KISAH TELADAN
Pada suatu hari Abdullah bin Jaafar bin Abi Talib dalam perjalanan lalu berehat di kebun kurma. Di situ ada seorang hamba berkulit hitam yang menjaga kebun tersebut. Setelah mereka berbual tiba-tiba hamba itu berasa lapar lalu mengeluarkan makanannya iaitu tiga buku roti. Pada masa yang sama datang seekor anjing lalu mengelilingi mereka sambil menjulurkan lidah tanda sedang kelaparan.
Hamba itu berasa kasihan lalu mencampakkan sebuku roti kepada anjing tersebut. Tetapi anjing itu masih lapar lalu dicampakkan sebuku roti lagi. Namun anjing itu masih belum kenyang. Akhirnya hamba itu mencampakkan roti yang ketiga kepada anjing tersebut.
Abdullah berasa hairan lalu bertanya. Berapa banyak makanan yang engkau ada?
Jawab hamba itu, Hanya tiga buku roti sahaja.
Tanya Abdullah lagi, Kenapa engkau berikan semuanya kepada anjing itu?
Jawab hamba itu, Anjing itu datang dari jauh dan dia sedang kelaparan. Sedangkan saya masih boleh menahan lapar hingga esok.
Tanya Abdullah lagi. Apakah yang menyebabkan engkau begitu bermurah hati pada anjing itu?
Jawab hamba itu. Nabi pernah menceritakan bagaimana seorang wanita pelacur diampunkan dosanya kerana memberi minum seekor anjing yang sedang kehausan. Saya ingin mendapat keampunan-Nya.
Abdullah berasa terharu dan mengakui sifat dermawannya telah dikalahkan oleh hamba tersebut.
Maka dibelinya kebun kurma beserta dengan hamba tersebut. Kemudian hamba itu dibebaskannya.
Semenjak itu Abdullah semakin bersifat dermawan. Pernah dia bersedekah berpuluh ribu dinar dalam satu hari.
Khalifah Muawiyah sangat sayang kepada Abdullah. Beliau memberikan Abdullah sejuta dirham setiap tahun tetapi kesemua duit itu habis disedekahkannya kepada mereka yang memerlukan.
Semasa Muawiyah menjadi khalifah, apabila tiba musim haji beliau memberi minuman kepada jemaah haji dengan perbelanjaannya sendiri. Apabila ditanya mengapa maka Muawiyah menjawab, kalau memberi minum seekor anjing boleh mendapat keampunan apatahlagi memberi minuman kepada manusia. Semoga Allah ampunkan dosaku.
0 ulasan:
Catat Ulasan