PAHLAWAN LIDAH API
TARIQ BIN ZIYAD
Raja Roderick terkesima apabila menerima berita 12,000 tentera Islam yang dipimpin oleh Tariq bin Ziyad, keturunan Barbar, berjaya mendarat di Gibraltar.
Macam mana mereka boleh menyeberang selat Gibralta?. tanya baginda dengan wajah yang cemas.
Julian Gabenor Ceuta berpaling tadah. Dia yang membantu tentera Islam mendarat, jawab Goted, ketua panglima perang Raja Roderick.
Beta mahu penghianat itu dipancung! titah baginda.
Julian dan orang-orangnya telah bergabung dengan tentera Islam. Mereka sedang bersiap untuk menyerang kita, ujar Goted dengan suara terketar-ketar. Dia bimbang dihukum pancung oleh raja yang kejam itu.
Raja Roderick berasa gerun mendengarnya . Tambahan pula telah sampai perkabaran kepadanya bahawa tentera Islam gagah perkasa. Mereka lebih rela mati daripada menyerah kalah. Baginda segera memerintahkan 25,000 tentera elitnya untuk menggempur tentera Islam.
Beta mahu mereka dihapuskan. Pastikan Julian dan Tariq bin Ziyad ditangkap atau dibunuh. Beta nak lihat kepala mereka, titah baginda.
Tentera elit Raja Roderick yang lengkap dengan senjata dan baju besi itupun mara ke arah tentera Islam yang sedang berkumpul di tepi pantai. Tidak lama kemudian berlakulah pertempuran sengit antara kedua belah pihak. Di bawah kelemayar terik mentari bulan Mei yang memijar itu, pahlawan-pahlawan Islam yang ingin menyebarkan syariat Allah bagaikan singa lapar menangkis serangan tentera Raja Roderick yang buas itu.
Bunuh mereka!. Jangan biarkan seorang pun hidup! titah Raja Roderick kepada tentera-tenteranya.
Allahu Akbar! tempek Tariq bin Ziyad pula.
Tentera Islam yang hanya bersenjatakan pedang, tombak dan anak panah berdepan dengan tentera elit Raja Roderick yang menaiki kuda dan lengkap memakai baju besi.
Angin bertiup kencang menerbangkan debu-debu yang diinjak oleh tapak-tapak kaki perkasa. Camar melayah tinggi gerun menyaksikan gemercingan mata pedang dan tempek sorak tentera-tentera yang kehausan darah itu. Tentera Islam yang masih keletihan kerana perjalanan yang jauh itu agak kucar kacir pertahanannya akibat digempur musuh. Mujur malam telah melabuhkan tirainya. Raja Roderick memerintahkan tenteranya pulang ke pengkalan.
Pagi esok, sebelum matahari terbit kita gempur mereka habis-habisan. Kamu pulanglah dulu berehat dan sediakan kelengkapan yang mencukupi, titah baginda.
Tariq bin Ziyad segera mengatur strategi. Dia sedar kalau kelemahan anak-anak buahnya tidak diatasi segera maka tentera Islam akan mengalami kekalahan. Tariq bin Ziyad mencari jalan untuk meniupkan semangat jihad.
Bakar semua kapal kita! dia mengeluarkan perintah kepada para pembantunya.
Ulang sekali lagi, panglima! mereka seperti tidak percaya dengan arahan tersebut.
Saya perintahkan kamu membakar semua kapal kita! ulang panglima Tariq bin Ziyad.
Tidakkah itu akan membahayakan kita?. Kalau kalah bagaimana kita hendak belayar pulang? tanya salah seorang daripada mereka.
Lupakan untuk pulang. Kita datang untuk mati syahid! jawab Tariq bin Ziyad.
Maka arahan itu segera dipatuhi. Dalam sekelip mata api marak membakar kapal dan semua peralatannya. Kemudian Tariq bin Ziyad mengarahkan tentera-tentera Islam berkumpul dan dia berdiri di puncak Gibralta. Kemudian dia berpidato.
Wahai saudara-saudaraku, di belakang kita laut, di depan kita musuh. Kita tidak boleh melarikan diri. Demi Allah, kita datang ke sini untuk syahid atau mencapai kemenangan.
Demi Allah, kalau kita berundur, lautan akan menenggelamkan kita. Kalau kita mara musuh sedang menanti. Kita tak memiliki apa-apa selain senjata di tangan. Seandainya kita tewas nama baik kita akan tercemar, Allah akan mencabut rasa gementar di hati musuh dan mereka akan berani terhadap kita. Sebaliknya Allah akan mencabut rasa berani di hati kita bertukar rasa takut terhadap musuh. Oleh kerana itu, pertahankan jiwa kalian.
InsyaAllah akan diterbitkan oleh PTS.Publications & Distributors.
0 ulasan:
Catat Ulasan