PRAMOEDYA MENINGGAL DUNIA
(Dari Utusan Malaysia)
Penulis terkemuka Indonesia, Pramoedya Ananta Toer yang menghidapi penyakit jantung dan diabetes meninggal dunia pada usia 81 tahun.Anak perempuan Pramoedya, Tatiana Ananta menyatakan, bapanya meninggal dunia di rumahnya di Jakarta Timur.
Bapa saya meninggal dunia dengan tenang pada pukul 8.55 pagi. Dia telah membaktikan seluruh hidupnya kepada negara ini menerusi karyanya. Kami semua telah kehilangan seorang bapa yang baik, seorang penulis besar. Saya sangat berbangga dengannya, kata Tatiana kepada Associated Press (AP).
Pramoedya yang lantang memperjuangkan demokrasi dibawa pulang semalam selepas beberapa hari ditempatkan di unit penjagaan rapi (ICU) Hospital St. Carolus, di sini.
Beliau yang pernah dipenjarakan selama beberapa tahun dicalonkan beberapa kali untuk Hadiah Nobel dalam bidang kesusasteraan manakala 34 buku dan esei beliau diterjemahkan ke dalam 37 bahasa.
Karyanya yang paling terkenal, siri novel Buru Quartet mengenai perjuangan Indonesia menuntut kemerdekaan daripada Belanda, ditulis pada cebisan kertas dan diseludupkan keluar ketika beliau menjalani hukuman penjara di pulau Buru.
Pramoedya mula-mula dipenjarakan pada 1947 oleh tentera Belanda kerana mengambil pendirian ‘antikolonialis’.
Beliau dipenjarakan lagi selepas junta tentera Jeneral Suharto mengambil alih kuasa pada 1966 dan menghabiskan 14 penjara ditahan tanpa perbicaraan di pulau Buru bersama-sama ribuan lagi penentang kerajaan Suharto.
Pramoedya yang telah lama menghadapi masalah kesihatan dimasukkan ke hospital pada Khamis lalu kerana komplikasi diabetes dan jantung, kata menantunya, Gun.
- AP
0 ulasan:
Catat Ulasan