TARIQ BIN ZIYAD
BAB:2
Julian dan rombongannya dibawa ke sebuah tempat penginapan. Di situ mereka berehat sementara menunggu Musa bin Nusair selesai bermesyuarat.
“ Biarkan aku bersendirian. Aku perlukan ketenangan,” kata Julian sambil menyuruh pembantunya keluar dari bilik itu.
Julian mengelamun. Tiba-tiba terbayang wajah Florinda, anak gadis kesayangannya yang sedang meningkat remaja. Tetapi kini permata hatinya itu sudah tiada. Kenangan itu menguasai fikirannya.
“ Wahai anakda kesayangan ayahda. Demi keselamatanmu, jangan selalu keluar rumah”
“ Kenapa ayahda?”
“ Anakda seorang gadis yang cantik jelita. Ramai yang memuji kecantikanmu. Ayahda bimbang…”
“ Janganlah risau ayahda. Julius akan mengahwini anakda tak lama lagi.”
“ Itulah yang ayahda bimbangkan.”
“ Ayahda tak suka kepada Julius?. Bukankah dia seorang pemuda yang tampan?. Keluarganya berpangkat seperti kita juga. Dia seorang peniaga yang kaya.”
“ Ayahda bukan bimbangkan Julius. Tetapi ayahda bimbang si tua laknat itu.”
“ Si tua laknat?. Siapa yang ayahda maksudkan?”
“ Raja Roderick . Dia lelaki bernafsu binatang. Sudah ramai gadis-gadis jelita yang menjadi mangsa kerakusan nafsunya. Ayahda bimbang anakda pula menjadi mangsa.”
“ Jangan bimbang ayahda. Pandailah anakda menjaga diri. Si kejam itu tak tahu kewujudan anakda di muka bumi ini.”
“ Ramai talibarut Roderick berkeliaran di merata tempat. Ayahda bimbang ada yang melaporkan mengenai kecantikan anakda kepada baginda.”
“ Benarkah ayahda?. Anakda sudah berasa takut. Apa yang harus anakda lakukan?”
“ Jangan keluar rumah sebab askar-askar Roderick berkeliaran di mana-mana. Kalau mereka ternampak gadis yang jelita akan diculiknya untuk dipersembahkan kepada si tua laknat itu.”
“ Baiklah, ayahda.”
Tiba-tiba kedengaran bunyi pintu rumah mereka diketuk dari luar. Wajah Florinda pucat.
“ Mungkin itu askar-askar Roderick…” Florinda menangis.
“ Anakda pergi bersembunyi dalam bilik. Jangan buka pintu walau apapun yang terjadi.”
“ Baiklah, ayahda.”
Florinda bergegas masuk ke dalam bilik tidurnya. Julian membuka pintu rumahnya. Kelihatan tentera raja Roderick berdiri di muka pintu.
“ Wahai tuan gebenor. Kami datang atas perintah di raja,” kata seorang tentera yang berdiri paling hampir dengan Julian.
“ Apakah tuanku menjemput kami bermesyuarat?” tanya Julian.
“ Tuanku Raja Roderick mendapat tahu di rumah tuan Gabenor ada seorang gadis yang cantik jelita. Tuanku berkenan menjemputnya ke istana,” jawab tentera itu.
“ Dia satu-satunya anak kesayangan kami. Tuanku tak sepatutnya melukakan hati kami.
Tambahan pula aku gabenor di Ceuta ini.”
Askar itu mengeluarkan uncang emas lalu menunjukkan kepada Julian. “ Tuanku menyuruh hamba menyerahkan syiling emas ini sebagai ganjarannya.”
Julian rasa terhina. “ Kamu berambus dari rumah aku. Keluar!” jeritnya.
Tetapi askar-askar itu tidak mempedulikan arahan Julian. Mereka menyerbu masuk ke dalam rumah.
“ Ikat tuan Gabenor. Cari anak gadisnya sampai dapat,” ketua askar itu memberi arahan kepada anak-anak buahnya.
Tiga orang askar menerpa ke arah Julian lalu mengikatnya. Beberapa orang lagi menuju ke bilik Florinda. Mereka mengetuk pintu bilik itu dengan kuat.
“ Kami kira sampai tiga. Kalau tak buka kami pecahkan pintu ini!” jerit ketua askar itu.
Apabila pintu tidak dibuka maka dipecahkan. Askar-askar itu menyerbu masuk lalu mengheret Florinda keluar dari biliknya.
“ Ayah!. Tolong lepaskan anakda,” jerit Florinda.
“ Bunuhlah aku tapi jangan apa-apakan anak aku,” rayu Julian.
Tetapi askar-askar itu tidak mempedulikannya. Mereka menangkap Florinda untuk dihadiahkan kepada Raja Roderick.
Pagi esoknya Florinda baru dihantar pulang ke rumah. Matanya bengkak kerana menangis. Pakaiannya koyak rabak dan badannya lebam-lebam. Terdapat tompokan darah pada kain yang dipakainya.
“ Apa yang telah dilakukan oleh raja laknat itu terhadap anakda?” tanya ibu Florinda.
Florinda tidak menjawab. Dia menekup muka dengan kedua tapak tangannya. Si Ibu menyingkap kain yang di pakai oleh Florinda.
“ Oh Tuhan…” jeritnya lalu pengsan.
Florinda mendakap ibunya sambil menangis. “ Hidup anakda tidak bermakna lagi. Lebih baik mereka bunuh anakda!” jerit Florinda.
Julius masuk lalu mendapatkan Florinda. “ Apa yang telah dilakukan oleh raja laknat itu wahai kekasihku?”
“ Aku telah diperkosa. Aku tidak layak lagi menjadi isterimu,” tangis Florinda lalu segera masuk ke dalam biliknya.
Tidak lama kemudian kedengaran bunyi yang aneh dari bilik Florinda. Julian dan Julius menerpa masuk. Florinda menggantung dirinya kerana berasa malu yang amat sangat.
“ Oh anakku. Bala apakah yang menimpa kita?” pekik Julian sambil mendakap anaknya.
“ Pak Cik, kenapa Roderick begitu kejam?. Kita tak boleh berdiam diri. Kita mesti bertindak!”.
“ Pak Cik bersumpah akan membalas dendam!” kata Julian dengan perasaan dendam.
“ Pak Cik carilah sesiapa yang boleh membunuh Roderick. Saya akan tanggung semua perbelanjaannya,” kata Julius sambil mendakap mayat kekasihnya.
0 ulasan:
Catat Ulasan