Khamis, Jun 30, 2005

NASI LEMAK ANTARA BANGSA

Semasa berada di kuala lumpur seorang kawan mengajak kami makan malam di kampung baru. Di sana ada sebuah gerai menjual nasi lemak antara bangsa, katanya.

Pada mulanya saya berasa agak lucu sebab biasanya nasi lemak dimakan pada waktu pagi atau dibuat sarapan pagi. Bukan dijadikan makanan malam.

Nasi lemak antara bangsa itu sedap. Setiap kali ke sini saya mesti makan malam di sana. Ia mula dijual pukul 6 petang, katanya sambil mengatakan dia rasa ketagih dengan keenakannya.

Sewaktu kami sampai sudah ramai yang berada di situ. Kami terpaksa beratur untuk membelinya. Kerana gerainya kecil tidak semua pelanggan dapat duduk kerana kerusi yang disediakan penuh. Maka terpaksalah kami minta dibungkus dan makan di bilik hotel.

Benarlah seperti kata kawan saya itu. Nasi lemak antarabangsa itu memang sedap. Paling sedap sambal dan rendang dagingnya. Kami berlima menikmatinya dengan begitu berselira.

Sabtu, Jun 25, 2005

PENAT TAPI GEMBIRA

minggu ini adalah hari-hari yang memenatkan tapi mengembirakan.

20hb ke kuala lumpur ada temujanji dengan seorang kawan.
21hb dan 22hb kami ke kuantan.
23hb balik semula ke kuala lumpur.
24hb balik ke jelebu.
25hb ke seremban ada mesyuarat majlis kebudayaan negeri sembilan.
26hb dan 27hb berada semua di kuala lumpur.

penat tapi mengembirakan.

Ahad, Jun 19, 2005

AL FATIHAH BUAT AYAH



Mahkota kasihmu masih kutatap dan kudakap
Puing-puing rindu masih tersimpan di istana hati
hari ini kukalung doa
berbahagialah ayah di sana.


Duhai ayah
Jasamu terpahat di sanubari
nasihatmu tersimpan di hati
dengan keringat dan air mata
anakmu kini berdiri sendiri
tegak kukuh seadanya.


Duhai ayah
Istana bahagia ini terbina
bersama warna warni kehidupan
semangat dan pengorbanan ayah
menjadi nafas kedaulatan keluarga
dan hari ini aku mengenangmu, duhai ayah
teratai terus berkembang disinari mentari pagi
dirgahayu buatmu, ayah

al fatihah.

abdullatip

Jumaat, Jun 17, 2005

ULASAN & KRITIKAN HAIKU

CUTI SEKOLAH
DURIAN MULA GUGUR
SENYUM PENGANTIN

ULASAN TERBUKA TERHADAP HAIKU ABDUL LATIP

latiptalib: MBA, cuti sekolah, durian mula gugur,senyum pengantin ...macam mana haiku saya ni? hehe

Bang Latip;Biasanya ahli-ahli sastera akan memberikan pujian yang melambung apabila mengulas sesebuah karya sastera ahli yang lain. Ia ternyata akan mengembirakan sipenulis dan menyenangkan yang membuat ulasan. Hubungan mereka kian akrab dan pihak sana pula akan memuji pihak sini akan karya mereka. Dalam ertikata lain kedua-dua pihak akan win-win.

Namun saya khuatir, suasana begini tidak akan meningkatkan karya sastera dengan sewajarnya kerana penulis mungkin akan lemas dalam pujian walhal mutu karyanya tidak seberapa. Justeru itu saya lebih suka memberi pandangan seadanya mengikut apa yang saya tahu dan boleh dikongsi dengan niat untuk mempertingkatkan mutu sesebuah karya.

Sebab itu saya tak boleh jadi sasterawan@penulis he he he.cuti sekolah, durian mula gugur,senyum pengantinJika setakat memberi ulasan begini:-Haiku ini bagus.kata musim ialah 'cuti sekolah' dan 'durian mula gugur'.Syabas saudara!Itu bukan ulasan haiku. Ulasan sesebuah haiku tidak ada kena mengena dengan kata musim (kigo). Sebabnya kigo hanyalah salah satu dari ciri-ciri sebuah haiku. Banyak lagi ciri lain yang perlu ditekankan dan bukan hanya dengan adanya kigo, ia adalah sebuah haiku, tanpa kigo ia adalah senyru. salah sama sekali. "haiku" yang terdapat kigo juha tidak semestinya sebuah haiku (apatah lagi haiku yang baik).

Saya tertarik dengan takrifan senyru yang diberikan oleh sebuah kelab haiku di US yang bermaksud begini "senyru ialah sebuah haiku yang rosak atau tidak menjadi".Bang Latip;Sekali imbas, karya sdr adalah merupakan sebuah haiku yang baik. Saya sukakannya!. Penuh dan dalam maknanya. Namun ia bukanlah sebuah haiku yang hebat.Berikut adalah asas penilaian saya @copyright.

cuti sekolah
durian mula gugur
senyum pengantin

1. Apakah bentuk haiku ini?. Adakah 17 sukukata? Adakah 5-7-5?:lulus

2. Adakah jelas kelihatan atau kedengaran dua bahagian yang berbeza dalam sebuah haiku, iaitu pembayang dan maksud?:lulus

3. Adakah terdapat perkataan atau simbul musim dalam haiku ini?:lulus

4. Adakah haiku ini mempunyai objek nyata yang boleh dinikmati oleh pancaindera biasa?:lulus bersyarat

5. Adakah haiku boleh dibaca sebagai satu ayat yang lengkap?:lulus

6. Adakah terdapat ganti nama dalam haiku ini?. Adakah ia diperlukan atau boleh digantikan?:lulus

7. Adakah semua perkataan/cerita menunjukkan waktu semasa?:Tidak

8. Adakah perkataan dalam haiku ii berirama?:lulus

9. Adakah kata perbuatan dalam haiku ini?. Adakah ianya betul-betul diperlukan?:lulus

10. Adakah mana-mana perkataan yang digunakan boleh dikeluarkan tanpa menghilangkan makna ayat?:lulus

11. Adakah mana-mana perkataan yang boleh diganti dengan perkataan lain?. Penggunaan perkataan yang ada sinonim adalah lebih bagus.:Perlu diperbaiki

12. Adakah perkataan yang digunakan adalah tepat?.Punai berbanding burung, mawar berbanding bunga dan jati berbanding pokok.:lulus13. Adakah haiku ini mempunyai makna yang berganda?:lulus

14. Adakah haiku ini dapat difahami?:lulus

15. Adakah anda pernah membaca atau mendengar haiku ini atau yang seakan-akan begini?:lulus

16. Adakah anda rasa selesa membaca haiku ini dan tidak jemu mengulanginya?:OK lah

17. Adakah haiku ini menyatakan segala-galanya?. Adakah anda rasa satu siri haiku diperlukan dalam subjek yang sama?:lulus

18. Adakah idea dari haiku ini lebih baik ditulis dalam bentuk tanka atau lain-lain genre?:Boleh jadi

19. Adakah idea dari haiku ini lebih baik dihidangkan dalam bentuk lain dengan perkataan-perkataan yang lebih baik?:Boleh jadi

20. Keseluruhannya?:lulus

Secara umumnya haiku ini tidak banyak yang perlu diulas, cuma beberapa perkara seperti berikut:-Haiku perlu mempunyai objek nyata yang boleh dinikmati oleh panca indera yang lima::perkataan "cuti sekolah" tidak wajar digunakan untuk mewakili musim cuti sekolah. Ia perlu diwakilkan dengan suatu perlambangan.

Umpamanya "musim panas" tidak boleh digunakan untuk menceritakan tentang musim panas, sebaliknya "katak" atau kata lain boleh digunakan. Hakikatnya, sebuah haiku ialah hasil sebuah pengalaman semasa penulis (haijin) dan bukan imaginasi beliau. Dari pengalaman tersebut, pembaca sudah memahami tentang sesuatu musim yang dimaksudkan, walapun tanpa menyebutnya secara terus. "cuti sekolah" di sini bagi saya bukan sebuah objek nyata yang diperlukan dalam sebuah haiku. Ia boleh diwakili oleh perkataan lain seperti 'balik ke kampung', 'membasuh baju', 'buku pinjaman' dan apa-apa sahaja yang bersesuaian.-

Saya fahami haiku ini sebagai musim perkahwinan (senyum pengantin)di musim cuti sekolah yang secara kebetulan juga adalah merupakan musim buah-buahan (durian mula gugur). Haiku ini terlalu banyak menceritakan perihal musim (secara langsung dan perwakilan) dan ia tidak begityu sesuai bagi sebuah haiku yang hebat. Secara keseluruhannya plot cerita dalam haiku ini adalah longgar kerana ia lebih mirip kepada imaginasi penulis berbanding dengan peristiwa sebenar yang dialami oleh penulis. Dalam erti kata lain, penulis boleh berada di rumahnya di Jelebu walhal majlis perkahwinan ini berlangsung di Putrajaya.

Untuk membangkitkan suasana sebenar yang berlaku, kita boleh andaikan penulis hadir ke majlis persandingan dan sebiji durian jatuh dari pokok berhampiran. Contohnya "debuk berbunyi, pengantin di pelamin, durian gugur".Di sini cuti sekolah telah ditiadakan. Majlis perkahwinan boleh diadakan pada bila-bila masa sahaja, namun di sini ia dilakukan pada musim buah. Unsur suspen di sini ialah, pembaca sangkakan pelamin yang runtuh bila debuk berbunyi, namun terasa lega kemudiannya kerana rupa-rupanya durian yang gugur.Sdr;Rasanya masih banyak lagi yang boleh diperkatakan mengenai haiku ini, mungkin ia boleh disambung kemudian sekiranya ada mood.

Nota Kaki1. Menulis haiku memang mudah, cuma 5-7-5 dan jadilah ia sebuah haiku (jika haiku tersebut rosak @ belum masak, ia akan jadi senyru). Namun untuk menghasilkan sebuah haiku yang baik (apatah lagi yang hebat) ia amat sukar. Perlu saya tegaskan lagi di sini bahawa haiku yang ditulis dalam bahasa asing tidak sama dengan haiku dalam bahasa Jepun dan tidak akan menjadi haiku Jepun sampai bila-bila. Justeru itu kita tidak boleh menilai haiku Melayu dengan kayu ukur dan kacamata Jepun.2. Ulasan di atas adalah merupakan pegangan (mazhab) saya dalam haiku (yang mungkin boleh berubah mengikut masa dan keadaan). Ia tidak semestinya dipersetujui oleh orang lain (terutamanya dari mazhab lain). Namun setiap pegangan harus mempunyai hujah dan boleh dibincang serta dibawa berunding. Saya berpegang kepada prinsip bahawa haiku dan hasil sastera lain juga tidak boleh terlalu rigid, kerana ia adalah sastera bukan sains.

Khamis, Jun 16, 2005

SEMOGA BERJAYA


Beberapa tahun yang lalu Encik Baharuddin Kadir memberi peluang kepada saya menulis skrip drama bersiri. Dan alhamdulillah saya berjaya menyiapkan 13 episod berjudul ANAK-ANAK GEMILANG dan ditayangkan di tv1.

Kemudian saya mendapat peluang menulis drama bersiri bercorak agama berjudul NUR PENYULUH ALAM dan ditayangkan di NTV7 sepanjang bulan puasa.

Kemudian peluang menulis skrip drama tv tak ada lagi bila Encik Baharuddin Kadir tidak lagi bergiat di bidang penerbitan drama dan penerbit NUR PENYULUH ALAM pula beralih ke bidang pakeg haji dan umrah.

Beberapa minggu yang lalu peluang itu muncul semula bila seorang kawan mencadangkan saya menulis sebuah drama telemovi untuk tayangan satu jam. Katanya kalau skrip drama itu diluluskan oleh panel yang dilantik maka akan ditayangkan pada tahun 2006 kerana slot drama untuk tahun 2005 sudah penuh.

Dia menetapkan manuskrip itu hendaklah diserahkan kepadanya pada 20hb ini. Maka kelamkabutlah saya menyiapkannya. Semoga berjaya.

Ahad, Jun 12, 2005

CERITA PENGAJARAN


DARI MAJALAH MANAR ISLAM ISKANDARIAH MESIR.


Menurut majalah tersebut, pada suatu hari, seorang gadis yang terpengaruh dengan cara hidup masyarakat Barat menaiki sebuah bas mini untuk menuju ke destinasi di wilayah Iskandariah. Malangnya walau pun tinggal dibumi yang terkenal dengan tradisi keislaman, pakaian gadis tersebut sangat menjolok mata. Bajunya agak nipis dan seksi hampir terlihat segala yang patut disembunyikan bagi seorang perempuan dari pandangan lelaki ajnabi atau mahramnya.
Gadis itu dalam lingkungan 20 tahun. Di dalam bas itu ada seorang tua yang dipenuhi uban menegurnya."Wahai pemudi! Alangkah baiknya jika kamu berpakaian yang baik, yang sesuai dengan ketimuran dan adat serta agama Islam kamu, itu lebih baik daripada kamu berpakaian begini yang pastinya menjadi mangsa pandangan liar kaum lelaki...." nasihat orang tua itu.
Namun, nasihat yang sangat bertetapan dengan tuntutan agama itu dijawab oleh gadis itu dengan jawapan mengejek. "Siapalah kamu hai orang tua? Apakah di tangan kamu ada anak kunci syurga? Atau adakah kamu memiliki sejenis kuasa yang menentukan aku bakal berada di syurga atau neraka?"
Setelah menghamburkan kata-kata yang sangat menghiris perasaan orang tua itu gadis itu tertawa mengejek panjang. Tidak cukup setakat itu, si gadis lantas cuba memberikan telefon bimbitnya kepada orang tua tadi sambil melafazkan kata kata yang lebih dahsyat."Ambil hanphone ku ini dan hubungilah Allah serta tolong tempahkan sebuah bilik di neraka jahannam untukku," katanya lagi lantas ketawa berdekah-dekah tanpa mengetahui bahawasanya dia sedang mempertikaikan hukum Allah dengan begitu biadab.
Orang tua tersebut sangat terkejut mendengar jawapan dari si gadis manis. Sayang wajahnya yang ayu tidak sama dengan perilakunya yang buruk. Penumpang-penumpang yang lain turut terdiam ada yang menggelengkan kepala kebingungan. Semua yang di dalam bas tidak menghiraukan gadis yang masih muda itu yang tidak menghormati hukum hakam itu dan mereka tidak mahu menasihatinya kerana khuatir dia akan akan menghina agama dengan lebih teruk lagi.
Sepuluh minit kemudian bas pun tiba perhentian. Gadis seksi bermulut celupar tersebut di dapati tertidur. Puas pemandu bas termasuk para penumpang yang lain mengejutkannya tapi gadis tersebut tidak sedarkan diri. Tiba tiba orang tua tadi memeriksa nadi si gadis. Sedetik kemudian dia menggelengkan kepalanya. Gadis itu telah kembali menemui Tuhannya dalam keadaan yang tidak disangka.
Para penumpang menjadi cemas dengan berita yang menggemparkan itu.Dalam suasana kelam kabut itu, mayat gadis itu dibawa turun lalu diletakkan di pinggir jalan. Orang ramai berkejar untuk menyelamatkan jenazah tersebut. Tapi sekali lagi mereka terkejut. Sesuatu yang aneh menimpa jenazah yang terbujur kaku di jalan raya. Mayatnya menjadi hitam seolah olah dibakar api. Dua tiga orang yang cuba mengangkat mayat tersebut juga kehairanan kerana tangan mereka terasa panas dan hampir melecur sebaik saja menyentuh tubuh si mayat.
Akhirnya mereka memanggil pihak keselamatan menguruskan mayat itu. Begitulah kisah ngeri lagi menyayat hati yang menimpa gadis malang tersebut. Apakah hasratnya menempah sebuah bilik di neraka dimakbulkan Allah? Nauzubillah, sesungguhnya Allah itu Maha Berkuasa di atas segala sesuatu. Sangat baik kita jadikan ikhtibar dan pelajaran dengan kisah benar ini sebagai muslim sejati.
Jangan sekali sekali kita mempertikaikan hukum Allah dan mahupun sunnah RasulNya saw dengan mempersendakan atau ejekan.Kata kata seperti ajaran Islam tidak sesuai lagi dengan arus kemodenan dunia hari ini atau sembahyang tidak akan buat kita jadi kaya dan seumpamanya adalah kata kata yang sangat biadab dan menghina Allah, pencipta seluruh alam.
Ingatlah teman, kita boleh melupakan kematian, tetapi kematian tetap akan terjadi bagi kita. Hanya masanya saja yang akan menentukan bila kita akan kembali ke alam barzakh.Janganlah menjadi orang yang bodoh, siapakah orang yang bodohitu? Mereka itulah orang yang ingin melawan Tuhan Rabbul alamin.
Apabila anda enggan melaksanakan suruhan Tuhan bererti anda ingin melawan arahan Tuhan. Sewaktu di sekolah anda tertakluk dengan undang-undang sekolah, dalam pekerjaan anda tertakluk dengan undang-undang yang di lakar oleh majikan anda, di dalam negeri anda tertakluk di bawah undang-undang negara anda. Begitu taksub sekali anda terhadap undang-undang itu hingga terlalu prihatin takut kalau melanggar undang-undang itu.
Apabila anda berpijak di bumi ini, anda juga tertakluk dengan undang-undang yang telah di gubal oleh yang menjadikan bumi ini. Setiap Sultan ada taman larangannya, begitu juga Allah swt. Taman laranganNya adalah perkara-perkara yang telah diharamkan bagi hamba-hambaNya di muka bumi ini.Sama samalah kita memohon agar Allah sentiasa memberi kita petunjuk di atas jalan yang benar dan kekuatan agar sentiasa dapat menjaga lidah kita.

Isnin, Jun 06, 2005

KISAH DAN TELADAN

( kisah ini dikirim oleh seorang kawan melalui email)

Kisah ini berlaku di sebuah desa di Jawa Tengah. Ada sorang ibu tunggal yang kerjanya menjual tempe di pasar tani setiap hari.Pekerjaannya menjual tempe ini adalah satu-satunya sumber pendapatan untuk menyara hidupnya.
Pada satu pagi, macam biasa, dia tengah bersiap-siap nak pergi menjual tempe. Tiba-tiba dia tersedar yang tempenya dibuat daripada kacang kedele (menurut bahasa Indonesia) hari itu masih belum menjadi iaitu baru separuh masak.
Dia pun berasa amatlah sedih sebab tempe yg masih belum menjadi pastinya tak laku dan ini bermaksud dia takkan dapat wang untuk hari itu. Tengah dia bersedih, tetiba dia teringat akan firman Tuhan yang menyatakan Tuhan dapat melakukan perkara2 ajaib kerana tiada yg mustahil bagi Tuhan melakukannya.
Lalu dia pun mengangkat kedua tangannya sambil berdoa "YaTuhan, aku mohon kepadaMu agar kedele ini menjadi tempe. Amin?."
Begitulah doa singkatnya yg dipanjatkan dengan sepenuh hatinya. Dia sangat yakin Tuhan pasti mengabulkan doanya. Lalu degan tenang dia pun menekan2 bungkusan bakul tempe dengan hujung jarinya dan dia pun buka sedikit bungkusan itu untuk menyaksikan keajaiban Tuhan.
Tapi dia kaget seketika sebab kedele tu masih tetap kedele. Belum menjadi tempe. Namun dia tak kecewa, sebaliknya diafikir mungkin doanya kurang jelas didengar oleh Tuhan. Lalu dia pun mengangkat kedua tangannya semula dan berdoa lagi.
"Tuhan, aku tahu bahawa tiada yang mustahil bagiMu. Bantulah aku supaya hari ini aku dapat menjual tempe kerana inilah saja mata pencarianku. Aku mohon agar jadilah ini tempe, Amin". Dengan penuh harapan dan debaran dia pun sekali lagi buka bungkusan itu.Lalu apa yang terjadi?.
Dengan kaget dia melihat kacang kedele tersebut masih tetap belum menjadi tempe. Sementara itu hari pun semakin siang dan tentunya pasar dah semakin ramai orang. Si ibu ni tetap tak kecewa atas doanya yang belum terkabul.Bagaimanapun kerana keyakinannya yang sangat tinggi dia bercadang tetap pegi ke pasar membawa barang dagangannya.
Dia berpikir mungkin keajaiban Tuhan akan terjadi masa perjalanannya ke pasar. Lalu dia pun bersiap2 untuk berangkat ke pasar. Semua keperluan nya untuk menjual tempe macam biasanya dah disiapkan. Sebelum keluar dari rumah, dia sempat mengangkat kedua tangannya untuk berdoa.
"Ya Tuhan, aku percaya, Engkau akan mengabulkan doaku. Sementara aku berjalan menuju kepasar, Engkau kurniakanlah keajaiban ini buatku,jadikanlah ini tempe. Amin".
Lalu dia pun berangkat.Di sepanjang perjalanan dia tetap tak lupa baca doa dalam hati. Tak lama lepas tu dia pun sampailah di pasar. Dan macam biasanya dia pun mengambil tempat untuk meletakkan barang dagangannya. Dia betul2 yakin yg tempenya sekarang mesti dah menjadi. Lalu dgn hati yg berdebar-debar dia pun buka bakulnya dan menekan2 dgn jarinya setiap bungkusan yg ada. Pelan2 dia buka sikit daun pembungkusnya dan melihat isinya. Lalu apa yang terjadi. tenyata tempenya belum menjadi.
Si Ibu ni pun terkesima seketika, dia tarik nafas dalam-dalam. Dia sudah mula kecewa pada Tuhan kerana doanya tak dikabulkan. Dia merasa Tuhan tak adil.Tuhan tak kesian padanya sedangkan dia hidup cuma dgn hasil jualan tempe saja. Seterusnya, dia cuma duduk diamtanpa mempamerkan barang dagangannya sebab dia tahu tak ada org nak beli tempe yg baru separuh jadi.
Sementara itu hari pun semakin petang dan pasar dahmulai sepi denganpembeli. Dia tengok member2 yg sesama penjual tempe,tempe mereka dah hampir habis nak dijual. Dia tertunduk lesu seperti tak sanggup menghadapi kenyataan hidupnya hari itu. Dia pun termenung dgn rasa yg teramat kecewa. Dia tahu yg hari tu dia tak dpt apa-apa pendapatan langsung.
Tiba-tiba dia dikejutkan dengan teguran seorang wanita. "Bu, Maaf ya bu, saya mau tanya. Apakah ibu ada menjual tempe yang belum jadi? Dari tadi saya sudah kelilingpasar mencarinya tapi masih belum ketemu."
Seketika si ibu tadi terkesima lagi. Dia kaget.Sebelum dia menjawab sapaan wanita kat depannya tu,dalam hati cepat2 dia berdoa "Ya Tuhan, saat ini akutak mahu tempe lagi. Biarlah daganganku ini tetapseperti semula, Amin".
Tapi lepas tuh, dia masih tak berani lagi nak jawab kat wanita tu. Dia fikir entah2 mase dia tgh duduk2 termenung tadi,tempenya dah menjadi. Jadi masa tuh dia dalam keadaan ragu2 lagi nak jawab. "Camane nih?" Dia pikir. "Kaloaku kata ya, jangan2 tempe ni dah jadi, sape taumukjizat Tuhan?" Lalu dia pun kembali berdoa dalam hatinya, "Ya, Tuhan,biarlah tempeku ini tak usah jadi tempe lagi. Dah adaorg yg nak beli. Ya Tuhan tolonglah aku kali ini.Dengarlah doaku ini?" ucapnya berkali-kali. Sebelum dia menjawab wanita itu, dia pun bukak sikitdaun penutupnya. Lalu apa yang dilihatnya?.Ternyata memang benar tempenya belum menjadi. Dia punbersorak riang gembira dalam hatinya.
Dipendekkan cerita, wanita tu pun memborong habis semua tempenya yg belummenjadi tuh. Sebelum wanita tu pergi, si ibu nih sempat jugak tanya wanita tuh kenapa nak beli tempe yg belum jadi. Rupa2nya, wanita tuh kata yg anaknya di England kepingin tempe dari desa. Memandangkan tempenya tuh nak dikirimkan ke England, dia kenalahbeli yg belum jadi lagi supaya bila sampai di England nanti dah menjadi. Kalau kirim tempe yg dah jadi,nanti di sana tempe tuh dah tak elok lagi dan rasanyapun dah kurang sedap. Begitulah alkisahnye.
Moral of the story?.
1. Kita sering memaksakan kehendak kita kepada Allah sewaktu berdoa, padahal sebenarnya Allah lebihmengetahui apa yang kita perlukan dan apa yg terbaik utk kita.
2. Sentiasalah berdoa dlm menjalani kehidupan seharian kita sbg hambaNya yg lemah. Dan jgn sekali-kaliberputus asa terhadap apa yg dipinta. Percayalah bahawa Allah akan mengabulkan doa kita sesuai dengan rancanganNya yg mungkin di luar jangkaan kita. Hanya kpd Nya lah kita memohon & bertawakkal?
3. Mari makan tempe utk kesihatan dankecergasan.tak caye tanya ler org2 Jawa?hehheh? =)

Khamis, Jun 02, 2005

MENITI USIA EMAS


Hari ini 2hb Jun, adalah hari jadiku. Bermakna telah bertambah setahun lagi usia ini. Dalam mengharungi kehidupan sehari-hari terasa begitu cepat masa berlalu.

Semasa kerja makan gaji dulu rutin kehidupan mesti berada di tempat kerja dari pagi hingga ke petang. Ada kalanya hingga larut malam. Pada hari-hari cuti atau kelepasan am barulah seharian bersama keluarga.

Tetapi kini bila bekerja sendiri maka sendiri yang menguruskan jadual aktiviti seharian. Namun masa yang berlalu terasa begitu cepat.

Bila melihat anak-anak yang sudah meningkat remaja dan isteri yang telah semakin berusia barulah sedar diri ini telah menjadi warga emas. Apa lagi yang hendak dicari dalam usia begini?.

Ketika berusia 20an ingin berjaya dalam kerjaya. Pada usia 30an ingin mempunyai sebuah keluarga bahagia. Di usia 40an ingin melihat anak-anak berjaya dalam pelajaran. Di usia 50an?.

Pada usia begini yang penting ialah kesihatan. Kalau badan sihat banyak perkara yang boleh dilakukan Baik untuk dunia ataupun akhirat.

Aku berdoa, semoga berkekalan kesihatan, bertambah keimanan, bertambah amal ibadat, bertambah rezeki yang halal dan bertambah kasih sayang.hehe.