Jumaat, Mac 30, 2007

MOOD MENULIS

Tidak dapat dinafikan mood atau ransangan menulis itu amat penting bagi seorang pengarang. Tanpa mood atau ransangan itu kita menjadi malas hendak menulis. Saya pernah bertanya kawan-kawan bagaimana hendak mendatangkan mood atau mengekalkannya agar penulisan berjalan lancar.

Ada mengatakan kita jangan menunggu mood baru menulis. Jadikan menulis sebagai tanggung jawab yang mesti dilakukan setiap hari. Mungkin ada kebenarannya namun saya tetap tidak dapat menulis kalau tidak ada mood.

Rumah saya terletak di kawasan perkampungan. Di belakang rumah saya terdapat kawasan kebun getah. Setiap pagi sekitar jam 3 pagi kedengaran bunyi motosikal lalu di depan rumah saya. Dia seorang penoreh bangsa cina yang amat rajin. Setiap hari kalau tidak hujan dia akan mula menoreh pada jam 3 pagi.

Pernah saya bertanya bagaimana dia dapat mengekalkan moodnya. Saya cari makan dengan menoreh getah. Mesti menoreh hari-hari. Kalau tak menoreh mau makan apa? Begitulah lebih kurang jawapannya.

Selasa, Mac 20, 2007

IKRAMAH BIN ABU JAHAL

Sebelum memeluk Islam Ikrimah pernah membantu bapanya Abu Jahal melemparkan najis kepada Nabi Muhamad SAW yang ketika itu sedang sembahyang di depan Kaabah. Pada hari yang lain dia membantu bapanya mencekik leher Rasulullah. Malah dalam satu mesyuarat yang dihadiri oleh pembesar Quraisy, Ikramah mencadangkan supaya Nabi Muhamad SAW dibunuh.

Ikramah turut serta dalam perang Badar dan Perang Uhud dengan tekad hendak membunuh Nabi Muhamad SAW tetapi tidak berjaya. Namun dendamnya kepada utusan Allah itu kian membara. Tambahan pula setelah ayahnya (Abu Jahal) terbunuh dalam perang Badar.

Pada hari Rasulullah SAW memasuki kota Mekah, Ikramah cuba menghalang tetapi berjaya dikalahkan oleh Khalid bin Walid. Ikramah melarikan diri ke Yaman. Tetapi kedatanganya tidak dialu-alukan oleh Raja Yaman menyebabkan Ikramah pergi ke Habsyah. Semasa dalam pelayaran kapal yang tumpanginya dilanda ribut dan hampir karam. Semua penumpang dalam kapal itu berdoa dan Ikramah turut berdoa kalau selamat dari bencana itu dia akan kembali ke Mekah untuk menemui Nabi Muhamad.

Atikah, isteri Ikramah memeluk Islam lalu menemui Nabi Muhamad dan merayu supaya suaminya dimaafkan. Rasulullah menerima permohonan itu. Kemudian Atikah mencari suaminya untuk dibawa pulang ke Mekah.

Kepulangan Ikramah ke Mekah sampai ke pengetahuan Nabi Muhamad SAW. Baginda amat gembira dan menyambut kedatangan Ikramah dengan berkata, SELAMAT DATANG WAHAI PAHLAWAN YANG TELAH BERHIJRAH. Ikramah amat terharu dengan kebaikan yang ditunjukan oleh Rasulullah lalu menyatakan hasratnya ingin menganut agama Islam.

Setelah masuk Islam, Ikramah menunjukkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Nabi Muhamad. Setelah baginda wafat ramai yang murtad malah ada yang mengaku menjadi nabi. Khalifah Abu Bakar melantik Ikramah memimpin tentera bagi memerangi mereka yang enggan membayar zakat dan mengaku menjadi nabi palsu.

Kemudian Ikramah menyertai tentera Islam ke Yarmuk. Tentera Islam yang berjumlah 40,000 orang bertempur dengan tentera Rom yang berjumlah 240,000 orang. Setelah berlaku pertempuran sengit selama beberapa hari belum ada tanda-tanda pasukan mana yang menang. Akhirnya Ikramah mendapat satu idea. Dia membentuk satu pasukan tentera berani mati seramai 400 orang. Kemudian mereka mengempur musuh menyebabkan pertahanan tentera Rom kucar kacir.

Keberanian Ikrtamah dan pasukan tentera berani matinya menaikkan semangat tentera Islam. Mereka turut menyerbu ke arah musuh lalu berjuang bermati-matian sehingga beroleh kemenangan. Ikramah menemui Syahid di Yarmuk.

Kisah Ikramah ini saya jadikan sebuah novel dengan tajuk IKRAMAH Penentang jadi pembela yang diterbitkan oleh PTS Fortune dan akan berada di pasaran beberapa hari lagi.

Selasa, Mac 13, 2007

TARIQ BIN ZIYAD



Sebuah novel sejarah Islam yang dinantikan kemunculannya. Sesuai dibaca oleh anak-anak, remaja dan dewasa. Hayatilah semangat pahlawan yang terbilang ini.

Tariq Bin Ziyad - Menang ataupun Syahid

PTS Fortuna
Harga: RM 23.90 / RM 26.90 (Sabah & Sarawak)
ISBN: ISBN 978-983-192-057-2
Barcode: 978-983-192-057-2
Jumlah Halaman: 256 halaman
Tarikh Terbit: 19 March 2007

Novel Tariq-Menang ataupun Syahid yang ditulis dalam bentuk kreatif ini menceritakan sifat kepahlawanan seorang lagi pahlawan Islam yang pada asalnya hanya seorang hamba. Disebabkan memiliki sifat-sifat yang terpuji,dia dilantik oleh Musa bin Nusair menjadi pembantunya dan seterusnya diberi kepercayaan memimpin 12,000 tentera Islam ke Sepanyol.

Tariq menganggap kedatangan mereka ke Sepanyol hanya untuk syahid ataupun mengalahkan musuh. Disebabkan itulah dia sanggup membakar kapal perang yang mereka naiki supaya tentera Islam di bawah pimpinannya tidak bercita-cita untuk pulang.

'Di belakang kita laut, di depan kita musuh. Kita terpaksa memilih kemenangan ataupun syahid.' Kata-kata keramat Tariq berjaya meniupkan kembali semangat jihad di kalangan tentera Islam.

Isnin, Mac 05, 2007

SAYA AKAN TERUS MENULIS






Saya akan terus menulis…demikian kata Pak Arenawati, yang kini sudah berusia 82 tahun.

Walaupun kini beliau uzur namun semangat untuk menulis tetap bersemarak dalam jiwanya. Bagaimana pula dengan saya?. Umur baru 53 tahun sepatutnya mencontohi semangat Pak Arenawati. Menulis dan terus menulis.

Menurut Pak Arenawati lagi, Menulis ialah peranan yang saya pilih dalam hidup ini. Dari dulu saya memilihnya dan saya mahu terus memilihnya.

Ye saya juga sepatutnya mencontohi beliau menjadikan menulis sebagai tanggung jawab yang perlu dilakukan setiap hari. Ya Allah berilah saya kekuatan.

Pak Arena mengakui dirinya kurang dikenali tetapi perkara itu tidak sedikitpun memberi kesan kepadanya. Saya tidak peduli itu semua. Bukan tujuan saya untuk menunjuk muka, katanya.

Kata-kata Pak Arenawati itu bersesuaian dengan sebuah senikata lagu, Saya menulis bukan kerana nama.

Kalau ingin glamour atau popular jadilah penyanyi atau pelakun, saya teringat kata-kata arwah Othman Puteh dalam satu bengkel penulisan.


InsyaAllah, saya akan terus menulis.