Isnin, November 19, 2007

BERITA BAIK




Khabarnya kedua novel ini........Kalau benar Alhamdulillah.

SEJARAH MELAYU / TUN SRI LANANG

Tun Sri Lanang dilahirkan di Bukit Seluyut, Johor pada tahun 1565. Beliau menjadi Bendahara Paduka Raja, Johor antara tahun 1580 dan 1615.

Menurut Winstedt, Sejarah Melayu ditulis oleh Tun Sri Lanang mulai bulan Februari 1614 dan siap pada Januari 1615.

Maknanya Sejarah Melayu ditulis 103 tahun setelah Melaka ditakluk Portugis. Tambahan pula semasa menulis Sejarah Melayu Tun Sri Lanang berada dalam tawanan Acheh. Dan meninggal di Acheh.

Kerana itu tidak mustahil terdapat tokok tambah atau penulisannya terpaksa mengikut kehendak sultan Acheh.

Walau bagaimanapun Sejarah Melayu yang ditulis oleh Tun Sri Lanang itu merupakan satu-satunya buku rujukan kita bagi menulis semula sejarah Melayu moden. Itulah buku sejarah yang ditulis oleh anak bangsa kita yang seharusnya kita banggakan.

Jangan pula kerana ada yang berbeza fakta dengan sejarah yang ditulis oleh barat maka kita terus menolaknya.

Harus juga diingat, Sejarah Melayu itu bukan karangan atau rekaan Tun Sri Lanang tetapi dia mengumpulkan kisah –kisah sejarah itu dari cerita lisan orang tua-tua termasuk, ayah, ibu dan datuknya.

Ini berdasarkan kata-kata Syaikh Nuruddin al Raniri dalam kitabnya Bustanul Salatin ada menyebutkan:

"Kata Bendahara Paduka Raja yang mengarang kitabmisrat Sulalatus Salatin, ia mendengar daripada bapanya, ia mendengar dari pada neneknya dan datuknya,..

Mengenai persoalan benarkah Parameswara dan Raja Iskandar Shah itu orang yang sama?

Memang orang yang sama. Semasa menjadi pelarian dia memakai nama samaran (Parameswara) kerana sedang diburu oleh musuh-musuhnya. Setelah berasa dirinya selamat maka baru ditukar namanya semula kepada nama yang sebenar (Raja Iskandar Shah).

Sejarah yang mengatakan Parameswara berasal dari Palembang lalu membuka temasik dan akhirnya membuka Melaka itu ditulis oleh penulis sejarah Barat berdasarkan cerita lisan dari Sumatera.

Sejarah Melayu ditulis oleh Tun Sri Lanang berdasarkan cerita Lisan dari orang-orang Melayu.

Kenapa Inggeris yang menulis sejarah tanah air kita tidak menjadikan Sejarah Melayu sebagai rujukannya?.

Kenapa terdapat perbezaan fakta antara Hikayat Hang Tuah dengan Sejarah Melayu?.

Hikayat Hang Tuah ditulis bukan pada masa Hang Tuah masih hidup. Sejarah Melayu pula ditulis bukan pada zaman kesultanan Melayu Melaka.

Penulisnya mengumpulkan cerita itu dari cerita lisan orang-orang tua. Kerana itu tidak mustahil terdapat tokok tambah dan perbezaan fakta.

Dalam Islam juga terdapat perbezaan Mazhab. Ada sunni dan ada syiah.
Malah dalam pentafsiran jumlah ayat-ayat al Quran juga terdapat perbezaan pendapat.

Ada yang mengatakan ayat al Quran itu berjumlah 6,666 ayat tetapi ada pula yang mengatakan 6,217, malah Ibnu Katsir pula mengatakan 6,220 ayat, Hamzah ulama Kufah 6,236 ayat dan Abu Ja’far 6,210 ayat.

Dari segi tafsiran maknanya juga terdapat perbezaan pendapat.

Adakah kita keliru? lalu menganggap ayat al Quran itu telah ditambah atau dikurang?. Jawapannya tidak kerana itu tafsiran manusia yang bersifat lemah.

Kita tetap bangga kerana al Quran itu kitab suci kita. Kita juga bangga dengan adanya buku Sejarah Melayu yang ditulis oleh Tun Sri Lanang kerana itulah satu-satunya buku sejarah yang merakamkan sejarah bangsa kita.

PERTANYAAN PEMBACA


Assalamualaikum, Pak Latip,
Semoga sentiasa berada dalam rahmat Tuhan, hendaknya.

Sebenarnya selain persoalan tentang identiti Hang Nadim, masih ada lagi persoalan lain yang berlegar dalam fikiran saya ketika membaca novel ini. Iaitu tentang sejarah bagaimana Parameswara boleh sampai ke Melaka.

Dalam halaman iii, Pak Latip menyenaraikan nama-nama sultan yang pernah memerintah Melaka. Di situ, pada senarai pertama, Pak Latip meletakkan nama Sultan Iskandar Shah, dan kemudian dalam kurungan Parameswara. Bererti Sultan Iskandar Shah dan Parameswara adalah orang yang sama.

Kemudian dalam halaman 13, melalui dialog Diego Lopez De Squerea pula, ada menceritakan bahawa Parameswara datang ke Melaka, kerana dia terpaksa lari apabila diserang dan dihalau oleh tentera Siam, setelah Parameswara membunuh Temagi. Dan memang pun inilah sejarah yang umum mengetahui.

Namun demikian, saya keliru apabila di halaman 74 pula, melalui dialog Bendahara Tun Mutahir, diperincikan bahawa Raja Iskandar Shah terpaksa lari dari Singapura apabila Sang Rajuna Tapa berlaku belot lalu meminta bantuan Betara Majapahit bagi menyerang Singapura.

Raja Iskandar Shah lari ke Kaula Sungai Muar, kemudian ke Kota Buruk dan akhirnya tiba di suatu tempat yang kemudian dinamakan Melaka bersempena pohon Melaka tempat baginda berehat.

Mungkinkah sememangnya terdapat dua versi sejarah yang berlainan tentang hal ini- seperti mana terdapat versi yang berlainan dalam kisah Hang Tuah dan Jebat/Kasturi?

Atau saya yang tersalah faham?

Salam hormat,
Aidil Khalid
------------------------------------------------------

Saudara Aidil Khalid, semoga sentiasa berada dalam rahmat Allah swt.

Terima kasih kerana berminat membaca novel sejarah. Semoga tercapai tujuan PTS Fortuna menerbitkan novel ini bagi menimbulkan minat membaca terutama di kalangan anak-anak muda seperti Aidil Khalid terhadap sejarah tanah air.

Mengenai pertanyaan siapa yang membuka Melaka?. Parameswara atau Iskandar Shah?. Bagaimana Parameswara sampai ke Melaka?. Adakah dia diserang oleh askar Siam atau Majapahit?.

Ahli-ahli sejarah sependapat mengatakan orang yang membuka Melaka ialah Parameswara.

Pendapat ini disokong oleh D.G.E Hall dalam bukunya “ A History of South-East Asia “ yang mengatakan Parameswara ialah pengasas kerajaan Melayu Melaka.

Timbul pula pertanyaan, Siapa pula Raja Iskandar Shah?. Ada yang mengatakan setelah Parameswara memeluk agama Islam beliau menukar nama kepada Raja Iskandar Shah.

Mengikut sejarah lisan Sumatera, Parameswara ialah putera Raja Sailendra dari Palembang. Beliau melarikan diri ke Temasik (Singapura) lalu membunuh Temagi, wakil kerajaan Siam yang memerintah Temasik, akibatnya tentera siam menyerang lalu beliau melarikan diri hingga sampai ke Melaka.

Dalam Sejarah Melayu pula dinyatakan Temasik (Singapura) dibuka Sang Nila Utama.

Keturunan Sang Nila Utama inilah yang memerintah Singapura sehingga digantikan oleh Paduka Sari Pikrama Wira, Seri Wira Kerma, Paduka Seri Maharaja dan yang terakhir Raja Iskandar Shah. Raja Iskandar Shah inilah yang berundur ke Muar lalu sampai ke Melaka.

Peristiwa Sang Rajuna Tapa jadi pembelot berlaku semasa pemerintahan Raja Iskandar Shah.

Mengikut Prof. Dr. Abdullah Zakaria bin Ghazali, Jabatan Sejarah Universiti Malaya, dalam kertas kerjanya bertajuk, MALAYSIA – INDONESIA DALAM SEJARAH: LIKU-LIKU HUBUNGAN SERUMPUN SEHINGGA KURUN KE-19 mengatakan bahawa Kerajaan Melaka diasaskan oleh Raja Iskandar (ada juga sumber mencatatkan Parameswara), keturunan Raja Iskandar Zulkarnain.

Raja Iskandar Shah ini adalah keturunan Sang Nila Utama yang meninggalkan kerajaan Palembang lalu sampai ke Temasik (Singapura)..

Menurut beliau lagi, Sultan pertama memerintah Melaka adalah Raja Iskandar Shah/Parameswara, 1390–1414.

Sebelum buku ini diterbitkan perkara ini pernah ditanyakan oleh Cik Norashikin Editor Pengurusan PTS Fortune kepada saya. Soalannya sama seperti yang ditanya oleh Aidil Khalid. Lalu saya memberi jawapan memang terdapat dua versi mengenai sejarah pembukaan Melaka iaitu dari Sejarah Melayu dan kajian ahli sejarah.

Versi pertama mengatakan Parameswara berasal dari Palembang lalu membuka Temasik (Singapura). Kemudian diserang oleh askar Siam lalu melarikan diri ke Muar dan terus sampai ke Melaka.

Sejarah Melayu pula menceritakan Raja Iskandar Shah yang memerintah Singapura melarikan diri apabila diserang oleh tentera Majapahit akibat pembelotan oleh Sang Rajuna Tapa.

Saya sengaja memasukan kedua-dua versi itu supaya pembaca dapat mengetahui kedua sumbernya. Kalau saya masukan sumber dari sejarah Melayu saja mungkin ada pula yang mempertikaikannya berdasarkan kajian dari pihak lain. Kerana itu saya masukan keduanya supaya pembaca tahu kedua versi tersebut.

Semoga cara ini menepati kata-kata Puan Ainon Mohd bahawa perjuangan PTS untuk memandaikan bangsa.

Sekian

Abdul Latip bin Talib

Khamis, November 15, 2007

SIAPA HANG NADIM?


Terima kasih diucapkan kepada pembaca novel sejarah Melayu Setelah Roboh Kota Melaka kerana sudi memberi maklum balas.

Ada pendapat mengatakan, setelah karya terbit, pengarang biarlah “mati” pembaca yang “hidup.” Maksudnya pengarang tidak boleh memperkatakan apa-apa lagi mengenai karyanya terserah kepada pembaca untuk menilai dan mentafsirkannya.

Namun saya berpendapat elok juga pengarang menjawab atau memberi penjelasan mengenai pertanyaan pembaca. Tambahan pula dengan adanya kemudahan berblog seperti ini.

Ada yang bertanya, benarkah Hang Nadim itu anak Hang Tuah?. Seperti yang terdapat dalam novel Setelah Roboh Kota Melaka.

Dalam sejarah Melayu Nama Hang Nadim popular kerana dikaitkan dengan beberapa peristiwa, antaranya Singapura dilanggar Todak. Budak yang cerdik itu bernama Hang Nadim. Tetapi budak itu dibunuh oleh raja disebabkan takut apabila besar kelak merampas takhta.

Dalam sejarah Melayu, Hang Nadim yang dikatakan melarikan Tun Teja ke Melaka untuk dipersembahkan kepada Sultan. Tetapi dalam Hikayat Hang Tuah, Tun Teja dilarikan oleh Hang Tuah.

Dalam Hikayat Hang Tuah yang menderhaka adalah Hang Jebat. Tetapi dalam sejarah Melayu yang menderhaka ialah Hang Kasturi.

Kerana itu kalaulah ada penulis yang menulis novel sejarah menceritakan Hang Kasturi yang menderhaka adakah fakta itu salah?. Jawapannya tidak kerana penulis itu merujuk kepada Sejarah Melayu.

Dan kalaulah ada buku yang menceritakan Hang Nadim yang melarikan Tun Teja juga tidak salah kerana ada buku yang dirujuknya.

Berbalik kepada persoalan adakah Hang Nadim itu anak Hang Tuah seperti yang diceritakan dalam novel sejarah Setelah Roboh Kota Melaka.
Mari kita tafsirkan episod ini.

Setelah Sultan Mansor Shah menjatuhkan hukuman bunuh ke atas Hang Tuah, baginda berjalan-jalan diiringi Bendahara Tun Perak. Semasa dalam perjalanan itu mereka terjumpa Hang Nadim yang sedang menangis. Lalu Tun Perak mengusap-ngusap kepala Hang Nadim sambil berkata.

“Jangan menangis ayahmu selamat.”

Percakapan Tun Perak itu didengar oleh Sultan Mansur Syah menyebabkan baginda berfikir apa makna disebalik kata-kata bendahara itu.

Kerana itu apabila Hang Jebat menderhaka maka sultan bertanya kepada Bendahara, adakah Hang Tuah masih hidup?.

ANUGERAH SASTERA NEGERI SEMBILAN 2007






1. Anugerah Sastera Negeri Sembilan

Abdul Latiff bin Mohidin

RM10,000 berserta sepersalinan pakaian, sijil dan cenderamata

2. Hadiah Penghargaan Penggiat Sastera Negeri

Ismail bin Abdul Hadi

RM3,000 berserta buku dan sijil

3. Hadiah Sastera Negeri - Kategori Tokoh
RM2,000 setiap satu berserta sijil

3.1 Novel - Haji Harun Haji Salleh (Allahyarham)
3.2 Cerpen - Dato’ Dr Mohd Nor Abdul Ghani
3.3 Puisi - Pn Hajah Mahaya Mohd Yasin
3.4 Esei - Dato’ Dr Abdul Rahman Kaeh
3.5 Drama - En. Abdul Rahman Sidek (Allahyarham)
3.6 Karya kanak-kanak/remaja - Abdul Latip Talib

4. Hadiah Sastera Negeri - Kategori Karya (Eceran)
RM500 setiap satu berserta sijil

4.1 Cerpen (6 hadiah)
Syarifah Salha Syed Ahmad ( 2 hadiah)
Nisah Hj Haron (2 hadiah)
Amiza Khusyairi Yusof (2 hadiah)

4.2 Puisi (6 hadiah)
Mahaya Mohd Yasin
Huzaifah Zulfaqar (2hadiah)
Zawawi Jahya
Rahimi NS
Nor Aziah Abdul Aziz Fadzilah

4.3 Esei (6 hadiah)
Dr Rosnah Baharuddin (2 hadiah)
Dr Mohd Rosli Saluddin
Zalila Sharif (2 hadiah)
Nisah Haji Haron

5. Hadiah Sastera Negeri - Kategori Karya (Buku)
RM800 setiap satu berserta sijil

5.1 Novel Remaja
Siti Jasmina Ibrahim

5.2 Novel Kanak-kanak
Nisah Haji Haron

5.3 Kumpulan Cerpen Dewasa
Nisah Haji Haron

5.4 Kumpulan Cerpen Kanak-kanak
Zainol Abdul Kadir

5.5 Kumpulan Puisi Dewasa
Agus Salim

Tahniah kepada semua pemenang.

Sabtu, November 10, 2007

HIKAYAT AMIR HAMZAH


Hikayat Amir Hamzah ini pada mulanya ditulis oleh seorang penulis Parsi dengan judul Qissa’i Emir Hamza. Kemudian diterjemahkan ke bahasa Arab dengan judul Sirat Hamzah.

Manuskrip ini dibawa oleh pendakwah dari India ke Melaka pada zaman kesultanan Melayu Melaka. Ia disalin dengan tulisan tangan oleh penulis istana raja Melaka yang mengambil masa selama 15 tahun bagi menyiapkannya.

Selain bahasa Melayu, manuskrip ini juga ditulis dalam bahasa Jawa, Bali, Acheh, Turki dan Hindi.

Hikayat Amir Hamzah diterbitkan dalam tulisan rumi oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1987. Penyelenggara naskhah ini A.Samad Ahmad masih mengekalkan gaya bahasa Melayu lama.

Pada tahun 2005 semasa mengikuti bengkel penulisan, Puan Ainon Mohd mengatakan PTS sedang mencari penulis yang sanggup memodenkan bahasa Hikayat Amir Hamzah. Saya terus menyatakan kesanggupan walaupun saya belum pernah membaca naskhah tersebut. Dan pada hari itu juga saya ke kedai buku mencarinya lalu terjumpa Hikayat Amir Hamzah edisi kedua penyelenggara A.Samad Ahmad terbitan DBP 1987.

Pertama kali membacanya memang agak sukar memahaminya kerana naskhah tersebut masih mengekalkan gaya bahasa Melayu lama. Namun saya terus juga berusaha memodenkan bahasanya sehingga selesai.

Seorang kawan yang membaca manuskrip yang telah dimodenkan bahasanya itu mengatakan kisah Amir Hamzah ini melencung dari sejarah Islam yang sebenar. Lalu dia mengatakan rasa bimbangnya kalau menimbulkan kontraversi.

Namun saya tidak takut kerana Hikayat Amir Hamzah ini telah dibaca oleh orang Melayu sejak zaman kesultanan Melayu Melaka. Semasa Portugis menyerang Melaka sultan menyuruh dibacakan Hikayat Amir Hamzah bagi menaikkan semangat pahlawan Melaka. Manuskrip ini juga dibawa oleh pendakwah Islam yang datang ke Melaka. Tambahan pula setelah 20 tahun naskhah ini diterbitkan oleh DBP tidak timbul pula kontraversi.

Watak utama dalam cerita ini ialah Saidina Hamzah, pahlawan Islam yang gugur syahid dalam perang Uhud. Sesuai dengan bentuk hikayat ceritanya telah ditokok tambah. Amir Hamzah digambarkan begitu hebat contohnya seperti berikut:

Disebabkan kuatnya tempikan Amir Hamzah boleh kedengaran hingga 18 penjuru bumi jauhnya. Segala harimau yang mendengar tempikan itu terkejut lari. Segala unta dan kuda menjatuhkan diri. Panah yang ada di tangan musuhnya jatuh ke tanah.

Kisah Amir Hamzah ini diceritakan bermula sebelum kedatangan Islam.

Hikayat Amir Hamzah dalam bahasa Melayu moden ini akan diterbitkan oleh PTS Fortuna tidak lama lagi. Kerana naskhah itu tebal maka akan diterbitkan dalam tiga jilid.

Yang pertama akan terbit tidak lama lagi.

Selasa, November 06, 2007

ULASAN S.LESTARI



Dari blog S.Lestari
http://www.babungeblog.blogspot.com/

Jumat tgl 26 Okt kemaren aku mendapat sebuah buku, kiriman dari bang Latip yang ada di Malaysia sana. Merupakan keberuntunganku menemukan blog bang Latip, karena ternyata beliau itu orang tersohor di Malaysia. Novelis yang bergelar datuk tapi lebih suka dipanggil pak atau bang ini merupakan penulis novel perjuangan sejarah islam. Beraraklah Awan Pilu memenangi tempat ketiga hadiah Sastra Kumpulan Utusan pada 2005(Malaysia tentunya). Novel berkategori remaja yang sarat akan pesan positif ini ternyata di dasari oleh pengalaman pribadi beliau.

RINGKASAN CERITA

Dalam novel tersebut menceritakan tentang Syafiq seorang pemuda Malaysia yang berkelana untuk mencari bapaknya ke negeri Brunei. Dia hanya berbekal sebuah cincin kawin, selembar foto mendiang ibu dan bapak yang sedang dicarinya dan beberapa uang saja. Di atas pesawat yang membawanya ke Brunei dia berkenalan dengan Marissa, seorang gadis yang sombong.

Perangai Shafiq yang sopan dan santun serta kepercayaannya kepada Tuhan membawakan dia dipercayai dan didoakan oleh setiap orang yang ditemuinya di jalan.
Mungkin adalah keberuntungan karena dia bertemu dengan Marissa lagi, kali ini ban mobil si gadis kempes tertancap paku, sedang mesin mobilpun susah dijalankan. Shafiq membantunya. Sepeninggal si gadis itu ditemukannya sebuah dompet,milik si gadis yang terjatuh. Dan karena Shafiq adalah pria yang jujur maka di kembalikannya dompet tersebut kepada pemiliknya.

Lagi-lagi sebuah keberuntungan, Dato'Mansor/ayah Marissa mempunyai wajah yang serupa dengan foto bapaknya(bapak Shafiq). Shafiqpun berniat untuk mencari tahu kebenarannya, diterimalah tawaran untuk menjadi sopir di keluarga itu.
Perangai Dato' Mansor dan Datin Siti amatlah beda. Kalau sang Dato' adalah orang yang ramah dan berbelas kasihan, maka Datin adalah seorang yang sombong dan suka merendahkan orang sama halnya dengan Marissa.

Berbagai suka duka dijalani di keluarga tersebut, Marissa pun melunak dan berubah perangai terhadap Shafiq. Sedang Datin masihlah sama. Sampai akhirnya Dato' tertusuk pisau oleh ulah penjambret sekeluarnya dia dari sebuah Bank, Demi menolong nyawa sang Dato', Shafiq mendonorkan darahnya. Darah yang sama rupanya benar-benar mengalir dari tubuh mereka.

Hal yang menimpa Dato' Mansor itu membawa perubahan dalam diri Datin, beliau sedikit melunak hatinya. Dan sekembalinya sang Dato' membawa pengakuan. Diceritakannya kepada Datin kalau di pernah menikah di Malaysia dan bahwasanya Shafiq adalah anak kandung satu-satunya(Marissa hanya anak pungut).

Damai di keluarga Dato' Mansor. Namun Shafiq berkeinginan untuk pulang ke Malaysia. Meneruskan cita-citanya. Sebulan kemudian Dato/ Mansor, Datin Siti dan Marissa menyambangi Shafiq di kampungnya. Sebuah hajatan dilakukan untuk mendoakan mendiang Kalsom(ibu Shafiq) dan juga untuk membenarkan cerita tentang siapa bapak Shafiq yang sebenarnya. Maka telah beraraklah awan pilu.

TANGGAPAN SAYA TENTANG NOVEL INI

Judul yang bagus, sesuai sekali dengan isi cerita. Novel ini di tulis dengan gaya bahasa yang sederhana tapi mengena. Bahasa Melayu dan bahasa Indonesia tidaklah jauh beda. Hanya saja mungkin ada beberapa kata yang tidak lazim digunakan di Indonesia dan itu membuat saya membacanya berulang-ulang untuk mendapatkan maklumat yang sebenarnya(mungkin juga karena saya terlalu bodoh).

Gaya tarik dari novel ini menurut saya adalah kemampuan bang Latip untuk menyisipkan tentang bencana yang menimpa Aceh dan juga sejarah tentang negara-negara terdahulu. Dan juga pesan-pesan positif keagamaan(islam) tanpa perlu menuliskan dalil-dalil islam kedalamnya.

BUAT BANG LATIP

Kabarnya novel-novel bang Latip hendak diterbitkan di Indonesia, selamat/tahniah!!
Semoga mereka(orang-orang di Indonesia) sama antusiasnya seperti saya. Dan semoga bang Latip diberi kesehatan untuk terus berkarya. Amin.

Isnin, November 05, 2007

KHALID DIULANG CETAK



Nuha...

Salam buat Pak Latip,

Saya memang meminati sejarah Islam. Sayangnya kita kekurangan novel2 sedemikian sehinggalah saya temuinya di Kinokuniya KLCC.

Tanpa saya sedar, saya duduk hampir satu jam di situ membaca novel Khalid Al-walid, kerana terlalu asyik, sedar2 saya hampir menghabiskan buku tersebut.

Mujurlah saya tersedar dan lebih dari separuh novel tersebut telah saya habiskan hanya di dalam Kino sahaja.

Akhirnya, atas rasa bersalah kepada penulis (he..he..baca free),

saya pun bangun pergi ke kaunter, dan bayar harga buku itu dan terus keluar.

Tahniah untuk Pak Latip..

Khamis, November 01, 2007

SURAT DARI PEMBACA



Saya seorang guru peminat sejarah Islam begitu tertarik dengan novel-novel sejarah Islam yang Pak Latip tulis. Saya juga sudah baca Tariq Menang Ataupun Syahid. Kisahnya menarik.

Tetapi saya tidak puas hati dengan babak-babak terakhir kisah Tariq. Dia dipanggil pulang ke Damsyik oleh khalifah. Dan khalifah itu telah dirasuah oleh raja-raja Eropah dengan harta dan wanita. (Rujuk m.s 237)

Saya nak penjelasan dari Pak Latip sebagai penulis buku itu. Dan semestinya berani bertanggung jawab. Siapa nama khalifah Umaiyah itu?. Mustahil al Walid sebab dia gembira dengan penaklukan Sepanyol. Mustahil khalifah Umar Abdul Aziz yang memerintah selepas Al Walid kerana beliau seorang yang warak. Mustahil khalifah Umar bin Abdul Aziz sanggup menerima rasuah dari raja-raja Eropah.

Pak Latip kena beri penjelasan atau betulkan fakta tersebut.

Sekian terima kasih. Harap maaf.

Abdul Aziz bin Ahmad.

---------------------------------------------------------

Ini Penjelasan saya,

Dari 6 novel sejarah tersebut, Tariq Menang Ataupun Syahid adalah yang mula-mula saya tulis. Antara masalah yang dihadapi ialah sukarnya mendapatkan bahan-bahan rujukan terutama dalam Bahasa Melayu.

Namun kerana minat yang mendalam ditambah pula dengan tujuan hendak menceritakan kehebatan pahlawan-pahlawan Islam maka saya usahakan juga menulisnya.

Mengenai persoalan yang dikemukakan oleh Cikgu Abdul Aziz ini, kali pertama saya diajukan perkara itu semasa mempromosikan novel-novel sejarah Islam sempena Pesta Buku Antarabangsa 2007 yang lalu. Termasuk juga pertanyaan, benarkah Tariq membakar kapal-kapal perangnya?

Mengenai pertanyaan itu ada jawapanya dalam novel tersebut. Silalah baca.

Mengenai pertanyaan siapakah nama khalifah Bani Umaiyah dan benarkah dia dirasuah oleh raja-raja Eropah?. Ini penjelasan saya. Kalau salah harap sangat dibetulkan.

Setelah Khalifah Abdul Malik bin Marwan meninggal dunia pada tahun 705 M (86 H) diganti oleh anaknya al Walid bin Abdul Malik (705 – 715). Semasa pemerintahan al Walid inilah tentera Islam berjaya menakluk Sepanyol (Al Andalus) pada tahun 711.

Setelah khalifah al Walid meninggal dunia pada tahun 715 diganti oleh adiknya Sulaiman bin Abdul Malik (715 – 717). Dan setelah khalifah Sulaiman meninggal dunia baru diganti oleh Umar bin Abdul Aziz ( 717 – 720)

Dan setelah khalifah Umar bin Abdul Aziz meninggal dunia diganti oleh Yazid bin Abdul Malik (720 -724)

Panglima Tariq bin Ziyad lahir pada tahun 670 dan meninggal dunia tahun 720 semasa pemerintahan khalifah Yazid bin Abdul Malik.

Di kalangan khalifah Bani Umaiyah, Khalifah Umar bin Abdul Aziz merupakan khalifah yang paling baik dan berlalu adil. Tetapi kelembutan beliau digunakan oleh orang-orang Abbasiyah bagi menyusun gerakan menumbangkan kerajaan Bani Umaiyah.

Khalifah Umar bin Abdul Aziz Cuma memerintah selama dua tahun setengah sahaja. Dia diracun oleh pembantunya.

Setelah Khalifah Umar bin Abdul Aziz meninggal dunia maka diganti oleh Yazid bin Abdul Malik. Maka bermulalah berlakunya perebutan kuasa dengan adiknya Hisyam bin Abdul Malik. Ditambah pula dengan huru hara yang dilakukan oleh orang-orang Bani Abbas. (Bani Abbasiyah)

Semasa khalifah Yazid bin Abdul Malik yang memerintah dari tahun 720 – 724 inilah berlakunya peristiwa panglima Tariq yang telah membuat persiapan bagi menakluk Eropah dipanggil pulang ke Damsyik.

Raja-raja Eropah berasa takut apabila mendapat tahu Tariq bin Ziyad telah membuat persiapan bagi menyerang negara mereka. Kerana itu mereka berpakat menghantar utusan bagi menemui Khalifah Yazid bin Abdul Malik meminta perdamaian.

Bagi tujuan itu mereka membawa pelbagai hadiah untuk diberikan kepada khalifah Yazid bin Abdul malik. Kisah ini ada tercatat dalam buku-buku rujukan saya.

Dan Tariq bin Ziyad meninggal dunia tidak lama selepas pulang ke Damsyiq. Namun saya tidak pasti sebab-sebab kematiannya.

Diharap Cikgu Abdul Aziz dan pembaca yang lain berpuas hati dengan penjelasan saya.

Sekian.

Abdul Latip bin Talib