BERMALAM DI RENGIT
REPLIKA UDANG GALAH MERCU TANDA RENGIT.
Pekan yang paling dekat dengan Belungkur ialah Rengit yang jauhnya 30km. Desaru lebih kurang sama saja jauhnya. Selain itu ada Sabana dan pelbagai lagi tempat peranginan yang menarik. Kami bermalam di Sungai Rengit kerana selain tempat penginapan yang murah (RM50- RM86) di sini juga terkenal dengan udang galah. Tidak jauh dari hotel penginapan kami ada medan ikan bakar.
Di Rengit kami dapat menonton siaran televisyen Indonesia. Banyak juga rancangan yang menarik. Tetapi kerana letih berkereta selama 8 jam (termasuk makan dan solat) dari Jelebu ke Belungkur menjadikan kami memilih untuk tidur awal.
Bermalam di pantai Rengit membuat kami tidur nyenyak. Pendingin udara dimatikan kerana angin laut bertiup masuk melalui tinggkap yang terbuka. Dari bilik penginapan nampak cahaya bergemerlapan dari kapal-kapal di tengah lautan.
Keesokan harinya semasa bersarapan pagi di sebuah restoran sempat berbual dengan seorang lelaki berusia 60an. Namanya Haji Bajuri.
“Encik datang ke sini melawat sedara?” dia bertanya ramah.
“Saja berjalan-jalan,” jawab saya dan perbualan kami semakin rancak.
“Tuan pernah dengar nama Si Bongkok Tanjung Puteri?” tanya saya.
“Encik datang nak tengok kubur dia?” dia bertanya pula
“Iya,” jawab saya.
“Sudah tengok atau belum?” .
“Belum sebab kami sampai petang semalam lalu bermalam di sini. Pagi ini baru ke Belungkur.”
“Biasanya orang yang datang dari jauh tentu ada hajat.”
“Hajat saya Cuma hendak menziarahi pusara dia.”
“Tapi kebanyakan yang datang nak minta nombor.”
“Si Bongkok Tanjung Puteri itu memang benar wujud atau Cuma rekaan?” tanya saya.
“Kuburnya ada di Belungkur,” jawab Haji Bajuri.
Pada mulanya saya menyangka penduduk Belungkur sahaja yang tahu di situ kubur Si Bongkok Tanjung Puteri. Tetapi penduduk daerah lain seperti Rengit, Mersing, Kukub dan daerah sekitarnya juga tahu di sana kuburnya.
Menurut Haji Bajuri, Si Bongkok Tanjung Puteri di anggap menderhaka kerana menentang Temenggong yang berkuasa.
“Si Bongkok Tanjung Puteri itu memang lahir di Tanjung Puteri?” tanya saya,
“Itu saya tak pasti.” Jawab Haji Bajuri.
“Siapa nama ayah dan ibu Si Bongkok?”
“Itupun saya tak tahu.”
Sebenarnya itulah antara hambatan semasa saya mengumpulkan maklumat mengenai Si Bongkok Tanjung Puteri. Selain mendapatkannya melalui internet, rencana surat khabar dan majalah, saya juga banyak mengumpulkan maklumat mengenai Si Bongkok Tanjung Puteri melalui cerita lisan. Kebetulan saya mempunyai keluarga di Singapura dan Johor Bahru.
7 ulasan:
salam,
Macam-macam tujuan orang menziarahi pusara si Bongkok.
Baru saya faham bukannya mudah nak menulis buku berdasarkan sejarah silam.
maaf saya masih guna paklatip bukannya Dato'... harap tak mengapa ya Dato' Abdul Latip.
Pak Latip,
Seronok menjejak Si Bongkok ya.. Saya kini sedang menjejak Sayid Masahor, panglima Sultan Abd Samad Selangor yang berketurunan Arab.
Salam Datuk / Pak Latip,
Walaupun saya warga Johor tapi belum menjejakkan kaki lagi ke situ. Ahh... malunya.
Siapa agaknya penyanyi lagu latar ini?
Owh. Othman Hamzah. :)
Loveujordan,
Memang sukar menulis novel sejarah kerana mesti ada faktanya.
Mohamadkholid,
kalau tidak silap Sayid Masahor itu pahlawan Melanau di sarawak. Atau mungkin kebetulan nama sama. Elok saudara pastikan.
blackpurple
selepas ini bila ada kelapangan elok saudara menziarahi pusara Si Bongkok Tanjung Puteri.
askum...kebetulan terjumpa blog ayahanda,anakanda amat terpegun dgn isi kandungannya...tahniah
Assallamualaikum ... saya Aswad . Alhamdulillah saya terjumpa blog ini . Boleh saya dapatkan email Pak Latip ? Saya dalam proses mengeluarkan documentary mengenai sejarah dan misteri di Tanah Melayu kita ini . Harap dapat berjumpa Pak Latip .
Ini email saya aswad.abdullah@yahoo.com
Catat Ulasan