Rabu, Julai 27, 2005

PUISI BONDA KANDUNG


Semalam (26.7.2005) berlansung majlis Bicara Karya Sastera Puisi Bonda Kandung oleh Prof. Rahman Shaari, bertempat di Perpustakaan Awam Negeri Sembilan, Seremban. Majlis ini dianjurkan oleh Bahagian Teori dan Kritikan Sastera DBP dengan kerjasama Perbadanan Perpustakan Awam Negeri, Sembilan, Pusat Sumber Pendidikan Negeri, Negeri Sembilan dan Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN).

Antologi Puisi Bonda Kandung memuatkan puisi dan cerpen pemenang sayembara Menulis Sajak dan Cerpen 2003. Puisi Negeri Beradat Ini mendapat tempat pertama dalam sayembara tersebut.

Berikut saya perturunkan ulasan puisi tersebut yang telah dibicarakan oleh Prof. Rahman Shaari.

NEGERI BERADAT INI
OLEH
ABD LATIP TALIB

Negeri beradat ini
Tanah tumpah darahku
Akar sejarahnya bermula
Dari Batu Sangkar Paya Kumbuh Bukit Tinggi
Asal negeri nenek moyangku.

Negeri beradat ini
Adalah jejak indah Raja Melewar
Tanah ini dipilih kerana tuahnya
Lalu dibangun menjadi negeri
Yang jauh dijemput datang
Yang dekat diajak bersemenda
Luak dan suku diajak muafakat
Lalu tertegak keratan Istana Seri Menanti.

Negeri beradat ini
Ada waris pusaka suku Biduanda
Ada buapak Datuk Lembaga
Ada Undang Luak Yang Empat
Berpayung di bawah duli Tuanku
Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.

Negeri beradat ini
Rakyat diajar hidup muafakat
Yang lemah dibela
Yang kuat jadi pelindung
Hati gajah sama diratah
Ke bukit sama berpenat
Ke lurah sama berpegang tangan
Ke baruh sama menuai padi
Ke darat sama memasang jerat.

Negeri bertuah ini
Pernah terukir sejarah merah
Penghulu luak bersengketa
Darah rakyat tumpah merata
Akibat adu domba penjajah
Akhirnya mereka berkuasa.

Negeri beradat ini
Pernah terukir sejarah gemilang
Di sini lahir anak-anak terbilang
Pencetus semangat kebangsaan
Pejuang bahasa dan budaya
Menjadi tonggak negeri tercinta

Negeri beradat ini
Kamilah anak gemilang
Penyambung warisan bangsa
Penyubur hidup beragama
Di sini kasih dicurah.


ULASAN PROF.RAHMAN SHAARI

Sajak Abd Latip Talib yang berjudul Negeri Beradat Ini memperkuat kepercayaan saya bahawa adat tidak mudah luput daripada fikiran masyarakat yang mendukungnya. Saya sedar bahawa kebanyakan anak muda tidak menghiraukan adat kerana terdorong oleh suasana baru namun inti adat tetap melekat pada akal bawah sedar mereka. Bagi sebahagian besar orang Negeri Sembilan mereka tetap akan merasakan archetype daripada masyarakat mereka. Ini aialah kesan yang saya peroleh hasil persahabatan dan pengajian saya yang berkaitan dengan Adat Perpatih. Melalui sajak yang sedang disentuh ini, Abd Latip Talib mernyebutkan sejarah bermulanya Adat Perpatih di Negeri Sembilan, katanya:

Akar sejarahnya bermula
Dari Batu Sangkar Paya Kumbuh Bukit Tinggi
Asal negeri nenek moyangku.

Penyebutan maklumat sejarah adalah penting untuk peringatan generasi seterusnya. Sajak ini memuatkan beberapa makluimat dengan maksud mengekalkan penghargaan terhadap jasa nenek moyang dan pemimpin masa lampau.

Perhatikan penyair menyebutkan sumbangan Raja Melewar

Negeri beradat ini
Adalah jejak indah Raja Melewar
Tanah ini dilipih kerana tuahnya
Lalu dibangun menjadi negeri
Yang jauh dijemput datang
Yang dekat diajak bersemenda
Luak dan suku diajak muafakat
Lalu tertegak keratan Istana Seri Menanti.

Pemilihan kata Jejak Indah agak aneh dalam kaitan (kontek) di atas. Namun yang dapat ditanggapi dengan nyata ialah bahawa Raja Melewar berjasa dalam mendirikan negeri beradat. Rangkap yang berikutnya menyebutkan suku, buapak dan undang, serta kuasa yang lebih tinggi, iaitu Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.

Perbilangan yang sedia ada disajakkan dalam rangkap keempat. Baris ke bukit sama didaki yang sedia ada ditulis semula menjadi ke bukit sama berpenat Jika demikian, maka rangkap keempat sajak ini memuatkan konstruksi semula perbilangan yang menyatakan sistem kekeluargaan Adat Perpatih. Saya turunkan empat baris daripada yang asli.

Ke bukit sama didaki
Ke laut sama direnangi
Hati gajah sama dilapagh
Hati kuman sama dicecah

Dalam sajak ini perbilangan tersebut berbunyi:

Hati gajah sama diratah
Ke bukit sama berpenat
Ke lurah sama berpegang tangan
Ke baruh sama menuai padi
Ke darat sama memasang jerat

Dalam bahagian tersebut tersimpul semangat bekerjasama atau muafakat, yang menjadi teras perpaduan. Seterusnya iaitu dalam rangkap kelima, penyair berkisah tentang peristiwa persengketaan. Persengketaan dalam masyarakat adalah biasa. Penyair tidak menyimpulkan bala ataupun hikmah hasil persengketaan itu, sebaliknya terus kepada soal pertumbuhan semangat kebangsaan yang termuat dalam rangkap keenam. Rangkap ke tujuh pula menyatakan bahawa orang di negeri beradat kuat memegang agama.

Isnin, Julai 25, 2005

SELAMAT DATANG

DBP dengan kerjasama Pusat Sumber Pendidikan Negeri, Perbadanan Perpustakaan Awam NS dan Persatuan Penulis NS (PEN) akan menganjurkan aktiviti berikut :

Tarikh : 26 Julai 2005 (Selasa)
Masa : 8.30 pagi - 5.00 petang
Tempat : Dewan Serbaguna, Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan Jalan Dato' Hamzah, Seremban.

Acara 1 : Diskusi buku
Masa : 8.30 pagi - tengah hari
1.Rindu Ibu (A. Samad Said) akan dibicarakan oleh Prof. Dr. Siti Zainon Ismail (UKM)
2. Farris, Putera Yang Hilang (Nisah Hj Haron) akan dibicarakan oleh Cik Maharam Mamat (UKM)
3. Puisi Bonda Kandung - Gema Serunai Hati 8 (PEN) akan dibicarakan oleh Prof. Rahman Shaari (UM)
4. Rindu Pala Muda (Siti Zainon Ismail) akan dibicarakan oleh Prof. Dr. Sahlan Mohd Saman (UKM)

Acara 2 : Bersama-sama penulis PEN
Masa : 2.00 - 5.00 petang

Panel :
1. Encik A. Latip Talib
2. Puan Siti Eisyah Rashid
3. Dato' Dr. Abdul Rahman Kaeh
Moderator : Puan Nisah Hj Haron

Ahli PEN, peminat sastera dan orang ramai dijemput hadir.Sebarang keterangan lanjut, sila hubungi 012-305 7123 (Nisah)

Jumaat, Julai 22, 2005

PANTUN SELOKA MALAM JUMAAT


anak katak melompat-lompat
anak itik berlari-lari
malam tadi malam jumaat
bendera merah gigitlah jari..(latiptalib nyer pantun)

lompat si katak lompat
gedebuk jatuh tersungkur
ada kala hajat tak dapat
tarik selimut tidur berdengkor.. (Zino nyer pantun)

lompat si katak puru
lompat setinggi awan
malam jumaat azam baru
tengok tibi sampai pengsan. (Zareda nyer pantun)

Rabu, Julai 20, 2005

JIKA MEKAH DISERANG


Tom Tancredo, anggota Kongres dari parti Republikan Colorado mencadangkan supaya Amerika menyerang Mekah dengan senjata nuklear jika pejuang berani mati Islam menyerang AS.

Kenyataannya itu dibuat semasa ditemuramah dalam satu rancangan tv Campbell Show di Florida, Jumat 15/7. Namun beliau mengatakan itu Cuma cadangannya sahaja.

Sebenarnya cadangan untuk menghancurkan tanah suci umat Islam bukan pertama kali dilakukan. Pada 8 Disember 2002, seorang pegawai tertinggi Israel pernah mencadangkan kepada pemerintah Israel supaya menghancurkan Mekah dan Madinah jika Israel diserang oleh negara-negara Arab atau pejuang berani mati Islam.
Rich Lowry, ketua pengarang National Review Online, pada mac 2002 juga pernah mengusulkan Amerika menyerang Mekah dengan senjata nuklear.
Tidak mustahil perkara itu akan menjadi kenyataan malah Amerika mampu melakukannya kerana mereka mempunyai senjata yang canggih dan buat masa sekarang tidak ada negara Islam yang mampu menandingi kecanggihan senjata pemusnah AS.
Jika itu terjadi kita Cuma berharap akan berulang peristiwa tentera bergajah seperti yang difirmankan oleh Allah SWT dalam al Quran. Ketika ditanya kepada Abdul Mutalib apa yang akan mereka lakukan apabila tentera Abrahah datang menyerang Mekah?. Dia menjawab, kami akan berlindung dibalik-balik bukit. Kaabah itu rumah Allah. Dia yang akan menjaganya.
Dan akhirnya tentera Abrahah dihancurkan oleh burung layang-layang yang dihantar oleh Allah SWT.
Pada masa sekarang sekiranya Amerika menyerang Mekah atau Madinah akan lebih ramai pengebom berani mati bersedia untuk menghancurkan tentera Amerika. Semoga apa yang berlaku di Iraq menjadi pengajaran kepada AS.

Selasa, Julai 19, 2005

CERITA JENAKA

SIAPA LEBIH SAMSENG

Gerai Pak Ya dikunjungi oleh seorang pemuda samseng. Dia memesan kuih cucur udang kegemarannya. Pemuda samseng komplen.

Pemuda samseng : Kenapa kuih cucur udang Pak Ya tak ada udangnya?.

Pak Ya : Gerai sebelah jual kuih cucur badak tapi kenapa awak tak komplen tak ada badaknya?.

Pemuda samseng: ye tak yer jugak...

Sabtu, Julai 16, 2005

SKIM PERKAHWINAN

Berita baik bagi mereka yang ingin berkahwin kerana Baitulmal Wilayah Persekutuan berhasrat membiayai Skim Perkahwinan kepada mereka yang berpendapatan kurang RM1,024 sebulan.

Di bawah skim tersebut mereka yang layak akan dibiayai sepenuhnya atau diberi peruntukan RM3,000.00 sebagai perbelanjaan untuk berkahwin.

Pada masa sekarang perbelanjaan untuk berkahwin memang mahal kerana duit hantaran saja mencecah hingga RM10,000.00 dan masing-masing seolah berasa bangga kalau anak gadis mereka tinggi duit hantarannya.

Dalam Islam yang penting ialah Maskahwin bukannya duit hantaran namun seolah menjadi satu keaipan kepada keluarga pengantin kalau duit hantaran murah.

Kabarnya Di Kelantan dan Terengganu tidak ada istilah duit hantaran kerana semua pemberian dari pihak pengantin lelaki dikira sebagai Maskahwin.

Di Negeri Sembilan jumlah Maskahwin berbeza mengikut adat di sesuatu tempat. Ada yang Maskahwinnya bagi anak dara RM44.00 dan bagi janda RM22.00 namun ada pula daerah bagi anak dara RM24.00 dan janda RM12.00.

Kerana itu ada cadangan hendak menyeragamkan Maskahwin di Negeri Sembilan menjadi RM300.00 namun ada bantahan dari ketua-ketua adat.

Kalau maskahwin RM12.00 nak beli seluar dalam pun tak cukup, kata Mufti Negeri Sembilan dalam satu taklimatnya kepada pegawai-pegawai masjid baru-baru ini.

Selasa, Julai 12, 2005

SURAH AL_KAUTSAR

Surah Al-Kautsar Surah ini paling pendek, hanya mengandungi 3 ayat & diturunkan di Makkah dan bermaksud sungai di syurga. Kolam sungai ini diperbuat daripada batupermata nan indah dan cantik. Rasanya lebih manis daripada madu, warnanya pula lebih putih daripada susudan lebih wangi daripada kasturi.

Surah ini disifatkan sebagai surah penghibur hati Nabi Muhammad s.a.w.kerana diturunkan ketika baginda bersedih atas kematian 2 orang yang dikasihi iaitu anak lelakinya Ibrahim dan bapa saudaranya Abu Talib. Pelbagai khasiat terkandung di dalam surah ini dan boleh kita amalkan:-

1) Baca surah ini ketika hujan dan berdoa, mudah-mudahan Allah s.w.t.makbulkan doa kita.

2) Jika kita kehausan dan tiada air, bacalah surah ini dan gosok di leher,Insya'allah hilang dahaga.

3) Jika sering sakit mata, seperti berair, gatal, bengkak, sapukan airmawar yang sudah dibacakan surah ini sebanyak 10x pada mata.

4) Jika rumah dipercayai terkena sihir, baca surah ini 10x, mudah-mudahanAllah s.w.t. bagi ilham pada kita dimana letaknya sihir itu.

5) Jika membacanya 1,000x rezeki kita akan bertambah.

6) Jika rajin membacanya, hati kita akan menjadi lembut dan khusyuk ketikamenunaikan solat.

7) Jika orang teraniaya dan terpenjara membacanya sebanyak 71x, Allahs.w.t. akan memberikan bantuan kepadanya kerana dia tidak bersalah tetapi dizalimi.

Perkara yg baik kita amalkan selalu. Sebar2kan kepada kekawan, terima kasih. Wassallam,

Rabu, Julai 06, 2005

BIAR MATI ANAK ATAU BIAR MATI ADAT?


Semalam (5hb) berlansung Seminar Kefahaman Adat Perpatih di Hotel Sri Klawang Jelebu. Antara tajuk kertas kerja yang menarik ialah perbilangan, biar mati anak jangan mati adat, yang dibentangkan oleh Dato Sati Hj Md Jan.

Menurut beliau, biar mati anak jangan mati adat menunjukkan ketegasan pemimpin adat melaksanakan hukuman kepada sesiapa yang melanggar adat. Ini bermaksud, sekiranya anak sendiri yang melakukan kesalahan tetap menerima hukumannya. Ini bersesuaian dengan sabda nabi yang bermaksud, sekiranya anak baginda sendiri mencuri tetap dihukum.

Namun perkara itu sukar hendak dilaksanakan pada zaman sekarang kerana mereka lebih sayangkan anak sendiri. Tambahan pula bila ada pemimpin adat yang laba ke perut.

Selain itu pemimpin adat atau Tok Adat tidak lagi dipandang tinggi di kalangan masyarakat adat perpatih zaman sekarang. Mereka dibayar elaun Cuma RM 45.00 sebulan berbanding penoreh getah yang boleh mendapat RM 50.00 sehari.

Kerana itu menurut Dato Sati Haji Md Jan, biasa terjadi di majlis kenduri kahwin Tok Adat terpaksa beratur dengan orang ramai untuk mengambil makanan di khemah. Tok Adat juga berasa rendah diri bila berurusan dengan anak-anak buah yang bergaji ribu-ribu. Kerana itu bagaimana hendak melaksanakan hukum adat apabila anak buah yang berjawatan tinggi melanggar adat?.

Semasa rehat saya sempat mendengar perbualan beberapa orang peserta seminar. Mereka bersetuju dengan pendapat yang mengatakan kemungkinan pada suatu masa nanti Adat Perpatih Cuma tinggal bahan sejarah sahaja.


Jika perlantikan datuk undang tidak lagi mengikut adat dan apabila Tok Adat tidak lagi dihormati oleh anak buah sendiri maka sistem adat perpatih semakin lama semakin dilupakan, kata seorang peserta seminar.

Sabtu, Julai 02, 2005

SEMINAR ADAT PERPATIH

SEMINAR KEFAHAMAN BUDAYA DAN ADAT ISTIADAT
NEGERI SEMBILAN

ANJURAN BERSAMA

MAJLIS KEBUDAYAAN DAERAH
CAWANGAN JELEBU

DENGAN
PEJABAT KEBUDAYAAN KESENIAN / WARISAN NEGERI SEMBILAN

PADA : 5 JULAI 2005

TEMPAT :HOTEL SRI KLAWANG
KUALA KLAWANG JELEBU

MASA: 8.00 PAGI HINGGA 2 PETANG

DIRASMIKAN OLEH
DATO’ HJ ZAKARIA BIN NORDIN

PEMBENTANG KERTAS KERJA 1
SEJARAH KEDATANGAN ADAT PERPATIH DAN ADAT ISTIADAT HARI INI OLEH: PROF MADYA NORHALIM IBRAHIM

PEMBENTANG KERTAS KERJA 2
BIAR MATI ANAK JANGAN MATI ADAT OLEH DATO’ SATI HAJI MD JAN OTHMAN

UJANA ILMU AKAN MENGADAKAN JUALAN BUKU/NOVEL

Orang ramai dijemput hadir. Masuk percuma.