Sabtu, Ogos 18, 2007

FRAGMEN SETELAH ROBOH KOTA MELAKA


BAB: 1

“Tidak akan hilang Melayu di dunia,” kata Hang Tuah, pahlawan Melayu yang gagah perkasa.
“Selagi belum kering air di Selat Melaka jangan harap beta akan tunduk kepada penjajah,” kata Sultan Muzaffar Shah kepada orang-orang Siam yang hendak menyerang Melaka.
“Selagi aku menjadi bendahara, akan kupastikan sultan Melaka berlaku adil terhadap rakyatnya,” demikian pula kata-kata Bendahara Tun Perak.

Ketika itu Melaka berada di puncak kegemilangannya. Pelabuhan Melaka menjadi tempat persinggahan para pedagang dari Cina, India dan Arab. Melaka menjadi pusat penyibaran agama Islam di Alam Melayu. Negeri Johor, Pahang, Terengganu, Selangor dan Perak bernaung di bawah kesultanan Melayu Melaka. Manakala Jambi, Inderagiri, Siak, Kampar, Rokan, Kepulauan Bentan dan Lingga menjadi tanah jajahan Melaka.
Ketika Tun Perak menjadi Bendahara dan Hang Tuah menjadi Laksamana, Melaka menjadi pelabuhan dan tempat berdagang yang terpenting di Alam Melayu. Pedagang Arab, India dan Cina singgah di Melaka kerana berasa selamat.
Ketika itu lada hitam dan rempah sangat laris di Eropah mendorong para pelayar dan pedagang Eropah datang ke Alam Melayu. Kerana Melaka kedudukannya strategik maka menjadi rebutan kuasa penjajah dari Eropah.

Peristiwa ini terjadi pada sekitar tahun 1511. Ketika itu Melaka diperintah oleh Sultan Mahmud Shah, sultan yang ke 7 dan yang terakhir memerintah Melaka.

Sultan Mahmud Shah mempunyai sebuah kereta kuda 30 tayar yang
diperbuat daripada emas dan dihiasi dengan kain sutera. Setiap kali baginda keluar bersiar-siar dengan kereta kudanya dia dikawal ketat oleh berpuluh pengawal yang bersenjata. Ini disebabkan baginda mempunyai ramai musuh termasuk dari kalangan keluarganya sendiri.
Perlantikan Sultan Mahmud Shah sebagai sultan Melaka ketika usianya masih terlalu muda tidak dipersetujui oleh ramai orang termasuk nendanya Raja Tua. Pernah suatu ketika Sultan Mahmud Shah mengidap sakit buang air kecil. Nendanya cuba hendak membunuhnya tetapi diselamatkan oleh Bendahara Tun Perak dan Laksamana Hang Tuah.
Dengan kebijaksanaan Bendahara Tun Perak mentadbir Melaka dan kehebatan Hang Tuan menjadi laksamana, negeri Melaka aman makmur hingga penduduknya berjumlah hampir 200,000 orang. Rumah dan pasar kelihatan di sepanjang pantai dari Tanjung Keling hingga ke Kuala Linggi dan dari Air Leleh hingga ke Muar. Ketika itu Melaka berada di puncak kegemilangannya setelah 110 tahun Kerajaan Melayu Melaka berkuasa.
Namun segalanya berubah setelah Bendahara Tun perak meninggal dunia, Hang Tuah kehilangan keris Taming Sarinya dan Sultan Mahmud Shah berlaku zalim terhadap rakyatnya.

Pagi itu laut nampak tenang. Seperti hari-hari sebelumnya, orang ramai berpusu-pusu di pelabuhan Melaka untuk mendapatkan barang-barang keperluan harian. Para peniaga pula ramai yang berjualan. Tiba-tiba suasana menjadi kecuh dan kelam kabut.
“Benggali putih mendarat di pantai Melaka!” teriak satu suara.
“Benggali putih memakai topi dan baju besi,” teriak yang lain pula.
Orang ramai berebut-rebut hendak melihat orang asing yang baru pertama kali sampai ke pelabuhan Melaka. Mereka memanggilnya “Benggali Putih” kerana tubuhnya yang besar dan tinggi serta janggut lebat dan berambut panjang.
“Orang asing itu adalah musuh kita. Mereka datang bukan hendak berniaga tetapi hendak menimbulkan huru hara. Halau mereka dari sini. Jangan benarkan mereka berdagang di Melaka,” kata beberapa orang pedagang Arab dan India. Ternyata mereka tidak senang dengan kedatangan orang-orang asing itu di negeri Melaka.
“Mari kita mengadu kepada datuk Syahbandar supaya Benggali Putih itu dihalau keluar dari sini!” cadang Nina Chatu ketua saudagar India di Melaka. Dia saudagar India yang paling kaya mempunyai seribu orang pekerja. Hatinya cukup bimbang kalau perniagaannya terjejas dengan kedatangan saudagar Portugis itu.
“Lebih baik kita terus mengadu kepada sultan supaya orang-orang Benggali Putih itu ditangkap dan dihukum bunuh,” kata Utimutraraja pula. Dia seorang saudagar Jawa yang kaya raya..
Akhirnya pada pedagang itu mencapai kata sepakat untuk mengadukan perkara itu kepada Sultan Mahmud Shah. Mereka membawa pelbagai hadiah yang berharga untuk diberikan kepada sultan dan Syahbandar.
“Ampun tuanku. Orang-orang Feringgi itu bukan beragama Islam. Mereka memusuhi orang-orang Islam dan Hindu. Mereka datang bukan hendak berniaga tetapi hendak menyebarkan agama mereka. Akhirnya nanti penganut agama Islam dan Hindu menjadi murtad dan masuk agama mereka. Kerana itu jangan benarkan mereka berniaga di sini,” kata Nina Chatu.
“Mungkin juga mereka bukan peniaga tetapi pengintip yang disuruh oleh raja mereka untuk mengintip hal keadaan Melaka. Kemudian mereka akan datang menyerang Melaka,” sokong Utimutraraja pula. Dia juga bimbang perniagaan orang-orang Jawa di Melaka akan terjejas.
“Apa pendapat Syahbandar?” Tanya Sultan Mahmud Shah kepada Raja Mendeliar.
“Patek bersetuju dengan pendapat Nina Chatu dan Utimutraraja. Orang-orang Benggali Putih itu jangan dibenarkan berniaga di Melaka. Mereka mestilah dihalau dari sini. Kalau berdegil kita tangkap atau bunuh mereka,” jawab Raja Mendeliar dengan semangat yang berkobar-kobar.
“Bagaimana pula pendapat bendahara?” Tanya Sultan Mahmud Shah kepada Tun Mutahir.
“Ampun tuanku. Pendapat patek berbeza,” jawab Bendahara Tun Mutahir. Kemudian katanya lagi.
“Sejak dari dahulu, pelabuhan Melaka terbuka kepada sesiapa sahaja yang datang hendak berniaga. Kita benarkan pedagang Arab, India dan Cina datang. Kerana itu pada pendapat patek, kita benarkan juga orang-orang Feringgi itu berniaga di Melaka,” katanya
“Orang Arab, CIna dan India itu beragama Islam. Tetapi Benggali Putih itu bukan Islam. Mereka memusuhi Islam,” sanggah Shahbandar Raja Mendeliar pula.
“Mereka datang bukan hendak berniaga tetapi hendak menyebarkan agama mereka,” Nina Chatu mengulangi kebimbangan di hatinya. Dia sangat bimbang kalau orang-orang India terpengaruh dengan dakyah orang-orang Portugis.
“Sanggupkah tuanku melihat rakyat tuanku bertukar agama?”Tanya Utimutraraja pula.
Akhirnya Sultan Mahmud Shah berjaya dipengaruhi oleh Syahbandar Raja Mendeliar, Nina Chatu dan Utimutraraja. Tambahan pula setelah diberikan pelbagai hadiah.
“Beta mahu Bendahara Tun Mutahir menghalau orang-orang Feringgi itu keluar dari pelabuhan Melaka. Kalau mereka enggan maka hendaklah ditangkap atau dibunuh,” perintah Sultan Mahmud Shah.
Bendahara Tun Mutahir terpaksa mematuhi perintah sultan walaupun dengan hati yang berat. “Baiklah tuanku. Patek akan suruh mereka meninggalkan Melaka sekarang juga,” katanya.
“Jangan pergi sendirian. Bawalah beberapa orang pengawal,” titah Sultan Mahmud Shah.
“Baiklah tuanku,” kata Bendahara Tun Mutahir.
Dengan diiringi oleh beberapa orang anak buahnya maka Bendahara Tun Mutahir menemui pedagang-pedagang Portugis itu. Kedatangan mereka disambut dengan baik. Melalui jurubahasanya, Tun Mutahir menyampaikan perintah sultan yang meminta mereka meninggalkan pelabuhan Melaka.
“Nampaknya sultan Melaka telah menunjukkan sikap permusuhannya terhadap kami,” kata ketua orang-orang Portugis itu.
“Kami tidak mahu bermusuhan dengan sesiapa. Kerana itu ada baiknya kamu pergi dari sini buat sementara waktu. Kamu boleh datang semula pada masa yang sesuai,” kata Bendahara Tun Mutahir tanpa menunjukkan sikap permusuhan.
“Kami ingin berniaga di sini kerana negeri ini menjadi tempat persinggahan pedagang Arab, India dan Cina,” balas ketua pedagang orang-orang Portugis itu.
“kamu boleh berniaga di sini dengan syarat tidak mengancam keselamatan negeri kami dan tidak menyebarkan agama kamu kepada rakyat negeri ini,” kata Bendahara Tun Mutahir.
“Baiklah kami patuhi syarat itu asalkan kami dibenarkan berniaga di sini,’ rayu mereka.
“Hanya untuk kali ini kerana sultan telah memerintahkan kamu meninggalkan Melaka dengan segera. Dan kamu boleh datang setelah mendapat kebenaran daripada sultan kami,” kata Bendahara Tun Mutahir.
Akhirnya orang-orang Portugis itu mengalah dan bersetuju meninggalkan Melaka. Mereka juga tertarik dengan sikap baik dan budi bahasa yang ditunjukkan oleh Bendahara Tun Mutahir. Sebagai balasannya mereka menghadiahkan sebuah kalung yang dibawa dari negara mereka.
“Kami hadiahkan kalung ini kepada bendahara sebagai tanda persahabatan,” kata ketua orang-orang Portugis itu.
Kemudian kalung itu dipakaikannya ke leher Bendahara Tun Mutahir. Tiba-tiba para pengiring bendahara naik berang.
“Ketua orang-orang Benggali Putih ini bersikap kurang ajar kepada bendahara Melaka. Mari kita ajar mereka!” teriak salah seorang daripada mereka.
“Kita bunuh Benggali Putih dan campakkan mayat mereka ke dalam laut. Kemudian kita rampas barang-barang mereka,” sokong yang lain pula.
Tetapi Bendahara Tun Mutahir dapat menenangkan orang-orang Melaka. “Kalung ini diberi sebagai tanda persahabatan. Kerana itu saya menerimanya,”kata Tun Mutahir.
“Menyarungkan sesuatu ke leher pembesar Melaka adalah satu penghinaan kerana perbuatan itu sama seperti menyarungkan tali gantung ke leher bendahara,” kata yang lain pula.
“Perbuatan mereka memakaikan kalung pada leher saya itu bukan satu penghinaan. Tetapi satu penghormatan di kalangan mereka,” katanya.
Barulah orang-orang Melaka tidak jadi mengamuk. Suasana yang kecuh dapat ditenteramkan semula. Namun untuk mengelakan kejadian yang tidak diingini maka saudagar-saudagar Portugis itu bersetuju meninggalkan pelabuhan Melaka.
“Izinkan kami tinggal di sini selama tiga hari sahaja. Kemudian kami berjanji akan pergi dari sini,” rayu Diego Lopez de Sequierra.
“Baiklah aku benarkan dengan satu syarat. Jangan cuba buat kacau nanti buruk padahnya,” kata Bendahara Tun Mutahir.
“Baiklah kami berjanji tidak buat kacau,” kata Diegio Lopesz de Suquiera.
Tetapi Raja Mendeliar, Nina Chatu dan Utimutraraja tidak berpuas hati kerana Bendahara Tun Mutahir menunjukkan sikap yang baik kepada Benggali Putih itu. Mereka mengadu kepada Sultan Mahmud Shah.
“Bendahara Tun Mutahir tidak menghalau Benggali Putih itu tetapi membenarkan mereka tinggal di Melaka selama tiga hari lagi. Ini menunjukkan bendahara Melaka telah mengingkari perintah tuanku,” kata Si Kitul mengadu domba.
“Kalau patek yang tuanku perintahkan maka patek halau Benggali Putih itu keluar dari Melaka pada hari ini juga. Kemudian harta mereka patek rampas untuk diserahkan kepada tuanku,” kata Raja Mendeliar sambil meluahkan rasa tidak puas hatinya terhadap Tun Mutahir.
“Sikap baik yang ditunjukkan oleh Tun Mutahir akan menyebabkan musuh-musuh kita itu datang lagi ke Melaka,” sokong Nina Chaitu pula.
“Patek lihat saudagar Feringgi itu menghadiahkan kalung mutiara kepada Bendahara Tun Mutahir. Kalung itu teramat mahal harganya kerana itu Bendahara Tun Mutahir merasa terhutang budi lalu membenarkan mereka tinggal di Melaka,” kata Utimutraraja pula.
“Sepatutnya kalung mutiara itu diserahkan kepada tuanku. Tetapi Bendahara menjadikannya milik sendiri. Ini bermaksud Bendahara Tun Mutahir telah menderhaka kepada tuanku,” tambah Si Kitul bertujuan menambah sakitnya hati sultan kepada bendahara.
Sultan Mahmud Shah menjadi murka apabila mendengar pengaduan itu. Baginda sudah mula hilang kepercayaan kepada Bendahara Tun Mutahir.
“Benarkah Bendahara Tun Mutahir membenarkan Benggali Putih itu tinggal selama tiga hari di Melaka?” tanya Sultan Mahmud Shah.
“Benar tuanku,” jawab Raja Mendeliar.
“Benarkah benggali putih itu menghadiahkan kalung mutiara kepada Tun Mutahir?” tanya Sultan Mahmud lagi.
“Benar tuanku, sebab patek nampak dengan mata sendiri,” jawab Nina Chatu pula.
Sultan Mahmud Shah memerintahkan Bendahara Tun Mutahir datang mengadap. Sebaik sahaja sampai maka sultan pun terus memarahinya.
“Kenapa Benggali Putih itu dibenarkan tinggal di Melaka selama tiga hari?. Dan benarkah mereka telah memberi sogokan kepada bendahara berupa kalung Mutiara,” tanya baginda dengan nada suara yang tinggi.
Dengan tenang Bendahara Tun Mutahir pun menjawab. “Patek benarkan mereka tinggal di Melaka selama tiga hari setelah mereka berjanji tidak membuat huru hara. Mereka juga telah berjanji akan membayar kepada tuanku sebanyak tiga kati emas jika dibenarkan tinggal di Melaka selama tiga hari. Adapun kalung mutiara itu, memang benar mereka menghadiahkannya kepada patek. Tetapi patek tidak berhajat kepada kalung itu. Patek memang hendak menyerahkannya kepada tuanku.”
Setelah mendengar penjelasan itu barulah reda kemarahan baginda. Malah Sultan Mahmud Shah berasa gembira kerana akan mendapat tiga kali emas dan kalung Mutiara seperti yang dijanjikan oleh Bendahara Tun Mutahir.
“Baiklah, beta bersetuju mereka tinggal di Melaka selama tiga hari. Tetapi selepas itu beta mahu mereka meninggalkan Melaka dan jangan datang lagi,” kata Sultan Mahmud Shah.
Si Kitul, Raja Mendeliar, Utimutraraja dan Nina Chatu berasa malu kerana rancangan mereka hendak menjatuhkan Bendahara Tun Mutahir tidak berjaya.
Di atas kapal pula Diego Lopez de Sequiera sedang berbincang dengan orang-orangnya. “Bendahara Tun Mutahir membenarkan kita tinggal selama tiga hari di Melaka. Aku mahu kamu jalankan tugas seperti yang telah aku arahkan. Dapatkan maklumat mengenai negeri ini sebanyaknya,” katanya. Kemudian katanya lagi.
“Kita perlu menjalin hubungan baik dengan saudagar India dan Cina untuk mendapatkan maklumat yang kita perlukan. Tetapi jauhi saudagar Arab dan Melayu kerana mereka tidak akan mahu memberikan kerjasama,” katanya.
Adapun Raja Mendeliar, Nina Chatu dan Utimutraraja pula setelah mendapati Sultan Mahmud Shah menerima tiga kati emas dan satu kalung mutiara dari orang-orang Portugis itu maka timbul pula perasaan tamak dalam hati mereka.
“Aku Syahbandar Melaka yang bertanggung jawab menjaga pelabuhan Melaka. Kalau sultan mendapat habuannya dari Benggali Putih maka aku juga patut mendapatnya,” bisik hati Raja Mendeliar.
“Rupanya Benggali Putih itu lebih kaya dari saudagar Arab dan Cina. Lebih baik aku berbaik dengan mereka,” bisik hati Nina Chatu pula.

2 ulasan:

Hayam Wuruk berkata...

Coretan Emas
9 Peti Emas kunci dua dileher Baginda. Inginkan Puteri Gunong Ledang terlepas. Emas disimpan berkoyan-koyan. Gelang dan kalong emas tanda kebesaran. Yang pasti tidak dibuat patong anak lembu dari emas untuk sembahan. Menyimpan emas permata perak tanpa nafkah kepada berhak, kelak lambung dan punggung ditokak emas menggelegak. Al Sultan akur itulah kehendak. Semenanjung Emas nama memuncak. Pelabuhan gemilang bersesak-sesak. Entah dari kitab mana bangsa luar selak dan nampak, membawa petaka kepada Kesultanan Melaka pulak. Tun Perak, Patih Gajah Mada, Hayam Muruk bertiga Patih dan Memanda masyhur Nusantara. Melayu berhutang budi pada Raja bila Istana Islam diterima. Kota ini tidak akan binasa selama-lamanya. Bila nafsu menguasai segala. Tak akan Melayu hilang di dunia. Apakah Tuah juga silap bicara? Pasti semua binasa, kecuali Dia. Kehancuran Melaka peringatan Allah jua. Ada hikmah. Kesultanan Melayu Melaka tinggal nama. Kejayaan dan kehancuran itu Dia pergilirkan agar kita mendapat pelajaran. 500 tahun cerita suka duka nestapa penuh rahasia. Al Fonso de Al Buquerque Portugis celaka. Al Mujaadillah 58:21. Allah telah menetapkan: "Aku dan rasul-rasul-Ku pasti menang." Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Maha Perkasa. Binasalah Al Fonso de Al Buquerque dan sesungguhnya dia akan binasa. Allah Maha Mengetahui rencana jahat mereka. Bila kebenaran datang batil menghilang. Janganlah binasa karena sedih cerita nestapa. Tanah Melayu ini luas, Rajapun bingkas hijrah mencari rezeki beranak-pinak bergenuak. 9 Peti Purba bergejolak bila mahu ‘dibukak’. Moga Al Sultan duduk empuk di atas dipan bertatah emas permata di syurga kelak.
Md Radzi Ismail (Rabu 09.03.2011 Rabiulakhir 4 1432H)

Hayam Wuruk berkata...

Alif Lam Mimm. Allah lindungilah Melaka (Malaysia). Yang telah dikalahkan Portugis celaka! Sesudah dikalah pasti datang menang. Itu janji Allah kepada Rumawi setelah dikalahkan Persia Majusi. Seperti juga Melaka sebelum dan sesudah urusan Dia belaka. Di hari kemenangan itu bergembiralah orang-orang beriman. Karena pertolongan Allah. Dia menolong siapa yang dikehendakiNya. Dan Dialah Maha Perkasa lagi Penyayang. (Coretan diatas disesuaikan dari terjemahan Qalamullah Ar-R uum 30:1-5) Ambil iktibar dari Surah ini. Qalamullah itu petunjuk sepanjang zaman.
MdRadzi Ismail (Rabu 09.03.2011 Rabiulakhir 4 1432H)