Jumaat, September 08, 2006

MALAM NISFU SYAABAN

Diam tak diam rupanya kita telah berada di pertengahan bulan Syaaban. Maknanya dua minggu lagi kita berpuasa. Dan seperti tahun-tahun yang lalu pada pada malam tadi (Nisfu Syaaban) umat Islam berkumpul di masjid atau surau di antara Maghrib dan Isyak untuk membaca surah Yasin secara beramai-ramai.

kami membaca Yasin sebanyak tiga kali disertai niat agar dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki dan kuatkan iman dengan diiringi doa khusus.

Malam Nisfu Syaaban sangat istimewa berbanding malam lain kecuali malam Lailatul Qadr pada Ramadan. Pada malam Nisfu Syaaban, pintu keampunan dibuka untuk semua orang yang berbuat dosa kecuali dosa mensyirikkan Allah SWT dan menyimpan perasaan dendam.

Ini bersandarkan hadis yang diriwayatkan Ibn Hibban dan al-Tabrani daripada Muaz bin Jabal bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Allah SWT menurunkan rahmat kepada semua makhluk-Nya pada malam Nisfu Syaaban, lalu ia mengampuni dosa-dosa mereka, kecuali orang musyrik dan yang menyimpan dendam." (Al-Muntaqa, 1/319, bil 533)

Walaupun ada yang mengatakan amalan membaca Yasin pada malam Nisfu Syaaban tidak pernah diajar Rasulullah SAW, tetapi ramai berpendapat tidak salah jika hendak membaca Surah Yasin secara beramai-ramai pada malam Nisfu Syaaban.

Seperti juga dengan tahlil, doa arwah, talkin, upacara potong jambul dan sebagainya ada yang berpendapat itu amalan bidaah tetapi masih juga dilakukan oleh umat Islam khususnya di negara kita kerana mereka berpendapat amalan itu boleh dilakukan.

0 ulasan: