Selasa, Mei 30, 2006

GAMBAR KENANGAN

Gambar kenangan tahun 1993.

Majlis penyampaian hadiah sastera berunsur Islam 1V pada tahun 1993.Inilah sayembara yang mula-mula saya menangi walaupun Cuma hadiah sagu hati tetapi cukup bermakna kerana memberi semangat kepada saya untuk terus berkarya.

Tempat pertama dimenangi oleh Amy Suzani Mohd Ainuddin, masih berkarya hingga sekarang. Tempat kedua Ahmad J Hussein. Masih gigih menulis.

Saya suka melihat gambar ini kerana membangkitkan semangat saya untuk terus menulis.

Ahad, Mei 21, 2006

BERAKIT KE HULU

Baru-baru ini semasa menghadiri satu majlis perkahwinan saya bertemu dengan Pak Harun.

20 tahun dahulu kami bekerja dalam satu pejabat. Ketika itu dia Cuma seorang pemandu.

Gaji saya masa itu Cuma RM250.00. Anak-anak pula sedang bersekolah. katanya mengenang kisah silam.

Katanya lagi, setiap kali menerima gaji beliau utamakan dulu untuk perbelanjaan anak-anak bersekolah.

Kata Pak Haron, anaknya Cuma tiga orang sahaja. Kesemuanya berjaya melanjutkan pelajaran ke Universiti.

Ketika itu mereka duduk di asrama. Apabila dapat gaji saya hantar duit untuk mereka dahulu. katanya. Bakinya baru pak cik gunakan untuk perbelanjaan di rumah. Kami makan ala kadar sahaja asalkan anak-anak dapat belajar.

Sekarang Pak Haron kerja apa? tanya saya.

Saya sudah bersara. Anak-anak semua sudah bekerja. Mereka suruh saya beramal ibadat. Setiap bulan mereka beri duit. jawabnya.

Menurut Pak Haron lagi, baru-baru ini dia dan isterinya menunaikan fardhu haji dengan semua perbelanjaannya ditanggung oleh anak-anak.

Alhamdulillah. Pak Haron antara warga emas yang merasa bahagia pada hari-hari tuanya.

berakit ke hulu
berenang ke tepian
bersakit dahulu
bersenang-senang kemudian.

Selasa, Mei 16, 2006

SAHABAT

Imam al-Syafie ada memberikan nasihat dalam soal persahabatan.
Katanya:
Aku mencintai sahabatku dengan segenap jiwa ragaku, seakan-akan aku mencintai sanak saudaraku.

Sahabat yang baik adalah yang sering sejalan denganku dan yang menjaga nama baikku ketika aku hidup atau selepas aku mati.

Aku selalu berharap mendapatkan sahabat sejati yang tidak luntur baik dalam keadaan suka atau duka. Jika itu aku dapatkan, aku berjanji akan selalu setia padanya.

Kuhulurkan tangan kepada sahabatku untuk berkenalan kerana aku akan berasa senang. Semakin ramai aku peroleh sahabat, aku semakin percaya diri.

Belum pernah kutemukan di dunia ini seorang sahabat yang setia dalam duka. Pada hal hidupku sentiasa berputar-putar antara suka dan duka.

Jika suka melanda, aku sering bertanya: "Siapakah yang sudi menjadi sahabatku?"

Pada waktu aku senang, sudah biasa ramai yang akan iri hati, namun apabila giliran aku susah mereka pun bertepuk tangan.

Aku dapat bergaul secara bebas dengan orang lain ketika nasibku sedang baik. Namun, ketika musibah menimpaku, kudapatkan mereka tidak ubahnya rodazaman yang tidak mahu bersahabat dengan keadaan.

Jika aku menjauhkan diri daripada mereka, mereka mencemuh dan jika aku sakit, tidak seorang pun yang menjengukku.

Jika hidupku berlumur kebahagiaan, banyak orang iri hati, jika hidupku berselimut derita mereka bersorak sorai.

Apabila tidak ketemu sahabat yang takwa, lebih baik aku hidup menyendiri daripada aku harus bergaul dengan orang jahat.

Selasa, Mei 09, 2006

AGUS SALIM

AGUS SALIM DENGAN ISTERINYA MAHAYA YASSIN.

Agus Salim atau nama sebenarnya Haji Padzali @Salim Haji Taib telah kembali ke rahmatullah pagi Isnin 8hb jam 6.15 pagi dan jenazahnya selamat dikebumikan sebelum waktu Zohor.

Saya sampai ke rumah beliau di Taman paroi Jaya jam 11 pagi. Ketika itu jenazah selesai dimandi dan dikafan hanya menunggu untuk disembahyangkan. sebelum solat jenazah sempat juga kami bertahlil rengkas.

Alhamdulillah. Dianggarkan 70 orang yang menyembahyangkan jenazah allahyarham Cikgu Agus Salim. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atasnya.

Semasa hayatnya Cikgu Agus Salim merupakan tenaga penggerak PEN. Beliau lama memegang jawatan Ketua Satu sebelum diambil alih oleh Puan Mahaya yang juga isterinya.

Antara kenangan dengan beliau apabila berjumpa biasanya Cikgu Agus akan bertanya, apa karya terbaru?.

Saya dan keluarga mengucapkan takziah kepada Puan Mahaya Yassin. Al Fatihah.

Isnin, Mei 08, 2006

KISAH TELADAN

Pada suatu hari Abdullah bin Jaafar bin Abi Talib dalam perjalanan lalu berehat di kebun kurma. Di situ ada seorang hamba berkulit hitam yang menjaga kebun tersebut. Setelah mereka berbual tiba-tiba hamba itu berasa lapar lalu mengeluarkan makanannya iaitu tiga buku roti. Pada masa yang sama datang seekor anjing lalu mengelilingi mereka sambil menjulurkan lidah tanda sedang kelaparan.

Hamba itu berasa kasihan lalu mencampakkan sebuku roti kepada anjing tersebut. Tetapi anjing itu masih lapar lalu dicampakkan sebuku roti lagi. Namun anjing itu masih belum kenyang. Akhirnya hamba itu mencampakkan roti yang ketiga kepada anjing tersebut.

Abdullah berasa hairan lalu bertanya. Berapa banyak makanan yang engkau ada?
Jawab hamba itu, Hanya tiga buku roti sahaja.

Tanya Abdullah lagi, Kenapa engkau berikan semuanya kepada anjing itu?

Jawab hamba itu, Anjing itu datang dari jauh dan dia sedang kelaparan. Sedangkan saya masih boleh menahan lapar hingga esok.

Tanya Abdullah lagi. Apakah yang menyebabkan engkau begitu bermurah hati pada anjing itu?

Jawab hamba itu. Nabi pernah menceritakan bagaimana seorang wanita pelacur diampunkan dosanya kerana memberi minum seekor anjing yang sedang kehausan. Saya ingin mendapat keampunan-Nya.

Abdullah berasa terharu dan mengakui sifat dermawannya telah dikalahkan oleh hamba tersebut.

Maka dibelinya kebun kurma beserta dengan hamba tersebut. Kemudian hamba itu dibebaskannya.

Semenjak itu Abdullah semakin bersifat dermawan. Pernah dia bersedekah berpuluh ribu dinar dalam satu hari.

Khalifah Muawiyah sangat sayang kepada Abdullah. Beliau memberikan Abdullah sejuta dirham setiap tahun tetapi kesemua duit itu habis disedekahkannya kepada mereka yang memerlukan.

Semasa Muawiyah menjadi khalifah, apabila tiba musim haji beliau memberi minuman kepada jemaah haji dengan perbelanjaannya sendiri. Apabila ditanya mengapa maka Muawiyah menjawab, kalau memberi minum seekor anjing boleh mendapat keampunan apatahlagi memberi minuman kepada manusia. Semoga Allah ampunkan dosaku.

Selasa, Mei 02, 2006

PRAMOEDYA MENINGGAL DUNIA

(Dari Utusan Malaysia)

Penulis terkemuka Indonesia, Pramoedya Ananta Toer yang menghidapi penyakit jantung dan diabetes meninggal dunia pada usia 81 tahun.Anak perempuan Pramoedya, Tatiana Ananta menyatakan, bapanya meninggal dunia di rumahnya di Jakarta Timur.

Bapa saya meninggal dunia dengan tenang pada pukul 8.55 pagi. Dia telah membaktikan seluruh hidupnya kepada negara ini menerusi karyanya. Kami semua telah kehilangan seorang bapa yang baik, seorang penulis besar. Saya sangat berbangga dengannya, kata Tatiana kepada Associated Press (AP).

Pramoedya yang lantang memperjuangkan demokrasi dibawa pulang semalam selepas beberapa hari ditempatkan di unit penjagaan rapi (ICU) Hospital St. Carolus, di sini.
Beliau yang pernah dipenjarakan selama beberapa tahun dicalonkan beberapa kali untuk Hadiah Nobel dalam bidang kesusasteraan manakala 34 buku dan esei beliau diterjemahkan ke dalam 37 bahasa.

Karyanya yang paling terkenal, siri novel Buru Quartet mengenai perjuangan Indonesia menuntut kemerdekaan daripada Belanda, ditulis pada cebisan kertas dan diseludupkan keluar ketika beliau menjalani hukuman penjara di pulau Buru.

Pramoedya mula-mula dipenjarakan pada 1947 oleh tentera Belanda kerana mengambil pendirian ‘antikolonialis’.

Beliau dipenjarakan lagi selepas junta tentera Jeneral Suharto mengambil alih kuasa pada 1966 dan menghabiskan 14 penjara ditahan tanpa perbicaraan di pulau Buru bersama-sama ribuan lagi penentang kerajaan Suharto.

Pramoedya yang telah lama menghadapi masalah kesihatan dimasukkan ke hospital pada Khamis lalu kerana komplikasi diabetes dan jantung, kata menantunya, Gun.
- AP