Ahad, Ogos 31, 2008

ENTRI BARU

ENTRI BARU DI

http://abdullatip.blogspot.com

Rabu, Ogos 27, 2008

ENTRI BARU


Entri baru di blog

http://abdullatip.blogspot.com

Jumaat, Ogos 22, 2008

SUDAH TERBIT


PTS Fortuna
Harga RM 23.00 /
RM 26.00 (Sabah & Sarawak),
978-967-5136-16-0;
Tarikh Terbit: 19 August 2008 ;
Jumlah Muka Surat : 360 halaman

Ada yang menyangka novel ini adaptasi dari filem Leftenan Adnan. Tetapi tidak sama sekali. Malah saya tidak sempat menonton filem tersebut. Saya mendapatkan maklumatnya dari buku sejarah, rencana, internet, temuramah dengan orang perseorangan termasuk menemui cucu Leftenan Adnan. Malah pergi ke Bukit Candu di Singapura untuk melihat sendiri tempat berlakunya pertempuran antara Askar Melayu dengan askar Jepun.

Buku ini diterbitkan sempena bulan kemerdekaan. Ia bukan sahaja menceritakan kisah Leftenan Adnan tetapi juga sejarah pendaratan askar Jepun di Tanah Melayu, bermula dengan serangan awal di pantai Kota Bharu, Kelantan.

Semoga kisah ini dapat memupuk semangat cintakan negara di kalangan pembaca disamping dapat menghayati kisah perjuangan serta pengorbanan perwira kita dalam usaha mempertahankan tanah air tercinta.

Novel Leftenan Adnan Wira Bangsa, Memaparkan kisah keberanian dan keperwiraan askar Melayu yang sanggup berjuang sehingga ke hujung nyawa.

Novel ini boleh dibeli dirangkaian kedai buku MPH, Popular atau pesan terus melalui


www.BookCafe.com.my
www.ujanailmu.com.my

Isnin, Ogos 18, 2008

BENGKEL PENULISAN KREATIF DI REMBAU

Jawatankuasa Gerakan Membaca Daerah Rembau telah mengadakan Majlis Sambutan Program Kempen Membaca peringkat Daerah Rembau pada 14 & 15 Ogos 2008 yang lalu.

Sempena dengan program itu diadakan Bengkel Penulisan Kreatif di Perpustakaan Awam Daerah Rembau. Dan saya telah dijemput untuk memberikan ceramah mengenai penulisan Sajak, Cerpen dan Novel.

Pesertanya terdiri daripada pelajar sekolah menengah di sekitar Daerah Rembau yang berminat di bidang penulisan. Setiap sekolah menghantar 5 orang pelajar. Mereka kelihatan begitu berminat mengikuti bengkel tersebut.

Menerima cenderamata daripada Pegawai Perpustakaan Awam Daerah Rembau.


Bergambar kenangan dengan peserta bengkel penulisan kreatif di Rembau.

Enteri berkaitan boleh dibaca di blog

http://abdullatip.blogspot.com/


Jumaat, Ogos 15, 2008

PEMENANG-PEMENANG SAYEMBARA MENULIS NOVEL SEJARAH JOHOR 11

Panel Penilai Sayembara Menulis Novel Sejarah Johor 11 memperakui novel-novel berikut diberi hadiah-hadiah seperti senarai dibawah:


1. Hadiah Pertama
Tiada Pemenang

2. Hadiah Kedua
Ribut Andelas, Arus Melaka, Badai Hujung Tanah
Karya Kasim Mahmud

3. Hadiah Ketiga
Rimbun Terra Ujung Medani
Karya Rahimah Muda

Hadiah Sagu Hati

Perang Jementah
Karya Abdul Latip Talib

Datuk Moyang Saleh
Karya Abdul Latip Talib

MAJLIS PENYAMPAIAN HADIAH SAYEMBARA MENULIS NOVEL SEJARAH JOHOR 11

Setiap kali menghadiri majlis penyampaian hadiah penulisan saya pasti membawa bersama isteri dan anak-anak kerana mereka sumber ilham serta memberi semangat kepada saya.

InsyaAllah, pagi ini kami ke Johor Bahru untuk menghadiri Majlis Penyampaian Hadiah Sayembara Novel Sejarah Johor 11.

Hadiah sayembara novel sejarah Johor 11

pertama RM35,000.00
kedua RM 25,000.00,
Ketiga RM15,000.00
dan 3 hadiah saguhati RM5,000.00 setiap satu.

Entri berkaitan boleh juga dibaca di

http://abdullatip.blogspot.com





Khamis, Ogos 14, 2008

AKAN TERBIT

Abdul Latip bin Talib
PTS Fortuna RM 23.00 / RM 26.00 (Sabah & Sarawak),
978-967-5136-16-0;
Tarikh Terbit: 19 August 2008 ;
Jumlah Muka Surat : 360 halaman


PTS Fortuna
RM 24.00 / RM 27.00 (Sabah & Sarawak),
978-967-5136-11-5; 9789675136115
Tarikh Terbit: 28 August 2008 ;
Jumlah Muka Surat : 336 halaman

Selasa, Ogos 12, 2008

BENGKEL PENULISAN KREATIF

Jawatankuasa Gerakan Membaca Daerah Rembau akan mengadakan Majlis Sambutan Program Kempen Membaca peringkat Daerah Rembau pada 14 & 15 Ogos 2008. Sempena dengan program itu akan diadakan Bengkel Penulisan Kreatif.

Tarikh: 14 Ogos 2008 (Khamis)
Masa: 9.00 oagi - 11.00 pagi
Tempat: Bilik Aktiviti Perpustakaan Awam Caw. Rembau.

Penceramah: Abdul Latip bin Talib.

Program Mari Membaca Peringkat Daerah Rembau 2008 ini akan dirasmikan oleh:

YB Saudara Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Ahli Parlimen Rembau.

Isnin, Ogos 11, 2008

TAHNIAH ANAKANDA NORFAIZIN

Tahniah daripada kami sekeluarga kepada Norfaizin yang telah mendapat penganugerahan Sarjana Sains Matematik sempena Majlis Konvokesyen ke 36 Universiti Kebangsaan Malaysia pada hari ini 10hb Ogos 2008.

Kini cita-citanya menjadi pensyarah telah tercapai apabila berjaya mendapat tawaran sebagai pensyarah di Limkokwing Universiti. Alhamdulillah.

Entri yang berkaitan boleh juga dibaca di

http://abdullatip.blogspot.com

Jumaat, Ogos 08, 2008

THE JEWEL OF MADINA

Seorang penulis Barat Sherry Jones telah menulis sebuah novel sejarah berjudul “The Jewel Of Madina” yang mengisahkan kehidupan isteri Rasulullah saw Aisyah. Kisah berkisar sejak beliau berkahwin dengan Rasulullah saw sehingga meninggal dunia.

Penerbit novel tersebut Random House bercadang melancarkan novel tersebut pada 12 Ogos ini tetapi ditangguhkan kerana bimbang mendapat tentangan daripada umat Islam.

Menurut Jones penulisan itu berdasarkan sejarah Arab yang pernah dipelajarinya. Dia menceritakan Aisyah berkahwin dengan Rasulullah saw ketika berusia enam tahun. Dan Rasulullah saw wafat dengan kepalanya terkulai di atas payudara Aisyah.

Menurut Jones, “Mereka memiliki kisah cinta yang hebat. Dia (Rasulullah) meninggal dengan kepala di atas payudara Aisyah."

Menurutnya lagi, "Saya dengan sedar dan bebas menulis tentang Islam dan Muhammad dengan rasa hormat... Saya memimpikan buku saya itu akan menjadi pembangun jambatan."

Sebenarnya pengarang novel tersebut Sherry Jones sengaja hendak mengina Rasulullah saw dengan mengatakan baginda mengahwini Aisyah ketika berusia enam tahun. Dan meninggal dunia di atas payudara Aisyah.

Kebetulan dalam novel sejarah Islam ABU BAKAR SAHABAT SEJATI yang baru terbit ada saya ceritakan mengenai perkahwinan Rasulullah saw dengan Aisyah. Kisah itu saya rujuk daripada hadis dan kitab-kitab sejarah Islam.

Sesungguhnya tidak benar ketika berkahwin dengan Rasulullah saw umur Aisyah ketika itu baru enam tahun.

Menurut sejarahnya, sebelum berkahwin dengan Rasulullah saw Aisyah telah pun dilamar oleh Muth’am bin Adi untuk dikahwinkan dengan anak lelakinya. Tetapi perkahwinan mereka tidak jadi kerana Abu Bakar As Siddiq telah memeluk agama Islam sedangkan Muth’am bin Adi belum memeluk Islam.

Setelah Khadijah meninggal dunia, Nabi Muhamad saw menduda beberapa lama. Kemudian Khaulah menemui Rasulullah saw lalu mencadangkan supaya baginda berkahwin dengan Aisyah, anak Abu Bakar as Siddiq.

Ketika Khaulah datang ke rumah Abu Bakar as Siddiq untuk melamar Aisyah untuk dikahwinkan dengan Rasulullah saw maka Abu Bakar as Siddiq mengatakan Aisyah telah dilamar oleh Mut’ham bin Adi untuk dikahwinkan dengan anak lelakinya dan lamaran itu dibuat sebelum Abu Bakar as Siddiq memeluk Islam.

Supaya tidak dituduh mungkir janji maka Abu Bakar as Siddiq datang ke rumah Muth’am bin Adi bagi membincang lamaran terhadap Aisyah. Dan Abu Bakar as Siddiq minta supaya anak gadisnya dikahwinkan segera. Tetapi Muth’am dan isterinya menolak kerana bimbang anak lelakinya akan dipaksa menjadi pengikut Nabi Muhamad saw. Selepas itu barulah Abu Bakar as Siddiq minta supaya pertunangan mereka diputuskan. Kemudian baru Abu Bakar as Siddiq menerima lamaran Rasulullah saw.

Dari kisah ini jelas menunjukkan Aisyah ketika itu sudah cukup layak untuk berkahwin. Dia telah dilamar oleh Muth’am untuk dinikahkan dengan anak lelakinya. Tetapi kerana Abu Bakar as Siddiq telah memeluk Islam maka pernikahan mereka tidak jadi dilangsungkan.

Dan perlu juga diingat. Selepas Aisyah dinikahkan dengan Rasulullah saw, mereka masih belum duduk serumah. Nabi Muhamad saw dan Aisyah hanya duduk serumah dan menjalani kehidupan sebagai suami isteri selepas Nabi Muhamad saw berhijrah ke Madinah.

Dengan itu nampak sangat Sherry Jones sengaja memutarbelitkan fakta dengan tujuan untuk memburukkan peribadi Rasulullah saw.

Mengenai kewafatan Rasulullah saw pula, ketika baginda menghembuskan nafas yang terakhir baginda dikelilingi ahli keluarganya yang terdekat termasuk isteri-isteri Rasulullah saw.
Dan Rasulullah saw ketika itu dipangku oleh Aisyah. Dengan itu Rasulullah saw wafat di atas pangkuan Aisyah bukan di atas payudaranya.

Isnin, Ogos 04, 2008

NOVEL KHALID DAN SALAHUDIN DIJADIKAN MODUL LATIHAN MOTIVASI
















Menurut Puan Ainon dalam blognya http://universitipts.com/

Semasa Sifu dan YM Dr. Tengku Asmadi menghadiri majlis taklimat program pembangunan modal insan negeri Selangor pada hari Khamis lalu, saya didatangi oleh 4 orang wakil sebuah syarikat training.

Ketua kumpulan itu memberitahu bahawa beliau menggunakan novel Khalid dan Salahudin sebagai modul bagi mencetuskan rasa berani dan sanggup berkorban demi agama.
Selepas si ketua bercakap, semua 4 orang wakil syarikat itu berebut-rebut bercakap memuji-muji kebagusan novel tersebut dan bagaimana teknik-teknik yang mereka gunakan.
Rasanya, di negara kita hanya syarikat itu yang menerokai strategi menggunakan novel sebagai modul latihan motivasi pembangunan insan.

Usaha menggunakan karya kreatif sebagai asas modul latihan mempunyai banyak manfaatnya, apatah lagi apabila karya yang dipilih adalah sastera sejarah.

Tunku Ibrahim salah seorang peminat novel sejarah Islam pernah memberitahu saya bahawa Negara Jerman menjadikan kisah peperangan Khalid al Walid sebagai modul latihan ketenteraannya. Mereka mengkaji strategi-strategi peperangan yang digunakan oleh Khalid al Walid sehingga tidak pernah kalah dalam setiap peperangan yang disertainya.

Alangkah baiknya sekiranya tentera Malaysia juga menjadikannya sebagai modul latihan.

Khamis, Julai 31, 2008

AL FATIHAH

Gambar kenangan semasa bengkel penulisan di Ceras.

Beberapa bulan yang lalu ketika berada di sebuah kedai buku di Bandar Baru Bangi, saya bertemu dengan S.Othman Kelantan, Sasterawan Negara ke-9. Dia masih mengenali saya kerana pernah beberapa kali menjadi peserta bengkel penulisan yang dibimbingnya.

“Macam mana boleh berada di sini?” Tanya beliau.

“Berkunjung ke rumah anak. Singgah di sini nak tengok buku,” jawab saya.

Menurutnya, beliau juga sedang mencari sebuah kitab tafsir Bidawi ( Tafsir al Quran). Puas mencarinya tetapi tidak terjumpa.

Itulah kali terakhir saya menemuinya. Dan pagi ini mendapat berita Allahyarham S.Othman Kelantan telah pulang ke rahmatullah malam tadi di Hospital Serdang.

Al Fatihah.

Rabu, Julai 30, 2008

SULTAN MUHAMAD AL FATEH


Kisah Sultan Muhamad al Fateh yang ketika berusia 21 tahun telah memimpin 250,000 tentera Turki menakluk Konstantinopel, kemudian menakluk negara-negara Eropah termasuk rantau Balkan akan diceritakan dalam bentuk novel dan akan diterbitkan oleh PTS Fortuna tidak lama lagi.

Ramai yang bertanya bila Novel Sultan Muhamad al Fateh akan diterbitkan. InsyaAllah ia akan menyusul selepas novel Abu Bakar Sahabat Sejati terbit. Semakan prufnya telah selesai.

Sultan Muhamad al Fateh sejak dalam buaian telah difirasatkan oleh seorang wali dan ulamak tekenal pada masa itu bernama Syeikh Syamsudin al Wali yang mengatakan anak inilah yang akan menakluk Konstantinopel.

Walaupun beliau dilahirkan untuk menjadi seorang penakluk namun tidak semudah itu perjalannnya. Sultan Muhamad al Fateh terpaksa berusaha gigih bagi mendidik dirinya menjadi pemimpin yang baik, mendidik tenteranya menjadi tentera yang baik serta mendidik rakyatnya menjadi rakyat yang baik, barulah kejayaan itu diperolehinya. Ini sesuai dengan sabda Nabi Muhamad saw yang bermaksud, Konstantinopel akan ditakluk oleh pemimpin yang baik, tentera yang baik dan rakyat yang baik.

Kisah Sultan Muhamad al Fateh ini diceritakan dari sejak lahir, termasuk suka duka tangis tertawa beliau sehingga menghembuskan nafas yang terakhir.

InsyaAllah, novel Sultan Muhamad al Fateh Penakluk Eropah akan terbit tidak lama lagi.

Rabu, Julai 23, 2008

LEFTENAN ADNAN DIBERI ANUGERAH?

Khabarnya sempena 31 Ogos ini Allahyarham Leftenan Adnan akan dikurniakan anugerah. Sekiranya benar itu merupakan perkara yang baik kerana memang sepatutnya beliau dikurniakan anugerah. Jika Allahyarham P.Ramlie contohnya, dikurniakan pingat Tan Sri dan pelbagai darjah kebesaran maka sewajarnya Leftenan Adnan juga patut menerimanya.

Walaupun beliau telah tiada tetapi warisnya masih ada. Sebarang anugerah yang dikurniakan kepada Allahyarham Leftenan Adnan bukan sahaja akan membanggakan warisnya malah membanggakan juga seluruh rakyat Malaysia khususnya Regimen Askar Melayu.

Kisah keperwiraan Leftenan Adnan dan Askar Melayu menentang tentera Jepun ketika Perang Dunia kedua dahulu telah ditulis dalam bentuk novel dan dijangka terbit sempena bulan kemerdekaan ini. InsyaAllah.

Antara waris (cucu) Leftenan Adnan yang dapat dijejaki. Wan Sofia dan Wan Suhaimi.

Entri berkaitan juga boleh dibaca dalam blog ini.

http://abdullatip.blogspot.com



Ahad, Julai 20, 2008

SUDAH TERBIT


PTS Fortuna
Harga RM 24.00 / RM 27.00 (Sabah & Sarawak),
978-967-5136-10-8; 9789675136108
Tarikh Terbit: 22 July 2008
Jumlah Muka Surat : 336 halaman

Saidina Abu Bakar as Siddiq salah seorang sahabat Nabi Muhamad saw yang dijamin masuk syurga. Beliau Khalifah al Rasyidin yang pertama setelah Rasulullah saw wafat. Mengenai Abu Bakar as Siddiq, baginda pernah bersabda yang maksudnya, sekiranya ditimbang iman semua umat Islam maka berat lagi timbangan iman Abu Bakar as Siddiq.

Semasa menulis novel ini saya berasa amat sukar bagaimana hendak menulis watak insan yang hebat ini. Tambahan pula beliau hidup bersama Rasulullah saw. Apabila menceritakan kisah Abu Bakar as Siddiq pasti ada kaitannya dengan Nabi Muhamad saw. Dialog-dialog Rasulullah saw adalah hadis yang tidak boleh direka-reka.

Kerana itu sepanjang menulis novel ini kitab Hadis Bukhari dan Muslim sentiasa menjadi rujukan supaya setiap dialog Nabi Muhamad saw berpandukan apa yang terdapat dalam kitab hadis tersebut.

Semoga novel ini juga laku keras seperti novel-novel Sejarah Islam sebelumnya.

InsyaAllah.
Entri berkaitan boleh juga dibaca

Khamis, Julai 17, 2008

BERTEMU CUCU LEFTENAN ADNAN

Semasa mengumpul maklumat untuk menulis kisah Leftenan Adnan saya berusaha menjejaki warisnya di Kampung Sungai Ramal, Kajang tempat kelahiran pahlawan itu tetapi tidak berjaya kerana mereka tidak menetap lagi di tempat tersebut. Ada yang mengatakan mereka berada di Johor Bahru, Melaka dan Seremban. Saya hampir mati akal hendak menjejaki mereka kerana tidak sesiapa yang tahu alamat dan nombor telefon untuk dihubungi.

Usaha menjejaki waris Leftenan Adnan saya siarkan dalam blog ini dengan harapan ada pembaca yang boleh membantu. Puan Ainon juga membantu dengan menyiarkan entri yang sama dalam blognya. Begitu juga dengan Abang Long turut membantu dengan menyiarkan entri yang berkaitan dalam blognya.Usaha itu mula menampakkan hasil apabila seorang pembaca yang dikenali sebagai AURAKAYA meninggalkan mesej dalam ruang komen entri tersebut bahawa isterinya berkawan baik dengan salah seorang cucu Leftenan Adnan bernama Wan Sofia Zainuddin. Akhirnya saya berjaya menjejaki mereka.

Pada mulanya saya Cuma dapat menghubungi Wan Sofia melalui email sahaja. Salah satu email yang dikirimnya pernah saya siarkan dalam blog ini. Setelah beberapa kali berutus emel akhirnya Wan Sofia bersetuju menemui saya di Kuala Lumpur. Beliau yang datang dari Johor Bahru ditemani suaminya dan abangnya Wan Suhaimi Zainudin.

Anak Leftenan Adnan Cuma tiga orang sahaja, dua lelaki seorang perempuan. Tetapi anak perempuannya meninggal dunia setelah beberapa bulan dilahirkan. Kedua anak lelakinya bernama Mokhtar dan Zainudin.

Mokhtar menetap di Seremban, Zainudin menetap di Johor Bahru dan Sufiah isteri Leftenan Adnan meninggal dunia di Melaka. Zainudin mempunyai dua orang anak iaitu Wan Suhaimi kini bekerja sebagai pegawai Bank dan Wan Sofia, bekerja sebagai pengurus di BMW Group Malaysia di Johor Bahru. Ibu mereka (isteri allahyarham Zainudin) bernama Raja Puteh Zainab masih hidup dan tinggal dengan Wan Sofia di Johor Bahru.

Mokhtar pula mempunyai tiga orang anak dan mereka berada di Seremban.

Menurut cerita Wan Sofia dan Wan Suhaimi, ayah mereka pernah bercerita, semasa ibu mereka (Sufiah) meninggal dunia umur Mokhtar tujuh tahun dan Zainudin lima tahun. Bekas suami Sufiah telah menyerahkan kedua anak yatim piatu itu kepada seorang kawan baik Leftenan Adnan di Seremban bernama Normah Zainal, Kini telah meninggal dunia.

“Hubungan kami dengan keluarga Mak Cik Normah masih erat bagaikan saudara,” kata Wan Sofia.

Pertemuan saya dengan Wan Sofia dan abangnya Wan Suhaimi di sebuah restoran di jalan Ampang, sepanjang perbualan itu beberapa kali saya lihat Wan Sofia kelihatan sebak dan matanya merah apabila kami bercerita mengenai kisah Allahyarham Leftenan Adnan.

“Saya telah pergi ke Bukit Candu di Singapura bagi melihat tempat berlakunya pertempuran antara Askar Melayu dengan tentera Jepun. Saya juga terjumpa sebuah kubur lama. Dipercayai di situ Leftenan Adnan dan kawan-kawannya dikebumikan,” kata saya.

Tetapi menurut Wan Sofia dan Wan Suhaimi, mayat Leftenan Adnan tidak dikebumikan di Bukit Candu tetapi dibawa oleh tentera Jepun ke satu tempat yang tidak diketahui. Mungkin kerana terlalu marah disebabkan Leftenan Adnan begitu gagah berani sehingga ramai tentera Jepun yang terbunuh. Atau mungkin juga sebagai satu penghormatan terhadap seorang pahlawan.

“Leftenan Adnan seorang pahlawan kerana itu saya tertarik menulis kisahnya,” kata saya sambil mengatakan penulisan novel sejarah Leftenan Adnan telah siap dan jika tidak ada apa-apa halangan akan diterbitkan oleh PTS Fortuna sempena bulan kemerdekaan.

“Kami ucapkan terima kasih di atas usaha Pak Latip menulis kisah Leftenan Adnan,” kata Wan Sofia.

Entri yang berkaitan boleh juga dibaca dalam blog yang lain.

http://abdullatip.blogspot.com

Isnin, Julai 14, 2008

ABU UBAIDAH AL JARRAH

Rasulullah saw pernah bersabda;

“Sesungguhnya dalam setiap kaum terdapat orang yang jujur. Orang yang jujur di kalangan umatku adalah Abu Ubaidah al Jarrah.”

Dalam hadis yang lain Rasulullah saw bersabda lagi.

“Tiap-tiap umat ada orang yang memegang amanah. Dan pemegang amanah umat ini ialah Abu Ubaiodah al Jarrah.”

Nama sebenarnya Amir bin Abdullah bin Al Jarrah bin Hilal Al Fihri Al Quraisy. Terkenal dengan nama Abu Ubaidah Al Jarrah. Beliau lahir di Mekah dari sebuah keluarga Quraisy yang terhormat. Termasuk orang yang awal masuk Islam, selepas Abu Bakar as Siddiq.

Beliau salah seorang sahabat yang dijamin masuk Syurga. Berperawakan tinggi, kurus, berwibawa, bermuka ceria, selalu merendah diri dan amat pemalu. Kerana itu beliau disenangi oleh mereka yang mengenalinya.

Setelah menjadi pengikut Nabi Muhamad saw, Abu Ubaidah al Jarrah sanggup menghadapi kesulitan dan bersifat berani ketika berada di medan perang. Beliau mengikuti semua peperangan bersama Rasulullah saw. Dalam perang Badar Abu Ubaidah al Jarrah cuba mengelak dari bertembung dengan ayahnya yang berada dalam pasukan Quraisy yang menentang Rasulullah saw.

Tetapi ayahnya telah bersumpah hendak membunuh anaknya sendiri kerana menjadi pengikut Muhamad. Abdullah terus memburu anaknya hingga suatu ketika Abu Ubaidah al Jarrah terpaksa berdepan dengan ayah sendiri. Dalam pertarungan itu Abu Ubaidah al Jarrah terpaksa membunuh ayahnya. Beliau berasa amat sedih sehingga turun ayat Al-Quran surah Al Mujadalah ayat 22 yang bermaksud.

Engkau tidak menemukan kaum yang beriman kepada Allah dan hari kiamat yang mengasihi orang-orang yang menentang Allah dan Rasulullah, walaupun orang tersebut ayah kandung, anak, saudara atau keluarganya sendiri. Allah telah mematri keimanan di dalam hati mereka dan mereka dibekali pula dengan semangat. Allah akan memasukkan mereka ke dalam syurga yang di dalamnya mengalir sungai-sungai, mereka akan kekal di dalamnya. Akan menyenangi mereka, di pihak lain mereka pun senang dengan Allah. Mereka itulah perajurit Allah, ketahuilah bahwa perajurit Allah pasti akan berjaya.” (Al Mujadalah ayat 22)

Semasa berlakunya perang Uhud, Rasulullah saw terkena anak panah yang dilepaskan musuh lalu tersangkut pada rahang baginda. Abu Ubaidah al Jarrah mencabut anak panah itu dengan giginya sehingga giginya tercabut. Rasulullah saw memberinya gelaran “Gagah dan Jujur”.

Suatu hari datang satu rombongan dari Najran menemui Rasulullah saw lalu meminta baginda menghantar seorang yang boleh dipercayai bagi menyelesaikan pertengkaran di kalangan mereka serta mengajar agama Islam. Rasulullah saw berjanji akan menghantar seorang sahabat yang gagah dan jujur. Sehubungan dengan itu Umar al-Khattab berharap beliau yang akan dipilih Rasulullah saw tetapi orang yang berani dan jujur yang dimaksudkan itu ialah Abu Ubaidah al Jarrah.

Beliau juga seorang yang zuhud, tidak tamak kuasa dan harta. Di bawah pemerintahan khalifah Umar al Khattab, Abu Ubaidah al Jarrah dilantik menjadi ketua pasukan tentera Islam bagi menakluk kota-kota besar yang berada di bawah pemerintahan Rom seperti Kota Damsyik, Syria, Syam, Kota Aleppo, Kota Hims, Kota Antakiah dan Kota al Quds di Baitul Maqdis.

Ketika khalifah Umar al Khattab berkunjung ke Baitul Maqdis, beliau singgah di rumah Abu Ubaidah al Jarrah. Dilihatnya yang ada dalam rumah ketua panglima Islam itu hanyalah pedang, perisai dan pelana kuda sahaja.

“Wahai sahabatku, mengapa engkau tidak mengambil sesuatu dari harta rampasan perang sebagaimana orang lain mengambilnya?” Tanya Umar al Khattab.

“Wahai Amirul Mukminin, ini saja sudah cukup bagiku,” jawab Abu Ubaidah al Jarrah.
Saidina Umar al Khattab melantik Abu Ubaidah al-Jarrah memimpin tentera Islam bagi merebut kembali kawasan tanah Arab yang dijajah oleh kerajaan Rom. Beliau berjaya dalam tugas yang diberikan itu sehingga berjaya menakluk Baitul Maqdis.

Setelah menyelesaikan tugasnya, berlaku wabak penyakit Taun di Syam. Khalifah Umar al-Khattab mengirim surat memanggil Abu Ubaidah al Jarrah pulang ke Madinah namun beliau menolaknya kerana tidak sanggup membiarkan penduduk Syam dan tenteranya dalam bahaya sedangkan dia melarikan diri. Beliau menulis surat kepada Umar al Khattab.

“Wahai Amirul Mukminin! Sebenarnya saya tahu tuan memerlukan saya, akan tetapi saya sedang berada di tengah-tengah tentera Muslimin. Saya tidak ingin menyelamatkan diri sendiri dari musibah yang menimpa mereka dan saya tidak ingin berpisah dari mereka sampai Allah sendiri menetapkan keputusannya terhadap saya dan mereka. Oleh sebab itu, sesampainya surat saya ini, tolonglah jangan paksa saya pulang ke Madinah dan izinkanlah saya tinggal di sini.”

Setelah Umar al Khattab membaca surat itu, beliau menangis sehingga para sahabat menyangka Abu Ubaidah al Jarrah sudah meninggal. Umar menjawab, kematiannya sudah di ambang pintu.

Sebelum meninggal dunia Abu Ubaidah al Jarrah sempat berpesan kepada tenteranya, “Dirikanlah shalat, tunaikanlah zakat, puasalah di bulan Ramadhan, berdermalah, tunaikanlah ibadah haji dan umrah, saling nasihat menasihatilah. Berilah nasihat kepada pimpinan kamu, jangan menipu, jangan terpesona dengan harta dunia. Sesungguhnya Allah telah menetapkan kematian untuk setiap manusia, kerana itu semua manusia pasti akan mati. Orang yang paling beruntung adalah orang yang paling taat kepada Allah dan paling banyak bekalnya untuk akhirat.”

Setelah Abu Ubaidah al Jarrah meninggal dunia, Muaz bin Jabal mengambil alih tempatnya lalu berucap di hadapan orang ramai.

“Wahai sekalian kaum Muslimin! Kamu sudah dikejutkan dengan berita kematian seorang pahlawan, yang demi Allah saya tidak menemukan ada orang yang lebih baik hatinya, lebih jauh pandangannya, lebih suka terhadap hari kemudian dan sangat senang memberi nasihat kepada semua orang. Oleh sebab itu kasihanilah beliau, semoga kamu akan dikasihani Allah.”

Abu Ubaidah al Jarrah meninggal dunia pada tahun 18 Hijrah di Urdun dalam wilayah Syam. Jenazahnya dikebumikan di kawasan yang pernah dibebaskannya daripada kekuasaan Rom dan Parsi. Ketika itu beliau berumur 58 tahun.

Jumaat, Julai 04, 2008

TERIMA KASIH DATUK SERI


Alangkah gembiranya hati apabila seorang menteri sudi membeli novel Sejarah Islam. Saya yakin perasaan itu juga turut dirasai oleh Siti Rahayu, Nisah Haron dan Kusyi Hirdan apabila novel mereka turut dibeli oleh Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan semasa Festival Membaca 2008 di PWTC 2hb yang lalu.

Pada mulanya saya bercadang hendak menghadiahkan novel-novel itu, tetapi bimbang pula rasa di hati sekiranya beliau tidak tertarik dengan novel tersebut. Tuan Roslan yang mewakili PTS menerangkan kepada Datuk Seri Mohd Syafie Apdal mengenai novel tersebut. Dan saya menokok tambah serba sedikit. Setelah membeleknya tiba-tiba Datuk Seri memasukkan sejumlah duit ke dalam kocek baju saya lalu berkata beliau hendak membeli dua buah novel Sejarah Islam.

Saya pun mengambil novel tersebut lalu menghulurkannya sambil mengucapkan terima kasih.

"Tanda tangan dulu pada buku itu," kata Datuk Seri.

Terketar-ketar juga tangan saya menurunkan tanda tangan pada novel-novel itu.

Terima kasih Datuk Seri.

Gambar ihsan Tuan Zamri Muhamad.

Entri berkaitan juga boleh dibaca dalam blog Abang Long

http://www.novelman.blogspot.com/

NOVEL SEJARAH ISLAM DIMINATI RAMAI

Sebagai penulis novel sejarah Islam tentulah saya berasa gembira apabila novel itu turut dibaca oleh mereka yang bukan Islam. Tambahan pula pelbagai usaha telah dilakukan oleh pihak kerajaan bagi menarik minat mereka yang bukan Melayu membaca novel-novel Melayu.

Saya yakin untuk menarik minat mereka membacanya maka mestilah menggunakan bahasa Melayu yang tinggi serta mudah difahami pembaca dan kisah yang diceritakan tidak menyentuh senstiviti agama lain.

Semasa mempromosi dan menjual novel Sejarah Islam di PWTC sempena Pesta Membaca 2008, Wendy Lim (gambar) memegang novel Salahudin Penakluk Jerusalem lalu bertanya, “Adakah novel ini menyentuh perkara sensitif mengenai agama lain?”

“Oh tidak,” jawab saya.

Lalu saya terangkan novel pahlawan Islam itu menceritakan kehebatan, ketokohan serta kebaikan pahlawan Islam yang sebenarnya. Mereka adalah pahlawan sejati. Mereka tidak membunuh wanita, kanak-kanak dan orang tua. Mereka juga tidak membunuh atau menyiksa tawanan perang malah melayan mereka dengan baik.

Semasa berada di Mahkota Parade bulan Jun lalu, seorang wanita cina berkata kawan dia sudah membaca novel pahlawan Islam. Kerana itu dia juga ingin membacanya.

Kerana itu saya berasa gembira apabila novel Sejarah Islam turut dibaca oleh mereka yang bukan Islam.

Saya yakin antara sebab mereka meminatinya kerana bahasanya mudah difahami. Novel pahlawan Islam juga menceritakan kebaikan pahlawan Islam sehingga menarik mereka membacanya.

Sesungguhnya novel sejarah Islam diminati ramai bukan kerana pengarangnya tetapi kerana "BERKAT" nama pahlawan tersebut.








Khamis, Julai 03, 2008

SEMPAT BERGAMBAR

Semasa mempromosi dan menjual buku di PWTC sempena Pesta Membaca 2008, sempatlah bergambar untuk kenang-kenangan.
Sabar menunggu kedatangan pengunjung. (Gambar Nisah Hj Haron)

Membantu Kusyi Hirdan menjual novelnya. (gambar Nisah Hj Haron)
Bergambar dengan tiga orang penulis wanita yang saya kagumi karyanya. Nisah Hj Haron, Kusyi Hirdan dan Siti Rahayu Mohd Yusop. (Gambar Nisah Hj Haron)

Dua kanak-kanak ini sempat membaca buku-buku Kusyi Hirdan
Wendy juga minat membaca novel sejarah.
Hajah Halidah Binti Haji Baba Johan Perpustakaan Kategori Desa Peringkat Kebangsaan 2008 dan anaknya. Beliau membeli novel sejarah Islam bagi menambah lagi koleksi buku di perpustakaanya.
Sempat bergambar dengan Cik Norashikin Wahid Editor Pengurusan PTS Fortuna yang menerbitkan novel Sejarah Islam.
Ain Maisarah memberi semangat dengan membeli satu set novel sejarah. Terima kasih.



Selasa, Julai 01, 2008

PESTA MEMBACA DI PWTC

Disalin dari http://www.universitipts.com/
Tarikh
: 2 Julai 2008 (Rabu)
Tempat: Dewan Merdeka, PWTC
Masa: 1.00 petang hingga 4.30 petang
Deskripsi: Majlis pelancaran Kelab Membaca dan Festival Membaca 2008 disempurnakan oleh DYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah. Penerbit, penulis, penggiat seni, pembaca, NGO dan khalayak umum dijemput hadir memeriahkan majlis itu.

Tarikh: 2 Julai 2008 (Rabu)
Penulis: Tuan Abdul Latip Talib dan Puan Kusyi Hirdan
Tempat: Legar Putra, Aras 2, PWTC
Masa: 10.00 pagi hingga 6.00 petang
Deskripsi: Dapatkan tanda tangan dan berbual mesra bersama penulis Siri Hikayat Amir Hamzah dan Kembara Hafiz

Tarikh: 2 Julai 2008 (Rabu)
Penulis: Tuan Zamri Mohamad dan Tuan Ahadiat Akashah
Tempat: Legar Putra, Aras 2, PWTC
Masa: 2.00 petang hingga 4.00 petang
Deskripsi: Penulis menjadi juri bagi slot pembentangan karya kreatif IPT

Tarikh: 3 Julai 2008 (Khamis)
Penulis: Puan Ain Maisarah
Tempat: Legar Putra, Aras 2, PWTC
Masa: 10.00 pagi hingga 3.00 petang
Deskripsi: Dapatkan tanda tangan dan berbual mesra bersama penulis remaja yang popular dengan buku Siri Aku Mahu

Tarikh: 3 Julai 2008 (Khamis)
Penulis: Tuan Shamsuddin Abdul Kadir
Tempat: Legar Putra, Aras 2, PWTC
Masa: 3.00 petang hingga 6.00 petang
Deskripsi: Pakar pengurusan kewangan peribadi bersama pengunjung bagi berkongsi maklumat berkenaan cara mengurus gaji dan wang

Tarikh: 4 Julai 2008 (Jumaat)
Penulis: Tuan Firdaus Ariff
Tempat: Perpustakaan Negara Malaysia
Masa: 8.00 pagi hingga 5.00 petang
Deskripsi: Penulis menyertai acara menjejak inspirasi penulis yang mencabar kreativiti penulis berkarya pada tempat dan masa yang ditentukan. Destinasi yang dipilih adalah KLCC, Central Market dan Muzium Kesenian Islam

Saya berada di sana seperti yang di jadualkan. Insya-Allah.

Khamis, Jun 26, 2008

HARI KOPERASI SMTTJ

Semalam 25hb, Hari Koperasi Sekolah Menengah Teknik Tuanku Ja’afar Seremban. Saya dijemput hadir untuk memberi ucapan atas tajuk "Bidang Penulisan Sebagai Kerjaya."

Aturcara majlis perasmian dimulai dengan persembahan koir dan nyanyian oleh pelajar sekolah tersebut diikuti penyampaian perutusan, YB Menteri Pelajaran, Yang di Pertua ANGKASA, YB menteri Pembangunan dan Usahawan Koperasi dan lain-lain.

Sempena dengan sambutan itu juga diadakan Anugerah Koperator Terbaik Sekolah, Penyampaian Hadiah Pertandingan Mewarna, Penyerahan Pokok Herba dan jualan gerai.

Ujana ilmu mengadakan jualan buku-buku.

Disamping itu diselitkan ceramah Keusahawanan oleh seorang usahawan yang berjaya di Negeri Sembilan.

Saya pula diminta berucap mengenai kerjaya di bidang penulisan.

Entri berkaitan boleh dibaca di http://abdullatip.blogsopt.com/

Terima kasih kerana penulis dijemput berucap di hadapan beratus pelajar, pengetua dan pegawai pendidikan dan koperasi.

Ujana Ilmu turut menjual buku-buku PTS.


Bergambar dengan seorang pegawai koperasi yang minat membaca novel sejarah.

Guru Besar ini juga minat membaca novel sejarah.

Dua pelajar ini turut membeli buku-buku PTS.

Khamis, Jun 19, 2008

MEREKA JUGA MINAT NOVEL SEJARAH ISLAM






Gambar-gambar ini diambil sempena Ulangtahun ke 60 Syarikat Buku Thai Kuang di Parade Melaka pada 4hb Jun yang lalu.

Novel Sejarah Islam termasuk Hikayat Amir Hamzah juga turut dibaca oleh mereka yang bukan Melayu.

Alhamdulillah.






NOVEL KHALID BERTUKAR WAJAH


Novel Khalid Memburu Syahid telah diulang cetak dengan wajah yang baharu dijangka terbit pada 24hb Jun ini.

Cetakan kali ini telah dibuat pembetulan beberapa kesilapan antaranya tarikh lahir Khalid dan nama Abu Lahab.Terima kasih diucapkan kepada pembaca yang membuat teguran mengenai kesilapan tersebut.

Novel ini juga turut dibaca oleh kaum wanita. Semoga ada yang akan melahirkan anak sehebat Khalid al Walid.

KISAH LEFTENAN ADNAN DIJADIKAN NOVEL


Kisah Leftenan Adnan telah siap ditulis dan telah dihantar kepada PTS Fortuna semoga diluluskan untuk penerbitannya pada tahun ini.

Semasa berada di Singapura saya bertanya kepada seorang anak saudara yang masih bersekolah adakah pernah mendengar Nama Leftenan Adnan?. Jawapnya, memang kenal nama itu kerana ada tercatat dalam pelajaran sejarah di sekolah.

Semasa mengunjungi sebuah kedai buku, novel sejarah Islam ada dijual di negara tersebut. Semoga setelah Novel Leftenan Adnan terbit nanti turut mendapat sambutan daripada pembaca di Singapura.

BUKIT CANDU WARISAN SEJARAH

Pemandangan dari puncak Bukit Candu. Tentera Jepun mendarat dari laut lalu bertempur dengan Askar Melayu yang mempertahankan kawasan ini.

Jalan masuk ke Bukit Candu. Kawasan hutannya masih dipulihara.
Jejantas dibina bagi kemudahan pengunjung meninjau kawasan sekitar Bukit Candu.

Sebuah kereta kebal lama dipamerkan di puncak Bukit Candu.

Replika buku yang terukir nama Leftenan Adnan dan Askar Melayu terletak di puncak Bukit Candu. Di sini berlaku pertempuran antara Askar Melayu dengan askar Jepun.

Encik Roslan dan En Tan. Pertemuan antara murid dengan guru di Bukit Candu. En Tan sempat bercerita mengenai serangan tentera Jepun di Singapura.

Walaupun Singapura sedang pesat membangun namun masih menghargai serta memulihara warisan sejarah yang ada di negara mereka antaranya Bukit Candu tempat berlakunya pertempuran antara Askar Melayu yang diketuai Leftenan Adnan dengan tentera Jepun semasa Perang Dunia ke dua pada tahun 1942.

Dalam pertempuran selama 48 jam itu 42 Askar Melayu terkorban termasuk Leftenan Adnan. Mereka telah berjuang dengan penuh semangat serta keberanian dan tidak mahu menyerah kalah walau telah kehabisan peluru. Mereka bertempur mengggunakan tangan dan akhirnya semua mereka terkorban. Leftenan Adnan ditangkap lalu digantung ke dahan sebatang pokok sebelum dibunuh.

Bukit Candu tempat berlakunya peristiwa itu kini dijadikan warisan sejarah, kawasan hutannya dipulihara dan untuk kemudahan pengunjung disediakan tempat letak kenderaan, lorong berjalan kaki, tempat berehat dan sebagainya.

Bagi kemudahan pengunjung melihat kawasan sekitar disediakan sebuah jejantas kayu yang tinggi. Dari situ pengunjung dapat melihat kawasan sekitar Bukit Candu disamping menikmati kehijauan belantara dengan bunyi siulan burung dan pelbagai serangga.Bukit Candu terletak di tempat strategik di tepi laut, dari situ boleh dijadikan laluan ke Pasir Panjang, Alexandra dan Bueno Vesta.

Askar Melayu telah berjuang mempertahankan Bukit Candu sehingga mereka terkorban.Keberanian mereka mendapat penghargaan daripada kerajaan British, nama Leftenan Adnan dan Askar Melayu juga terukir pada replika buku yang di jadikan mercu tanda Bukit Candu.