Khamis, Disember 29, 2005

KEMPEN BERBUDI BAHASA

Tidak lama dulu televisyen kita ada menayangkan satu babak dalam komuter seorang pemuda meletakkan barangnya pada tempat duduk di sebelah menyebabkan penumpang lain tidak dapat duduk.

Mula-mula datang seorang tua terpaksa berdiri kerana tempat duduk di sebelah pemuda itu berisi barang. kemudian datang pula seorang wanita yang sedang mengandung juga tidak dihiraukan oleh pemuda itu. Akhirnya datang seorang buta. Pemuda itu tetap buat muka selamba.

kempen itu mengajak orang ramai bertimbang rasa ketika menaiki pengangkutan awam supaya mengasihani orang tua, wanita mengandung dan orang buta supaya kita memberi tempat duduk kepada mereka dan jangan biarkan mereka berdiri. Dan saya rasa kempen itu ada kesannya.

Baru-baru ini saya ke kuala lumpur menaiki komuter hingga ke kl sentral. Kemudian naik LRT hingga ke Petaling Jaya.

Sepanjang perjalanan itu saya lihat ada seorang wanita muda memberi tempat duduknya kepada seorang lelaki tua yang pada mulanya terpaksa berdiri kerana tidak ada tempat duduk. Begitu juga bila ada wanita yang mengandung maka ada penumpang yang dengan rela hati mengosongkan tempat duduknya supaya diduduki oleh wanita itu. Malah saya sendiri semasa perjalanan balik seorang anak muda cina berdiri sambil mencuit bahu saya menyuruh duduk di tempatnya. Tetapi saya menolaknya kerana masih bertenaga untuk berdiri.

Dari peristiwa itu pada pandangan saya kempen berbudi bahasa yang dilancarkan baru-baru ini memberi kesan kepada orang ramai terutama penumpang pengangkutan awam.

Bercakap pasal pengangkutan awam, di negara kita orang ramai memang berdisiplin apabila hendak menaiki bas kerana mereka sanggup beratur. Tetapi di Indonesia mereka masih berebut-rebut seperti yang pernah berlaku di negara kita suatu ketika dulu.

Oh ya, kabarnya jemaah haji Malaysia semasa di Mekah dan Madinah masih berebut-rebut menaiki bas. Kenapa ye?.

Ahad, Disember 25, 2005

HESCOM 2005

Hadiah eSastera.com 2005 (Hescom 2005)

Malam ini bertempat di Hotel Singgahsana, Petaling Jaya, pada jam 8.00 malam diadakan majlis penyampaian Hadiah Esastera.Com 2005 atau Hescom 2005.

SENARAI FINALIS UNTUK ANUGERAH UTAMA HESCOM 05

Anugerah Penyair Alam Siber (Apas 05)

1. Rudy Bluehikari
2. Airmas SZ
3. Amir Mukhriz
4. Anbakri
5. Mohd Haniff Romai Noor (Anipe)
6. Mohd Dahri Zakaria
7. Saleha Ahmad
8. Tintasukma
9. Nimoiz T.Y
10. As Syramy
11. Nuralana
12. Usop 2000
13. Fahd Razy
14. Ahkarim

Anugerah Sajak Jenaka Alam Siber (Asjas 05)

1. Abdullatip
2. Airmas _SZ
3. Anbakri
4. Rudy Bluehikari
5. As Syramy

Anugerah Cereka Alam Siber (Acas 05)

1. Abdullatip
2. Saleha Ahmad
3. Titnasukma
4. Fahd Razy

Anugerah Novelis Alam Siber (Anas 05)
Tiada anugerah dikeluarkan kerana tiada novel yang disiapkan dalam tahun 2005.


Anugerah Haiku Melayu Alam Siber (Ahmas 05)

1. Abdullatip
2. Saleha Ahmad
3. Rudy Bluehikari
4. As Syramy
5. Dipinggiran
6. Izwansah (EP)
WAB/22.12.05

Selasa, Disember 20, 2005

KLIK DBP (BERITA HARIAN 19/12)

Majlis Penyampaian Hadiah Peraduan Menulis Sastera Kreatif Budaya Sarawak 2003
[Oleh Hajijah Hj. Mainol]


MAJLIS Penyampaian Hadiah Peraduan Menulis Sastera Kreatif Budaya Sarawak 2003 telah berlangsung dengan jayanya di Hotel Merdeka Palace, Kuching pada 2 Disember 2005.

Majlis yang penuh makna ini telah disempurnakan oleh Menteri Perumahan Sarawak, Y.B. Dato Sri Abang Hj. Abdul Rahman Johari Tun Abang Hj. Openg. Selain bertujuan meningkatkan kuantiti dan kualiti penulisan kreatif di Malaysia yang berlatarbelakangkan sosiobudaya rakyat Sarawak, peraduan ini juga bertujuan meningkatkan lagi tahap kesedaran masyarakat tentang pentingnya hidup dalam masyarakat majmuk yang boleh mengukuhkan integrasi nasional.

Peraduan ini terbahagi kepada 3 kategori iaitu kategori novel, cerpen dan puisi. Bagi kategori novel, Randau Ruai karya Saudara Abd. Latip Talip dari Jelebu, Negeri Sembilan berjaya meraih tempat pertama dan membawa pulang wang tunai RM15,000.00. Novel ini mengupas isu tanggungjawab politik dan konflik pembangunan masyarakat desa berlatarbelakangkan rumah panjang Nanga Setia. Novel ini juga menyentuh tentang adat resam negeri Sarawak baik yang sudah luput seperti “ngayap” mahupun yang masih diamalkan pada masa sekarang.

Hubungan antara kaum, antara penduduk Semenanjung dan Sarawak, semangat peribumi, nilai-nilai positif seperti kesetiaan kepada pemimpin serta bermesyuarah dalam membuat keputusan menjadi fokus utama pengarang. Novel Qatrunnada karya Sarimah Alit dari Kuching, Sarawak berjaya memenangi tempat kedua dan meraih wang tunai RM7,000.00 manakala tempat ketiga dimenangi oleh Jong Chian Lai dengan karya berjudul Ensera Marga Timur dari St. Anthony yang melayakkan beliau menerima hadiah bernilai RM4,000.00.

Bagi Kategori Cerpen, Menjamu Semangat karya Abang Median Abang Said memenangi tempat pertama dan meraih wang tunai bernilai RM4,000.00. Cerpen ini menggambarkan kekuatan serta kreativiti pengarang dari sudut realisme magis. Tempat kedua pula dimenangi oleh Darhiri Saini dari Kuching, Sarawak dengan cerpennya Mantera Janji dan membawa pulang RM3,000.00 manakala cerpen Memanjat Langit oleh Jaya Ramba dari Miri, Sarawak menerima hadiah wang tunai bernilai RM2,000.00.

Bagi kategori puisi, Puisi Buatmu Long Palai karya Hassan Baseri Budiman dari Sg. Petani, Kedah berjaya menggondol tempat pertama dan menerima wang tunai RM4,000.00. Tempat kedua dimenangi oleh Abang Median Abang Said dari Kuching, Sarawak yang menerima hadiah wang tunai berjumlah RM3,000.00 dengan karyanya yang berjudul Meredah Resam di Tanah Baram. Tempat ketiga pula dimenangi oleh Pharo Abdul Hakim dari Kuching, Sarawak yang menerima wang tunai RM2,000.00 dengan karyanya berjudul Meredah Lembah Gundah.

Selasa, Disember 13, 2005

CATATAN PERJALANAN KE SARAWAK

Setelah lebih seminggu berlalu namun seperti baru semalam saya berada di kucing. Banyak kenangan yang hendak ditulis dalam blog peribadi ini mengenai perjalanan ke Sarawak, majlis penyampaian hadiah yang sungguh bermakna, berjalan-jalan di tepi sungai Sarawak bersama keluarga, membeli kraftangan Sarawak, menginap di Merdeka Palace, bertemu dengan penulis-penulis Sarawak, dan lain-lain lagi. Semuanya tersimpan dalam memori menjadi kenangan sepanjang hayat.

Setelah 8 tahun tidak ke Sarawak, saya rasa seperti baru pertama kali sampai kerana banyak perubahannya. Bandar Kucing kelihatan bersih dan di hias indah. Di tebing sungai Sarawak dibina laluan berjalan kaki yang cantik. Cuma makanan sahaja agak kurang ngam dengan selera kami yang biasa makan masak lemak cili api.

Walaubagaimanapun saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Aghata yang membuat tempahan untuk kami menginap pada malam pertama di Hotel Grand Continental. Dia juga yang menunggu ketibaan kami di lapangan terbang Kucing dengan keretanya. Terima kasih Aghata.

Pada sebelah malamnya Cikgu Jamaludin dan Isterinya, orang semenanjung bertugas di Sarawak, membawa kami bersiar-siar di bandar Kucing dengan Vannya. kemudian kami singgah makan malam di sebuah restoran di Satok. Kata Cikgu Jamaludin tidak sah ke Sarawak kalau tak makan Mee Kolok dan membeli tikar Sarawak.

Terima kasih juga diucapkan kepada DBP Sarawak terutama Puan Hajijah Mainol yang menempatkan kami di Hotel Merdeka Palace. Saya dan keluarga di beri bilik suite di tingkat 18. Bilik itu sungguh selesa untuk kami sekeluarga.

Dan esoknya abang Nahar (Pemandu DBP Sarawak) menghantar kami membeli cenderamata dan beliau juga yang menghantar kami ke lapangan terbang Kucing semasa balik. Terima kasih abang Nahar.

Terima kasih juga diucapkan kepada kerajaan Sarawak yang menaja satu peraduan menulis sastera kreatif bertaraf kebangsaan dan diselenggarakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak dengan bantuan GAPENA dan PUTERA.

Saya bersyukur kepada Allah yang memberi rezeki dengan membawa pulang hadiah RM16,000.00 (Novel RM15,000.00 dan cerpen RM1,000.00). Alhamdulillah.

Puncak Santubung tinggi di awan
mudik perahu menuju selat
negeri sarawak dalam kenangan
tidak kulupa sepanjang hayat.

Rabu, Disember 07, 2005

LAPORAN PANEL HAKIM


RANDAU RUAI

LAPORAN PANEL HAKIM

Novel ini membawa isu pertanggungjawaban politik dan konflik pembangunan kepada masyarakat desa.

Tuai Pasong mempersoalkan langkah kerajaan mengambil alih tanah penduduk kampung untuk pembangunan kerana keuntungan bukan sampai kepada orang kampung tetapi kepada tauke-tauke besar seperti tauke balak, tauke kilang minyak sawit dan sebagainya. Pembangunan tanah desa juga akan menghilangkan peluang untuk berburu hidupan liar di hutan-hutan terbiar.

Syafiq di arah pulang ke semenanjung kerana gagal dalam misinya untuk membangunkan nanga Setia. Sebelum beliau pulang Aghata menawarkan Syafiq cadangan pembangunan Lembah Ranum oleh sebuah syarikat yang dipengerusikan olehnya sendiri. Syarikat ini mendapat bantuan daripada pelbagai pihak termasuk seorang tokoh korporat dari semenanjung bernama Dato Ramdan. Dalam epilog, digambarkan kejayaan Syarikat Nanga Setia membangun ladang kelapa sawit setelah tujuh tahun diusahakan.

Novel ini mengisahkan pembangunan negeri Sarawak melalui tenaga sonergi tokoh dari Sarawak dan Semenanjung. Novel ini bersifat realisme yang menyentuh persoalan yang amat penting- mengenai pembangunan dan kesungguhan tokoh-tokohnya untuk membawa perubahan dan pembangunan di kawasan pedalaman negeri Sarawak. Di mana FELCRA gagal sebagai agensi kerajaan, rakyat negeri Sarawak berjaya menerusi budaya kerjasama dan perpaduan erat untuk membangun tanah mereka.

Selain itu novel ini juga menyentuh tentang adat resam negeri Sarawak baik yang sudah luput seperti ngayap dan ngayau mahupun yang masih diamalkan pada masa sekarang. Hubungan antara kaum, antara penduduk semenanjung dan sarawak, semangat pribumi, hubungan kekeluargaan, diberikan fokus juga oleh pengarang, novelis juga memberikan tumpuan kepada nilai-nilai positif seperti ketaatsetiaan kepada pemimpin, bermusyuarah dalam membuat keputusan dan lain-lain. Nilai-nilai sosial yang negatif seperti mabuk alkohol, rasuah, berdendam,fitnah dan sebagainya juga dibincangkan.

Dalam latar belakang masyarakat Nanga Setia, novelis memperkenalkan watak-watak utama dan terus menggambarkan tema novel ini yakni pembangunan tanah dan masyarakat pribumi. Novel ini kemudian berkisar kepada watak utama yakni Syafiq dan Aghata yang bertemu dengan secara kebetulan dalam penerbangan ke Sibu. Kemuncak novel ini ialah krisis yang berlaku antara tuai pasong beserta Ambing dengan pihak Syafiq mewakili FELCRA.

Novel berakhir dengan menggambarkan kejayaan Syafiq dan Aghata untuk membangun tanah mereka secara sendiri tanpa campur tangan pihak kerajaan. Dari segi perwatakan pula novel ini diwakili oleh Syafiq, Aghata, Mandar Jerunai. Sementara watak antagonis pula diwakili oleh Tuai Pasong, Ambing, Tauke Lim dan beberapa watak yang lain.

Konflik antara kedua-dua pihak seperti konflik antara kelompok tradisional dengan kelompok moderat yang berbeza pendapat tentang pembangunan. Kelompok moderat dapat mencapai kejayaan sementara antagonis seperti tuai pasong terkorban oleh unsur yang kuat dipertahankannya, iaitu harimau buruannya sementara ambing pula dihadapkan kepada keadilan kerana menjalankan operasi pembalakan haram tauke Lim.

Haji Hamdan Yahya
Haji Hamzah Hamdani

Ahad, Disember 04, 2005

KEPUTUSAN SAYEMBARA SASTERA SARAWAK

KEPUTUSAN PERADUAN MENULIS SASTERA KREATIF BUDAYA SARAWAK 2003

KATEGORI NOVEL

HADIAH PERTAMA

ABDUL LATIP BIN TALIB
NEGERI SEMBILAN

RM 15,000.00 DAN SIJIL

JUDUL KARYA : RANDAU RUAI


HADIAH KEDUA

SARIMAH ALIT
SARAWAK

RM 7,000.00 DAN SIJIL

JUDUL KARYA : QATRUNNADA


HADIAH KETIGA

JONG CHIAN LAI
SARAWAK

RM 4,000.00 DAN SIJIL

JUDUL KARYA :ENSERI MARGA TIMUR DARI ST ANTHONY



KATEGORI CERPEN

HADIAH PERTAMA

ABANG MEDIAN ABANG SAID
SARAWAK

RM 4,000.00 DAN SIJIL

JUDUL KARYA : MENJAMU SEMANGAT

HADIAH KEDUA

DAHIRI SAINI
SARAWAK

RM 3,000.00 DAN SIJIL

JUDUL KARYA MENTERA JANJI

HADIAH KETIGA

JAYA RAMBA
SARAWAK

RM 2,000.00 DAN SIJIL

JUDUL KARYA MEMANJAT LANGIT

TIGA HADIAH SAGUHATI
RM 1,000.00 SETIAP SATU DAN SIJIL

1. DAFAIE ISMAIL
SARAWAK

JUDUL KARYA : TAJAU KELIRING

2. JAYA RAMBA
SARAWAK

JUDUL KARYA : JERATNYA TERLEPAS LAGI

3. ABD LATIP BIN TALIB
NEGERI SEMBILAN

JUDUL KARYA : RANDAU RUAI


KATEGORI PUISI

HADIAH PERTAMA

HASAN BASERI BUDIMAN
KEDAH

Rm 4,000.00 DAN SIJIL

JUDUL KARYA: PUISI BUATMU LONG PALAI

HADIAH KEDUA

ABANG MEDIAN ABANG SAID
SARAWAK

RM 3,000.00 DAM SIJIL

JUDUL KARYA: MEREDAH RESAM DI TANAH BARAM

HADIAH KETIGA

PHARO ABD HAKIM
SARAWAK

RM 2,000.00 DAN SIJIL

JUDUL KARYA MEREDAH LEMBAH GUNDAH

TIGA HADIAH SAGU HATI
RM 1,000.00 SETIAP SATU DAN SIJIL

1. JAAFAR HAJI HAMDAN
SARAWAK

JUDUL KARYA : MARILAH KITA BINA BERSAMA

2. JEMNAY GANI
SAWARAK

JUDUL KARYA: DOAKU KEMBARA INI

3. AB GHANI ABDULLAH
SELANGOR

JUDUL KARYA : BUKAN LAGI ROKOKMU BRUNO MANSAER

HADIAH DISAMPAIKAN OLEH DATO SRI ABANG HAJI ABDUL RAHMAN ZOHARI TUN ABANG HAJI OPENG, MENTERI PERUMAHAN SARAWAK

BERTEMPAT DI MERDEKA PALACE, KUCING
TARIKH: 2HB DISEMBER 2005.

Khamis, Disember 01, 2005

TERIMA KASIH RAHIMI N.S

Saya menerima kad undangan ke majlis perkahwinan daripada Rahimi N.S atau nama penuhnya Haji A.Rahim bin Haji Ismail. Dia salah Seorang tokoh sasterawan Negeri Sembilan.Kebetulan saya memang teringin sangat hendak menghubungi beliau untuk mengucapkan terima kasih.

saya masih ingat pada suatu hari bulan Jun 2004 diadakan majlis membaca puisi bonda kandung di Istana Seri Menanti. Pada malam tersebut saya cuma turut hadir melihat kawan-kawan mendeklamasikan puisi masing-masing.

Pada malam itu juga dibuat pelancaran antologi Puisi Bonda Kandung yang memuatkan karya pemenang sayembara Puisi dan cerpen Negeri Sembilan. kebetulan puisi saya menang tempat pertama. Pada malam itu saya bertemu dengan Rahimi N.S.

"Latip pernah duduk di Sarawak. Tulislah novel atau cerpen berkaitan Sarawak,"katanya.

Kebetulan saya memang telah lama bercadang hendak menulis novel yang ada kaitan dengan masyarakat di Sarawak. Saranan Rahimi N.S itu semakin menyemarakkan keinginan tersebut.

"Bila dah siap nanti hantar ke sayembara novel Sarawak. Mana tahu ada rezeki boleh menang. Hadiah pertama RM 15,000.00,"katanya lagi.

Untuk menambah semangat saya Rahimi N.S mengirim Dewan Sastera yang menyiarkan iklan tersebut.

Sejak itu saya mula mengumpulkan bahan lalu menulisnya dalam bentuk novel. Dalam masa 5 bulan novel itupun siap sebab saya menulisnya setiap hari siang malam pagi dan petang.

Walaupun begitu saya tidaklah terlalu menaruh harapan untuk menang. tambahan pula belum pernah menang sayembara novel.

kerana itu apabila saya dimaklumkan novel tersebut menang saya berasa amat bersyukur.

lalu saya teringat kepada Rahimi N.S kerana dialah yang memberi dorongan kepada saya untuk menulis novel tersebut dan menyertai sayembara.

"Alhamdulillah, saya gembira mendengarnya,"kata Rahimi N.S apabila saya memaklumkan perkara itu kepadanya.

"Terima kasih banyak kerana Encik Rahimi yang cetuskan idea dan beritahu saya adanya sayembara Sarawak itu,"kata saya pula.

"Itu dah rezeki latip. Allah gerakkan hati saya untuk beritahu latip,"katanya.