Khamis, Mei 31, 2007

NOVEL TERBARU

Dua buah lagi novel sejarah yang saya tulis akan diterbitkan oleh PTS Fortune sempena bulan kemerdekaan ini. Sebuah mengisahkan sejarah kejatuhan kerajaan Melayu Melaka pada sekitar tahun 1511, judul asalnya Setelah Roboh Kota Melaka dan sebuah lagi kisah seorang pahlawan Melayu yang dinamakan Si Bongkok Tanjung Puteri.

Si Bongkok Tanjung Puteri akan dijadikan drama bersiri tv dan sudah ada penerbit yang berminat melamarnya.

Selama hampir 20 tahun saya melibatkan diri dalam dunia penulisan tahun 2007 adalah tahun yang paling mengembirakan.

Semoga kegembiraan ini akan berterusan pada tahun-tahun berikutnya.

Insya-Allah.

AIR SUAM 40 SEN SEGELAS DI JELEBU??

Petikan dari Utusan Malaysia hari ini.

Air suam 40 sen segelas di Jelebu, Negeri Sembilan
Oleh: SAIFUL HAIZAN HASAM

SEREMBAN 30 Mei – Percaya atau tidak, air suam yang dijual di sebuah kedai makan di Kuala Klawang, Jelebu berharga 40 sen segelas?

Tetapi begitulah dakwaan Presiden Persatuan Pengguna Negeri Sembilan (Nesca), Khairuddin Yunos yang mendedahkan perkara itu selepas mendakwa memperoleh maklumat daripada seorang pemanggil yang membuat aduan kepada pihaknya.

“Pemanggil itu baru menghubungi saya pagi ini, saya pun terkejut dengan harga itu kerana Kuala Klawang merupakan kawasan pinggir bandar, tidak sepatutnya sebegitu tinggi harga segelas air suam.

“Dia juga memberitahu air limau nipis panas di kedai sama yang hanya berharga 80 sen, sekarang sudah melonjak kepada RM1.40 segelas,” katanya yang dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Khairuddin berkata, beliau juga pelik dengan kenaikan harga minuman yang amat berleluasa sedangkan bahan yang digunakan hanya air masak, gula dan susu.

--------------------------------------------

Sebagai orang Jelebu saya juga terkejut dengan berita ini kerana setahu saya tidak ada restoran di Kuala Klawang yang mengenakan bayaran 40 sen segelas air suam. Namun elok juga pihak yang berkuasa menjalankan siasatan dan kalau terbukti kebenarannya maka sewajarnya diambil tindakan.

Isnin, Mei 28, 2007

GAMBAR KENANG-KENANGAN



Baru-baru ini YTM Dato' Undang Luak Jelebu telah berkenan menerima kunjungan hormat Ahli Jawatankuasa Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Negeri Sembikan Kawasan Jelebu. Selepas majlis ramah mesra kami sempat bergambar kenang-kenangan.




YTM Dato' Undang Luak Jelebu berkenan menerima cenderamata daripada saya berupa 4 buah novel Pahlawan Islam. . Di sebelah kami ialah YB Datuk Razak bin Mansur, Pengerusi PSMCNSKJ yang juga EXCO kerajaan Negeri Sembilan.

YB Datuk Razak juga turut menerima novel-novel tersebut.

Ahad, Mei 27, 2007

JADI TERORIS?




Petikan dari blog WEB SUTERA:

http://pasalbuku.blogspot.com/




Baca buku sejarah Islam jadi teroris?

Ada orang kata membaca buku-buku seperti di atas akan mengakibatkan anak menjadi teroris. Pendapat saya, orang yang berkata begitu sama ada jahil mengenai sejarah Islam atau terpengaruh dengan dakyah Yahudi dan Amerika.

Buku-buku di atas merupakan novel sejarah pahlawan-pahlawan Islam pada era keagungan Islam di masa hidup Muhammad bin Abdullah dan para sahabat. Ini adalah kisah sejarah yang terakam dalam terlalu banyak buku sejarah yang merata di pelusuk dunia. Semua orang tahu bahawa Islam tidak disebarkan dengan mata pedang; hanya Yahudi yang membuat propaganda buruk mengenai Islam, dulu, kini dan selamanya.

Novel-novel yang dihasilkan oleh Abdul Latip Talib, diterbitkan oleh PTS Publications & Distributors Sdn Bhd, ini elok dijadikan hadiah untuk anak-anak remaja kita kerana bahasa yang digunakan mudah. Siri novel sejarah pahlawan Islam ini ditulis dengan teknik Surah Yusuf yang dipelopori oleh PTS.

Kata saya seterusnya, Rambut sama hitam, hati lain-lain.

Teringat kata Yusuf Qardawi, begini:

Jika menyokong perjuangan Islam itu dikatakan teroris, biarkan saya jadi teroris.

Rabu, Mei 23, 2007

DIARI SEORANG PENULIS

Dalam kesibukan menyiapkan novel sejarah Melaka yang berjudul SETELAH ROBOH KOTA MELAKA yang mesti dihantar ke PTS Fortune hujung bulan ini, sempat juga bertemu dengan Wartawan Sastera Berita Harian Shaidah Shafie untuk ruangan Jejak Kretif yang disiarkan setiap hari Selasa di Berita Harian. Mungkin Selasa depan giliran saya. InsyaAllah.

Semalam (selasa 22hb) menghadiri majlis kunjungan hormat ke Balai YTM Dato Undang Luak Jelebu bersama Ahli Jawatan Kuasa Induk Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Negeri Sembilan Kawasan Jelebu.

Dalam majlis itu sempat juga saya menghadiahkan 4 buah novel Sejarah Islam Salahudin Penakluk Jerusalem, Khalid Memburu Syahid, Ikramah Penentang Jadi Pembela dan Tariq Menang Atau Syahid.

YTM Dato Undang kelihatan suka dengan hadiah tersebut. Katanya,belajar di Universiti ambil bidang sejarah. Bekas guru sejarah. Kerana itu memang suka membaca kisah sejarah.

Hari ini pula (Rabu 23 Mei) ke Bangsar Village 11 MPH untuk sesi Photo Shoot Slots. Ada 3 penulis Cina, 2 India dan 3 penulis Melayu. Hanya saya dengan Ahadiat Akashah sahaja penulis novel melayu yang lain penulis buku-buku Inggeris.

Awak tulis novel Melayu banyak orang beli? tanya salah seorang daripada mereka.

Banyak juga. Sebab itu saya dijemput datang, jawab saya.

Awak tulis novel apa? tanya seorang lagi.

Empat buah novel sejarah pahlawan Islam, jawab saya.

Barulah mereka kagum. Hehe

Saya sempat juga berbual dengan Ahadiat Akashah.

Khabarnya Ahadiat terbit novel sendiri? tanya saya.

Iya, jawab Ahadiat.

Dulu novel Ahadiat diterbitkan oleh orang lain. Sekarang sendiri yang terbitkan. Mana lebih bagus? tanya saya.

Dua-dua bagus. Cuma kalau terbitkan novel sendiri kena keluar duit sendiri, jawab Ahadiat.

Katanya lagi, dia telah terbitkan sendiri 8 buah novelnya dan telah mengeluarkan perbelanjaan RM300 ribu.

Fuyoo..kayanya Ahadiat. Bisik hati saya.

Tetapi ada risikonya, kata Ahadiat.

Lalu dia menceritakan beberapa masalah yang terpaksa dihadapinya. Kerana perkara itu bersifat peribadi saya tidak mahu menuliskannya di sini.

Namun yang pasti Ahadiat seorang penulis yang sudah kaya.

Selesai sesi ambil gambar, saya sempat hantar SMS kepada Sifu Puan Ainon.

Assalamualaikum, Saya di MPH Bangsar sesi ambil gambar.

Alaikumsalam. Bagusnya!. Senyum manis2 supaya jeles sesiapa yang belum ada buku dengan PTS.

Saya sudah senyum sokmo. Siap pakai baju melayu dan bersamping.

Ewah! Mesti hensem tu.

Sejak jadi penulis PTS baru saya terasa hensem hehe

Mana ada penulis lain ada 4 novel tahun 2007. Novel pahlawan Islam pulak tu. Tak pernah di buat orang.

Ada lagi beberapa SMS sifu yang buat saya tersenyum-senyum tetapi kerana masih rahsia saya tidak mahu menulisnya di sini. Jika sudah menjadi kenyataan baru saya hebahkan. hehe

Terima kasih Sifu kerana berdoa yang baik-baik untuk saya. Amin.

Ahad, Mei 20, 2007

LAGI REAKSI PEMBACA

Tujuan memaparkan reaksi pembaca ini untuk memberi semangat kepada diri saya sendiri.

ez: Tengah hari tadi baru khatam novel Salahudin al Ayubi. Menangis saya baca waktu Salahudin nazak...Tahniah Pak Latip penulisan dari hati akan jatuh ke hati.

Ez antara pembaca yang mula-mula mengirim emel kepada saya mengatakan beliau membeli novel Salahuddin Penakluk Jerusalem untuk dihadiahkan kepada anak lelakinya yang berusia 19 tahun. Kata beliau dalam emelnya, anak saya kata novel itu Best dia sanggup berjaga sampai pagi untuk menghabiskan pembacaannya.

Katanya lagi, anak lelakinya itu tiga kali khatam membaca novel Salahudin Al Ayubi.

Semoga semangat pahlawan Islam yang terbilang itu dijadikan iktibar oleh anaknya untuk berjaya dalam kehidupannya.

Kata EZ, penulisan dari hati akan jatuh ke hati.

Saya pun tidak tahu macam mana hendak mempraktikkan teori itu. Tetapi semasa menulis bab terkhir novel Salahudin Penakluk Jerusalem itu saya sendiri berasa sedih kerana setelah meninggal dunia beliau tidak meninggalkan harta kecuali wang berjumlah empat dinar sahaja walaupun ketika itu beliau menjadi sultan yang memerintah dari Mesir hingga ke Yaman.

Itulah Salahudin Al Ayubi pahlawan besar Islam yang Agung yang pernah dilahirkan.

Khamis, Mei 17, 2007

REAKSI PEMBACA 2





Soalan

Tikrit:

sstgh buku (krngn Abd Nasih Ulwan) ckp Syawur yg sebenarnya ctc Sultan Nuruddin minta bantuan.. novel Pak Latip Khalifah Al-Adid yang minta bantuan dr Sultan Nuruddin..bole combine x 2 cerita tu..

Jawapan

Walaupun saya tidak kenal siapa orangnya yang bernama Tikrit, tetapi saya tetap akan menjawab pertanyaannya kerana dia memang telah membaca novel Salahudin Penakluk Jerusalem.

Ketika itu Mesir di perintah oleh Daulah Fatimiyah. yang menisbahkan diri mereka sebagai keturunan Siti Fatimah iaitu anak Rasulullah S.A.W yang menjadi isteri Saidina Ali. Mereka berfahaman Syiah dan menjadi saingan kepada Daulah Abbasiyah di Baghdad dan Daulah Umaiyah di Andalusia. Mereka tidak sefahaman terutama dalam politik.

Namun Sultan Salahudin menumbangkan Daulah Fatimiyah di Mesir yang telah memerintah selama beratus tahun bukan dia benci fahaman Syiah (walau ada yang kata Salahudin anti Syiah tetapi saya menafikannya) ketika itu Daulah Fatimiyah berada di ambang kejatuhan kerana ketika itu di perintah oleh Khalifah Al Adid, yang melantik Syawur sebagai perdana menterinya.

Elok juga saya nyatakan Salahudin pergi ke Mesir bukan untuk menumbangkan kerajaan Fatimiyah tetapi menghalau tentera salib yang menyerang Mesir. Dia dilantik menjadi sultan setelah khalifah Al Adid meninggal dunia. Bukan rampasan kuasa.

Adapun Syawur ini bukan orang Arab tetapi orang Sudan tetapi ada pula mengatakan dia orang Habsyah. Khalifah Al Adid berbaik dengan orang-orang Sudan dan Habsyah kerana ingin mengimbangi kuasa Daulah Abasiyah dan Umaiyah.

Pada masa itu ramai orang-orang Sudan dan Habsyah dilantik menjadi pembantu Khalifah Al Adid sehingga mereka bebas keluar masuk ke Mesir. Malah Syawur banyak mempengaruhi keputusan khalifah sehingga dia bercita-cita menjadi raja Mesir.

Pada suatu ketika Syawur dipecat oleh Khalifah Al Adid kerana cuba merampas kuasa. Kemudian Syawur pergi ke Aleppo meminta bantuan Sultan Nuruddin untuk menumbangkan Khalifah Al Adid.. Dan Sultan Nuruddin menghantar panglima Assadudin Syirkuwah dan pasukan tenteranya ke Mesir.

Kerana panglima Asadudin Syirkuwah (guru yang mendidik Salahudin ilmu peperangan) seorang yang bijak dan berpandangan jauh, dia tidak menumbangkan Khalifah Al Adid sebaliknya menyuruh baginda berbaik semula dengan Syawur dan melantik semula sebagai perdana Menteri Mesir.

Namun Syawur masih tidak berpuas hati dan sentiasa mencari peluang untuk menjatuhkan khalifah Al Adid. Peluang itu muncul apabila dia bersubahat dengan tentera salib yang menyerang Mesir bertujuan menjatuhkan Khalifah Al Adid dengan harapan dia akan menjadi raja Mesir.

Ketika itulah Khalifah Al Adid meminta bantuan Sultan Nuruddin untuk menghalau tentera salib dari Mesir dan menggagalkan niat jahat Syawur.

Kerana itu novel saya tidak bercanggah dengan buku karangan Abd Nasih Ulwan seperti yang dikatakan oleh Tikrit.

Cuma novel Salahudin Penakluk Jerusalem yang saya tulis itu kisah bermula semasa tentera salib sudah mengepung Iskandariyah. Kerana itu ia bermula dengan Khalifah Al Adid yang meminta bantuan Sultan Nuruddin.

Beberapa tahun sebelum itu memang benar Syawur yang meminta bantuan Sultan Nuruddin.

Di harap saudara Titrit dan pembaca yang lain berpuas hati dengan jawapan saya.

Namun hanya Allah sahaja yang lebih mengetahuinya.

Ahad, Mei 13, 2007

REAKSI PEMBACA 1

Soalan

A.M Jarni

Salam,

Saya belum habis lagi baca karya ini. Tapi saya ada satu soalan untuk En. Abdul Latip, adakah Barnis dalam buku (Salahudin: Penakluk Jerusalem) ini Reynald de Chatillon ? Jika ya, kenapa nama dia jadi Barnis?

Jawapan

Semasa menulis novel Salahudin saya merujuk kepada beberapa buah buku dalam bahasa Melayu asli dan terjemahan dari bahasa Arab. Nama-nama buku itu ada dicatatkan pada bahagian terakhir novel tersebut.

Dalam buku berjudul Salahudin Al Ayubi yang ditulis oleh Dr Mahmud Syalabi (terjemahan) ada disebut Raja Raymond berasal dari raja Eropah yang menjadi Raja Tripoli kemudian berkahwin dengan Ratu Tibriah lalu dilantik menjadi Raja Jerusalem.

Manakala Birnis Arnat pula ialah penguasa Wilayah Kark.

Dalam buku Perang Salib yang ditulis oleh Mustafa Suhaimi terdapat juga nama Raja Raymond ialah pemimpin tentera salib yang menawan Jerusalem daripada orang Islam.

Ketika itu Salahudin belum lahir.

Dalam buku Sejarah Keagungan Kerajaan Islam oleh Mohd Mokhtar Shafie juga terdapat nama Raja Jerusalem bernama Raymond.

Kerana itu saya yakin Raymond atau Reynald adalah gelaran bagi Raja Jerusalem
Untuk mengatasi kecelaruan itu maka nama-nama pahlawan salib saya ambil dari buku Salahudin Al Ayubi yang ditulis oleh Dr Mahmud Syalabi.

Dalam buku itu terdapat nama Raja Raymond muka surat 75 dan Birnis Arnat muka surat 98.

Dalam satu peristiwa keduanya berjaya ditawan oleh Sultan Salahudin Al Ayubi. Raja Raymond dilepaskan tetapi Birnis dibunuh sendiri oleh Salahudin kerana dia terlalu kejam telah berkali-kali menyerang jemaah haji dan pernah dua kali hendak menawan Mekah sehingga Sultan Salahudin bernazar hendak membunuhnya dengan tangannya sendiri.

Dengan ini jelaslah Raja Raymond (Reynald) dan Birnis itu bukan orang yang sama.

Sebelum manuskrip diterbitkan saya telah berbincang dengan Editor PTS Fortuna Cik Norasyikin apakah mahu dinamakan watak itu Reynald ataupun Raymond. Saya cadangkan Raymond sahaja.

Namun apa yang penting dalam novel ini ialah perjuangan Salahudin Al Ayubi menakluk Jerusalem dari tentera Salib. Nama pahlawan-pahlawan salib itu kalau tidak wujud ataupun tidak tepat pun rasanya tidak mencatatkan ceritanya.

Seperti juga dalam filem Kingdom Of Heaven, hanya nama Saladin dan Raja England sahaja yang wujud. Nama-nama pemimpin tentera Salib yang lain tidak ada wataknya dalam filem itu.

Wallahuaklam.

Rabu, Mei 09, 2007

SALAHUDIN PALING LARIS




Petikan dari http://www.universitipts.com/

Novel berat paling laris sepanjang pesta buku adalah SALAHUDDIN Penakluk Jerusalem karya Abdul Latip Talib.

Kita yakin sasterawan paling laris jualan karyanya adalah Abdul Latip Talib melalui 4 buah novel sejarahnya yang diterbitkan oleh PTS FORTUNA.

Ramai yang membeli keempat-empat novel beliau itu serentak, yang selepas ditolak diskaun 20%, masih terpaksa membayar hampir RM70!

Di booth PTS semua stok SALAHUDDIN habis terjual. Jualan novel-novel beliau melonjak pada hari-hari beliau datang mempromosi dalam booth PTS.

Barangkali kehadiran beliau yang tampan dan sudah matang itu meningkatkan lagi aura buku-bukunya, maklumlah inilah julung-julung kali sejarah hidup pahlawan-pahlawan Islam dinovelkan.

Beberapa kali petugas di booth PTS ditanya oleh pengunjung sama ada karya beliau itu sebenarnya karya terjemahan daripada bahasa Arab!

Jadi, siapa kata novel berat tidak laku? Tengoklah apanya yang berat.

Novel-novel Abdul Latip Talib ini amat berat bahannya. Novel-novel ini ditulis dengan menggunakan teknik surah Yusuf dan dengan mengekalkan ketepatan fakta-fakta sejarahnya.

Novel-novel ini melibatkan sahabat-sahabat karib Rasulullah saw, seperti Ikramah dan Khalid al-Walid, yang ada fiqh-nya apabila menulis tentang mereka. Sesiapa yang tidak kasih kepada sahabat-sabahat Nabi Muhammad saw adalah tidak kasih kepada beliau.

Banyak novel yang dikatakan berat sebenarnya ditulis berkenaan perkara-perkara yang tidak berat pun. Bagaimanalah hendak laku…

Pembaca yang mampu membayar RM70 bagi membeli novel adalah manusia-manusia yang mahukan, dan sukakan, novel-novel berat dan bahan-bahan bacaan yang berat.

Selasa, Mei 08, 2007

NOVEL SEJARAH PAHLAWAN ISLAM




Semasa mempromosikan novel-novel pahlawan Islam di booth PTS sempena Pesta Buku Antarabangsa 2007, saya dapati kebanyakan pembelinya terdiri daripada remaja awal. Mereka tertarik hati untuk membelinya setelah saya katakan ini kisah pahlawan Islam yang ditulis dalam bentuk novel.

Namun lebih ramai yang datang membelinya setelah diberitahu oleh kawan-kawan mereka yang telah membaca novel-novel tersebut. Dengan arti kata lain, Novel itu telah dipromosikan oleh kawan-kawan mereka.

Paling menyentuh perasaan saya apabila ada yang sudah begitu tertarik hendak membelinya tetapi tidak cukup duit kerana harganya agak mahal. Novel Khalid Memburu Syahid umpamanya berharga RM 32.90. Kerana itu ada juga yang bertanya kenapa mahal sangat?. Dan saya akan memujuknya dengan berkata, adik tidak rugi membelinya. Percayalah.

Ada diantara mereka yang datang sekali lagi untuk membeli judul yang lain pula sambil berkata, saya sudah baca novel ini memang sedap. Nak baca yang ini pula.

Isnin, Mei 07, 2007

LETIH TETAPI GEMBIRA

Semalam saya berada di booth PTS dari jam 11 pagi hingga 8 malam untuk mempromosikan novel-novel pahlawan Islam. Pulang ke rumah dalam keadaan keletihan tetapi hati gembira.

Sebelum pulang bertemu dengan Sifu Puan Ainon yang dalam perjalanan ke booth PTS. Bila saya beritahu novel Salahudin Penakluk Jerusalem habis terjual (kehabisan stok) dia nampak terharu sambil mengucap rasa syukur.

Kelmarin saya membeli Salahudin, menangis saya membaca kisahnya, saya teringat kata-kata seorang gadis yang datang lagi ke booth PTS untuk membeli Khalid Memburu Syahid pula.

Mungkin kerana nama Salahudin sudah dikenali ramai maka novel tersebut yang paling laris jualannya daripada 4 judul itu. Selain Salahudin novel Khalid Memburu Syahid juga tidak kurang larisnya. Novel Tariq bin Ziyad berjaya menarik pembeli bila dikaitkan dengan kisah penaklukan Andalusia pada zaman pemerintahan Bani Umaiyah. Dan novel Ikramah pula walaupun namanya tidak dikenali ramai tetapi bila diberitahu dia adalah anak kepada Abu Jahal yang memusuhi Rasulullah baru mereka tertarik membelinya.

Itulah yang mengembirakan saya. Alhamdulillah.

Ahad, Mei 06, 2007

PESTA BUKU ANTARABANGSA 2007

Hari ini Ahad 6hb, hari terakhir Pesta Buku Antarabangsa. Saya datang lagi ke gerai PTS untuk mempromosikan novel pahlawan Islam yang saya tulis. InsyaAllah.

Semalam 5hb (Sabtu) saya berada di Booth PTS dari jam 11.30 pagi hingga 6 petang. Saya, Azre Rahmani, Saridah dan Ainin Naufal sama-sama duduk satu meja mempromosikan buku kami. Kerana semalam cuti hari Sabtu ramai pengunjung.

Kali kedua datang (kali pertama hari rabu 2hb) sudah mula rasa kurang malunya hendak mempromosikan novel sendiri. Semoga kali yang ketiga (hari ini 6hb) sudah tidak malu-malu lagi hehe.

Semalam banyak juga perkara-perkara yang menarik hati saya untuk diceritakan dalam blog peribadi saya ini. Salah satunya bila ada seorang wanita dari Bogor Indonesia bersama anak-anaknya singgah di gerai PTS. Dia tertarik hati lalu membeli novel-novel pahlawan Islam itu.

Saudara penulisnya?. tanya wanita dari Bogor itu.

Iya, jawab saya.

Selain dari empat judul ini ada lagi yang saudara tulis?

Ada tetapi masih dalam proses penulisan.

Apa judulnya?

Sultan Muhamad Al Fateh.

Bila sudah terbit nanti saya akan berusaha untuk membelinya.

Lalu dia mengajak saya bergambar untuk kenang-kenangan. Saya rasa terharu.

Selain dari wanita itu, beberapa orang bakal guru yang sedang menuntut di Maktab Perguruan Durian Daun Melaka dan UPSI singgah lalu membeli novel-novel pahlawan Islam itu. Semasa menandatangani buku-buku itu saya katakan, semoga menjagi guru cemerlang. Mereka kelihatan sangat berminat hendak membacanya.

Ada seorang gadis membeli sekaligus empat judul lalu meminta saya menanda tangani novel-novel tersebut.

Saya mendapat tahu novel-novel ini sedap ceritanya dari kawan saya. Sebab itu saya datang membelinya hari ini, kata gadis itu.

Ada pula seorang lelaki yang memakai ketayap putih, (saya hormat lelaki yang memakai ketayap putih) datang lalu membelek-belek novel Khalid Memburu Syahid.

Adakah ini cerita rekaan? Tanyanya.

Bukan rekaan tetapi berdasarkan fakta dan kisah sebenar yang dilalui oleh pahlawan terbilang itu. Jawab saya.

Kenapa ada dialog? Adakah dialog itu dialog sebenar yang diucapkan oleh Khalid?

Ada dialog sebenar yang diucapkan oleh Khalid. Saya ambil dari buku rujukan saya. Tetapi ada juga dialog yang saya cipta sendiri sesuai dengan peristiwa yang dilaluinya dan bertujuan untuk memudahkan pembaca mengikuti kisahnya.

Itu yang saya tidak setuju. Kata lelaki itu.

Itulah beza antara novel dengan buku sejarah. Jawab saya pula.

Lelaki itu tetap tidak setuju kerana saya menulisnya dalam bentuk novel.

Saya teringat, bila Saidina Umar dan Saidina Osman mula-mula hendak menulis wahyu Allah dalam bentuk mushaf (Al Quran) ada para sahabat yang pada mulanya tidak setuju antaranya Zaid bin Thabit sehingga dia berkata, saya lebih suka kalau disuruh memindahkan gunung dari disuruh menulis wahyu Allah itu untuk dijadikan kitab. Katanya.

Malah ketika mula-mula ada usaha hendak menterjemahkan ayat-ayat Al Quran ke dalam bahasa Melayu pun ketika itu ada yang tidak setuju. Tetapi sekarang ternyata usaha itu sangat besar faedahnya.

Saya mengambir iktibar dari kisah ini untuk terus menulis Novel Sejarah Islam. Ada yang tidak setuju kerana menganggap itu perkara baru yang belum pernah dibuat orang. Tetapi lebih ramai yang setuju dan memuji usaha saya yang kecil itu.

Itulah antara sebab-sebab saya rasa terpanggil untuk datang lagi ke Booth PTS pada hari ini.

Khamis, Mei 03, 2007

PESTA BUKU ANTARABANGSA 2007






Gambar diambil dari blog puan Saridah.


Banyak perkara yang hendak saya tulis semasa berada di Pesta Buku Antarabangsa semalam (2hb Mei) dan tidak rugi berada di booth PTS dari jam 3 petang hingga 7 malam.

Gembira melihat ramai pengunjung datang ke booth PTS menandakan mereka tertarik dengan buku-buku yang diterbitkan oleh penerbit yang dipengerusikan oleh Puan Ainon itu. Ibu bapa membiarkan anak-anak mereka memilih sendiri buku-buku mana yang berkenan di hati masing-masing kerana yakin buku-buku yang diterbitkan oleh PTS selamat kalau dibaca oleh anak-anak mereka.

Tambah gembira melihat para petugas PTS yang memakai apron seperti tukang masak bekerja bersungguh-sungguh untuk mempromosikan buku-buku. Mereka bukan sahaja mempastikan buku-buku keluaran PTS bermutu malah dapat menjualnya kepada orang ramai. Kerana itu sewajarnya penulis membaca entri puan Ainon yang bertajuk

BAGAIMANA KEUNTUNGAN DIKONGSI DALAM INDUSTRI PENERBITAN

Berada di booth PTS dapat berjumpa dan berkenalan dengan penulis-penulis PTS yang selama ini Cuma berjumpa di alam maya sahaja. Saya kagum dengan penulis Puan Saridah yang sanggup datang ke gerai PTS setiap hari untuk membantu mempromosikan buku-buku PTS.

Walaupun Cik Norasyikin mengatakan sesi saya dari jam 3 hingga 5 petang tetapi pada jam 7.30 malam baru saya meninggalkan booth PTS untuk solat Maghrib. Sebelum pulang saya, isteri dan anak-anak bertemu dengan Puan Ainon di tingkat bawah dan kami sempat berbincang agak lama juga. Sifu memang pandai memberi motivasi.

Seperti yang saya katakan pada awal tadi, hati gembira sepanjang berada di booth PTS. Gembira melihat orang ramai datang berkunjung. Gembira melihat mereka memegang dan membelek-belek novel Sejarah Islam yang saya tulis. Lebih mengembirakan bila ada yang membeli lalu meminta saya menurunkan tanda tangan.

Namun apa yang lebih mengembirakan saya ialah maklum balas daripada mereka yang membeli dan membaca novel tersebut. Ada yang bertanya macam mana boleh mendapat idea menulis kisah pahlawan ini dalam bentuk novel?

Idea itu datang selepas menghadiri kursus yang dianjurkan oleh PTS, dibimbing oleh Puan Ainon. Jawab saya.

Saya turut beranikan hati mempromosikan novel tersebut kepada pengunjung yang datang. Tetapi cuma kira-kira 10 buah saja yang dapat saya jual. Selebihnya mereka membelinya setelah mendengar promosi daripada Cik Norashikin dan rakan-rakannya. Ada yang membelinya sampai 4 judul sekaligus. Alhamdulillah.

Selain dari puji-pujian ada juga komen yang menyentuh perasaan tetapi tidaklah sampai melemahkan semangat. Antaranya. Ada seorang lelaki yang umurnya lebih muda dari saya tiba-tiba datang lalu membelek-belek ke empat novel sejarah Islam di depan saya.

Encik, ini kisah pahlawan Islam ditulis dalam bentuk novel. Elok kalau dihadiahkan kepada anak-anak. kata saya.

Saya tak suka takut anak saya menjadi teroris setelah membaca novel seperti ini. katanya sambil tergesa-gesa pergi.

Astagfirullah. Saya mengucap dalam hati.

Percayalah. Membaca dan menghayati perjuangan pahlawan-pahlawan Islam membuat kita berasa kagum dengan semangat dan ketinggian akhlak budi pekerti dan sifat kemanusiaan mereka. Pahlawan Islam tidak membunuh kanak-kanak, wanita dan orang tua. Pahlawan Islam tidak mengancam mereka yang berlindung dalam rumah dan tidak mengganggu mereka yang sedang berada dalam tempat ibadat. Mereka hanya keras terhadap musuh di medan perang tetapi apabila musuh meminta damai atau menyerah diri mereka terus dimaafkan. Salahudin Al Ayubi sanggup menghantar ubat, air dan buah-buahan apabila mendengar King Richerd (musuhnya) sakit kuat. Kalau semangat pahlawan Islam itu dicontohi akan menjadi teroriskah kita?

Kemudian muncul pula seorang wanita lalu saya cuba mempromosikan novel tersebut.

Saya pelajar universiti. Saya lebih suka kalau ditulis dalam bentuk buku sejarah. Tapi bila dijadikan novel begini saya tak minat membacanya. katanya lalu pergi.

Tetapi saya tidak marah kerana sebelum itu beberapa orang gadis yang apabila saya Tanya mereka juga pelajar universiti telah membeli novel-novel tersebut. Mereka begitu berminat hendak membacanya.

Ada seorang gadis begitu berminat hendak membelinya tetapi setelah mengira-ngira duit dalam begnya tidak cukup lalu saya tolong bayarkan.

Sultan Muhamad Al Fateh dah terbit? Tanya seorang lelaki.

Tahulah saya pemuda itu peminat blog Puan Ainon kerana dalam satu entrinya Sifu pernah mengatakan saya akan menulis kisah Sultan Muhamad Al Fateh.

Cik Norasyikin mengatakan ada pembaca yang komplen kenapa dalam novel Tariq, ada bab yang menceritakan khalifah Bani Umaiyah menerima sogokan hadiah berupaya emas dan wanita-wanita cantek daripada raja-raja Eropah?

Kisahnya begini, setelah Tariq berjaya menakluk Andalus dan Portugal maka dia membuat persediaan menyibarkan Islam ke negara-negara Eropah yang lain. Maka timbul ketakutan raja-raja Eropah lalu mereka menghantar utusan menemui khalifah Bani Umaiyah meminta perdamaian. Mereka memberikan pelbagai hadiah termasuk emas dan wanita-wanita yang cantik dengan satu permintaan iaitu jangan menyerang negara mereka.

Sebelum menulis bab ini timbul pertanyaan demi pertanyaan di hati saya. Kenapa Tariq dipanggil pulang ke Damsyik oleh khalifah sedangkan ketika itu dia telah membuat persediaan bagi menyerang negar-negara Eropah?. Dan kenapa Tariq meninggal dunia setelah dia pulang ke Damsyik.

Untuk menjawab persoalan ini saya menggali semula sejarah kejatuhan Bani Umaiyah, sejarah kejatuhan Bani Abasiyah, sejarah kejatuhan Empayer Osmaniyah di Turki dan sejarah kejatuhan kesultanan Melayu Melaka. Jawapannya, apabila sultan atau khalifah leka dengan kemewahan dunia dan berlaku zalim maka runtuhlah kerajaannya.

Kerana itu tidak salah bukan kalau saya masukkan kelakuan khalifah Bani Umaiyah menjelang kejatuhannya agar menjadi pengajaran.