Selasa, Februari 21, 2006

PERANG BADAR

Pada 17 Ramadan tahun 2 Hijrah Allah mewajibkan berpuasa. Pada tarikh itu juga berlakunya perang Badar antara tentera Islam yang dipimpin oleh Nabi Muhamad dengan tentera Quraisy yang dipimpin oleh Abu Jahal.

Peristiwa bermula apabila Rasulullah saw mendapat berita satu rombongan pedagang yang diketuai oleh Abu Sufian bin Harb sedang dalam perjalanan pulang dari Syam menuju ke Mekah.

Nabi Muhamad berpendapat para pedagang itu perlu disekat kerana mereka membawa peralatan senjata yang banyak untuk digunakan bagi memerangi Islam. Maka Rasulullah saw memimpin seramai 313 orang tentera menuju ke satu tempat bernama Badar. Tujuan asalnya hanya untuk menyekat qafilah pedagang Quraisy dan Rasulullah s.a.w sendiri tidak menjangka akan berlakunya suatu peperangan yang mencipta sejarah. Kerana itu jumlah tentera Islam Cuma sedikit kerana ramai di kalangan sahabat tidak menyertai operasi tersebut.

Apabila Abu Sufian bin Harb mendapat tahu gerakan tentera Islam itu dia menghantar utusan kepada Abu Jahal di Mekah untuk meminta bantuan tentera bagi melindungi mereka. Di samping itu Abu Sufian bertindak bijak dengan membawa orang-orangnya melalui kawasan pantai sehingga mereka berjaya mengelakkan daripada bertembung dengan tentera Islam.

Apabila telah selamat maka Abu Sufian menghantar satu lagi utusan kepada Abu Jahal melaporkan mereka telah selamat dan tidak memerlukan lagi bantuan tentera.Tetapi Abu Jahal dengan sombongnya berkata,Demi Tuhan Al Latta dan Al Uzza, Kita tidak akan pulang ke Mekah selagi kita belum sampai ke Badar. Apabila sampai di Badar nanti kita akan berpesta selama tiga hari tiga malam. Kita sembelih unta, minum arak sambil menyanyi dan menari supaya Muhamad tahu kedatangan kita. Dengan ini kehebatan kita dapat dilihat oleh mereka.

Melalui pasukan pengintip, Rasulullah s.a.w mendapat laporan rombongan para pedagang Quraisy telah berjaya menyelamatkan diri dan mereka telah sampai ke Mekah. Tetapi Abu Jahal bersama tentera Quraisy seramai 1,300 orang sedang menuju ke Badar. Maka Rasulullah saw pun bermesyuarat dengan para sahabatnya. Mereka berpendapat sekiranya tentera Islam berundur berarti penakut serta memberi kemenangan moral kepada pihak musuh. Dengan ini orang-orang Quraisy akan bertambah kuat dan memungkinkan mereka bermaharajalela terhadap orang-orang Islam. Kerana itu pertembungan dengan tentera musuh tidak dapat dielakan. Walaupun jumlah tentera Islam sedikit dengan kelengkapan senjata yang tidak mencukupi namun semangat jihad untuk mempertahankan Islam membara dalam diri mereka.

Kemudian Nabi Muhamad saw memerintahkan tentera Islam membina markas di satu tempat yang ada punca mata air. Mereka menggali kolam-kolam untuk menampung air minuman.
Kemudian Saad bin Muadz mencadangkan, Wahai Rasulullah! Saya mencadangkan dibina tempat perlindungan buatmu. Biar kami bertempur dengan musuh. Jika Allah mengurniakan kemenangan itulah yang sangat kami harapkan. Jika berlaku sebaliknya engkau tetap berada di tempat selamat dan masih boleh meneruskan lagi peperangan bersama mereka yang masih mengasihimu.

Cadangan itu diterima lalu para sahabat membina tempat perlindungan untuk Rasulullah s.a.w di satu tempat yang tinggi membolehkan baginda memerhati ke arah medan pertempuran. Pada malam Jumaat 17 Ramadhan itu tentera Islam diberikan ketenangan oleh Allah di mana mereka dapat tidur dengan nyenyak dan keesokan harinya mereka bangun dengan penuh bersemangat untuk bertempur dengan musuh.

Pada pagi Jumaat 17 Ramadan, tentera Islam seramai 313 orang berdepan dengan tentera Quraisy berjumlah 1,300 orang lengkap dengan senjata dan kuda. Selepas menyusun barisan tenteranya maka Nabi Muhamad pun berdoa, Ya Allah! Wahai Tuhanku, tunaikanlah apa yang telah Engkau janjikan kepadaku. Jika Engkau binasakan pasukan kecil ini maka Engkau tidak akan disembah lagi di bumi selepas ini.

Sebelum pertempuran dimulakan, Abu Jahal menyuruh tiga pahlawan Quraisy tampil ke depan untuk mencabar tentera Islam berlawan satu dengan satu. Rasulullah s.a.w meminta agar Ubaidah bin Harith, Saidina Hamzah dan Saidina Ali tampil ke depan menyahut cabaran itu. Ketiga-tiga pahlawan Islam itu berjaya membunuh musuh mereka di mana kemenangan ini merupakan kemenangan awal dalam menyemarakkan lagi semangat jihad. Selepas itu berlaku pertempuran di mana pada peringkat pertama tentera Islam mengambil kedudukan bertahan di mana tentera musuh yang menyerang berjaya dilumpuhkan.

Kemudian giliran tentera Islam pula melakukan serangan. Mereka dibantu oleh para Malaikat yang mana dapat disaksikan bagaimana terputusnya kepala dan tangan musuh tanpa dapat dilihat sesiapa yang memancungnya. Diceritakan juga bagaimana Seorang tentera Islam yang sedang mengejar musuh tiba-tiba kepala musuh itu terputus sedangkan dia belum menghayun pedangnya.

Iblis turut berada di situ dengan menyamar dirinya sebagai Suraqah bin Malik. Iblis berasa gementar apabila melihat Malaikat datang membantu tentera Islam. Ketika melarikan diri maka Iblis terlanggar Al-Harith bin Hisyam sehingga rebah. Apabila ditanya mengapa dia melarikan diri maka dengan ketakutan Iblis menyatakan dia nampak apa tidak mampu dilihat oleh orang lain.

Semasa pertempuran sedang berlansung, seorang pemuda bernama Muadz bin Amru melihat Abu Jahal sedang dikelilingi oleh beberapa orang tentera Quraisy. Dia menerpa ke arah ketua tentera Quraisyu itu lalu melibaskan senjatanya mengenai betis Abu Jahal.
Ikramah anak Abu Jahal yang berada di situ bertindak balas berjaya menetak tangan Muadz hampir putus. Namun Muadz tidak mengalah. Dia terus menyerang Abu Jahal. Apabila Muadz merasa tangannya yang terkulai itu menyusahkan dia menyerang maka dipijak tangannya yang terkulai itu sehingga putus. Kemudian dia terus menyerang Abu Jahal. Abdullah bin Masud yang melihat peristiwa itu datang membantu lalu berjaya memenggal leher Abu Jahal sehingga putus. Apabila Rasulullah saw melihat mayat Abu Jahal maka baginda mengatakan dia Firaun umat ini.

Peperangan yang bersejarah ini berakhir dengan kemenangan kepada tentera Islam di mana 70 orang musyrikin terbunuh dan 70 orang lagi berjaya ditawan. Manakala di pihak tentera Islam seramai 14 orang telah syahid.

Khamis, Februari 16, 2006

KELEBIHAN IMAM SYAFIE

Pada suatu hari Imam Syafie berkunjung ke rumah Imam Ahmad bin Hambal (Imam Hambali). Selepas makan malam Imam Syafie terus masuk ke bilik yang disediakan untuknya dan beliau segera berbaring. Anak gadis Imam Hambali yang memerhatikan perlakuan Imam Syafie tidak senang hati lalu mengadu kepada ayahnya.

'Syafie bukan seorang yang alim. Ada tiga perkara yang tidak berkenan di hatiku,katanya.

'Apa dia?'tanya Imam Ahmad bin Hambal.

'Pertama bila saya hidangkan makanan diapun makan dengan banyaknya. Kedua, dia tidak bangun solat tahajud. Dan ketiga, dia sembahyang subuh tanpa berwuduk.'

Imam Hambali pun meminta penjelasan daripada Imam Syafie mengenai aduan anak gadisnya itu. Dengan tersenyum imam Syafie pun berkata.

'Memang betul saya banyak makan di rumahmu kerana saya tahu makanan yang diberikan itu halal dan baik. Saya tidak ragu-ragu memakannya. Engkau juga seorang yang pemurah. Makanan yang diberi oleh seorang yang pemurah menjadi ubat tetapi makanan yang diberi oleh orang yang bakhil itu penyakit. Saya banyak makan bukan supaya kenyang tetapi hendak berubat dengan makananmu itu.

'Mengapa engkau tidak bangun sembahyang tahajud?'tanya Imam Hambali lagi.

'Setelah saya meletakkan kepala di atas bantal tiba-tiba saya merasakan seolah Al Quran dan Hadis dibentangkan di hadapan saya. Dengan izin Allah malam tadi saya dapat menyelesaikan 72 masalah ilmu fiqah sehingga saya tidak sempat solat tahajud.

'Kenapa engkau sembahyang subuh tanpa berwudhuk?'

'Malam tadi saya tidak tidur walau sekejap pun. Saya solat subuh dengan wudhuk solat isyak.'

Rabu, Februari 08, 2006

BILA PENULIS MERAJUK

Baru-baru ini secara kebetulan saya bertemu dengan seorang penulis wanita yang namanya sudah mula terkenal dan novel cintanya pernah dicetak hingga berpuluh ribu naskah.

- Sekarang saya sudah lari dengan penerbit itu - katanya marah.

Apa masalahnya?

-Mereka tokok tambah manuskrip tanpa kebenaran saya. Ada pulak tu di buang sesuka hati tanpa beritahu saya terlebih dulu- jawabnya geram.

- Itu saja?

-Penerbit tak hormat penulis. Mereka anggap penulis bergantung hidup dengan mereka padahal mereka yang bergantung kepada penulis.

-Macam mana dengan bayaran royalti?

_Saya pernah dapat berpuluh ribu ringgit untuk sebuah novel tetapi penerbit tentu dah ambil berlipat kali ganda.

Maka diapun merajuk lalu membuka syarikat sendiri dan menerbitkan novel sendiri.

-Macam mana dengan pamasarannya?

-Saya pergi ke kedai-kedai. Memang penat tapi hati saya puas.

-Macam mana dengan pendapatan?. Maksud saya berbanding dengan dulu?

-Mula-mula ni memang kurang tapi hati saya puas.

Dalam perjalanan pulang saya berfikir, ada penulis merajuk kerana manuskrip novelnya ditokok tambah oleh editor tanpa kebenarannya. Ada pula yang merasa tidak dihargai oleh penerbit.

Bila dah merajuk biasanya penulis lari ke penerbit lain atau membuka syarikat penerbitan sendiri.

Tetapi bila penulis jadi penerbit ruang untuk dia berkarya semakin sempit kerana dia terpaksa membahagikan masa untuk menulis dan memasarkan bukunya.

Biasanya bila sesuatu tindakan itu dilakukan berpunca dari rasa marah atau tidak puas hati maka lebih banyak resiko yang terpaksa dihadapi.

Kerana itu alangkah eloknya dijaga hubungan baik antara penulis dengan penerbit.

Selasa, Februari 07, 2006

HARI-HARI TERAKHIR SEORANG BIDUAN

Pada malam khamis yang lalu (1/2) saya nampak penyanyi S.Jibeng sedang menyanyi di pasar malam di pekan kuala Klawang, Jelebu. Tidak ada pentas kerana dia menyanyi sambil duduk di atas kerusi yang diletakkan di atas tanah sambil memegang pembesar suara diiringi oleh seorang pemain gitar. Di belakangnya kelihatan seorang wanita dan beberapa orang kanak-kanak. (mungkin isteri dan anak-anaknya) di depan beliau terdapat sebuah tin empat segi (bekas tin biskut) bertulis berilah sumbangan ikhlas untuk S.Jibeng.

Kemudian esoknya sekali lagi saya melihat S.Jibeng di pasar tani Simpang Pertang dengan gaya yang sama.

Dan kali terakhir saya melihatnya pada pagi hari ahad (5/2) di pasar tani Kuala Klawang.Kerana dia penyanyi yang dikenali ramai maka agak ramai juga yang menyaksikan persembahannya.

Saya berasa kasihan melihatnya kerana hanya beberapa orang sahaja yang bermurah hati memasukkan duit ke dalam tin derma ikhlas tersebut. Mungkin wang yang didapatinya tidak cukup untuk duit minyak datang ke Jelebu. Belum termasuk penginapan dan makan minumnya.

Kalau persembahan terbuka seperti itu dibuat di kawasan bandar mungkin agak ramai juga yang memahaminya dan memasukkan duit ke dalam tabung yang disediakan tetapi bila dibuat di kawasan pedalaman yang penontonnya ramai terdiri dari orantg-orang kampung mereka semacam seronok menyaksikan persembahan S.Jibeng tetapi semacam malu-malu hendak memasukkan duit ke dalam tabung yang disediakan.

Pada hari ini saya tersentak bila mendengar berita di tv S.Jibeng telah meninggal dunia di hospital Johor bharu.

Menurut pembaca berita S Jibeng meninggal dunia setelah balik dari membuat persembahan di Jelebu. al fatihah.

Rabu, Februari 01, 2006

SALAHUDIN AL AYUBI

RIWAYAT HIDUP SALAHUDIN AL AYUBI

Salahudin Al-Ayubi atau nama sebenarnya Sholahuddin Yusuf bin Ayyub, Atau Saladin –menurut panggilan orang Barat– lahir pada tahun 1137M, di kota Tikrit, berhampiran dengan Sungai Tigris, kira-kira 140 km dari kota Baghdad.

Beliau dari suku bangsa Kurdish dan semasa dilahirkan keluarganya dihalau dari Tikrit oleh pemerintah Baghdad kerana dituduh penghianat. Dalam perjalanan ke Alleppo Salahudin dilahirkan sehingga ayahnya berkata Anakku ini dilahirkan ketika aku dalam kesusahan. Aku bimbang kelahirannya membawa sial. Tidak siapa menyangka bayi itu menjadi pahlawan terbilang.

Semasa kecilnya Salahuddin Al Ayubi mendapat pendidikan ilmu ketenteraan daripada bapa saudaranya Asaddin Shirkuh atau Assaddudin Shirkuwah seorang panglima perang.
Salahuddin dibesarkan sama seperti anak-anak Kurdish biasa. Pendidikannya juga seperti orang lain, belajar ilmu sains di samping seni peperangan dan mempertahankan diri. Tiada seorangpun yang menyangka suatu hari nanti dia akan merampas kembali bumi Palestin dari tentera Salib. Walau bagaimanapun Allah telah mentakdirkannya untuk menjadi pemimpin besar pada zamannya dan Allah telah menyediakan dan memudahkan jalan-jalannya ke arah itu.

Kerjayanya bermula sebagai tentera berkuda Al-Malik Nuruddin, sultan Aleppo, kemudian dia diperintahkan untuk pergi ke Mesir. Pada masa itu Mesir diperintah oleh kerajaan Fatimiyah yang berfahaman Syiah. Pada mulanya Salahudin berasa berat hati hendak berangkat ke Mesir kerana lebih sayangkan Aleppo. Sesungguhnya Allah perancang yang Maha Bijaksana seperti yang termaktub dalam Al Quran; Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu (Al-Baqarah:216).

Apabila Salahudin sampai di Mesir keadaan tiba-tiba berubah. Dia yakin Allah telah memberi tanggung jawab kepadanya untuk membebaskan Baitul Muqaddis dari penaklukan Kristian. Dia menjadi seorang yang zuhud dan tidak tergoda dengan kesenangan dunia.

Stanley Lane Poole mencatatkan bahawa Salahuddin mengubah cara hidupnya kepada yang lebih keras. Dia bertambah warak dan menjalani hidup yang lebih berdisiplin dan sederhana. Dia mengenepikan corak hidup senang dan memilih corak hidup sederhana yang menjadi contoh kepada tenteranya. Dia menumpukan seluruh tenaganya untuk membina kekuatan Islam bagi menawan semula Jerusalem. Salahuddin pernah berkata, Ketika Allah menganugerahkan aku bumi Mesir, aku yakin DIA juga bermaksud Palestin untukku. Ini menyebabkan DIA memenangkan perjuangan Islam.

Sehubungan dengan itu Salahudin telah menyerahkan dirinya untuk jalan jihad. Fikiran Salahuddin sentiasa tertumpu kepada jihad di jalan Allah. Bahauddin, jurutulis Sultan Salahudin mencatatkan, semangat Salahuddin sentiasa berkobar-kobar untuk berjihad menentang tentera Salib telah menyebabkan jihad menjadi tajuk perbincangan yang paling digemarinya.Dia sentiasa meluangkan seluruh tenaganya untuk memperkuat pasukan tenteranya, mencari mujahid-mujahid dan senjata untuk tujuan berjihad. Jika ada sesiapa yang bercakap kepadanya berkenaan jihad dia akan memberikan sepenuh perhatian. Sehubungan dengan ini dia lebih banyak di dalam khemah perang daripada duduk di istana bersama sanak keluarga. Siapa sahaja yang menggalakkannya berjihad akan mendapat kepercayaannya. Apabila dia telah memulakan jihad melawan tentera salib dia akan menumpahkan seluruh perhatiannya kepada persiapan perang dan menaikkan semangat tenteranya.

Dalam medan peperangan dia bagaikan seorang ibu yang kehilangan anak. Dia akan bergerak dari satu penjuru ke penjuru yang lain dalam usaha menaikkan semangat tenteranya supaya benar-benar berjihad di jalan Allah. Dia sanggup pergi ke pelosok tanah air dengan mata yang berlinang mengajak umat Islam supaya bangkit membela Islam. Ketika perang berlansung dia lebih suka berpuasa. Semasa mengepung Acre dia demam namun tetap berpuasa. Doktor peribadinya berkata bahawa Salahuddin hanya berbuka dengan beberapa suap makanan sahaja kerena tidak mahu perhatiannya kepada peperangan terganggu.

Kemenangan peperangan Hittin telah membuka jalan mudah kepada Salahuddin untuk menawan Baitul Muqaddis. Bahauddin telah mencatatkan bahawa Salahuddin sangat-sangat berhajat untuk menawan baitul Muqaddis Hajatnya tercapai pada hari jumaat, 27 Rajab, 583H, iaitu pada hari Israk Mikraj, Salahuddin telah memasuki Masjidil al Aqsa.

Dalam catatan Bahauddin menyatakan inilah hari kemenangan atas kemenangan. Ramai orang yang terdiri dari ulama, pembesar-pembesar, peniaga dan orang-orang biasa datang merayakan kemenangan ini. Kemudiannya ramai lagi orang datang dari pantai dan hampir semua ulama-ulama dari Mesir dan Syria datang untuk mengucapkan tahniah kepada Salahuddin. Boleh dikatakan hampir semua pembesar-pembesar datang. Laungan Allahhu Akbar dan Tiada tuhan melainkan Allah telah bergema ke angkasa.

Sifat penyayang dan belas kasihan Salahuddin semasa peperangan ini sangat jauh berbeda daripada kekejaman tentera Salib. Ahli sejarah Kristian pun mengakui hal ini. Lane-Poole mengesahkan bahwa kebaikan hati Salahuddin telah mencegahnya daripada membalas dendam. Dia telah menuliskan yang Salahuddin telah menunjukkan ketinggian akhlaknya ketika orang-orang Kristian menyerah kalah.Tenteranya sangat bertanggung jawab, menjaga peraturan di setiap jalan, mencegah segala bentuk kekerasan hinggakan tiada kedengaran orang-orang Kristian diperlakukan tidak baik.

Selanjutnya Lane-Poole menuliskan bagaimana pula tindak-tanduk tentera Kristian ketika menawan Baitul Muqaddis kali pertama pada tahun 1099. Telah tercatat dalam sejarah bahawa ketika Godfrey dan Tancred menunggang kuda di jalan-jalan Jerusalem jalan-jalan itu 'tersumbat' dengan mayat-mayat, orang-orang Islam yang tidak bersenjata disiksa, dibakar dan dipanah dari jarak dekat dari atas bumbung dan menara rumah-rumah ibadah. Darah yang membasahi bumi yang mengalir dari pembunuhan orang-orang Islam secara beramai-ramai telah mencemarkan kesucian gereja di mana sebelumnya kasih sayang sentiasa diajarkan.

Maka sangat bernasip baik orang-orang Kristian apabila mereka dilayan dengan baik oleh Salahuddin. Lane-Poole juga menuliskan, jika hanya penaklukan Jerusalem sahaja yang diketahui mengenai Salahuddin, maka ia sudah cukup membuktikan dialah seorang penakluk yang paling penyantun dan baik hati di zamannya bahkan mungkin di sepanjang zaman.

Lane-Poole juga menuliskan dalam setiap peperangan Salahuddin sentiasa berbincang dalam majlis yang membuat keputusan-keputusan ketenteraan. Kadang-kadang majlis ini membatalkan keputusan Salahuddin sendiri. Dalam majlis ini tiada siapa yang mempunyai suara lebih berat tiada siapa yang lebih mempengaruhi fikiran Salahuddin. Semuanya sama sahaja. Dalam majlis itu ada adiknya, anak-anaknya, anak saudaranya, sahabat-sahabat lamanya, pembesar-pembesar tentera, kadi, bendahari dan setiausaha. Semuanya mempunyai sumbangan yang sama banyak dalam membuat keputusan. Pendeknya semuanya menyumbang dalam kepakaran masing-masing. Walau apa pun perbincangan dan perdebatan dalam majlis itu, mereka memberikan ketaatan mereka kepada Salahuddin.

Bahauddin bin Shaddad, penasihat utama Salahuddin telah mencatatkan berkenaan kewarakan Salahuddin. Dia sentiasa melakukan sembahyang berjemaah. Bahkan ketika sakitnya pun dia memaksa dirinya berdiri di belakang imam. Dia sentiasa mengerjakan sembahyang Tahajjud. Bahauddin melihatnya sentiasa sembahyang di belakang imam ketika sakitnya, kecuali tiga hari terakhir di mana ia telah tersangat lemah dan selalu pingsan.

Dia tidak pernah tinggal sembahyang fardhu. Tetapi dia tidak pernah membayar zakat harta kerana tidak mempunyai harta yang cukup nisab. Dia sangat murah hati dan akan menyedekahkah apa yang ada padanya kepada fakir miskin dan kepada yang memerlukan hinggakan ketika wafatnya dia tidak meninggalkan harta. Bahauddin juga mencatatkan bahawa Salahuddin tidak pernah meninggalkan puasa Ramadhan kecuali hanya sekali apabila dinasihatkan oleh Kadi Fadhil. Ketika sakitnya pun ia berpuasa sehinggalah doktor menasihat kannya dengan keras supaya berbuka. Lalu ia berbuka dengan hati yang berat sambil berkata, Aku tak tahu bila ajal akan menemuiku. Maka segera ia membayar fidyah.

Dalam catatan Bahauddin juga menunjukkan Salahuddin teringin sangat menunaikan haji ke Mekah tetapi dia tidak pernah berkesempatan. Pada tahun kemangkatannya,
keinginannya menunaikan haji telah menjadi-jadi tetapi ditakdirkan tidak kesampaian. Dia sangat gemar mendengar bacaan Quran. Dalam medan peperangan ia acap kali duduk mendegar bacaan Quran para pengawal yang dilawatnya sehingga 3 atau 4 juzuk semalam. Dia mendengar dengan sepenuh hati sehingga air matanya membasahi dagunya.

Dia juga gemar mendengar bacaan hadis Rasulullah saw. Dia akan memerintahkan orang-orang yang bersamanya duduk apabila hadis dibacakan. Apabila ulama hadis datang ke bandar, dia akan pergi mendengar kuliahnya. Kadang kadang dia sendiri membacakan hadis dengan mata yang berlinang.

Salahuddin sangat yakin dan percaya kepada pertolongan Allah. Dia biasa meletakkan segala harapan nya kepada Allah terutama ketika dalam kesusahan. Pada satu ketika dia berada di Jerusalem yang pada masa itu seolah-olah tidak dapat bertahan lagi dari pada kepungan tentera bersekutu Kristian. Walaupun keadaan sangat terdesak dia enggan untuk meninggalkan kota suci itu. Malam itu adalah malam Jumaat musim sejuk. Bahaauddin mencatatkan, Hanya aku dan Salahuddin sahaja pada masa itu. Dia menghabis kan masa malam itu dengan bersembahyang dan munajat.

Aku berada di sebelahnya ketika dahinya mencecah bumi sambil menangis hingga air matanya mambasahi janggutnya dan menitik ke tempat sembahyang. Aku tidak tahu apa yang didoakannya tetapi aku melihat tanda-tanda doanya dikabulkan sebelum hari itu berakhir. Perbalahan berlaku di antara musuh-musuh yang menatijahkan berita baik bagi kami beberapa hari kemudian. Akhirnya tentera salib membuka khemah-khemah mereka dan berangkat.

Salahuddin tidak pernah gentar dengan ramainya tentera Salib yang datang untuk menentangnya. Dalam satu peperangan tentera Salib berjumlah sehingga 600,000 orang, tetapi Salahuddin menghadapinya dengan tentera yang jauh lebih sedikit. Berkat pertolongan Allah mereka menang, membunuh ramai musuh dan membawa ramai tawanan. Ketika mengepung Acre, pada satu petang lebih dari 70 kapal tentera musuh beserta senjata berat mendarat. Boleh dikatakan semua orang merasa gentar kecuali Salahuddin. Dalam satu peperangan yang sengit semasa kepungan ini, serangan mendadak besar-besaran dari musuh telah menyebabkan tentera Islam kalang kabut. Tentera musuh telah merempuh khemah-khemat tentera Islam bahkan telah sampai ke khemah Salahuddin dan mencabut benderanya. Tetapi Salahuddin bertahan dengan teguhnya dan berjaya mengatur tenteranya kembali sehingga dia berjaya membalikkan kekalahan menjadi kemenangan.

Musuh telah kalah teruk dan berundur meninggalkan lebih kurang 7,000 mayat-mayat. Bahauddin ada mencatatkan betapa besarnya cita-cita Salahuddin. Suatu hari Salahuddin pernah berkata kepadanya, Aku hendak beri tahu padamu apa yang ada dalam hatiku. Apabila Allah mentakdirkan seluruh tanah suci ini di bawah kekuasaanku, aku akan serahkan tanah-tanah kekuasaanku ini kepada anak-anakku, kuberikan arahan-arahanku yang terakhir lalu ku ucapkan selamat tinggal. Aku akan belayar untuk menaklukkan pulau-pulau dan tanah-tanah yang lain. Aku tak akan meletakkan senjata ku selagi masih ada orang-orang kafir di atas muka bumi ini sehingga ajalku sampai.

Salahuddin memiliki asas pengetahuan agama yang kukuh. Dia juga mengetahui setiap suku-suku kaum Arab dan adat-adat resam mereka. Bahkan dia mengetahui sifat-sifat kuda Arab walaupun dia sebenarnya orang Kurdish. Dia sangat gemar mengumpulkan pengetahuan dan maklumat dari kawan-kawannya dan utusan-utusannya yang sentiasa berjalan dari satu penjuru ke satu penjuru negerinya. Di samping Quran dia juga banyak menghafal syair-syair Arab. Lane-Poole juga ada menuliskan bahawa Salahuddin berpengetahuan yang dalam dan gemar untuk mendalami lagi bidang-bidang akidah, ilmu hadis serta sanad-sanad dan perawi-perawinya, syariah dan usul figh dan juga tafsir Quran.

Kejayaan terbesar Sultan Salahudin Al Ayubi ialah mengalahkan tentera Salib pada tahun 1171. Baginda memerintah selama 22 tahun telah membina kubu pertahanan dikenali sebagai al-Qalaah (Citadel) yang mana melindungi kota Kaherah dan kota lama al-Fustat dari serangan musuh. Selepas beliau meninggal pada tahun 1193 di Damsyik, Syria, pewaris-pewarisnya telah memerintah Mesir sehingga tahun 1250.

Stanley Lane Poole (1914) seorang penulis Barat menyifatkan Salahuddin sebagai seorang yang memilliki kelebihan daripada orang lain kerana menunjukkan akhlak yang mulia. Menurutnya pada hari tentera salib menakluk Jerusalem pada tahun 1099, mereka telah menyembelih orang-orang Islam termasuk wanita dan kanak-kanak, bermula dari pagi hinggalah ke tengah malam. Pada keesokan harinya mayat-mayat orang Islam bertimbun setinggi paras lutut di sepanjang jalan di Jerusalem.

Tetapi apabila Sultan Salahudin al-Ayubi menakluk kembali Jerusalem pada 1187, tentera Islam tidak membunuh seorang pun penduduk Jerusalem , malah pada keesokan harinya Salehudin telah membenarkan penganut semua agama (tidak kira sama ada Islam atau Kristian atau Yahudi) untuk bersembahyang di tempat-tempat suci masing-masing di bandar tersebut.

Satu lagi kebaikan yang ditunjukan oleh Sultan Salahudin ialah kepada musuhnya Raja Richard Berhati Singa yang datang dari England. Ketika peperangan sedang berlansung, Raja Richard jatuh sakit lalu Sultan Saladin mengirimnya buah-buahan segar, air sejuk dan seorang dokter. Kerana terharu dengan kebaikan Sultan Salahudin maka akhirnya ditandatangani perjanjian damai pada 1 September 1192 sehingga orang-orang Eropah berasa takjub bagaimana agama Islam boleh melahirkan seorang pahlawan yang baik seperti Salahudin Al Ayubi.

Sebelum meninggal dunia Sultan Salahudin Al Ayubi berpesan kepada anak-anaknya; "Jangan kamu menumpahkan darah, kerana apabila darah telah terpercik tidak ada yang tertidur."

Pada hari Rabu, 27 Safar, 589H, pulanglah Salahuddin ke rahmatullah pada usia 57 tahun. Bahauddin bin Shaddad, penasihat utama Salahuddin telah menulis mengenai hari-hari terakhir Salahuddin.

Pada malam 27 Safar, 12 hari selepas jatuh sakit, dia telah menjadi sangat lemah. Syeikh Abu Jaafar seorang yang warak telah diminta menemani Salahuddin di Istana supaya membaca al Quran. Memang pada malam itu telah nampak tanda-tanda berakhirnya hayat Salahuddin. Syeikh Abu Jaafar telah duduk di tepi katilnya semenjak 3 hari yang lepas membacakan Quran. Dalam masa ini Salahuddin selalu pengsan.

Apabila Syeikh Abu Jaafar membacakan ayat, Dialah Allah, tiada tuhan melainkan Dia, Yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata (Al-Hasyr: 22), Salahuddin membuka matanya sambil senyum, mukanya berseri dan denga nada yang gembira ia berkata, Memang benar tidak ada Tuhan selain Allah. Selepas dia mengucapkan kata-kata itu dia menghembuskan nafasnya yang terakhir sebelum subuh, 27 Safar.

Seterusnya Bahauddin menceritakan Salahuddin tidak meninggalkan harta kecuali 1 dinar 47 dirham. Harta yang ditinggalkannya tidak cukup untuk belanja pengkebumiannya. Bahkan kain kafan pun diberikan oleh seorang menterinya.


Kisah pahlawan Islam yang terbilang ini akan dibukukan dan diterbitkan oleh PTS tidak lama lagi. InsyaAllah.