Jumaat, Julai 28, 2006

BERITA TERKINI


Bengkel penulisan novel di Jelebu pada 30hb telah berpindah tempat seperti berikut:

Tarikh: 30hb (tak berubah)

Tempat: Hotel Sri Klawang. (Bukan Wisma UMNO)

Masa: 8.00 pagi - 5.00 petang


Mereka yang telah menghantar nama;

1. Kamarul Zaman Mohd
2. Norizam binti Sinoh
3. Azman Yusof
4. Norsuriana Abd Razak
5. Zulela Jamaludin
6. Noriah Noor Rahim
7. Azman Yusof
8. Abdul Bari abd Razak
9. Ahmad Fadhil Mohamad
10. Azmi Ismail
11. Wan Salmah Wan Hasan
12. Yusri Adzir
13. Syarifah Salha Syed Ahmad
14. Zaid Md Saman
15. Zanifa Azura
16. Judlifah Azura
17. Rohaizah Juwahir
18. Abu Bakar Fatah
19. Mohd Ez Zulkarnain
20. Muhamad Fariz Abu Samah
21. Mohd Azzaharul Azeem b Azis
22. Muhamad Fakhri Abas
23. Muhamad Hidayat yahya
24. Muhamad Afdhal bin Mohd Ruslan
25. Nor Lyana bte Zainal Abidin
26. Norsiska Puspa Murni bte Samsudin
27. Khadijah Mohd Yusof
28. Hasdatul Nor Faezah Md Said
29. Amiratul Nadiah Hassan
30. Nor Safina Abd Latif
31. Siti Sadhiah Mohd Saiadi
32. Nor Faizin Abd Latip
33. Mohd Khatab Ruslan
34. Mazni Mohd Zin
35. Azmi Mustafa


Peserta diminta mendaftar diri jam 8 pagi.
peserta juga diminta membawa manuskrip novel (jika ada)
Makan dan minum disediakan (free)
Sijil penyertaan akan diberikan kepada peserta.

Mereka yang berminat tapi belum mendaftar nama boleh datang pada hari tersebut tetapi tempat terhad kepada 45 orang peserta sahaja.

Rabu, Julai 26, 2006

PELANCARAN NOVEL PENULIS JELEBU

Sempena bengkel penulisan novel di Jelebu pada 30hb ini, akan diadakan pelancaran novel karya penulis-penulis dari Jelebu. Tiga buah novel berjudul 6.20 karya Siti Jasmina Ibrahim, Keranamu Sofea karya Sarina Mohd Som dan Beraraklah Awan Pilu karya Abdul Latip Talib.
6.20 karya Siti Jasmina Ibrahim. Pemenang tempat ke 2 Sastera Utusan 2005.

Beraraklah Awan Pilu karya Abd Latip Talib pemenang tempat ke 3 Sastera Utusan 2005.

Keranamu Sofea novel sulung Sarina Mohd Som antara novel yang sedang laris di pasaran.



Majlis pelancaran itu akan disempurnakan oleh YB Datuk Razak Mansor ahli EXCO kerajaan Negeri Sembilan Darul Khusus.

Bengkel penulisan dan pelancaran novel yang dianjurkan oleh Majlis Kebudayaan Jelebu dengan kerjasama Persatuan Penulis Negeri Sembilan akan di adakan di Wisma Umno Jelebu.

Para peserta akan dibimbing oleh Puan Ainon Mohd dari penerbitan PTS. Mereka juga dapat berkenalan serta bertukar pengalaman dengan penulis-penulis Jelebu yang novel mereka dilancarkan.

Penyair jemputan Fahd Razy.


Ahmad Fadhil Mohamad Pakarul Razy atau Fahd Razy pemenang hadiah utama Sastera Utusan 2005 kategori Puisi Al-Andalus Menangis.

Selasa, Julai 25, 2006

BERBENGKEL DI AIR KEROH


Pada 21-23 Julai yang lalu bertempat di Puteri Resort Air Keroh Melaka berlansung bengkel penulisan novel sejarah Johor. Bengkel ini ada kaitannya dengan sayembara penulisan novel sejarah Johor yang akan diadakan pada tahun 2007.
Seronok juga dapat menyertainya kerana selain dapat maklumat mengenai sejarah Johor dan mengetahui cara penulisan novel sejarah seperti yang dikehendaki oleh pihak penganjur, dapat bertemu dengan ramai penulis. Antaranya Puan Ainon Mohd, Abdul Hamid Jemain, Fadh Razy, Zaid Aktar, Saadiah Ibrahim. Amaruszati, Muhamad Kasim Muhamad, Zulkarnain Ithnin. Sekadar menyebut beberapa nama.

Para penceramahnya Prof Dr Abdullah Zakaria Ghazali, Encik Mohd Saleeh Rahamad, Prof Madya Dr Rosnah Baharudin, Tuan Haji Hamzah Hamdani dan Prof Madya Datuk Zainal Abidin Borhan.Dalam sesi forum pula ialah Arenawati, Talib Samat dan Faisal Tehrani.

Seramai 48 peserta yang hadir dari pelbagai negeri.

Nisah Haron ada menjual buku-buku termasuk karya pemenang Hadiah Satera Utusan 2005. seronok juga bila ada kawan-kawan yang beli novel BERARAKLAH AWAN PILU kemudian minta saya tandatangan pada novel tersebut.

Kata Nisah Haron ayahnya menangis bila membaca novel tersebut.

Seperti biasa. Balik dari bengkel atau kursus semangat menulis berkobar-kobar. Semoga semangat itu tak kunjung padam. InsyaAllah.

Jumaat, Julai 21, 2006

HADIAH SASTERA UTUSAN 2005


Pada malam 19hb Julai 2006 telah berlansung penyampaian Hadiah Sastera Kumpulan Utusan -ExxonMobil 2005 (HSKU), Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar menyampaikan hadiah kepada para pemenang HSKU. Saya pemenang tempat ketiga kategori novel remaja. Alhamdulillah.

Kali pertama hadiah saguhati cerpen remaja pada tahun 2001 di tempat yang sama iaitu di Hotel Renaissance, Kuala Lumpur dengan cerpen yang bertajuk Jaguh Kampung. Dan kali ini dengan novel remaja berjudul Beraraklah Awan Pilu.

Seperti biasa apabila memenangi satu-satu hadiah sayembara hati berasa seronok dan gembira. Walaupun memenanginya bukan matlamat utama saya menulis tetapi memberi keyakinan serta ransangan untuk terus menghasilkan karya..

Pada bulan Disember 2005 yang lalu saya ke Kucing menerima hadiah peraduan menulis novel sastera dan budaya sarawak.

Seperti penulis-penulis lain bukan kejayaan itu yang hendak dibangga-banggakan. Cuma sekadar rakaman kegembiraan sebagai seorang penulis.

Pada malam itu saya duduk satu meja dengan pemenang kategori Novel Remaja Bahasa Inggeris Ti Chin Han pemenang tempat pertama, Lee Su Ann pemenang tempat kedua dan Teoh Choon Ean pemenang di tempat ketiga.

Sempat juga saya bertanya pengalaman Ti Chin Han yang menghasilkan novel berjudul Frigge Horror yang meraih hadiah wang tunai RM6,000. Menurutnya mengambil masa 6 bulan menyiapkannya. Dia juga bertanya pengalaman saya menulis Beraraklah Awan Pilu.

Sempat juga bersalaman dengan Ghazali Lateh pemenang hadiah Utama kategori Cerpen Hikayat Naga Gunung Cimayu. Kemudian bertemu pula Ahmad Fadhil Mohamad Pakarul Razy atau Fahd Razy pemenang hadiah utama kategori Puisi Al-Andalus Menangis.

Sempat juga berbual dengan cerpenis muda berbakat Ummu Hani Abu Hassan pemenang kategori Cerpen Remaja, meraih Hadiah Utama dengan cerpen Kampung Hati Ayah, selain mendapat hadiah penghargaan bagi kategori Cerpen dengan cerpen Cerita-Cerita Akhir. Beliau meraih hadiah wang tunai berjumlah RM3,300. Tahniah Ummu Hani.

Selesai majlis sempat juga berbual-bual dengan Nor Azah Aziz dan Amir Hmzah L. Kadir dari Kedah pemenang hadiah pertama novel Kembara Amira. Siti Jasmina Ibrahim pemenang tempat kedua dengan novel 6.20. Sedang kami berbual tiba-tiba muncul Datuk Dr. Anwar Ridhwan.

Semasa kami bersalaman dia bertanya kepada Nor Azah, inikah dia orangnya?
Saya bertanya kepada Nor Azah apa maksud pertanyaan Datuk Dr Anwar Ridhwan itu?. Jawab Nor Azah, beliau pernah bertanya yang mana satu penulis bernama abd latip talib?.

Pada malam itu saya bersyukur kerana mendapat hadiah dan gembira bertemu dengan ramai penulis hebat walaupun kebanyakan mereka memang tidak mengenali saya.

Rabu, Julai 19, 2006

NOVEL BARU TERBIT



Judul : Beraraklah Awan Pilu
Pengarang : Abd Latip Talib
Penerbit : Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd
Genre : Novel Remaja
Mukasurat : 246
Cetakan Pertama : 2006
ISBN : 9676118990

Pertemuan dan perpisahan sudah disuratkan. Bukankah jodoh, ajal maut di tangan Tuhan? Begitu Syafik diasuh ibunya, wali keramat yang bersungguh-sungguh sabar dan redha agar dia berjiwa besar, mengharung terjahan ribut di bawah langit mendung, awan pilu.

Bahawa dia titis dari hulu yang cemar menjadi kenistaan yang menghujankan kepiluan. Dengan amanat yang tersemat, Syafik menjejak bapa yang hilang senyap, membawa bersamanya maruah mereka.

Bukankah jodah di tangan Tuhan?

Sungguh harga diri bukan dagangan, dapat dijual beli. Bertemu di rantauan, dalam kemewahan yang melimpah, Syafiq tidak terkilau oleh pangkat dan mata benda. Dengan jiwa besar, ribut yang kasar menjadi lunak. Dia pulang ke desa, mendepani orang keliling bangkit, lebih perkasa, mencuci bersih tohmah nista.

Novel ini memenangi tempat ketiga Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2005

Selasa, Julai 18, 2006

LAGI MENGENAI BENGKEL PENULISAN

Pada jam 9.30 pagi tadi berlansung mesyuarat di pejabat daerah jelebu bagi membincangkan bengkel penulisan novel yang akan diadakan di Hotel Sri Klawang pada 30hb ini.

Saya yang diberi tugas untuk mendapatkan penceramah dan peserta bengkel telah diminta mengemukakan laporan.

Puan Noor Azah Abd Aziz telah bersetuju untuk datang tetapi Puan Mahaya Yasin tidak dapat hadir. Saya mencadangkan diganti dengan Faizal Tehrani tetapi masih belum mendapat jawapan samaada beliau dapat hadir atau tidak. Seorang lagi penceramah Puan Ainon Mohd juga telah menyatakan persetujuannya untuk hadir.

Pada saya bengkel penulisan novel ini agak istimewa kerana dianjurkan oleh bukan badan persatuan penulis. Perbelanjaannya dibiayai oleh Majlis Kebudayaan Daerah Jelebu. Dan ini adalah kali ke 3 kami mengadakannya.

Mesyuarat juga bersetuju menerima 15 peserta dari luar daerah Jelebu yang memohon untuk mengikuti bengkel tersebut Ada permohonan supaya peserta tersebut dibawa melawat tempat bersejarah di Jelebu seperti Makam Moyang Salleh dan Masjid Kuala Dulang. Tetapi cadangan itu terpaksa ditolak kerana kesuntukan masa.

Harapan kami semoga bengkel penulisan ini berjalan dengan lancar.

Isnin, Julai 17, 2006

MITOS NOVEL REMAJA

http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2006&dt=0717&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sastera

Rabu, Julai 12, 2006

BENGKEL PENULISAN NOVEL DI JELEBU

Sejak entri ini disiarkan saya banyak menerima permohonan dari luar kawasan Jelebu untuk menyertainya. Sebelum ini kami bercadang mengambil peserta daripada Jelebu sahaja kerana segala perbelanjaan ditanggung oleh Majlis Kebudayaan Jelebu. Kerana ramai yang berminat maka kami buka juga kepada peserta dari luar.

Antara mereka yang telah mendaftarkan nama seperti berikut:

1. Kamarulzaman Mohd - Tampin

2. Norizam binti Sinoh - Tampin

3. Azman Yusof - Rembau

4. Fahd Razy - Kuala Lumpur

5. Norsuriana Abd Razak - Batu Kikir.

6. Zaharudin Pilus - kuala lumpur

7. Wan Salmah Wan Hasaan - Rembau

8. Zaid Md Saman - Melaka

9. Judlifah binti M. Jamil - Kuala Lumpur

10. Rohaizan binti Juwahir - Kuala Lumpur.
.

Isnin, Julai 10, 2006

BERARAKLAH AWAN PILU

Saya suka membaca novel yang menyentuh perasaan sehingga boleh mengalirkan air mata. Contohnya novel HARTINI dan DI BAWAH LINDUNGAN KAABAH.

Saya pernah bercita-cita hendak menulis novel seperti itu. Dalam bengkel penulisan, penceramah selalu mengatakan kisah dari pengalaman sendiri lebih berkesan dan mudah menyentuh perasaan.

Kebetulan saya ada kisah sedih yang pernah dilalui pada zaman kanak-kanak. Pernah mengalami bagaimana sukarnya kehidupan seorang anak tanpa kasih sayang dari seorang ayah. Maka saya rakamkan kisah suka duka itu dalam novel BERARAKLAH AWAN PILU.

Temanya mengisahkan seorang anak merantau ke Brunei untuk mencari seorang ayah yang telah bercerai dengan ibunya sejak dia masih dalam kandungan. Dengan berlatar belakangkan Jelebu dan negara Brunei Darussalam maka terhasillah novel BERARAKLAH AWAN PILU. Judul asaLnya MENCARI AYAH.

Bersyukur kerana novel remaja itu menang tempat ke 3 hadiah sastera utusan 2005. Walaupun menang sayembara bukan matlamat utama saya menulis namun dapat mengembirakan hati saya dan memberi semangat untuk terus menulis.

Alhamdulillah.

Rabu, Julai 05, 2006

BENGKEL PENULISAN NOVEL

Majlis Kebudayaan Daerah Jelebu dengan kerjasama Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) akan mengadakan bengkel penulisan novel dan pelancaran novel karya penulis-penulis Jelebu pada ketetapan berikut:

Tarikh: 30hb Julai 2006 (Ahad)

Tempat: Hotel Sri Kuala Klawang, Jelebu.

Masa : 8.00 pagi hingga 5.00 petang.

Peserta: 40 orang sahaja.

Makanan dan minuman disediakan.


ATURCARA;

7.30 - 8.00 Pagi - Pendaftaran peserta

8.00 - 9.00 pagi - Majlis perasmian dan pelancaran novel
karya penulis-penulis Jelebu oleh YB Datuk Razak Mansur.

9.00 - 9.30 pagi - Kudapan

9.30 - 11.00 pagi - Bengkel 1 oleh Puan Nor Azah Abd Aziz

11.00 - 12.30 t.hari - Bengkel 2 oleh (akan diberitahu)

12.30 - 2.00 ptg - Rehat makan tengah hari dan solat zuhur.

2.00 - 4.00 ptg - Bengkel 3 oleh Puan Ainon Mohd

4.00 - 5.00 ptg - Majlis penutup dan penyampaian sijil

5.00 ptg - Bersurai/ minum petang

Selasa, Julai 04, 2006

DATO' ABDULLAH HUSSAIN



Saya mula meminati karya Dato Abdullah Hussain setelah membaca sebuah cerpen bertajuk SEBUAH PEKAN BERNAMA SEMPORNA yang disiarkan dalam Dewan Sastera Oktober 1979. Cerpen itu agak panjang tetapi saya seronok membacanya kerana penerangannya begitu jelas. Sejak itu saya terus membaca cerpen-cerpen dan novel-novel beliau.

Kali pertama saya bertemu dengannya pada tahun 1993 dalam satu majlis penyampaian hadiah Sastera Berunsur Islam di Pusat Islam Kuala Lumpur. Kemudian kami bertemu lagi semasa mengikuti rombongan GAPENA melawat Sumatera Barat.

Kebetulan kami duduk satu bangku dalam bas yang bertolak dari Dumai hingga ke Padang dan seterusnya ke Bukit Tinggi. Pada mulanya saya berasa segan kerana beliau penulis terkenal sedangkan saya baru sahaja menghasilkan beberapa buah cerpen. Tambahan pula IMAM novel baru Pak Lah baru saja memenangi Hadiah Novel Nasional.

Tetapi setelah bertegur sapa kami rancak berbual dan beliau terus menceritakan pengalamannya di bidang penulisan termasuk pengalaman menghasilkan novel IMAM.

Semenjak itu kami selalu bertanya khabar. Semasa saya bertugas di Sarawak beliau ada mengirimkan Warta GAPENA yang ada menyiarkan rencana beliau.

Semasa di Sarawak juga saya sempat membaca novel IMAM hingga habis. Kemudian novel itu saya hadiahkan kepada Encik Mohd Nor Yusuf (anak Yusuf Rawa) yang menjadi pengurus ladang PNB.

Khabarnya Dato Abdullah Hussain kini sudah uzur. Beliau tidak dapat menulis lagi. Semasa sihat beliau menulis setiap hari paling kurang lima muka surat.

Khabarnya sebelum jatuh sakit beliau sempat menyiapkan sebuah novel bertajuk DAN APABILA MALAM BERLALU. Novel itu adalah sambungan dari novel IMAM.

Semoga Dato Abdullah Hussain tabah hati dan bersabar dengan apa yang sedang dilaluinya sekarang.

Isnin, Julai 03, 2006

BILA KOMPUTER ROSAK

Setiap hari saya berdampingan dengan komputer. Apabila komputer rosak saya tidak dapat menulis dan membaca. Tambahan pula saya hanya memiliki sebuah komputer.

Ini bukan pertama kali saya mengalami kerosakan komputer. Sudah berkali-kali. Doktor yang merawatnya mengatakan terkena virus yang berkemungkinan disebarkan melalui email.

Dan Seperti biasa, apabila komputer rosak isi kandungannya hilang. Semua karya atau tulisan yang tersimpan hilang dalam sekelip mata.

Namun kali ini saya bernasib baik kerana kebanyakan tulisan itu sudah saya buat salinannya.

Assalamualaikum khas buat pengirim emel.