Isnin, September 26, 2005

KHALID BIN AL WALID

PAHLAWAN PEDANG ALLAH

Pagi itu sebelum matahari terbit orang ramai sudah berkumpul di depan Kaabah. Mereka menunggu kedatangan seorang lelaki yang paling mereka sanjungi iaitu Khalid bin al Walid. Masing-masing seolah tidak sabar menanti kedatangannya.

Kau tahu kenapa Khalid al Walid mengajak orang ramai berkumpul di sini pagi ini? tanya Abu Lahab kepada Abu Sufiyan.

Aku sendiri pun tidak tahu, jawab Abu Sufiyan. Kemudian katanya lagi, Khalid bin Al Walid seorang pahlawan agong. Namanya semakin masyhur setelah berjaya mengalahkan tentera Islam dalam peperangan Uhud. Mungkin dia hendak mengajak kita menyerang Madinah.”

Kalau benar seperti yang kau kata, aku orang pertama yang akan menyokongnya, kata Abu Lahab. Kemudian dia menyambung lagi kata-katanya. Aku sanggup menyerahkan semua kuda dan unta milikku untuk digunakan oleh tentera kita bagi memerangi Muhammad.

Aku juga akan menyokong kerana kita telah kalah dalam peperangan Badar. Tetapi Khalid bin al Walid telah berjaya menebus kekalahan kita itu dalam peperangan Uhud. Kita terhutang budi kepadanya. Kerana itu kita mesti menyokong apa saja tindakannya terhadap Muhammad, balas Abu Sufiyan pula. Dia adalah ketua suku Bani Umaiyah.

Kita beruntung kerana Khalid bin Al Walid menyebelahi kita. Dia bukan sahaja gagah dan berani tetapi juga bijak mengatur perancangan di medan perang. Kerana itu memang selayaknya dia dilantik menjadi pemimpin tentera, puji Abu Lahab.

Perbualan mereka terhenti bila Khalid bin Al Walid datang. Dia berdiri membelakangi Kaabah lalu mengadap ke arah orang ramai.

Kau lihat Khalid Al Walid, kata Abu Lahab. Dia berpakaian lengkap seperti pahlawan. Mukanya nampak garang dan tangan kanannya sentiasa memegang hulu pedang yang tersisip di pinggangnya.

Aku yakin dia hendak mengajak kita memerangi Muhammad. Mari kita dengar apa yang hendak diumumkannya, balas Abu Sufian pula.

Semua mata tertumpu kepada lelaki bertubuh sasa, berjanggut tebal dan berwajah tampan itu. Dengan suara yang lantang Khalid bin al Walid pun berkata; Mulai hari ini, pada pagi yang bertuah ini, aku mengaku sesungguhnya Muhammad itu seorang Rasul dan agama yang dibawanya adalah agama yang benar!

Tiba-tiba suasana menjadi kecuh. Orang ramai marah apabila mendengar kata-kata Khalid bin Al Walid. Abu Lahab bertempik sekuat hatinya, Celaka engkau wahai Khalid bin al Walid. Sesia saja Al Walid membesarkan kau. Sesia sahaja Lababah melahirkan kau. Adakah kerana itu engkau menyuruh kami berkumpul di sini?

Aku seorang pahlawan. Sejak dari kecil aku dididik supaya berani berterus terang. Aku mahu kamu mengetahui bahawa aku telah menjadi pengikut Muhammad, balas Khalid al Walid.

Abu Lahab berdiri sambil bercekak pinggang. Wahai Khalid al Walid. Engkau dari Suku Bani Makhzum. Suku kaum yang paling kami pandang tinggi. Ayah engkau bernama Al Walid seorang yang paling kaya dan berpengaruh di kalangan kami. Ibu engkau bernama Lababah, seorang wanita yang kami hormati. Janganlah engkau menyakiti hati kami kerana engkau adalah orang mulia di kalangan kami, kata Abu Lahab.

Ayah dan ibuku sudah tiada. Aku pula sudah dewasa. Aku berhak memilih jalan hidup sendiri. Dan aku memilih Islam sebagai agamaku, balas Khalid bin Al Walid pula.

Abu Labah semakin marah. Mukanya bengis. Apa yang engkau dapat bila menjadi pengikut Muhammad? tanya Abu Lahab.

Belum sempat Khalid bin Al Walid menjawab, Abu Lahab menyambung kata-katanya Muhammad itu seorang yang miskin. Sejak kecil dia menjadi yatim piatu. Hidupnya mengharap belas kasihan orang. Dia tidak pandai menulis dan membaca. Sedangkan engkau anak seorang hartawan. Apabila ayah engkau mati maka engkau mewarisi harta kekayaannya. Engkau mewarisi ladang buah-buahan yang amat luas. Memiliki beribu ekor unta dan kuda. Mempunyai beratus orang hamba sahaya. Apa lagi yang engkau hendak cari?

Memang benar kata-katanya, balas Abu Sufiyan pula. Al Walid ayahmu seorang hartawan yang dermawan. Dia sanggup mengeluarkan perbelanjaan sendiri bagi mengganti kelambu Kaabah. Dia juga yang menyediakan makanan dan minuman bagi orang ramai yang mengelilingi Kaabah. Engkau contohilah ayahmu.

Memang benar ayah aku seorang yang kaya. Tetapi segala harta kekayaannya itu ditinggalkan setelah dia meninggal dunia. Memang benar ayah aku seorang yang dermawan dan paling berpengaruh di kalangan kamu. Tetapi semua itu tidak dapat menyelamatkan dia dari kematian. Aku yakin hanya Muhammad saja yang dapat menyelamatkan hidup kita di dunia dan di akhirat, jawab Khalid bin Al Walid.

Engkau telah terkena sihir Muhammad. Aku akan carikan seorang dukun yang handal untuk mengubatimu, teriak Abu Lahab sambil memukul dadanya dengan tangan sebagai tanda marah yang amat sangat.

Sebenarnya aku telah lama yakin apa yang dibacakan oleh Muhammad itu adalah benar. Dan aku yakin agama yang dibawanya juga adalah benar. Tetapi kebenaran itu ditutup oleh hawa nafsu, harta dan pangkat yang ada pada diriku. Tetapi mulai pada hari ini, aku telah melawan hawa nafsuku itu. Aku sanggup kehilangan harta dan pangkat demi untuk mencari kebenaran, balas Khalid bin Al Walid.

Wahai Khalid, teriak seorang pemuda. Namanya Ikramah bin Abu Jahal. Awak tak sepatutnya bercakap begitu.

Bagi mereka yang mempunyai akal fikiran yang sempurna, Telah jelas dan terang bahawa Muhammad itu bukan seorang ahli sihir. Segala perkataan yang keluar dari mulutnya adalah Kalam Allah Rabbul Alamin. Oleh sebab itu jadi kewajipan bagi tiap-tiap orang yang berakal sihat mengikut Muhammad, balas Khalid Al Walid.

Ikramah bin Abu Jahal tidak dapat menahan rasa marah. Dia tampil ke depan lalu berdepan dengan Khalid bin Al Walid. Wahai Khalid, engkau adalah pemimpin tentera Quraisy. Engkau tidak sepatutnya bercakap seperti itu, katanya.

Kenapa?. Salahkah aku berterus terang? tanya Khalid.

Muhammad telah mencemarkan keluarga kamu dan menjatuhkan maruah ayah kamu dengan membunuh bapa saudara dan sepupu kamu dalam perang Badar. Demi Tuhan, aku tidak akan masuk Islam dan tidak akan bercakap seperti yang engkau cakapkan. Aku dan kaum Quraisy bersedia untuk berperang dengan mereaka, jawab Ikramah bin Abu Jahal.

Engkau sombong dan jahiliyah. Demi Allah, aku telah Islam dan kebenaran telah nyata, balas Khalid al Walid.

Dia memang sudah terkena sihir Muhammad! teriak orang ramai.

Jangan benarkan dia menjadi pengikut Muhamnmad. Teriak mereka lagi.

Dengan pantas Khalid bin Al Walid menghunus pedangnya. Hari ini aku akan pergi ke Madinah untuk bertemu dengan Muhammad. Sesiapa yang tidak takut isterinya menjadi janda, dipersilakan menghalang perjalanan aku. Sesiapa yang sanggup anak-anaknya menjadi yatim, marilah bertarung dengan aku, katanya mencabar.
Aku tidak akan menyahut cabarannya kerana dia terkena sihir Muhammad, kata Ikramah sambil menjauhkan diri dari Khalid.

Khalid terus mencabar namun tidak ada seorang pun yang berani menyahut cabarannya. Kemudian Khalid bin Al Walid menunggang kudanya. Dan sebelum meninggalkan tempat itu dia berkata; Aku akan pergi ke Madinah seorang diri. Sesiapa yang tidak sayang kepada nyawanya dipersilakan menghalang perjalanan aku.

Kalau Khalid bin Al Walid berjaya sampai ke Madinah lalu bergabung dengan Muhammad maka kedudukan mereka bertambah kuat. Dan kita berada dalam bahaya, kata Abu Sufiyan melahirkan rasa bimbangnya.

Benar kata awak. Aku akan cuba menghalangnya, kata Abu Lahab pula.

Jangan gunakan kekerasan. Cubalah pujuk dia, Abu Sufiyan mencadangkan.

Abu Lahab pun cuba memujuk Khalid bin Al Walid. Aku sanggup beri kau apa saja asalkan jangan menemui Muhammad, katanya.

Walau apapun halangannya, aku tetap akan pergi menemui Muhammad. Aku sudah menjadi pengikutnya, balas Khalid bin Al Walid.

Kalau kau inginkan gadis-gadis yang cantik aku sanggup menyediakannya. Kalau kau inginkan harta aku sanggup memberinya. Kalau kau hendak menjadi raja kami sedia melantiknya, Abu Lahab terus memujuk.

Bukankah kau juga pernah menawarkan perkara yang sama kepada Muhammad?. Apakah dia menerimanya? tanya Khalid pula.

Muhammad itu memang bodoh kerana itu dia menolaknya, jawab Abu Lahab.

Sekali lagi kau mengatakan Muhammad itu bodoh aku akan penggal leher kau! balas Khalid bin Al Walid sambil menghunus pedangnya.

Abu Lahab berasa takut yang amat sangat. Dengan cepat dia berlalu dan Khalid bin al Walid meneruskan perjalanannya ke Madinah. Namun Abu Lahab tidak berputus asa. Dia membuat tawaran kepada orang ramai. Sesiapa yang sanggup menghalang Khalid bin Al Walid bertemu Muhammad akan aku berikan hadiah! katanya.

Tetapi tidak seorang pun yang sanggup menyambut tawaran tersebut. Tidak ada yang sanggup isterinya menjadi janda. Dan tidak siapa yang sanggup anak-anaknya menjadi anak yatim, ujar Abu Sufiyan. Kemudian katanya lagi.

Hanya Omar bin al Khatab saja yang berani bertarung dengan Khalid al Walid. Tetapi sekarang Omar sudah menjadi pengikut Muhammad. Kerana itu aku yakin tidak ada sesiapa lagi yang berani menentangnya.

Namun Abu Lahab tidak berputus asa. Dia menaikkan lagi tawaran hadiahnya. Aku sanggup beri sepuluh ribu dinar kepada sesiapa yang sanggup menghalang Khalid bin Al Walid, katanya.

Tiba-tiba seorang pemuda mengangkat tangan sebagai menyatakan kesanggupannya. Aku sanggup menghalang perjalanan Khalid bin Al Walid ke Madinah. Tetapi dengan satu syarat.

Apakah syaratnya, wahai orang muda? tanya Abu Lahab pula.

Berikan aku dua puluh ribu dinar. Dan aku akan hadiahkan kepala Khalid al Walid kepada kau, jawab pemuda itu.

Awak masih muda. Dan awak bukan tandingan dia, tempelak Abu Sufiyan.

Aku seorang yang cekap memanah. Aku akan gunakan anak panahku untuk menghalang perjalanan Khalid bin Al Walid. Kalau tidak berjaya aku akan gunakan lembingku. Dan kalau masih tidak berjaya aku akan gunakan pedangku, kata pemuda itu dengan bersungguh-sungguh.

Abu Lahab gembira mendengarnya. Aku akan berikan engkau dua puluh ribu dinar. Tetapi kalau engkau tidak berjaya menghalang Khalid maka pulangkan semula duit itu kepada aku, katanya.

Baiklah, aku setuju, balas pemuda itu.

( Bab pertama dari novel Khalid Al Walid yang akan diterbitkan oleh PTS)

0 ulasan: