PERANG UHUD
Antara peperangan yang terhebat di zaman Rasullullah SAW ialah peperangan Uhud. Dalam peperangan tersebut Nabi sendiri yang memimpin pasukan tentera Islam bagi menghadapi tentera Quraisy. Jumlah tentera Islam cuma 700 orang berbanding tentera musuh seramai 3,000 orang. Dan mereka bertemu di bukit Uhud.
Uhud adalah suatu kawasan yang besar, empat batu ke utara Madinah dan tingginya mencecah 1,000 kaki dari tanah rata di sekitarnya. Keseluruhan kawasan ini menganjur 5 batu panjangnya. Di sebelah barat Uhud, terdapat persimpangan yang menurun dan curam, dan di kanan persimpangan tersebut, seperti yang dapat dilihat dari Madinah, sebuah lembah yang landai dan semakin mengecil di hujungnya lebih kurang 1,000 ela dari kaki persimpangan yang curam tadi. Di belakang hujung lembah yang sempit itu merupakan jalan mati kerana di situ titik bertemunya antara dua rabung yang tinggi. Di pintu masuk lembah itulah Rasulullah menempatkan tenteranya. Baginda membelakangi bahagian lembah yang meninggi itu.
Rasulullah mengatur tentera Islam dengan formasi yang rapat 1,000 ela ke hadapan. Kemudian baginda meletakkan barisan sayap kanannya di kaki persimpangan yang curam dan sayap kirinya di kaki bukit yang agak rendah, lebih kurang 40 kaki tinggi dan 500 kaki panjang, dipanggil Ainain. Tentera di kanan dalam posisi yang selamat namun yang di sebelah kiri berkemungkinan diserang dari belakang Ainain; untuk mengelakkan bahaya, Rasulullah meletakkan 50 pemanah, yang dapat memberi amaran sekiranya tentera Quraisy berpusing dan menyerang dari arah belakang.
Pasukan pemanah ini yang diketuai oleh Abdullah bin Jubair, diberi arahan oleh Rasulullah; “Gunakan anak panahmu untuk tentera musuh. Pastikan mereka tidak menyerang kami dari belakang. Selagi kamu tidak meninggalkan posisi kamu, belakang kami akan selamat. Tidak seorangpun dibenarkan untuk meninggalkan tempat ini. Jika kamu melihat kami mendapat kemenangan, jangan sertai kami; jika kamu melihat kami menerima kekalahan, jangan turun untuk membantu kami.”
bersambung....
0 ulasan:
Catat Ulasan