Jumaat, September 29, 2006

BILA PM MENJADI IMAM



Datuk ABDULLAH Ahmad Badawi mengimamkan solat Maghrib pada Majlis Berbuka Puasa dan Solat Tarawih Anak-Anak Yatim Bersama Presiden dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, malam tadi.

**

Pada zaman khalifah Islam dahulu pemimpin atau ketua pemerintah menjadi imam dalam solat, termasuk membaca khutbah ketika solat jumaat. Tetapi pada masa sekarang payah jumpa pemimpin yang boleh menjadi Imam.

Kerana itu apabila Perdana Menteri Malaysia Datuk Abdullah Ahmad Badawi tampil ke depan menjadi Imam sembahyang maka satu kebanggaan bagi rakyat Malaysia.

Isnin, September 25, 2006

RAMADAN PENUH KEBERKATAN

Ramadan mula dirasakan sejak bulan Rajab lagi. Malah ada yang mula berpuasa pada bulan tersebut. Kini Ramadan telah menjelang tiba dan kita umat Islam diwajibkan berpuasa.

Bulan Ramadan penuh dengan keberkatan, kerahmatan dan keampunan. Allah memberikan ganjaran pahala yang berlipat ganda kepada mereka yang beramal saleh.

Sepanjang Ramadan amalan-amalan sunat ganjarannya sama seperti amalan fardhu, dan amalan fardhu diberi ganjaran 70 kali ganda. Amalan berpuasa di bulan Ramadan akan memberi syafaat di hari akhirat. Pintu syurga terbuka kepada mereka yang berpuasa kerana berpuasa itu menghapus dosa-dosa yang lalu.

Pada bulan Ramadan kita juga digalakan mengerjakan sembahyang Terawih yang tidak ada pada bulan lain. Ganjaran pahalanya juga amar besar. Selain itu kita digalakan membaca al Quran.

Sabda Rasulullah saw. "Barangsiapa membaca satu ayat Al-Quran pada bulan Ramadan, ganjarannya sama seperti mengkhatam Al-Quran pada bulan-bulan yang lain."

Saidina Ali bin Abi Thalib pernah bertanya, "Ya Rasulullah, apa amalan yang paling utama pada bulan ini?"

Baginda menjawab, "Amalan yang paling utama pada bulan ini adalah menjaga diri dari melakukan perkara yang diharamkan oleh Allah swt.”

Semoga pada bulan yang suci ini kita mendapat rahmat dan keampunan. Amin.

Selamat berpuasa.

Jumaat, September 08, 2006

MALAM NISFU SYAABAN

Diam tak diam rupanya kita telah berada di pertengahan bulan Syaaban. Maknanya dua minggu lagi kita berpuasa. Dan seperti tahun-tahun yang lalu pada pada malam tadi (Nisfu Syaaban) umat Islam berkumpul di masjid atau surau di antara Maghrib dan Isyak untuk membaca surah Yasin secara beramai-ramai.

kami membaca Yasin sebanyak tiga kali disertai niat agar dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki dan kuatkan iman dengan diiringi doa khusus.

Malam Nisfu Syaaban sangat istimewa berbanding malam lain kecuali malam Lailatul Qadr pada Ramadan. Pada malam Nisfu Syaaban, pintu keampunan dibuka untuk semua orang yang berbuat dosa kecuali dosa mensyirikkan Allah SWT dan menyimpan perasaan dendam.

Ini bersandarkan hadis yang diriwayatkan Ibn Hibban dan al-Tabrani daripada Muaz bin Jabal bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Allah SWT menurunkan rahmat kepada semua makhluk-Nya pada malam Nisfu Syaaban, lalu ia mengampuni dosa-dosa mereka, kecuali orang musyrik dan yang menyimpan dendam." (Al-Muntaqa, 1/319, bil 533)

Walaupun ada yang mengatakan amalan membaca Yasin pada malam Nisfu Syaaban tidak pernah diajar Rasulullah SAW, tetapi ramai berpendapat tidak salah jika hendak membaca Surah Yasin secara beramai-ramai pada malam Nisfu Syaaban.

Seperti juga dengan tahlil, doa arwah, talkin, upacara potong jambul dan sebagainya ada yang berpendapat itu amalan bidaah tetapi masih juga dilakukan oleh umat Islam khususnya di negara kita kerana mereka berpendapat amalan itu boleh dilakukan.

Jumaat, September 01, 2006

BERBENGKEL DI AIR KEROH 2

Pada bulan Julai yang lalu, bertempat di Puteri Resort Air Keroh Melaka, berlansung bengkel penulisan novel sejarah Johor yang dianjurkan oleh Yayasan Warisan Johor.

Baru-baru ini , bertempat di Sri Warisan Resort, Air Keroh Melaka, sekali lagi saya berpeluang mengikuti bengkel penulisan novel yang dianjurkan oleh Bhg Pengembangan Sastera Kebangsaan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Bengkel kali ini terbahagi kepada dua iaitu cerpen seramai 20 peserta, dibimbing oleh Puan Zaharah Nawawi dan novel 18 peserta, dibimbing oleh Dato’ Dr Anwar Ridhwan. Saya berada di bengkel penulisan novel.

Biasanya dalam sesuatu bengkel penulisan, pihak penganjur menjemput lebih dari seorang penceramah atau pembimbing. Tetapi untuk projek ini cuma seorang sahaja bahagian cerpen dan seorang sahaja bahagian novel yang memberi bimbingan dari mula sampai habis.

Saya rasa cara ini lebih berkesan kerana penceramah boleh memberi bimbingan dari awal hingga akhir dan semua aspek mengenai penulisan novel dapat disampaikan oleh orang yang sama. Tambahan pula para pesertanya terdiri daripada para penulis muda yang berusia antara 18 hingga 36 tahun ( saya seorang sahaja peserta veteran).

Bengkel bermula dengan pembina naratif, tema, watak, latar, bahasa, plot dan sudut pandangan. Kemudian diikuti dengan merangka sebuah novel.

Menurut Dato’ Anwar Ridhwan, untuk membina unsur-unsur Pembinaan naratif, pengarang mestilah benar-benar memahami tema sesebuah novel yang hendak dihasilkannya.

Katanya lagi, dalam sesebuah novel mestilah ada mood dan semangat zaman. Latarnya pula mestilah menyerap pancaindera. Watak dalam novel juga mestilah sebagai manusia yang sempurna dengan sifat kasih sayang, riang, sedih, marah, takut dan bertenaga,

Mengenai sudut pandangan pula, tidak semua perlu diceritakan. Hanya perkara2 penting sahaja yang dimasukkan.

Novel menceritakan tentang kehidupan manusia dan menyelami perasaan mereka. Kerana itu, dalam sesebuah novel, bahasa adalah memainkan peranan yang amat penting kerana melalu bahasa pengarang menyalurkan ideanya.

Gunakan gaya bahasa sastera yang kreatif untuk menyampaikan cerita, fikiran, perasaan dan lain-lain bagi menghasilkan kesan yang mendalam kepada pembaca.

Walaupun pengarang diberi kebabasan berbahasa tetapi gaya bahasa mestilah betul, istilah yang tepat, pola ayat yang sesuai dan berkesan dan gaya bahasa tidak bertentang degan tatabahasa.

Dialognya pula mengandungi perasaan, emosi dan fikiran. Yang penting mesti ada informasi kerana bahasa yang jelas dari pemikiran yang jelas, katanya.

Menurut Dato’ Anwar Ridhwan, antara tujuan menulis, setelah kita meninggal dunia ada sesuatu yang akan ditinggalkan. Walau bagaimanapun sebuah novel yang baik, pembaca mendapat pengalaman baru setelah membacanya.

Antara ciri-ciri pengarang yang baik, selain bakat mesti banyak membaca, tidak jemu-jemu menuntut ilmu dan memahami serta mengkaji sesuatu perkara yang hendak ditulis.

Tidak semestinya apa yang terlintas dalam fikiran boleh ditulis kerana penulis mestilah berhati-hati supaya hasil karya itu terikat kemas, pesannya.

Menyentuh mengenai ilham pula, beliau mengatakan sesuatu yang menggerakkan hati untuk menimbulkan daya cipta, itulah dinamakan ilham.

“Ilham yang datang mesti direbut dengan cepat sebelum hilang,”pesannya.