Isnin, Ogos 30, 2004

PANTUN MERDEKA





 

        PANTUN MERDEKA


   Bendera berkibar di rumah Pak Agos
    Di halaman rumah pasang pelita
    Menjelang tiba Tiga Puluh Satu Ogos
    Tarikh kemerdekaan negara kita.


    Bersyukur menjadi rakyat Malaysia
    Bumi bertuah indah permai
    Empat Puluh Tujuh tahun kita merdeka
    rakyat hidup aman damai


    Setiap tahun menyambut merdeka
    Jalur gemilang berkibar megah
    Sejarah negara jangan dilupa
    beratus tahun kita dijajah.


    Kaum melayu, Cina dan India
    Hidup sejahtera bersatu padu
    Jasa pemimpin jangan dilupa
    rakyat terbilang negara maju.


    Para pemimpin silih berganti
    Kini Pak Lah di tampuk kuasa
    Kita isi kemerdekaan ini
    membina peradaban negara tercinta.


    Tiga Puluh Satu Ogos tarikh keramat
    Bersama kita menyambut merdeka
    Bersatu berazam penuh semangat
    Mari pertahankan kemerdekaan kita.


                Abdullatip
                  Jelebu
            31.Ogos.2004

Rabu, Ogos 25, 2004

Pelaburan Untuk Anak-Anak

Setiap ibu bapa tentu ingin melihat anak-anak mereka berjaya dalam pelajaran. Kerana itu masing-masing sanggup bersusah payah menyekolahkan anak-anak dari peringkat TADIKA hingga ke Universiti. Mereka tidak sayang untuk membelanjakan duit demi untuk masa depan anak-anak. Sesungguhnya duit yang digunakan untuk pelajaran anak-anak adalah pelaburan yang paling baik.



Pada 20hb Ogos yang lalu, saya dan isteri bersama kira-kira 1,500 orang ibu bapa atau penjaga berkumpul dalam Dewan Sri Budiman UiTM Shah Alam untuk menyaksikan Istiadat Konvokesyen ke-60 yang berlansung selama 10 hari dari 19 – 29 Ogos. Dan pada tahun ini seramai 14,408 graduan terima diploma/ijazah.
Apa yang ingin saya perkatakan bukanlah kejayaan UiTM yang dulunya dikenali sebagai ITM melahirkan beratus ribu graduan bumiputra sejak mula ditubuhkan hingga sekarang. Sebagai ibu bapa apatah lagi yang terdiri dari golongan berpendapatan rendah dan sederhana berasa amat bertuah bila anak-anak berjaya melanjutkan pelajaran ke Universiti.
Memang benar anak-anak yang keluar dari Universiti belum tentu mendapat pekerjaan yang setaraf dengan kelulusan mereka malah kabarnya ramai yang menganggur. Namun ibu bapa tetap berasa gembira sekiranya anak-anak berjaya melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi. Matlamat utama mereka supaya anak-anak mendapat pendidikan setinggi yang boleh. Selepas tamat belajar terpulang kepada mereka untuk berkerja.
Seperti juga ibu bapa yang lain, Saya berasakan zaman saya telah pun berlalu. Kini biarlah anak-anak pula yang berusaha untuk berjaya dalam pelajaran. Sebagai bapa saya akan berusaha mencari duit untuk pelajaran anak-anak.
Saya mempunyai 3 orang anak. Alhamdulillah mereka mendapat pelajaran yang lebih baik dari saya. Saya rasa kegagalan saya untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti telah berjaya ditebus oleh mereka.
InsyaAllah, tahun depan sekali lagi saya akan menghadiri istiadat yang sama di UKM. Dan puncak rasa syukur dan bahagia itu bila melihat anak-anak naik ke pentas menerima penghormatan dari kejayaan yang telah mereka capai.

Rabu, Ogos 18, 2004

Ingin Jadi Penulis

Perkampungan Penulis Muda Daerah Jelebu telah selesai dijalankan. Pihak penganjur berpuas hati kerana mendapat sambutan. Kami inginkan 40 orang peserta tetapi yang datang 44 orang. Mereka terdiri dari pelajar menengah dan Universiti, kakitangan kerajaan dan belia. Pihak penganjur bercadang akan menjadikannya sebagai acara tahunan. Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) Esastera.com dan Persatuan Sejarah Jelebu telah menyatakan kesanggupan untuk memberikan kerjasama kepada Majlis Kebudayaan daerah Jelebu untuk menjayakannya.
Semalam (17hb) seorang peserta yang menghadiri bengkel penulisan menelefon ke rumah saya menyatakan hajat di hatinya ingin berkunjung ke rumah. Kerana pada sebelah pagi saya dan isteri tidak ada di rumah maka saya terpaksa berterus terang. Tambahan pula saya belum mengenalinya lagi kerana itu berbagai persoalan bermain dalam fikiran saya.
Pada sebelah petangnya selepas kami pulang ke rumah, sekali lagi gadis misteri itu menelefon dan menyatakan hajat di hatinya ingin berkunjung ke rumah kami. Kebetulan pula Isteri saya yang mengangkat telefon.
“ Datanglah kami ada di rumah,” jawab isteri saya.
Gadis itu datang ke rumah saya ditemani oleh ibu dan ayahnya. Saya berasa terharu apabila ibu gadis itu membekalkan tiga bungkus kuih wajid yang dimasaknya sendiri untuk diberikan kepada saya.
“ Anak saya ni ingin jadi penulis. Sebab itu dia datang hendak belajar cara-cara menulis,” kata ibu gadis itu.
Saya teringat zaman kanak-kanak dulu. Nenek saya buatkan kuih wajid untuk diberikan kepada guru yang akan mengajar saya membaca al Quran. Tetapi siapalah saya untuk menjadi guru kepada gadis tersebut.
Lalu saya katakan pada mereka bahawa semasa bengkel penulisan tempoh hari para penceramah telah memberi tunjuk ajar kepada peserta bagaimana cara menulis cerpen, novel dan sajak.
“ Cubalah ikut panduan yang telah diberikan oleh penceramah,” kata saya kepada gadis itu.
Lalu gadis itu memberikan saya sebuah cerpen yang telah dihasilkannya. Cerpen itu hanya bertulis tangan ditulis pada tiga helai kertas kajang. Bila saya baca sepintas lalu ternyata gadis itu memang ada bakat menulis.
“ Kenapa tulis tangan?. Kenapa tak gunakan mesin taip atau komputer?” tanya saya kepada gadis itu.
Lantas saya teringat pesanan Encik Lokman Hakim wartawan Utusan kepada peserta dalam bengkel supaya jangan mengirim karya dengan tulisan tangan kerana sukar editor surat kabar hendak membacanya.
“ Ayah tak mahu belikan komputer,” jawab gadis itu.
Lalu saya mengerti antara tujuan gadis itu membawa ayah dan ibunya berjumpa saya untuk memujuk ayahnya membelikan dia sebuah komputer. Lalu saya yakinkan ayah gadis itu bahawa anaknya memang ada bakat menjadi penulis.
“ Belikanlah dia sebuah komputer. Selain dari menulis komputer juga boleh membantu pelajarannya,” pujuk saya lalu memberi contoh Siti Jasmina Ibrahim yang telah berjaya menjadi penulis kerana dorongan ayah dan ibunya.
Kali pertama saya jumpa Jasmina dalam satu majlis yang dianjurkan oleh PEN di Seremban saya lihat dia ditemani oleh ayah dan ibunya. Ketika di Jelebu juga dia ditemani oleh ayah dan ibunya. Galakan serta dorongan ayah dan ibu dapat membantu seseorang penulis untuk berjaya.
Di rengkaskan cerita, ayah gadis itu mula mengagumi bakat yang ada pada anak gadisnya dan berjanji akan membelikan sebuah komputer tambahan pula saya kira dia memang mampu.
Sebelum balik saya berikan gadis itu sebuah kumpulan cerpen dan sebuah majalah Tunas Cipta dengan harapan gadis itu akan dapat memanfaatkannya.
Moga akan lahir seorang lagi penulis wanita dari Jelebu. InsyaAllah.

Sabtu, Ogos 14, 2004

Petanda Baik

Semalam bertempat di Dewan SMK Dato’ Undang Musa Al-Haj Bandar Tinggi Jelebu, berlansung Mesyuarat Agung Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Negeri Sembilan Kawasan Jelebu. Datuk Seri Utama Dr.Rais Yatim, Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia telah berkenan merasmikannya.
Turut hadir YB Tuan Jalaludin Hj Alias, ADUn Klawang, Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan, Pengarah Kebudayaan, kesenian dan Warisan Negeri Sembilan Encik Seri Ning Buah bersama kira-kira 300 orang yang hadir.
Datuk Dr Rais Yatim dalam ucapannya mengatakan bahawa sebuah komplek belia dan Dataran Warisan akan didirikan di Jelebu dalam usaha untuk memupuk minat mencintai budaya di kalangan belia di daerah ini.
“ Dengan adanya dataran warisan itu nanti, mereka yang berminat di bidang seni seperti deklamasi puisi, teater, nyanyian dan sebagainya boleh membuat persembahan di tempat tersebut,” katanya.
Di majlis itu juga Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim telah memberi peruntukan berjumlah RM 5,000.00 kepada Persatuan Sejarah Jelebu untuk menjalankan aktivitinya.
Dalam mesyuarat agung itu saya telah dilantik menjadi Pengarang Kehormat persatuan sejarah Jelebu untuk tahun 2004 – 2006. Selepas mesyuarat Datuk Sati Haji Md Jan yang dilantik menjadi pengerusi Persatuan Sejarah Jelebu berkata pada saya;
“ Lain kali bila diadakan aktiviti penulisan di Jelebu ajaklah persatuan sejarah Jelebu turut serta.” Katanya.
Pada saya itu petanda baik kerana Perkampungan Penulis daerah Jelebu akan dijadikan acara tahunan. Bermakna pada setiap tahun, akan diadakan malam pusi, pelancaran buku dan bengkel penulisan sempena program tersebut.
Kalau tahun 2004 yang terlibat menganjurkannya ialah Majlis Kebudayaan Jelebu, Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) dan Esastera.Com maka tahun 2005 akan bertambah meriah lagi dengan adanya kerjasama dari Persatuan Sejarah Jelebu.

Jumaat, Ogos 13, 2004

Malam Puisi Di Jelebu

Memang kena pada masa dan tempatnya apabila Majlis Kebudayaan Daerah Jelebu berkerjasama dengan Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) dan Esastera.Com untuk menjayakan Malam Puisi, Pelancaran Buku dan bengkel Penulisan yang akan dijadikan sebagai acara tahunan di Jelebu.
Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) yang diketuai oleh Encik Agus Salim terkenal sebagai satu-satunya badan penulis di Negeri Sembilan yang aktif dengan mengadakan pelbagai aktiviti yang berkaitan dengan bidang penulisan. PEN juga telah menganjurkan sayembara menulis Cerpen dan Puisi yang bertemakan Negeri Sembilan pada tahun lepas.
PEN juga sedang berusaha untuk menerbitkan buku yang mengandungi biodata 300 orang penulis dan penggiat sastera di Negeri Sembilan sejak mula ditubuhkan sehingga terkini.
Esastera.Com pula diterajui oleh Profesor DR IR Wan Abu Bakar, bukan sahaja sebuah majalah sastera internet malah turut menjadi penerbit buku-buku yang dihasilkan oleh ahli-ahlinya.
Pada malam puisi patriotik dan pelancaran buku di Jelebu baru-baru ini, Esastera.Com turut menyumbangkan 2 buah buku terbitannya untuk dilancarkan, sebuah novel berjudul " Hostel" dan sebuah kumpulan puisi "Pendatang Malam" karya Ida Munira Abu Bakar anak kelahiran Kuala Pilah.
Selain terlibat dalam pelancaran buku, Esastera.Com turut memeriahkan majlis dengan pelbagai persembahan yang menarik penonton seperti deklamasi puisi, bacaan mentera, lagu P.Ramlee, teater dan manifestasi oleh pelajar-pelajar Universiti Malaya.
Persembahan Esastera.Com pada malam itu dimulakan oleh Sdr Dahrie dengan bacaan mentera yang berjaya menarik perhatian penonton. Kemudian diikuti oleh Sdr Kablam22 dengan berteater sendirian dengan gayanya yang tersendiri. Walaupun dialognya dalam bahasa Inglish dan ramai yang tidak memahaminya, namun gaya persembahannya menarik hati.
Sdr Anbakri dan Sdr Muhammad Zakir turut mengambil bahagian dengan mendeklamasikan beberapa buah puisi.
Cuma yang agak kurang memuaskan persembahan lagu P.Ramlee disebabkan masalah teknikal menjadikan lagu itu tidak dapat dimainkan sepenuhnya.
Acara Esastera.Com pada malam itu diakhiri dengan persembahan manifestasi oleh pelajar-pelajar UM.
Profesor Dr Ir Wan Abu Bakar pada malam itu, selain menjadi juruacara majlis turut memperkatakan Novel Hostel dan Kumpulan Puisi Pendatang Malam. Sdr Ida Munira mengambil kesempatan untuk membaca sebuah pusi yang termuat dalam buku tersebut.
Sebelum itu penonton dihiburkan oleh Kumpulan Tumbuk Kalang Sri Jelebu yang mewakili Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN). JU Nazrah, pemenang tempat kedua Sayembara Deklamasi Puisi Anjuran Kemas Daerah Jelebu turut mendeklamasikan puisi ciptaannya sendiri. Diikuti oleh Farah Nabila pemenang Sayembara Puisi Bulan Kemerdekaan dan akan mewakili Negeri Sembilan ke peringkat kebangsaan.
Pada malam itu juga Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) telah berjaya melancarkan 5 buah buku hasil karya penulis-penulis Negeri Sembilan.
Buku-buku tersebut ialah Mencari Locus Standi karya Nisah Haron dan Ombak Sfera Lotus karya Siti Jasmina Ibrahim. Kedua novel tersebut telah memenangi hadiah Sastera Utusan 2003.
Turut dilancarkan Kumpulan Cerpen Kebenaran karya A. Latip Talib yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dan Kumpulan Puisi Pendatang Malam karya Ida Munira Abu bakar yang diterbitkan oleh Esastera.Com.
Selain itu Novel Hostel, sebuah novel yang diterbitkan oleh Esastera.Com turut dilancarkan.
Dato’ Razak Mansor, 56, dalam ucapannya berharap akan muncul lebih ramai lagi penulis dari Negeri Sembilan yang prolifik dalam bidang penulisan.
Beliau mencadangkan program Deklamasi Puisi, pelancaran buku dan Bengkel Penulisan dijadikan acara tahunan di Jelebu.
" Dengan adanya usaha ini dapat mencungkil serta menggilap bakat yang sedia ada di kalangan pelajar dan belia di daerah ini," katanya.

Rabu, Ogos 11, 2004

PEN Lancarkan 5 Buku


                  PEN LANCARKAN 5 BUKU



Pada 7hb Ogos lalu, Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) dengan kerjasama Majlis Kebudayaan Daerah Jelebu dan Esastera.Com telah berjaya melancarkan 5 buah buku hasil karya penulis-penulis Negeri Sembilan di Hotel Sri Klawang Jelebu.
         Dato’ Razak Mansor ADUN Kawasan Pertang yang juga Ahli Exco kerajaan Negeri Sembilan telah berkenan untuk menyempurnakan pelancarannya.
         Buku-buku yang dilancarkan ialah Mencari Locus Standi karya Nisah Haron dan Ombak Sfera Lotus karya Siti Jasmina Ibrahim. Kedua novel tersebut telah memenangi hadiah Sastera Utusan 2003.
         Turut dilancarkan Kumpulan Cerpen Kebenaran karya A. Latip Talib yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dan Kumpulan Puisi Pendatang Malam karya Ida Munira Abu bakar yang diterbitkan oleh Esastera.Com.
         Selain itu Novel Hostel, sebuah novel yang diterbitkan oleh Esastera.Com turut dilancarkan. Novel ini agak unik kerana ditulis oleh 12 orang penulis termasuk 2 penulis dari Negeri Sembilan.
          Dato’ Razak Mansor, 56, dalam ucapannya berharap akan muncul lebih ramai lagi penulis dari Negeri Sembilan yang prolifik dalam bidang penulisan.
        Beliau mencadangkan program Deklamasi Puisi, pelancaran buku dan Bengkel Penulisan dijadikan acara tahunan di Jelebu.
        " Dengan adanya usaha ini dapat mencungkil serta menggilap bakat yang sedia ada di kalangan pelajar dan belia di daerah ini," katanya.
       Di majlis tersebut, YB Dato’ Razak Mansor menyumbangkan bantuan kewangan sebanyak RM 2,000.00 kepada PEN.


Selasa, Ogos 10, 2004

Debaran Demi Debaran

Setelah tiga kali tarikhnya tertunda dan setelah beberapa kali mesyuarat secara rasmi dan tidak rasmi diadakan akhirnya Perkampungan Penulis Daerah Jelebu berlansung dengan meriahnya pada 7 dan 8 Ogos yang lalu.
Inilah kali kedua saya terlibat secara lansung sebagai salah seorang tenaga penggerak untuk menjayakan program seperti ini. Kali pertama pada tahun lepas (2003). Saya rasa kali ini lebih mencabar kerana debaran demi debaran saya rasakan sejak dari mula sehinggalah program tersebut selesai.
Debaran pertama saya rasai apabila cadangan tempat berlansungnya program telah ditukar dari Jeram Gading Resort ke Hotel Sri Klawang. Masalahnya pada tarikh tersebut Hotel Sri Klawang sudah ditempah penuh dan mereka tidak dapat menerima tempahan baru.
Untuk menyelesaikan masalah tersebut terpaksalah ditunda tarikhnya dari 18hb Julai ke 25hb Julai. Namun debaran masih belum hilang kerana tarikhnya terpaksa ditunda ke 8hb Ogos kerana 25 Julai akan diadakan Sayembara Sajak Hari Kemerdekaan peringkat Negeri Sembilan dan ramai peserta dan penceramah terlibat dengan program tersebut.
Debaran masih belum hilang apabila Penceramah penulisan berita dan rencana menarik diri kerana tidak dapat bercuti pada tarikh tersebut. Dan dua hari sebelum tarikh tersebut Puan Mahaya pula menyatakan rasa dukacitanya kerana tidak dapat hadir kerana ada urusan keluarga di Kuala Lumpur.
Debaran semakin kencang apabila Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) diberi tanggung jawab untuk Malam Puisi Patriotik dan Pelancaran Buku ahli PEN pada 7hb dan Majlis Kebudayaan Daerah Jelebu diberi tanggung jawab untuk menjayakan bengkel penulisan pada 8hb.
Alhamdulillah masalah dapat diatasi apabila Puan Mahaya dan Shah Kamarudin memberikan kerjasama bukan sahaja di segi buah fikiran tapi juga kewangan untuk menjayakan program tersebut.
Pada 7hb adalah kemuncak debaran saya. Pertanyaan yang selalu bermain dalam fikiran saya, apakah majlis akan berjalan lancar atau sebaliknya?. Bagaimana kalau hujan lebat sedangkan acara dibuat dikawasan luar bukan dalam dewan. Bagaimana kalau tidak ramai yang datang?. Dan lebih berdebar bila memikirkan bagaimana kalau YB tidak dapat hadir?.
Jam 5 petang pelajar-pelajar dari UM sampai dan ini agak melegakan hati saya. Kemudian Profesor Dr Ir Wan Abu Bakar dan rombongannya pula sampai. Tidak lama kemudian Puan Nor Azah Abd Aziz pula sampai dan saya sudah boleh tersenyum apabila mendapat tahu Siti Jasmina Ibrahim yang menggantikan tempat Puan Mahaya Yasin, sudah berada di Jelebu.
Entah kenapa pada jam 6 petang hati saya tergerak untuk menelefon YB Dato’ Razak Mansor untuk mengingatkan bahawa dia dijemput untuk merasmikannya. Dan hati saya gembira apabila jam 8.30 malam YB dan isterinya sampai.
“ Kalau Latip tak telefon memang saya tak datang sebab terlupa,” kata YB kepada saya.
Semasa YB berucap sekali lagi saya berdebar sebab YB tidak menyebut sumbangan duit untuk PEN yang kami mohon sedangkan kami memang mengharapkan bantuannya.
Alhamduillilah. Saya bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada YB kerana bersetuju memberi sumbangan berjumlah Rm 2,000.00 untuk PEN menjayakan aktivitinya.


Isnin, Ogos 09, 2004

Kenduri Durian

Beberapa hari lalu, Anbakri mengusik saya memalui sms, katanya nak makan durian jelebu. Pada mulanya saya takut nak berjanji sebab musim durian di jelebu kali ini tak berapa menjadi.
walau bagaimanapun saya pasang niat dalam hati, durian yang dapat saya kumpulkan pada hari sabtu akan saya hadiahkan semuanya kepada tetamu-tetamu dari kuala Lumpur yang akan bertandang ke Jelebu sempena malam pelancaran buku dan bengkel penulisan.
Dan memang telah menjadi rezeki, menjelang pukul 12 tengah hari saya dapat kumpulkan 28 buah durian yang baik isinya lalu saya bawa semuanya ke Hotel Sri Klawang untuk dinikmati oleh tetamu yang datang.
Sebelum kesampaian Drirwan dan rombongannya, anak saya bersama tiga rakannya dari UKM yang juga turut sama menyertai malam puisi dan bengkel telah masuk ke bilik saya lalu memakan buah durian tersebut. Rakan-rakan Nor Faizin dari Perak, Terengganu dan Johor turut memuji sedapnya durian jelebu. Mereka makan sampai kenyang. Pun begitu cuma mampu habiskan 3 buah sahaja.
Setelah mereka selesai makan dan setelah keluar dari bilik maka Drirwan, Anbakri, Dahrie, Muhammad Zakir dan Kablam pula sampai lalu saya ajak makan durian. Saya yang berasa seronok dan rasa puas bila nampak mereka berselera memakannya lalu mengopek buah durian sebuah demi sebuah hingga akhirnya mereka kata, cukup…cukup..cukup dah tak larat dah.
Kemudian saya ajak pula Nor Azah Azih bersama suaminya, Tok Penghulu Shah, Lokman Hakim wartawan Utusan Malaysia dan Shukri, suami Nisah Haron. Mereka juga nampak berselera memakannya.
Walaupun ramai yang memakannya tapi masih berbaki 10 buah. Dan esoknya anak saya dan kawan-kawannya makan lagi. Masih ada 8 buah. Lalu saya bekalkan kepada Drirwan sebanyak 5 buah untuk dibawa pulang. Manakala 3 buah lagi saya berikan kepada Nor Azah Aziz.

Kalau lebat turunnya hujan
Pasti dalam air perigi
Kalau lebat buah durian
Tahun depan kenduri lagi.

Sabtu, Ogos 07, 2004

Selamat Datang ke Jelebu

Malam ini bertempat di Hotel Sri Klawang, Jelebu, Negeri Sembilan akan berlansung Malam Puisi Patriotik dan Pelancaran 5 buah buku Karya Penulis-Penulis Negeri Sembilan.
Buku-buku tersebut ialah “Hostel” sebuah novel yang diterbitkan oleh Esastera.com, ditulis oleh beberapa orang penulis esastera antaranya Drirwan, Hasimah Haron, Anbakri, Muhammad Zakir, Abdullatip dan lain-lain. Turut dilancarkan ialah Antologi Puisi Pendatang Malam karya Ida Munira Abu Bakar yang juga diterbitkan oleh Esastera.com. Selain itu akan dilancarkan juga Kumpulan Cerpen Kebenaran karya A.Latip Talib terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Dua buah novel Remaja pemenang hadiah Satera Utusan iaitu Mencari Locus Standi karya Nisah Haron dan Ombak Sfera Lotus karya Siti Jasmina Ibrahim akan turut dilancarkan.
Majlis ini dianjurkan bersama oleh Majlis Kebudayaan Daerah Jelebu, Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) dan Esastera.Com. Inilah pertama kali majlis seperti ini diadakan di Jelebu dan dijangka akan menarik perhatian peminat sastera dan penduduk tempatan. Untuk itu pihak penganjur sengaja memilih lokasi di luar supaya lebih “santai” dan terbuka kepada sesiapa sahaja untuk datang menyaksikannya.
Ahli PEN akan mempersembahkan Tumbuk Kalang satu permainan tradisi Negeri Sembilan dan deklamasi puisi oleh beberapa orang deklamator yang berbakat..
Majlis turut dimeriahkan oleh Pelajar-Pelajar dari Universiti Malaya yang membuat persembahkan Menifesatasi, deklamasi Puisi, lagu P.Ramlee dan membaca mentera.
Tiga orang tokoh sastera akan memperkatakam mengenai penulis dan buku-buku yang akan dilancarkan. Profesor DR Ir Wan Abu Bakar akan memperkatakan Novel Hostel dan Kumpulan Puisi Pendatang Malam, Mahaya Mohd Yassin akan memperkatakan Kumpulan Cerpen Kebenaran dan Puan Nor Azah Aziz akan memperkatakan Novel Mencari Locus Standi dan Ombak Sfera Lotus.
Dato’ Razak Mansor ADUN kawasan Pertang yang juga Ahli EXCO Kerajaan Negeri Sembilan, Tuan Pegawai Daerah Jelebu dan beberapa pemimpin tempatan akan akan hadir untuk menyaksikan persembahan dan pelancaran buku-buku tersebut.
Saya bagi pihak penganjur mengalu-ngalukan kedatangan Yang Berhormat Datuk, Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekelian.

Khamis, Ogos 05, 2004

Bila Sampai Ajal

Saya sempat menziarahi seorang kawan meninggal dunia.
Dia baru berusia 47 tahun meninggalkan seorang isteri dan 4 orang anak yang sudah besar. Menurut ceritanya kawan saya itu terjatuh dalam bilik air di rumahnya lalu menghembuskan nafas terakhir.
Begitu mudahnya dia meninggal dunia. Bisik hati saya. Pemergiannya tidak menyusahkan sesiapa. Sakitnya tidak lama. Anak-anak sudah besar dan isteri juga tentu tidak susah kerana akan menerima pelbagai bayaran dari usaha yang dilakukan oleh suaminya ketika hidup.
Kerana agak lewat mendapat berita tersebut menyebabkan saya lambat sampai dan menyangka tentulah jenazahnya sudah selamat dikebumikan. Tambahan pula ketika saya sampai sudah hampir Maghrib.
Tetapi saya hairan kerana jenazah kawan saya itu masih terbujur di ruang tamu. Lalu saya bertanya kepada salah seorang ahli keluarganya kenapa masih belum dikebumikan. Dia seperti serba salah hendak menjawabnya.
“ Jenazah sudah selesai dimandi, dikafan dan disembahyangkan," jawabnya seperti cuba menyembunyikan sesuatu.
“ Apa lagi masalahnya?” tanya saya.
“ Kuburnya masih belum siap!” jawabnya.
Setahu saya di kampung kerja menggali kubur dilakukan secara sukarela atau bergotong royong. Biasanya apabila ada yang meninggal dunia maka adalah mereka yang sukarela menggali kubur.
Saya bertanya pada orang lain apa masalahnya. “ Saya pun pelik kerana lubang kubur pertama digali terdapat batu
besar di bawahnya. Lubang kedua pula terdapat kerikil keras yang tidak mampu digali. Dan sekarang masuk lubang kubur yang ketiga,” jawabnya sambil berbisik.
Biasanya dalam masyarakat melayu, apabila ada yang meninggal dunia terjadi perkara yang agak pelik seperti tanah kubur tidak boleh digali atau sebagainya maka bermacam cerita yang kurang enak akan timbul dan pastinya boleh mengaibkan keluarga.
Selesai Solat Maghrib, jenazah kawan saya dibawa ke tanah perkuburan. Sememangnya kawasan tanah perkuburan itu berbatu dan nasib kawan saya kurang baik kerana penggali kubur terpilih kawasan yang berbatu. Namun Allah swt yang maha mengetahui.
Yang pasti kita juga akan meninggal dunia dan kita tak tahu bila dan bagaimana pula ceritanya. Namun elok kita berdoa semoga meninggal dunia secara baik dan meninggalkan cerita yang baik. Amin.


Isnin, Ogos 02, 2004

Malam Puisi Patriotik dan Pelancaran Buku

Malam Puisi Patriotik dan Pelancaran Buku Karya Penulis Negeri Sembilan Anjuran Bersama Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) Majlis Kebudayaan Daerah Cawangan Jelebu Dan Esastera.Com.

Tarikh: 7hb Ogos 2004 (Sabtu)
Tempat: Hotel Sri Klawang, Jelebu, N.Sembilan
Masa: 8.30 Malam.

ATUR CARA.

08.45 - 09.00 Malam - Ucapan aluan Pengerusi Majlis.

09.00 - 09.30 Malam - Ucapan Perasmian oleh YB Dato’
Razak Mansor, Exco Pertanian Negeri
Sembilan, ADUN Kawasan Pertang.

Persembahan Ahli Persatuan Penulis N.S (PEN)

Persembahan Pelajar-Pelajar Universiti Malaya

Memperkatakan novel Hostel dan Pendatang Malam
Oleh Profesor Dr Ir Wan Abu Bakar.

Memperkatakan Kumpulan Cerpen Kebenaran Oleh
Puan Mahaya Yassin.

Memperkatakan novel Mencari Locus Standi
danOmbak Sfera Lotus Oleh Puan Nor Azaz Abd Aziz

Pelancaran buku oleh YB Dato’ Razak Mansor

Penyampaian cendera mata.

Jamuan

Bersurai.


BENGKEL PENULISAN SEMPENA PERKAMPUNGAN PENULIS DAERAH JELEBU.

Tarikh: 8hb Ogos 2004 (Ahad)
Masa: 8.00 Pagi
Tempat: Hotel Sri Klawang.

ATUR CARA:

08.00 – 08.30 Pagi - Pendaftaran

08.30 – 10.30 Pagi - Penulisan Cerpen
Oleh: Puan Mahaya Mohd Yassin

10.30 – 11.00 Pagi - Minum pagi

11.00 – 01.00 T/Hari - Manuskrip daripada pengarang kepada
Editor Oleh: Puan Nor Azah Abd Aziz

01.00 – 02.00 Petang - Makan tengahhari/ Solat

02.00 – 04.00 Petang - Penulisan Puisi /Esastera
Oleh: Profesor Dr Ir Wan Abu Bakar
Dan Puan Hasimah Haron.

SUSUN ACARA MAJLIS PERASMIAN PENUTUP

04.15 Petang - Kesampaian Jemputan

04.30 Petang - Kesampaian YB Tuan Jalaluddin Hj Alias
ADUN Kawasan Klawang.

-Ucapan Aluan Pengerusi

- Bacaan Doa

- Ucapan YDP MKD Caw.Jelebu,
Encik Md Sidek bin Ahmad

- Ucapan Pengarah Kebudayaan, kesenian
Dan warisan Negeri Sembilan.

- Ucapan Perasmian Penutup oleh
YB Tuan Jalaluddin bin Hj Alias

- Penyam[paian Sijil dan Cenderahati

- Jamuan Petang

- Bersurai.

Ahad, Ogos 01, 2004

Nisah Haron Ke Palembang

Nisah Hj Haron, seorang peguam dan juga penulis dari Negeri Sembilan yang telah mencipta nama di bidang penulisan dan baru-baru ini memenangi hadiah sastera utusan dengan novel Mencari Locus Standi berangkat ke Palembang mewakili Malaysia ke Program MASTERA ataupun Majlis Sastera Asia Tenggara.
Beberapa hari sebelum pergi Nisah menghubungi saya melalui telefon mengatakan dia tidak dapat hadir pada majlis pelancaran buku karya penulis negeri sembilan yang akan diadakan pada hari sabtu 7hb kerana dia masih belum pulang. Novel Mencari Locus Standi turut dilancarkan pada malam itu nanti.
Selain aktif dalam Persatuan Penulis Negeri Sembilan, Nisah juga rajin menjual buku. Kerana itu saya berpesan bawalah pulang buku-buku Indonesia dan saya ingin membelinya.
Walaupun kami satu negeri tapi jarang bertemu. Kali pertama saya nampak dia pada majlis penyampaian hadiah sastera utusan tahun 2000. Dia pemenang hadiah utama. Kami tidak bertegur sapa kerana ketika itu cuma saya yang kenal dia tapi dia tak kenal saya...hahaha…
Cuma pada penghujung tahun 2003 apabila saya menghadiri bengkel penulisan yang beliau anjurkan di Seremban barulah kami sempat berbual.
Kali terakhir saya jumpa Nisah Haron semasa Sayembara Puisi di Taman Budaya Seremban. Kerana kami duduk agak jauh maka saya menyapa melaiui sms. Selepas membacanya saya nampak dia tercari-cari.
Bila nampak saya dia cepat-cepat menganggat tanga. Namun kami tak sempat berbual kerana dia menjadi salah seorang hakim sayembara manakala saya terpaksa ke Kuala Lumpur kerana ada urusan.
Saya turut berasa bangga dengan terpilihnya Nisah Hj Haron ke Program Majlis Sastera Asia Tenggara.Tahniah.