Ahad, Mac 19, 2006

YUSUF ISLAM DAN SURAH YUSUF

Yusuf Islam kini terkenal sebagai pendakwah bukan sahaja di Britain malah di seluruh dunia. Pada tahun 1970an dulu dia terkenal sebagai penyanyi popular dengan nama Cat Stevens. Apakah yang menyebabkan beliau berubah daripada seorang penyanyi pujaan ramai dengan kehidupan yang serba mewah dan glamour kepada seorang pendakwah yang hidup sederhana dan sering melakukan kerja kebajikan?.

Seperti yang diakui sendiri oleh Yusuf Islam dalam satu wawancara dengan sebuah majalah, dia mengambil keputusan memeluk agama Islam setelah mengalami dua peristiwa yang begitu berkesan di hatinya yang akhirnya telah merubah keseluruhan kehidupannya.

Menurut Yusuf Islam, ketika dia berusia 19 tahun di mana namanya ketika itu sedang popular sebagai penyanyi pujaan ramai, dia terlibat dengan ketagihan arak dan rokok sehingga menyebabkan mengidap penyakit batuk kering.

Setelah sembuh dari penyakit yang hampir meragut nyawanya itu, Yusuf Islam mula sedar bahawa kemewahan hidup, glamour dan menjadi pujaan ramai tidak menjamin kebahagiaan dalam kehidupannya. Lalu dia menilai semula dirinya serta berusaha mencari kehidupan yang lebih berarti namun dia masih belum menemui apa yang dicari-carinya.

Pada suatu hari semasa dia berada di Los Angeles, Yusuf Islam hampir mati lemas. Ketika itu dia berdoa jika Tuhan menyelamatkan dia dari bencana itu maka dia berjanji akan berkerja untuk Tuhan. Dalam sekelip mata ombak datang lalu menolaknya ke pantai.

(Kisah yang sama pernah berlaku kepada Ikramah bin Abu Jahal. Apabila kapal yang ditumpangnya hampir karam lalu dia pun berdoa, jikalau selamat dari bencana itu dia memeluk Islam.)

Selepas peristiwa itu barulah saya yakin bahawa Tuhan itu ada, kata Yusuf Islam.

Menurutnya lagi, untuk mendekatkan diri dengan Tuhan dia mempelajari pelbagai agama seperti Buddha, Hindu dan Kristian namun tidak ada yang memuas serta meyakinkan hatinya.

Pada suatu hari saya yang sedang mencari haluan hidup ketika itu dihadiahkan oleh abang saya David sebuah terjemahan kitab suci Al Quran, kata Yusuf Islam.

Menurut Yusuf Islam, pada mulanya tujuan dia membaca al Quran sekadar hendak mencari kelemahannya seperti yang pernah dilakukannya terhadap agama lain. Apabila dia membuka kitab suci itu surah pertama yang dibacanya ialah surah Yusuf.

Hati saya berbisik apa yang saya baca ialah sebuah kisah yang indah. Semakin lama membacanya semakin mengasyikkan sehingga saya mengalirkan airmata, demikian pengakuan Yusuf Islam.

Menurutnya lagi, Saat itu saya yakin Al Quran bukan ciptaan manusia tetapi adalah wahyu Allah. Inilah cahaya yang saya cari selama ini. Hati saya berasa aman lalu menerima Islam.

0 ulasan: