Khamis, Oktober 19, 2006

BERARAKLAH AWAN PILU DI BERITA HARIAN



Dunia Buku: Cabaran mencari ayah

BERARAKLAH Awan Pilu karya Abd Latip Talib merakam suka duka Syafiq dalam usaha mencari ayahnya yang tidak ditemui sejak dia dilahirkan sehingga memaksanya berkunjung ke Brunei Darussalam bagi mendapatkan kepastian.

Berbekalkan gambar kusam dan cincin emas ibunya, Syafiq menaiki penerbangan ke Brunei dengan penuh tekad untuk menjejaki ayahnya yang dikatakan hilang dari kampung ibunya di Jelebu tanpa khabar berita.

Di Brunei, Syafiq menumpang tidur di masjid dan menunjukkan gambar ayahnya kepada sesiapa saja yang ditemui di jalanan, walaupun sedar jawapannya mungkin menghampakan.

Dalam bermusafir itu, Syafiq bertembung dengan gadis Brunei, Marissa, seorang yang sombong lagi bongkak dan ditakdirkan kereta Marissa menghadapi masalah enjin dan Syafiq berjaya menghidupkannya.

Tanpa mengucapkan terima kasih, Marissa berlalu dengan keretanya dan tidak menyedari dompetnya terjatuh ketika tunduk untuk masuk ke dalam kereta hingga Syafiq terpaksa mengutipnya serta berusaha menjejaki gadis itu.

Pencarian Syafiq menemukannya dengan keluarga Marissa yang kaya raya tetapi kedatangannya disalah anggap ibu Marissa, Datin Siti, hingga berprasangka Syafiq adalah pemuda jahat dan penipu.

Bagaimanapun, bapa Marissa, Datuk Mansor, yakin dengan kebaikan Syafiq, lalu mengambil Syafiq bekerja sebagai pemandu keluarganya dan tingkah lakunya yang terpuji itu, menarik minat majikannya itu.

Datuk Mansor membuat tanggapan Syafiq bukan pemuda sebarangan kerana walaupun bertugas sebagai pemandu, Syafiq memiliki pengetahuan mengenai komputer dan berjaya memperbaiki komputer Marissa yang diserang virus.

Datuk Mansor cuba mengorek rahsia Syafiq mengenai keluarganya di Semenanjung tetapi tidak pernah menemui jawapan kerana setiap kali diajukan soalan mengenai ibunya, Syafiq berdalih bahawa ibunya sudah meninggal dunia.

Syafiq yakin Datuk Mansor adalah bapanya tetapi tidak terburu-buru mendedahkan rahsia itu kerana takut dikatakan mengejar harta dan setiap hari dia berusaha mempamerkan khidmat terbaik bagi mendapatkan kepercayaan Datuk Mansor.

Suatu hati ketika menunggu Datuk Mansor menyelesaikan urusan di bank, Syafiq tidak menyedari bahawa dirinya diekori dan sebaik Datuk Mansor keluar dari bank, dua perompak menyerbu untuk merampas wang daripada tangan Datuk Mansor.

Syafiq bergegas keluar untuk menyelamatkan Datuk Mansor dan dalam pergelutan itu, Datuk Mansor ditikam perompak menyebabkan dia mengalami luka parah dan kehilangan banyak darah.

Dapatkan Datuk Mansor diselamatkan, apakah Syafiq berpeluang mendedahkan rahsia yang terpendam dan mampukah Marissa mahupun Datin Siti menerima hakikat itu akan diketahui dengan membaca novel setebal 246 halaman terbitan Utusan Publication & Distributor Sdn Bhd berharga RM15 senaskah.

0 ulasan: