Isnin, Januari 28, 2008

RANDAU RUAI




LAPORAN PANEL HAKIM

Novel ini membawa isu pertanggungjawaban politik dan konflik pembangunan kepada masyarakat desa.

Tuai Pasong mempersoalkan langkah kerajaan mengambil alih tanah penduduk kampung untuk pembangunan kerana keuntungan bukan sampai kepada orang kampung tetapi kepada tauke-tauke besar seperti tauke balak, tauke kilang minyak sawit dan sebagainya. Pembangunan tanah desa juga akan menghilangkan peluang untuk berburu hidupan liar di hutan-hutan terbiar.

Syafiq di arah pulang ke semenanjung kerana gagal dalam misinya untuk membangunkan nanga Setia. Sebelum beliau pulang Aghata menawarkan Syafiq cadangan pembangunan Lembah Ranum oleh sebuah syarikat yang dipengerusikan olehnya sendiri. Syarikat ini mendapat bantuan daripada pelbagai pihak termasuk seorang tokoh korporat dari semenanjung bernama Dato Ramdan. Dalam epilog, digambarkan kejayaan Syarikat Nanga Setia membangun ladang kelapa sawit setelah tujuh tahun diusahakan.

Novel ini mengisahkan pembangunan negeri Sarawak melalui tenaga sonergi tokoh dari Sarawak dan Semenanjung. Novel ini bersifat realisme yang menyentuh persoalan yang amat penting- mengenai pembangunan dan kesungguhan tokoh-tokohnya untuk membawa perubahan dan pembangunan di kawasan pedalaman negeri Sarawak. Rakyat negeri Sarawak berjaya menerusi budaya kerjasama dan perpaduan erat untuk membangun tanah mereka.

Selain itu novel ini juga menyentuh tentang adat resam negeri Sarawak baik yang sudah luput seperti ngayap dan ngayau mahupun yang masih diamalkan pada masa sekarang. Hubungan antara kaum, antara penduduk semenanjung dan sarawak, semangat pribumi, hubungan kekeluargaan, diberikan fokus juga oleh pengarang, novelis juga memberikan tumpuan kepada nilai-nilai positif seperti ketaatsetiaan kepada pemimpin, bermusyuarah dalam membuat keputusan dan lain-lain. Nilai-nilai sosial yang negatif seperti mabuk alkohol, rasuah, berdendam,fitnah dan sebagainya juga dibincangkan.

Dalam latar belakang masyarakat Nanga Setia, novelis memperkenalkan watak-watak utama dan terus menggambarkan tema novel ini yakni pembangunan tanah dan masyarakat pribumi. Novel ini kemudian berkisar kepada watak utama yakni Syafiq dan Aghata yang bertemu dengan secara kebetulan dalam penerbangan ke Sibu. Kemuncak novel ini ialah krisis yang berlaku antara tuai pasong beserta Ambing dengan pihak Syafiq mewakili FELCRA.

Novel berakhir dengan menggambarkan kejayaan Syafiq dan Aghata untuk membangun tanah mereka secara sendiri tanpa campur tangan pihak kerajaan. Dari segi perwatakan pula novel ini diwakili oleh Syafiq, Aghata, Mandar Jerunai. Sementara watak antagonis pula diwakili oleh Tuai Pasong, Ambing, Tauke Lim dan beberapa watak yang lain.

Konflik antara kedua-dua pihak seperti konflik antara kelompok tradisional dengan kelompok moderat yang berbeza pendapat tentang pembangunan. Kelompok moderat dapat mencapai kejayaan sementara antagonis seperti tuai pasong terkorban oleh unsur yang kuat dipertahankannya, iaitu harimau buruannya sementara ambing pula dihadapkan kepada keadilan kerana menjalankan operasi pembalakan haram tauke Lim.

SUDAH TERBIT

5hb Februari 2008




Setelah begitu lama menunggu barulah novel ini terbit dan berada di pasaran. Randau Ruai memenangi hadiah pertama Peraduan Menulis sastera Kreatif Budaya Sarawak 2003 yang dianjurkan oleh DBP cawangan Sarawak dengan kerjasama kerajaan negeri dan GAPENA. Saya tertarik untuk menyertainya kerana pernah bertugas di Sarawak dan ingin merakamkan pengalaman semasa bekerja sebagai pemaju tanah di Bumi Kenyalang itu.



PETIKAN DARI RANDAU RUAI

Selesai makan, Tuai Pasong masuk ke bilik lalu mengeluarkan sebuah peti kayu yang disorokkan di bawah katil. Kemudian dia membuka peti tersebut. Di dalamnya ada beberapa bilah senjata. Tuai Pasong menggenggam erat senjatanya.
Kemudian dia duduk di ruai. Dalam sinaran bulan purnama Tuai Pasong melihat ke arah hutan Lembah Ranum yang letaknya bertentangan rumah panjang itu. Hutan itu adalah dunianya sejak kecil. Di situlah mereka mencari rezeki untuk isteri dan anak masing-masing. Kalau hutan itu diteroka alamat semua binatang di dalamnya akan pupus. Kalau babi, rusa, kancil atau binatang lain sudah tidak ada lagi dalam hutan itu, maka sumber makanan mereka turut hilang. Mereka tidak dapat berburu lagi di hutan itu.
Di tengah kawasan hutan itu ada sebatang sungai yang jernih airnya. Sungai itu mengalir hingga ke perkampungan Nanga Setia. Sejak dahulu sungai itu menjadi nadi kehidupan penduduk kampung. Di situlah mereka menangkap ikan. Kalau hutan itu sudah diratakan akan tercemar air sungai itu. Bila hujan turun maka tanah lumpur akan dihanyutkan ke dalam sungai. Akibatnya air sungai itu akan tercemar. Ikan-ikan di dalamnya akan mati. Mereka tidak dapat lagi menangkap ikan di sungai tersebut.
“Aku tak akan biarkan itu berlaku!” jerit hati Tuai Pasong.
“Aku tak akan benarkan kawasan hutan itu dimusnahkan. Aku tak akan biarkan air sungai itu tercemar. Aku tak rela hak aku dirampas.”
“Hari dah jauh malam. Marilah kita tidur,” lembut suara Bulan menyapa suaminya.
“Tidurlah dulu. Sekejap lagi aku datang,” balas Tuai Pasong.
“Saya tak akan tidur kalau awak tak ikut sama.”
“Aku belum mengantuk.”
“Aku juga.”
Di kejauhan, kedengaran salakan anjing memanjang dan sayup. “Kau dengar bunyi itu?” tanya Tuai Pasong.
“Seekor anjing yang kesepian,” jawab isterinya. “Mungkin anjing itu sedang menunggu pasangannya atau merasa tidak dipedulikan. Kalaulah saya seekor anjing saya juga akan menyalak seperti itu.”
Tuai Pasong tersenyum mendengar sindiran isterinya.
Dia tahu Bulan sering kesunyian. Tambahan pula hanya mereka berdua sahaja yang tinggal di rumah itu. Bila dia keluar isterinya tinggal seorang diri. Sejak akhir-akhir ini dia pula selalu sibuk. Kerana itu tidak hairanlah isterinya berasa kesepian dan seperti di abaikan.
“Kita dah sama-sama tua. Cuma menunggu hari mati saja. Apa lagi yang awak nak kejar? Sepatutnya awak dah berehat saja di rumah. Serahkan jawatan Tuai itu kepada orang lain,” kata Bulan dengan nada suara yang lembut.
Tuai Pasong hanya diam. Dia rasa tidak perlu menjawab kata-kata itu. Isterinya hanya mengulang ungkapan yang sama. Sudah berpuluh kali kata-kata itu keluar dari mulut Bulan yang dinikahinya lebih 40 tahun yang lalu.
“Anjing itu sudah berhenti menyalak. Mungkin dah jumpa pasangannya. Atau mungkin juga mereka dah sama-sama tidur. Anjing itu lebih memahami perasaan pasangannya,” sindir isterinya lagi.
“Aku juga dah mengantuk. Marilah kita tidur,” akhirnya Tuai Pasong mengalah juga.
.

CERITA IBUNYA...

5hb Februari 2008


“Ahmad Zafran seorang anak yang baik. Saya benar-benar terasa kehilangannya…” begitu kata ibu allahyarham Ahmad Zafran yang saya kunjungi di rumahnya petang semalam.

Sambil mengesat air matanya dia bercerita lagi. “Dia tak ada menunjukkan apa-apa perubahan atau tanda-tanda ganjil sebelum meninggal dunia. Malah pada sebelah malamnya dia membaca al quran.”

Menurut ibunya lagi, pagi itu anaknya tidak keluar dari biliknya hingga tengahhari. Hati ibunya masih tidak mengesyaki apa-apa kerana sesekali ada juga arwah tidur selepas sembahyang subuh. Tetapi setelah pulang dari pasar kelibat anaknya masih tidak kelihatan maka ibunya menyuruh anak saudaranya masuk ke bilik. Kebetulan keluarga kakaknya balik ke kampung bercuti. Seluruh keluarga menjagi gempar apabila mendapati dia terbujur kaku, tubuhnya sejuk dan sudah tidak bernafas lagi.

“Dia meninggal dunia dalam tidur. Dia pergi tak menyusahkan sesiapa…”kata ibunya sambil menangis.

“Setiap kali melihat komputernya saya menangis. Terbayang-bayang dia mengadap komputer sedang menulis…” saya turut berasa sebak bila ibunya mengucapkan kata kata itu.

“Kalau ada apa-apa salah silap dia tolonglah maafkan. Kalau dia ada berhutang beritahu saya…”

Lalu saya katakan arwah tidak berhutang apa-apa dengan saya dan tidak pula menyakitkan hati.

“Kami tak lupa pertolongan latip pada malam kereta kami rosak itu. Anak saya selalu menyebut-menyebutnya.”

Dari perbualan kami itu saya dapat merasakan, pada malam Anugerah Sastera Negeri Sembilan 2007 itu Ahmad Zafran berasa agak kecewa kerana dia tidak terpilih menerima apa-apa anugerah. Dia datang dengan membawa ibu dan abangnya. Lebih menyedihkan hatinya apabila keretanya rosak dan jam telah menunjukkan pukul 12 tengah malam. Mungkin kerana itu bantuan saya itu menjadi kenangan kepadanya.

“Mungkin pada masa akan datang karyanya terpilih…”pujuk saya.

“Apalah maknanya lagi kerana dia sudah tidak ada…”ujarnya.

Menurutnya lagi, dia berasa amat terharu kerana ramai orang-orang PTS datang ke rumahnya termasuk Puan Ainon Mohd.

“Royalti buku daripada PTS nanti saya akan buatkan kenduri arwah dan buatkan haji untuk Ahmad Zafran,” kata ibunya.

Kata ibunya lagi allahyarham Ahmad Zafran seorang yang pemurah. “Bila dapat duit dari bukunya, dia tak lupa beri kepada anak-anak saudaranya terutama pada hari raya.”

“Baru-baru ini dia ada beritahu ada seorang kawannya yang berjanji hendak memasukkan duit ke dalam akaun banknya…” cerita ibu arwah lagi.

Saya terus mendengar dia bercerita. “Kata arwah, dia ada membantu seorang penulis baru sehingga dapat menyiapkan sebuah novel dan diterbitkan oleh PTS. Atas bantuannya memberi tunjuk ajar cara menulis itu maka penulis itu berjanji hendak memberi sedikit hadiah sagu hati kepadanya. Maka arwah pun nampak gembira lalu memberi nombor akuan banknya. Tetapi bila pergi ke bank akuannya kosong sahaja.”

Kalau penulis berkenaan membaca entri ini, saya berharap sangat tunaikanlah apa yang anda telah janjikan kepada Ahmad Zafran. Berikanlah duit itu kepada ibunya. Ibunya tidak minta buat begitu tetapi saya yang cadangkan. Sebab apabila kita sudah cakap atau sebut maka sudah menjadi nazar dan nazar itu wajid dibayar. Kalau tak dapat banyak, sedikit pun sudah memadai kerana anda sudah berjanji hendak memberinya sebagai hadiah atas tunjuk ajarnya sehingga novel anda dapat disiapkan.

Saya yakin kalau Puan Ainon dan warga PTS tahu perkara ini mereka juga akan marah kerana anda mungkir janji dengan buah hati Sifu.

AL FATIHAH BUAT AHMAD ZAFRAN

3hb Februari 2008

Pertama kali saya bertemu dengannya semasa menghadiri bengkel penulisan PTS dalam tahun 2005. Puan Ainon memperkenalkannya dengan berkata "Ini buah hati saya."

Saya dapat mengenali beliau lebih rapat semasa kami menjadi pembimbing bengkel penulisan di Sekolah Menengah Komplek KLIA. Ahmad Zafran mengadu dia mengalami masalah sakit jantung dan akan menjalani pembedahan di IJN.

Selepas itu bertemu lagi pada malam ASNS 2007. Beliau datang bersama ibunya (Ustazah Zawiyah) dan abangnya. Kereta beliau ada masalah dengan baterinya. Sempat jugalah saya membantunya. (Semoga tak hilang pahala).

Kali terakhir saya berjumpa dengannya di pejabat PTS pada bulan Januari yang lalu dan sempat bertanya khabar tentang kesihatannya. Katanya al hamdulillah, sihat.

Semasa kenduri akikah di rumah saya (ahad lepas) ada menjemput Ahmad Zafran melalui SMS tetapi beliau tidak dapat datang.

Dan petang ini (ahad 3hb) saya terkejut apabila membaca entri di
blog Nisah Haron dia telah meninggal dunia….Innalillah Wainna Ilaihirajiun.

Ahmad Zafran atau lebih dikenali dengan nama Panaharjuna telah menulis banyak buku dengan PTS. Antara novelnya TEGAR dan Sahabat Kole Kacang.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya serta ditempatkan di kalangan mereka yang mendapat keampunan-Nya.

Al fatihah.












Gambar kenangan semasa menjadi pembimbing bengkel penulisan di Sekolah Menengah Komplek KLIA 2007.


WAJAH BARU

30hb Januari 2008



Alhamdulillah, bersyukur kepada Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya Novel Salahuddin Penakluk Jerusalem mendapat sambutan yang baik daripada pembaca.

Untuk memenuhi permintaan daripada pembaca PTS telah berusaha mencantikkan lagi muka depan novel tersebut dengan hiasan gambar baharu yang amat menarik.

Novel cetakan kali ke 3 dengan wajah baru ini dijangka menemui pembaca pada awal Februari 2008.

Selepas ini akan terbit Sultan Muhamad al Fateh Penakluk Konstantinopel dan Hulagu Khan Robohnya Kota Baghdad.

Sekarang saya sedang menulis novel sejarah Islam berjudul ABU BAKAR AS SIDDIQ WIRA ISLAM- Insya-Allah.

KENDURI AQIQAH


Sebelum rambut digunting diadakan bacaan berzanji yang diketua oleh Tuan Imam.

Acara menggunting rambut. Air kelapa muda digunakan untuk membasahi rambut sebelum digunting.


Acara makan "Nasi Semangat". Ayam golek, sambal udang dan telur rebus dicampur dengan nasi beralas daun pisang.



Dihidangkan juga nasi, kari kambing, gulai ayam, masak lemak buah kundur dan sayur.





Puteri Balqis dicukur oleh atoknya.


Menurut sejarahnya setelah Husin dan Hasan dilahirkan maka Nabi Muhamad saw menyembelih kambing sebagai aqiqah cucu baginda. Kerana itu disunatkan kita membuat aqiqah.

Di kalangan masyarakat Melayu termasuk di kampong saya masih diamalkan beberapa upacara sempena majlis kendiri aqiqah itu. Antaranya bacaan berzanji atau bernazam. Kemudian berselawat beramai-ramai lalu menggunting rambut bayi.

Semalam Ahad 27hb, kali pertama saya membuat kenduri aqiqah cucu pertama. Sebagai anggota masyarakat dalam sebuah kampong saya mengikut sahaja apa yang biasa dilakukan oleh orang-orang di kampong saya.

Alhamdulillah, kenduri aqiqah berjalan lancar.


SUDAH TERBIT


Jilid 1 ini bertajuk "MENENTANG JIN DI BUKIT QAF"

PTS Fortuna

RM 24.00 / RM 27.00 (Sabah & Sarawak),
983-192-116-X; 978-983-192-116-6; 9789831921166
Jumlah Muka Surat : 368 halaman

Isnin, Januari 14, 2008

KISAH ABU BAKAR AS SIDDIQ

21hb Januari 2008



Ada kalanya kata-kata baik yang diucapkan oleh seseorang boleh menyebabkan kita berasa teransang untuk menghasilkan karya.

Semalam saya berkesempatan ke kedai buku di Seremban. Seperti biasa saya akan mencari novel-novel saya dahulu, masih adakah dipamerkan?, masih banyakkah bakinya atau sudah kehabisan?.

Kelihatan seorang wanita dan suaminya sedang membelek salah sebuah novel sejarah Melayu.
“Belilah novel itu menarik ceritanya,” kata saya.
“Mana awak tahu?” tanya si suami.
“Saya penulisnya…”
Dia seperti tidak percaya. Lalu saya suruh dia melihat gambar pengarang pada kulit belakang novel itu.
“Oh saya macam tak percaya jumpa Pak Latip…” katanya.

Katanya lagi, dia sudah membaca 4 judul novel pahlawan Islam iaitu Salahuddin Penakluk Jerusalem, Khalid Memburu Syahid, Ikramah Penentang Jadi Pembela dan Tariq Menang atau Syahid.

“Kenapa Pak Latip tak tulis kisah khalifah al Rasyidin, Abu Bakar, Umar Usman dan Ali?”katanya.

Sebenarnya itu bukan pertama kali saya disuruh menulis kisah para sahabat yang telah dijamin masuk syurga itu.

Tetapi kali ini benar-benar meransang saya untuk menulisnya. Lalu saya mencari buku-buku yang boleh dijadikan rujukan. Maka terjumpalah buku-buku ini.

DARI UNIVERSITI TERBUKA PTS

Novelis PTS Menitiskan Air Mata Menerima RM50,000-00 daripada Pembelian PNM

Ini maklumat terbaru yang Sifu terima.

Para penulis yang bukunya dibeli secara langsung oleh PNM sudah mula menerima pembayaran.

Seorang novelis PTS memberitahu Sifu bahawa beliau baru sahaja mengesat air matanya melihat jumlah RM50 ribu yang diterimanya daripada Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) sebab beliau tidak pernah menerima bayaran sebanyak itu. Lalu beliau berkata, dengan wang itu dapatlah beliau membawa isterinya pergi umrah.

Lalu Sifu pun berkata kepada beliau, "Syukur! Syukur! Buku-buku tuan dengan PTS tidak menang apa-apa anugerah dan hadiah, tetapi Allah beri rezeki wang yang tidak disangka-sangka jumlahnya."

Segala pujian bagi Allah yang maha pemurah kepada hambanya - Sang Novelis itu - seorang yang sangat sabar, tekun, sentiasa bersangka baik, dan sangat kooperatif kepada editor yang menguruskan karya-karya beliau.

Nota: Mata Sifu pun basah juga... sebab Sifu terkenang beberapa tahun yang lalu, sewaktu Sang Novelis itu mula menulis novel pertamanya buat PTS, beliau masih menggunakan PC buruknya, dan beliau bercerita bahawa beliau sangat teringin hendak membeli laptop, tetapi masih belum mampu, sebab pada waktu itu laptop paling murah masih sekitar RM3,800-00, dan beliau tidak mempunyai wang sebanyak itu.

Rabu, Januari 02, 2008

BICARA KARYA

Pada 6 Januari 2008 ini, (Ahad) bermula 8.30 pagi, bertempat di Dewan Kuliah A, Kolej MARA Seremban akan diadakan Mesyuarat Agung PEN ke - 31. Akan diadakan juga Bicara Karya PEN. Novel Beraraklah Awan Pilu turut didiskusikan.



Novel ini akan dibicarakan oleh Puan Nor Azah Abdul Aziz (Utusan Publication)



Kumpulan Cerpen Cinta Sangkuriang Rindu Oedipus (Nisah Haji Haron)Panel : Dato' Dr. Anwar Ridhwan (mantan Pengarah Penerbitan DBP)



Kumpulan puisi kanak-kanak Jasa Ibu (Zainal Abdul Kadir)Panel : Dr. Ani Omar (UPSI)



Kumpulan Puisi Maya (Agus Salim)Panel : Prof. Madya Dr. Haji Arbak Othman (UPM)

Dijemput hadir.

JELEBU OH JELEBU



Jelebu, Oh Jelebu

Tika mendaki Bukit Tangga
redup nyaman rimbunan pepohon
desiran angin membelai bukit bukau
Jalanmu yang dulu berliku-liku
Kini diluruskan menjadi laluan perhubungan
Untuk Kesejahteraan dan kesenangan rakyat.

Di bumi nan bertuah ini
Flora dan fauna mesra akrab dengan kehidupan
di sini ada Jeram Gading dan Lata Kijang
tempat perkelahan yang damai
di sini ada undang luak Jelebu
ada waris buapak
ada tambo dan terombo
Kami diajar cakap berlunak
Tegang jangan sampai putus.

Daerah ini terletak di pertemuan
Sungai Lumut dengan Sungai Teriang
masjid tua Kuala Dulang melakar sejarah
Suku sakat dari Minangkabau
datang mencari penempatan
masyarakat diajar beradat sopan
Adat Perpatih dijadikan amalan.

Yang mewarnakan daerah ini
alam terbentang padang sepermainan
desa dibangunkan dengan seribu impian
daerah perjuangan ini
berbangga dengan kemajuan
ada felcra felda dan Jabatan pertanian
membangun tanah meneroka belantara
tegak merimbun sawit dan getah.

Jelebu Oh Jelebu
Walau arus kemajuan mengalir di dadamu
Kabus pagi masih menutup kehijauan perbukitan
Warisan bangsa tetap dipelihara
di sini kita berdiri dengan syukur
kerana daerah perbukitan ini
akan terus damai dan makmur.


Dewan Sastera Disember 2007