Rabu, Ogos 24, 2005

TARIQ BIN ZIYAD

PAHLAWAN LIDAH API

BAB: 10

“ Kemenangan tuan telah melemahkan semangat askar-askar Gotik. Mereka tak berani lagi menentang tentera Islam secara terbuka. Mereka kini bagaikan tikus takutkan burung helang. Lari betempiaran menyelamatkan diri,” kata Julian dalam satu pertemuannya dengan Tariq bin Ziyad.

Keduanya berdiri di tebing sungai Barbate. Cahaya matahari semakin redup. Air sungai yang menelan raja Roderick itu mengalir tenang. Kelihatan seekor helang menyambar ikan. Cengkaman kukunya yang kuat itu menyebabkan ikan tidak dapat lagi melepaskan dirinya.
“ Keadaan sekarang dah berubah. Tentera Islam bagaikan burung helang. Askar-askar Gotik bagaikan ikan. Helang akan terus menyambar mangsanya. Dan setiap kali helang menyambar ikan tak dapat melepaskan diri,” kata Julian sambil memuji kehebatan tentera Islam. Kemudian katanya lagi.
“ Panglima Tariq seorang yang hebat dan bijaksana. Goted pula seorang yang bodoh dan tinggi egonya. Kerana kebijaksanaan panglima mengatur strategi perang maka dengan mudah tentera Roderick dapat dikalahkan.”
“ Kemenangan kami dengan izin Allah. Tanpa bantuan dari Allah kami tak akan berjaya,” kata panglima Tariq pula. Dia masih dengan sifat merendah dirinya.
“ Kekalahan tentera Gotik menyebabkan mereka patah semangat, hilang keyakinan diri dan ramai diantara mereka yang mengalami terkanan jiwa. Saya mendapat maklumat ini dari orang ramai,” kata Julian.
“ Beritahu mereka bahawa saya akan mengampunkan mereka kalau meletak senjata dan menyerah diri. Sebaliknya kalau mereka melawan akan kami tentang habis-habisan,” kata ketua panglima tentera Islam itu.

“ Baiklah, akan saya hebahkan tawaran ini kepada askar-askar Gotik. Mereka sedang dalam ketakutan. Kalau berita ini sampai kepada mereka pasti ianya sesuatu yang mengembirakan,” balas Julian pula.

“ Bagaimana pula dengan Goted?. Adakah dia masih hidup?” tiba-tiba Tariq teringat ketua askar Gotik itu.

“ Dia telah melantik dirinya menjadi raja menggantikan Roderick. Tetapi orang ramai tak mengiktirafnya. Hanya saki baki askar-askar Gotik yang masih setia dengannya sahaja yang menyokong.”

“ Berapa ramai bilangan askar-askar yang masih setia kepada Goted? Tanya Tariq bin Ziyad.
“ Agak ramai juga kerana Goted berjanji akan menaikkan pangkat dan memberi harta yang banyak kalau dia menjadi raja. Kerana itu Goted menghasut rakyat supaya membenci tuan. Dia berusaha mengumpulkan kekuatan untuk menghalau keluar tentera Islam dari bumi Andalusia,” jawapan Julian itu menaikkan kemarahan Tariq bin Ziyad. “ Dimana mereka sekarang?” tanya ketua panglima tentera Islam itu.
“ Di satu tempat yang jauh terpencil. Saya tahu tempat itu. Adakah panglima hendak ke sana?” tanya Julian semula.

“ Iya, kami tak akan biarkan mereka begitu saja. Kami akan memeranginya,” jawab Tariq bin Ziyad.

“ Saya dan orang-orang saya sedia membantu. Kami boleh menjadi penunjuk jalan,” balas Julian.

Tariq bin Ziyad gembira mendengarnya. Dia memberi kepada Julian pelbagai hadiah dari harta rampasan perang yang ditinggalkan oleh askar-askar Roderick.

“ Pemberian ini sebagai hadiah di atas bantuan yang diberikan kepada kami,” kata Tariq bin Ziyad.

“ Terima kasih panglima. Saya dan orang-orang saya sedia membantu tentera Islam untuk menghapuskan askar-askar Gotik yang kejam itu,” balas Julian. Dia berasa amat gembira.

Esoknya Tariq bin Ziyad membawa pasukan tenteranya ke satu tempat di mana Goted dan askar-askarnya bersembunyi. Tetapi berita mengenai kedatangan tentera Islam itu telah sampai ke pengetahuan Goted. Dia dan pasukan tenteranya sempat melarikan diri.
“ Mungkin ada yang membocoran maklumat rahsia kita kepada musuh,” kata panglima Amir dengan rasa kesal.
“ Boleh kami siasat siapa yang menghianati kita, wahai panglima?” tanya panglima Malik pula.

“ Tak perlu. Biarkan saja,” jawap Tariq bin Ziyad.

“ Kenapa panglima?” tanya panglima Amir yang berasa tidak berpuas hati.

“ Biarkan pemberi maklumat itu menyampaikannya kepada musuh kita. Ini akan membuat mereka berasa takut,” jawab Tariq bin Ziyad.

“ Saya rasa Julian yang membocorkan rahsia kita kepada pihak musuh. Selain daripada kita Cuma dia seorang yang mengetahuinya,” bisik Sufian yang sejak mula memang mencurigai Julian.

“ Jangan menuduh tanpa bukti,” balas Tariq bin Ziyad. “ Dan jangan rosakkan hubungan baik antara kita dengan Julian. Kerana dia banyak membantu kita. Melainkan kalau sudah terbukti angkara dia.”

“ Baiklah, panglima. Maafkan saya,” ujar Sufian.

Perbualan mereka terhenti bila Julian datang. “ Wahai panglima, tak jauh dari sini ada sebuah perkampungan. Mungkin Goted dan askar-askarnya sedang bersembunyi di kampung itu,” katanya.

Tariq bin Ziyad tertarik hati mendengarnya. “ Tunjukkan kepada kami jalan menuju ke kampung itu,” katanya.

Panglima Malik berbisik ke telinga ketuanya. “ Elok kita berhati-hati. mungkin ini satu perangkap,” katanya.

“ Saya bersumpah tidak akan menghianati kamu!” kata Julian kerana dia dapat mendengar apa yang dibisikkan itu.

“ Panglima Malik ini amat berhati-hati orangnya. Kerana itu dia sentiasa berwaspada,” kata Tariq bin Ziyad sambil memujuk Julian agar tidak berkecil hati.

“ Saya dituduh penghianat oleh Goted dan askar-askarnya. Kerana itu saya tak mahu tentera Islam pula menuduh saya begitu,” kata Julian.

“ Berapa ramaikah penduduk kampung itu?. Adakah mereka juga dari bangsa Gotik?” tanya Panglima Tariq bin Ziyad.

“ Jumlah mereka melebihi seribu orang termasuk kanak-kanak. Dan mereka dari bangsa Gotik. Kerana itu mereka penyokong kuat raja Roderick. Elok panglima berhati-hati bila ke sana,” jawab Julian.

“ InsyaAllah, kami akan berhati-hati. namun kami tak takut mati,” balas Tariq bin Ziyad.

“ Kenapa panglima tak takut mati?”

“ Sesiapa yang mati dalam perjuangan ini akan dimasukkan ke dalam syurga. Kami yakin dengan janji Tuhan kami.”

Julian tertawa sambil berlalu. Sikap Julian itu menyinggung perasaan panglima Malik dan panglima Amir. “ Dia seperti mempersendakan kita,” kata panglima Malik.

“ Mungkin dia tak percaya adanya syurga,” balas panglima Amir pula.

“ Orang seperti Julian elok dipancung sahaja kepalanya,” marah panglima Malik.

“ Kenapa kamu berdua tak suka kepada Julian?” tanya Tariq bin Ziyad.

“ Dia selalu bertanya mengenai Islam tetapi dia tak mahu memeluk agama Islam. Saya tak percayakan dia. Sebab kalau dia sanggup menghianati tanah airnya sendiri, tidak mustahil dia juga akan sanggup menghianati kita,” jawab panglima Malik.

“ Malaupun Julian bukan orang Islam tetapi dia tidak memusuhi kita. Malah dia sanggup menolong kita memerangi askar-askar Roderick. Kita tidak boleh buruk sangka kepadanya. Kita mesti bersikap baik terhadapnya,” kata Tariq bin Ziyad.

“ Kita suruh dia masuk Islam. Kalau tak mahu kita bunuh,” kata panglima Amir pula.

“ Apakah Islam menyuruh kita buat begitu?” tanya Tariq bin Ziyad. Kemudian katanya lagi.

“ Rakyat negara ini sedang memerhati dan menilai kita. Kalau kita buat kesilapan mereka tidak yakin lagi dengan kita. Sebagai contoh, kalau kita bunuh Julian, para penyokongnya akan mengatakan kita tidak boleh dipercayai kerana sanggup membunuh orang yang membantu kita mengalahkan Roderick.”

(KISAH PAHLAWAN-PAHLAWAN ISLAM INI AKAN DITERBITKAN OLEH PTS PUBLICATIONS & DISTRIBUTORS SDN BHD)

0 ulasan: