SELAMAT HARI RAYA
Hampir seminggu hari raya berlalu. Kemeriahannya masih dirasakan. Amalan kunjung mengunjung mengerat silaturrahim masih dilakukan mungkin hingga ke penghujung Syawal.
Seperti hari-hari raya yang lalu, tradisi kami di kampung membakar lemang seperti tak boleh ketinggalan seolah tidak meriah menyambut hari raya tanpa bakar lemang. Walau pun lemang boleh dibeli di pasar tani tetapi lebih seronok membakarnya sendiri.
Selain membakar lemang, telah menjadi tradisi keluarga saya memasak ayam golek dan ayam itu kami makan beramai-ramai pada malam raya bersama lemang yang masih panas. Selepas solat Maghrib kami bertakbir. Dan pada malam itu kami tidur agak lewat dan esoknya solat hari raya di masjid.
Di kampung memang tidak ada rumah terbuka kami boleh berkunjung atau dikunjungi pada bila-bila masa kerana pintu rumah sentiasa terbuka. Memberi duit raya kepada anak-anak juga seolah menjadi kebiasaan.
Ramadan telah berlalu dan Syawal sedang menjelma. Setelah sebulan lamanya kita berpuasa sampai masanya menyambut hari kemenangan itu. Semoga kita dipanjangkan umur dan diberi kesempatan untuk menyambutnya pada tahun depan. InsyaAllah.
Selamat hari raya maaf zahir dan batin.
0 ulasan:
Catat Ulasan