Jumaat, September 01, 2006

BERBENGKEL DI AIR KEROH 2

Pada bulan Julai yang lalu, bertempat di Puteri Resort Air Keroh Melaka, berlansung bengkel penulisan novel sejarah Johor yang dianjurkan oleh Yayasan Warisan Johor.

Baru-baru ini , bertempat di Sri Warisan Resort, Air Keroh Melaka, sekali lagi saya berpeluang mengikuti bengkel penulisan novel yang dianjurkan oleh Bhg Pengembangan Sastera Kebangsaan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Bengkel kali ini terbahagi kepada dua iaitu cerpen seramai 20 peserta, dibimbing oleh Puan Zaharah Nawawi dan novel 18 peserta, dibimbing oleh Dato’ Dr Anwar Ridhwan. Saya berada di bengkel penulisan novel.

Biasanya dalam sesuatu bengkel penulisan, pihak penganjur menjemput lebih dari seorang penceramah atau pembimbing. Tetapi untuk projek ini cuma seorang sahaja bahagian cerpen dan seorang sahaja bahagian novel yang memberi bimbingan dari mula sampai habis.

Saya rasa cara ini lebih berkesan kerana penceramah boleh memberi bimbingan dari awal hingga akhir dan semua aspek mengenai penulisan novel dapat disampaikan oleh orang yang sama. Tambahan pula para pesertanya terdiri daripada para penulis muda yang berusia antara 18 hingga 36 tahun ( saya seorang sahaja peserta veteran).

Bengkel bermula dengan pembina naratif, tema, watak, latar, bahasa, plot dan sudut pandangan. Kemudian diikuti dengan merangka sebuah novel.

Menurut Dato’ Anwar Ridhwan, untuk membina unsur-unsur Pembinaan naratif, pengarang mestilah benar-benar memahami tema sesebuah novel yang hendak dihasilkannya.

Katanya lagi, dalam sesebuah novel mestilah ada mood dan semangat zaman. Latarnya pula mestilah menyerap pancaindera. Watak dalam novel juga mestilah sebagai manusia yang sempurna dengan sifat kasih sayang, riang, sedih, marah, takut dan bertenaga,

Mengenai sudut pandangan pula, tidak semua perlu diceritakan. Hanya perkara2 penting sahaja yang dimasukkan.

Novel menceritakan tentang kehidupan manusia dan menyelami perasaan mereka. Kerana itu, dalam sesebuah novel, bahasa adalah memainkan peranan yang amat penting kerana melalu bahasa pengarang menyalurkan ideanya.

Gunakan gaya bahasa sastera yang kreatif untuk menyampaikan cerita, fikiran, perasaan dan lain-lain bagi menghasilkan kesan yang mendalam kepada pembaca.

Walaupun pengarang diberi kebabasan berbahasa tetapi gaya bahasa mestilah betul, istilah yang tepat, pola ayat yang sesuai dan berkesan dan gaya bahasa tidak bertentang degan tatabahasa.

Dialognya pula mengandungi perasaan, emosi dan fikiran. Yang penting mesti ada informasi kerana bahasa yang jelas dari pemikiran yang jelas, katanya.

Menurut Dato’ Anwar Ridhwan, antara tujuan menulis, setelah kita meninggal dunia ada sesuatu yang akan ditinggalkan. Walau bagaimanapun sebuah novel yang baik, pembaca mendapat pengalaman baru setelah membacanya.

Antara ciri-ciri pengarang yang baik, selain bakat mesti banyak membaca, tidak jemu-jemu menuntut ilmu dan memahami serta mengkaji sesuatu perkara yang hendak ditulis.

Tidak semestinya apa yang terlintas dalam fikiran boleh ditulis kerana penulis mestilah berhati-hati supaya hasil karya itu terikat kemas, pesannya.

Menyentuh mengenai ilham pula, beliau mengatakan sesuatu yang menggerakkan hati untuk menimbulkan daya cipta, itulah dinamakan ilham.

“Ilham yang datang mesti direbut dengan cepat sebelum hilang,”pesannya.

0 ulasan: