Ahad, Januari 30, 2005

BETAPA BERAT BAHU MEMIKUL

Ramai penonton yang sebak dan mengalirkan air mata semasa menonton satu rancangan astro yang dihoskan oleh anita.

Dalam rancangan tersebut beberapa keluarga yang kurang bernasib baik atau berada di bawah paras kemiskinan dibawa ke stadio untuk menceritakan keperitan hidup yang mereka alami supaya dapat berkongsi kesedihan dengan penonton.

Ada sebuah keluarga yang mempunyai 8 orang anak, tiga di antaranya cacat tulang belakang terpaksa hidup dalam serba kepayahan kerana si ayah yang berkerja sebagai pembantu mekanik Cuma mendapat upah RM 100.00 satu minggu atau RM 400.00 satu bulan.

Dengan pendapatan sebanyak itulah digunakan untuk membeli makanan serta perbelanjaan anak-anak ke sekolah yang tambang bas sahaja RM 30.00 seorang sebulan.
Akibat kesusahan hidup yang mereka alami ada diantara anak yang tidak dapat bersekolah.

Ramai yang memuji rancangan tersebut kerana mengajar masyarakat menjadi penyayang. Dan tidak dapat dinafikan di luar sana masih ramai yang senasib atau mungkin lebih susah dari mereka.

Di akhir rancangan pihak penaja menghulurkan bantuan berupa wang tunai RM5,000.00 termasuk peralatan elektrik bernilai RM 2,000.00 kepada setiap keluarga. Kita percaya bantuan tersebut dapat juga merengankan kesusahan hidup yang dialamai oleh keluarga yang malang itu.

Timbul persoalan, selepas ini apa akan jadi kepada keluarga tersebut?. Mungkin wang sebanyak lima ribu itu boleh habis dalam masa beberapa bulan sahaja. Dan selepas itu apakah keluarga tersebut akan terus dihimpit kesusahan semula?. Bagaimana pula dengan anak-anak mereka yang cacat tulang belakang. Kata si ayah, pihak hospital menganggarkan perbelanjaan pembedahan berjumlah RM30,000.00 seorang. Apakah kanak-kanak itu akan terus dibiarkan cacat seumur hidup?.

Timbul persoalan lagi, apa tindakan pihak yayasan basmi kemiskian yang pegawainya turut berada di stadio ketika rancangan tersebut berlansung. Semasa ditemuramah ramai yang mengharapkan pegawai itu akan memberitahu penonton usaha yang akan mereka ambil untuk membantu keluarga yang malang itu.

Bagaimana pula dengan kutipan wang zakat yang jumlahnya puluhan juta ringgit setiap tahun. Apakah wang itu tidak boleh disalurkan kepada insan yang malang itu?.

Baru-baru ini rakyat negara kita yang prihatin menghulurkan derma untuk mangsa tsunami yang jumlahnya mencecah puluhan juta ringgit. Alangkah baiknya jika derma itu juga disalurkan kepada rakyat negara kita yang perlukan bantuan.

Pepatah ada mengatakan, lebih baik memberi sebatang pancing dari memberi seekor ikan. Dengan adanya pancing membolehkan seseorang itu mendapatkan ikan.

Alangkah baiknya kalau si ayah yang ada kemahiran dalam bidang makanik itu diberikan modal untuk membuka bengkel sendiri. Si ibu tunggal yang pandai menjahit diberikan modal untuk membuka kedai jahitan. Atau paling tidak diberikan modal untuk membuka warung untuk menjual nasi lemak.

Betapa berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Bilakah agaknya kemiskinan akan berakhir?

Jumaat, Januari 28, 2005

Rasullullah dengan pelawak.

Pada zaman Nabi Muhammad SAW ada seorang pelawak bernama Nuaiman Al- Ansary. Nabi sangat sayang kepadanya kerana telatahnya yang lucu serta menghiburkan. Selain dari berbakat sebagai pelawak, Nuaiman juga seorang pahlawan yang pernah ikut serta dalam Peperangan Badar.

Pada suatu hari datang seorang lelaki menunggang seekor unta hendak berjumpa dengan Rasullullah SAW. Unta itu ditambatkannya di luar masjid. Sedang lelaki itu asyik berbual dengan Rasullullah SAW maka pelawak Nuaiman pun datang. Dan seperti biasa Nuaiman sentiasa menjadi perhatian orang ramai kerana telatahnya yang melucukan.
Nuaiman tertarik melihat unta itu lalu orang ramai yang berada di luar masjid mengapi-apikannya.

“ Wahai Nuaiman, engkau adalah pelawak kesayangan Rasullullah saw. Cuba engkau sembelih unta itu dan nabi pasti akan membayar ganti ruginya,” kata orang ramai.
Maka dengan segala kelucuannya Nuaiman menyahut cabaran itu lalu menyembelih unta tersebut. Dagingnya dibahagikannya kepada orang ramai yang berada di sekitar masjid.
Tiba-tiba lelaki tuan punya unta keluar dari masjid lalu menjerit marah kerana unta kesayangannya sudah disembelih. Nuaiman berasa takut lalu lari menyembunyikan diri dalam sebuah kebun.

Nabi SAW menyuruh orang ramai mencari Nuaiman dan dibawa ke hadapan baginda.
“ Kenapa kamu sembelih unta itu?” tanya Nabi Muhammad SAW.

Dengan gaya yang melucukan Nuaiman pun menjawab,” Wahai Rasullullah SAW. Orang ramai yang menyuruh saya menyembelih unta itu. Mereka kata Nabi akan membayar ganti ruginya.”

Nabi Muhammad tersenyum melihat telatah Nuaiman. Baginda tidak marah sebaliknya membayar ganti rugi kepada tuan punya unta itu.
Pada suatu hari yang lain, sedang Nuaiman berjalan di sebuah pasar, dia tertarik bila melihat sejenis makanan lalu Nuaiman berfikir alangkah baiknya kalau makanan itu diberikan kepada Rasullullah SAW. Tetapi ketika itu dia tidak mempunyai duit untuk membelinya.

“ Boleh saya bawakan makanan ini kepada rasullullah saw dan saya akan bayar kemudian,” kata Nuaiman dan penjual makanan itu setuju.
Nuaiman menghadiahkan makanan itu kepada Rasullullah SAW. Sedang baginda menikmati makanan itu tiba-tiba penjual makanan datang menuntut bayarannya..
“ Wahai Nuaiman, bukankah kamu yang hadiahkan makanan ini?” tanya Rasullullah SAW.

“ Semasa berada di pasar tadi saya nampak lelaki ini menjual makanan yang sedap lalu saya bercadang hendak menghadiahkannya kepadamu. Tetapi duit saya tidak ada untuk membelinya. Lalu saya berjanji akan membayarnya kemudian,” jawab Nuaiman masih dengan gayanya yang melucukan.
Sekali lagi Nabi Muhammad SAW tersenyum lalu membayar harga makanan tersebut kepada lelaki itu.

Isnin, Januari 24, 2005

WAWANCARA (1)

Sepertimana yang telah dijanjikan pada jam 11 pagi tadi satu temuramah antara saya dengan tiga pelajar UPM telah diadakan di sebuah restoran di Seremban. Saya sengaja memilih tempat tersebut kerana lebih sesuai untuk berbual panjang sambil menikmati makanan. Namun tiga pelajar Fakulti Bahasa Moden & Komunikasi, UPM itu lebih berminat menemuramah saya dari menikmati makanan yang dihidangkan. Saya juga tertarik dengan minat serta kesungguhan mereka terhadap kajian ilmiah yang sedang mereka jalankan.

Tiga pelajar tersebut memperkenalkan namanya sebagai Siti Rashidah Mandayar berasal dari Batu Pahat, Noraini Hassim dari Banting Selangor dan Siti Aishah Abd Rahim dari Batu Pahat. Siti Rashidah Mandayar dan Norani Hassim mengambil kursus B.A (Kesusasteraan Melayu) manakala Siti Aishah B.A (Bahasa & Linguistik Melayu).

Siti Rasidah Mandayar menumpukan kajian terhadap kumpulan Cerpen Kebenaran, Noraini pula banyak bertanya mengenai sebuah cerpen saya berjudul Tanah Adat yang terkumpul dalam antologi bersama Calar Mimpi manakala Siti Aishah banyak bertanya mengenai penglibatan saya dengan majalah internet Esastera.com.

Menurut Siti Rashidah Mandayar, dia memilih Kumpulan Cerpen Kebenaran kerana banyak menyentuh isu agama dan masyarakat.

“ Kalau kami kritik secara positif dan negatif Pak Latip tak marah?” tanya mereka.
“ Mana boleh marah sebab itu hak pembaca,” jawab saya.
Sebagai penulis saya menghargai setiap kritikan yang diberikan oleh pembaca. .

Malam tadi saya menerima berita dari seorang kawan dari Sabah mengatakan dalam satu bengkel penulisan yang dihadirinya buku saya Kumpulan Cerpen Kebenaran juga telah dijadikan bahan rujukan kepada peserta kursus tersebut. Kabarnya ada ura-ura hendak menjemput saya ke Sabah. Alhamdulillah

Khamis, Januari 20, 2005

SELAMAT HARI RAYA KORBAN

SAYA MENGUCAPKAN SELAMAT HARI RAYA KORBAN KEPADA SEMUA YANG SUDI BERKUNJUNG KE BLOG INI. JIKA ADA SALAH DAN SILAP HARAP MAAFKAN.

Khamis, Januari 13, 2005

PENGHARGAAN

Sebagai seorang penulis saat paling bahagia bila melihat karya diterbitkan atau dibukukan. Saat paling menyukakan hati bila mendapat royalti atau menang sayembara walau sekadar hadiah saguhati. Rupanya ada lagi saat paling membahagiakan dari itu semua bila karya dibuat kajian oleh pelajar universiti bagi memenuhi syarat graduat mereka.
Itulah perasaan saya hari ini setelah menerima kiriman pos laju dari seorang pelajar universiti yang tidak saya kenali menyatakan hasratnya memilih kumpulan Cerpen Kebenaran karya saya yang diterbitkan pada tahun 2001 oleh Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai kajian projek ilmiah kesusasteraan Melayu bagi memenuhi syaratnya bergraduat.
Bersama surat itu juga disertakan beberapa soalan bertulis mengenai biodata, penglibatan menulis cerpen khususnya isu-isu atau persoalan yang diterapkan dalam kumpulan cerpen kebenaran.
Mungkin bagi penulis yang lain perkara itu sudah biasa kerana sudah kerap kali dilakukan tetapi pada diri saya inilah pertama kali buku saya dibuat kajian oleh pelajar universiti dan saya anggap ini sebagai satu penghargaan di atas usaha saya menghasilkan kumpulan cerpen itu.
Lalu saya pun berjanji akan memberikan kerjasama dan berharap semoga pelajar itu akan mendapat kejayaan yang cemerlang. InsyaAllah.

Rabu, Januari 05, 2005

AZAM TAHUN BARU

AZAM
Tahun 2004 telah berlalu. Tahun 2005 sudah menjelma. Semoga tahun 2005 lebih baik dari tahun sebelumnya.

Mengimbas kembali sepanjang tahun 2004 memang banyak kenangan yang tidak dapat dilupakan. Ada yang sedih dan ada yang gembira. Yang sedih itu semoga tidak berulang lagi kesedihannya manakala yang gembira itu biarlah berterusan kegembiraannya.

Dan biasanya setiap kali menyambut tahun baru, kita ada azam dan impian masing-masing. Tentulah yang elok-elok sahaja. Saya juga ada azam dan cita-cita untuk tahun 2005. Semoga dapat dilaksanakan.

Sebagai orang Islam saya berazam untuk membanyakkan amal ibadat. Sebagai seorang suami ingin terus hidup bahagia disamping isteri. Sebagai seorang ayah ingin melihat kejayaan anak-anak di bidang pelajaran dan kerjaya masing-masing. Dan sebagai seorang penulis saya berazam untuk terus menghasilkan karya.

Kejayaan paling mengembirakan hati saya pada tahun 2004 berjaya menulis dua buah novel
semoga kedua novel itu akan dapat diterbitkan pada tahun 2005 ini. InsyaAllah.

Lalu bagaimana pula dengan tahun 2005?. Saya berazam untuk mengulangi lagi kejayaan itu. InsyaAllah.

Sabtu, Januari 01, 2005

SELAMAT TAHUN BARU

UCAP SELAMAT

SAYA MENGUCAPKAN SELAMAT TAHUN BARU KEPADA SEMUA PENGUNJUNG LAMAN WEB INI. KALAU ADA SALAH DAN SILAP HARAP MAAFKAN. SEMOGA TAHUN 2005 LEBIH MENGERATKAN LAGI PERSAHABATAN YANG TERJALIN ANTARA KITA.