




Lagi khabar gembira pada tarikh 07. 07. 07. Anak sulung saya yang melansungkan perkahwinannya pada Januari 2007 yang lalu mengatakan bahawa doktor telah mengesahkan bahawa isterinya sedang mengandung. Alhamdulillah.








Semasa berada di lebuhraya dalam perjalanan pergi meminang saya mendapat kiriman SMS daripada Sifu Puan Ainon mengatakan novel Salahudin telah diulangcetak. Alhamdulillah.Novel Salahaudin Penakluk Jerusalem memang mendapat sambutan yang baik daripada pembaca dan saya bersyukur kerana tidak sampai 4 bulan novel itu terbit telah diulangcetak. Terima kasih Sifu Puan Ainon kerana memaklumkannya kepada saya. Ini menunjukkan PTS bersikap jujur terhadap penulisnya kerana memaklumkan bila novel mereka diulangcetak. Khabarnya ada penerbit yang merahsiakannya..




Tidak lama kemudian, Sifu Puan Ainon menelefon saya mengatakan dia baru sahaja mendapat berita dari Jakarta bahawa empat judul novel pahlawan Islam yang saya tulis itu telah mendapat lesen untuk diterbit dan dipasarkan di Indonesia. Alanglah gembiranya hati saya…
Dan yang terakhir khabarnya, Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) telah menghantar beberapa nama penulis-penulis Negeri Sembilan untuk dianugerahkan sesuatu sempena Hari Keputeraan DYMM Tuanku Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan pada 19hb nanti dan nama saya termasuk salah seorang di antara mereka yang dicalunkan…










Khamis, Julai 05, 2007

LAGU TANJUNG PUTERI

Tajuk Johor Tanjung Puteri
Selat Teberau airnya biru
Di Pantai Lido tepian mandi
Sepanjang masa di hari minggu

Atas bukit Tanjung Puteri
Taman hiburan indah berseri
Pemandangan menawan hati
Jalan tambak hubungan negeri

( korus ) Tanjung Sekijang nun di kuala
Tempat nelayan mengail gelama
Istana Hinggap di Kuala Danga
Pantai berkelah keluarga diRaja

Dari Tebrau orang berakit
Singgah Setulang membeli kopi
Pusara Si Bongkok di lereng bukit
Di tepi pantai Tanjung Puteri

Selasa, Julai 03, 2007

SETELAH ROBOH KOTA MELAKA

Pada abad kelima belas telah wujud sebuah kerajaan Melayu Melaka yang begitu terkenal sehingga pelabuhannya menjadi tempat persinggahan para pedagang dari Cina, India dan Arab. Selain itu Melaka juga menjadi pusat penyebaran Islam di Alam Melayu. Negeri Johor, Pahang, Terengganu, Selangor dan Perak bernaung di bawah kesultanan Melayu Melaka. Manakala Jambi, Inderagiri, Siak, Kampar, Rokan, Kepulauan Bentan dan Lingga menjadi tanah jajahannya. Menurut sejarahnya kerajaan Melayu Melaka telah diperintah oleh 7 orang sultan seperti berikut:


1. Sultan Iskandar Shah (Parameswara) 1400/1424
2. Sultan Muhamad Shah 1424 / 1444
3. Sultan Abu Syahid 1444 / 1445
4. Sultan Muzaffar Shah 1444 / 1459
5. Sultan Mansur Shah 1459 / 1477
6. Sultan Alauddin Riayat Shah 1477 / 1488
7. Sultan Mahmud Shah 1488 / 1511

Tetapi kerajaan Melayu Melaka yang berkuasa selama 110 tahun itu akhirnya dapat diruntuhkan oleh Portugis dalam masa sepuluh hari sahaja disebabkan perpecahan dari dalam


Setelah Roboh Kota Melaka menelusuri kisah sejarah kerajaan Melayu Melaka bermula pada kemuncak kegemilangannya sehingga membawa kepada kejatuhannya pada tahun 1511

Sebagai rakyat Malaysia kita mesti memahami sejarah bangsa dan tanah air kita. Mereka yang tidak memahami sejarah bangsa dan negaranya akan mengulangi kesilapan lampau yang telah mengheret bangsa dan Negara dijajah selama 446 tahun. Mereka yang melupakan sejarah akan mengulangi kesilapan yang pernah dilakukan oleh nenek moyang mereka dahulu. Sejarah bukan hanya untuk dibaca tetapi mengambil iktibar dari peristiwa yang berlaku supaya menjadi pengajaran dan pedoman dalam setiap langkah.

Membaca buku-buku sejarah juga mengajar kita supaya tidak lupa kepada perjuangan jasa dan pengorbanan nenek moyang kita termasuk kejayaan dan kegagalan mereka।

Bagi mereka yang pertama kali membaca sejarah mungkin berasa keliru kerana terdapat beberapa percanggahan fakta। Contohnya dalam buku Sejarah Melayu yang menderhaka ialah Hang Kasturi tetapi dalam Hikayat Hang Tuah ialah Hang Jebat.

Begitu juga dalam kisah pembukaan Singapura atau Temasik। Dalam buku Sejarah Melayu Sang Nila Utama yang membuka Singapura। Tetapi dalam sejarah Malaysia ialah Parameswara.

Semasa menulis Setelah Roboh Kota Melaka ini saya merujuk kepada banyak buku termasuk Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah dan sejarah Malaysia।

Diharap novel ini dapat menarik minat pembaca khususnya generasi muda bagi mengetahui serta meghayati sejarah bangsa dan tanah air mereka.

Sabtu, Jun 30, 2007

ALHAMDULILLAH

Terharu saya membaca entri dan doa-doa dari Puteri Ezza dan Abang LOng. Alhamdulillah.


Salinan dari blog Puteri Ezza


http://puteriezza.blogspot.com/


Pada kali ini aku ingin berbicara tentang Abah dan Ayah. Walaupun maksudnya sama, tetapi Abah dan Ayah adalah dua insan yang berbeza dalam hidup aku. Tetapi, kedua-duanya sungguh bermakna. Kehadiran mereka mewarnai kehidupanku dengan warna-warna ceria dan terpalit jua warna-warna hiba.

Abah – merupakan bapa kandung aku. Namun, beliau telah lama kembali ke pangkuan Pencipta. 19 Oktober 1994 tarikhnya, iaitu ketika berusia 39 tahun. Nama allahyarham, Jamlidi bin Haji Oli @ Welly. Punca utamanya adalah ‘ajal’. Tetapi penyebab kepada ajalnya itu adalah ‘khianat manusia’. Aku berbangga dengan abah, kerana arwah merupakan pejuang yang sejati. Bakatnya juga pelbagai. Namun, lebih terserlah dalam bidang kepimpinan. Arwah sangat petah berkata-kata (sesuai dengan posisinya sebagai ahli politik ketika hayatnya), malah disayangi ramai orang kerana arwah juga seorang yang penyayang. Arwah adalah idola aku dalam lapangan ‘Pengucapan Umum’, selain kepimpinan dan sifat-sifat halusnya yang menjadikan dirinya mempunyai ‘aura’. Malah, banyak bakat, sifat serta minatnya yang aku warisi. Arwah sederhana sahaja orangnya. Kehidupannya juga sederhana ketika hayatnya.

Ayah pula merupakan ayah kedua aku. Yang baru aku kenali melalui ruang maya dan belum pernah bersua muka, tetapi ikatan kekeluargaan itu telah mula berkembang. Terasa kasih sayangnya di setiap denyut nadi dan hembusan nafasku. Ayahanda Abdul Latip bin Talib namanya. Dilahirkan pada 2 Jun 1954. Bagaimana kasih sayang kami sebagai ayah dan anak menyatu? Segalanya bermula apabila hati aku tergerak memanggil beliau dengan panggilan ‘ayahanda’ ketika julung kali mengunjungi blog beliau. Ya, di situlah bermulanya kisah aku dan ayah. Aku juga berbangga dengan ayah. Siapa yang tidak berbangga jika ayahnya itu seorang PENULIS / NOVELIS atau lebih tepat lagi dipanggil SASTERAWAN. Ya, ayah aku seorang sasterawan tersohor. (Gambar di atas yang bersebelahan dengan gambar aku tu adalah sebahagian daripada karya ayah. Salah-satu daripadanya bakal difilemkan, insyaAllah). Bakatnya juga pelbagai sama seperti arwah abah. Sifat penyayang dan kesederhanaannya juga sama. Malah, aku juga mempunyai banyak persamaan dengan ayah. Aku minat menulis seperti ayah dan ada beberapa sikapku sama seperti sikap ayah. Agaknya disebabkan persamaan yang ada, aku ditemukan dengan ayah. Ada ‘chemistry’.

Aku berbangga dengan kedua-duanya dan aku menyayangi kedua-duanya. Meskipun abah telah lama pergi, kenangan bersamanya masih segar dalam ingatan. Kasih sayangnya masih hidup walaupun jasadnya telah lama bersemadi. Kepada ayah, anakanda menyayangi ayah seperti anakanda menyayangi abah. Terima kasih ayah, kerana hadir dalam hidup anakanda.



Ya, Allah! Aku bersyukur kepadaMu atas kurniaan ini. Lindungilah abah dan ayahku. Tempatkanlah abahku di kalangan orang-orang beriman. Peliharalah ayahku dari sebarang kejahatan di dunia, berikanlah kesihatan yang berpanjangan kepadanya, murahkanlah rezekinya dan lindungilah setiap perjalanan hidupnya.


Salinan dari blog Abang Long.


http://www.novelman.blogspot.com/


TERIMA KASIH BUAT PAK LATIP

Syukur Alhamdulillah, setelah agak lama novel ini berada dipasaran, akhirnya aku berjaya juga mendapatkannya.
Sewaktu Pesta Buku tempohari, aku tidak dapat membelinya. Maklumlah wang yang aku kumpul selama setahun (untuk memborong buku dengan harga diskaun), telahpun habis. Diwaktu itu aku hanya berjalan – jalan diruang niaga (booth) PTS. Hajat dihati hanya untuk bertemu dengan Puan Zalisa (yang aku kenali di alam blogger).

Namun kuasa tuhan, aku diperkenalkan pula dengan Puan Ez, Puan Saridah dan Pak Latip Talib. Diwaktu itulah aku ditunjukkan dengan buku atau novel pejuang Islam, hasil karya Pak Latip. Namun diwaktu itu, aku tidak mampu memilikinya atau membelinya, kerana poket aku telah kempis (yang betulnya kosong). Wang yang ada hanyalah cukup untuk tambang aku dan keluarga untuk pulang ke rumah.

Aku begitu tertarik dengan novel tersebut, tapi apakan daya, hanya tuhan yang maha mengetahui. Namun aku tetap menyimpan hasrat untuk mendapatkannya. Aku pula bukanlah terdiri dari golongan orang yang berada, pendapatan aku sememangnya “cukup – cukup makan” . Namun, aku tetap berusaha untuk memberikan ilmu dan segala yang termampu untuk keluargaku, khususnya buat anak –anak.

Walaupun gaji aku tidak banyak, dan hanya cukup – cukup makan, namun aku tetap, membelanjakan sebanyak RM 30, sebulan untuk membeli buku, khususnya untuk anak – anak, kerana aku yakin itulah pelaburan jangka panjang yang menguntungkan. Namun dalam masa yang sama aku terpaksa berdikit – dikit dalam berbelanja.
Yang pasti, sering sahaja aku perlu berpuasa, demi untuk mencukupkan keperluan anak – anak.

Usai pertemuan di Pesta Buku, aku sering mengirimkan emel kepada novelis yang aku kenali, dan tidak lupa juga bertanya khabar kepada Pak Latip. Dari sehari – ke sehari perhubungan kami semakin akrab, hinggalah kami membahasakan diri dengan panggilan – Adinda dan Kekanda.



Hinggalah satu hari, anak ku yang sulung – Muhammad Fakhrurrazi, yang belajar di sekolah menengah, bertanyakan “abah dah dapat gaji ke belum ?” (ini adalah soalan lumrah, apabila mereka mahu membeli sesuatu, kerana mereka faham ayah mereka bukan orang kaya dan sentiasa berduit), lalu aku bertanya “kenapa ?”.

Lalu dia menjawab “kawan abang (dia membahasakan dirinya begitu), dah baca novel, Khalid – Pejuang Islam, diaorang kata best, abang pun dah baca sikit, abang ingat nak suruh abah belikan”, Aku terkesima sebentar, maklumlah soalan itu diajukan dihujung bulan.

“Nanti bila abah dapat gaji, abah belikan ya ?” aku memujuk anak ku, dan dia hanya mengangguk sahaja.

Lalu, dalam beberapa kali aku ke Kuala Lumpur atas urusan kerja, aku telah pergi ke Kinokuniya, MPH dan beberapa lagi kedai buku, namun aku hampa. Semuanya kata “tiada dalam stok” ataupun “sudah habis”. Apa lagi cara dan upaya aku, untuk memenuhi permintaan anak ku itu.

Akhirnya, aku mendapat ilham. Dimana aku mengirimkan emel kepada Kekanda Abdul Latip, bertanyakan sama ada, beliau ada menyimpan novel tersebut. Seandainya ada, maka aku akan membeli terus darinya. Itupun kalau ada stok yang berbaki.

Akhirnya aku mendapat jawapan dari Kekanda Abdul Latip, menyatakan bahawa beliau masih ada menyimpan novel tersebut. Setelah berutus emel, akhirnya, atas daya usaha Kekanda Abdul Latip, aku berjaya juga mendapatkannya.

Sewaktu aku memesan novel tersebut. Perkara ini tidak dimaklumkan kepada sesiapapun, hatta kepada isteriku sendiri (sengaja nak buat kejutan). Selepas aku makan tengahari, dipejabat, aku mendapat panggilan dari isteriku. “Abang ada beli novel ke?” soal isteriku, Dalam nada kegembiraan. “Ya”, jawabku ringkas.

Terdengar keriuhan didalam telefon bimbit, rupa – rupanya, anak – anakku begitu gembira dan teruja dengan novel yang baru diterima melalui pos. Dan paling menggembirakan, apabila setiap novel ada tandatangan dari penulis novel itu dan titipan kata – kata buat isteri dan anak – anakku, dan setiap novel ada nama mereka.

Buat Kekanda Abdul Latip.
Adinda, isteri dan anak – anak mengucapkan TERIMA KASIH yang tidak terhingga, atas segala – galanya. HANYA ALLAH SAHAJA yang mengetahuinya.

Disertai do'a kehadrat Illahi "Ya Allah, yang Maha Memperkenankan Do'a, aku memohon kepada MU ya Allah, supaya, DIKAU pajangkan usia, murahkan rezeki, sihatkan lah tubuh badan, jauhkan dari sebarang musibah, kukuhkanlahiman, buat insan yang amat kami hormati dan sayangi, seorang insan yang telah memberikan ilmunya dan yang telah mencurahkan baktinya kepada kami sekeluarga, sesungguhnya ya Allah, kami tidak akan mampu membalas jasa baik yang telah beliau berikan kepada kami sekeluarga, dan hanya kepada MU, ya Allah yang kami sembah, kami bermohon supaya hanya ENGKAU sahaja yang mampu membalasnya, AMIN".