Rabu, Mac 29, 2006

REZEKI PENOREH GETAH

Para penoreh getah sekarang boleh hidup agak senang apabila harga getah sekerap (getah beku) RM3.00 sekilo. Mereka yang mempunyai kebun getah seluas 2 hektar atau 5 ekar boleh dapat RM300.00 sekali menoreh. Mereka yang menoreh kebun orang apabila dibahagi dua pendapatannya tidak kurang RM100.00 sehari. Kerana itu tidak ada lagi kebun getah yang tidak ditoreh. Masing-masing berebut hendak menoreh. Mereka yang bekerja makan gaji pula ada yang pulang ke kampung pada hari cuti atau hujung minggu untuk menoreh getah.

Akibat harga getah yang tinggi maka dusun-dusun durian banyak yang ditebang digantikan dengan pokok getah. pokok-pokok getah yang sepatutnya sudah boleh ditebang untuk diganti dengan tanaman baru ditangguhkan dulu penebangannya selagi masih boleh mengeluarkan getah.

Beberapa tahun yang lalu harga getah jatuh hingga 0.60 sen sekilo. Tetapi sekarang naik lima kali ganda. Rezeki penoreh getah.

Sabtu, Mac 25, 2006

JOM KE PESTA BUKU

Pesta buku antarabangsa ke 25 sedang berlangsung di PWTC dari 24 Mac -02 April ini. Kali ini saya berkesempatan mengunjunginya pada hari pertama (pembukaan). Kerana jatuh pada hari Jumaat maka terpaksalah saya bertolak dari Jelebu selepas solat Jumaat dan sampai pada jam 6 petang. Kerana hari sudah petang ( ditutup jam 9 malam) maka ramai pengunjung yang telah pulang. Dalam perjalanan ke tapak pameran (agak jauh juga berjalan kaki) saya berselisih dengan ramai pengunjung yang baru keluar.Saya lihat pengunjung perempuan lebih ramai menjinjing beg plastik berisi buku atau majalah. Memang benarlah kaum wanita lebih ramai membelinya daripada kaum lelaki. Kenapa ye?.

Semasa singgah di gerai PTS saya sempat membeli beberapa buah buku. Menurut Puan Ainon Mohd dalam blognya, bila sampai di gerai PTS perkenalkan diri kepada pegawai yang bertugas sambil menunjukkan buku yang dipamerkan. Kerana buku saya belum ada dipamerkan maka rasa malu pulak nak memperkenalklan diri :)

Nasib baik saya disapa oleh Ida Munira (sekarang menjadi editor di PTS) saya hampir tidak cam wajahnya kerana sekarang dia semakin kiut dan comel :) Selain membeli buku saya juga bercadang hendak berjumpa dengan Asyikin Wahid, editor PTS yang mengedit novel pahlawan-pahlawan Islam yang saya tulis. Tetapi kerana dia sedang sibuk maka terpaksa ditangguhkan. Rasa terkilan juga kerana sudah janji nak belanja makan kalau jumpa :)

Alhamdulillah, sempat juga berbual dengan Encik Faris dan Nor Hazizam.

Semasa di gerai Karangkraf sempat membeli novel terbaru Sarina Mohd Som berjudul KERANAMU SOFEA. Menurut Sarina kalau datang ke pesta buku beritahu dia dulu, tetapi setelah 2 kali saya sms tidak berjawab maka saya beranggapan dia juga sibuk. Nak jumpa Sri Diah tetapi dia juga tidak ada mungkin sudah balik.

Semasa di gerai DAWAMA saya terjumpa buku saya MERENTAS RANJAU yang diterbitkan oleh DBP cetakan pertama tahun 1993 dan cetakan kedua tahun 1995 dijual dengan harga RM1.00 senaskhah. Di gerai Utusan pula saya terjumpa PENDEKAR SIAMANG GAGAP yang terbit tahun 1998 kemudian diterjemahkan dalam bahasa English pada tahun 2000 dijual dengan harga RM2.00 senaskhah. Agaknya kalau saya memohon untuk menerbitkan semula buku itu apakah dibenarkan?

Jom ke pesta buku. Nasihat saya jangan datang hampir senja.

Ahad, Mac 19, 2006

YUSUF ISLAM DAN SURAH YUSUF

Yusuf Islam kini terkenal sebagai pendakwah bukan sahaja di Britain malah di seluruh dunia. Pada tahun 1970an dulu dia terkenal sebagai penyanyi popular dengan nama Cat Stevens. Apakah yang menyebabkan beliau berubah daripada seorang penyanyi pujaan ramai dengan kehidupan yang serba mewah dan glamour kepada seorang pendakwah yang hidup sederhana dan sering melakukan kerja kebajikan?.

Seperti yang diakui sendiri oleh Yusuf Islam dalam satu wawancara dengan sebuah majalah, dia mengambil keputusan memeluk agama Islam setelah mengalami dua peristiwa yang begitu berkesan di hatinya yang akhirnya telah merubah keseluruhan kehidupannya.

Menurut Yusuf Islam, ketika dia berusia 19 tahun di mana namanya ketika itu sedang popular sebagai penyanyi pujaan ramai, dia terlibat dengan ketagihan arak dan rokok sehingga menyebabkan mengidap penyakit batuk kering.

Setelah sembuh dari penyakit yang hampir meragut nyawanya itu, Yusuf Islam mula sedar bahawa kemewahan hidup, glamour dan menjadi pujaan ramai tidak menjamin kebahagiaan dalam kehidupannya. Lalu dia menilai semula dirinya serta berusaha mencari kehidupan yang lebih berarti namun dia masih belum menemui apa yang dicari-carinya.

Pada suatu hari semasa dia berada di Los Angeles, Yusuf Islam hampir mati lemas. Ketika itu dia berdoa jika Tuhan menyelamatkan dia dari bencana itu maka dia berjanji akan berkerja untuk Tuhan. Dalam sekelip mata ombak datang lalu menolaknya ke pantai.

(Kisah yang sama pernah berlaku kepada Ikramah bin Abu Jahal. Apabila kapal yang ditumpangnya hampir karam lalu dia pun berdoa, jikalau selamat dari bencana itu dia memeluk Islam.)

Selepas peristiwa itu barulah saya yakin bahawa Tuhan itu ada, kata Yusuf Islam.

Menurutnya lagi, untuk mendekatkan diri dengan Tuhan dia mempelajari pelbagai agama seperti Buddha, Hindu dan Kristian namun tidak ada yang memuas serta meyakinkan hatinya.

Pada suatu hari saya yang sedang mencari haluan hidup ketika itu dihadiahkan oleh abang saya David sebuah terjemahan kitab suci Al Quran, kata Yusuf Islam.

Menurut Yusuf Islam, pada mulanya tujuan dia membaca al Quran sekadar hendak mencari kelemahannya seperti yang pernah dilakukannya terhadap agama lain. Apabila dia membuka kitab suci itu surah pertama yang dibacanya ialah surah Yusuf.

Hati saya berbisik apa yang saya baca ialah sebuah kisah yang indah. Semakin lama membacanya semakin mengasyikkan sehingga saya mengalirkan airmata, demikian pengakuan Yusuf Islam.

Menurutnya lagi, Saat itu saya yakin Al Quran bukan ciptaan manusia tetapi adalah wahyu Allah. Inilah cahaya yang saya cari selama ini. Hati saya berasa aman lalu menerima Islam.

Sabtu, Mac 18, 2006

LAGI ISU TUDUNG

Tidak lama dulu ada seorang wanita Islam yang bekerja di sebuah hotel dibuang kerja kerana memakai tudung. Wanita itu telah membuat aduan dan berita tersebut tersiar dalam surat khabar. Maka isu itu menarik perhatian orang ramai termasuk para pemimpin negara.

Beberapa hari yang lalu saya menghadiri seminar di Kuala Lumpur Internasional Hotel. Sebelum ini telah beberapa kali saya menginap di hotel yang sama. Apa yang menarik perhatian saya sudah ada pekerja di hotel tersebut, termasuk penyambut tetamu yang memakai tudung. Pada saya ini satu perubahan yang menarik. Apakah hotel yang lain juga telah membenarkan pekerjanya memakai tudung?.

Sebelum ini pekerja hotel memang tidak dibenarkan memakai tudung. Malah semasa temuduga pihak hotel telah memberi amaran tidak boleh memakainya. Tetapi setelah isu itu menarik perhatian ramai mungkin sudah dibolehkan. Harap-harap begitulah.

Semasa makan tengahhari ada yang bertanya, kenapa pembaca berita tv tidak memakai tudung?. Bukan sahaja di Malaysia, Indonesia dan Brunei malah di negara Arab sendiri pembaca berita wanita tidak memakai tudung. Adakah mereka dilarang atau sengaja tidak mahu memakainya?. Dilarang memakai tudung dengan tidak mahu bertudung adalah perkara yang berbeza.

Persoalannya kenapa masih ada yang melarang wanita Islam memakai tudung di tempat kerja?.

Jumaat, Mac 10, 2006

DIALOG BERSAMA PELAJAR

Semalam (9hb) saya dijemput sebagai penceramah dalam sesi dialog bersama penulis sempena minggu PSS dan Bulan Bahasa Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Pedas Rembau N.Sembilan.

Walaupun pesertanya 36 orang sahaja namun mereka yang dipilih telah menunjukkan minat masing-masing dalam bidang penulisan malah sudah ada yang menghasilkan karya.

Dalam sesi dialog ada yang bertanya bagaimana proses penulisan novel RANDAU RUAI yang memenangi tempat pertama sayembara novel Sarawak.

Saya juga mengambil kesempatan mempromosikan 3 buah novel pahlawan Islam iaitu Tariq bin Ziyad, Salahuddin Al Ayubi dan Khalid Al Walid yang akan ditebitkan oleh PTS tidak lama lagi.

Ada juga yang bertanya apakah konsep penulisan yang paling baik lalu saya katakan contohilah surah Yusuf kerana Allah swt mengatakan itulah sebuah kisah yang paling indah.

Dari minat yang mereka tunjukan saya yakin ada di antara mereka yang akan muncul sebagai penulis satu hari nanti. InsyaAllah.

Rabu, Mac 08, 2006

MAJLIS PERTUNANGAN



Rombongan menghantar pinangan anak saya yang sulung baru-baru ini.