PAHLAWAN LIDAH API
TARIQ BIN ZIYAD
BAB: SATU
Sejak Islam memerintah Afrika Utara keadilan berjaya ditegakkan. Rakyat hidup aman damai. Musa bin Nusair dilantik menjadi wakil Khalifah Islam di Afrika dan beliau berjaya memperkenalkan pemerintahan Islam. Pada suatu hari selesai baginda bermesyuarat dengan para pegawainya datang mengadap satu rombongan.
“ Kami datang dari Sepanyol. Nama saya Julian, Gabenor Ceuta,” kata ketua rombongan itu.
“ Alhamdulillah, kami mengalukan kedatangan kalian,” ucap Musa bin Nusair sambil bersalaman dengan tetamunya.
“ Kalian tentu dahaga. Sebentar lagi minuman akan dihidangkan,” kata Musa bin Nusair sambil memberi isyarat kepada pelayan supaya menghidangkan minuman.
“ Terima kasih kerana tuan sudi menyambut kedatangan kami dengan baik,” Julian gembira dengan layanan mesra yang diterimanya.
“ Islam mengajar kami bersikap baik terhadap tertamu. Apatah lagi kalau datang dengan tujuan baik,”
“ Kami datang ingin menjalin persahabatan. Bukan permusuhan,” kata Julian.
“ Alhamdulillah,” ucap Musa bin Nusair. “ Islam mendidik kami supaya sukakan perdamaian. Kami tidak suka permusuhan.”
“ Keadilan pemerintahan Islam sampai beritanya kepada kami di Sepanyol. Kerana itu kami datang mengadap tuan,” kata Julian.
“ Apakah kalian utusan daripada Raja Roderick?” tanya Musa bin Nusair.
“ Tidak, tuan. Kami datang sendiri,” jawab Julian. Kemudian katanya lagi. “ Kami ada membawa hadiah untuk tuan. Sudilah menerimanya.”
Julian memberikan beberapa uncang yang berisi emas dan barang-barang yang berharga. “ Semuanya kami hadiahkan kepada tuan,” katanya.
Musa bin Nusair enggan menerimanya. “ Saya tak boleh menerima hadiah kerana dibayar gaji oleh pemerintah Islam di Baghdad.”
“ Kami rasa tersinggung kalau tuan menolaknya,” kata Julian pula.
“ Baiklah,” balas Musa bin Nusair. “ Semua hadiah ini akan saya masukkan ke baitulmal untuk dibahagikan kepada mereka yang memerlukan.”
Julian terharu mendengarnya. “ Tuan adalah pemerintah yang paling baik pernah kami temui,” puji Julian.
“ Islam yang mendidik kami,” balas Musa bin Nusair.
“ Sifat tuan berbeza dengan Roderick. Raja kami yang memerintah Sepanyol,” Julian meluahkan perasaannya.
“ Kenapa dengan raja kamu?” tanya Musa bin Nusair.
“ Baginda seorang yang zalim. Rakyat jelata dipaksa membayar cukai yang tinggi. Sesiapa yang enggan mengikut perintah dibunuhnya. Rakyat hidup dalam ketakutan,” jawab Julian berterus terang.
“ Benarkah apa yang kamu cakapkan atau sengaja hendak mempermainkan kami?” tanya Musa sambil meminta penjelasan.
“ Benar apa yang dikatakan oleh ketua kami,” jawab salah seorang pengiring Julian. “ Kami hidup dalam ketakutan. Harta kami dirampas. Nyawa kami sentiasa terancam oleh tentera Rodarick yang buas.”
“ Anak gadis saya diperkosa oleh raja Roderick yang zalim dan bernafsu binatang itu. Sebab itu kami datang ke sini,” kata Julian sambil menitiskan air matanya.
Musa bin Nusair berasa simpati. “ Kalau begitu kamu menetap saja di sini. Pemerintahan Islam akan menjamin keselamatan diri dan harta kamu,” katanya.
“ Terima kasih, wahai Tuan. Tetapi…” Julian kelihatan ragu-ragu.
“ Tetapi apa, wahai Julian. Katakanlah kami sedia mendengarnya,” kata Musa pula.
“ Kedatangan kami membawa hajat yang lebih besar dari itu,” jawab Julian.
“ Adakah kamu hendak memeluk agama Islam?. Kalau benar kami amat mengalu-alukannya,” Musa bin Nusair kelihatan gembira.
“ Melihat kebaikan budi bahasa dan layanan tuan kepada kami membuat saya mula tertarik dengan Islam. Tetapi berilah kami masa untuk memikirkannya,” kata Julian pula.
“ Tidak ada paksaan dalam Islam. Kalau kamu masuk Islam biarlah dengan kerelaan sendiri. Kami sedia membantunya,” kata Musa.
“ Kami ada hajat yang lebih besar dari itu. Sudilah tuan menolong kami. Hanya kepada tuan kami menaruh harapan,” rayu Julian.
“ Berterus teranglah, wahai sahabatku. Kami sedia menolongnya jika tidak bertentangan dengan ajaran agama kami,” kata Musa pula.
“ Tolong bebaskan kami dari kekejaman Raja Roderick. Kami tidak sanggup lagi menderita di bawah pemerintahannya. Kami merayu kepada Tuan. Tolonglah kami. Bebaskan rakyat Sepanyol dari raja yang zalim itu,” Julian bersujud seperti ingin menyembah kaki Musa bin Nusair agar memperkenankan permintaannya.
“ Wahai Tuan, sudilah menolong kami,” kata pembantu Julian pula.
“ Kami sanggup menyembah tuan asalkan mahu menolong kami,” kata Julian penuh harapan.
“ Agama kami melarang menyembah manusia. Hanya Allah yang berhak disembah,” tegas Musa.
“ Kami benar-benar memerlukan pertolongan tuan…” Julian terus merayu.
Musa bin Nusair kelihatan berfikir sebelum membuat keputusan. Dia seperti serba salah. “ Islam memang menyuruh kami menegakkan keadilan dan memerangi kezaliman. Tetapi…”
“ Tetapi apa, wahai tuan yang baik hati?” tanya Julian.
“ Untuk sampai ke Sepanyol kami terpaksa menyeberang lautan. Kami perlukan banyak kapal,” jawab Musa bin Nusair.
Muka Julian nampak gembira mendengarnya. “ Kami sanggup membantu. Kebetulan kami ada beberapa buah kapal. Tuan boleh gunakan kapal-kapal kami untuk membawa tentera Islam ke Sepanyol. Kami juga sanggup menjadi penunjuk jalan.”
“ Benarkah apa yang dikata, wahai Julian?” tanya Musa bin Nusair.
“ kami bersumpah, wahai Musa bin Nusair,” jawab Julian.
“ Kalian tak takut dianggap penghianat oleh Raja Roderick?. Kalau kalian ditangkap pasti dihukum mati,” tanya Musa sekadar menduga hati Julian.
“ Kami dah fikirkan perkara itu. Dan kami sedia menghadapi apa sahaja akibatnya,” jawab Julian. Kemudian katanya lagi.
“ Raja Roderick dari bangsa Gotik. Baginda dan orang-orangnya hidup mewah, berfoya-foya siang dan malam. Kami rakyat jelata ditindas. Kami hidup dalam kesengsaraan.”
“ Kami yakin Kedatangan Islam ke Sepanyol boleh membawa cahaya gemilang. Tuan memerintah Afrika dengan adil. Kami yakin tuan juga akan membawa keadilan ke Sepanyol apabila Raja Rodarick berjaya ditumbangkan,” kata pembantu Julian pula.
Musa bin Nusair tersenyum mendengarnya. “ Semoga hidayah sampai ke Sepanyol. InsyaAllah,” katanya.
“ Apakah itu maknanya tuan setuju membantu kami?” tanya Julian.
“ Kami akan bermesyuarat dulu sebelum membuat keputusan,” jawab Musa bin Nusair.
“ Tuan bermesyuaratlah. Izinkan kami keluar. Apa keputusannya nanti beritahu kami,” Julian dan rombongannya berjalan keluar.
CATATAN:
KISAH PAHLAWAN-PAHLAWAN ISLAM INI AKAN DITERBITKAN OLEH PTS PUBLICATIONS & DISTRIBUTORS SDN BHD.
0 ulasan:
Catat Ulasan