Khamis, Januari 26, 2006

SARINA MOHD SOM

SARINA MOHD SOM

Tidak lama lagi, SARINA MOHD SOM seorang penulis wanita dari Jelebu Negeri Sembilan akan muncul dengan novel sulungnya yang diterbitkan oleh KARANGKRAF (ALAF21).

Kemunculan penulis muda itu nanti pastinya merancakkan lagi dunia novel melayu di tanah air kita.

Isnin, Januari 23, 2006

SI BONGKOK TANJUNG PUTERI

Pada tahun 1998, ketika itu saya baru sahaja jadi YB (yang bersara) dengan pilihan sendiri, diminta oleh Baharudin Kadir, saya tidak tahu samaada dia masih hidup atau sudah mati, menulis skrip drama tv berjudul SI BONGKOK TANJUNG PUTERI sebanyak 26 episod dengan dijanjikan bayarannya satu episod RM 1,000.00.

Maka dengan penuh semangat saya pun berjaya menyiapkannya dalam masa tidak sampai tiga bulan. Apabila saya menyerahkan manuskrip itu kepada Baharuddin Kadir dia nampak gembira dan berpuas hati lalu menghubungi Zulkifli, seorang pengarah drama tv yang sekarang saya pun tidak tahu samaada masih hidup atau sudah mati.

Tetapi beberapa minggu kemudiannya saya dihubungi oleh Baharuddin Kadir skrip drama SI BONGKOK TANJUNG PUTERI tidak dapat diteruskan kerana masalah berlakunya kegawatan ekonomi. Maka berkecailah harapan saya untuk mendapat RM26,000.00 seperti yang dijanjikan oleh Baharudin Kadir.

Salinan Skrip itu terus tersimpan dalam bilik hingga berabuk. Skrip asal yang saya serahkan kepada Baharuddin Kadir pula tidak dipulangkan sampai sekarang.

Baru-baru ini timbul pula keinginan saya untuk menjadikan skrip drama tv itu kepada sebuah novel. Saya mengupah seorang kawan menaipnya semula kerana disketnya telah hilang. Alhamdulillah, novel SI BINGKOK TANJUNG PUTERI telah berjaya disiapkan.

Semoga SI BONGKOK TANJUNG PUTERI dapat diterbitkan dalam bentuk novel setelah tidak berjaya diterbitkan dalam bentuk drama.

* * *

Suatu ketika dulu nama Si Bongkok Tanjung Puteri menjadi sebutan dan sanjungan orang-orang Johor terutama mereka yang tinggal di Kuala Sungai Johor, Pengerang, Pulau Ubin, Kukub, Pantai Changi dan Selat Tebrau. Mereka menganggap Si Bongkok seorang wira dan tokoh lagenda walaupun Inggeris menganggapnya sebagai lanun atau perompak laut kerana kegiatannya merompak kapal dagang kepunyaan mereka.

Di sekitar tahun 60-an kisah Si Bongkok Tanjung Puteri juga pernah dijadikan drama pentas oleh SHAHAROM HUSAIN dan drama itu cukup popular di kalangan masyarakat Melayu sesuai dengan semangat kemerdekaan tanah air yang baru sahaja bebas dari penjajahan British.

Tetapi kini kisahnya semakin dilupakan dan tidak mustahil nama Si Bongkok Tanjung Puteri juga akan lenyap begitu sahaja jika tidak ada usaha-usaha untuk mengenang tokoh tersebut.

Si Bongkok seorang yang cacat. Badannya bongkok arah ke kanan. Tangan kirinya cengkong dan mukanya herot bengkak sebelah kanan. Walaupun cacat tetapi semangatnya kuat dan tidak mahu tunduk kepada penjajah. Dia juga sanggup menentang adik kandungnya sendiri kerana mereka berlainan ideologi.

Kisah bermula pada sekitar tahun 1850an apabila Sultan Ali iaitu putera Sultan Hussain Muhammad Shah menuntut takhta pemerintahan Johor yang dulunya dikenali dengan nama Tanjung Puteri daripada Temenggong Ibrahim.

Pada mulanya Sultan Husain menyerahkan kuasa kepada Temenggong Ibrahim untuk memerintah Tanjung Puteri kerana ketika itu usia Sultan Ali masih kecil. Tetapi apabila baginda sudah dewasa Temenggong Ibrahim telah menafikan hak baginda.

Temenggong Ibrahim menganggap Sultan Ali tidak layak memerintah Tanjung Puteri kerana baginda seorang yang boros dan suka bermain Judi. Untuk mengukuhkan kuasanya maka Temenggong Ibrahim membuat perjanjian dengan British.

Si Bongkok tidak setuju dengan tindakan Temenggong Ibrahim mengenepikan hak Sultan Ali dan beliau bertambah marah bila mendapat tahu pihak Britis telah dipelawa untuk campur tangan di Tanjung Puteri.

Maka Si Bongkok pun berusaha untuk mengembalikan kekuasaan Sultan Ali dengan cara menyerang kapal-kapal dagang kepunyaan British yang menuju ke Singapura. Tindakan Si Bongkok ini mendapat persetujuan daripada Sultan Ali.

Tindakan Si Bongkok juga di bantu oleh Mat Derus seorang pahlawan yang terkenal ketika itu. Mat Derus menyerang kapal dagang Inggeris yang melalui Mersing dan Kuala Sedili manakala Si Bongkok pula di Selat Tebrau dan kawasan sekitarnya.

Akibatnya ekonomi Inggeris di Singapura hampir lumpuh kerana para pedagang takut kerana banyak kapal yang di bakar dan para pedagang di tangkap atau di bunuh kerana dianggap bersubahat dengan Inggeris.

Bila merasakan ekonominya mula tergugat maka British mengadakan perjanjian dengan Temenggong Ibrahim dan dalam perjanjian itu Temenggong Ibrahim mesti menghapuskan kegiatan lanun di perairan Johor dan kawasan sekitarnya.

Temenggong Ibrahim berjaya mempengaruhi Nong Mutalib yang bergelar Pahlawan Johor supaya menghapuskan kegiatan lanun yang diketuai oleh Mat Deris. Dan untuk menentang Si Bongkok pula Temenggong Ibrahim mempengaruhi Panglima Putih iaitu adik kandung Si Bongkok untuk menentang abang kandungnya.

Dengan bantuan pembelot dari Singapura, Mersing, Lingga dan Teluk Belanga maka akhirnya Nong Mutalib berjaya membunuh Mat Derus serta menghapuskan lanun-lanun di sekitar Kuala Sedili.

Panglima Putih pula pada mulanya enggan untuk menentang abang kandungnya sendiri tetapi setelah kematian Tanjung iaitu isteinya yang dibunuh oleh Si Bongkok maka dia tidak ada pilihan melainkan berdepan dengan Si Bongkok untuk menuntut bela.

Akhirnya berlakulah pertarungan antara Si Bongkok dengan adik kandungnya sendiri Panglima Putih. Walaupu pada mulanya Si Bongkok cuba mengelak terjadinya perkelahian serta menafikan dia yang membunuh Tanjung namun Panglima Putih tidak percaya malah terus berusaha membunuh Si Bongkok.

Setelah lama bertarung akhirnya Si Bongkok di katakan kalah dan berjaya di bunuh oleh Panglima Putih. Tetapi ada pula cerita mengatakan Si Bongkok tidak kalah tetapi dia pura-pura tergelincir lalu keris di tangannya menikam dadanya sendiri. Dan mayat Si Bongkok ditanam di satu tempat bernama Belungkor.

Walau apapun yang berlaku nama Si Bongkok Tanjung Puteri lebih di sanjung oleh orang ramai berbanding adiknya Panglima Putih. Usahanya menentang penjajah serta menjaga ketuanan Melayu tetap disanjung oleh orang ramai.

Selasa, Januari 17, 2006

SYUKUR DAN TAHNIAH

Alhamdulillah, semalam 16hb, anak saya yang bongsu Norfaizin telah memulakan kerjayanya di sebuah kolej swasta. Sampailah cita-citanya menjadi seorang pensyarah. Tahniah.

Sejak sekolah rendah dia memang berminat dalam pelajaran sains dan matematik. Apabila melanjutkan pelajaran ke UKM dia mengambil jurusan sains matematik. Mungkin kerana itu pihak kolej tersebut menawarkan kerja sebagai pensyarah matematik.

Saya mengucapkan rasa syukur kepada Allah swt yang memberikan rezeki.

Isnin, Januari 16, 2006

BERITA HARIAN

Harta milik Presiden Iran cuma rumah, kereta lama

Ingin mengetahui harta-harta yang dimiliki Presiden Iran, Mahmoud Ahmadnejad?
Ketika mengambil alih kepimpinan negara tahun lalu, beliau cuma memiliki sebuah kereta dan rumah lama.
Senarai aset beliau yang diumumkan menunjukkan akaun banknya kosong selain hanya memiliki sebuah kereta berusia 30 tahun.
Menurut laporan akhbar tempatan, antara aset Mahmoud yang tersenarai adalah rumah berusia 40 tahun seluas 175 meter persegi yang terletak di daerah penduduk sederhana rendah di timur Teheran, kereta Peugeot 504 buatan tahun 1977 dan dua akaun semasa.
Satu akaun digunakan untuk menerima bayaran gaji kerja lamanya sebagai profesor universiti dan satu lagi kosong yang digunakan semasa menjadi gabenor jeneral di wilayah barat Ardebil.
Mahmoud, 48, memenangi pilihan raya pada Jun lalu dikatakan seorang presiden yang berjiwa rakyat dan sahabat kepada orang-orang miskin perlu mengemukakan senarai aset kepada ketua hakim mengikut perlembagaan negara. - AFP

Jumaat, Januari 06, 2006

MALAM PENYAMPAIAN HADIAH ESASTERA

HADIAH ESASTERA.COM KATEGORI SAJAK JENAKA (SAJEN)

Selasa, Januari 03, 2006

DI CARI PELUKIS KOMIK

Adakah saudara pelukis komik?

PTS FORTUNA mencari pelukis komik bagi menerbitkan edisi komik tiga buah novel pahlawan Islam iaitu Tariq bin Ziyad, Khalid al Walid dan Salahuddin Ayubi.

Komik-komik itu disasarkan kepada remaja lelaki. Sesuai dengan citasa remaja lelaki, komik-komik itu nanti banyak menampilkan babak-babak perang.

Storyboardnya sedang mula disediakan.

Saudara perlu melukis wajah-wajah orang Arab, Iran, Sepanyol, Kristian Rumawi, aksi perang berkuda dan latar belakang pandangan alam Sepanyol, Iraq, Iran dan Jerusalem.

Projek ini memberi peluang nama saudara dicetak pada kulit buku. Saudara akan berkongsi hakcipta dan royalti dengan penulis karya asal dan penulis storyboard.

Catatan:
Disalin dari blog puan AINON MOHD.

Isnin, Januari 02, 2006

SELAMAT TAHUN BARU 2006 / 1427 H..

Tahun 2005 / 1426 H telahpun berlalu kini tahun 2006 / 1427 H pula menjelma. Biasanya kedatangan tahun baru disambut dengan azam baru. Semoga tahun ini lebih baik dari tahun yang lalu.

Sebagai seorang suami antara kenangan manis tahun 2005 apabila menyambut hari ulangtahun perkahwinan yang ke 26.

sebagai seorang ayah kenangan manis tahun 2005 apabila menyaksikan anak naik ke pentas menerima watikah pada hari konvokesyen.

Dan sebagai seorang penulis kenangan paling manis tahun 2005 apabila menerima hadiah dari kerajaan Negeri Sembilan, kerajaan negeri Sarawak dan esastera.com. Seoga kenangan-kenangan manis itu akan berulang lagi. insyaAllah.

Majlis penyampaian hadiah novel di Sarawak pada 2hb Disember 2005.