Khamis, Disember 29, 2005

KEMPEN BERBUDI BAHASA

Tidak lama dulu televisyen kita ada menayangkan satu babak dalam komuter seorang pemuda meletakkan barangnya pada tempat duduk di sebelah menyebabkan penumpang lain tidak dapat duduk.

Mula-mula datang seorang tua terpaksa berdiri kerana tempat duduk di sebelah pemuda itu berisi barang. kemudian datang pula seorang wanita yang sedang mengandung juga tidak dihiraukan oleh pemuda itu. Akhirnya datang seorang buta. Pemuda itu tetap buat muka selamba.

kempen itu mengajak orang ramai bertimbang rasa ketika menaiki pengangkutan awam supaya mengasihani orang tua, wanita mengandung dan orang buta supaya kita memberi tempat duduk kepada mereka dan jangan biarkan mereka berdiri. Dan saya rasa kempen itu ada kesannya.

Baru-baru ini saya ke kuala lumpur menaiki komuter hingga ke kl sentral. Kemudian naik LRT hingga ke Petaling Jaya.

Sepanjang perjalanan itu saya lihat ada seorang wanita muda memberi tempat duduknya kepada seorang lelaki tua yang pada mulanya terpaksa berdiri kerana tidak ada tempat duduk. Begitu juga bila ada wanita yang mengandung maka ada penumpang yang dengan rela hati mengosongkan tempat duduknya supaya diduduki oleh wanita itu. Malah saya sendiri semasa perjalanan balik seorang anak muda cina berdiri sambil mencuit bahu saya menyuruh duduk di tempatnya. Tetapi saya menolaknya kerana masih bertenaga untuk berdiri.

Dari peristiwa itu pada pandangan saya kempen berbudi bahasa yang dilancarkan baru-baru ini memberi kesan kepada orang ramai terutama penumpang pengangkutan awam.

Bercakap pasal pengangkutan awam, di negara kita orang ramai memang berdisiplin apabila hendak menaiki bas kerana mereka sanggup beratur. Tetapi di Indonesia mereka masih berebut-rebut seperti yang pernah berlaku di negara kita suatu ketika dulu.

Oh ya, kabarnya jemaah haji Malaysia semasa di Mekah dan Madinah masih berebut-rebut menaiki bas. Kenapa ye?.

0 ulasan: