RANDAU RUAI
Pada tahun 1997 saya bertugas di FELCRA Igan Mukah Sarawak. Saya pergi seorang diri sahaja kerana masa itu anak-anak sedang menghadapi peperiksaan. Kerana tidak mahu terganggu tumpuan mereka terhadap peperiksaan maka saya pergi sendirian sahaja. Itulah pertama kali berjauhan dengan keluarga.
Bila FELCRA di korporatkan maka kakitangan diberi pilihan samaada hendak bersara atau terus berkerja. Saya memilih untuk bersara kerana dibayar pencen dan faedah persaraan. Selain itu saya ada kebun getah yang telahpun mengeluarkan hasil.
Setelah 8 tahun tiba-tiba saya dapat peluang terbang ke Bumi Kenyalang apabila memenangi hadiah sayembara novel dan cerpen Sarawak. Majlis penyampaian hadiah diadakan di Kucing pada 2hb ini.
Insya-Allah, esok (Khamis) saya, isteri dan anak-anak akan ke Kucing. Kami pergi sehari lebih awal kerana ingin menyusuri jejak-jejak yang telah lama ditinggalkan.
Terbayang sungai Sarawak yang arusnya deras tetapi permukaannya nampak tenang. Tidak jauh dari situ terdapat Kubu Margaretha, lambang cinta seorang suami kepada isterinya yang bernama Margaretha. Terbayang suasana di rumah panjang masyarakat Iban. Gunung Santubung yang menyimpan kisah misteri. Terbayang wajah kawan-kawan dari kalangan orang Iban, Melanau dan Bidayuh.
Paling tidak dapat dilupakan pengalaman pertama kali berkunjung ke rumah panjang orang Iban di Sibu. Berkunjung ke rumah orang Melanau di Kampung Igan. Dan perkampungan Bidayuh di Balingan.
Kebanyakan kenangan itu saya rakamkan dalam novel berjudul RANDAU RUAI yang menang sayembara tersebut.
0 ulasan:
Catat Ulasan