KLIK DBP (BERITA HARIAN 19/12)
[Oleh Hajijah Hj. Mainol]
MAJLIS Penyampaian Hadiah Peraduan Menulis Sastera Kreatif Budaya Sarawak 2003 telah berlangsung dengan jayanya di Hotel Merdeka Palace, Kuching pada 2 Disember 2005.
Majlis yang penuh makna ini telah disempurnakan oleh Menteri Perumahan Sarawak, Y.B. Dato Sri Abang Hj. Abdul Rahman Johari Tun Abang Hj. Openg. Selain bertujuan meningkatkan kuantiti dan kualiti penulisan kreatif di Malaysia yang berlatarbelakangkan sosiobudaya rakyat Sarawak, peraduan ini juga bertujuan meningkatkan lagi tahap kesedaran masyarakat tentang pentingnya hidup dalam masyarakat majmuk yang boleh mengukuhkan integrasi nasional.
Peraduan ini terbahagi kepada 3 kategori iaitu kategori novel, cerpen dan puisi. Bagi kategori novel, Randau Ruai karya Saudara Abd. Latip Talip dari Jelebu, Negeri Sembilan berjaya meraih tempat pertama dan membawa pulang wang tunai RM15,000.00. Novel ini mengupas isu tanggungjawab politik dan konflik pembangunan masyarakat desa berlatarbelakangkan rumah panjang Nanga Setia. Novel ini juga menyentuh tentang adat resam negeri Sarawak baik yang sudah luput seperti “ngayap” mahupun yang masih diamalkan pada masa sekarang.
Hubungan antara kaum, antara penduduk Semenanjung dan Sarawak, semangat peribumi, nilai-nilai positif seperti kesetiaan kepada pemimpin serta bermesyuarah dalam membuat keputusan menjadi fokus utama pengarang. Novel Qatrunnada karya Sarimah Alit dari Kuching, Sarawak berjaya memenangi tempat kedua dan meraih wang tunai RM7,000.00 manakala tempat ketiga dimenangi oleh Jong Chian Lai dengan karya berjudul Ensera Marga Timur dari St. Anthony yang melayakkan beliau menerima hadiah bernilai RM4,000.00.
Bagi Kategori Cerpen, Menjamu Semangat karya Abang Median Abang Said memenangi tempat pertama dan meraih wang tunai bernilai RM4,000.00. Cerpen ini menggambarkan kekuatan serta kreativiti pengarang dari sudut realisme magis. Tempat kedua pula dimenangi oleh Darhiri Saini dari Kuching, Sarawak dengan cerpennya Mantera Janji dan membawa pulang RM3,000.00 manakala cerpen Memanjat Langit oleh Jaya Ramba dari Miri, Sarawak menerima hadiah wang tunai bernilai RM2,000.00.
Bagi kategori puisi, Puisi Buatmu Long Palai karya Hassan Baseri Budiman dari Sg. Petani, Kedah berjaya menggondol tempat pertama dan menerima wang tunai RM4,000.00. Tempat kedua dimenangi oleh Abang Median Abang Said dari Kuching, Sarawak yang menerima hadiah wang tunai berjumlah RM3,000.00 dengan karyanya yang berjudul Meredah Resam di Tanah Baram. Tempat ketiga pula dimenangi oleh Pharo Abdul Hakim dari Kuching, Sarawak yang menerima wang tunai RM2,000.00 dengan karyanya berjudul Meredah Lembah Gundah.
0 ulasan:
Catat Ulasan