Selasa, Mei 30, 2006

GAMBAR KENANGAN

Gambar kenangan tahun 1993.

Majlis penyampaian hadiah sastera berunsur Islam 1V pada tahun 1993.Inilah sayembara yang mula-mula saya menangi walaupun Cuma hadiah sagu hati tetapi cukup bermakna kerana memberi semangat kepada saya untuk terus berkarya.

Tempat pertama dimenangi oleh Amy Suzani Mohd Ainuddin, masih berkarya hingga sekarang. Tempat kedua Ahmad J Hussein. Masih gigih menulis.

Saya suka melihat gambar ini kerana membangkitkan semangat saya untuk terus menulis.

Ahad, Mei 21, 2006

BERAKIT KE HULU

Baru-baru ini semasa menghadiri satu majlis perkahwinan saya bertemu dengan Pak Harun.

20 tahun dahulu kami bekerja dalam satu pejabat. Ketika itu dia Cuma seorang pemandu.

Gaji saya masa itu Cuma RM250.00. Anak-anak pula sedang bersekolah. katanya mengenang kisah silam.

Katanya lagi, setiap kali menerima gaji beliau utamakan dulu untuk perbelanjaan anak-anak bersekolah.

Kata Pak Haron, anaknya Cuma tiga orang sahaja. Kesemuanya berjaya melanjutkan pelajaran ke Universiti.

Ketika itu mereka duduk di asrama. Apabila dapat gaji saya hantar duit untuk mereka dahulu. katanya. Bakinya baru pak cik gunakan untuk perbelanjaan di rumah. Kami makan ala kadar sahaja asalkan anak-anak dapat belajar.

Sekarang Pak Haron kerja apa? tanya saya.

Saya sudah bersara. Anak-anak semua sudah bekerja. Mereka suruh saya beramal ibadat. Setiap bulan mereka beri duit. jawabnya.

Menurut Pak Haron lagi, baru-baru ini dia dan isterinya menunaikan fardhu haji dengan semua perbelanjaannya ditanggung oleh anak-anak.

Alhamdulillah. Pak Haron antara warga emas yang merasa bahagia pada hari-hari tuanya.

berakit ke hulu
berenang ke tepian
bersakit dahulu
bersenang-senang kemudian.

Selasa, Mei 16, 2006

SAHABAT

Imam al-Syafie ada memberikan nasihat dalam soal persahabatan.
Katanya:
Aku mencintai sahabatku dengan segenap jiwa ragaku, seakan-akan aku mencintai sanak saudaraku.

Sahabat yang baik adalah yang sering sejalan denganku dan yang menjaga nama baikku ketika aku hidup atau selepas aku mati.

Aku selalu berharap mendapatkan sahabat sejati yang tidak luntur baik dalam keadaan suka atau duka. Jika itu aku dapatkan, aku berjanji akan selalu setia padanya.

Kuhulurkan tangan kepada sahabatku untuk berkenalan kerana aku akan berasa senang. Semakin ramai aku peroleh sahabat, aku semakin percaya diri.

Belum pernah kutemukan di dunia ini seorang sahabat yang setia dalam duka. Pada hal hidupku sentiasa berputar-putar antara suka dan duka.

Jika suka melanda, aku sering bertanya: "Siapakah yang sudi menjadi sahabatku?"

Pada waktu aku senang, sudah biasa ramai yang akan iri hati, namun apabila giliran aku susah mereka pun bertepuk tangan.

Aku dapat bergaul secara bebas dengan orang lain ketika nasibku sedang baik. Namun, ketika musibah menimpaku, kudapatkan mereka tidak ubahnya rodazaman yang tidak mahu bersahabat dengan keadaan.

Jika aku menjauhkan diri daripada mereka, mereka mencemuh dan jika aku sakit, tidak seorang pun yang menjengukku.

Jika hidupku berlumur kebahagiaan, banyak orang iri hati, jika hidupku berselimut derita mereka bersorak sorai.

Apabila tidak ketemu sahabat yang takwa, lebih baik aku hidup menyendiri daripada aku harus bergaul dengan orang jahat.

Selasa, Mei 09, 2006

AGUS SALIM

AGUS SALIM DENGAN ISTERINYA MAHAYA YASSIN.

Agus Salim atau nama sebenarnya Haji Padzali @Salim Haji Taib telah kembali ke rahmatullah pagi Isnin 8hb jam 6.15 pagi dan jenazahnya selamat dikebumikan sebelum waktu Zohor.

Saya sampai ke rumah beliau di Taman paroi Jaya jam 11 pagi. Ketika itu jenazah selesai dimandi dan dikafan hanya menunggu untuk disembahyangkan. sebelum solat jenazah sempat juga kami bertahlil rengkas.

Alhamdulillah. Dianggarkan 70 orang yang menyembahyangkan jenazah allahyarham Cikgu Agus Salim. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atasnya.

Semasa hayatnya Cikgu Agus Salim merupakan tenaga penggerak PEN. Beliau lama memegang jawatan Ketua Satu sebelum diambil alih oleh Puan Mahaya yang juga isterinya.

Antara kenangan dengan beliau apabila berjumpa biasanya Cikgu Agus akan bertanya, apa karya terbaru?.

Saya dan keluarga mengucapkan takziah kepada Puan Mahaya Yassin. Al Fatihah.

Isnin, Mei 08, 2006

KISAH TELADAN

Pada suatu hari Abdullah bin Jaafar bin Abi Talib dalam perjalanan lalu berehat di kebun kurma. Di situ ada seorang hamba berkulit hitam yang menjaga kebun tersebut. Setelah mereka berbual tiba-tiba hamba itu berasa lapar lalu mengeluarkan makanannya iaitu tiga buku roti. Pada masa yang sama datang seekor anjing lalu mengelilingi mereka sambil menjulurkan lidah tanda sedang kelaparan.

Hamba itu berasa kasihan lalu mencampakkan sebuku roti kepada anjing tersebut. Tetapi anjing itu masih lapar lalu dicampakkan sebuku roti lagi. Namun anjing itu masih belum kenyang. Akhirnya hamba itu mencampakkan roti yang ketiga kepada anjing tersebut.

Abdullah berasa hairan lalu bertanya. Berapa banyak makanan yang engkau ada?
Jawab hamba itu, Hanya tiga buku roti sahaja.

Tanya Abdullah lagi, Kenapa engkau berikan semuanya kepada anjing itu?

Jawab hamba itu, Anjing itu datang dari jauh dan dia sedang kelaparan. Sedangkan saya masih boleh menahan lapar hingga esok.

Tanya Abdullah lagi. Apakah yang menyebabkan engkau begitu bermurah hati pada anjing itu?

Jawab hamba itu. Nabi pernah menceritakan bagaimana seorang wanita pelacur diampunkan dosanya kerana memberi minum seekor anjing yang sedang kehausan. Saya ingin mendapat keampunan-Nya.

Abdullah berasa terharu dan mengakui sifat dermawannya telah dikalahkan oleh hamba tersebut.

Maka dibelinya kebun kurma beserta dengan hamba tersebut. Kemudian hamba itu dibebaskannya.

Semenjak itu Abdullah semakin bersifat dermawan. Pernah dia bersedekah berpuluh ribu dinar dalam satu hari.

Khalifah Muawiyah sangat sayang kepada Abdullah. Beliau memberikan Abdullah sejuta dirham setiap tahun tetapi kesemua duit itu habis disedekahkannya kepada mereka yang memerlukan.

Semasa Muawiyah menjadi khalifah, apabila tiba musim haji beliau memberi minuman kepada jemaah haji dengan perbelanjaannya sendiri. Apabila ditanya mengapa maka Muawiyah menjawab, kalau memberi minum seekor anjing boleh mendapat keampunan apatahlagi memberi minuman kepada manusia. Semoga Allah ampunkan dosaku.

Selasa, Mei 02, 2006

PRAMOEDYA MENINGGAL DUNIA

(Dari Utusan Malaysia)

Penulis terkemuka Indonesia, Pramoedya Ananta Toer yang menghidapi penyakit jantung dan diabetes meninggal dunia pada usia 81 tahun.Anak perempuan Pramoedya, Tatiana Ananta menyatakan, bapanya meninggal dunia di rumahnya di Jakarta Timur.

Bapa saya meninggal dunia dengan tenang pada pukul 8.55 pagi. Dia telah membaktikan seluruh hidupnya kepada negara ini menerusi karyanya. Kami semua telah kehilangan seorang bapa yang baik, seorang penulis besar. Saya sangat berbangga dengannya, kata Tatiana kepada Associated Press (AP).

Pramoedya yang lantang memperjuangkan demokrasi dibawa pulang semalam selepas beberapa hari ditempatkan di unit penjagaan rapi (ICU) Hospital St. Carolus, di sini.
Beliau yang pernah dipenjarakan selama beberapa tahun dicalonkan beberapa kali untuk Hadiah Nobel dalam bidang kesusasteraan manakala 34 buku dan esei beliau diterjemahkan ke dalam 37 bahasa.

Karyanya yang paling terkenal, siri novel Buru Quartet mengenai perjuangan Indonesia menuntut kemerdekaan daripada Belanda, ditulis pada cebisan kertas dan diseludupkan keluar ketika beliau menjalani hukuman penjara di pulau Buru.

Pramoedya mula-mula dipenjarakan pada 1947 oleh tentera Belanda kerana mengambil pendirian ‘antikolonialis’.

Beliau dipenjarakan lagi selepas junta tentera Jeneral Suharto mengambil alih kuasa pada 1966 dan menghabiskan 14 penjara ditahan tanpa perbicaraan di pulau Buru bersama-sama ribuan lagi penentang kerajaan Suharto.

Pramoedya yang telah lama menghadapi masalah kesihatan dimasukkan ke hospital pada Khamis lalu kerana komplikasi diabetes dan jantung, kata menantunya, Gun.
- AP

Ahad, April 23, 2006

CARA RASULULLAH MENDIDIK ISTERI

1. Rasulullah s.a.w bersabda, “Didiklah isterimu dengan memberi nasihat dan tujuk ajar. Jika degil pisahkan tempat tidurnya dan jika degil lagi, pukullah dia (pukulan yang bukan mendera)

2. Didik isterimu dengan perasaan kasih sayang tanpa rasa jemu walaupun mengambil masa yang panjang.

3. Tegas dalam melayan kehendak istei dengan tidak melanggar batas-batas syariat.

4. Apabila berdepan dengan karenah isteri, suami hendaklah sentiasa kreatif, bijak dan sabar semasa bertindak.

5. Seeloknya ketika isteri sedang marah-marah, berleter, lebih baik suami berdiam diri dahulu. Marah jangan dihadapi dengan marah. Tetapi diam bukan berarti mengalah, hanya sebagai strategi. Setelah perasaan marahnya reda suami boleh menjelaskan perkara sebenar atau meminta maaf jika suami bersalah.

Pada suatu hari saidina Omar pernah dimarahi oleh isterinya tetapi dia hanya berdiam diri sahaja. Sahabatnya bertanya kenapa begitu. Jawab saidina Omar, Isteriku telah melayan nafsuku, melahirkan zuriat serta mengasuh anak-anakku, membasuh pakaianku, menjaga rumah dan hartaku.

Rasulkullah s.a.w bersabda yang maksudnya, “Suami yang jelek ialah pada siang hari bergaduh dan memukul isterinya tetapi pada malam hari menyetubuhinya.”

Jumaat, April 21, 2006

ANTARA KESAL DAN BAHAGIA

Dalam hidup ini ada kalanya kita berasa kesal dan ada kalanya kita berasa bahagia. Itulah antara pengalaman yang ingin saya ceritakan.

Beberapa bulan yang lalu seorang kawan lama mengadu dia hampir diistiharkan muflis kerana bebanan hutang yang ditanggungnya. Saya tidak dapat membantunya kerana ketika itu saya juga kesempitan duit.

Hingga sekarang saya berasa kesal kerana tidak dapat menolongnya.

Beberapa minggu yang lalu dalam perjalanan balik dari kuala lumpur, ketika menunggu komuter saya didatangi oleh seorang lelaki berusia 60an. Wajahnya macam orang susah hati. dia menghampiri saya lalu mengadu masalahnya.

Dia daripada sabah, datang ke semenanjung mengunjungi anak perempuannya seorang doktor di Kelantan. Setelah berkunjung ke rumah anaknya maka diapun hendak balik ke Sabah. Naik bas ke kuala lumpur dan seterusnya ke KLIA.

Dia mengadu beg duitnya tertinggal dalam kereta anaknya menyebabkan dia tak berduit lansung. Hari sudah petang, dia perlu duit untuk makan dan menyewa hotel tempat bermalam. Dia dah telefon anaknya di Kelantan tetapi hanya dapat datang ke KL pada keesokan harinya.

Saya tak ada sedara di sini tak tahu kepada siapa nak mengadu, katanya.
Dipendekkan cerita saya berasa kasihan lalu membantunya.

Beberapa hari yang lalu seorang kenalan mengirim sms. Anak saya yg sedang belajar di universiti kehabisan duit belanja. Duit simpanan saya dah habis. Gaji dapat minggu depan. Boleh tolong pinjamkan duit?. Saya minta no akaun anaknya lalu masukkan duit ke bank.

Saya mendapat satu kepuasan kerana dapat membantu mereka yang memerlukan.

Saya berasa bahagia.

Selasa, April 18, 2006

SAYANGI ANAK YATIM

Menjadi anak kehilangan ayah bukanlah kehendak si kecil yang baru meniti usia. Kerana itu Islam menyuruh kita menyayangi anak yatim atau anak yang kehilangan ayah. Mereka yang menzalimi anak yatim Allah memberi amaran dengan balasan azab neraka.

Tidak dapat dinafikan memang ada yang memandang hina kepada anak yatim. Mereka yang pernah mengalaminya pasti masih ingat macam mana layanan masyarakat terhadap mereka semasa kecil. Si anak kecil itu akan ingat siapa yang pernah buat baik kepada dirinya dan siapa pula yang pernah menghinanya.

Saya berseru kepada anda sayangi dan hormatilah anak-anak yatim. Jangan sakiti hati mereka.


Rasulullah s.a.w bersabda,

Rumah yang terlebih baik dari rumah orang muslim ialah rumah yang didalamnya ada anak yatim dan diberikan layanan yang baik terhadapnya. Tetapi rumah yang terlebih jahat ialah rumah seorang muslim yang di dalamnya ada anak yatim tetapi diberi layanan tidak baik terhadapnya. Aku dan mereka yang memelihara anak-anak yatim itu berada dalam syurga.


Siapa yang memelihara satu atau dua anak yatim kemudian mereka bersabar dalam memelihara mereka, berbuat kebajikan kerana Allah s.w.t nescaya adalah aku dan dia seperti dua jariku ini berada di dalam Syurga.

Kanak-kanak yang ada bapa, disapukan kepalanya daripada hadapan hingga belakang kepalanya. Anak yatim disapu kepalanya dari belakang hingga ke hadapan kepalanya.

Dalam Syurga ada satu kampung bernama kampung kesukaan mereka yang memasukinya ialah mereka yang menyayangi anak-anak yatim.

Khamis, April 13, 2006

BUDAK COMEL MASJID DI RAJA

Semalam saya ke rumah saudara yang mengadakan majlis kenduri. Kerja memasak dilakukan secara bergotong royong. Seekor lembu yang disembelih pada pada jam 8 pagi siap di makan pada jam 1 tengahhari.

Selesai majlis kenduri saya pergi ke MASJID DI RAJA TENGKU MUNAWIR Seri Menanti untuk solat Zohor. Di masjid itu tidak ada bilik mandi. Yang ada Cuma tandas dan tempat berwuduk sahaja. Tiba-tiba muncul seorang budak lelaki comel.

Di mana saya boleh mandi? tanya saya.

Di tempat wuduk pun boleh, jawab budak comel itu.

Tak ada gayung macam mana nak mandi? tanya saya lagi.

Nanti saya ambilkan, jawan budak comel itu.

Dia kelihatan terkedek-kedek berlari. Tetapi saya tidak pasti sama ada dia berlari ke rumah atau di kawasan masjid. Beberapa minit kemudian dia datang sambil menghulurkan gayung plastik.

saya tak bawa kain basahan. Macam mana nak mandi di sini? saya rasa mengelabah.

Sekali lagi buidak comel itu berlari meninggalkan saya. Sebentar kemudian dia datang membawa sehelai kain pelikat untuk dijadikan kain basahan mandi.

Kain siapa ni? tanya saya.

Kain sarung saya, jawab budak comel itu.

Tanpa berlengah lagi saya pun mandi. Air dalam kolah yang jernih itu sungguh menyegarkan tubuh saya. Rasanya itulah mandi yang paling seronok sekali.

Tiba-tiba saya terfikir. Siapakah budak comel yang budiman itu?. Umurnya dalam lingkungan 6 tahun, berkulit putih bersih dan lembut.

Selesai solat zuhur saya mencari budak comel itu. Tujuan saya untuk mengucapkan terima kasih untuk kali kedua serta memulangkan gayung dan kain pelikat yang dipinjamkannya. Tetapi, setelah puas saya mencari budak itu tidak ada lagi. Masjid lengang kerana hanya saya sahaja yang berada di situ.

Saya masih tertanya-tanya. Anak siapakah yang comel dan sungguh baik hati itu?. mukanya comel, kulitnya putih lembut bagaikan kapas.

Saya masih terbayang-bayang wajahnya.

Sabtu, April 01, 2006

IKRAMAH BIN ABU JAHAL

IKRAMAH BIN ABU JAHAL
BAB: 16
Bulan bersinar menerangi lembah Raudhah. Hammas dan para pengikutnya sampai di kawasan tersebut. Kamu periksa kawasan ini. Apakah Ikramah sudah sampai atau belum! perintah Hammas.

Baiklah, sahut Shurabil.

Kemudian dia mengajak kawan-kawannya memeriksa kawasan tersebut. Tidak lama kemudian Shurabil datang semula kepada Hammas membuat laporan. Saya sudah memeriksa kawasan ini. Ikramah masih belum sampai,katanya.

Mungkin dia dalam perjalanan. Atau mungkin juga dia tidak datang kerana takut mati, kata Suhail pula.

Kalau Ikramah mungkir janji kita akan menyerbu ke rumahnya. Dia mesti dibunuh pada malam ini juga,tegas Hammas.

Kita mesti berhati-hati kerana tentera Islam berada di mana-mana. Kalau kita ditangkap alamat menerima hukuman mati, Shuhail mengingatkan.

Lihat di hujung sana, beritahu Shurabil sambil menudingkan jari telunjuknya. Ada seorang lelaki menunggang kuda menuju ke mari. Mungkin itu Ikramah.

Kamu pergi bersembunyi di balik batu-batu. Apabila aku panggil baru kamu keluar, perintah Hammas.

Shurabil dan kawan-kawannya segera mematuhi perintah itu. Hammas menunggu kedatangan Ikramah. Engkau sampai tepat pada waktunya. Bersedialah untuk menghadapi kematian, kata Hammas. Dia bersedia untuk memulakan pertarungan.

Tunggu dulu, kata Ikramah pula.

Adakah engkau hendak menyerah kalah tanpa perlawanan? tanya Hammas sambil ketawa.

Saya dididik berjiwa pahlawan. Pantang menyerah kalah, jawab Ikramah.

Jangan berlengah masa. Mari kita mulakan pertarungan, kata Hamams.

Saya rasa apa yang kita lakukan ini hanya membawa keburukan. Tidak ada faedahnya kita berbunuhan, Ikramah cuba berlembut.

Bukankah engkau yang mencabar aku datang ke sini supaya kita berlawan satu dengan satu?. Aku datang untuk menyahut cabaran itu.

Engkau menghina saya di khalayak ramai. Kerana itu saya tidak dapat menahan perasaan marah.

Bukankah engkau sebenarnya memang anak Abu Jahal?. Kenapa rasa malu?

Ayah saya dicap sebagai orang yang jahat kerana memusuhi Nabi Muhamad. Tetapi dia sudah mati. Kalau masih hidup saya yakin dia juga sudah menjadi pengikut Muhamad.

Mungkin juga tidak,”sanggah Hammas. Engkau sendiri masih hidup tetapi menolak untuk masuk Islam.”

Saya tidak menolak Cuma minta tempoh untuk berfikir selama seminggu, kata Ikramah pula.
Sudah tiga hari berlalu. Masih belum dapat untuk membuat keputusan?

Saya akan menjadi pengikut Nabi Muhamad. Kalau dulu saya berjuang kerana Al Latta dan Al Uzza tetapi sekarang tidak lagi.

Mungkin sudah terlambat kerana engkau akan mati malam ini.

Marilah kita berdamai. Dulu kita pernah menjadi sahabat baik. Tetapi sekarang kenapa kita bermusuhan? tanya Ikramah pula.

Sebab engkau yang mempengaruhi aku supaya menentang Muhamad. Kerana engkau aku kehilangan banyak harta dan nyawa orang-orangku. Kau mesti membayarnya, jawab Hammas.

Apakah dengan membunuh saya engkau dapat semula semuanya itu? tanya Ikramah lagi.

Apabila engkau mati semua hartamu diwarisi oleh Atikah. Dan aku akan mengahwini Atikah, jawab Hammas.

Alangkah busuknya hatimu, wahai Hammas. Engkau sanggup menghianati saya semasa di Yaman. Kemudian engkau menghasut orang ramai supaya membenci saya.

Jangan banyak cerita lagi,wahai Ikramah. Hunus senjatamu dan mari kita mulakan pertarungan. Aku tidak sabar hendak membunuhmu.

Baiklah kalau itu yang engkau mahu, balas Ikramah.

Keduanya memulakan pertarungan. Ternyata Ikramah yang lebih tangkas menggunakan senjata. Apabila merasa akan kalah maka Hammas menyuruh orang-orangnya keluar dari tempat persembunyian. Dan tiba-tiba Ikramah mendapati dirinya terkepung.

Lebih baik engkau menyerah! teriak Hammas.

Pantang aku menyerah! balas Ikramah pula.

Maka berlaku pertarungan antara orang-orang Hammas dengan Ikramah. Namun Ikramah bukan mudah untuk dikalahkan. Dia menentang musuh-musuhnya dengan bersungguh-sungguh. Tetapi bilangan yang ramai tetap menang juga akhirnya. Apabila merasakan dirinya sudah diasak maka Ikramah berusaha melarikan dirinya. Dengan sekuat tenaga yang masih ada Ikramah berjaya meloloskan dirinya daripada kepungan musuh-musuhnya. Maka berlaku kejar mengejar di padang pasir itu. Dalam situasi yang genting itu tiba-tiba Ikramah melihat ada sepohon kayu yang rendang serta mengeluarkan cahaya. Dia meluru ke arah pohon tersebut dengan tujuan untuk dijadikan tempat perlindungan. Tetapi kudanya seolah tidak melihat pohon itu dan terus berlari kencang. Apa yang ditakuti Ikramah pun berlaku apabila kuda yang ditungganginya melanggar pohon tersebut. Namun terjadi suatu keajaipan kerana kuda tersebut seperti melanggar kabus. Tiba-tiba Ikramah mendapati dirinya berada di tempat yang sungguh asing.

Apakah saya sudah mati?. Adakah ini alam kematian? tanya Ikramah pada dirinya sendiri.

Pada masa yang sama, Hammas dan orang-orangnya masih berada di lembah Raudhah. Apakah kamu melihat apa yang aku lihat tadi? tanya Hammas kehairanan.

Saya nampak Ikramah dan kudanya masuk ke dalam pohon yang bercahaya itu,jawab Shurabil. Dia juga berasa takjub dengan apa yang dilihatnya.

Mungkin Ikramah menggunakan ilmu sihirnya, kata Suhail pula. Mari kita cari dia sampai dapat. Saya yakin dia bersembunyi di atas pokok itu.

Setelah puas mencarinya tetapi masih tidak terjumpa akhirnya mereka berasa kecewa. Ikramah seolah hilang kerana ditelan oleh pokok ini. Memang sesuatu yang mustahil tetapi kita melihatnya sendiri, kata Hammas.

Ini sesuatu yang ajaib. Elok kita melaporkan perkara ini kepada Nabi Muhamad,”kata Shurabil pula.

Baginda tentu marah kepada kita. Kerana itu lebih baik kita diamkan sahaja, kata Hammas pula.
Muhamad ada satu kelebihan iaitu dia boleh mengetahui perkara yang ghaib. Mungkin dia sudah mengetahui perkara ini. Kerana itu lebih baik kita berterus terang dengan dia? kata Suhail pula.

Betul kata Suhail. Kerana itu lebih baik kita berjumpa Rasulullah dan memohon maaf diatas tindakan kita terhadap Ikramah, kata Shurabil menyokong.

Akhirnya mereka bersetuju mengadap Nabi Muhammad. Kebetulan Rasulullah dan para sahabatnya masih berada di Masjidil Haram. Hammas dan orang-orangnya mengadap baginda.
Wahai Rasulullah. Kami berpakat hendak membunuh Ikramah tanpa meminta keizinan darimu terlebih dahulu. Maafkanlah kami, kata Hammas berterus terang. Kemudian katanya lagi.

Kami lakukan ini kerana dua sebab. Pertama kerana Ikramah menolak masuk Islam. Dan kedua kerana kami bimbang Ikramah akan membunuh Rasulullah.

Tetapi Ikramah tidak dapat kami bunuh. Dia seolah ditelan oleh sepohon kayu yang bercahaya, kata Shurabil pula.

Kayu yang bercahaya? tanya Omar pula inginkan penjelasan.

Kami lihat ada sepohon kayu rendang yang mengeluarkan cahaya di situ. Ikramah bersama kudanya masuk ke dalam batang kayu itu. Kerana itu kami melaporkan perkara ini kepada Rasulullah, jawab Hammas.

Rasulullah tertarik dengan cerita yang disampaikan oleh Hammas dan orang-orangnya. Baginda mengajak mereka berangkat ke lembah Raudhah untuk mempastikan kebenaran cerita tersebut. Dan ketika mereka sampai di lembah Raudhah pohon yang bercahaya itu masih berada di situ.

Saya biasa melalui kawasan ini tetapi tidak pernah melihat pokok ini, kata Ali.

Kalau benar pokok ini menelan Ikramah dan kudanya lebih baik kita tebang, kata Omar sambil menhunus pedangnya. Dia bercadang hendak menebang pokok tersebut.

Tiba-tiba pohon itu meliuk-liuk seperti ditiup angin kencang. Kemudian pohon itu terbelah lalu keluar Ikramah sambil menunggang kudanya. Ikramah segera mendapatkan Rasulullah.
Wahai Rasulullah, tolong selamatkan saya, kata Ikramah sambil memeluk Nabi Muhamad.
Apa yang telah berlaku? tanya baginda.

Sekumpulan lelaki hendak membunuh saya. Ketika hendak menyelamatkan diri saya melihat kayu itu lalu cuba menjadikannya tempat perlindungan. Tiba-tiba kuda yang sayang tunggang membawa saya masuk ke dalam kayu itu, jawab Ikramah.
Apa yang terjadi seterusnya? tanya Rasulullah lagi.

Pada mulanya saya menyangka kuda tunggangan saya akan melanggar pohon kayu itu dan saya telahpun pasrah menerima apa yang terjadi. Tetapi sesuatu yang anih telah berlaku…Ikramah berhenti seketika. Dia kelihatan sebak. Kemudian dia menangis.
Ceritalah, wahai IkramaH, pujuk Abu Bakar pula.

Tiba-tiba saya berada di satu tempat yang sungguh asing. Tempat itu sangat luas sehingga saya tidak nampak tepinya. Ia seperti sebuah padang pasir tetapi pasirnya putih bersih seperti salji. Cuaca di tempat itu tidak sejuk dan tidak panas. Cahaya terang benderang tetapi anihnya saya tidak melihat matahari. Hanya saya dan kuda saya sahaja yang ada di situ. Saya tidak tahu ke mana hendak dituju. Tiba-tiba

Sekali lagi Ikramah terhenti tidak dapat meneruskan kata-katanya. Dia nampak seperti ketakutan. Rasulullah berusaha menenangkannya. Kemudian Ikramah meneruskan ceritanya.

Tiba-tiba berlaku ribut kencang. Saya melihat ada pusaran angin yang datang ke arah saya. Kerana berasa takut di terbangkan oleh angin itu maka saya menunggang kuda hendak menyelamatkan diri. Ketika itu saya melihat ada sepohon kayu. Saya menuju ke arah kayu itu untuk berlindung. Tiba-tiba kayu itu terbelah. Saya dan kuda masuk ke dalam kayu itu. Dan akhirnya sampai ke sini.

Semua yang berada di situ terpegun mendenar cerita Ikramah. Mereka minta penjelasan daripada Rasulullah berhubung perkara tersebut. Menurut baginda, Allah telah menyelamatkan Ikramah dengan memasukkannya ke alam lain. Kemudian Allah mengeluarkan semula Ikramah dari alam tersebut untuk membolehkan dia meneruskan kehidupan di dunia ini.

Wahai Ikramah, maafkan saya, kata Hammas sambil melutut kepada Ikramah. Kemudian kata Hammas lagi.

Saya berjanji mulai hari ini tidak menganinyaya engkau lagi. Maafkanlah saya, katanya.

Maafkanlah dia, pujuk Rasulullah pula.

Saya maafkan engkau wahai Hammas. Semoga kita menjadi sahabat yang baik seperti dulu, kata Ikramah.

Keduanya berpelukan. Kemudian datang pula Shurabil, Suhail dan yang lainya. Mereka juga meminta maaf kepada Ikramah di atas apa yang terjadi. Dan mereka akhirnya berdamai semula.

Wahai Ikramah,”kata Rasulullah. Engkau bernasib baik kerana telah diselamatkan oleh Allah beberapa kali. Kerana itu terimalah pelawaanku. Marilah menganut agama Islam. Hendaklah engkau mengaku tidak ada Tuhan yang disembah selain Allah dan mengaku saya Rasulullah.

Ikramah dengan segera menyambut tawaran Rasulullah itu. Dia pun mengucap dua kalimah syahadah. Semua yang berada di situ berasa gembira. Tidak lama kemudian waktu subuh pun masuk. Bilal melaungkan azan dan mereka sama-sama bersembahyang subuh di tempat tersebut. Sebaik sahaja matahari terbit maka pohon yang bercahaya itupun hilang dari pandangan.

Pohon apakah itu, wahai Rasulullah? tanya Abu Bakar.

Menurut baginda pohon itu adalah sejenis pohon yang tumbuh di makam Nabi Sulaiman. Dan pohon itu dinamakan pohon Salameqi.

Rabu, Mac 29, 2006

REZEKI PENOREH GETAH

Para penoreh getah sekarang boleh hidup agak senang apabila harga getah sekerap (getah beku) RM3.00 sekilo. Mereka yang mempunyai kebun getah seluas 2 hektar atau 5 ekar boleh dapat RM300.00 sekali menoreh. Mereka yang menoreh kebun orang apabila dibahagi dua pendapatannya tidak kurang RM100.00 sehari. Kerana itu tidak ada lagi kebun getah yang tidak ditoreh. Masing-masing berebut hendak menoreh. Mereka yang bekerja makan gaji pula ada yang pulang ke kampung pada hari cuti atau hujung minggu untuk menoreh getah.

Akibat harga getah yang tinggi maka dusun-dusun durian banyak yang ditebang digantikan dengan pokok getah. pokok-pokok getah yang sepatutnya sudah boleh ditebang untuk diganti dengan tanaman baru ditangguhkan dulu penebangannya selagi masih boleh mengeluarkan getah.

Beberapa tahun yang lalu harga getah jatuh hingga 0.60 sen sekilo. Tetapi sekarang naik lima kali ganda. Rezeki penoreh getah.

Sabtu, Mac 25, 2006

JOM KE PESTA BUKU

Pesta buku antarabangsa ke 25 sedang berlangsung di PWTC dari 24 Mac -02 April ini. Kali ini saya berkesempatan mengunjunginya pada hari pertama (pembukaan). Kerana jatuh pada hari Jumaat maka terpaksalah saya bertolak dari Jelebu selepas solat Jumaat dan sampai pada jam 6 petang. Kerana hari sudah petang ( ditutup jam 9 malam) maka ramai pengunjung yang telah pulang. Dalam perjalanan ke tapak pameran (agak jauh juga berjalan kaki) saya berselisih dengan ramai pengunjung yang baru keluar.Saya lihat pengunjung perempuan lebih ramai menjinjing beg plastik berisi buku atau majalah. Memang benarlah kaum wanita lebih ramai membelinya daripada kaum lelaki. Kenapa ye?.

Semasa singgah di gerai PTS saya sempat membeli beberapa buah buku. Menurut Puan Ainon Mohd dalam blognya, bila sampai di gerai PTS perkenalkan diri kepada pegawai yang bertugas sambil menunjukkan buku yang dipamerkan. Kerana buku saya belum ada dipamerkan maka rasa malu pulak nak memperkenalklan diri :)

Nasib baik saya disapa oleh Ida Munira (sekarang menjadi editor di PTS) saya hampir tidak cam wajahnya kerana sekarang dia semakin kiut dan comel :) Selain membeli buku saya juga bercadang hendak berjumpa dengan Asyikin Wahid, editor PTS yang mengedit novel pahlawan-pahlawan Islam yang saya tulis. Tetapi kerana dia sedang sibuk maka terpaksa ditangguhkan. Rasa terkilan juga kerana sudah janji nak belanja makan kalau jumpa :)

Alhamdulillah, sempat juga berbual dengan Encik Faris dan Nor Hazizam.

Semasa di gerai Karangkraf sempat membeli novel terbaru Sarina Mohd Som berjudul KERANAMU SOFEA. Menurut Sarina kalau datang ke pesta buku beritahu dia dulu, tetapi setelah 2 kali saya sms tidak berjawab maka saya beranggapan dia juga sibuk. Nak jumpa Sri Diah tetapi dia juga tidak ada mungkin sudah balik.

Semasa di gerai DAWAMA saya terjumpa buku saya MERENTAS RANJAU yang diterbitkan oleh DBP cetakan pertama tahun 1993 dan cetakan kedua tahun 1995 dijual dengan harga RM1.00 senaskhah. Di gerai Utusan pula saya terjumpa PENDEKAR SIAMANG GAGAP yang terbit tahun 1998 kemudian diterjemahkan dalam bahasa English pada tahun 2000 dijual dengan harga RM2.00 senaskhah. Agaknya kalau saya memohon untuk menerbitkan semula buku itu apakah dibenarkan?

Jom ke pesta buku. Nasihat saya jangan datang hampir senja.

Ahad, Mac 19, 2006

YUSUF ISLAM DAN SURAH YUSUF

Yusuf Islam kini terkenal sebagai pendakwah bukan sahaja di Britain malah di seluruh dunia. Pada tahun 1970an dulu dia terkenal sebagai penyanyi popular dengan nama Cat Stevens. Apakah yang menyebabkan beliau berubah daripada seorang penyanyi pujaan ramai dengan kehidupan yang serba mewah dan glamour kepada seorang pendakwah yang hidup sederhana dan sering melakukan kerja kebajikan?.

Seperti yang diakui sendiri oleh Yusuf Islam dalam satu wawancara dengan sebuah majalah, dia mengambil keputusan memeluk agama Islam setelah mengalami dua peristiwa yang begitu berkesan di hatinya yang akhirnya telah merubah keseluruhan kehidupannya.

Menurut Yusuf Islam, ketika dia berusia 19 tahun di mana namanya ketika itu sedang popular sebagai penyanyi pujaan ramai, dia terlibat dengan ketagihan arak dan rokok sehingga menyebabkan mengidap penyakit batuk kering.

Setelah sembuh dari penyakit yang hampir meragut nyawanya itu, Yusuf Islam mula sedar bahawa kemewahan hidup, glamour dan menjadi pujaan ramai tidak menjamin kebahagiaan dalam kehidupannya. Lalu dia menilai semula dirinya serta berusaha mencari kehidupan yang lebih berarti namun dia masih belum menemui apa yang dicari-carinya.

Pada suatu hari semasa dia berada di Los Angeles, Yusuf Islam hampir mati lemas. Ketika itu dia berdoa jika Tuhan menyelamatkan dia dari bencana itu maka dia berjanji akan berkerja untuk Tuhan. Dalam sekelip mata ombak datang lalu menolaknya ke pantai.

(Kisah yang sama pernah berlaku kepada Ikramah bin Abu Jahal. Apabila kapal yang ditumpangnya hampir karam lalu dia pun berdoa, jikalau selamat dari bencana itu dia memeluk Islam.)

Selepas peristiwa itu barulah saya yakin bahawa Tuhan itu ada, kata Yusuf Islam.

Menurutnya lagi, untuk mendekatkan diri dengan Tuhan dia mempelajari pelbagai agama seperti Buddha, Hindu dan Kristian namun tidak ada yang memuas serta meyakinkan hatinya.

Pada suatu hari saya yang sedang mencari haluan hidup ketika itu dihadiahkan oleh abang saya David sebuah terjemahan kitab suci Al Quran, kata Yusuf Islam.

Menurut Yusuf Islam, pada mulanya tujuan dia membaca al Quran sekadar hendak mencari kelemahannya seperti yang pernah dilakukannya terhadap agama lain. Apabila dia membuka kitab suci itu surah pertama yang dibacanya ialah surah Yusuf.

Hati saya berbisik apa yang saya baca ialah sebuah kisah yang indah. Semakin lama membacanya semakin mengasyikkan sehingga saya mengalirkan airmata, demikian pengakuan Yusuf Islam.

Menurutnya lagi, Saat itu saya yakin Al Quran bukan ciptaan manusia tetapi adalah wahyu Allah. Inilah cahaya yang saya cari selama ini. Hati saya berasa aman lalu menerima Islam.

Sabtu, Mac 18, 2006

LAGI ISU TUDUNG

Tidak lama dulu ada seorang wanita Islam yang bekerja di sebuah hotel dibuang kerja kerana memakai tudung. Wanita itu telah membuat aduan dan berita tersebut tersiar dalam surat khabar. Maka isu itu menarik perhatian orang ramai termasuk para pemimpin negara.

Beberapa hari yang lalu saya menghadiri seminar di Kuala Lumpur Internasional Hotel. Sebelum ini telah beberapa kali saya menginap di hotel yang sama. Apa yang menarik perhatian saya sudah ada pekerja di hotel tersebut, termasuk penyambut tetamu yang memakai tudung. Pada saya ini satu perubahan yang menarik. Apakah hotel yang lain juga telah membenarkan pekerjanya memakai tudung?.

Sebelum ini pekerja hotel memang tidak dibenarkan memakai tudung. Malah semasa temuduga pihak hotel telah memberi amaran tidak boleh memakainya. Tetapi setelah isu itu menarik perhatian ramai mungkin sudah dibolehkan. Harap-harap begitulah.

Semasa makan tengahhari ada yang bertanya, kenapa pembaca berita tv tidak memakai tudung?. Bukan sahaja di Malaysia, Indonesia dan Brunei malah di negara Arab sendiri pembaca berita wanita tidak memakai tudung. Adakah mereka dilarang atau sengaja tidak mahu memakainya?. Dilarang memakai tudung dengan tidak mahu bertudung adalah perkara yang berbeza.

Persoalannya kenapa masih ada yang melarang wanita Islam memakai tudung di tempat kerja?.

Jumaat, Mac 10, 2006

DIALOG BERSAMA PELAJAR

Semalam (9hb) saya dijemput sebagai penceramah dalam sesi dialog bersama penulis sempena minggu PSS dan Bulan Bahasa Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Pedas Rembau N.Sembilan.

Walaupun pesertanya 36 orang sahaja namun mereka yang dipilih telah menunjukkan minat masing-masing dalam bidang penulisan malah sudah ada yang menghasilkan karya.

Dalam sesi dialog ada yang bertanya bagaimana proses penulisan novel RANDAU RUAI yang memenangi tempat pertama sayembara novel Sarawak.

Saya juga mengambil kesempatan mempromosikan 3 buah novel pahlawan Islam iaitu Tariq bin Ziyad, Salahuddin Al Ayubi dan Khalid Al Walid yang akan ditebitkan oleh PTS tidak lama lagi.

Ada juga yang bertanya apakah konsep penulisan yang paling baik lalu saya katakan contohilah surah Yusuf kerana Allah swt mengatakan itulah sebuah kisah yang paling indah.

Dari minat yang mereka tunjukan saya yakin ada di antara mereka yang akan muncul sebagai penulis satu hari nanti. InsyaAllah.

Rabu, Mac 08, 2006

MAJLIS PERTUNANGAN



Rombongan menghantar pinangan anak saya yang sulung baru-baru ini.

Selasa, Februari 21, 2006

PERANG BADAR

Pada 17 Ramadan tahun 2 Hijrah Allah mewajibkan berpuasa. Pada tarikh itu juga berlakunya perang Badar antara tentera Islam yang dipimpin oleh Nabi Muhamad dengan tentera Quraisy yang dipimpin oleh Abu Jahal.

Peristiwa bermula apabila Rasulullah saw mendapat berita satu rombongan pedagang yang diketuai oleh Abu Sufian bin Harb sedang dalam perjalanan pulang dari Syam menuju ke Mekah.

Nabi Muhamad berpendapat para pedagang itu perlu disekat kerana mereka membawa peralatan senjata yang banyak untuk digunakan bagi memerangi Islam. Maka Rasulullah saw memimpin seramai 313 orang tentera menuju ke satu tempat bernama Badar. Tujuan asalnya hanya untuk menyekat qafilah pedagang Quraisy dan Rasulullah s.a.w sendiri tidak menjangka akan berlakunya suatu peperangan yang mencipta sejarah. Kerana itu jumlah tentera Islam Cuma sedikit kerana ramai di kalangan sahabat tidak menyertai operasi tersebut.

Apabila Abu Sufian bin Harb mendapat tahu gerakan tentera Islam itu dia menghantar utusan kepada Abu Jahal di Mekah untuk meminta bantuan tentera bagi melindungi mereka. Di samping itu Abu Sufian bertindak bijak dengan membawa orang-orangnya melalui kawasan pantai sehingga mereka berjaya mengelakkan daripada bertembung dengan tentera Islam.

Apabila telah selamat maka Abu Sufian menghantar satu lagi utusan kepada Abu Jahal melaporkan mereka telah selamat dan tidak memerlukan lagi bantuan tentera.Tetapi Abu Jahal dengan sombongnya berkata,Demi Tuhan Al Latta dan Al Uzza, Kita tidak akan pulang ke Mekah selagi kita belum sampai ke Badar. Apabila sampai di Badar nanti kita akan berpesta selama tiga hari tiga malam. Kita sembelih unta, minum arak sambil menyanyi dan menari supaya Muhamad tahu kedatangan kita. Dengan ini kehebatan kita dapat dilihat oleh mereka.

Melalui pasukan pengintip, Rasulullah s.a.w mendapat laporan rombongan para pedagang Quraisy telah berjaya menyelamatkan diri dan mereka telah sampai ke Mekah. Tetapi Abu Jahal bersama tentera Quraisy seramai 1,300 orang sedang menuju ke Badar. Maka Rasulullah saw pun bermesyuarat dengan para sahabatnya. Mereka berpendapat sekiranya tentera Islam berundur berarti penakut serta memberi kemenangan moral kepada pihak musuh. Dengan ini orang-orang Quraisy akan bertambah kuat dan memungkinkan mereka bermaharajalela terhadap orang-orang Islam. Kerana itu pertembungan dengan tentera musuh tidak dapat dielakan. Walaupun jumlah tentera Islam sedikit dengan kelengkapan senjata yang tidak mencukupi namun semangat jihad untuk mempertahankan Islam membara dalam diri mereka.

Kemudian Nabi Muhamad saw memerintahkan tentera Islam membina markas di satu tempat yang ada punca mata air. Mereka menggali kolam-kolam untuk menampung air minuman.
Kemudian Saad bin Muadz mencadangkan, Wahai Rasulullah! Saya mencadangkan dibina tempat perlindungan buatmu. Biar kami bertempur dengan musuh. Jika Allah mengurniakan kemenangan itulah yang sangat kami harapkan. Jika berlaku sebaliknya engkau tetap berada di tempat selamat dan masih boleh meneruskan lagi peperangan bersama mereka yang masih mengasihimu.

Cadangan itu diterima lalu para sahabat membina tempat perlindungan untuk Rasulullah s.a.w di satu tempat yang tinggi membolehkan baginda memerhati ke arah medan pertempuran. Pada malam Jumaat 17 Ramadhan itu tentera Islam diberikan ketenangan oleh Allah di mana mereka dapat tidur dengan nyenyak dan keesokan harinya mereka bangun dengan penuh bersemangat untuk bertempur dengan musuh.

Pada pagi Jumaat 17 Ramadan, tentera Islam seramai 313 orang berdepan dengan tentera Quraisy berjumlah 1,300 orang lengkap dengan senjata dan kuda. Selepas menyusun barisan tenteranya maka Nabi Muhamad pun berdoa, Ya Allah! Wahai Tuhanku, tunaikanlah apa yang telah Engkau janjikan kepadaku. Jika Engkau binasakan pasukan kecil ini maka Engkau tidak akan disembah lagi di bumi selepas ini.

Sebelum pertempuran dimulakan, Abu Jahal menyuruh tiga pahlawan Quraisy tampil ke depan untuk mencabar tentera Islam berlawan satu dengan satu. Rasulullah s.a.w meminta agar Ubaidah bin Harith, Saidina Hamzah dan Saidina Ali tampil ke depan menyahut cabaran itu. Ketiga-tiga pahlawan Islam itu berjaya membunuh musuh mereka di mana kemenangan ini merupakan kemenangan awal dalam menyemarakkan lagi semangat jihad. Selepas itu berlaku pertempuran di mana pada peringkat pertama tentera Islam mengambil kedudukan bertahan di mana tentera musuh yang menyerang berjaya dilumpuhkan.

Kemudian giliran tentera Islam pula melakukan serangan. Mereka dibantu oleh para Malaikat yang mana dapat disaksikan bagaimana terputusnya kepala dan tangan musuh tanpa dapat dilihat sesiapa yang memancungnya. Diceritakan juga bagaimana Seorang tentera Islam yang sedang mengejar musuh tiba-tiba kepala musuh itu terputus sedangkan dia belum menghayun pedangnya.

Iblis turut berada di situ dengan menyamar dirinya sebagai Suraqah bin Malik. Iblis berasa gementar apabila melihat Malaikat datang membantu tentera Islam. Ketika melarikan diri maka Iblis terlanggar Al-Harith bin Hisyam sehingga rebah. Apabila ditanya mengapa dia melarikan diri maka dengan ketakutan Iblis menyatakan dia nampak apa tidak mampu dilihat oleh orang lain.

Semasa pertempuran sedang berlansung, seorang pemuda bernama Muadz bin Amru melihat Abu Jahal sedang dikelilingi oleh beberapa orang tentera Quraisy. Dia menerpa ke arah ketua tentera Quraisyu itu lalu melibaskan senjatanya mengenai betis Abu Jahal.
Ikramah anak Abu Jahal yang berada di situ bertindak balas berjaya menetak tangan Muadz hampir putus. Namun Muadz tidak mengalah. Dia terus menyerang Abu Jahal. Apabila Muadz merasa tangannya yang terkulai itu menyusahkan dia menyerang maka dipijak tangannya yang terkulai itu sehingga putus. Kemudian dia terus menyerang Abu Jahal. Abdullah bin Masud yang melihat peristiwa itu datang membantu lalu berjaya memenggal leher Abu Jahal sehingga putus. Apabila Rasulullah saw melihat mayat Abu Jahal maka baginda mengatakan dia Firaun umat ini.

Peperangan yang bersejarah ini berakhir dengan kemenangan kepada tentera Islam di mana 70 orang musyrikin terbunuh dan 70 orang lagi berjaya ditawan. Manakala di pihak tentera Islam seramai 14 orang telah syahid.

Khamis, Februari 16, 2006

KELEBIHAN IMAM SYAFIE

Pada suatu hari Imam Syafie berkunjung ke rumah Imam Ahmad bin Hambal (Imam Hambali). Selepas makan malam Imam Syafie terus masuk ke bilik yang disediakan untuknya dan beliau segera berbaring. Anak gadis Imam Hambali yang memerhatikan perlakuan Imam Syafie tidak senang hati lalu mengadu kepada ayahnya.

'Syafie bukan seorang yang alim. Ada tiga perkara yang tidak berkenan di hatiku,katanya.

'Apa dia?'tanya Imam Ahmad bin Hambal.

'Pertama bila saya hidangkan makanan diapun makan dengan banyaknya. Kedua, dia tidak bangun solat tahajud. Dan ketiga, dia sembahyang subuh tanpa berwuduk.'

Imam Hambali pun meminta penjelasan daripada Imam Syafie mengenai aduan anak gadisnya itu. Dengan tersenyum imam Syafie pun berkata.

'Memang betul saya banyak makan di rumahmu kerana saya tahu makanan yang diberikan itu halal dan baik. Saya tidak ragu-ragu memakannya. Engkau juga seorang yang pemurah. Makanan yang diberi oleh seorang yang pemurah menjadi ubat tetapi makanan yang diberi oleh orang yang bakhil itu penyakit. Saya banyak makan bukan supaya kenyang tetapi hendak berubat dengan makananmu itu.

'Mengapa engkau tidak bangun sembahyang tahajud?'tanya Imam Hambali lagi.

'Setelah saya meletakkan kepala di atas bantal tiba-tiba saya merasakan seolah Al Quran dan Hadis dibentangkan di hadapan saya. Dengan izin Allah malam tadi saya dapat menyelesaikan 72 masalah ilmu fiqah sehingga saya tidak sempat solat tahajud.

'Kenapa engkau sembahyang subuh tanpa berwudhuk?'

'Malam tadi saya tidak tidur walau sekejap pun. Saya solat subuh dengan wudhuk solat isyak.'

Rabu, Februari 08, 2006

BILA PENULIS MERAJUK

Baru-baru ini secara kebetulan saya bertemu dengan seorang penulis wanita yang namanya sudah mula terkenal dan novel cintanya pernah dicetak hingga berpuluh ribu naskah.

- Sekarang saya sudah lari dengan penerbit itu - katanya marah.

Apa masalahnya?

-Mereka tokok tambah manuskrip tanpa kebenaran saya. Ada pulak tu di buang sesuka hati tanpa beritahu saya terlebih dulu- jawabnya geram.

- Itu saja?

-Penerbit tak hormat penulis. Mereka anggap penulis bergantung hidup dengan mereka padahal mereka yang bergantung kepada penulis.

-Macam mana dengan bayaran royalti?

_Saya pernah dapat berpuluh ribu ringgit untuk sebuah novel tetapi penerbit tentu dah ambil berlipat kali ganda.

Maka diapun merajuk lalu membuka syarikat sendiri dan menerbitkan novel sendiri.

-Macam mana dengan pamasarannya?

-Saya pergi ke kedai-kedai. Memang penat tapi hati saya puas.

-Macam mana dengan pendapatan?. Maksud saya berbanding dengan dulu?

-Mula-mula ni memang kurang tapi hati saya puas.

Dalam perjalanan pulang saya berfikir, ada penulis merajuk kerana manuskrip novelnya ditokok tambah oleh editor tanpa kebenarannya. Ada pula yang merasa tidak dihargai oleh penerbit.

Bila dah merajuk biasanya penulis lari ke penerbit lain atau membuka syarikat penerbitan sendiri.

Tetapi bila penulis jadi penerbit ruang untuk dia berkarya semakin sempit kerana dia terpaksa membahagikan masa untuk menulis dan memasarkan bukunya.

Biasanya bila sesuatu tindakan itu dilakukan berpunca dari rasa marah atau tidak puas hati maka lebih banyak resiko yang terpaksa dihadapi.

Kerana itu alangkah eloknya dijaga hubungan baik antara penulis dengan penerbit.

Selasa, Februari 07, 2006

HARI-HARI TERAKHIR SEORANG BIDUAN

Pada malam khamis yang lalu (1/2) saya nampak penyanyi S.Jibeng sedang menyanyi di pasar malam di pekan kuala Klawang, Jelebu. Tidak ada pentas kerana dia menyanyi sambil duduk di atas kerusi yang diletakkan di atas tanah sambil memegang pembesar suara diiringi oleh seorang pemain gitar. Di belakangnya kelihatan seorang wanita dan beberapa orang kanak-kanak. (mungkin isteri dan anak-anaknya) di depan beliau terdapat sebuah tin empat segi (bekas tin biskut) bertulis berilah sumbangan ikhlas untuk S.Jibeng.

Kemudian esoknya sekali lagi saya melihat S.Jibeng di pasar tani Simpang Pertang dengan gaya yang sama.

Dan kali terakhir saya melihatnya pada pagi hari ahad (5/2) di pasar tani Kuala Klawang.Kerana dia penyanyi yang dikenali ramai maka agak ramai juga yang menyaksikan persembahannya.

Saya berasa kasihan melihatnya kerana hanya beberapa orang sahaja yang bermurah hati memasukkan duit ke dalam tin derma ikhlas tersebut. Mungkin wang yang didapatinya tidak cukup untuk duit minyak datang ke Jelebu. Belum termasuk penginapan dan makan minumnya.

Kalau persembahan terbuka seperti itu dibuat di kawasan bandar mungkin agak ramai juga yang memahaminya dan memasukkan duit ke dalam tabung yang disediakan tetapi bila dibuat di kawasan pedalaman yang penontonnya ramai terdiri dari orantg-orang kampung mereka semacam seronok menyaksikan persembahan S.Jibeng tetapi semacam malu-malu hendak memasukkan duit ke dalam tabung yang disediakan.

Pada hari ini saya tersentak bila mendengar berita di tv S.Jibeng telah meninggal dunia di hospital Johor bharu.

Menurut pembaca berita S Jibeng meninggal dunia setelah balik dari membuat persembahan di Jelebu. al fatihah.

Rabu, Februari 01, 2006

SALAHUDIN AL AYUBI

RIWAYAT HIDUP SALAHUDIN AL AYUBI

Salahudin Al-Ayubi atau nama sebenarnya Sholahuddin Yusuf bin Ayyub, Atau Saladin –menurut panggilan orang Barat– lahir pada tahun 1137M, di kota Tikrit, berhampiran dengan Sungai Tigris, kira-kira 140 km dari kota Baghdad.

Beliau dari suku bangsa Kurdish dan semasa dilahirkan keluarganya dihalau dari Tikrit oleh pemerintah Baghdad kerana dituduh penghianat. Dalam perjalanan ke Alleppo Salahudin dilahirkan sehingga ayahnya berkata Anakku ini dilahirkan ketika aku dalam kesusahan. Aku bimbang kelahirannya membawa sial. Tidak siapa menyangka bayi itu menjadi pahlawan terbilang.

Semasa kecilnya Salahuddin Al Ayubi mendapat pendidikan ilmu ketenteraan daripada bapa saudaranya Asaddin Shirkuh atau Assaddudin Shirkuwah seorang panglima perang.
Salahuddin dibesarkan sama seperti anak-anak Kurdish biasa. Pendidikannya juga seperti orang lain, belajar ilmu sains di samping seni peperangan dan mempertahankan diri. Tiada seorangpun yang menyangka suatu hari nanti dia akan merampas kembali bumi Palestin dari tentera Salib. Walau bagaimanapun Allah telah mentakdirkannya untuk menjadi pemimpin besar pada zamannya dan Allah telah menyediakan dan memudahkan jalan-jalannya ke arah itu.

Kerjayanya bermula sebagai tentera berkuda Al-Malik Nuruddin, sultan Aleppo, kemudian dia diperintahkan untuk pergi ke Mesir. Pada masa itu Mesir diperintah oleh kerajaan Fatimiyah yang berfahaman Syiah. Pada mulanya Salahudin berasa berat hati hendak berangkat ke Mesir kerana lebih sayangkan Aleppo. Sesungguhnya Allah perancang yang Maha Bijaksana seperti yang termaktub dalam Al Quran; Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu (Al-Baqarah:216).

Apabila Salahudin sampai di Mesir keadaan tiba-tiba berubah. Dia yakin Allah telah memberi tanggung jawab kepadanya untuk membebaskan Baitul Muqaddis dari penaklukan Kristian. Dia menjadi seorang yang zuhud dan tidak tergoda dengan kesenangan dunia.

Stanley Lane Poole mencatatkan bahawa Salahuddin mengubah cara hidupnya kepada yang lebih keras. Dia bertambah warak dan menjalani hidup yang lebih berdisiplin dan sederhana. Dia mengenepikan corak hidup senang dan memilih corak hidup sederhana yang menjadi contoh kepada tenteranya. Dia menumpukan seluruh tenaganya untuk membina kekuatan Islam bagi menawan semula Jerusalem. Salahuddin pernah berkata, Ketika Allah menganugerahkan aku bumi Mesir, aku yakin DIA juga bermaksud Palestin untukku. Ini menyebabkan DIA memenangkan perjuangan Islam.

Sehubungan dengan itu Salahudin telah menyerahkan dirinya untuk jalan jihad. Fikiran Salahuddin sentiasa tertumpu kepada jihad di jalan Allah. Bahauddin, jurutulis Sultan Salahudin mencatatkan, semangat Salahuddin sentiasa berkobar-kobar untuk berjihad menentang tentera Salib telah menyebabkan jihad menjadi tajuk perbincangan yang paling digemarinya.Dia sentiasa meluangkan seluruh tenaganya untuk memperkuat pasukan tenteranya, mencari mujahid-mujahid dan senjata untuk tujuan berjihad. Jika ada sesiapa yang bercakap kepadanya berkenaan jihad dia akan memberikan sepenuh perhatian. Sehubungan dengan ini dia lebih banyak di dalam khemah perang daripada duduk di istana bersama sanak keluarga. Siapa sahaja yang menggalakkannya berjihad akan mendapat kepercayaannya. Apabila dia telah memulakan jihad melawan tentera salib dia akan menumpahkan seluruh perhatiannya kepada persiapan perang dan menaikkan semangat tenteranya.

Dalam medan peperangan dia bagaikan seorang ibu yang kehilangan anak. Dia akan bergerak dari satu penjuru ke penjuru yang lain dalam usaha menaikkan semangat tenteranya supaya benar-benar berjihad di jalan Allah. Dia sanggup pergi ke pelosok tanah air dengan mata yang berlinang mengajak umat Islam supaya bangkit membela Islam. Ketika perang berlansung dia lebih suka berpuasa. Semasa mengepung Acre dia demam namun tetap berpuasa. Doktor peribadinya berkata bahawa Salahuddin hanya berbuka dengan beberapa suap makanan sahaja kerena tidak mahu perhatiannya kepada peperangan terganggu.

Kemenangan peperangan Hittin telah membuka jalan mudah kepada Salahuddin untuk menawan Baitul Muqaddis. Bahauddin telah mencatatkan bahawa Salahuddin sangat-sangat berhajat untuk menawan baitul Muqaddis Hajatnya tercapai pada hari jumaat, 27 Rajab, 583H, iaitu pada hari Israk Mikraj, Salahuddin telah memasuki Masjidil al Aqsa.

Dalam catatan Bahauddin menyatakan inilah hari kemenangan atas kemenangan. Ramai orang yang terdiri dari ulama, pembesar-pembesar, peniaga dan orang-orang biasa datang merayakan kemenangan ini. Kemudiannya ramai lagi orang datang dari pantai dan hampir semua ulama-ulama dari Mesir dan Syria datang untuk mengucapkan tahniah kepada Salahuddin. Boleh dikatakan hampir semua pembesar-pembesar datang. Laungan Allahhu Akbar dan Tiada tuhan melainkan Allah telah bergema ke angkasa.

Sifat penyayang dan belas kasihan Salahuddin semasa peperangan ini sangat jauh berbeda daripada kekejaman tentera Salib. Ahli sejarah Kristian pun mengakui hal ini. Lane-Poole mengesahkan bahwa kebaikan hati Salahuddin telah mencegahnya daripada membalas dendam. Dia telah menuliskan yang Salahuddin telah menunjukkan ketinggian akhlaknya ketika orang-orang Kristian menyerah kalah.Tenteranya sangat bertanggung jawab, menjaga peraturan di setiap jalan, mencegah segala bentuk kekerasan hinggakan tiada kedengaran orang-orang Kristian diperlakukan tidak baik.

Selanjutnya Lane-Poole menuliskan bagaimana pula tindak-tanduk tentera Kristian ketika menawan Baitul Muqaddis kali pertama pada tahun 1099. Telah tercatat dalam sejarah bahawa ketika Godfrey dan Tancred menunggang kuda di jalan-jalan Jerusalem jalan-jalan itu 'tersumbat' dengan mayat-mayat, orang-orang Islam yang tidak bersenjata disiksa, dibakar dan dipanah dari jarak dekat dari atas bumbung dan menara rumah-rumah ibadah. Darah yang membasahi bumi yang mengalir dari pembunuhan orang-orang Islam secara beramai-ramai telah mencemarkan kesucian gereja di mana sebelumnya kasih sayang sentiasa diajarkan.

Maka sangat bernasip baik orang-orang Kristian apabila mereka dilayan dengan baik oleh Salahuddin. Lane-Poole juga menuliskan, jika hanya penaklukan Jerusalem sahaja yang diketahui mengenai Salahuddin, maka ia sudah cukup membuktikan dialah seorang penakluk yang paling penyantun dan baik hati di zamannya bahkan mungkin di sepanjang zaman.

Lane-Poole juga menuliskan dalam setiap peperangan Salahuddin sentiasa berbincang dalam majlis yang membuat keputusan-keputusan ketenteraan. Kadang-kadang majlis ini membatalkan keputusan Salahuddin sendiri. Dalam majlis ini tiada siapa yang mempunyai suara lebih berat tiada siapa yang lebih mempengaruhi fikiran Salahuddin. Semuanya sama sahaja. Dalam majlis itu ada adiknya, anak-anaknya, anak saudaranya, sahabat-sahabat lamanya, pembesar-pembesar tentera, kadi, bendahari dan setiausaha. Semuanya mempunyai sumbangan yang sama banyak dalam membuat keputusan. Pendeknya semuanya menyumbang dalam kepakaran masing-masing. Walau apa pun perbincangan dan perdebatan dalam majlis itu, mereka memberikan ketaatan mereka kepada Salahuddin.

Bahauddin bin Shaddad, penasihat utama Salahuddin telah mencatatkan berkenaan kewarakan Salahuddin. Dia sentiasa melakukan sembahyang berjemaah. Bahkan ketika sakitnya pun dia memaksa dirinya berdiri di belakang imam. Dia sentiasa mengerjakan sembahyang Tahajjud. Bahauddin melihatnya sentiasa sembahyang di belakang imam ketika sakitnya, kecuali tiga hari terakhir di mana ia telah tersangat lemah dan selalu pingsan.

Dia tidak pernah tinggal sembahyang fardhu. Tetapi dia tidak pernah membayar zakat harta kerana tidak mempunyai harta yang cukup nisab. Dia sangat murah hati dan akan menyedekahkah apa yang ada padanya kepada fakir miskin dan kepada yang memerlukan hinggakan ketika wafatnya dia tidak meninggalkan harta. Bahauddin juga mencatatkan bahawa Salahuddin tidak pernah meninggalkan puasa Ramadhan kecuali hanya sekali apabila dinasihatkan oleh Kadi Fadhil. Ketika sakitnya pun ia berpuasa sehinggalah doktor menasihat kannya dengan keras supaya berbuka. Lalu ia berbuka dengan hati yang berat sambil berkata, Aku tak tahu bila ajal akan menemuiku. Maka segera ia membayar fidyah.

Dalam catatan Bahauddin juga menunjukkan Salahuddin teringin sangat menunaikan haji ke Mekah tetapi dia tidak pernah berkesempatan. Pada tahun kemangkatannya,
keinginannya menunaikan haji telah menjadi-jadi tetapi ditakdirkan tidak kesampaian. Dia sangat gemar mendengar bacaan Quran. Dalam medan peperangan ia acap kali duduk mendegar bacaan Quran para pengawal yang dilawatnya sehingga 3 atau 4 juzuk semalam. Dia mendengar dengan sepenuh hati sehingga air matanya membasahi dagunya.

Dia juga gemar mendengar bacaan hadis Rasulullah saw. Dia akan memerintahkan orang-orang yang bersamanya duduk apabila hadis dibacakan. Apabila ulama hadis datang ke bandar, dia akan pergi mendengar kuliahnya. Kadang kadang dia sendiri membacakan hadis dengan mata yang berlinang.

Salahuddin sangat yakin dan percaya kepada pertolongan Allah. Dia biasa meletakkan segala harapan nya kepada Allah terutama ketika dalam kesusahan. Pada satu ketika dia berada di Jerusalem yang pada masa itu seolah-olah tidak dapat bertahan lagi dari pada kepungan tentera bersekutu Kristian. Walaupun keadaan sangat terdesak dia enggan untuk meninggalkan kota suci itu. Malam itu adalah malam Jumaat musim sejuk. Bahaauddin mencatatkan, Hanya aku dan Salahuddin sahaja pada masa itu. Dia menghabis kan masa malam itu dengan bersembahyang dan munajat.

Aku berada di sebelahnya ketika dahinya mencecah bumi sambil menangis hingga air matanya mambasahi janggutnya dan menitik ke tempat sembahyang. Aku tidak tahu apa yang didoakannya tetapi aku melihat tanda-tanda doanya dikabulkan sebelum hari itu berakhir. Perbalahan berlaku di antara musuh-musuh yang menatijahkan berita baik bagi kami beberapa hari kemudian. Akhirnya tentera salib membuka khemah-khemah mereka dan berangkat.

Salahuddin tidak pernah gentar dengan ramainya tentera Salib yang datang untuk menentangnya. Dalam satu peperangan tentera Salib berjumlah sehingga 600,000 orang, tetapi Salahuddin menghadapinya dengan tentera yang jauh lebih sedikit. Berkat pertolongan Allah mereka menang, membunuh ramai musuh dan membawa ramai tawanan. Ketika mengepung Acre, pada satu petang lebih dari 70 kapal tentera musuh beserta senjata berat mendarat. Boleh dikatakan semua orang merasa gentar kecuali Salahuddin. Dalam satu peperangan yang sengit semasa kepungan ini, serangan mendadak besar-besaran dari musuh telah menyebabkan tentera Islam kalang kabut. Tentera musuh telah merempuh khemah-khemat tentera Islam bahkan telah sampai ke khemah Salahuddin dan mencabut benderanya. Tetapi Salahuddin bertahan dengan teguhnya dan berjaya mengatur tenteranya kembali sehingga dia berjaya membalikkan kekalahan menjadi kemenangan.

Musuh telah kalah teruk dan berundur meninggalkan lebih kurang 7,000 mayat-mayat. Bahauddin ada mencatatkan betapa besarnya cita-cita Salahuddin. Suatu hari Salahuddin pernah berkata kepadanya, Aku hendak beri tahu padamu apa yang ada dalam hatiku. Apabila Allah mentakdirkan seluruh tanah suci ini di bawah kekuasaanku, aku akan serahkan tanah-tanah kekuasaanku ini kepada anak-anakku, kuberikan arahan-arahanku yang terakhir lalu ku ucapkan selamat tinggal. Aku akan belayar untuk menaklukkan pulau-pulau dan tanah-tanah yang lain. Aku tak akan meletakkan senjata ku selagi masih ada orang-orang kafir di atas muka bumi ini sehingga ajalku sampai.

Salahuddin memiliki asas pengetahuan agama yang kukuh. Dia juga mengetahui setiap suku-suku kaum Arab dan adat-adat resam mereka. Bahkan dia mengetahui sifat-sifat kuda Arab walaupun dia sebenarnya orang Kurdish. Dia sangat gemar mengumpulkan pengetahuan dan maklumat dari kawan-kawannya dan utusan-utusannya yang sentiasa berjalan dari satu penjuru ke satu penjuru negerinya. Di samping Quran dia juga banyak menghafal syair-syair Arab. Lane-Poole juga ada menuliskan bahawa Salahuddin berpengetahuan yang dalam dan gemar untuk mendalami lagi bidang-bidang akidah, ilmu hadis serta sanad-sanad dan perawi-perawinya, syariah dan usul figh dan juga tafsir Quran.

Kejayaan terbesar Sultan Salahudin Al Ayubi ialah mengalahkan tentera Salib pada tahun 1171. Baginda memerintah selama 22 tahun telah membina kubu pertahanan dikenali sebagai al-Qalaah (Citadel) yang mana melindungi kota Kaherah dan kota lama al-Fustat dari serangan musuh. Selepas beliau meninggal pada tahun 1193 di Damsyik, Syria, pewaris-pewarisnya telah memerintah Mesir sehingga tahun 1250.

Stanley Lane Poole (1914) seorang penulis Barat menyifatkan Salahuddin sebagai seorang yang memilliki kelebihan daripada orang lain kerana menunjukkan akhlak yang mulia. Menurutnya pada hari tentera salib menakluk Jerusalem pada tahun 1099, mereka telah menyembelih orang-orang Islam termasuk wanita dan kanak-kanak, bermula dari pagi hinggalah ke tengah malam. Pada keesokan harinya mayat-mayat orang Islam bertimbun setinggi paras lutut di sepanjang jalan di Jerusalem.

Tetapi apabila Sultan Salahudin al-Ayubi menakluk kembali Jerusalem pada 1187, tentera Islam tidak membunuh seorang pun penduduk Jerusalem , malah pada keesokan harinya Salehudin telah membenarkan penganut semua agama (tidak kira sama ada Islam atau Kristian atau Yahudi) untuk bersembahyang di tempat-tempat suci masing-masing di bandar tersebut.

Satu lagi kebaikan yang ditunjukan oleh Sultan Salahudin ialah kepada musuhnya Raja Richard Berhati Singa yang datang dari England. Ketika peperangan sedang berlansung, Raja Richard jatuh sakit lalu Sultan Saladin mengirimnya buah-buahan segar, air sejuk dan seorang dokter. Kerana terharu dengan kebaikan Sultan Salahudin maka akhirnya ditandatangani perjanjian damai pada 1 September 1192 sehingga orang-orang Eropah berasa takjub bagaimana agama Islam boleh melahirkan seorang pahlawan yang baik seperti Salahudin Al Ayubi.

Sebelum meninggal dunia Sultan Salahudin Al Ayubi berpesan kepada anak-anaknya; "Jangan kamu menumpahkan darah, kerana apabila darah telah terpercik tidak ada yang tertidur."

Pada hari Rabu, 27 Safar, 589H, pulanglah Salahuddin ke rahmatullah pada usia 57 tahun. Bahauddin bin Shaddad, penasihat utama Salahuddin telah menulis mengenai hari-hari terakhir Salahuddin.

Pada malam 27 Safar, 12 hari selepas jatuh sakit, dia telah menjadi sangat lemah. Syeikh Abu Jaafar seorang yang warak telah diminta menemani Salahuddin di Istana supaya membaca al Quran. Memang pada malam itu telah nampak tanda-tanda berakhirnya hayat Salahuddin. Syeikh Abu Jaafar telah duduk di tepi katilnya semenjak 3 hari yang lepas membacakan Quran. Dalam masa ini Salahuddin selalu pengsan.

Apabila Syeikh Abu Jaafar membacakan ayat, Dialah Allah, tiada tuhan melainkan Dia, Yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata (Al-Hasyr: 22), Salahuddin membuka matanya sambil senyum, mukanya berseri dan denga nada yang gembira ia berkata, Memang benar tidak ada Tuhan selain Allah. Selepas dia mengucapkan kata-kata itu dia menghembuskan nafasnya yang terakhir sebelum subuh, 27 Safar.

Seterusnya Bahauddin menceritakan Salahuddin tidak meninggalkan harta kecuali 1 dinar 47 dirham. Harta yang ditinggalkannya tidak cukup untuk belanja pengkebumiannya. Bahkan kain kafan pun diberikan oleh seorang menterinya.


Kisah pahlawan Islam yang terbilang ini akan dibukukan dan diterbitkan oleh PTS tidak lama lagi. InsyaAllah.

Khamis, Januari 26, 2006

SARINA MOHD SOM

SARINA MOHD SOM

Tidak lama lagi, SARINA MOHD SOM seorang penulis wanita dari Jelebu Negeri Sembilan akan muncul dengan novel sulungnya yang diterbitkan oleh KARANGKRAF (ALAF21).

Kemunculan penulis muda itu nanti pastinya merancakkan lagi dunia novel melayu di tanah air kita.

Isnin, Januari 23, 2006

SI BONGKOK TANJUNG PUTERI

Pada tahun 1998, ketika itu saya baru sahaja jadi YB (yang bersara) dengan pilihan sendiri, diminta oleh Baharudin Kadir, saya tidak tahu samaada dia masih hidup atau sudah mati, menulis skrip drama tv berjudul SI BONGKOK TANJUNG PUTERI sebanyak 26 episod dengan dijanjikan bayarannya satu episod RM 1,000.00.

Maka dengan penuh semangat saya pun berjaya menyiapkannya dalam masa tidak sampai tiga bulan. Apabila saya menyerahkan manuskrip itu kepada Baharuddin Kadir dia nampak gembira dan berpuas hati lalu menghubungi Zulkifli, seorang pengarah drama tv yang sekarang saya pun tidak tahu samaada masih hidup atau sudah mati.

Tetapi beberapa minggu kemudiannya saya dihubungi oleh Baharuddin Kadir skrip drama SI BONGKOK TANJUNG PUTERI tidak dapat diteruskan kerana masalah berlakunya kegawatan ekonomi. Maka berkecailah harapan saya untuk mendapat RM26,000.00 seperti yang dijanjikan oleh Baharudin Kadir.

Salinan Skrip itu terus tersimpan dalam bilik hingga berabuk. Skrip asal yang saya serahkan kepada Baharuddin Kadir pula tidak dipulangkan sampai sekarang.

Baru-baru ini timbul pula keinginan saya untuk menjadikan skrip drama tv itu kepada sebuah novel. Saya mengupah seorang kawan menaipnya semula kerana disketnya telah hilang. Alhamdulillah, novel SI BINGKOK TANJUNG PUTERI telah berjaya disiapkan.

Semoga SI BONGKOK TANJUNG PUTERI dapat diterbitkan dalam bentuk novel setelah tidak berjaya diterbitkan dalam bentuk drama.

* * *

Suatu ketika dulu nama Si Bongkok Tanjung Puteri menjadi sebutan dan sanjungan orang-orang Johor terutama mereka yang tinggal di Kuala Sungai Johor, Pengerang, Pulau Ubin, Kukub, Pantai Changi dan Selat Tebrau. Mereka menganggap Si Bongkok seorang wira dan tokoh lagenda walaupun Inggeris menganggapnya sebagai lanun atau perompak laut kerana kegiatannya merompak kapal dagang kepunyaan mereka.

Di sekitar tahun 60-an kisah Si Bongkok Tanjung Puteri juga pernah dijadikan drama pentas oleh SHAHAROM HUSAIN dan drama itu cukup popular di kalangan masyarakat Melayu sesuai dengan semangat kemerdekaan tanah air yang baru sahaja bebas dari penjajahan British.

Tetapi kini kisahnya semakin dilupakan dan tidak mustahil nama Si Bongkok Tanjung Puteri juga akan lenyap begitu sahaja jika tidak ada usaha-usaha untuk mengenang tokoh tersebut.

Si Bongkok seorang yang cacat. Badannya bongkok arah ke kanan. Tangan kirinya cengkong dan mukanya herot bengkak sebelah kanan. Walaupun cacat tetapi semangatnya kuat dan tidak mahu tunduk kepada penjajah. Dia juga sanggup menentang adik kandungnya sendiri kerana mereka berlainan ideologi.

Kisah bermula pada sekitar tahun 1850an apabila Sultan Ali iaitu putera Sultan Hussain Muhammad Shah menuntut takhta pemerintahan Johor yang dulunya dikenali dengan nama Tanjung Puteri daripada Temenggong Ibrahim.

Pada mulanya Sultan Husain menyerahkan kuasa kepada Temenggong Ibrahim untuk memerintah Tanjung Puteri kerana ketika itu usia Sultan Ali masih kecil. Tetapi apabila baginda sudah dewasa Temenggong Ibrahim telah menafikan hak baginda.

Temenggong Ibrahim menganggap Sultan Ali tidak layak memerintah Tanjung Puteri kerana baginda seorang yang boros dan suka bermain Judi. Untuk mengukuhkan kuasanya maka Temenggong Ibrahim membuat perjanjian dengan British.

Si Bongkok tidak setuju dengan tindakan Temenggong Ibrahim mengenepikan hak Sultan Ali dan beliau bertambah marah bila mendapat tahu pihak Britis telah dipelawa untuk campur tangan di Tanjung Puteri.

Maka Si Bongkok pun berusaha untuk mengembalikan kekuasaan Sultan Ali dengan cara menyerang kapal-kapal dagang kepunyaan British yang menuju ke Singapura. Tindakan Si Bongkok ini mendapat persetujuan daripada Sultan Ali.

Tindakan Si Bongkok juga di bantu oleh Mat Derus seorang pahlawan yang terkenal ketika itu. Mat Derus menyerang kapal dagang Inggeris yang melalui Mersing dan Kuala Sedili manakala Si Bongkok pula di Selat Tebrau dan kawasan sekitarnya.

Akibatnya ekonomi Inggeris di Singapura hampir lumpuh kerana para pedagang takut kerana banyak kapal yang di bakar dan para pedagang di tangkap atau di bunuh kerana dianggap bersubahat dengan Inggeris.

Bila merasakan ekonominya mula tergugat maka British mengadakan perjanjian dengan Temenggong Ibrahim dan dalam perjanjian itu Temenggong Ibrahim mesti menghapuskan kegiatan lanun di perairan Johor dan kawasan sekitarnya.

Temenggong Ibrahim berjaya mempengaruhi Nong Mutalib yang bergelar Pahlawan Johor supaya menghapuskan kegiatan lanun yang diketuai oleh Mat Deris. Dan untuk menentang Si Bongkok pula Temenggong Ibrahim mempengaruhi Panglima Putih iaitu adik kandung Si Bongkok untuk menentang abang kandungnya.

Dengan bantuan pembelot dari Singapura, Mersing, Lingga dan Teluk Belanga maka akhirnya Nong Mutalib berjaya membunuh Mat Derus serta menghapuskan lanun-lanun di sekitar Kuala Sedili.

Panglima Putih pula pada mulanya enggan untuk menentang abang kandungnya sendiri tetapi setelah kematian Tanjung iaitu isteinya yang dibunuh oleh Si Bongkok maka dia tidak ada pilihan melainkan berdepan dengan Si Bongkok untuk menuntut bela.

Akhirnya berlakulah pertarungan antara Si Bongkok dengan adik kandungnya sendiri Panglima Putih. Walaupu pada mulanya Si Bongkok cuba mengelak terjadinya perkelahian serta menafikan dia yang membunuh Tanjung namun Panglima Putih tidak percaya malah terus berusaha membunuh Si Bongkok.

Setelah lama bertarung akhirnya Si Bongkok di katakan kalah dan berjaya di bunuh oleh Panglima Putih. Tetapi ada pula cerita mengatakan Si Bongkok tidak kalah tetapi dia pura-pura tergelincir lalu keris di tangannya menikam dadanya sendiri. Dan mayat Si Bongkok ditanam di satu tempat bernama Belungkor.

Walau apapun yang berlaku nama Si Bongkok Tanjung Puteri lebih di sanjung oleh orang ramai berbanding adiknya Panglima Putih. Usahanya menentang penjajah serta menjaga ketuanan Melayu tetap disanjung oleh orang ramai.

Selasa, Januari 17, 2006

SYUKUR DAN TAHNIAH

Alhamdulillah, semalam 16hb, anak saya yang bongsu Norfaizin telah memulakan kerjayanya di sebuah kolej swasta. Sampailah cita-citanya menjadi seorang pensyarah. Tahniah.

Sejak sekolah rendah dia memang berminat dalam pelajaran sains dan matematik. Apabila melanjutkan pelajaran ke UKM dia mengambil jurusan sains matematik. Mungkin kerana itu pihak kolej tersebut menawarkan kerja sebagai pensyarah matematik.

Saya mengucapkan rasa syukur kepada Allah swt yang memberikan rezeki.

Isnin, Januari 16, 2006

BERITA HARIAN

Harta milik Presiden Iran cuma rumah, kereta lama

Ingin mengetahui harta-harta yang dimiliki Presiden Iran, Mahmoud Ahmadnejad?
Ketika mengambil alih kepimpinan negara tahun lalu, beliau cuma memiliki sebuah kereta dan rumah lama.
Senarai aset beliau yang diumumkan menunjukkan akaun banknya kosong selain hanya memiliki sebuah kereta berusia 30 tahun.
Menurut laporan akhbar tempatan, antara aset Mahmoud yang tersenarai adalah rumah berusia 40 tahun seluas 175 meter persegi yang terletak di daerah penduduk sederhana rendah di timur Teheran, kereta Peugeot 504 buatan tahun 1977 dan dua akaun semasa.
Satu akaun digunakan untuk menerima bayaran gaji kerja lamanya sebagai profesor universiti dan satu lagi kosong yang digunakan semasa menjadi gabenor jeneral di wilayah barat Ardebil.
Mahmoud, 48, memenangi pilihan raya pada Jun lalu dikatakan seorang presiden yang berjiwa rakyat dan sahabat kepada orang-orang miskin perlu mengemukakan senarai aset kepada ketua hakim mengikut perlembagaan negara. - AFP

Jumaat, Januari 06, 2006

MALAM PENYAMPAIAN HADIAH ESASTERA

HADIAH ESASTERA.COM KATEGORI SAJAK JENAKA (SAJEN)

Selasa, Januari 03, 2006

DI CARI PELUKIS KOMIK

Adakah saudara pelukis komik?

PTS FORTUNA mencari pelukis komik bagi menerbitkan edisi komik tiga buah novel pahlawan Islam iaitu Tariq bin Ziyad, Khalid al Walid dan Salahuddin Ayubi.

Komik-komik itu disasarkan kepada remaja lelaki. Sesuai dengan citasa remaja lelaki, komik-komik itu nanti banyak menampilkan babak-babak perang.

Storyboardnya sedang mula disediakan.

Saudara perlu melukis wajah-wajah orang Arab, Iran, Sepanyol, Kristian Rumawi, aksi perang berkuda dan latar belakang pandangan alam Sepanyol, Iraq, Iran dan Jerusalem.

Projek ini memberi peluang nama saudara dicetak pada kulit buku. Saudara akan berkongsi hakcipta dan royalti dengan penulis karya asal dan penulis storyboard.

Catatan:
Disalin dari blog puan AINON MOHD.

Isnin, Januari 02, 2006

SELAMAT TAHUN BARU 2006 / 1427 H..

Tahun 2005 / 1426 H telahpun berlalu kini tahun 2006 / 1427 H pula menjelma. Biasanya kedatangan tahun baru disambut dengan azam baru. Semoga tahun ini lebih baik dari tahun yang lalu.

Sebagai seorang suami antara kenangan manis tahun 2005 apabila menyambut hari ulangtahun perkahwinan yang ke 26.

sebagai seorang ayah kenangan manis tahun 2005 apabila menyaksikan anak naik ke pentas menerima watikah pada hari konvokesyen.

Dan sebagai seorang penulis kenangan paling manis tahun 2005 apabila menerima hadiah dari kerajaan Negeri Sembilan, kerajaan negeri Sarawak dan esastera.com. Seoga kenangan-kenangan manis itu akan berulang lagi. insyaAllah.

Majlis penyampaian hadiah novel di Sarawak pada 2hb Disember 2005.

Khamis, Disember 29, 2005

KEMPEN BERBUDI BAHASA

Tidak lama dulu televisyen kita ada menayangkan satu babak dalam komuter seorang pemuda meletakkan barangnya pada tempat duduk di sebelah menyebabkan penumpang lain tidak dapat duduk.

Mula-mula datang seorang tua terpaksa berdiri kerana tempat duduk di sebelah pemuda itu berisi barang. kemudian datang pula seorang wanita yang sedang mengandung juga tidak dihiraukan oleh pemuda itu. Akhirnya datang seorang buta. Pemuda itu tetap buat muka selamba.

kempen itu mengajak orang ramai bertimbang rasa ketika menaiki pengangkutan awam supaya mengasihani orang tua, wanita mengandung dan orang buta supaya kita memberi tempat duduk kepada mereka dan jangan biarkan mereka berdiri. Dan saya rasa kempen itu ada kesannya.

Baru-baru ini saya ke kuala lumpur menaiki komuter hingga ke kl sentral. Kemudian naik LRT hingga ke Petaling Jaya.

Sepanjang perjalanan itu saya lihat ada seorang wanita muda memberi tempat duduknya kepada seorang lelaki tua yang pada mulanya terpaksa berdiri kerana tidak ada tempat duduk. Begitu juga bila ada wanita yang mengandung maka ada penumpang yang dengan rela hati mengosongkan tempat duduknya supaya diduduki oleh wanita itu. Malah saya sendiri semasa perjalanan balik seorang anak muda cina berdiri sambil mencuit bahu saya menyuruh duduk di tempatnya. Tetapi saya menolaknya kerana masih bertenaga untuk berdiri.

Dari peristiwa itu pada pandangan saya kempen berbudi bahasa yang dilancarkan baru-baru ini memberi kesan kepada orang ramai terutama penumpang pengangkutan awam.

Bercakap pasal pengangkutan awam, di negara kita orang ramai memang berdisiplin apabila hendak menaiki bas kerana mereka sanggup beratur. Tetapi di Indonesia mereka masih berebut-rebut seperti yang pernah berlaku di negara kita suatu ketika dulu.

Oh ya, kabarnya jemaah haji Malaysia semasa di Mekah dan Madinah masih berebut-rebut menaiki bas. Kenapa ye?.

Ahad, Disember 25, 2005

HESCOM 2005

Hadiah eSastera.com 2005 (Hescom 2005)

Malam ini bertempat di Hotel Singgahsana, Petaling Jaya, pada jam 8.00 malam diadakan majlis penyampaian Hadiah Esastera.Com 2005 atau Hescom 2005.

SENARAI FINALIS UNTUK ANUGERAH UTAMA HESCOM 05

Anugerah Penyair Alam Siber (Apas 05)

1. Rudy Bluehikari
2. Airmas SZ
3. Amir Mukhriz
4. Anbakri
5. Mohd Haniff Romai Noor (Anipe)
6. Mohd Dahri Zakaria
7. Saleha Ahmad
8. Tintasukma
9. Nimoiz T.Y
10. As Syramy
11. Nuralana
12. Usop 2000
13. Fahd Razy
14. Ahkarim

Anugerah Sajak Jenaka Alam Siber (Asjas 05)

1. Abdullatip
2. Airmas _SZ
3. Anbakri
4. Rudy Bluehikari
5. As Syramy

Anugerah Cereka Alam Siber (Acas 05)

1. Abdullatip
2. Saleha Ahmad
3. Titnasukma
4. Fahd Razy

Anugerah Novelis Alam Siber (Anas 05)
Tiada anugerah dikeluarkan kerana tiada novel yang disiapkan dalam tahun 2005.


Anugerah Haiku Melayu Alam Siber (Ahmas 05)

1. Abdullatip
2. Saleha Ahmad
3. Rudy Bluehikari
4. As Syramy
5. Dipinggiran
6. Izwansah (EP)
WAB/22.12.05

Selasa, Disember 20, 2005

KLIK DBP (BERITA HARIAN 19/12)

Majlis Penyampaian Hadiah Peraduan Menulis Sastera Kreatif Budaya Sarawak 2003
[Oleh Hajijah Hj. Mainol]


MAJLIS Penyampaian Hadiah Peraduan Menulis Sastera Kreatif Budaya Sarawak 2003 telah berlangsung dengan jayanya di Hotel Merdeka Palace, Kuching pada 2 Disember 2005.

Majlis yang penuh makna ini telah disempurnakan oleh Menteri Perumahan Sarawak, Y.B. Dato Sri Abang Hj. Abdul Rahman Johari Tun Abang Hj. Openg. Selain bertujuan meningkatkan kuantiti dan kualiti penulisan kreatif di Malaysia yang berlatarbelakangkan sosiobudaya rakyat Sarawak, peraduan ini juga bertujuan meningkatkan lagi tahap kesedaran masyarakat tentang pentingnya hidup dalam masyarakat majmuk yang boleh mengukuhkan integrasi nasional.

Peraduan ini terbahagi kepada 3 kategori iaitu kategori novel, cerpen dan puisi. Bagi kategori novel, Randau Ruai karya Saudara Abd. Latip Talip dari Jelebu, Negeri Sembilan berjaya meraih tempat pertama dan membawa pulang wang tunai RM15,000.00. Novel ini mengupas isu tanggungjawab politik dan konflik pembangunan masyarakat desa berlatarbelakangkan rumah panjang Nanga Setia. Novel ini juga menyentuh tentang adat resam negeri Sarawak baik yang sudah luput seperti “ngayap” mahupun yang masih diamalkan pada masa sekarang.

Hubungan antara kaum, antara penduduk Semenanjung dan Sarawak, semangat peribumi, nilai-nilai positif seperti kesetiaan kepada pemimpin serta bermesyuarah dalam membuat keputusan menjadi fokus utama pengarang. Novel Qatrunnada karya Sarimah Alit dari Kuching, Sarawak berjaya memenangi tempat kedua dan meraih wang tunai RM7,000.00 manakala tempat ketiga dimenangi oleh Jong Chian Lai dengan karya berjudul Ensera Marga Timur dari St. Anthony yang melayakkan beliau menerima hadiah bernilai RM4,000.00.

Bagi Kategori Cerpen, Menjamu Semangat karya Abang Median Abang Said memenangi tempat pertama dan meraih wang tunai bernilai RM4,000.00. Cerpen ini menggambarkan kekuatan serta kreativiti pengarang dari sudut realisme magis. Tempat kedua pula dimenangi oleh Darhiri Saini dari Kuching, Sarawak dengan cerpennya Mantera Janji dan membawa pulang RM3,000.00 manakala cerpen Memanjat Langit oleh Jaya Ramba dari Miri, Sarawak menerima hadiah wang tunai bernilai RM2,000.00.

Bagi kategori puisi, Puisi Buatmu Long Palai karya Hassan Baseri Budiman dari Sg. Petani, Kedah berjaya menggondol tempat pertama dan menerima wang tunai RM4,000.00. Tempat kedua dimenangi oleh Abang Median Abang Said dari Kuching, Sarawak yang menerima hadiah wang tunai berjumlah RM3,000.00 dengan karyanya yang berjudul Meredah Resam di Tanah Baram. Tempat ketiga pula dimenangi oleh Pharo Abdul Hakim dari Kuching, Sarawak yang menerima wang tunai RM2,000.00 dengan karyanya berjudul Meredah Lembah Gundah.

Selasa, Disember 13, 2005

CATATAN PERJALANAN KE SARAWAK

Setelah lebih seminggu berlalu namun seperti baru semalam saya berada di kucing. Banyak kenangan yang hendak ditulis dalam blog peribadi ini mengenai perjalanan ke Sarawak, majlis penyampaian hadiah yang sungguh bermakna, berjalan-jalan di tepi sungai Sarawak bersama keluarga, membeli kraftangan Sarawak, menginap di Merdeka Palace, bertemu dengan penulis-penulis Sarawak, dan lain-lain lagi. Semuanya tersimpan dalam memori menjadi kenangan sepanjang hayat.

Setelah 8 tahun tidak ke Sarawak, saya rasa seperti baru pertama kali sampai kerana banyak perubahannya. Bandar Kucing kelihatan bersih dan di hias indah. Di tebing sungai Sarawak dibina laluan berjalan kaki yang cantik. Cuma makanan sahaja agak kurang ngam dengan selera kami yang biasa makan masak lemak cili api.

Walaubagaimanapun saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Aghata yang membuat tempahan untuk kami menginap pada malam pertama di Hotel Grand Continental. Dia juga yang menunggu ketibaan kami di lapangan terbang Kucing dengan keretanya. Terima kasih Aghata.

Pada sebelah malamnya Cikgu Jamaludin dan Isterinya, orang semenanjung bertugas di Sarawak, membawa kami bersiar-siar di bandar Kucing dengan Vannya. kemudian kami singgah makan malam di sebuah restoran di Satok. Kata Cikgu Jamaludin tidak sah ke Sarawak kalau tak makan Mee Kolok dan membeli tikar Sarawak.

Terima kasih juga diucapkan kepada DBP Sarawak terutama Puan Hajijah Mainol yang menempatkan kami di Hotel Merdeka Palace. Saya dan keluarga di beri bilik suite di tingkat 18. Bilik itu sungguh selesa untuk kami sekeluarga.

Dan esoknya abang Nahar (Pemandu DBP Sarawak) menghantar kami membeli cenderamata dan beliau juga yang menghantar kami ke lapangan terbang Kucing semasa balik. Terima kasih abang Nahar.

Terima kasih juga diucapkan kepada kerajaan Sarawak yang menaja satu peraduan menulis sastera kreatif bertaraf kebangsaan dan diselenggarakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak dengan bantuan GAPENA dan PUTERA.

Saya bersyukur kepada Allah yang memberi rezeki dengan membawa pulang hadiah RM16,000.00 (Novel RM15,000.00 dan cerpen RM1,000.00). Alhamdulillah.

Puncak Santubung tinggi di awan
mudik perahu menuju selat
negeri sarawak dalam kenangan
tidak kulupa sepanjang hayat.

Rabu, Disember 07, 2005

LAPORAN PANEL HAKIM


RANDAU RUAI

LAPORAN PANEL HAKIM

Novel ini membawa isu pertanggungjawaban politik dan konflik pembangunan kepada masyarakat desa.

Tuai Pasong mempersoalkan langkah kerajaan mengambil alih tanah penduduk kampung untuk pembangunan kerana keuntungan bukan sampai kepada orang kampung tetapi kepada tauke-tauke besar seperti tauke balak, tauke kilang minyak sawit dan sebagainya. Pembangunan tanah desa juga akan menghilangkan peluang untuk berburu hidupan liar di hutan-hutan terbiar.

Syafiq di arah pulang ke semenanjung kerana gagal dalam misinya untuk membangunkan nanga Setia. Sebelum beliau pulang Aghata menawarkan Syafiq cadangan pembangunan Lembah Ranum oleh sebuah syarikat yang dipengerusikan olehnya sendiri. Syarikat ini mendapat bantuan daripada pelbagai pihak termasuk seorang tokoh korporat dari semenanjung bernama Dato Ramdan. Dalam epilog, digambarkan kejayaan Syarikat Nanga Setia membangun ladang kelapa sawit setelah tujuh tahun diusahakan.

Novel ini mengisahkan pembangunan negeri Sarawak melalui tenaga sonergi tokoh dari Sarawak dan Semenanjung. Novel ini bersifat realisme yang menyentuh persoalan yang amat penting- mengenai pembangunan dan kesungguhan tokoh-tokohnya untuk membawa perubahan dan pembangunan di kawasan pedalaman negeri Sarawak. Di mana FELCRA gagal sebagai agensi kerajaan, rakyat negeri Sarawak berjaya menerusi budaya kerjasama dan perpaduan erat untuk membangun tanah mereka.

Selain itu novel ini juga menyentuh tentang adat resam negeri Sarawak baik yang sudah luput seperti ngayap dan ngayau mahupun yang masih diamalkan pada masa sekarang. Hubungan antara kaum, antara penduduk semenanjung dan sarawak, semangat pribumi, hubungan kekeluargaan, diberikan fokus juga oleh pengarang, novelis juga memberikan tumpuan kepada nilai-nilai positif seperti ketaatsetiaan kepada pemimpin, bermusyuarah dalam membuat keputusan dan lain-lain. Nilai-nilai sosial yang negatif seperti mabuk alkohol, rasuah, berdendam,fitnah dan sebagainya juga dibincangkan.

Dalam latar belakang masyarakat Nanga Setia, novelis memperkenalkan watak-watak utama dan terus menggambarkan tema novel ini yakni pembangunan tanah dan masyarakat pribumi. Novel ini kemudian berkisar kepada watak utama yakni Syafiq dan Aghata yang bertemu dengan secara kebetulan dalam penerbangan ke Sibu. Kemuncak novel ini ialah krisis yang berlaku antara tuai pasong beserta Ambing dengan pihak Syafiq mewakili FELCRA.

Novel berakhir dengan menggambarkan kejayaan Syafiq dan Aghata untuk membangun tanah mereka secara sendiri tanpa campur tangan pihak kerajaan. Dari segi perwatakan pula novel ini diwakili oleh Syafiq, Aghata, Mandar Jerunai. Sementara watak antagonis pula diwakili oleh Tuai Pasong, Ambing, Tauke Lim dan beberapa watak yang lain.

Konflik antara kedua-dua pihak seperti konflik antara kelompok tradisional dengan kelompok moderat yang berbeza pendapat tentang pembangunan. Kelompok moderat dapat mencapai kejayaan sementara antagonis seperti tuai pasong terkorban oleh unsur yang kuat dipertahankannya, iaitu harimau buruannya sementara ambing pula dihadapkan kepada keadilan kerana menjalankan operasi pembalakan haram tauke Lim.

Haji Hamdan Yahya
Haji Hamzah Hamdani

Ahad, Disember 04, 2005

KEPUTUSAN SAYEMBARA SASTERA SARAWAK

KEPUTUSAN PERADUAN MENULIS SASTERA KREATIF BUDAYA SARAWAK 2003

KATEGORI NOVEL

HADIAH PERTAMA

ABDUL LATIP BIN TALIB
NEGERI SEMBILAN

RM 15,000.00 DAN SIJIL

JUDUL KARYA : RANDAU RUAI


HADIAH KEDUA

SARIMAH ALIT
SARAWAK

RM 7,000.00 DAN SIJIL

JUDUL KARYA : QATRUNNADA


HADIAH KETIGA

JONG CHIAN LAI
SARAWAK

RM 4,000.00 DAN SIJIL

JUDUL KARYA :ENSERI MARGA TIMUR DARI ST ANTHONY



KATEGORI CERPEN

HADIAH PERTAMA

ABANG MEDIAN ABANG SAID
SARAWAK

RM 4,000.00 DAN SIJIL

JUDUL KARYA : MENJAMU SEMANGAT

HADIAH KEDUA

DAHIRI SAINI
SARAWAK

RM 3,000.00 DAN SIJIL

JUDUL KARYA MENTERA JANJI

HADIAH KETIGA

JAYA RAMBA
SARAWAK

RM 2,000.00 DAN SIJIL

JUDUL KARYA MEMANJAT LANGIT

TIGA HADIAH SAGUHATI
RM 1,000.00 SETIAP SATU DAN SIJIL

1. DAFAIE ISMAIL
SARAWAK

JUDUL KARYA : TAJAU KELIRING

2. JAYA RAMBA
SARAWAK

JUDUL KARYA : JERATNYA TERLEPAS LAGI

3. ABD LATIP BIN TALIB
NEGERI SEMBILAN

JUDUL KARYA : RANDAU RUAI


KATEGORI PUISI

HADIAH PERTAMA

HASAN BASERI BUDIMAN
KEDAH

Rm 4,000.00 DAN SIJIL

JUDUL KARYA: PUISI BUATMU LONG PALAI

HADIAH KEDUA

ABANG MEDIAN ABANG SAID
SARAWAK

RM 3,000.00 DAM SIJIL

JUDUL KARYA: MEREDAH RESAM DI TANAH BARAM

HADIAH KETIGA

PHARO ABD HAKIM
SARAWAK

RM 2,000.00 DAN SIJIL

JUDUL KARYA MEREDAH LEMBAH GUNDAH

TIGA HADIAH SAGU HATI
RM 1,000.00 SETIAP SATU DAN SIJIL

1. JAAFAR HAJI HAMDAN
SARAWAK

JUDUL KARYA : MARILAH KITA BINA BERSAMA

2. JEMNAY GANI
SAWARAK

JUDUL KARYA: DOAKU KEMBARA INI

3. AB GHANI ABDULLAH
SELANGOR

JUDUL KARYA : BUKAN LAGI ROKOKMU BRUNO MANSAER

HADIAH DISAMPAIKAN OLEH DATO SRI ABANG HAJI ABDUL RAHMAN ZOHARI TUN ABANG HAJI OPENG, MENTERI PERUMAHAN SARAWAK

BERTEMPAT DI MERDEKA PALACE, KUCING
TARIKH: 2HB DISEMBER 2005.

Khamis, Disember 01, 2005

TERIMA KASIH RAHIMI N.S

Saya menerima kad undangan ke majlis perkahwinan daripada Rahimi N.S atau nama penuhnya Haji A.Rahim bin Haji Ismail. Dia salah Seorang tokoh sasterawan Negeri Sembilan.Kebetulan saya memang teringin sangat hendak menghubungi beliau untuk mengucapkan terima kasih.

saya masih ingat pada suatu hari bulan Jun 2004 diadakan majlis membaca puisi bonda kandung di Istana Seri Menanti. Pada malam tersebut saya cuma turut hadir melihat kawan-kawan mendeklamasikan puisi masing-masing.

Pada malam itu juga dibuat pelancaran antologi Puisi Bonda Kandung yang memuatkan karya pemenang sayembara Puisi dan cerpen Negeri Sembilan. kebetulan puisi saya menang tempat pertama. Pada malam itu saya bertemu dengan Rahimi N.S.

"Latip pernah duduk di Sarawak. Tulislah novel atau cerpen berkaitan Sarawak,"katanya.

Kebetulan saya memang telah lama bercadang hendak menulis novel yang ada kaitan dengan masyarakat di Sarawak. Saranan Rahimi N.S itu semakin menyemarakkan keinginan tersebut.

"Bila dah siap nanti hantar ke sayembara novel Sarawak. Mana tahu ada rezeki boleh menang. Hadiah pertama RM 15,000.00,"katanya lagi.

Untuk menambah semangat saya Rahimi N.S mengirim Dewan Sastera yang menyiarkan iklan tersebut.

Sejak itu saya mula mengumpulkan bahan lalu menulisnya dalam bentuk novel. Dalam masa 5 bulan novel itupun siap sebab saya menulisnya setiap hari siang malam pagi dan petang.

Walaupun begitu saya tidaklah terlalu menaruh harapan untuk menang. tambahan pula belum pernah menang sayembara novel.

kerana itu apabila saya dimaklumkan novel tersebut menang saya berasa amat bersyukur.

lalu saya teringat kepada Rahimi N.S kerana dialah yang memberi dorongan kepada saya untuk menulis novel tersebut dan menyertai sayembara.

"Alhamdulillah, saya gembira mendengarnya,"kata Rahimi N.S apabila saya memaklumkan perkara itu kepadanya.

"Terima kasih banyak kerana Encik Rahimi yang cetuskan idea dan beritahu saya adanya sayembara Sarawak itu,"kata saya pula.

"Itu dah rezeki latip. Allah gerakkan hati saya untuk beritahu latip,"katanya.

Rabu, November 30, 2005

RANDAU RUAI

Pada tahun 1997 saya bertugas di FELCRA Igan Mukah Sarawak. Saya pergi seorang diri sahaja kerana masa itu anak-anak sedang menghadapi peperiksaan. Kerana tidak mahu terganggu tumpuan mereka terhadap peperiksaan maka saya pergi sendirian sahaja. Itulah pertama kali berjauhan dengan keluarga.

Bila FELCRA di korporatkan maka kakitangan diberi pilihan samaada hendak bersara atau terus berkerja. Saya memilih untuk bersara kerana dibayar pencen dan faedah persaraan. Selain itu saya ada kebun getah yang telahpun mengeluarkan hasil.

Setelah 8 tahun tiba-tiba saya dapat peluang terbang ke Bumi Kenyalang apabila memenangi hadiah sayembara novel dan cerpen Sarawak. Majlis penyampaian hadiah diadakan di Kucing pada 2hb ini.

Insya-Allah, esok (Khamis) saya, isteri dan anak-anak akan ke Kucing. Kami pergi sehari lebih awal kerana ingin menyusuri jejak-jejak yang telah lama ditinggalkan.

Terbayang sungai Sarawak yang arusnya deras tetapi permukaannya nampak tenang. Tidak jauh dari situ terdapat Kubu Margaretha, lambang cinta seorang suami kepada isterinya yang bernama Margaretha. Terbayang suasana di rumah panjang masyarakat Iban. Gunung Santubung yang menyimpan kisah misteri. Terbayang wajah kawan-kawan dari kalangan orang Iban, Melanau dan Bidayuh.

Paling tidak dapat dilupakan pengalaman pertama kali berkunjung ke rumah panjang orang Iban di Sibu. Berkunjung ke rumah orang Melanau di Kampung Igan. Dan perkampungan Bidayuh di Balingan.

Kebanyakan kenangan itu saya rakamkan dalam novel berjudul RANDAU RUAI yang menang sayembara tersebut.

Rabu, November 23, 2005

ANUGERAH SASTERA NEGERI SEMBILAN



BERITA GEMBIRA DI BULAN SYAWAL

Saya dimaklumkan oleh Puan Ainon Mohd, 3 buah novel kisah pahlawan Islam yang saya tulis diterbit dan dibuat pelancarannya pada awal tahun 2006. Alhamdulillah. Berita itu amat mengembirakan hati saya.

Kemudian saya dimaklumkan oleh puan Nisah Haron, saya salah seorang pemenang Hadiah Sastera Negeri Sembilan. Majlis tersebut telah diadakan pada 18hb dan saya memenangi hadiah untuk kategori eceran cerpen dan esei.

Berita gembira datang lagi. Kali ini saya menerima panggilan telefon daripada Puan Hajijah, DBP Sarawak, mengatakan saya memenangi sayembara Novel dan Cerpen. Majlis penyampaian hadiah akan diadakan pada 2hb Disember 2005 di Kucing. Kerana terlalu gembira saya mengajak isteri dan anak-anak turut serta ke majlis tersebut dan tiket kapal terbang sudah pun ditempah. Hehe

Anak saya yang sulung mengatakan telah bertemu dengan gadis pilihan hatinya dan meminta kami merisik kabar. Petang semalam, dalam hujan lebat kami ke Seri Kembangan berkunjung ke rumah bakal keluarga dan Alhamdulillah kedatangan kami disambut dengan baik.

Inilah berita-berita gembira yang saya terima sepanjang bulan Syawal ini. Apa lagi yang harus saya lakukan selain sujud syukur dan berkongsi kegembiraan ini dengan saudara mara dan sahabat yang jauh dan dekat.

Ahad, November 20, 2005

ANUGERAH SASTERA NEGERI SEMBILAN

Majlis telah berjaya disempurnakan oleh Y.A.B Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan. Menteri Besar Negeri Sembilan.

Terima kasih diucapkan kepada beliau kerana telah memberi anugerah dan pengiktirafan kepada para penulis di Negeri Sembilan.

Seperti yang dijangka Dato’ Dr Kamaruzzaman Abdul Kadir (Dharmawijaya) dipilih untuk menerima anugerah Sastera Negeri Sembilan. Beliau menerima hadiah RM10,000 beserta sijil.

Haji Agus Salim pula menerima Hadiah Penghargaan Penggiat Sastera Negeri dengan hadiah RM3,000.00 berserta sijil.

Seramai 33 penulis lagi menerima hadiah mengikut kategori masing-masing.

Saya juga terpilih untuk memenangi genre cerpen dengan hadiah RM500.00 berserta sijil dan Esei RM500.00 berserta sijil.

Alhamdulillah.

Ahad, November 13, 2005

BERTEMU MAWAR SHAFEI

Petang tadi saya bersama isteri dan anak berhari raya ke rumah Nisah Harun. Tidak sangka pula dapat bertemu dengan Mawar Shafei yang turut datang beraya bersama suaminya.

Saya memang telah lama mengenali nama Mawar Shafei, selalu membaca karya dan melihat gambarnya tetapi inilah pertama kali bertemu dengannya. Tahun lepas kali pertama bertemu Amiza juga semasa berhari raya di rumah Nisah.

Tahun depan bertemu dengan siapa pula agaknya?.

Saya sangka Mawar nama samaran rupanya memang nama yang sebenar. Nisah juga nama sebenar.

Rupanya Nisah dengan Mawar memang berkawan rapat patut wajah keduanya ada iris macam bersaudara. kata isteri saya.

Dalam pertemuan yang singkat itu sempat juga kami bertanya kabar. Tetapi kami tidak sempat bergambar sebab lupa bawa kamera.

Mawar orang Johor, suaminya orang Jempol. Mawar dah masuk suku. Kata suaminya. hehe.

Khamis, November 10, 2005

DUA MAJLIS YANG DINANTIKAN

Pada 18hb November ini bertempat di Hotel Royal Adelphi,Seremban akan berlansung majlis penyampaian Hadiah Sastera Negeri Sembilan.

Khabarnya antara sasterawan Negeri Sembilan disebut-sebut berpeluang memenangi anugerah terbabit ialah Allahyarham Datuk Dr Kamaruzzaman Abdul Kadir atau Dharmawijaya, A Latiff Mohidin, Prof Madya Dr. Zakaria Ali, Dr. Ramli Isin.

Sasterawan yang dinobatkan sebagai penerima Anugerah Sastera Negeri Sembilan akan menerima hadiah bernilai RM10,000.

Panel penilai yang dilantik oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi menilai karya dan ketokohan pengkarya ialah Prof Madya Dr Amida Abdul Hamid, Prof Dr Siti Zainon Ismail, Hamzah Hamdani, Dr Misran Rokimin dan Prof Dr A Wahab Ali.

Hadiah Penghargaan Penggiat Sastera Negeri bernilai RM3,000 akan diberikan kepada institusi atau tokoh yang memberi sumbangan cemerlang dalam menggerakkan sastera secara berterusan di Negeri Sembilan.

Beberapa nama disebut seperti Mohd Nor Ibrahim, Allahyarham Ismail Hadi atau
Salim Haji Taib.

Kategori Tokoh yang menjanjikan hadiah RM2,000 setiap satu, nama seperti Dharmala NS dan Mohd Ali Majod pastinya berada di senarai teratas dalam genre cerpen.

Allahyarham Dharmawijaya, A Latiff Mohidin, Mahaya Mohd Yassin (puisi) manakala Dharmala NS, Dr Zakaria Ali dan Mohd Ghazali Tocheh (novel).

Bagaimanapun bagi genre drama pula Dr Anuar Nor Arai dan Abd Rahman Sidek manakala esei/ kritikan sastera Dr Ramli Isin.

Anugerah dalam genre karya kanak-kanak/ remaja ialah Salim Taib, Mahaya Mohd Yassin dan Mohd Ghazali Tocheh.

Bagaimanapun bagi kategori karya, peluang terbuka kepada semua penulis sama ada mereka anak tempatan, penulis yang lebih lima tahun pernah tinggal di negeri ini atau penulis yang ibu bapanya berasal dan tinggal di Negeri Sembilan ketika karya diterbitkan.

Bagi kategori ini, tidak pelik jika pemenangnya daripada nama yang tidak dikenali kerana panel hanya menilai cerpen, puisi, drama, esei sastera, karya kanak-kanak, remaja atau novel yang dihantar sebelum 15 Julai 2005 meskipun karya yang diterbitkan dari 1990-2004 layak dinilai.

Enam hadiah bernilai RM500 setiap satu disediakan bagi kategori cerpen, puisi dan esei sastera

tiga hadiah bernilai RM500 setiap satu disediakan untuk kategori karya kanak-kanak dan remaja.

Tidak ketinggalan dua hadiah bernilai RM500 setiap satu bagi drama dan dua hadiah bernilai RM1,000 setiap satu turut disediakan untuk genre novel dewasa/remaja bagi anugerah ini.



Dan pada 2hb Disember 2005 berlansung pula majlis Penyampaian Hadiah Sayembara Sastera Sarawak.

Novel

Pertama: RM15000.00
Kedua: RM7000.00
Ketiga: RM4000.00

Cerpen


Pertama: RM4000.00
Kedua: RM3000.00
KetigaRM2000.00
Sagu Hati (3) : RMRM1000.00 (setiap satu)

PUISI

Pertama: RM4000.00
Kedua: RM3000.00
Ketiga:2000.00
Sagu hati (3) RM1000.00 (setiap satu)





Rabu, November 02, 2005

SELAMAT HARI RAYA

>Saya mengucapkan selamat hari raya Aidil Fitri kepada semua sahabat yang sudi berkunjung ke blog ini. Jika ada salah silap atau terkasar bahasa saya memohon ampun maaf zahir dan batin.