Rabu, Februari 07, 2007

MASJID AL AQSA DICEROBOH







Masjid Al Aqsa merupakan masjid yang ketiga terbesar bagi umat Islam selepas Masjidil Haram di Mekah dan Masjid Nabawi di Madinah. Masjid al Aqsa pernah menjadi kiblat yang pertama umat Islam sebelum beralih ke Kaabah.

Menurut sejarahnya Masjid ini pernah dikuasai oleh kerajaan Byzantine (Rome) selama beratus tahun kemudian berjaya dikuasai oleh Islam pada zaman pemerintahan Saidina Omar. Kemudian dikuasai oleh tentera Salib pada tahun 1099 dan berjaya direbut semula oleh Salahudin Al Ayubi pada tahun 1187.

Dan kini masjid tersebut dikuasai oleh Israil. Menurut laporan terbaru rejim ganas Israil telah menggali terowong di bawah Masjid Al Aqsa. Mereka menggunakan jentolak untuk memecahkan dinding masjid tersebut. Mereka juga menutup semua gerbang menuju ke kota Al Quds. Umat Islam tidak mampu berbuat apa-apa.

Bilakah Masjid Al Aqsa akan dikuasai semula oleh umat Islam?.

Sesungguhnya masjid tersebut hanya dapat dikuasai apabila muncul pemimpin yang ketakwaannya seperti Saidina Omar, keberaniannya seperti Khalid bin Walid dan semangat juangnya seperti Salahudin Al Ayubi.

Untuk mengetahui serta mengenang semula kegigihan dan semangat juang pahlawan Islam Salahudin Al Ayubi dalam usahanya menawan semula Masjid Al Aqsa bacalah novel Pahlawan Islam SALAHUDIN PENAKLUK JERUSALEM yang akan berada di pasaran bermula 15 Februari ini.

Rabu, Januari 24, 2007

SELAMAT PENGANTIN BARU





Selamat pengantin baru diucapkan kepada anakanda Muhamad Shukri 27 tahun dengan gadis pilihannya Nor Liyana 22 tahun. Semoga berkekalan jodoh mereka hidup bahagia hingga ke akhir hayat.

Isnin, Januari 22, 2007

SELAMAT TAHUN BARU

Tahun 2007 / 1428 Hijrah baru sahaja menjelang tiba. Semoga tahun ini lebih menarik dari tahun-tahun sebelumnya. Semoga tahun ini bertambah iman dan kebajikan. Bertambah rezeki, sihat tubuh badan dan akal fikiran. Semoga tahun ini bertambah aktif dalam bidang penulisan. Semoga bertambah novel yang diterbitkan. Amin.

Kesibukan saya tahun ini bermula dengan persiapan mengadakan majlis perkahwinan anak yang sulung. Benarlah kata kawan-kawan, pengalaman pertama kali menikahkan anak membuat tidur rasa tak lena, makan rasa tak kenyang. Pelbagai persoalan bermain dalam fikiran. Bagaimana kalau pada hari itu hujan lebat?. Saya memilih bulan Januari kerana menjangka telah berakhir musim tengkujuh. Namun cuaca sekarang sukar di jangka. Timbul lagi persoalan, bagaimana kalau tak ramai tetamu yang datang?. Kuatir juga kalau 2 ekor lembu yang ditumbangkan tak habis dimakan.

Alhamdulillah, syukur kepada-Nya kerana pada hari tersebut walau cuaca mendung tetapi tidak hujan. Tetamu pula ramai yang datang. Penduduk kampung datang bergotong royong memasak makanan. 2 ekor lembu yang disembelih pada sebelah pagi dapat dimakan pada jam 12 tengah hari.

Antara tetamu yang datang selain penduduk kampung, saudara sebelah saya dan saudara sebelah isteri saya, ialah Wakil Rakyat DUN Pertang juga ahli Exco kerajaan Negeri Sembilan YB Dato’ Razak Mansur dan Datin, Profesor Dr Irwan Abu Bakar dan Cikgu Hasimah, Pengasas Esastera.com, Ketua Satu PEN Puan Mahaya Yasin, Puan Nisah Haron, Zulkifli Abu, A. Rahim Ismail, Datuk Penghulu Shah, sahabat esastera antaranya Ilhami, Mohd Zakir, Salha dan EP. Sahabat bloger Zino dan isterinya.

Terima kasih kepada semua yang sudi datang. Betapa gembiranya hati saya menerima kedatangan tetamu pada hari yang sememangnya saya nantikan kehadiran mereka.

Jumaat, Disember 22, 2006

WALIMATUL URUS



Jika tidak ada apa-apa halangan pada 14hb Januari 2007 (ahad) anak saya yang sulung Muhamad Shukri akan melansungkan pernikahan dengan gadis pilihannya Nor Liyana Abdullah. Sebagai seorang bapa inilah pengalaman pertama mengadakan majlis perkahwinan anak yang sulung.

Kesibukan sudah terasa. Maklum sajalah hendak menerima menantu dan menjemput orang ramai datang menjamu selera serta meraikan majlis perkahwinan.

Mujurlah saya duduk di kawasan perkampungan maka kerja memasak akan dijalankan secara bergotong royong. Tambahan pula di tempat saya tradisi bergotong royong masih diamalkan. Namun persiapan lain seperti membeli perkakas dan barang-barang keperluan perlu diuruskan sendiri.

Walaupun majlis diadakan secara sederhana sahaja, namun semua saudara mara, sahabat, rakan dan kenalan dijemput hadir.

Selasa, Disember 05, 2006

PELANGI



Novel terbaru Ida Munira Abu Bakar. Diterbitkan oleh PTS.

Novel ini mengisahkan dua orang kanak-kanak yang berkawan baik iaitu Farra dan Sarah. Walaupun Farra disahkan menghidap penyakit kronik, SLE (Systemic Lupus) namun Sarah tetap setia berkawan dengannya dan sanggup berpindah sekolah semata-mata untuk menemani Farra yang berperang dengan maut untuk terus hidup. Novel ini menampilkan pengalaman Farra sebagai pesakit kronik yang menyedihkan dan Sarah sebagai kawan baik yang jujur.

Novel ini adalah berdasarkan pengalaman penulis sendiri bersama Farra (bukan nama sebenar). 80 % true story.

Novel ini juga menampilkan ketabahan pesakit kronik yang tiada ubatnya itu, sehingga masih mampu bertahan dan dilaporkan stabil sehingga kini .

Novel ini 'contoh persahabatan yang baik jujur dan setia, bukan kawan makan kawan'.

Ahad, Disember 03, 2006

BERKHATAN

Hari ini saya menemani dua anak sedara berkhatan di klinik swasta. Seperti biasa saya akan melihat proses berkhatan itu dari mula sampai selesai. Dalam hati berdoa agar tidak terpotong isinya seperti yang dilaporkan dalam surat khabar hari ini.

Saya pernah melihat berkhatan cara tradisional yang dilakukan oleh Tuk Mudim dan cara moden yang dilakukan oleh doktor atau pembantu perubatan. Risiko terpotong kepala kemaluan adalah satu dalam sejuta kalau dilakukan oleh mereka yang mahir.

berkhatan secara tradisional disuruh mandi atau berendam dalam sungai supaya sejuk bila dikhatankan oleh Tuk Mudim kurang rasa sakitnya. Tetapi sekarang sudah ada ubat pelali.

Tuk Mudim menggunakan penyepit sebesar jari kelingking yang dibuat daripada buluh untuk memisahkan antara kulit dengan isi dan dipotong menggunakan pisau cukur. Doktor pula menggunakan gunting. Kerana itu hanya mereka yang mahir sahaja boleh melakukannya.

Nampaknya cara berkhatan semakin lama semakin mudah, cepat dan tidak menyakitkan. Cara terbaru berkhatan menggunakan leser.

Namun masih ada penduduk kampung yang lebih suka anaknya dikhatan secara tradisional. Kononnya mereka yang dikhatan oleh Tuk Mudim kemampuan seknya lebih hebat. Sejauh manakah kebenarannya tidak dapat dipastikan.

Namun sejak akhir-akhir ini ramai lelaki berusia 40 tahun ke atas mengalami masalah mati pucuk atau kemampuan seknya lemah. Tetapi ada yang menafikan puncanya dari cara berkhatan. Ia terjadi disebabkan beberapa faktor antaranya penyakit, tekanan di tempat kerja, keletihan dan sebagainya.

Apa yang pasti, Tuk Mudim yang ada sudah tua. Orang muda tidak berminat lagi mewarisi kerja tersebut. Maka mahu tidak mahu terpaksa juga berkhatan di hospital atau klinik swasta.

Kepada kaum lelaki terutama yang berusia 40 tahun ke atas, eloklah jaga makanan disamping mengamalkan petua-petua agar hidup sihat.

Selasa, November 28, 2006

MENUNGGU KELAHIRAN RANDAU RUAI

Bergambar kenangan dengan penulis2 Sarawak Jong Chin Lai, Abang Median, Dahiri Saini



KADANGKALA dalam kehidupan ini, ada perkara yang kita tidak suka pada mulanya tetapi akhirnya membawa kepada kebaikan.

Pada tahun 1997, saya diarahkan bertukar tempat bertugas di Sarawak Bumi Kenyalang. Suatu tempat yang kurang disenangi oleh kebanyakan kakitangan dari Semenanjung. Walaupun pertukaran itu ada kaitannya dengan kenaikan pangkat namun tidak mengembirakan hati saya kerana terpaksa pergi sendirian. Isteri tidak ikut sama kerana anak-anak akan menduduki peperiksaan. Maka dengan hati yang berat saya patuhi juga arahan tersebut.

Di sarawak saya seperti mengalami kejutan budaya. Mengemas rumah, membasuh pakaian dan makanan sendiri yang uruskan. Di Bumi Kenyalang itu juga saya berkawan rapat dengan rakan-rakan sekerja yang terdiri daripada orang Melayu Sarawak, orang Iban, Melanau dan Bidayuh.

Pernah berkunjung ke perkampungan orang Melanau di Igan, Bidayuh di Balingan dan rumah panjang kaum Iban di Sekuau, Sibu. Saya tertarik dengan budaya kaum Iban. Namun saya tidak lama bertugas di Sarawak, apabila Felcra di korporatkan maka kakitangan diberi pilihan samaada hendak bersara atau terus bekerja dengan korporat. Saya memilih untuk bersara.

Pengalaman bertugas di Sarawak itu menjadi kenangan manis setelah saya balik ke Semenanjung. Ketika berada di sana saya memang tidak merasakannya. Pengalaman semasa berada di Sarawak telah memberi idea kepada saya untuk menulis novel RANDAU RUAI.

Ketika berada di Sarawak juga saya sempat menulis dua buah cerpen berjudul Sebuah Kampung Bernama Igan dan Cinta Gadis Melanau tersiar dalam akhbar Sarawak.

Apabila Dewan Bahasa Dan Pustaka Cawangan Sarawak dengan kerjasama GAPENA menganjurkan Peraduan Menulis Sastera Kreatif Budaya Sarawak maka saya pun menyertainya. Maka lahirlah sebuah novel yang berjudul Randau Ruai.

Alhamdulillah, novel itu memenangi tempat pertama.

Setelah setahun majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang yang diadakan di Kucing, saya dimaklumkan novel tersebut akan diterbitkan pada awal tahun 2007.

Insya-Allah.

Sabtu, November 18, 2006

MENUNGGU KELAHIRAN

Setiap kali novel hendak diterbitkan, perasaan saya seperti menunggu kelahiran bayi. Berdebar ada seronok ada bahagia pun ada. puncak kebahagiaan itu apabila novel yang baru terbit itu berada di pasaran.

Saya yakin perasaan seperti itu juga turut dirasai oleh penulis yang lain. Ini bermakna semakin banyak karya diterbitkan semakin kerap seseorang penulis itu berasa bahagia. Sebab itu barangkali kebanyakan penulis nampak seperti awet muda, kerana hidupnya selalu berasa bahagia.

Kini perasaan itu datang lagi. Tambahan pula novel terbaru ini agak berbeza dengan novel saya yang sebelumnya. Ia mengisahkan kehebatan pahlawan Islam Salahudin al Ayubi, Khalid al Walid, Ikramah bin Abu Jahal dan Tariq bin Ziyad.

Insya-Allah, novel itu akan terbit tidak lama lagi.

Isnin, November 13, 2006

SELAMAT PENGANTIN BARU




Jodoh pertemuan Tuhan yang menentukan. Apabila bertemu jodoh akhirnya berkahwin juga. Bagaikan ikan di laut asam di darat dalam periuk bertemu juga. Long Muhamad Zakir berasal dari Kedah manakala Syarifah Salha dari Jelebu. Keduanya sama-sama meminati bidang penulisan dan perkenalan mereka bermula di esastera.com.

Profesor Dr ir Wan Abu Bakar dan isterinya Hasimah, pengasas esastera. Com turut hadir pada majlis akad nikah dan majlis persandingan kedua mempelai. Turut meraikannya Puan Nisah Haron, Setiausaha Persatuan Penulis Negeri SEmbilan (PEN) bersama suami dan anak-anak.

Kebetulan pula di rumah saya tempat pengantin lelaki berangguh (rumah persinggahan pengantin lelaki sebelum pergi ke rumah pengantin perempuan).

Muhamad Zakir dan keluarganya datang ke rumah saya bersama Prof. Dr Irwan dan Hasimah. Kerabat orang besar Kedah dan pengasas esastera.com itu sama-sama duduk bersila di atas lantai sambil menjamah apa yang mampu kami hidangkan.

Saya dan keluarga mengucapkan Selamat pengantin baru kepada Long Muhd Zakir dan Syarifah Salha. Semoga hidup bahagia hingga ke akhir hayat. Saya yakin keduanya akan terus aktif menulis kerana mendapat pasangan yang sama-sama meminati bidang penulisan.

Kami juga mengucapkan terima kasih kepada Prof. Dr Irwan dan Cikgu Hasimah kerana sudi berkunjung ke rumah saya.


Kalau ada sumur di ladang
Boleh kita menumpang mandi
kalau ada masa terluang
Sudi-sudilah berkunjung lagi.

Jumaat, November 10, 2006

SAKIT HATI

Sakit hati bila pak menteri kata S&M akan kekal diajar menggunakan bahasa Inggeris.

Yang peliknya, apabila dibantah oleh pejuang-pejuang bahasa Cina, Kementerian Pelajaran mengalah, lalu membenarkan sekolah-sekolah Cina mengajar S&M dalam bahasa Cina (dan dalam bahasa Inggeris dalam sesi kelas tambahan waktu petang sahaja).

Sekolah Melayu tak boleh! Mesti ajar dalam bahasa Inggeris sahaja!

Bukan setakat itu, atas bantahan pejuang-pejuang bahasa Cina, Kementerian Pelajaran sudah mengeluarkan surat rasmi membenarkan buku S&M untuk sekolah-sekolah Cina ditulis dalam bahasa Cina dan Inggeris.

Buku untuk sekolah Melayu mesti dalam bahasa Inggeris sahaja!

(petikan dari blog UNIKA PTS)

Selasa, November 07, 2006

LEFTENAN ADNAN




Semasa di sekolah rendah lagi saya telah mengenali nama Leftenan Adnan bin Saidi. Dia terkorban di medan perang ketika mempertahankan Tanah Melayu daripada serangan tentera Jepun dalam Perang Dunia Kedua. Kisah keberaniannya memimpin pasukan Askar Melayu seramai 42 orang menentang beratus tentera Jepun amat membanggakan orang Melayu. Pertempuran di Bukit Candu yang terletak di Pasir Panjang, Singapura itu menyaksikan gugurnya seorang perwira Melayu merupakan satu episod yang kini kekal dalam lipatan sejarah.

Menurut Lt General A.E Percival dalam perutusannya berkenaan Pemerintahan Operasi Malaya dari tarikh Disember 1941 sehingga 15 Februari 1942:

Selepas dibedil dengan meriam dan motar, tentera Jepun menyerang Regimen Melayu yang mempertahankan Permatang Pasir Panjang. Regimen Melayu bertempur dengan gagah beraninya tetapi mengalami kehilangan jiwa yang teruk, dan menjelang petang musuh sampai ke Pasir Panjang. Di tapak bersejarah ini, pertempuran bagi pertahanan terakhir Singapura telah berlarutan selama 48 jam, berakhir dengan satu-satunya pertempuran jarak dekat tangan-ke-tangan dengan Tentera Jepun.

Korporal Yaakob, yang mendapat pingat keberanian Medal of Gallant, merupakan salah seorang daripada mereka yang terselamat dalam pertempuran di Bukit Candu. Menurut Korporal Yaakob, semasa pertempuran sedang berlaku, dia turut terkena tembakan musuh dan terjatuh di atas mayat mereka yang terkorban. Dia terselamat kerana berpura-pura mati dan melihat kematian mengerikan Adnan Saidi.

Tentera Jepun yang marah kerana keberaniannya menentang musuh sehingga ramai yang terkorban telah berjaya menawan Leftenan Adnan lalu diserkup dengan guni. Tentera Jepun kemudiannya telah menggantungkan Leftenan Adnan yang cedera parah itu pada dahan pokok ceri.

Kerana meradang akibat kehilangan ramai rakan, tentera Jepun kemudiannya telah berbaris panjang kemudian mereka berjalan di bawah pokok ceri itu. Setiap orang yang lalu di bawah pokok ceri itu telah menikam tubuh Leftenan Adnan yang tergantung pada pokok tersebut dengan boyonet. Kejadian itu dilihat oleh Koperal Yaakob.

Tentera Jepun juga telah melarang orang-orang kampung yang hendak mengebumikan mayat tersebut. Malah menurut beberapa sumber, tubuh Lt. Adnan Saidi yang hancur itu telah dibakar.

Kisah Leftenan Adnan telah difilemkan tetapi saya tidak sempat menontonnya. Terlintas juga di hati saya hendak menjadikannya sebuah novel. Insya-Allah.

Rabu, November 01, 2006

SELAMAT HARI RAYA IDUL FITRI

Sabtu, Oktober 28, 2006

SELAMAT HARI RAYA



Hampir seminggu hari raya berlalu. Kemeriahannya masih dirasakan. Amalan kunjung mengunjung mengerat silaturrahim masih dilakukan mungkin hingga ke penghujung Syawal.

Seperti hari-hari raya yang lalu, tradisi kami di kampung membakar lemang seperti tak boleh ketinggalan seolah tidak meriah menyambut hari raya tanpa bakar lemang. Walau pun lemang boleh dibeli di pasar tani tetapi lebih seronok membakarnya sendiri.

Selain membakar lemang, telah menjadi tradisi keluarga saya memasak ayam golek dan ayam itu kami makan beramai-ramai pada malam raya bersama lemang yang masih panas. Selepas solat Maghrib kami bertakbir. Dan pada malam itu kami tidur agak lewat dan esoknya solat hari raya di masjid.

Di kampung memang tidak ada rumah terbuka kami boleh berkunjung atau dikunjungi pada bila-bila masa kerana pintu rumah sentiasa terbuka. Memberi duit raya kepada anak-anak juga seolah menjadi kebiasaan.

Ramadan telah berlalu dan Syawal sedang menjelma. Setelah sebulan lamanya kita berpuasa sampai masanya menyambut hari kemenangan itu. Semoga kita dipanjangkan umur dan diberi kesempatan untuk menyambutnya pada tahun depan. InsyaAllah.

Selamat hari raya maaf zahir dan batin.

Khamis, Oktober 19, 2006

BERARAKLAH AWAN PILU DI BERITA HARIAN



Dunia Buku: Cabaran mencari ayah

BERARAKLAH Awan Pilu karya Abd Latip Talib merakam suka duka Syafiq dalam usaha mencari ayahnya yang tidak ditemui sejak dia dilahirkan sehingga memaksanya berkunjung ke Brunei Darussalam bagi mendapatkan kepastian.

Berbekalkan gambar kusam dan cincin emas ibunya, Syafiq menaiki penerbangan ke Brunei dengan penuh tekad untuk menjejaki ayahnya yang dikatakan hilang dari kampung ibunya di Jelebu tanpa khabar berita.

Di Brunei, Syafiq menumpang tidur di masjid dan menunjukkan gambar ayahnya kepada sesiapa saja yang ditemui di jalanan, walaupun sedar jawapannya mungkin menghampakan.

Dalam bermusafir itu, Syafiq bertembung dengan gadis Brunei, Marissa, seorang yang sombong lagi bongkak dan ditakdirkan kereta Marissa menghadapi masalah enjin dan Syafiq berjaya menghidupkannya.

Tanpa mengucapkan terima kasih, Marissa berlalu dengan keretanya dan tidak menyedari dompetnya terjatuh ketika tunduk untuk masuk ke dalam kereta hingga Syafiq terpaksa mengutipnya serta berusaha menjejaki gadis itu.

Pencarian Syafiq menemukannya dengan keluarga Marissa yang kaya raya tetapi kedatangannya disalah anggap ibu Marissa, Datin Siti, hingga berprasangka Syafiq adalah pemuda jahat dan penipu.

Bagaimanapun, bapa Marissa, Datuk Mansor, yakin dengan kebaikan Syafiq, lalu mengambil Syafiq bekerja sebagai pemandu keluarganya dan tingkah lakunya yang terpuji itu, menarik minat majikannya itu.

Datuk Mansor membuat tanggapan Syafiq bukan pemuda sebarangan kerana walaupun bertugas sebagai pemandu, Syafiq memiliki pengetahuan mengenai komputer dan berjaya memperbaiki komputer Marissa yang diserang virus.

Datuk Mansor cuba mengorek rahsia Syafiq mengenai keluarganya di Semenanjung tetapi tidak pernah menemui jawapan kerana setiap kali diajukan soalan mengenai ibunya, Syafiq berdalih bahawa ibunya sudah meninggal dunia.

Syafiq yakin Datuk Mansor adalah bapanya tetapi tidak terburu-buru mendedahkan rahsia itu kerana takut dikatakan mengejar harta dan setiap hari dia berusaha mempamerkan khidmat terbaik bagi mendapatkan kepercayaan Datuk Mansor.

Suatu hati ketika menunggu Datuk Mansor menyelesaikan urusan di bank, Syafiq tidak menyedari bahawa dirinya diekori dan sebaik Datuk Mansor keluar dari bank, dua perompak menyerbu untuk merampas wang daripada tangan Datuk Mansor.

Syafiq bergegas keluar untuk menyelamatkan Datuk Mansor dan dalam pergelutan itu, Datuk Mansor ditikam perompak menyebabkan dia mengalami luka parah dan kehilangan banyak darah.

Dapatkan Datuk Mansor diselamatkan, apakah Syafiq berpeluang mendedahkan rahsia yang terpendam dan mampukah Marissa mahupun Datin Siti menerima hakikat itu akan diketahui dengan membaca novel setebal 246 halaman terbitan Utusan Publication & Distributor Sdn Bhd berharga RM15 senaskah.

Sabtu, Oktober 14, 2006

MALAM LAILATUL QADAR

AMALAN Rasulullah SAW dan sahabat pada malam akhir Ramadan untuk mengisi Lailatul Qadar. Antaranya:

· Mandi, berpakaian indah dan berharum-harumanDiriwayatkan oleh Ibnu Abi `Asim bahawa Huzaifah pernah mengerjakan qiyam Ramadan bersama Rasulullah SAW dan melihat bahawa Baginda mandi pada malam itu. Ibnu Jarir pula berkata bahawa sahabat menyukai mandi pada malam-malam akhir Ramadan.

Demikian pula beberapa riwayat daripada sahabat seperti Anas bin Malik dan ulama pada masa Tabi'in menyatakan bahawa mereka akan mandi, memakai baju indah dan berharum-haruman apabila berada pada akhir Ramadan.Apa yang dilakukan oleh Rasulullah, sahabat dan Tabi'in ini adalah satu upaya untuk menyambut dan meraikan kedatangan Lailatul Qadar, sambil berdoa mendapatkan keampunan dan keberkatan malam itu.

· Melaksanakan solat sunat, iktikaf dan membaca al-Quran.Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan satu hadis daripada Aishah, bermaksud: Adalah Rasulullah apabila telah masuk 10 akhir daripada Ramadan, maka Baginda akan menghidupkan malam-malamnya, membangunkan keluarganya dan mengikat pinggangnya.

Dalam salah satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dari Amru bin `Ash bermaksud: Barang siapa yang solat pada malam Ramadan dan membaca 10 ayat daripada al-Quran maka dia tidaklah dicatat sebagai orang yang lalai.

Mengerjakan solat dan membaca al-Quran pada pada malam yang akhir ini sangat penting hingga dalam salah satu riwayat dikatakan bahawa Rasulullah SAW melakukan solat pada malam Ramadan dan membaca al-Quran dengan tertib.

· Memperbanyak doa.Rasulullah SAW bersabda doa adalah otak segala ibadat. Doa juga kunci daripada semua ibadat. Aishah diperintahkan oleh Baginda untuk memperbanyak doa pada 10 malam terakhir Ramadan.Dalam satu hadis daripada Aishah diriwayatkan at-Tirmizi, Aishah diajar oleh Rasulullah SAW membaca doa pada malam al-Qadar.

Ulama bersepakat bahawa doa yang paling utama pada malam al-Qadar adalah doa yang meminta keampunan dan kemaafan daripada Allah. Perkara ini seperti doa yang diajarkan Rasulullah kepada Aishah. Doanya berbunyi: Allahumma innaka afuwun tuhibbul afwa fa' fu anni (maksudnya, Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah Maha Pengampun, yang suka Maha Mengampun, maka ampunilah aku ini)

Pada malam itu Allah akan mengabulkan semua permohonan dan doa, terkecuali terhadap empat golongan manusia. Ibnu Abbas berkata: Semua doa pada malam itu diterima terkecuali doa orang meminum arak, anak yang derhaka kepada ibu bapa, orang yang selalu bertengkar dan mereka yang memutuskan silaturahim.

BERITA HARIAN.

Ahad, Oktober 08, 2006

NOSTALGIA RAMADAN DI MASJIDIL HARAM

Ramadan kali ini datang lagi
bersama himpunan ummah
beriktiqaf di Masjidil Haram
hati setenang danau
dan air zam-zam membasuh parut luka.

Ramadan kali ini
ummah bermunajat di sisi Kaabah
bersama deraian air mata ketakwaan
beriktiqaf dalam Masjidil Haram
dalam bahang mentari memijar
tiba waktu berbuka
menjamu selera penuh kesyukuran
terbayang wajah anak-anak kecil
di Afghanistan, Iraq dan Palestin
menangis kelaparan sambil merayu;
" Bebaskan kami dari penderitaan."

Ramadan demi Ramadan berlalu
Ummah datang dan pergi
mereka masih menangis
mengharap simpati.

Jumaat, September 29, 2006

BILA PM MENJADI IMAM



Datuk ABDULLAH Ahmad Badawi mengimamkan solat Maghrib pada Majlis Berbuka Puasa dan Solat Tarawih Anak-Anak Yatim Bersama Presiden dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, malam tadi.

**

Pada zaman khalifah Islam dahulu pemimpin atau ketua pemerintah menjadi imam dalam solat, termasuk membaca khutbah ketika solat jumaat. Tetapi pada masa sekarang payah jumpa pemimpin yang boleh menjadi Imam.

Kerana itu apabila Perdana Menteri Malaysia Datuk Abdullah Ahmad Badawi tampil ke depan menjadi Imam sembahyang maka satu kebanggaan bagi rakyat Malaysia.

Isnin, September 25, 2006

RAMADAN PENUH KEBERKATAN

Ramadan mula dirasakan sejak bulan Rajab lagi. Malah ada yang mula berpuasa pada bulan tersebut. Kini Ramadan telah menjelang tiba dan kita umat Islam diwajibkan berpuasa.

Bulan Ramadan penuh dengan keberkatan, kerahmatan dan keampunan. Allah memberikan ganjaran pahala yang berlipat ganda kepada mereka yang beramal saleh.

Sepanjang Ramadan amalan-amalan sunat ganjarannya sama seperti amalan fardhu, dan amalan fardhu diberi ganjaran 70 kali ganda. Amalan berpuasa di bulan Ramadan akan memberi syafaat di hari akhirat. Pintu syurga terbuka kepada mereka yang berpuasa kerana berpuasa itu menghapus dosa-dosa yang lalu.

Pada bulan Ramadan kita juga digalakan mengerjakan sembahyang Terawih yang tidak ada pada bulan lain. Ganjaran pahalanya juga amar besar. Selain itu kita digalakan membaca al Quran.

Sabda Rasulullah saw. "Barangsiapa membaca satu ayat Al-Quran pada bulan Ramadan, ganjarannya sama seperti mengkhatam Al-Quran pada bulan-bulan yang lain."

Saidina Ali bin Abi Thalib pernah bertanya, "Ya Rasulullah, apa amalan yang paling utama pada bulan ini?"

Baginda menjawab, "Amalan yang paling utama pada bulan ini adalah menjaga diri dari melakukan perkara yang diharamkan oleh Allah swt.”

Semoga pada bulan yang suci ini kita mendapat rahmat dan keampunan. Amin.

Selamat berpuasa.

Jumaat, September 08, 2006

MALAM NISFU SYAABAN

Diam tak diam rupanya kita telah berada di pertengahan bulan Syaaban. Maknanya dua minggu lagi kita berpuasa. Dan seperti tahun-tahun yang lalu pada pada malam tadi (Nisfu Syaaban) umat Islam berkumpul di masjid atau surau di antara Maghrib dan Isyak untuk membaca surah Yasin secara beramai-ramai.

kami membaca Yasin sebanyak tiga kali disertai niat agar dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki dan kuatkan iman dengan diiringi doa khusus.

Malam Nisfu Syaaban sangat istimewa berbanding malam lain kecuali malam Lailatul Qadr pada Ramadan. Pada malam Nisfu Syaaban, pintu keampunan dibuka untuk semua orang yang berbuat dosa kecuali dosa mensyirikkan Allah SWT dan menyimpan perasaan dendam.

Ini bersandarkan hadis yang diriwayatkan Ibn Hibban dan al-Tabrani daripada Muaz bin Jabal bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Allah SWT menurunkan rahmat kepada semua makhluk-Nya pada malam Nisfu Syaaban, lalu ia mengampuni dosa-dosa mereka, kecuali orang musyrik dan yang menyimpan dendam." (Al-Muntaqa, 1/319, bil 533)

Walaupun ada yang mengatakan amalan membaca Yasin pada malam Nisfu Syaaban tidak pernah diajar Rasulullah SAW, tetapi ramai berpendapat tidak salah jika hendak membaca Surah Yasin secara beramai-ramai pada malam Nisfu Syaaban.

Seperti juga dengan tahlil, doa arwah, talkin, upacara potong jambul dan sebagainya ada yang berpendapat itu amalan bidaah tetapi masih juga dilakukan oleh umat Islam khususnya di negara kita kerana mereka berpendapat amalan itu boleh dilakukan.

Jumaat, September 01, 2006

BERBENGKEL DI AIR KEROH 2

Pada bulan Julai yang lalu, bertempat di Puteri Resort Air Keroh Melaka, berlansung bengkel penulisan novel sejarah Johor yang dianjurkan oleh Yayasan Warisan Johor.

Baru-baru ini , bertempat di Sri Warisan Resort, Air Keroh Melaka, sekali lagi saya berpeluang mengikuti bengkel penulisan novel yang dianjurkan oleh Bhg Pengembangan Sastera Kebangsaan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Bengkel kali ini terbahagi kepada dua iaitu cerpen seramai 20 peserta, dibimbing oleh Puan Zaharah Nawawi dan novel 18 peserta, dibimbing oleh Dato’ Dr Anwar Ridhwan. Saya berada di bengkel penulisan novel.

Biasanya dalam sesuatu bengkel penulisan, pihak penganjur menjemput lebih dari seorang penceramah atau pembimbing. Tetapi untuk projek ini cuma seorang sahaja bahagian cerpen dan seorang sahaja bahagian novel yang memberi bimbingan dari mula sampai habis.

Saya rasa cara ini lebih berkesan kerana penceramah boleh memberi bimbingan dari awal hingga akhir dan semua aspek mengenai penulisan novel dapat disampaikan oleh orang yang sama. Tambahan pula para pesertanya terdiri daripada para penulis muda yang berusia antara 18 hingga 36 tahun ( saya seorang sahaja peserta veteran).

Bengkel bermula dengan pembina naratif, tema, watak, latar, bahasa, plot dan sudut pandangan. Kemudian diikuti dengan merangka sebuah novel.

Menurut Dato’ Anwar Ridhwan, untuk membina unsur-unsur Pembinaan naratif, pengarang mestilah benar-benar memahami tema sesebuah novel yang hendak dihasilkannya.

Katanya lagi, dalam sesebuah novel mestilah ada mood dan semangat zaman. Latarnya pula mestilah menyerap pancaindera. Watak dalam novel juga mestilah sebagai manusia yang sempurna dengan sifat kasih sayang, riang, sedih, marah, takut dan bertenaga,

Mengenai sudut pandangan pula, tidak semua perlu diceritakan. Hanya perkara2 penting sahaja yang dimasukkan.

Novel menceritakan tentang kehidupan manusia dan menyelami perasaan mereka. Kerana itu, dalam sesebuah novel, bahasa adalah memainkan peranan yang amat penting kerana melalu bahasa pengarang menyalurkan ideanya.

Gunakan gaya bahasa sastera yang kreatif untuk menyampaikan cerita, fikiran, perasaan dan lain-lain bagi menghasilkan kesan yang mendalam kepada pembaca.

Walaupun pengarang diberi kebabasan berbahasa tetapi gaya bahasa mestilah betul, istilah yang tepat, pola ayat yang sesuai dan berkesan dan gaya bahasa tidak bertentang degan tatabahasa.

Dialognya pula mengandungi perasaan, emosi dan fikiran. Yang penting mesti ada informasi kerana bahasa yang jelas dari pemikiran yang jelas, katanya.

Menurut Dato’ Anwar Ridhwan, antara tujuan menulis, setelah kita meninggal dunia ada sesuatu yang akan ditinggalkan. Walau bagaimanapun sebuah novel yang baik, pembaca mendapat pengalaman baru setelah membacanya.

Antara ciri-ciri pengarang yang baik, selain bakat mesti banyak membaca, tidak jemu-jemu menuntut ilmu dan memahami serta mengkaji sesuatu perkara yang hendak ditulis.

Tidak semestinya apa yang terlintas dalam fikiran boleh ditulis kerana penulis mestilah berhati-hati supaya hasil karya itu terikat kemas, pesannya.

Menyentuh mengenai ilham pula, beliau mengatakan sesuatu yang menggerakkan hati untuk menimbulkan daya cipta, itulah dinamakan ilham.

“Ilham yang datang mesti direbut dengan cepat sebelum hilang,”pesannya.