Khamis, Disember 01, 2005

TERIMA KASIH RAHIMI N.S

Saya menerima kad undangan ke majlis perkahwinan daripada Rahimi N.S atau nama penuhnya Haji A.Rahim bin Haji Ismail. Dia salah Seorang tokoh sasterawan Negeri Sembilan.Kebetulan saya memang teringin sangat hendak menghubungi beliau untuk mengucapkan terima kasih.

saya masih ingat pada suatu hari bulan Jun 2004 diadakan majlis membaca puisi bonda kandung di Istana Seri Menanti. Pada malam tersebut saya cuma turut hadir melihat kawan-kawan mendeklamasikan puisi masing-masing.

Pada malam itu juga dibuat pelancaran antologi Puisi Bonda Kandung yang memuatkan karya pemenang sayembara Puisi dan cerpen Negeri Sembilan. kebetulan puisi saya menang tempat pertama. Pada malam itu saya bertemu dengan Rahimi N.S.

"Latip pernah duduk di Sarawak. Tulislah novel atau cerpen berkaitan Sarawak,"katanya.

Kebetulan saya memang telah lama bercadang hendak menulis novel yang ada kaitan dengan masyarakat di Sarawak. Saranan Rahimi N.S itu semakin menyemarakkan keinginan tersebut.

"Bila dah siap nanti hantar ke sayembara novel Sarawak. Mana tahu ada rezeki boleh menang. Hadiah pertama RM 15,000.00,"katanya lagi.

Untuk menambah semangat saya Rahimi N.S mengirim Dewan Sastera yang menyiarkan iklan tersebut.

Sejak itu saya mula mengumpulkan bahan lalu menulisnya dalam bentuk novel. Dalam masa 5 bulan novel itupun siap sebab saya menulisnya setiap hari siang malam pagi dan petang.

Walaupun begitu saya tidaklah terlalu menaruh harapan untuk menang. tambahan pula belum pernah menang sayembara novel.

kerana itu apabila saya dimaklumkan novel tersebut menang saya berasa amat bersyukur.

lalu saya teringat kepada Rahimi N.S kerana dialah yang memberi dorongan kepada saya untuk menulis novel tersebut dan menyertai sayembara.

"Alhamdulillah, saya gembira mendengarnya,"kata Rahimi N.S apabila saya memaklumkan perkara itu kepadanya.

"Terima kasih banyak kerana Encik Rahimi yang cetuskan idea dan beritahu saya adanya sayembara Sarawak itu,"kata saya pula.

"Itu dah rezeki latip. Allah gerakkan hati saya untuk beritahu latip,"katanya.

0 ulasan: