Isnin, September 26, 2005

KHALID BIN AL WALID

PAHLAWAN PEDANG ALLAH

Pagi itu sebelum matahari terbit orang ramai sudah berkumpul di depan Kaabah. Mereka menunggu kedatangan seorang lelaki yang paling mereka sanjungi iaitu Khalid bin al Walid. Masing-masing seolah tidak sabar menanti kedatangannya.

Kau tahu kenapa Khalid al Walid mengajak orang ramai berkumpul di sini pagi ini? tanya Abu Lahab kepada Abu Sufiyan.

Aku sendiri pun tidak tahu, jawab Abu Sufiyan. Kemudian katanya lagi, Khalid bin Al Walid seorang pahlawan agong. Namanya semakin masyhur setelah berjaya mengalahkan tentera Islam dalam peperangan Uhud. Mungkin dia hendak mengajak kita menyerang Madinah.”

Kalau benar seperti yang kau kata, aku orang pertama yang akan menyokongnya, kata Abu Lahab. Kemudian dia menyambung lagi kata-katanya. Aku sanggup menyerahkan semua kuda dan unta milikku untuk digunakan oleh tentera kita bagi memerangi Muhammad.

Aku juga akan menyokong kerana kita telah kalah dalam peperangan Badar. Tetapi Khalid bin al Walid telah berjaya menebus kekalahan kita itu dalam peperangan Uhud. Kita terhutang budi kepadanya. Kerana itu kita mesti menyokong apa saja tindakannya terhadap Muhammad, balas Abu Sufiyan pula. Dia adalah ketua suku Bani Umaiyah.

Kita beruntung kerana Khalid bin Al Walid menyebelahi kita. Dia bukan sahaja gagah dan berani tetapi juga bijak mengatur perancangan di medan perang. Kerana itu memang selayaknya dia dilantik menjadi pemimpin tentera, puji Abu Lahab.

Perbualan mereka terhenti bila Khalid bin Al Walid datang. Dia berdiri membelakangi Kaabah lalu mengadap ke arah orang ramai.

Kau lihat Khalid Al Walid, kata Abu Lahab. Dia berpakaian lengkap seperti pahlawan. Mukanya nampak garang dan tangan kanannya sentiasa memegang hulu pedang yang tersisip di pinggangnya.

Aku yakin dia hendak mengajak kita memerangi Muhammad. Mari kita dengar apa yang hendak diumumkannya, balas Abu Sufian pula.

Semua mata tertumpu kepada lelaki bertubuh sasa, berjanggut tebal dan berwajah tampan itu. Dengan suara yang lantang Khalid bin al Walid pun berkata; Mulai hari ini, pada pagi yang bertuah ini, aku mengaku sesungguhnya Muhammad itu seorang Rasul dan agama yang dibawanya adalah agama yang benar!

Tiba-tiba suasana menjadi kecuh. Orang ramai marah apabila mendengar kata-kata Khalid bin Al Walid. Abu Lahab bertempik sekuat hatinya, Celaka engkau wahai Khalid bin al Walid. Sesia saja Al Walid membesarkan kau. Sesia sahaja Lababah melahirkan kau. Adakah kerana itu engkau menyuruh kami berkumpul di sini?

Aku seorang pahlawan. Sejak dari kecil aku dididik supaya berani berterus terang. Aku mahu kamu mengetahui bahawa aku telah menjadi pengikut Muhammad, balas Khalid al Walid.

Abu Lahab berdiri sambil bercekak pinggang. Wahai Khalid al Walid. Engkau dari Suku Bani Makhzum. Suku kaum yang paling kami pandang tinggi. Ayah engkau bernama Al Walid seorang yang paling kaya dan berpengaruh di kalangan kami. Ibu engkau bernama Lababah, seorang wanita yang kami hormati. Janganlah engkau menyakiti hati kami kerana engkau adalah orang mulia di kalangan kami, kata Abu Lahab.

Ayah dan ibuku sudah tiada. Aku pula sudah dewasa. Aku berhak memilih jalan hidup sendiri. Dan aku memilih Islam sebagai agamaku, balas Khalid bin Al Walid pula.

Abu Labah semakin marah. Mukanya bengis. Apa yang engkau dapat bila menjadi pengikut Muhammad? tanya Abu Lahab.

Belum sempat Khalid bin Al Walid menjawab, Abu Lahab menyambung kata-katanya Muhammad itu seorang yang miskin. Sejak kecil dia menjadi yatim piatu. Hidupnya mengharap belas kasihan orang. Dia tidak pandai menulis dan membaca. Sedangkan engkau anak seorang hartawan. Apabila ayah engkau mati maka engkau mewarisi harta kekayaannya. Engkau mewarisi ladang buah-buahan yang amat luas. Memiliki beribu ekor unta dan kuda. Mempunyai beratus orang hamba sahaya. Apa lagi yang engkau hendak cari?

Memang benar kata-katanya, balas Abu Sufiyan pula. Al Walid ayahmu seorang hartawan yang dermawan. Dia sanggup mengeluarkan perbelanjaan sendiri bagi mengganti kelambu Kaabah. Dia juga yang menyediakan makanan dan minuman bagi orang ramai yang mengelilingi Kaabah. Engkau contohilah ayahmu.

Memang benar ayah aku seorang yang kaya. Tetapi segala harta kekayaannya itu ditinggalkan setelah dia meninggal dunia. Memang benar ayah aku seorang yang dermawan dan paling berpengaruh di kalangan kamu. Tetapi semua itu tidak dapat menyelamatkan dia dari kematian. Aku yakin hanya Muhammad saja yang dapat menyelamatkan hidup kita di dunia dan di akhirat, jawab Khalid bin Al Walid.

Engkau telah terkena sihir Muhammad. Aku akan carikan seorang dukun yang handal untuk mengubatimu, teriak Abu Lahab sambil memukul dadanya dengan tangan sebagai tanda marah yang amat sangat.

Sebenarnya aku telah lama yakin apa yang dibacakan oleh Muhammad itu adalah benar. Dan aku yakin agama yang dibawanya juga adalah benar. Tetapi kebenaran itu ditutup oleh hawa nafsu, harta dan pangkat yang ada pada diriku. Tetapi mulai pada hari ini, aku telah melawan hawa nafsuku itu. Aku sanggup kehilangan harta dan pangkat demi untuk mencari kebenaran, balas Khalid bin Al Walid.

Wahai Khalid, teriak seorang pemuda. Namanya Ikramah bin Abu Jahal. Awak tak sepatutnya bercakap begitu.

Bagi mereka yang mempunyai akal fikiran yang sempurna, Telah jelas dan terang bahawa Muhammad itu bukan seorang ahli sihir. Segala perkataan yang keluar dari mulutnya adalah Kalam Allah Rabbul Alamin. Oleh sebab itu jadi kewajipan bagi tiap-tiap orang yang berakal sihat mengikut Muhammad, balas Khalid Al Walid.

Ikramah bin Abu Jahal tidak dapat menahan rasa marah. Dia tampil ke depan lalu berdepan dengan Khalid bin Al Walid. Wahai Khalid, engkau adalah pemimpin tentera Quraisy. Engkau tidak sepatutnya bercakap seperti itu, katanya.

Kenapa?. Salahkah aku berterus terang? tanya Khalid.

Muhammad telah mencemarkan keluarga kamu dan menjatuhkan maruah ayah kamu dengan membunuh bapa saudara dan sepupu kamu dalam perang Badar. Demi Tuhan, aku tidak akan masuk Islam dan tidak akan bercakap seperti yang engkau cakapkan. Aku dan kaum Quraisy bersedia untuk berperang dengan mereaka, jawab Ikramah bin Abu Jahal.

Engkau sombong dan jahiliyah. Demi Allah, aku telah Islam dan kebenaran telah nyata, balas Khalid al Walid.

Dia memang sudah terkena sihir Muhammad! teriak orang ramai.

Jangan benarkan dia menjadi pengikut Muhamnmad. Teriak mereka lagi.

Dengan pantas Khalid bin Al Walid menghunus pedangnya. Hari ini aku akan pergi ke Madinah untuk bertemu dengan Muhammad. Sesiapa yang tidak takut isterinya menjadi janda, dipersilakan menghalang perjalanan aku. Sesiapa yang sanggup anak-anaknya menjadi yatim, marilah bertarung dengan aku, katanya mencabar.
Aku tidak akan menyahut cabarannya kerana dia terkena sihir Muhammad, kata Ikramah sambil menjauhkan diri dari Khalid.

Khalid terus mencabar namun tidak ada seorang pun yang berani menyahut cabarannya. Kemudian Khalid bin Al Walid menunggang kudanya. Dan sebelum meninggalkan tempat itu dia berkata; Aku akan pergi ke Madinah seorang diri. Sesiapa yang tidak sayang kepada nyawanya dipersilakan menghalang perjalanan aku.

Kalau Khalid bin Al Walid berjaya sampai ke Madinah lalu bergabung dengan Muhammad maka kedudukan mereka bertambah kuat. Dan kita berada dalam bahaya, kata Abu Sufiyan melahirkan rasa bimbangnya.

Benar kata awak. Aku akan cuba menghalangnya, kata Abu Lahab pula.

Jangan gunakan kekerasan. Cubalah pujuk dia, Abu Sufiyan mencadangkan.

Abu Lahab pun cuba memujuk Khalid bin Al Walid. Aku sanggup beri kau apa saja asalkan jangan menemui Muhammad, katanya.

Walau apapun halangannya, aku tetap akan pergi menemui Muhammad. Aku sudah menjadi pengikutnya, balas Khalid bin Al Walid.

Kalau kau inginkan gadis-gadis yang cantik aku sanggup menyediakannya. Kalau kau inginkan harta aku sanggup memberinya. Kalau kau hendak menjadi raja kami sedia melantiknya, Abu Lahab terus memujuk.

Bukankah kau juga pernah menawarkan perkara yang sama kepada Muhammad?. Apakah dia menerimanya? tanya Khalid pula.

Muhammad itu memang bodoh kerana itu dia menolaknya, jawab Abu Lahab.

Sekali lagi kau mengatakan Muhammad itu bodoh aku akan penggal leher kau! balas Khalid bin Al Walid sambil menghunus pedangnya.

Abu Lahab berasa takut yang amat sangat. Dengan cepat dia berlalu dan Khalid bin al Walid meneruskan perjalanannya ke Madinah. Namun Abu Lahab tidak berputus asa. Dia membuat tawaran kepada orang ramai. Sesiapa yang sanggup menghalang Khalid bin Al Walid bertemu Muhammad akan aku berikan hadiah! katanya.

Tetapi tidak seorang pun yang sanggup menyambut tawaran tersebut. Tidak ada yang sanggup isterinya menjadi janda. Dan tidak siapa yang sanggup anak-anaknya menjadi anak yatim, ujar Abu Sufiyan. Kemudian katanya lagi.

Hanya Omar bin al Khatab saja yang berani bertarung dengan Khalid al Walid. Tetapi sekarang Omar sudah menjadi pengikut Muhammad. Kerana itu aku yakin tidak ada sesiapa lagi yang berani menentangnya.

Namun Abu Lahab tidak berputus asa. Dia menaikkan lagi tawaran hadiahnya. Aku sanggup beri sepuluh ribu dinar kepada sesiapa yang sanggup menghalang Khalid bin Al Walid, katanya.

Tiba-tiba seorang pemuda mengangkat tangan sebagai menyatakan kesanggupannya. Aku sanggup menghalang perjalanan Khalid bin Al Walid ke Madinah. Tetapi dengan satu syarat.

Apakah syaratnya, wahai orang muda? tanya Abu Lahab pula.

Berikan aku dua puluh ribu dinar. Dan aku akan hadiahkan kepala Khalid al Walid kepada kau, jawab pemuda itu.

Awak masih muda. Dan awak bukan tandingan dia, tempelak Abu Sufiyan.

Aku seorang yang cekap memanah. Aku akan gunakan anak panahku untuk menghalang perjalanan Khalid bin Al Walid. Kalau tidak berjaya aku akan gunakan lembingku. Dan kalau masih tidak berjaya aku akan gunakan pedangku, kata pemuda itu dengan bersungguh-sungguh.

Abu Lahab gembira mendengarnya. Aku akan berikan engkau dua puluh ribu dinar. Tetapi kalau engkau tidak berjaya menghalang Khalid maka pulangkan semula duit itu kepada aku, katanya.

Baiklah, aku setuju, balas pemuda itu.

( Bab pertama dari novel Khalid Al Walid yang akan diterbitkan oleh PTS)

Rabu, September 21, 2005

IMAM MUDA


Ekoran kisah Khalid Walid yang disiarkan dalam blog ini ada seorang pembaca yang menamakan dirinya sebagai Imam Muda menghantar emel bertanya begini.

1) Apakah wajar Saidina Omar memecat Khalid Walid?.

2) Benarkah Saidina Omar menaruh perasaan dendam kerana Khalid bin Walid lebih popular daripadanya?.

Menurut kisahnya sebelum masuk Islam Omar dan Khalid memang terkenal sebagai pemuda yang gagah. Keduanya pernah bertarung untuk menentukan siapa yang lebih kuat. Dalam perlawanan itu Khalid bin Walid berjaya mematahkan kaki Omar.

Saidina Omar lebih dulu masuk Islam dari Khalid. Namun khalid yang mendapat perhatian istimewa dari Rasulullah sehingga digelar Saifullah atau Pahlawan Pedang Allah dan dilantik mengepalai angkatan tentera Islam dalam banyak peperangan.

Ada yang mengatakan selepas Rasulullah menakluk kota Mekah ramai yang memeluk Islam kerana terpaksa disebabkan ketika itu Islam telah kuat sehingga berjaya menguasai Mekah dan Madinah. Namun khalid masuk Islam sebeluk penawanan Mekah.

Ada pula yang berperang kerana hendakkan harta rampasan perang. Saidina Omar tidak senang dengan tindakan Khalid membahagikan harta rampasan perang tanpa merujuk dulu kepada Khalifah. Namun Khalid bukan orang kaya. Semasa meninggal dunia Khalid Cuma meninggalkan kuda dan pedang sahaja.

Khalid pula dikatakan terlalu berani dalam peperangan sehingga dikatakan tindakannya membahayakan nyawa tentera Islam. Namun ramai yang memuji Khalid kerana boleh dikatakan semua peperangan yang diketuainya mencapai kemenangan.

Setelah Khalid dipecat dari jawatannya dia tidak menunjukan penentangan terhadap Saidina Omar. Dia terus menyertai peperangan walaupun sebagai tentera biasa. Abu Ubaidah bin Jarrah sendiri berasa malu hendak menyampaikan surat perlantikan yang diterimanya daripada Saidina Omar kepada Khalid dan dia tidak pula menunjukkan rasa angkuh setelah memegang jawatan tersebut.

Memang benar Khalid baru saja memeluk Islam dan dia belum mahir mengenai hukum hakam agama kerana masanya lebih banyak dihabiskan di medan perang. Namun ada hadis yang bermaksud sesaat berjihad di jalan Allah itu lebih baik dari beribadat sekian tahun.

Saidina Omar bin Khattab antara 10 sahabat yang dijamin masuk syurga. Beliau juga sahabat nabi yang paling rapat sehingga boleh dijadikan contoh dan ikutan. Khalid bin walid pula seorang pahlawan yang berjasa kepada Islam sehingga mendapat gelaran Saifullah atau pahlawan pedang Allah.

Kesimpulannya, Saidina Omar dan Khalid adalah tokoh yang istimewa. Seorang dijamin masuk Syurga dan seorang lagi digelar oleh Rasulullah SAW sebagai Pahlawan Pedang Allah.

Ahad, September 18, 2005

KHALID BIN AL WALID


PAHLAWAN PEDANG ALLAH

Khalid bin Al Walid terkenal sebagai pahlawan yang gagah berani sehingga mendapat gelaran SAIFULLAH atau pedang Allah. Beliau mendapat gelaran tersebut ketika berlakunya perang Muktah pada tahun 8 hijrah. Dalam perang tersebut tentera Islam seramai 3,000 orang berperang melawan tentera Rome yang berjumlah 200,000 orang.

Apabila panglima Zaid bin Harithah gugur maka tempatnya diambil alih oleh panglima Jakfar bin Abi Talib. Apabila Jakfar gugur maka tempatnya diambil oleh Abdullah bin Rawwahah. Dan apabila panglima Abdullah juga gugur maka tentera Islam melantik Khalid bin Al Walid sebagai pemimpin mereka. Dengan kebijaksanaannya tentera Islam berjaya diundurkan dengan selamat setelah menimpakan kerugian yang besar terhadap tentera Rome.

Berita tersebut sampai kepada Nabi Muhammad SAW lalu baginda bersabda yang maksudnya
Zaid memegang panji-panji kemudian gugur. Panji-panji diambil oleh Jakfar dan dia pun gugur juga. Panji itu dipegang oleh Ibnu Rawwahah dia pun gugur juga,
Rasulullah SAW diam sebentar dan kelihatan baginda menitiskan air mata. Kemudian baginda bersabda lagi

Akhirnya panji-panji itu dicapai oleh Si Pedang Allah dan Allah mengurniakan kemenangan kepada mereka (kaum muslimin)

Panglima Khalid bin Al Walid mempunyai pertalian yang rapat dengan Rasulullah SAW. Tetapi sebelum masuk Islam dia salah seorang penentang Islam yang paling keras. Ketika berlakunya perang Uhud Khalid bin Al Walid berjaya mengkucar kacirkan tentera Islam serta membunuh 50 orang tentera pemanah yang ditempatkan oleh Rasulullah SAW di atas bukit Uhud.

Tetapi setelah memeluk Islam Khalid bin Al Walid menjadi tentera yang paling keras menentang mereka yang memusuhi Islam. Kerana keberanian, kegagahan dan kebijaksaannya dia dilantik menjadi pemimpin tentera Islam dan terlibat hampir 50 medan perang yang besar.
Antaranya, memerangi golongan murtad, menakluk kerajaan parsi, kerajaan Hirah dan puncak kegemilangannya apabila berjaya mengalahkan tentera Rom dalam Perang Yarmuk.

Di zaman khalifah Saidina Omar bin Khatab, panglima Khalid bin Al Walid dipecat dari jawatannya. Namun dia terus berjuang walaupun Cuma sebagai tentera biasa. Kemudian dia membawa isteri dan anak-anaknya menetap di Syam. Ketika berada di sana berlaku wabak taun menyebabkan anak-anaknya meninggal dunia seorang lepas seorang sehingga kesemua anak-anaknya seramai 40 orang meninggal dunia.

Kemudian dalam tahun 21 hijrah Khalid bin Al Walid jatuh sakit. Ketika terbaring di atas ranjangnya panglima yang mendapat gelaran Pedang Allah itu menangis kerana hajatnya hendak mati syahid di medan perang tidak kesampaian.

Ketika meninggal dunia panglima agong itu berusia 55 tahun. Semasa dimandikan terdapat 80 bekas parut luka diseluruh badannya. Khalid bin Al Walid tidak meninggalkan harta yang banyak kecuali seekor kuda dan pedang yang pernah digunakannya dalam peperangan.

Bila berita kematian Khalid bin Al Walid sampai ke pengetahuan Saidina Omar bin Khatab, beliau berkata Tuhan rahmatkan rohmu wahai Abu Sulaiman (gelaran khalid) sesungguhnya semuanya tidak sebagaimana yang kusangka.

Khalifah Omar amat bersedih dengan kematian panglima Khalid bin Al Walid. Satu ketika dia berkata, aku memecat Khalid bukan kerana benci tetapi dia terlalu keras terhadap musuh. Aku tak mahu orang menyangka kemenangan tentera Islam kerana Khalid menjadi ketua. Dan satu lagi, Khalid terlalu sayangkan anggota pasukannya. Apabila mendapat harta rampasan perang dia tidak menunggu arahan sebaliknya terus membahagikan harta rampasan perang kepada anggota pasukannya.

Saidina Abu Bakar AS Siddiq berkata, Tidak ada lagi wanita yang mampu melahirkan anak seperti Khalid.

Adi bin Hatim pula berkata, nama Khalid dapat mengalahkan musuh sebelum peperangan berrmula.

Saidina Omar bin Khatab menyedari kesilapannya memecat panglima Khalid bin Al Walid dan bercadang hendak melantik semula sebagai ketua panglima tentera tetapi beliau telah meninggal dunia. Kata Saidina Omar,

Khalid telah menjadi raja dengan sendirinya. Tuhan rahmatkan Abu Bakar sesungguhnya dia lebih tahu mengenai laki-laki itu (khalid) lebih dari aku.

Semoga Allah merahmatinya. Amin. Al fatihah.

Jumaat, September 16, 2005

ISLAM DI SEPANYOL

Pada zaman kegemilangan kerajaan Umaiyah Islam telah bertapak di Sepanyol selama hampir 500 tahun. Tetapi apabila kerajaan Islam di Andalusia itu jatuh maka segala yang berkaitan dengan Islam telah dilenyapkan kecuali senibina Islam termasuk beberapa buah masjid yang telah dijadikan muzium.

Setelah beratus tahun Islam lenyap dari bumi Sepanyol kini sudah ada tanda-tanda Islam kembali bersinar.

Empat Puluh Sekolah di Spanyol, Mulai Ajarkan Agama Islam
Publikasi: 15/09/2005 16:36 WIB

eramuslim - Mulai tahun ini, yang akan jatuh pada pertengahan September, puluhan sekolah-sekolah di Spanyol akan mengajarkan mata pelajaran agama Islam. Pengajaran agama Islam di sekolah-sekolah ini, merupakan hasil kesepakatan antara pemerintah Spanyol dan persatuan organisasi-organisasi Islam Spanyol (Union of Islamic Associations).

Sebenarnya, hasil kesepakatan itu sudah berlaku sejak semester kedua tahun ajaran 2004-2005, namun baru dua sekolah saja yang memberlakukan mata pelajaran agama Islam.
Islam pertama kali diajarkan di Melilla dan Ceuta, dua kota di Maroko yang berada di bawah pemerintahan Spanyol. Populasi di kedua kota itu, 40 persennya adalah warga Muslim. Kedua kota inilah yang dijadikan percontohan pengajaran agama Islam bagi kota-kota lainnya di Spanyol.

Menurut kementerian pendidikan Spanyol, pengajaran agama Islam dibatasi hanya di 3 kota saja yaitu di Andalusia, Aragon dan Basque. Pembatasan itu dilakukan karena masih kurangnya tenaga pengajar agama Islam dan keputusan pemerintah Spanyol yang tidak mengizinkan tenaga guru agama Islam diambil dari Maroko atau negara-negara Islam lainnya.

Saat ini, baru 17 guru agama Islam yang dianggap memenuhi kriteria yang ditetapkan pemerintah Spanyol, yaitu harus lulusan universitas dan besar di Spanyol. Ketujuhbelas tenaga guru itu akan ditugaskan mengajar di sekitar 40 sekolah di tiga kota tersebut.Kepulauan Canary rencananya juga akan memulai pengajaran agama Islam pada tahun akademik ini. Namun karena terbatasnya jumlah guru, rencana itu dibatalkan.

Di ibukota Spanyol, Madrid terdapat kurang lebih 100.000 warga Muslim. Sementara di kota Barcelona, terdapat lebih dari 150.000 warga Muslim. Tapi sekolah-sekolah di dua kota itu belum mengajarkan agama Islam, lagi-lagi alasannya karena kekurangan tenaga pengajar.
Ketua Persatuan Organisasi Islam di Spanyol, Abdul Salam Mansur pada kantor berita Spanyol EFE mengaku tidak puas dengan masih sedikitnya guru agama Islam dan pembatasan dalam kesepakatan dengan pemerintah Spanyol. Kendati demikian, Mansour menilai diizinkannya pengajaran agama Islam di sekolah-sekolah merupakan langkah penting, terutama untuk meningkatkan citra Islam di kalangan masyarakat Spanyol.

Untuk itu, Sekretaris Jenderal Persatuan Organisasi Islam Spanyol, Riadh Tatari berharap kesepakatan itu diperluas sehingga agama Islam bisa diajarkan di seluruh sekolah di Spanyol.
Minat Siswa Masih Rendah

Kesepakatan dengan pemerintah Spanyol itu ditandatangani pada era 1990an ketika Partai Sosialis menjadi partai yang berkuasa di Spanyol. Namun pada tahun 1996, Partai Rakyat yang berkuasa di Spanyol membatalkan kesepakatan tersebut.

Sekarang, meski pengajaran agama Islam di sekolah-sekolah sudah diperbolehkan, minat siswa untuk mengambil kelas mata pelajaran itu ternyata tidak terlalu tinggi. Menurut data statistik, ada sekitar 80.000 siswa Muslim di Spanyol, tapi yang mendaftar untuk mengikuti kelas agama Islam hanya 25.000 orang.

Harian Spanyol El Periodico de Aragon melaporkan, pelajaran agama Islam yang diberikan dibatasi hanya pada sejumlah definisi Islam dan pengajaran tentang tatacara shalat dan peribadahan lainnya. Pelajaran akan disampaikan dalam bahasa Spanyol kecuali saat pelajaran membaca Al-Qur'an. Para guru agama Islam ini akan menerima bayaran sebesar 1.200 euro atau sekitar 1.471 dollar AS. (ln/iol)

Rabu, September 14, 2005

SELAMAT PENGANTIN BARU

Selamat pengantin baru saya ucapkan
Kepada Ep dan isteri
Semoga berbahagia dunia dan akhirat.

Bertemu jodoh
Selesai akad nikah
Cincin disarung

Menjeling manja
Tangan erat digenggam
Dada berdebar
Image hosted by Photobucket.com

Jumaat, September 09, 2005

NOVEL TARIQ BIN ZIYAD


Alhamdulillah,

Penulisan manuskrip Tariq bin Ziyad telah selesai. Dan saya berasa amat gembira apabila Puan Ainon Mohd memaklumkan kepada saya PTS PUBLICATIONS & DISTRIBUTORS SDN BHD akan menerbitkannya.

Idea menulis novel tersebut bermula apabila saya berkunjung ke pejabat PTS yang terletak di Bukit Tinggi Bentong. Puan Ainon Mohd dalam kesibukannya sempat juga meluangkan masa berbincang dengan saya lebih 2 jam mengenai projek penulisan novel patriotik yang hendak diterbitkan. Dan saya menawarkan diri untuk menulis kisah pahlawan-pahlawan Islam yang akan ditulis dalam bentuk novel.

Saya memilih Tariq bin Ziyad kerana tokoh tersebut jarang diperkatakan berbanding pahlawan lain seperti Khalid bin Al Walid dan Salahuddin Al Ayubi. Sedangkan pahlawan tersebutlah yang menyebabkan Islam betapak di Sepanyol selama hampir 500 tahun.

Penulisan novel tersebut berjalan lancar kerana apabila siap bab pertama saya mengirimkannya kepada Puan Ainon melalui emal untuk di baca dan di edit. Dan Puan Ainon memaklumkan segera kepada saya jika terdapat kesilapan atau ada bahagian yang perlu dibuat tambahan. Dan pada bab yang pertama itu saya mendapat tunjuk ajar dari Puan Ainon bagaimana corak penulisan yang dikehendaki oleh PTS.

Alhamdulillah bab kedua dan seterusnya tiada lagi masalah malah Puan Ainon berpuas hati dan terus memberi semangat kepada saya untuk menulisnya.

Pada saya ini sesuatu yang amat menarik. Selama ini apabila manuskrip di hantar ke penerbit , manuskrip tersebut terperam betahun-tahun tanpa kabar berita. Saya tidak pernah dihubungi oleh editornya apatahlagi oleh bosnya. Mungkin sebuk kot…hehe

Berbalik pada Novel Tariq bin Ziyad. Saya membuat penulisan terakhir pada malam 31 Ogos. Saya tidak sempat menyaksikan konset malam merdeka kerana menyiapkannya hingga ke pagi.

Dan selepas itu badan rasa demam, kepala sakit kerana tak cukup tidur. Tetapi penat lelah hingga demam itu rasa sudah terubat apabila Puan Ainon memaklumkan kepada saya dia tertarik dan seronok membaca manuskrip Tariq bin Ziyad dan pihak PTS akan menerbitkannya dalam bentuk novel dan buku bergambar.
InsyaAllah.

Rabu, September 07, 2005

PERANG UHUD

Antara peperangan yang terhebat di zaman Rasullullah SAW ialah peperangan Uhud. Dalam peperangan tersebut Nabi sendiri yang memimpin pasukan tentera Islam bagi menghadapi tentera Quraisy. Jumlah tentera Islam cuma 700 orang berbanding tentera musuh seramai 3,000 orang. Dan mereka bertemu di bukit Uhud.
Uhud adalah suatu kawasan yang besar, empat batu ke utara Madinah dan tingginya mencecah 1,000 kaki dari tanah rata di sekitarnya. Keseluruhan kawasan ini menganjur 5 batu panjangnya. Di sebelah barat Uhud, terdapat persimpangan yang menurun dan curam, dan di kanan persimpangan tersebut, seperti yang dapat dilihat dari Madinah, sebuah lembah yang landai dan semakin mengecil di hujungnya lebih kurang 1,000 ela dari kaki persimpangan yang curam tadi. Di belakang hujung lembah yang sempit itu merupakan jalan mati kerana di situ titik bertemunya antara dua rabung yang tinggi. Di pintu masuk lembah itulah Rasulullah menempatkan tenteranya. Baginda membelakangi bahagian lembah yang meninggi itu.

Rasulullah mengatur tentera Islam dengan formasi yang rapat 1,000 ela ke hadapan. Kemudian baginda meletakkan barisan sayap kanannya di kaki persimpangan yang curam dan sayap kirinya di kaki bukit yang agak rendah, lebih kurang 40 kaki tinggi dan 500 kaki panjang, dipanggil Ainain. Tentera di kanan dalam posisi yang selamat namun yang di sebelah kiri berkemungkinan diserang dari belakang Ainain; untuk mengelakkan bahaya, Rasulullah meletakkan 50 pemanah, yang dapat memberi amaran sekiranya tentera Quraisy berpusing dan menyerang dari arah belakang.

Pasukan pemanah ini yang diketuai oleh Abdullah bin Jubair, diberi arahan oleh Rasulullah; “Gunakan anak panahmu untuk tentera musuh. Pastikan mereka tidak menyerang kami dari belakang. Selagi kamu tidak meninggalkan posisi kamu, belakang kami akan selamat. Tidak seorangpun dibenarkan untuk meninggalkan tempat ini. Jika kamu melihat kami mendapat kemenangan, jangan sertai kami; jika kamu melihat kami menerima kekalahan, jangan turun untuk membantu kami.”
bersambung....

Isnin, September 05, 2005

PANTUN RAJA SEHARI

SELAMAT ULANGTAHUN PERKAHWINAN BUAT ZAREDA

Tinta Nostalgia Kehidupan

Bila mata bertentang mata
Kasih berpadu cinta terjalin
Bila sudah seiya sekata
Lalu bersanding di atas pelamin

Sungguh cantik anyaman rotan
Buat hamparan raja sehari
Sama cantik sama sepadan
Bagaikan raja dengan permaisuri.

Di ijab kabul zareda dan suami
Jodoh pertemuan sudah tersurat
Berkasih sayang suami isteri
Semoga berbahagia dunia akhirat

Khamis, September 01, 2005

ISRAK MIKRAJ

Daripada Nabi Muhammad S.A.W., "Pada waktu malam saya diisrakkan sampai ke langit, Allah S.W.T telah memberikan lima wasiat, antaranya :

1. Janganlah engkau gantungkan hatimu kepada dunia kerana sesungguhnya Aku tidak menjadikan dunia ini untuk engkau.

2. Jadikan cintamu kepada-Ku sebab tempat kembalimu adalah kepada-Ku.

3. Bersungguh-sungguhlah engkau mencari syurga.

4.Putuskan harapan dari makhluk kerana sesungguhnya mereka itu sedikitpun tidak ada kuasa di tangan mereka.

5. Rajinlah mengerjakan sembahyang tahajjud kerana sesungguhnya pertolongan itu berserta qiamullail.

Ibrahim bin Adham berkata,
"Telah datang kepadaku beberapa orang tetamu, dan saya tahu mereka itu adalah wakil guru tariqat. Saya berkata kepada mereka, berikanlah nasihat yang berguna kepada saya, yang akan membuat saya takut kepada Allah S.W.T. Lalu mereka berkata,

"Kami wasiatkan kepada kamu 7 perkara, iaitu :
1. Orang yang banyak bicaranya janganlah kamu harapkan sangat kesedaran hatinya.
2. Orang yang banyak makan janganlah kamu harapkan sangat kata-kata hikmat darinya.
3. Orang yang banyak bergaul dengan manusia janganlah kamu harapkan sangat kemanisan ibadahnya.
4. Orang yang cinta kepada dunia janganlah kamu harapkan sangat khusnul khatimahnya.
5. Orang yang bodoh janganlah kamu harapkan sangat akan hidup hatinya.
6. Orang yang memilih berkawan dengan orang yang zalim janganlah kamu harapkan sangat kelurusan agamanya.
7. Orang yang mencari keredhaan manusia janganlah harapkan sangat akan keredhaan Allah daripadanya."

Abu Bakar r.a. berkata, " Sesungguhnya iblis berdiri di depanmu, jiwa di sebelah kananmu, nafsu di sebelah kirimu, dunia di sebelah belakangmu dan semua anggota tubuhmu berada di sekitar tubuhmu. Sedangkan Allah di atasmu. Sementara iblis terkutuk mengajakmu meninggalkan agama, jiwa mengajakmu ke arah maksiat, nafsu mengajakmu memenuhi syahwat, dunia mengajakmu supaya memilihnya dari akhirat dan anggota tubuh mengajakmu melakukan dosa. Dan Tuhan mengajakmu masuk Syurga serta mendapat keampunan-Nya, sebagaimana firmannya yang bermaksud, "....Dan Allah mengajak ke Syurga serta menuju keampunan-Nya..."

Siapa yang memenuhi ajakan iblis, maka hilanglah agama dari dirinya. Sesiapa yang memenuhi ajakan jiwa, maka hilanglah nilai nyawanya. Sesiapa yang memenuhi ajakan nafsunya, maka hilanglah akal dari dirinya.

Siapa yang memenuhi ajakan dunia, maka hilanglah akhirat dari dirinya. Dan siapa yang memenuhi ajakan anggota tubuhnya, maka hilanglah syurga dari dirinya. Dan siapa yang memenuhi ajakan Allah S.W.T., maka hilanglah dari dirinya semua kejahatan dan ia memperolehi semua kebaikan.

Sesungguhnya pujian itu hanyalah untuk ALLAH. Tidak ada yang lebih hebat selain dariNYA!

= FYIDA OTHMAN

Rabu, Ogos 31, 2005

MERDEKA

31hb Ogos datang lagi.

Hari ini genap 48 tahun negara kita mencapai kemerdekaan. Dan seperti biasa ulangtahun yang bersejarah itu disambut dengan pelbagai acara. Malam tadi ada persembahan di tv. Pagi ini ada lagi acara menyambut hari kemerdekaan yang disiarkan secara lansung.

Masa anak-anak masih kecil pernah juga bawa mereka menyaksikan perbarisan di Kuala Lumpur. Tetapi sekarang hanya menontonya dari rumah sahaja.

Malam tadi, semasa Solat Maghrib dan Isyak, masjid di kampung saya dihiasi api dari pelita minyak tanah yang disangkutkan pada tiang-tiang pagar masjid. Pada petangnya di pasang Jalur Gemilang.

Ramai yang bercakap mengenai kemerdekaan. Dan ramai pula yang mengajak kita menghayati makna kemerdekaan. Saya tersenyum bila mendengar seorang artis dalam satu rancangan astro berkata merdeka artinya kita bebas memilih jalan hidup kita. samaada jalan kiri atau jalan kanan.

Selamat Hari Ulangtahun Kemerdekaan.

MERDEKA. MERDEKA. MERDEKA.

Isnin, Ogos 29, 2005

SETELAH 26 TAHUN


Siang bertukar malam, hari berganti minggu, minggu beralih ke bulan dan bulan berubah ke tahun, diam tak diam rupanya perkahwinan kami sudah menjangkau ke usia 26 tahun.

Diam tak diam, anak-anak kami dah besar panjang..hehe. Along telah berusia 25 tahun (dah boleh kahwin sebab ayahnya dulu berkahwin umur 25 tahun..hehe) angah 24 tahun dan adik yang bongsu 22 tahun (masih menuntut di tahun akhir).

Along dan angah berkongsi menyewa rumah di kajang. Yang bongsu pula kerana berada di tahun akhir terpaksa duduk di luar kampus dan menyewa rumah di bandar baru bangi.

Sepanjang 26 tahun usia perkahwinan kami rasa bahagia alhamdulillah. Petuanya mudah saja. Makan bersama, tidur bersama dan sembahyang bersama. Pasti mesra dan bahagia. Kalau makan tak lagi bersama. Tidur pun tak lagi bersama, itu dah bahaya,hehe

Setelah 26 tahun usia perkahwinan, anak-anak dah semakin dewasa. Along kini dah berkerja. Angah pula mendalami kemahiran bahasa Inggerisnya disamping buat kerja sambilan di tempat Along pada hari sabtu dan ahad.

Anak yang bongsu pula, kerana dia menghambil jurusan sains matematik, pada setiap hari sabtu dan ahad mengajar tusyen. Dia dibayar RM25.00 satu jam untuk mengajar matematik. Pendapatannya?. Alhamdulillah.

Setelah 26 tahun perkahwinan, bahagia melihat anak-anak yang semakin dewasa. Mereka dah pandai berdikari. Ayah dan ibu mereka tinggal berdua saja di rumah. Macam pengantin baru yang lama, hehe

Rabu, Ogos 24, 2005

TARIQ BIN ZIYAD

PAHLAWAN LIDAH API

BAB: 10

“ Kemenangan tuan telah melemahkan semangat askar-askar Gotik. Mereka tak berani lagi menentang tentera Islam secara terbuka. Mereka kini bagaikan tikus takutkan burung helang. Lari betempiaran menyelamatkan diri,” kata Julian dalam satu pertemuannya dengan Tariq bin Ziyad.

Keduanya berdiri di tebing sungai Barbate. Cahaya matahari semakin redup. Air sungai yang menelan raja Roderick itu mengalir tenang. Kelihatan seekor helang menyambar ikan. Cengkaman kukunya yang kuat itu menyebabkan ikan tidak dapat lagi melepaskan dirinya.
“ Keadaan sekarang dah berubah. Tentera Islam bagaikan burung helang. Askar-askar Gotik bagaikan ikan. Helang akan terus menyambar mangsanya. Dan setiap kali helang menyambar ikan tak dapat melepaskan diri,” kata Julian sambil memuji kehebatan tentera Islam. Kemudian katanya lagi.
“ Panglima Tariq seorang yang hebat dan bijaksana. Goted pula seorang yang bodoh dan tinggi egonya. Kerana kebijaksanaan panglima mengatur strategi perang maka dengan mudah tentera Roderick dapat dikalahkan.”
“ Kemenangan kami dengan izin Allah. Tanpa bantuan dari Allah kami tak akan berjaya,” kata panglima Tariq pula. Dia masih dengan sifat merendah dirinya.
“ Kekalahan tentera Gotik menyebabkan mereka patah semangat, hilang keyakinan diri dan ramai diantara mereka yang mengalami terkanan jiwa. Saya mendapat maklumat ini dari orang ramai,” kata Julian.
“ Beritahu mereka bahawa saya akan mengampunkan mereka kalau meletak senjata dan menyerah diri. Sebaliknya kalau mereka melawan akan kami tentang habis-habisan,” kata ketua panglima tentera Islam itu.

“ Baiklah, akan saya hebahkan tawaran ini kepada askar-askar Gotik. Mereka sedang dalam ketakutan. Kalau berita ini sampai kepada mereka pasti ianya sesuatu yang mengembirakan,” balas Julian pula.

“ Bagaimana pula dengan Goted?. Adakah dia masih hidup?” tiba-tiba Tariq teringat ketua askar Gotik itu.

“ Dia telah melantik dirinya menjadi raja menggantikan Roderick. Tetapi orang ramai tak mengiktirafnya. Hanya saki baki askar-askar Gotik yang masih setia dengannya sahaja yang menyokong.”

“ Berapa ramai bilangan askar-askar yang masih setia kepada Goted? Tanya Tariq bin Ziyad.
“ Agak ramai juga kerana Goted berjanji akan menaikkan pangkat dan memberi harta yang banyak kalau dia menjadi raja. Kerana itu Goted menghasut rakyat supaya membenci tuan. Dia berusaha mengumpulkan kekuatan untuk menghalau keluar tentera Islam dari bumi Andalusia,” jawapan Julian itu menaikkan kemarahan Tariq bin Ziyad. “ Dimana mereka sekarang?” tanya ketua panglima tentera Islam itu.
“ Di satu tempat yang jauh terpencil. Saya tahu tempat itu. Adakah panglima hendak ke sana?” tanya Julian semula.

“ Iya, kami tak akan biarkan mereka begitu saja. Kami akan memeranginya,” jawab Tariq bin Ziyad.

“ Saya dan orang-orang saya sedia membantu. Kami boleh menjadi penunjuk jalan,” balas Julian.

Tariq bin Ziyad gembira mendengarnya. Dia memberi kepada Julian pelbagai hadiah dari harta rampasan perang yang ditinggalkan oleh askar-askar Roderick.

“ Pemberian ini sebagai hadiah di atas bantuan yang diberikan kepada kami,” kata Tariq bin Ziyad.

“ Terima kasih panglima. Saya dan orang-orang saya sedia membantu tentera Islam untuk menghapuskan askar-askar Gotik yang kejam itu,” balas Julian. Dia berasa amat gembira.

Esoknya Tariq bin Ziyad membawa pasukan tenteranya ke satu tempat di mana Goted dan askar-askarnya bersembunyi. Tetapi berita mengenai kedatangan tentera Islam itu telah sampai ke pengetahuan Goted. Dia dan pasukan tenteranya sempat melarikan diri.
“ Mungkin ada yang membocoran maklumat rahsia kita kepada musuh,” kata panglima Amir dengan rasa kesal.
“ Boleh kami siasat siapa yang menghianati kita, wahai panglima?” tanya panglima Malik pula.

“ Tak perlu. Biarkan saja,” jawap Tariq bin Ziyad.

“ Kenapa panglima?” tanya panglima Amir yang berasa tidak berpuas hati.

“ Biarkan pemberi maklumat itu menyampaikannya kepada musuh kita. Ini akan membuat mereka berasa takut,” jawab Tariq bin Ziyad.

“ Saya rasa Julian yang membocorkan rahsia kita kepada pihak musuh. Selain daripada kita Cuma dia seorang yang mengetahuinya,” bisik Sufian yang sejak mula memang mencurigai Julian.

“ Jangan menuduh tanpa bukti,” balas Tariq bin Ziyad. “ Dan jangan rosakkan hubungan baik antara kita dengan Julian. Kerana dia banyak membantu kita. Melainkan kalau sudah terbukti angkara dia.”

“ Baiklah, panglima. Maafkan saya,” ujar Sufian.

Perbualan mereka terhenti bila Julian datang. “ Wahai panglima, tak jauh dari sini ada sebuah perkampungan. Mungkin Goted dan askar-askarnya sedang bersembunyi di kampung itu,” katanya.

Tariq bin Ziyad tertarik hati mendengarnya. “ Tunjukkan kepada kami jalan menuju ke kampung itu,” katanya.

Panglima Malik berbisik ke telinga ketuanya. “ Elok kita berhati-hati. mungkin ini satu perangkap,” katanya.

“ Saya bersumpah tidak akan menghianati kamu!” kata Julian kerana dia dapat mendengar apa yang dibisikkan itu.

“ Panglima Malik ini amat berhati-hati orangnya. Kerana itu dia sentiasa berwaspada,” kata Tariq bin Ziyad sambil memujuk Julian agar tidak berkecil hati.

“ Saya dituduh penghianat oleh Goted dan askar-askarnya. Kerana itu saya tak mahu tentera Islam pula menuduh saya begitu,” kata Julian.

“ Berapa ramaikah penduduk kampung itu?. Adakah mereka juga dari bangsa Gotik?” tanya Panglima Tariq bin Ziyad.

“ Jumlah mereka melebihi seribu orang termasuk kanak-kanak. Dan mereka dari bangsa Gotik. Kerana itu mereka penyokong kuat raja Roderick. Elok panglima berhati-hati bila ke sana,” jawab Julian.

“ InsyaAllah, kami akan berhati-hati. namun kami tak takut mati,” balas Tariq bin Ziyad.

“ Kenapa panglima tak takut mati?”

“ Sesiapa yang mati dalam perjuangan ini akan dimasukkan ke dalam syurga. Kami yakin dengan janji Tuhan kami.”

Julian tertawa sambil berlalu. Sikap Julian itu menyinggung perasaan panglima Malik dan panglima Amir. “ Dia seperti mempersendakan kita,” kata panglima Malik.

“ Mungkin dia tak percaya adanya syurga,” balas panglima Amir pula.

“ Orang seperti Julian elok dipancung sahaja kepalanya,” marah panglima Malik.

“ Kenapa kamu berdua tak suka kepada Julian?” tanya Tariq bin Ziyad.

“ Dia selalu bertanya mengenai Islam tetapi dia tak mahu memeluk agama Islam. Saya tak percayakan dia. Sebab kalau dia sanggup menghianati tanah airnya sendiri, tidak mustahil dia juga akan sanggup menghianati kita,” jawab panglima Malik.

“ Malaupun Julian bukan orang Islam tetapi dia tidak memusuhi kita. Malah dia sanggup menolong kita memerangi askar-askar Roderick. Kita tidak boleh buruk sangka kepadanya. Kita mesti bersikap baik terhadapnya,” kata Tariq bin Ziyad.

“ Kita suruh dia masuk Islam. Kalau tak mahu kita bunuh,” kata panglima Amir pula.

“ Apakah Islam menyuruh kita buat begitu?” tanya Tariq bin Ziyad. Kemudian katanya lagi.

“ Rakyat negara ini sedang memerhati dan menilai kita. Kalau kita buat kesilapan mereka tidak yakin lagi dengan kita. Sebagai contoh, kalau kita bunuh Julian, para penyokongnya akan mengatakan kita tidak boleh dipercayai kerana sanggup membunuh orang yang membantu kita mengalahkan Roderick.”

(KISAH PAHLAWAN-PAHLAWAN ISLAM INI AKAN DITERBITKAN OLEH PTS PUBLICATIONS & DISTRIBUTORS SDN BHD)

Ahad, Ogos 21, 2005

BENGKEL PTS


Semalam (20/8) saya ke Hulu Klang menghadiri bengkel penulisan yang dianjurkan oleh PTS. Pesertanya terdiri dari mereka yang berminat menulis untuk penerbitan tersebut.

Peserta bengkel dibimbing oleh Puan Ainon Mohd. Antara lain Puan Ainon menerangkan betapa mustahaknya penulis memahami apa itu hak cipta dan apa itu hak penerbitan.

Selain itu penulis juga mesti memahami kepentingan karya yang menjadi harta intelek mereka.

Kata Puan Ainon, PTS Cuma mengambil hak penerbitan sahaja. Ini berbeza dengan penerbit lain yang mengambil hak cipta.

Dalam menghasilkan karya, Puan Ainon menyarankan agar penulis menjadikan surah Yusof sebagai panduan.

Kemudian para peserta dibahagikan kepada 3 kumpulan dengan 3 orang mentor.

Kami tidak lagi berbincang mengenai teknik, tema atau sebagainya tetapi terus kepada, apa tajuk buku yang saya nak tulis.

Kemudian kami sama-sama berbincang serta memberi idea bagaimana untuk menghasilkannya.

Khamis, Ogos 18, 2005

TARIQ BIN ZIYAD

BAB:2
Julian dan rombongannya dibawa ke sebuah tempat penginapan. Di situ mereka berehat sementara menunggu Musa bin Nusair selesai bermesyuarat.

“ Biarkan aku bersendirian. Aku perlukan ketenangan,” kata Julian sambil menyuruh pembantunya keluar dari bilik itu.

Julian mengelamun. Tiba-tiba terbayang wajah Florinda, anak gadis kesayangannya yang sedang meningkat remaja. Tetapi kini permata hatinya itu sudah tiada. Kenangan itu menguasai fikirannya.

“ Wahai anakda kesayangan ayahda. Demi keselamatanmu, jangan selalu keluar rumah”

“ Kenapa ayahda?”

“ Anakda seorang gadis yang cantik jelita. Ramai yang memuji kecantikanmu. Ayahda bimbang…”

“ Janganlah risau ayahda. Julius akan mengahwini anakda tak lama lagi.”

“ Itulah yang ayahda bimbangkan.”

“ Ayahda tak suka kepada Julius?. Bukankah dia seorang pemuda yang tampan?. Keluarganya berpangkat seperti kita juga. Dia seorang peniaga yang kaya.”

“ Ayahda bukan bimbangkan Julius. Tetapi ayahda bimbang si tua laknat itu.”

“ Si tua laknat?. Siapa yang ayahda maksudkan?”

“ Raja Roderick . Dia lelaki bernafsu binatang. Sudah ramai gadis-gadis jelita yang menjadi mangsa kerakusan nafsunya. Ayahda bimbang anakda pula menjadi mangsa.”

“ Jangan bimbang ayahda. Pandailah anakda menjaga diri. Si kejam itu tak tahu kewujudan anakda di muka bumi ini.”

“ Ramai talibarut Roderick berkeliaran di merata tempat. Ayahda bimbang ada yang melaporkan mengenai kecantikan anakda kepada baginda.”

“ Benarkah ayahda?. Anakda sudah berasa takut. Apa yang harus anakda lakukan?”

“ Jangan keluar rumah sebab askar-askar Roderick berkeliaran di mana-mana. Kalau mereka ternampak gadis yang jelita akan diculiknya untuk dipersembahkan kepada si tua laknat itu.”

“ Baiklah, ayahda.”

Tiba-tiba kedengaran bunyi pintu rumah mereka diketuk dari luar. Wajah Florinda pucat.

“ Mungkin itu askar-askar Roderick…” Florinda menangis.

“ Anakda pergi bersembunyi dalam bilik. Jangan buka pintu walau apapun yang terjadi.”

“ Baiklah, ayahda.”

Florinda bergegas masuk ke dalam bilik tidurnya. Julian membuka pintu rumahnya. Kelihatan tentera raja Roderick berdiri di muka pintu.

“ Wahai tuan gebenor. Kami datang atas perintah di raja,” kata seorang tentera yang berdiri paling hampir dengan Julian.

“ Apakah tuanku menjemput kami bermesyuarat?” tanya Julian.

“ Tuanku Raja Roderick mendapat tahu di rumah tuan Gabenor ada seorang gadis yang cantik jelita. Tuanku berkenan menjemputnya ke istana,” jawab tentera itu.

“ Dia satu-satunya anak kesayangan kami. Tuanku tak sepatutnya melukakan hati kami.

Tambahan pula aku gabenor di Ceuta ini.”

Askar itu mengeluarkan uncang emas lalu menunjukkan kepada Julian. “ Tuanku menyuruh hamba menyerahkan syiling emas ini sebagai ganjarannya.”

Julian rasa terhina. “ Kamu berambus dari rumah aku. Keluar!” jeritnya.

Tetapi askar-askar itu tidak mempedulikan arahan Julian. Mereka menyerbu masuk ke dalam rumah.

“ Ikat tuan Gabenor. Cari anak gadisnya sampai dapat,” ketua askar itu memberi arahan kepada anak-anak buahnya.

Tiga orang askar menerpa ke arah Julian lalu mengikatnya. Beberapa orang lagi menuju ke bilik Florinda. Mereka mengetuk pintu bilik itu dengan kuat.

“ Kami kira sampai tiga. Kalau tak buka kami pecahkan pintu ini!” jerit ketua askar itu.

Apabila pintu tidak dibuka maka dipecahkan. Askar-askar itu menyerbu masuk lalu mengheret Florinda keluar dari biliknya.

“ Ayah!. Tolong lepaskan anakda,” jerit Florinda.

“ Bunuhlah aku tapi jangan apa-apakan anak aku,” rayu Julian.

Tetapi askar-askar itu tidak mempedulikannya. Mereka menangkap Florinda untuk dihadiahkan kepada Raja Roderick.

Pagi esoknya Florinda baru dihantar pulang ke rumah. Matanya bengkak kerana menangis. Pakaiannya koyak rabak dan badannya lebam-lebam. Terdapat tompokan darah pada kain yang dipakainya.

“ Apa yang telah dilakukan oleh raja laknat itu terhadap anakda?” tanya ibu Florinda.
Florinda tidak menjawab. Dia menekup muka dengan kedua tapak tangannya. Si Ibu menyingkap kain yang di pakai oleh Florinda.

“ Oh Tuhan…” jeritnya lalu pengsan.

Florinda mendakap ibunya sambil menangis. “ Hidup anakda tidak bermakna lagi. Lebih baik mereka bunuh anakda!” jerit Florinda.

Julius masuk lalu mendapatkan Florinda. “ Apa yang telah dilakukan oleh raja laknat itu wahai kekasihku?”

“ Aku telah diperkosa. Aku tidak layak lagi menjadi isterimu,” tangis Florinda lalu segera masuk ke dalam biliknya.

Tidak lama kemudian kedengaran bunyi yang aneh dari bilik Florinda. Julian dan Julius menerpa masuk. Florinda menggantung dirinya kerana berasa malu yang amat sangat.

“ Oh anakku. Bala apakah yang menimpa kita?” pekik Julian sambil mendakap anaknya.

“ Pak Cik, kenapa Roderick begitu kejam?. Kita tak boleh berdiam diri. Kita mesti bertindak!”.

“ Pak Cik bersumpah akan membalas dendam!” kata Julian dengan perasaan dendam.

“ Pak Cik carilah sesiapa yang boleh membunuh Roderick. Saya akan tanggung semua perbelanjaannya,” kata Julius sambil mendakap mayat kekasihnya.

Rabu, Ogos 17, 2005

MASUK KEM KHIDMAT NEGARA

Malam tadi (16/8) bertempat di Kem Rachado Bay Tanjung Tuan Port Dickson telah berlansung MALAM CITRA PUISI sempena Program Penghayatan Sastera Dan Budaya Anjuran Dewan Bahasa Dan Pustaka & Jabatan Latihan Khidmat Negara.

Sempena majlis itu diadakan Persembahan program penghayatan sastera dan budaya oleh para pelatih di kem tersebut dan persembahan mereka telah dipertandingkan.

Seronok juga melihat Wira dan Wirawati Melayu, Cina dan India membaca puisi, menari tarian melayu dan menyanyikan lagu tradisional melayu.

Turut hadir di majlis itu Timbalan Komandan (Latihan) Mej (B) Rajasaikaran A/L Naguran, Ketua Fasilitator Muhammad Yunus bin Ibrahim dan tenaga-tenaga perngajar.

Saya turut dijemput naik ke pentas. Puan Nisah Haron, Fasilitator Program Penghayatan Sastera Dan Budaya di kem tersebut memperkenalkan saya sebagai salah seorang tokoh Sasterawan di Negeri Sembilan.

Saya sempat menceritakan secara rengkas penglibatan saya di bidang penulisan dan turut membacakan puisi NEGERI BERADAT INI yang memenangi Sayembara Puisi Negeri Sembilan.

Majlis tamat jam 11.30 malam. Pihak penganjur mempelawa jika saya hendak bermalam di kem tersebut. Tetapi saya lebih suka pulang dan sampai ke rumah jam 2.30 pagi.

Selasa, Ogos 16, 2005

PAHLAWAN LIDAH API

TARIQ BIN ZIYAD

BAB: SATU

Sejak Islam memerintah Afrika Utara keadilan berjaya ditegakkan. Rakyat hidup aman damai. Musa bin Nusair dilantik menjadi wakil Khalifah Islam di Afrika dan beliau berjaya memperkenalkan pemerintahan Islam. Pada suatu hari selesai baginda bermesyuarat dengan para pegawainya datang mengadap satu rombongan.

“ Kami datang dari Sepanyol. Nama saya Julian, Gabenor Ceuta,” kata ketua rombongan itu.

“ Alhamdulillah, kami mengalukan kedatangan kalian,” ucap Musa bin Nusair sambil bersalaman dengan tetamunya.

“ Kalian tentu dahaga. Sebentar lagi minuman akan dihidangkan,” kata Musa bin Nusair sambil memberi isyarat kepada pelayan supaya menghidangkan minuman.

“ Terima kasih kerana tuan sudi menyambut kedatangan kami dengan baik,” Julian gembira dengan layanan mesra yang diterimanya.

“ Islam mengajar kami bersikap baik terhadap tertamu. Apatah lagi kalau datang dengan tujuan baik,”

“ Kami datang ingin menjalin persahabatan. Bukan permusuhan,” kata Julian.

“ Alhamdulillah,” ucap Musa bin Nusair. “ Islam mendidik kami supaya sukakan perdamaian. Kami tidak suka permusuhan.”

“ Keadilan pemerintahan Islam sampai beritanya kepada kami di Sepanyol. Kerana itu kami datang mengadap tuan,” kata Julian.

“ Apakah kalian utusan daripada Raja Roderick?” tanya Musa bin Nusair.

“ Tidak, tuan. Kami datang sendiri,” jawab Julian. Kemudian katanya lagi. “ Kami ada membawa hadiah untuk tuan. Sudilah menerimanya.”

Julian memberikan beberapa uncang yang berisi emas dan barang-barang yang berharga. “ Semuanya kami hadiahkan kepada tuan,” katanya.

Musa bin Nusair enggan menerimanya. “ Saya tak boleh menerima hadiah kerana dibayar gaji oleh pemerintah Islam di Baghdad.”

“ Kami rasa tersinggung kalau tuan menolaknya,” kata Julian pula.

“ Baiklah,” balas Musa bin Nusair. “ Semua hadiah ini akan saya masukkan ke baitulmal untuk dibahagikan kepada mereka yang memerlukan.”

Julian terharu mendengarnya. “ Tuan adalah pemerintah yang paling baik pernah kami temui,” puji Julian.

“ Islam yang mendidik kami,” balas Musa bin Nusair.

“ Sifat tuan berbeza dengan Roderick. Raja kami yang memerintah Sepanyol,” Julian meluahkan perasaannya.

“ Kenapa dengan raja kamu?” tanya Musa bin Nusair.

“ Baginda seorang yang zalim. Rakyat jelata dipaksa membayar cukai yang tinggi. Sesiapa yang enggan mengikut perintah dibunuhnya. Rakyat hidup dalam ketakutan,” jawab Julian berterus terang.

“ Benarkah apa yang kamu cakapkan atau sengaja hendak mempermainkan kami?” tanya Musa sambil meminta penjelasan.

“ Benar apa yang dikatakan oleh ketua kami,” jawab salah seorang pengiring Julian. “ Kami hidup dalam ketakutan. Harta kami dirampas. Nyawa kami sentiasa terancam oleh tentera Rodarick yang buas.”

“ Anak gadis saya diperkosa oleh raja Roderick yang zalim dan bernafsu binatang itu. Sebab itu kami datang ke sini,” kata Julian sambil menitiskan air matanya.

Musa bin Nusair berasa simpati. “ Kalau begitu kamu menetap saja di sini. Pemerintahan Islam akan menjamin keselamatan diri dan harta kamu,” katanya.

“ Terima kasih, wahai Tuan. Tetapi…” Julian kelihatan ragu-ragu.

“ Tetapi apa, wahai Julian. Katakanlah kami sedia mendengarnya,” kata Musa pula.

“ Kedatangan kami membawa hajat yang lebih besar dari itu,” jawab Julian.

“ Adakah kamu hendak memeluk agama Islam?. Kalau benar kami amat mengalu-alukannya,” Musa bin Nusair kelihatan gembira.

“ Melihat kebaikan budi bahasa dan layanan tuan kepada kami membuat saya mula tertarik dengan Islam. Tetapi berilah kami masa untuk memikirkannya,” kata Julian pula.

“ Tidak ada paksaan dalam Islam. Kalau kamu masuk Islam biarlah dengan kerelaan sendiri. Kami sedia membantunya,” kata Musa.

“ Kami ada hajat yang lebih besar dari itu. Sudilah tuan menolong kami. Hanya kepada tuan kami menaruh harapan,” rayu Julian.

“ Berterus teranglah, wahai sahabatku. Kami sedia menolongnya jika tidak bertentangan dengan ajaran agama kami,” kata Musa pula.

“ Tolong bebaskan kami dari kekejaman Raja Roderick. Kami tidak sanggup lagi menderita di bawah pemerintahannya. Kami merayu kepada Tuan. Tolonglah kami. Bebaskan rakyat Sepanyol dari raja yang zalim itu,” Julian bersujud seperti ingin menyembah kaki Musa bin Nusair agar memperkenankan permintaannya.

“ Wahai Tuan, sudilah menolong kami,” kata pembantu Julian pula.

“ Kami sanggup menyembah tuan asalkan mahu menolong kami,” kata Julian penuh harapan.

“ Agama kami melarang menyembah manusia. Hanya Allah yang berhak disembah,” tegas Musa.

“ Kami benar-benar memerlukan pertolongan tuan…” Julian terus merayu.

Musa bin Nusair kelihatan berfikir sebelum membuat keputusan. Dia seperti serba salah. “ Islam memang menyuruh kami menegakkan keadilan dan memerangi kezaliman. Tetapi…”

“ Tetapi apa, wahai tuan yang baik hati?” tanya Julian.

“ Untuk sampai ke Sepanyol kami terpaksa menyeberang lautan. Kami perlukan banyak kapal,” jawab Musa bin Nusair.

Muka Julian nampak gembira mendengarnya. “ Kami sanggup membantu. Kebetulan kami ada beberapa buah kapal. Tuan boleh gunakan kapal-kapal kami untuk membawa tentera Islam ke Sepanyol. Kami juga sanggup menjadi penunjuk jalan.”

“ Benarkah apa yang dikata, wahai Julian?” tanya Musa bin Nusair.

“ kami bersumpah, wahai Musa bin Nusair,” jawab Julian.

“ Kalian tak takut dianggap penghianat oleh Raja Roderick?. Kalau kalian ditangkap pasti dihukum mati,” tanya Musa sekadar menduga hati Julian.

“ Kami dah fikirkan perkara itu. Dan kami sedia menghadapi apa sahaja akibatnya,” jawab Julian. Kemudian katanya lagi.

“ Raja Roderick dari bangsa Gotik. Baginda dan orang-orangnya hidup mewah, berfoya-foya siang dan malam. Kami rakyat jelata ditindas. Kami hidup dalam kesengsaraan.”

“ Kami yakin Kedatangan Islam ke Sepanyol boleh membawa cahaya gemilang. Tuan memerintah Afrika dengan adil. Kami yakin tuan juga akan membawa keadilan ke Sepanyol apabila Raja Rodarick berjaya ditumbangkan,” kata pembantu Julian pula.

Musa bin Nusair tersenyum mendengarnya. “ Semoga hidayah sampai ke Sepanyol. InsyaAllah,” katanya.

“ Apakah itu maknanya tuan setuju membantu kami?” tanya Julian.

“ Kami akan bermesyuarat dulu sebelum membuat keputusan,” jawab Musa bin Nusair.

“ Tuan bermesyuaratlah. Izinkan kami keluar. Apa keputusannya nanti beritahu kami,” Julian dan rombongannya berjalan keluar.

CATATAN:
KISAH PAHLAWAN-PAHLAWAN ISLAM INI AKAN DITERBITKAN OLEH PTS PUBLICATIONS & DISTRIBUTORS SDN BHD.

Isnin, Ogos 15, 2005

PAHLAWAN LIDAH API

TARIQ BIN ZIYAD

Raja Roderick terkesima apabila menerima berita 12,000 tentera Islam yang dipimpin oleh Tariq bin Ziyad, keturunan Barbar, berjaya mendarat di Gibraltar.

Macam mana mereka boleh menyeberang selat Gibralta?. tanya baginda dengan wajah yang cemas.

Julian Gabenor Ceuta berpaling tadah. Dia yang membantu tentera Islam mendarat, jawab Goted, ketua panglima perang Raja Roderick.

Beta mahu penghianat itu dipancung! titah baginda.

Julian dan orang-orangnya telah bergabung dengan tentera Islam. Mereka sedang bersiap untuk menyerang kita, ujar Goted dengan suara terketar-ketar. Dia bimbang dihukum pancung oleh raja yang kejam itu.

Raja Roderick berasa gerun mendengarnya . Tambahan pula telah sampai perkabaran kepadanya bahawa tentera Islam gagah perkasa. Mereka lebih rela mati daripada menyerah kalah. Baginda segera memerintahkan 25,000 tentera elitnya untuk menggempur tentera Islam.

Beta mahu mereka dihapuskan. Pastikan Julian dan Tariq bin Ziyad ditangkap atau dibunuh. Beta nak lihat kepala mereka, titah baginda.

Tentera elit Raja Roderick yang lengkap dengan senjata dan baju besi itupun mara ke arah tentera Islam yang sedang berkumpul di tepi pantai. Tidak lama kemudian berlakulah pertempuran sengit antara kedua belah pihak. Di bawah kelemayar terik mentari bulan Mei yang memijar itu, pahlawan-pahlawan Islam yang ingin menyebarkan syariat Allah bagaikan singa lapar menangkis serangan tentera Raja Roderick yang buas itu.

Bunuh mereka!. Jangan biarkan seorang pun hidup! titah Raja Roderick kepada tentera-tenteranya.

Allahu Akbar! tempek Tariq bin Ziyad pula.

Tentera Islam yang hanya bersenjatakan pedang, tombak dan anak panah berdepan dengan tentera elit Raja Roderick yang menaiki kuda dan lengkap memakai baju besi.

Angin bertiup kencang menerbangkan debu-debu yang diinjak oleh tapak-tapak kaki perkasa. Camar melayah tinggi gerun menyaksikan gemercingan mata pedang dan tempek sorak tentera-tentera yang kehausan darah itu. Tentera Islam yang masih keletihan kerana perjalanan yang jauh itu agak kucar kacir pertahanannya akibat digempur musuh. Mujur malam telah melabuhkan tirainya. Raja Roderick memerintahkan tenteranya pulang ke pengkalan.

Pagi esok, sebelum matahari terbit kita gempur mereka habis-habisan. Kamu pulanglah dulu berehat dan sediakan kelengkapan yang mencukupi, titah baginda.

Tariq bin Ziyad segera mengatur strategi. Dia sedar kalau kelemahan anak-anak buahnya tidak diatasi segera maka tentera Islam akan mengalami kekalahan. Tariq bin Ziyad mencari jalan untuk meniupkan semangat jihad.

Bakar semua kapal kita! dia mengeluarkan perintah kepada para pembantunya.

Ulang sekali lagi, panglima! mereka seperti tidak percaya dengan arahan tersebut.

Saya perintahkan kamu membakar semua kapal kita! ulang panglima Tariq bin Ziyad.

Tidakkah itu akan membahayakan kita?. Kalau kalah bagaimana kita hendak belayar pulang? tanya salah seorang daripada mereka.

Lupakan untuk pulang. Kita datang untuk mati syahid! jawab Tariq bin Ziyad.

Maka arahan itu segera dipatuhi. Dalam sekelip mata api marak membakar kapal dan semua peralatannya. Kemudian Tariq bin Ziyad mengarahkan tentera-tentera Islam berkumpul dan dia berdiri di puncak Gibralta. Kemudian dia berpidato.

Wahai saudara-saudaraku, di belakang kita laut, di depan kita musuh. Kita tidak boleh melarikan diri. Demi Allah, kita datang ke sini untuk syahid atau mencapai kemenangan.

Demi Allah, kalau kita berundur, lautan akan menenggelamkan kita. Kalau kita mara musuh sedang menanti. Kita tak memiliki apa-apa selain senjata di tangan. Seandainya kita tewas nama baik kita akan tercemar, Allah akan mencabut rasa gementar di hati musuh dan mereka akan berani terhadap kita. Sebaliknya Allah akan mencabut rasa berani di hati kita bertukar rasa takut terhadap musuh. Oleh kerana itu, pertahankan jiwa kalian.

InsyaAllah akan diterbitkan oleh PTS.Publications & Distributors.

Ahad, Ogos 14, 2005

INI BLOG SAYA


aj: kenapa mesti berpantun begini? mestikah bergurau begini? saya sungguh tidak faham pak latip. minta terangkan kepada saya.

Terlebih dulu saya mengucapkan terima kasih kepada aj (abdullahjones) seorang pelukis dan penyair melayu yang pernah bermustautin di Amerika, kerana sudi membaca dan merespon pantun di blog saya yang tak seberapa ini.

Sebenarnya sebelum saya menyiarkan berbalas pantun malam jumaat itu saya sudah terfikir mungkin ada yang kurang senang membacanya. Kerana itu saya tidak terkejut bila membaca komen dari pembaca.

Saya akui pendapat yang mengatakan apa yang ditulis oleh penulis melalui blognya akan menggambarkan keperibadian penulis tersebut. Pada blog ini saya ada siarkan kisah agama, cerita nabi, cerita jenaka, kisah masyarakat dan pengalaman sendiri termasuk pantun malam jumaat.

Saya, zino, zareda, melor, ungku nor, dan lain-lain tidak pernah merancang untuk berpantun pada setiap malam jumaat. Walaupun kami pernah berpantun tetapi ia terjadi secara kebetulan saja . Ianya tidak pernah dirancang. Tujuan kami Cuma untuk bergurau senda sahaja.

Mungkin AJ persoalkan haruskah malam jumaat dipantunkan?.

Kalau kita baca pantun-pantun tersebut temanya ada kaitan dengan hubungan suami isteri (bukan orang lain) pada malam jumaat. Tetapi ia dipersembahkan secara lawak jenaka yang terkawal. Pada saya pantun itu tidak lucah dan tidak mengaibkan penulisnya. Apakah salah dipantunkan sekadar untuk mengingati malam itu malam jumaat?

Semua sudah maklum antara amalan sunat pada malam jumaat ialah hubungan intim (jimak) suami isteri. Namun ada juga kisah-kisah lucu yang terjadi pada malam jumaat.

Mungkin timbul persoalan kenapa dikaitkan dengan tongkat ali dan madu lebah?. Mungkin ada yang kurang senang membacanya.

Ada satu riwayat yang menceritakan begini, apabila Nabi Muhammad saw ke rumah isteri baginda yang bernama Hafsah, pada malam tersebut Hafsah menyediakan segelas madu lebah untuk diminum oleh baginda. Kalau nabi ceritakan baginda minum madu lebah sebelum bersama Hafsah apakah kita tak boleh ceritakan minum madu lebah dan tongkat ali pada malam Jumaat?.

Mungkin abdullahjones kurang senang dengan pantun berikut:

tak sabar rasanya menikmati juadah
perut lapar tambah geram
tongkat ali sudah madu lebah sudah
tetiba isteri pulak meragam...

Pantun ini mengisahkan suami isteri yang sudah veteran. Ada bermacam kisah yang mencuit hati. Apakah tidak boleh saya sampaikan dalam bentuk pantun?.
Tujuannya? Sekadar bergurau dengan kawan-kawan yang sudi bergurau.

Apakah pantun itu boleh mengaibkan penulisnya?.

Cuba baca kisah berikut:

1.Seorang lelaki pernah bertanya kepada Rasulullah saw, berapa kalikah seeloknya dia berjimak dengan isterinya dalam seminggu. Jawab baginda, empat hari sekali. Lelaki itu berkata, tidak tahan, baginda menjawab tiga hari sekali, lelaki itu masih menjawab, tak tahan, akhirnya baginda menjawab, terserahkan kepada kamu.

Apakah pengakuan lelaki itu mengaibkan?.

2. Saidina Ali pernah bertanya Rasulullah saw, aku seorang lelaki yang kuat shahwat, setiap kali melihat wanita cantik air maziku meleleh (keras le tu) apakah aku perlu mandi wajib?. Rasullulah saw menjawab tak perlu mandi wajib memadai mencuci air mazi itu saja.

Apakah pengakuan Saidina Ali mengaibkan?

Aishah isteri Rasulullah saw pernah berkata, kalau tidak kerana malu aku ingin memeluk semua lelaki yang tampan.

Apakah pengakuan Saidina Aishah itu mengaibkan?

Mungkin aj memandang sinis pada saya. Tak kisahlah. Janji kawan-kawan saya senang hati membacanya.

Ini blog saya….


Jumaat, Ogos 12, 2005

BERBALAS PANTUN MALAM JUMAAT

Pantun ini saya kutip dari blog zino tanpa kebenaran. Harap maaf. Sekadar senda gurauan sahaja.

zino: cabut ubi buek pongat
duduk tersandar di atas poti
bila kamis jo latip bersemangat
maklum le agenda sedang menanti hehehe

latip: zino
campur halwa dalam pengat
buat juadah berbuka puasa
ambillah berkat malam jumaat
mengerat kasih dapat pahala hehe

melor: pantun tuk paklatip kita :
anak itik memerah keringat
keringat habis bertimba2
mlm ni mlm jumaat
tongkat ali jangan dilupa

latip: melor
kalau melor memasak pengat
jangan lupa gula melaka
bila tiba malam jumaat
isteri mengadu sakit kepala..( haha kasihan...)

zino: melor;
itik melor berlari lari
leteh berlari badan pun lemah
cik abang cari tongkat ali
cik adik dengan kacip patimah haha..

zareda: pak latip,
Buah kedondong dalam peti
dikunci dengan besi mersani
bukan main ceria dihati
apa agenda pak latip hari ni?

latip: zareda,
tak sabar rasanya menikmati juadah
perut lapar tambah geram
tongkat ali sudah madu lebah sudah
tetiba isteri pulak meragam..hoho.

zino: latip;
singgah sebentar di simpang renggam
pakai baju berkain labuh
bila isteri tetiba meragam
pi tengok astro sampai ke subuh hehe..

Isnin, Ogos 08, 2005

PENULIS TAK BOLEH KAYA?


Semalam saya bertemu dengan kawan-kawan yang juga penulis. Si A seorang cerpenis, si B seorang penyair dan si C seorang novelis.

Kata si A, di barat ada penulis yang menulis sebuah novel boleh menjadi jutawan kerana pasaran novelnya di seluruh dunia. Tetapi di negara kita ada penulis yang dah tulis 10 buah novel tapi masih tak kaya kerana pasarannya hanya dalam negara sahaja. Orang ramai pula tak minat membaca novel.

Kata si B, menjadi cerpenis tak boleh kaya. Sebuah cerpen yang tersiar di surat khabar dibayar kira-kira RM100.00. katalah dalam sebulan mampu tulis 10 buah cerpen baru dapat RM1,000.00. Masalahnya bukan senang nak mendapat tempat dalam surat khabar. Dan surat khabar yang sama tak akan menyiarkan cerpen dari penulis yang sama pada setiap minggu.

Kata si C, menjadi penyair pun tak boleh kaya kerana sebuah sajak yang tersiar di surat khabar dibayar kira-kira RM30.00. kalau dalam sebulan tulis 10 buah sajak baru dapat RM300.00. itupun kalau 10 buah sajak itu tersiar.

Benarkah penulis di negara kita tak boleh kaya?.

Kalau buku penulis itu menjadi bahan bacaan pelajar (KOMSAS) baru boleh kaya. Ada penulis yang mendapat ratusan ribu ringgit dari bukunya. Tetapi hanya beberapa buah buku sahaja yang terpilih.

Menurut puan Ainon Mohd penerbit PTS Publications & Distributors dalam ceramahnya di Seremban baru-baru ini, penulis boleh bergantung hidup dari royalti bukunya kalau pandai menguruskan harta inteleknya.

Kata puan Ainon, Kaji selidik dulu sesuatu penerbit sebelum menyerahkan manuskrip. Tanya dulu kawan-kawan penulis mengenai pengalamannya dengan penerbit tersebut. Hasilkan karya yang jangka hayatnya panjang. Dan akhir sekali teliti dulu syarat perjanjian dengan penerbit sebelum menurunkan tanda tangan.