Isnin, September 27, 2004

Menjaga Kesihatan

Tulisan ini saya ambil dari kotak email yang dikirim oleh seorang kawan. semoga ada manfaatnya. terima kasih kepada pengirim.

Menjaga kesihatan adalah dituntut oleh agama. Banyak cara menjaga kesihatan tubuh badan, maupun dari segi sains dan diajar oleh Al-Quran. Tahukah anda mengamal minum secawan air teh "O" setiap pagi boleh mengawal berat badan anda. InsyaAllah jika anda mengamalkannya, berat badan anda akan berkurangan (memang terbukti keberkesanannya).


Al-Quran juga ada mengajar kita menjaga kesihatan dgn membuat amalan spt:-


1. Mandi awal pagi sebelum subuh @ sekurang-kurangnya sejam sebelum matahari naik. Air sejuk yang meresap ke dalam badan boleh mengurangkan lemak berkumpul. Kita boleh saksikan org mengamal mandi awal pagi kebanyakan badan tak gemuk.

2. Rasulullah mengamalkan minum segelas air sejuk setiap pagi. Mujarabnya InsyaAllah jauh dari penyakit. (susah nak kena sakit).

3. Waktu sembahyang subuh disunatkan kita bertafakur (iaitu sujud sekurang-kurangnya seminit selepas membaca doa). Ia boleh mengelak dari sakit pening @ migrain. Ini terbukti oleh para saintis yg membuat kajian kenapa dalam sehari kita perlu bersujud. Ahli-ahli sains telah menemui beberapa milimeter ruang udara dalam saluran darah di kepala yg tidak dipenuhi darah. Dengan bersujud, maka darah akan mengalir ke ruang berkenaan.

4. Dalam kitab juga ada melarang kita makan makanan darat bercampur dengan makanan laut. Nabi pernah menegah kita makan ikan bersama susu, dikhuatiri akan cepat mendapat penyakit. Ini terbukti oleh saintis yang menjumpai dimana dalam badan ayam mengandungi ion (+) manakala dalam ikan mengandungi > ion (-). Jika dalam suapan ayam bercampur dengan ikan maka terjadi tindakan balas biokimia yng terhasil yg boleh merosakkan usus kita.

5. Nabi juga mengajar kita makan dengan tangan dan bila habis hendaklah menjilat jari. Begitu juga ahli saintis telah menjumpa bahawa enzime banyak terkandung di celah jari-jari, iaitu 10 kali ganda terdapat dalam air liur. (enzime sejenis alat percerna makanan, tanpanya makanan tidak hadam)

Sabda Nabi, ilmu itu milik Allah, barang siapa menyebarkan ilmu demi kebaikan, insyaAllah Allah akan menggandakan 10 kali ilmu kepadanya.

Rabu, September 22, 2004

Bencana Alam

Kita memang tidak mampu untuk mengatasi bencana alam seperti hujan lebat dan ribut taufan. Namun kita masih berpeluang untuk menyelamatkan harta dan nyawa. Di Haiti beratus orang terkorban akibat taufan yang melanda Negara mereka. Negara Amerika yang terkenal sebagai “Negara perkasa” itu juga tidak terlepas dari bencana alam.
Di tempat saya (Jelebu) yang terkenal Sebagai kawasan lindungan hujan di Negeri Sembilan, turut mengalami hujan lebat yang kadang kala turun secara tidak disangka. Cuaca yang pada mulanya panas terik tiba-tiba berarak awan mendung lalu hujan lebat pun turun.
Hampir setiap hari hujan turun. Ada kalanya pada waktu siang dan selalunya pada waktu malam. Yang paling susah hati bila musim hujan ialah para penoreh yang sumber pendapatannya dari kerja menorah. Kalau kakitangan kerajaan tersenyum girang kerana tidak lama lagi menerima bonus sebaliknya para penoreh getah berwajah murah kerana musim hujan.
Beberapa hari yang lepas, berlaku hujan ribut, Kilat sabung menyabung diiringi dentuman petir. Akibatnya komputer saya rosak. Silap saya juga kerana terlupa mencabut talian telefon yang disambungkan ke komputer selepas melayari internet. Walaupun suis komputer sudah dimatikan namun aliran letrik boleh masuk melalui talian telefon yang terpasang pada komputer tersebut.
Apabila komputer rosak barulah terasa betapa sepinya. Tambahan pula saya banyak menghabiskan masa mengadap komputer untuk menulis dan melayari Internet. Ada pula tanggung jawab sebagai “administrator” cerpenis di esastera.com dan ada laman web sendiri yang perlu diisi. Kerana itu alangkah sepinya apabila Komputer tidak boleh diguna.
Sebenarnya komputer ini adalah hadiah dari “seseorang” yang Saya sayangi. Selama hampir 2 tahun menggunakannya banyaklah maklumat dan hasil karya seperti sajak, pantun, cerpen, skrip teater dan drama tv tersimpan di dalamnya.
Kini komputer kesayangan saya sudah dibaiki namun apa yang menyedihkan ialah semua isi kandungannya sudah hilang tidak dapat diselamatkan lagi.
Sesungguhnya, saya berasa kerugian yang tak terkira nilainya akibat musnahnya khazanah berharga yang tersimpan dalam komputer Kesayangan saya itu.

Jumaat, September 17, 2004

Mencungkil Bakat...

Mencungkil bakat sastera di daerah terpencil
(UTUSAN MALAYSIA 16.9.2004)

DALAM usaha merakyatkan sastera, sewajarnya ia bergerak secara giat di peringkat bawahan, sama ada majlis bertaraf daerah, atau kampungan.
Kewajaran usaha ini dapat diperkatakan, memandangkan hasil karya selalu memperkatakan perihal kehidupan manusia, khususnya masyarakat yang sering terpinggir seperti dalam karya Salina, Ranjau Sepanjang Jalan atau Orang Kota Baru.
Lantaran itu usaha Majlis Kebudayaan Daerah Jelebu mengadakan Perkampungan Penulis Daerah Jelebu di Kuala Klawang baru-baru ini merupakan usaha kecil tetapi memberikan signifikan besar.
Tentunya untuk melihat kegiatan sastera bertaraf negeri atau kebangsaan diadakan di daerah yang agak terpencil suatu yang tidak perlu diimpikan.
Seramai lebih 40 orang yang berkampung selama sehari di Hotel Sri Klawang bukanlah kelompok yang sudah mencipta nama dalam penulisan, barangkali sekadar ingin mencuba atau berjinak.
Namun apa yang penting peluang yang diberikan dan sedikit bimbingan oleh penceramah jemputan diharap dapat memberikan rangsangan.
Editor dari Utusan Publications & Distributors, Norazah Abdul Aziz yang membincangkan perihal Manuskrip kepada Editor, khususnya manuskrip novel.
Beliau menjelaskan, seorang penulis yang baik perlu mempertimbangkan bahawa karyanya merupakan dokumen kekal dan boleh dibertanggungjawabkan.
Pada masa yang sama jelasnya, penulis tersebut perlu melakukan penyuntingan sendiri sebelum menyerahkan manuskripnya kepada editor sesuatu penerbitan.
``Yang penting adalah seseorang itu mesti ikhlas untuk menjadi penulis kerana karya yang diterbitkan adalah dokumen kekal.
``Penulis juga perlu membina hubungan dengan birokrat sastera, penerbit, editor atau penjaga ruangan sastera di mana-mana penerbitan,'' katanya.
Para peserta juga berpeluang mendengar ceramah penulisan sajak oleh Prof. Dr. Ir. Wan Abu Bakar atau lebih dikenali dengan Irwan Abu Bakar dan pelopor pemuka dalam sastera internet.
Pensyarah kejuruteraan di Universiti Malaya itu turut mengajak khalayak memanfaatkan kemudahan dalam teknologi maklumat dan komunikasi untuk berkarya.
Ujarnya, internet menyediakan ruangan yang lebih besar dan khalayak yang tidak terbatas kepada karya-karya yang dimuatkan dalam penerbitan siber.
Sementara itu Siti Jasmina Ibrahim memberikan bimbingan kepada peserta yang kelihatan mentah dalam selok-belok penulisan mengenai kepengarangan cerpen.
Beliau memberitahu, perkara asas yang perlu diketahui oleh seorang calon penulis adalah tema, plot, watak, latar dan tempat, sudut pandangan, gaya bahasa dan suasana cerita.
Ujarnya, seorang penulis yang baik perlu lari dari gaya, isi cerita dan pemikiran yang klise, keluar dari bulatan kebiasaan dan tidak takut menentang arus.
``Yang penting adalah idea. Sebuah kisah yang bijak apabila ia difahami, segar dan mampu bersuara lebih dari satu lapisan. Ada unsur ouvre (kekaguman),'' jelas beliau.
Bagi memeriahkan perkampungan penulis itu, pada sebelah malam telah diadakan Malam Puisi Patriotik dan Pelancaran Buku Karya Ahli Persatuan Penulis Negeri Sembilan (Pen) yang dirasmikan oleh
Exco Kerajaan Negeri, Datuk Razak Mansor.
Hadirin pada malam tersebut berpeluang menyaksikan persembahan tradisi rakyat daerah Jelebu iaitu nyanyian Tumbuk Kalang bagi mengiringi persembahan lagu-lagu rakyat oleh kumpulan Majlis Daerah Jelebu.
Turut mengadakan persembahan pada malam tersebut ialah kumpulan pelajar Kolej Kediaman Kedua Universiti Malaya yang mempersembahkan bacaan puisi dan sketsa.
Tidak ketinggalan peserta Negeri Sembilan ke Sayembara Deklamasi Puisi Bulan Kemerdekaan Farah Nabillah Noor Anuar dan penyair siber, An Bakri.
Majlis penutup disempurnakan oleh ADUn Klawang, Jalaluddin Alias. Hadir sama ialah Pengarah Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Sembilan, Siri Neng Buah.

Rabu, September 15, 2004

Petua Bisul


Tiga hari yang lepas isteri saya mengadu ada satu bintil tumbuh pada buah dada sebelah kanan dan terasa sakit bila diusik. Bila saya periksa memang terdapat satu bisul tumbuh berhampiran dengan puting susunya. Kerana menyangka cuma bisul biasa dan akan hilang tidak lama lagi lalu saya suruh dia bersabar sambil menyapu dengan minyak angin cap kapak.
Tetapi pada petangnya dia mengadu lagi sakitnya semakin terasa. Saya lihat bisul itu semakin membesar dan membengkak dengan kulit luarnya warna merah.
Saya tahu betapa sakitnya terkena bisul kerana pernah mengalaminya. Apatah lagi kalau bisul itu tumbuh pada buah dada. Kerana itu tidak hairanlah Isteri saya sampai demam dan mengadu sakit pada ketiak dan pangkal peha.
Saya pernah terkena bisul 3 tahun yang lalu. Paling teruk bisul itu tumbuh di bahagia punggung. Bila duduk punyalah sakitnya. Akhirnya saya terpaksa pergi ke hospital.
Doktor mengatakan bisul itu mesti dibedah untuk mengeluarkan nanahnya. Jika dibiarkan kuman itu akan merebak dan boleh membahayakan.
Ketika dibedah doktor cuma sapukan ubat pelali sahaja pada tempat yang akan dibedah. punyalah sakitnya ketika Doktor itu mengeluarkan nanah dan mencucinya. Kerana isteri saya ada ketika itu maka dia berasa takut jika mengalami perkara yang sama.
Pak Cu Hassan bapa saudara saya yang tinggal di Pulau Pinang datang membawakan buah hutan yang mereka panggil “buah jelujur”.
Katanya sesiapa yang makan buah itu tidak akan terkena bisul lagi. lalu saya memakannya dan alhamdulillah sampai sekarang dengan izin Allah saya tidak terkena bisul lagi. kabarnya buah jelujur payah didapat kerana ramai yang mencarinya untuk dijadikan ubat. (kalau ada yang jumpa buah itu tolong ambilkan untuk saya).
Berbalik pada cerita isteri saya yang terkena bisul. Lalu saya memujuk pergi ke klinik atau hospital untuk mendapat rawatan. Kerana tak tertahan sakitnya dia bersetuju. Cuma masalahnya dia tidak mahu doktor lelaki yang memeriksa buah dadanya.
Kami cuba risik klinik swasta di Kuala Klawang tapi tidak ada doktor perempuan. Malah di Kuala Pilah juga tidak ada klinik swasta doktor perempuan. Akhirtnya kami pergi ke hospital kerajaan sahaja.
Doktor yang memeriksa isteri saya juga seorang lelaki. Isteri saya berasa serba salah hendak memperagakan buah dadanya untuk diperiksa. Mujur dotor itu faham lalu disuruhnya jururawat yang memeriksanya. Bukan seorang tapi lima orang jururawat memeriksanya kemudian melapurkan kepada doktor itu.
Doktor nampak serius. Dia bimbang jika itu bukan bisul tapi barah buah dada yang sudah teruk. Berbagai soalan yang ditanyanya. Antaranya benarkah sakit itu baru tiga hari atau sudah lama?. Doktor bertanya lagi adakah keturunan isteri saya pernah mengalami barah buah dada?. Isteri saya jawab tak ada. Doktor bertanya pada saya pula adakah keturunan disebelah saya pernah mengalami penyaklit barah buah dada?. Saya jawab tak ada sebab memang tak ada keluarga isteri dan keluarga sebelah saya yang pernah mengalami penyakit barah buah dada.
Doktor mencadangkan isteri saya dibedah kerana nanah dari bisul itu mesti dikeluarkan. Tetapi isteri saya merayu supaya diberi tempuh tiga empat hari lagi dan minta diberikan ubat untuk dimakan. Doktor akhirnya setuju lalu isteri saya dibekalkan berbagai jenis ubat. Ada antibiotik, ada ubat kunyah dan ada ubat hisap.
“ Hari Isnin depan kakak mesti datang semula ke sini. Jika bisul ini masih tidak keluar nanahnya maka kakak tidak ada pilihan mesti dibedah,” kata Doktor.
Kami berdoa dan berharap bisul itu akan masak dan keluar nanahnya. Jika tidak maka hari Isnin depan isteri saya akan dibedah. Itu yang paling ditakutinya.
Menurut adik Ipar (adik isteri saya) yang datang ke rumah bila mendapat tahu kakaknya sakit mengatakan rakan di tempat dia kerja pernah mengalami sakit bisul pada buah dadanya. Doktor hendak membedahnya tapi dia juga minta ditangguh. Mujur bisul itu masak dan meletus sendiri tanpa dibedah.
Munurut adik isteri saya, rakannya itu mendapat satu petua iaitu menyapukan air mani suaminya pada tempat terkena bisul itu. Mudah-mudahan bisul itu sembuh. Lalu dia mencadangkan kami mencuba petua itu. Bagaimana ye?. hahaha.

Isnin, September 13, 2004

Malam Puisi Merdeka 2004



            MERIAHNYA MALAM PUISI MERDEKA 2004



Ada yang mengatakan amat payah menarik minat khalayak ramai untuk menyaksikan acara baca puisi. Namun saya telah menyaksikan dua majlis puisi yang mendapat sambutan yang begitu meriah dan menggalakan.
         Pada 3hb lepas telah berlansung MALAM PUISI MERDEKA di tapak Pasar Tani Simpang Pertang, Jelebu. Acara tersebut telah berjaya menarik lebih 1,000 orang penonton termasuk kaum Cina dan India.
        
Selain membaca puisi diadakan juga persembahan kebudayaan oleh kaum Cina dan India. Mungkin kerana itu berjaya menarik orang ramai termasuk anak-anak muda untuk datang menyaksikannya.
       
Dan pada malam tadi bertempat di Auditorium Kompleks Perdanasiswa Universiti Malaya telah berlansung MALAM PUISI MERDEKA 2004 yang dianjurkan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar Universiti Malaya.
        
Majlis tersebut bukan sahaja berjaya menarik orang ramai untuk hadir malah berjaya membuat penonton berasa terhibur dengan pelbagai persembahan yang menarik dari para penyair jemputan.
      
Antara penyair yang mengambil bahagian malam tadi ialah SN Dato’ A.Samad Said, Marsli.N.O, Amaruszati Noor Rahim, Prof Dr Hasyim Yaakob, Prof Dr Ir Wan Abu Bakar, Dr Victor dan beberapa penyair muda berbakat seperti Dahrie Zakaria, Shamsul Zakaria (Airmas_sz) dan ramai lagi.
       
Para penonton disajikan dengan pelbagai gaya persembahan yang mencuit hati oleh para penyair baru dan terkenal.
         Marsli N.O dari Pahang tampil dengan gayanya yang tersendiri tapi agak gila-gila. Prof Dr Hashim Yaakob pula dengan gayanya yang tenang dan bersahaja. Prof Dr Irwan pula dengan penampilannya yang segak bergaya. Dr Victor juga berjaya menarik perhatian penonton dengan pusi Melayu diterjemahkan ke bahasa Russi dan puisi Russia diterjemahkan dalam bahasa Melayu. Persembahannya menjadi menarik bila dilagukan.
        Begitu juga dengan Shamsul Zakaria (airmas_sz) boleh bermain gitar sambil menyanyikan lagu puisi ciptaannya sendiri. Manakala Dahrie pula membaca mentera (katanya mentera siam campur jawa) sambil membaca cerpen yang ada fikiran luar biasa. Bacaannya menarik kerana jelas dan ada penghayatan.
       
Tidak kurang menariknya ialah persembahan Kumpulan Tumbuk Kalang Seri Jelebu dengan 4 buah lagu yang membuatkan penonton bertepuk tangan mengikut rentak yang dimainkan.
         Kumpulan Tumbuk Kalang Jelebu yang dianggotai seramai 12 orang didatangkan khas dari Jelebu dengan menaiki sebuah Van, sebuah Pajero dan sebuah kereta.
       
Sebelum membuat persembahan kami sempat singgah di Rumah Universiti dan menikmati makan malam yang begitu enak dan menyelerakan.
        
Syabas diucapkan kepada pihak penganjur yang telah berjaya menganjurkan MALAM PUSI MERDEKA 2004.



              Kalau ada sumur di ladang
              Boleh kita menumpang mandi
              Kalau Tumbuk Kalang Jelebu di undang

              Tahun depan kita jumpa lagi.

Isnin, September 06, 2004

Nasib Seorang Pejuang

Ketika ini Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudahpun berada di Munich, Jerman bagi menjalani rawatan tulang belakang di sebuah klinik di negara itu.
Beliau berlepas dengan pesawat penerbangan Malaysia (MAS) dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sepang.
Turut mengiringi beliau ialah isteri, Datin Seri Dr.Wan Azizah Wan Ismail, dua orang anak, Nurul Iman dan Muhammad Ihsan, pembantu peribadi, Azmin Ali dan doktor peribadi, DR Hafifi Rahman.
Beliau dijangka berada di Munich selama kira-kira satu bulan untuk menjalani rawatan sakit tulang belakang yang diidapinya sejak lebih setahun lalu. Ada yang mengatakan sekiranya beliau lambat mendapat rawatan ada kemungkinan boleh lumpuh.
Datuk Seri Anwar Ibrahim yang hampir enam tahun menjalani hukuman penjara dibebaskan oleh Mahkamah Persekutuan apabila rayuannya dibenarkan bagi mengetepikan sabitan kesalahan meliwat.
Keputusan itu bermakna Anwar telah bebas daripada hukuman penjara sembilan tahun yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada tahun 2000 atas kesalahan tersebut.
Sebelum ini, Anwar, 57, telah pun menjalani hukuman penjara empat tahun yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi pada 14 April 1999 selepas mendapati bersalah atas empat tuduhan rasuah berhubung penyalahgunaan kuasa dengan campur tangan dalam penyiasatan polis terhadap dakwaan salah laku seksual.
Dia sepatutnya dipenjara enam tahun, tetapi tempoh hukuman itu dikurangkan setelah berkelakuan baik.
Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai ramai penyokong kerana itu tidak hairanlah apabila beliau dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri dan di hadapkan ke mahkamah dengan pelbagai tuduhan maka ramai yang bersimpati.
Kerana itu sepanjang tempoh penahanan beliau dalam lokap dan penjara banyak demontrasi jalanan dilakukan oleh para penyokong beliau dan ramai diantara mereka yang ditangkap polis dihadapkan ke mahkamah malah ada yang di tahan di bawah ISA.
Ada seorang kawan saya yang berjawatan tinggi sanggup berhenti kerja kerana ingin melibatkan diri secara aktif dalam perjuangan menegakkan keadilan. Beliau sanggup meninggalkan keluarga untuk berceramah ke merata tempat atau menghadiri aktiviti kumpulan mereka. Malah sanggup melihat isteri dan anak-anaknya hidup dalam serba kesusahan apabila diberhentikan kerja. Namun demi sebuah perjuangan perkara itu terpaksa ditempuhinya juga.
Kini Datuk Seri Anwar Ibrahim telahpun dibebaskan. Besar kemungkinan beliau akan kembali aktif dalam politik selepas kembali ke tanah air nanti. Malah beliau juga telah menyatakan sanggup berkerjasama dengan pihak kerajaan untuk perjuangan menegakkan keadilan.
Saya teringat kisah Nabi Yusof yang dipenjarakan selama tujuh tahun apabila keluar dilantik menjadi Perdana Menteri Mesir.
Saya juga teringat kisah Datuk Harun Idris dan Datuk Mokhtar Hashim, tokoh politik yang terkenal di suatu ketika dulu, apabila keluar dari penjara beliau cuba kembali aktif dalam politik namun tidak berjaya dan akhirnya dilupakan.
Apakah Datuk Seri Anwar bernasib baik seperti Nabi Yusof apabila keluar dari penjara menjadi Perdana Menteri atau menerima nasib yang sama seperti Datuk Harun Idris Datuk Mokhtar Hashim?.
Bagaimana pula nasib kawan saya yang hingga kini masih menganggur?. Mungkin inilah yang dikatakan “ Nasib seorang pejuang.”