Sabtu, Oktober 28, 2006

SELAMAT HARI RAYA



Hampir seminggu hari raya berlalu. Kemeriahannya masih dirasakan. Amalan kunjung mengunjung mengerat silaturrahim masih dilakukan mungkin hingga ke penghujung Syawal.

Seperti hari-hari raya yang lalu, tradisi kami di kampung membakar lemang seperti tak boleh ketinggalan seolah tidak meriah menyambut hari raya tanpa bakar lemang. Walau pun lemang boleh dibeli di pasar tani tetapi lebih seronok membakarnya sendiri.

Selain membakar lemang, telah menjadi tradisi keluarga saya memasak ayam golek dan ayam itu kami makan beramai-ramai pada malam raya bersama lemang yang masih panas. Selepas solat Maghrib kami bertakbir. Dan pada malam itu kami tidur agak lewat dan esoknya solat hari raya di masjid.

Di kampung memang tidak ada rumah terbuka kami boleh berkunjung atau dikunjungi pada bila-bila masa kerana pintu rumah sentiasa terbuka. Memberi duit raya kepada anak-anak juga seolah menjadi kebiasaan.

Ramadan telah berlalu dan Syawal sedang menjelma. Setelah sebulan lamanya kita berpuasa sampai masanya menyambut hari kemenangan itu. Semoga kita dipanjangkan umur dan diberi kesempatan untuk menyambutnya pada tahun depan. InsyaAllah.

Selamat hari raya maaf zahir dan batin.

Khamis, Oktober 19, 2006

BERARAKLAH AWAN PILU DI BERITA HARIAN



Dunia Buku: Cabaran mencari ayah

BERARAKLAH Awan Pilu karya Abd Latip Talib merakam suka duka Syafiq dalam usaha mencari ayahnya yang tidak ditemui sejak dia dilahirkan sehingga memaksanya berkunjung ke Brunei Darussalam bagi mendapatkan kepastian.

Berbekalkan gambar kusam dan cincin emas ibunya, Syafiq menaiki penerbangan ke Brunei dengan penuh tekad untuk menjejaki ayahnya yang dikatakan hilang dari kampung ibunya di Jelebu tanpa khabar berita.

Di Brunei, Syafiq menumpang tidur di masjid dan menunjukkan gambar ayahnya kepada sesiapa saja yang ditemui di jalanan, walaupun sedar jawapannya mungkin menghampakan.

Dalam bermusafir itu, Syafiq bertembung dengan gadis Brunei, Marissa, seorang yang sombong lagi bongkak dan ditakdirkan kereta Marissa menghadapi masalah enjin dan Syafiq berjaya menghidupkannya.

Tanpa mengucapkan terima kasih, Marissa berlalu dengan keretanya dan tidak menyedari dompetnya terjatuh ketika tunduk untuk masuk ke dalam kereta hingga Syafiq terpaksa mengutipnya serta berusaha menjejaki gadis itu.

Pencarian Syafiq menemukannya dengan keluarga Marissa yang kaya raya tetapi kedatangannya disalah anggap ibu Marissa, Datin Siti, hingga berprasangka Syafiq adalah pemuda jahat dan penipu.

Bagaimanapun, bapa Marissa, Datuk Mansor, yakin dengan kebaikan Syafiq, lalu mengambil Syafiq bekerja sebagai pemandu keluarganya dan tingkah lakunya yang terpuji itu, menarik minat majikannya itu.

Datuk Mansor membuat tanggapan Syafiq bukan pemuda sebarangan kerana walaupun bertugas sebagai pemandu, Syafiq memiliki pengetahuan mengenai komputer dan berjaya memperbaiki komputer Marissa yang diserang virus.

Datuk Mansor cuba mengorek rahsia Syafiq mengenai keluarganya di Semenanjung tetapi tidak pernah menemui jawapan kerana setiap kali diajukan soalan mengenai ibunya, Syafiq berdalih bahawa ibunya sudah meninggal dunia.

Syafiq yakin Datuk Mansor adalah bapanya tetapi tidak terburu-buru mendedahkan rahsia itu kerana takut dikatakan mengejar harta dan setiap hari dia berusaha mempamerkan khidmat terbaik bagi mendapatkan kepercayaan Datuk Mansor.

Suatu hati ketika menunggu Datuk Mansor menyelesaikan urusan di bank, Syafiq tidak menyedari bahawa dirinya diekori dan sebaik Datuk Mansor keluar dari bank, dua perompak menyerbu untuk merampas wang daripada tangan Datuk Mansor.

Syafiq bergegas keluar untuk menyelamatkan Datuk Mansor dan dalam pergelutan itu, Datuk Mansor ditikam perompak menyebabkan dia mengalami luka parah dan kehilangan banyak darah.

Dapatkan Datuk Mansor diselamatkan, apakah Syafiq berpeluang mendedahkan rahsia yang terpendam dan mampukah Marissa mahupun Datin Siti menerima hakikat itu akan diketahui dengan membaca novel setebal 246 halaman terbitan Utusan Publication & Distributor Sdn Bhd berharga RM15 senaskah.

Sabtu, Oktober 14, 2006

MALAM LAILATUL QADAR

AMALAN Rasulullah SAW dan sahabat pada malam akhir Ramadan untuk mengisi Lailatul Qadar. Antaranya:

· Mandi, berpakaian indah dan berharum-harumanDiriwayatkan oleh Ibnu Abi `Asim bahawa Huzaifah pernah mengerjakan qiyam Ramadan bersama Rasulullah SAW dan melihat bahawa Baginda mandi pada malam itu. Ibnu Jarir pula berkata bahawa sahabat menyukai mandi pada malam-malam akhir Ramadan.

Demikian pula beberapa riwayat daripada sahabat seperti Anas bin Malik dan ulama pada masa Tabi'in menyatakan bahawa mereka akan mandi, memakai baju indah dan berharum-haruman apabila berada pada akhir Ramadan.Apa yang dilakukan oleh Rasulullah, sahabat dan Tabi'in ini adalah satu upaya untuk menyambut dan meraikan kedatangan Lailatul Qadar, sambil berdoa mendapatkan keampunan dan keberkatan malam itu.

· Melaksanakan solat sunat, iktikaf dan membaca al-Quran.Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan satu hadis daripada Aishah, bermaksud: Adalah Rasulullah apabila telah masuk 10 akhir daripada Ramadan, maka Baginda akan menghidupkan malam-malamnya, membangunkan keluarganya dan mengikat pinggangnya.

Dalam salah satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dari Amru bin `Ash bermaksud: Barang siapa yang solat pada malam Ramadan dan membaca 10 ayat daripada al-Quran maka dia tidaklah dicatat sebagai orang yang lalai.

Mengerjakan solat dan membaca al-Quran pada pada malam yang akhir ini sangat penting hingga dalam salah satu riwayat dikatakan bahawa Rasulullah SAW melakukan solat pada malam Ramadan dan membaca al-Quran dengan tertib.

· Memperbanyak doa.Rasulullah SAW bersabda doa adalah otak segala ibadat. Doa juga kunci daripada semua ibadat. Aishah diperintahkan oleh Baginda untuk memperbanyak doa pada 10 malam terakhir Ramadan.Dalam satu hadis daripada Aishah diriwayatkan at-Tirmizi, Aishah diajar oleh Rasulullah SAW membaca doa pada malam al-Qadar.

Ulama bersepakat bahawa doa yang paling utama pada malam al-Qadar adalah doa yang meminta keampunan dan kemaafan daripada Allah. Perkara ini seperti doa yang diajarkan Rasulullah kepada Aishah. Doanya berbunyi: Allahumma innaka afuwun tuhibbul afwa fa' fu anni (maksudnya, Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah Maha Pengampun, yang suka Maha Mengampun, maka ampunilah aku ini)

Pada malam itu Allah akan mengabulkan semua permohonan dan doa, terkecuali terhadap empat golongan manusia. Ibnu Abbas berkata: Semua doa pada malam itu diterima terkecuali doa orang meminum arak, anak yang derhaka kepada ibu bapa, orang yang selalu bertengkar dan mereka yang memutuskan silaturahim.

BERITA HARIAN.

Ahad, Oktober 08, 2006

NOSTALGIA RAMADAN DI MASJIDIL HARAM

Ramadan kali ini datang lagi
bersama himpunan ummah
beriktiqaf di Masjidil Haram
hati setenang danau
dan air zam-zam membasuh parut luka.

Ramadan kali ini
ummah bermunajat di sisi Kaabah
bersama deraian air mata ketakwaan
beriktiqaf dalam Masjidil Haram
dalam bahang mentari memijar
tiba waktu berbuka
menjamu selera penuh kesyukuran
terbayang wajah anak-anak kecil
di Afghanistan, Iraq dan Palestin
menangis kelaparan sambil merayu;
" Bebaskan kami dari penderitaan."

Ramadan demi Ramadan berlalu
Ummah datang dan pergi
mereka masih menangis
mengharap simpati.