Selasa, Julai 25, 2006

BERBENGKEL DI AIR KEROH


Pada 21-23 Julai yang lalu bertempat di Puteri Resort Air Keroh Melaka berlansung bengkel penulisan novel sejarah Johor. Bengkel ini ada kaitannya dengan sayembara penulisan novel sejarah Johor yang akan diadakan pada tahun 2007.
Seronok juga dapat menyertainya kerana selain dapat maklumat mengenai sejarah Johor dan mengetahui cara penulisan novel sejarah seperti yang dikehendaki oleh pihak penganjur, dapat bertemu dengan ramai penulis. Antaranya Puan Ainon Mohd, Abdul Hamid Jemain, Fadh Razy, Zaid Aktar, Saadiah Ibrahim. Amaruszati, Muhamad Kasim Muhamad, Zulkarnain Ithnin. Sekadar menyebut beberapa nama.

Para penceramahnya Prof Dr Abdullah Zakaria Ghazali, Encik Mohd Saleeh Rahamad, Prof Madya Dr Rosnah Baharudin, Tuan Haji Hamzah Hamdani dan Prof Madya Datuk Zainal Abidin Borhan.Dalam sesi forum pula ialah Arenawati, Talib Samat dan Faisal Tehrani.

Seramai 48 peserta yang hadir dari pelbagai negeri.

Nisah Haron ada menjual buku-buku termasuk karya pemenang Hadiah Satera Utusan 2005. seronok juga bila ada kawan-kawan yang beli novel BERARAKLAH AWAN PILU kemudian minta saya tandatangan pada novel tersebut.

Kata Nisah Haron ayahnya menangis bila membaca novel tersebut.

Seperti biasa. Balik dari bengkel atau kursus semangat menulis berkobar-kobar. Semoga semangat itu tak kunjung padam. InsyaAllah.

Jumaat, Julai 21, 2006

HADIAH SASTERA UTUSAN 2005


Pada malam 19hb Julai 2006 telah berlansung penyampaian Hadiah Sastera Kumpulan Utusan -ExxonMobil 2005 (HSKU), Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar menyampaikan hadiah kepada para pemenang HSKU. Saya pemenang tempat ketiga kategori novel remaja. Alhamdulillah.

Kali pertama hadiah saguhati cerpen remaja pada tahun 2001 di tempat yang sama iaitu di Hotel Renaissance, Kuala Lumpur dengan cerpen yang bertajuk Jaguh Kampung. Dan kali ini dengan novel remaja berjudul Beraraklah Awan Pilu.

Seperti biasa apabila memenangi satu-satu hadiah sayembara hati berasa seronok dan gembira. Walaupun memenanginya bukan matlamat utama saya menulis tetapi memberi keyakinan serta ransangan untuk terus menghasilkan karya..

Pada bulan Disember 2005 yang lalu saya ke Kucing menerima hadiah peraduan menulis novel sastera dan budaya sarawak.

Seperti penulis-penulis lain bukan kejayaan itu yang hendak dibangga-banggakan. Cuma sekadar rakaman kegembiraan sebagai seorang penulis.

Pada malam itu saya duduk satu meja dengan pemenang kategori Novel Remaja Bahasa Inggeris Ti Chin Han pemenang tempat pertama, Lee Su Ann pemenang tempat kedua dan Teoh Choon Ean pemenang di tempat ketiga.

Sempat juga saya bertanya pengalaman Ti Chin Han yang menghasilkan novel berjudul Frigge Horror yang meraih hadiah wang tunai RM6,000. Menurutnya mengambil masa 6 bulan menyiapkannya. Dia juga bertanya pengalaman saya menulis Beraraklah Awan Pilu.

Sempat juga bersalaman dengan Ghazali Lateh pemenang hadiah Utama kategori Cerpen Hikayat Naga Gunung Cimayu. Kemudian bertemu pula Ahmad Fadhil Mohamad Pakarul Razy atau Fahd Razy pemenang hadiah utama kategori Puisi Al-Andalus Menangis.

Sempat juga berbual dengan cerpenis muda berbakat Ummu Hani Abu Hassan pemenang kategori Cerpen Remaja, meraih Hadiah Utama dengan cerpen Kampung Hati Ayah, selain mendapat hadiah penghargaan bagi kategori Cerpen dengan cerpen Cerita-Cerita Akhir. Beliau meraih hadiah wang tunai berjumlah RM3,300. Tahniah Ummu Hani.

Selesai majlis sempat juga berbual-bual dengan Nor Azah Aziz dan Amir Hmzah L. Kadir dari Kedah pemenang hadiah pertama novel Kembara Amira. Siti Jasmina Ibrahim pemenang tempat kedua dengan novel 6.20. Sedang kami berbual tiba-tiba muncul Datuk Dr. Anwar Ridhwan.

Semasa kami bersalaman dia bertanya kepada Nor Azah, inikah dia orangnya?
Saya bertanya kepada Nor Azah apa maksud pertanyaan Datuk Dr Anwar Ridhwan itu?. Jawab Nor Azah, beliau pernah bertanya yang mana satu penulis bernama abd latip talib?.

Pada malam itu saya bersyukur kerana mendapat hadiah dan gembira bertemu dengan ramai penulis hebat walaupun kebanyakan mereka memang tidak mengenali saya.

Rabu, Julai 19, 2006

NOVEL BARU TERBIT



Judul : Beraraklah Awan Pilu
Pengarang : Abd Latip Talib
Penerbit : Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd
Genre : Novel Remaja
Mukasurat : 246
Cetakan Pertama : 2006
ISBN : 9676118990

Pertemuan dan perpisahan sudah disuratkan. Bukankah jodoh, ajal maut di tangan Tuhan? Begitu Syafik diasuh ibunya, wali keramat yang bersungguh-sungguh sabar dan redha agar dia berjiwa besar, mengharung terjahan ribut di bawah langit mendung, awan pilu.

Bahawa dia titis dari hulu yang cemar menjadi kenistaan yang menghujankan kepiluan. Dengan amanat yang tersemat, Syafik menjejak bapa yang hilang senyap, membawa bersamanya maruah mereka.

Bukankah jodah di tangan Tuhan?

Sungguh harga diri bukan dagangan, dapat dijual beli. Bertemu di rantauan, dalam kemewahan yang melimpah, Syafiq tidak terkilau oleh pangkat dan mata benda. Dengan jiwa besar, ribut yang kasar menjadi lunak. Dia pulang ke desa, mendepani orang keliling bangkit, lebih perkasa, mencuci bersih tohmah nista.

Novel ini memenangi tempat ketiga Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2005

Selasa, Julai 18, 2006

LAGI MENGENAI BENGKEL PENULISAN

Pada jam 9.30 pagi tadi berlansung mesyuarat di pejabat daerah jelebu bagi membincangkan bengkel penulisan novel yang akan diadakan di Hotel Sri Klawang pada 30hb ini.

Saya yang diberi tugas untuk mendapatkan penceramah dan peserta bengkel telah diminta mengemukakan laporan.

Puan Noor Azah Abd Aziz telah bersetuju untuk datang tetapi Puan Mahaya Yasin tidak dapat hadir. Saya mencadangkan diganti dengan Faizal Tehrani tetapi masih belum mendapat jawapan samaada beliau dapat hadir atau tidak. Seorang lagi penceramah Puan Ainon Mohd juga telah menyatakan persetujuannya untuk hadir.

Pada saya bengkel penulisan novel ini agak istimewa kerana dianjurkan oleh bukan badan persatuan penulis. Perbelanjaannya dibiayai oleh Majlis Kebudayaan Daerah Jelebu. Dan ini adalah kali ke 3 kami mengadakannya.

Mesyuarat juga bersetuju menerima 15 peserta dari luar daerah Jelebu yang memohon untuk mengikuti bengkel tersebut Ada permohonan supaya peserta tersebut dibawa melawat tempat bersejarah di Jelebu seperti Makam Moyang Salleh dan Masjid Kuala Dulang. Tetapi cadangan itu terpaksa ditolak kerana kesuntukan masa.

Harapan kami semoga bengkel penulisan ini berjalan dengan lancar.

Isnin, Julai 17, 2006

MITOS NOVEL REMAJA

http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2006&dt=0717&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sastera

Rabu, Julai 12, 2006

BENGKEL PENULISAN NOVEL DI JELEBU

Sejak entri ini disiarkan saya banyak menerima permohonan dari luar kawasan Jelebu untuk menyertainya. Sebelum ini kami bercadang mengambil peserta daripada Jelebu sahaja kerana segala perbelanjaan ditanggung oleh Majlis Kebudayaan Jelebu. Kerana ramai yang berminat maka kami buka juga kepada peserta dari luar.

Antara mereka yang telah mendaftarkan nama seperti berikut:

1. Kamarulzaman Mohd - Tampin

2. Norizam binti Sinoh - Tampin

3. Azman Yusof - Rembau

4. Fahd Razy - Kuala Lumpur

5. Norsuriana Abd Razak - Batu Kikir.

6. Zaharudin Pilus - kuala lumpur

7. Wan Salmah Wan Hasaan - Rembau

8. Zaid Md Saman - Melaka

9. Judlifah binti M. Jamil - Kuala Lumpur

10. Rohaizan binti Juwahir - Kuala Lumpur.
.

Isnin, Julai 10, 2006

BERARAKLAH AWAN PILU

Saya suka membaca novel yang menyentuh perasaan sehingga boleh mengalirkan air mata. Contohnya novel HARTINI dan DI BAWAH LINDUNGAN KAABAH.

Saya pernah bercita-cita hendak menulis novel seperti itu. Dalam bengkel penulisan, penceramah selalu mengatakan kisah dari pengalaman sendiri lebih berkesan dan mudah menyentuh perasaan.

Kebetulan saya ada kisah sedih yang pernah dilalui pada zaman kanak-kanak. Pernah mengalami bagaimana sukarnya kehidupan seorang anak tanpa kasih sayang dari seorang ayah. Maka saya rakamkan kisah suka duka itu dalam novel BERARAKLAH AWAN PILU.

Temanya mengisahkan seorang anak merantau ke Brunei untuk mencari seorang ayah yang telah bercerai dengan ibunya sejak dia masih dalam kandungan. Dengan berlatar belakangkan Jelebu dan negara Brunei Darussalam maka terhasillah novel BERARAKLAH AWAN PILU. Judul asaLnya MENCARI AYAH.

Bersyukur kerana novel remaja itu menang tempat ke 3 hadiah sastera utusan 2005. Walaupun menang sayembara bukan matlamat utama saya menulis namun dapat mengembirakan hati saya dan memberi semangat untuk terus menulis.

Alhamdulillah.

Rabu, Julai 05, 2006

BENGKEL PENULISAN NOVEL

Majlis Kebudayaan Daerah Jelebu dengan kerjasama Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) akan mengadakan bengkel penulisan novel dan pelancaran novel karya penulis-penulis Jelebu pada ketetapan berikut:

Tarikh: 30hb Julai 2006 (Ahad)

Tempat: Hotel Sri Kuala Klawang, Jelebu.

Masa : 8.00 pagi hingga 5.00 petang.

Peserta: 40 orang sahaja.

Makanan dan minuman disediakan.


ATURCARA;

7.30 - 8.00 Pagi - Pendaftaran peserta

8.00 - 9.00 pagi - Majlis perasmian dan pelancaran novel
karya penulis-penulis Jelebu oleh YB Datuk Razak Mansur.

9.00 - 9.30 pagi - Kudapan

9.30 - 11.00 pagi - Bengkel 1 oleh Puan Nor Azah Abd Aziz

11.00 - 12.30 t.hari - Bengkel 2 oleh (akan diberitahu)

12.30 - 2.00 ptg - Rehat makan tengah hari dan solat zuhur.

2.00 - 4.00 ptg - Bengkel 3 oleh Puan Ainon Mohd

4.00 - 5.00 ptg - Majlis penutup dan penyampaian sijil

5.00 ptg - Bersurai/ minum petang

Selasa, Julai 04, 2006

DATO' ABDULLAH HUSSAIN



Saya mula meminati karya Dato Abdullah Hussain setelah membaca sebuah cerpen bertajuk SEBUAH PEKAN BERNAMA SEMPORNA yang disiarkan dalam Dewan Sastera Oktober 1979. Cerpen itu agak panjang tetapi saya seronok membacanya kerana penerangannya begitu jelas. Sejak itu saya terus membaca cerpen-cerpen dan novel-novel beliau.

Kali pertama saya bertemu dengannya pada tahun 1993 dalam satu majlis penyampaian hadiah Sastera Berunsur Islam di Pusat Islam Kuala Lumpur. Kemudian kami bertemu lagi semasa mengikuti rombongan GAPENA melawat Sumatera Barat.

Kebetulan kami duduk satu bangku dalam bas yang bertolak dari Dumai hingga ke Padang dan seterusnya ke Bukit Tinggi. Pada mulanya saya berasa segan kerana beliau penulis terkenal sedangkan saya baru sahaja menghasilkan beberapa buah cerpen. Tambahan pula IMAM novel baru Pak Lah baru saja memenangi Hadiah Novel Nasional.

Tetapi setelah bertegur sapa kami rancak berbual dan beliau terus menceritakan pengalamannya di bidang penulisan termasuk pengalaman menghasilkan novel IMAM.

Semenjak itu kami selalu bertanya khabar. Semasa saya bertugas di Sarawak beliau ada mengirimkan Warta GAPENA yang ada menyiarkan rencana beliau.

Semasa di Sarawak juga saya sempat membaca novel IMAM hingga habis. Kemudian novel itu saya hadiahkan kepada Encik Mohd Nor Yusuf (anak Yusuf Rawa) yang menjadi pengurus ladang PNB.

Khabarnya Dato Abdullah Hussain kini sudah uzur. Beliau tidak dapat menulis lagi. Semasa sihat beliau menulis setiap hari paling kurang lima muka surat.

Khabarnya sebelum jatuh sakit beliau sempat menyiapkan sebuah novel bertajuk DAN APABILA MALAM BERLALU. Novel itu adalah sambungan dari novel IMAM.

Semoga Dato Abdullah Hussain tabah hati dan bersabar dengan apa yang sedang dilaluinya sekarang.

Isnin, Julai 03, 2006

BILA KOMPUTER ROSAK

Setiap hari saya berdampingan dengan komputer. Apabila komputer rosak saya tidak dapat menulis dan membaca. Tambahan pula saya hanya memiliki sebuah komputer.

Ini bukan pertama kali saya mengalami kerosakan komputer. Sudah berkali-kali. Doktor yang merawatnya mengatakan terkena virus yang berkemungkinan disebarkan melalui email.

Dan Seperti biasa, apabila komputer rosak isi kandungannya hilang. Semua karya atau tulisan yang tersimpan hilang dalam sekelip mata.

Namun kali ini saya bernasib baik kerana kebanyakan tulisan itu sudah saya buat salinannya.

Assalamualaikum khas buat pengirim emel.

Isnin, Jun 26, 2006

KEBENARAN





impian untuk menerbitkan antologi cerpen persendirian hanya tercapai pada tahun 2001 apabila Dewan Bahasa dan Pustaka menerbitkan kumpulan cerpen KEBENARAN.

Sebelum itu saya diberi peluang untuk menjadi penyelenggara antologi cerpen bersama berjudul PILIHAN HATIKU diterbitkan pada tahun 1993.

Kumpulan cerpen KEBENARAN mengandungi 21 buah cerpen yang saya hasilkan dari tahun 1990 hingga tahun 1998. 15 buah antaranya pernah tersiar dalam akhbar Mingguan Malaysia dan Utusan Zaman (jawi). 4 buah di antaranya pernah menang hadiah sayembara.

Kumpulan cerpen kebenaran ini memang tidak pernah diperkatakan atau didiskusikan dalam mana-mana majlis. Namun saya berasa satu penghargaan apabila seorang pelajar Siti Rashidah binti Mandahar dari Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia menjadikannya sebagai projek penyelidikan bagi memenuhi syarat keperluan bacelor sasteranya.

Cerpen KEBENARAN yang termuat dalam antologi ini juga telah dipilih sebagai menerima anugerah sastera negeri sembilan dalam kategori genre cerpen pada tahun 2005.

Semalam ada seorang kawan bertanya kenapa sejak tahun 2001 hingga sekarang tidak ada lagi antologi cerpen yang diterbitkan.

Jawapan saya sudah jarang menulis cerpen kerana saya menumpukan kepada penulisan novel.

Mana novel terbaru. Tidak adapun dalam pasaran…kawan saya itu macam memerli.

InsyaAllah bulan Julai ini muncul novel terbaru saya.

Apa judulnya.

RAHSIA.

Isnin, Jun 19, 2006

HADIAH HARI BAPA

Semalam 18hb adalah hari bapa. Ramai bapa yang menerima ucapan selamat hari bapa daripada anak-anak. Ada pula yang mendapat hadiah.

Walaupun begitu mengingati bapa adalah sepanjang tahun bukan pada hari-hari tertentu sahaja.

Buat pertama kalinya pada tahun ini saya sekeluarga menyambut Hari Bapa di Residence Hotel. Majlis bermula jam 12.30 hingga 3.00 petang. Ramai juga tetamu yang hadir.Nama-nama mereka ditempah khas oleh anak masing-masing.

Selain menikmati pelbagai juadah yang disediakan, para tetamu juga dihiburkan dengan nyanyian. Untuk memeriahkan lagi suasana di adakan pelbagai hadiah dan cabutan nombor bertuah.

Ramai juga bapa-bapa yang naik ke pentas untuk menyertai acara yang diadakan dan mereka mendapat hadiah.

Diakhir majlis diadakan cabutan nombor bertuah. Satu demi satu nama dipanggil.Akhirnya tibalah dikemuncak cabutan nombor bertuah. Pihak hotel menyediakan GRAND PRIZES FATHER’S DAY PROMOTION. Pemenang ditawarkan bermalam di Residence Desa Lagoon Resort Port Dickson selama 2 hari satu malam.

Dan saya seperti tidak percaya apabila nama saya dipanggil untuk naik ke atas pentas bagi menerima hadiah tersebut.

Oh gembiranya hati saya diberikan hadiah bermalam di tempat yang menarik.

Terima kasih kepada RESIDENCE DESA LAGOON RESORT.

Dalam perjalanan balik saya dan isteri pun mencari tarikh yang sesuai untuk bermalam di tempat tersebut.

Alhamdulillah.

Isnin, Jun 12, 2006

KASIHANI MEREKA

Tersentuh hati saya bila membaca kisah penghuni Sekolah Henry Gurney yang tersiar dalam akhbar Berita Minggu semalam.

Mereka adalah remaja malah sesetengahnya masih kanak-kanak dihantar ke sekolah berkenaan oleh Mahkamah Juvana kerana melakukan pelbagai kesalahan jenayah.

Di situ mereka dipulihkan semula dengan diberi bimbingan agama, diajar membaca, menulis, membaca al Quran dan pelbagai kemahiran lain termasuk menjahit, bertukang, komputer, bermain muzik dan sebagainya bertujuan supaya mereka dapat menyesuaikan diri dengan masyarakat apabila dibebaskan.

Mereka dilabelkan sebagai sekolah budak jahat tetapi mereka telah insaf setelah diberi asuhan serta bimbingan oleh pihak sekolah.

Masyarakat juga tidak seharusnya menyelahkan mereka 100 % kerana mereka berasal dari keluarga yang berpecah belah, ada pula yang terbiar sejak kecil, ada pula yang menjadi mangsa masyarakat sendiri.

Kebanyakan mereka akan dibebaskan apabila berumur 21 tahun. Mereka juga boleh dibebaskan lebih awal dalam kes seperti ditawarkan memasuki institusi pengajian tinggi.

Cuma persoalannya, bagaimanakah nasib mereka selepas keluar dari sekolah tersebut?.

Menurut pihak sekolah, tidak pernah seorang pun melawat mereka sepanjang berada di situ. Malah ada yang tidak mempunyai kad pengenalan dan sijil kelahiran. Malah ada orang yang dinamakan sebagai waris tetapi menafikan pernah mengenali mereka.

Kemanakah mereka hendak pergi setelah keluar dari sekolah tersebut?. Mereka perlukan keluarga atau tempat berlindung untuk meneruskan kehidupan. Bagi mereka yang mendapat tawaran memasuki institusi pengajian tinggi mereka memerlukan sokongan.

Saya mencadangkan kepada mereka yang berkemampuan terutama mereka yang tidak mempunyai anak supaya mengambil mereka sebagai anak angkat.

Kita tidak perlu bimbang kerana apabila dibebaskan mereka tidak lagi dilabelkan sebagai penjenayah kerana cap jari mereka tidak diambil seperti terhadap banduan biasa dan jenayah yang dilakukan tidak direkodkan.

Dengan itu mereka boleh memulakan penghidupan yang baru.

Isnin, Jun 05, 2006

HADIAH HARIJADI

HADIAH HARIJADI

Pada 2hb jun yang lalu saya menyambut hari jadi yang ke 52. pada hari itu saya dan isteri berada di langkawi.

kami pergi dalam satu rombongan seramai 40 orang yang ditaja oleh YB Tuan Jalaludin Alias ADUn Klawang. Terima kasih Yang Berhormat

Kerana sebuk dengan jadual lawatan maka saya terlupa hari itu adalah hari jadi saya. Nasib baik saya diingatkan oleh seorang kenalan melalui sms yang mengirim ucapan selamat hari jadi. Kemudian anak perempuan saya menelefon memberi ucapan yang sama.

Inilah Kali pertama saya menyambut harijadi jauh dari kampung halaman di pulau Mahsuri pulau lagenda yang menyimpan banyak rahsia tanpa kek atau apa-apa.

Namun ada sesuatu yang paling mengembirakan saya.

Saya mendapat khabar yang mengembirakan bahawa novel saya telah menang satu lagi hadiah ( maaf saya tak boleh sebut secara lengkap walau surat sudah dapat tetapi keputusan resmi belum diumumkan)

Pada saya menang hadiah novel itulah hadiah harijadi ke 52 yang paling bermakna. Alhamdulillah.

Selasa, Mei 30, 2006

GAMBAR KENANGAN

Gambar kenangan tahun 1993.

Majlis penyampaian hadiah sastera berunsur Islam 1V pada tahun 1993.Inilah sayembara yang mula-mula saya menangi walaupun Cuma hadiah sagu hati tetapi cukup bermakna kerana memberi semangat kepada saya untuk terus berkarya.

Tempat pertama dimenangi oleh Amy Suzani Mohd Ainuddin, masih berkarya hingga sekarang. Tempat kedua Ahmad J Hussein. Masih gigih menulis.

Saya suka melihat gambar ini kerana membangkitkan semangat saya untuk terus menulis.

Ahad, Mei 21, 2006

BERAKIT KE HULU

Baru-baru ini semasa menghadiri satu majlis perkahwinan saya bertemu dengan Pak Harun.

20 tahun dahulu kami bekerja dalam satu pejabat. Ketika itu dia Cuma seorang pemandu.

Gaji saya masa itu Cuma RM250.00. Anak-anak pula sedang bersekolah. katanya mengenang kisah silam.

Katanya lagi, setiap kali menerima gaji beliau utamakan dulu untuk perbelanjaan anak-anak bersekolah.

Kata Pak Haron, anaknya Cuma tiga orang sahaja. Kesemuanya berjaya melanjutkan pelajaran ke Universiti.

Ketika itu mereka duduk di asrama. Apabila dapat gaji saya hantar duit untuk mereka dahulu. katanya. Bakinya baru pak cik gunakan untuk perbelanjaan di rumah. Kami makan ala kadar sahaja asalkan anak-anak dapat belajar.

Sekarang Pak Haron kerja apa? tanya saya.

Saya sudah bersara. Anak-anak semua sudah bekerja. Mereka suruh saya beramal ibadat. Setiap bulan mereka beri duit. jawabnya.

Menurut Pak Haron lagi, baru-baru ini dia dan isterinya menunaikan fardhu haji dengan semua perbelanjaannya ditanggung oleh anak-anak.

Alhamdulillah. Pak Haron antara warga emas yang merasa bahagia pada hari-hari tuanya.

berakit ke hulu
berenang ke tepian
bersakit dahulu
bersenang-senang kemudian.

Selasa, Mei 16, 2006

SAHABAT

Imam al-Syafie ada memberikan nasihat dalam soal persahabatan.
Katanya:
Aku mencintai sahabatku dengan segenap jiwa ragaku, seakan-akan aku mencintai sanak saudaraku.

Sahabat yang baik adalah yang sering sejalan denganku dan yang menjaga nama baikku ketika aku hidup atau selepas aku mati.

Aku selalu berharap mendapatkan sahabat sejati yang tidak luntur baik dalam keadaan suka atau duka. Jika itu aku dapatkan, aku berjanji akan selalu setia padanya.

Kuhulurkan tangan kepada sahabatku untuk berkenalan kerana aku akan berasa senang. Semakin ramai aku peroleh sahabat, aku semakin percaya diri.

Belum pernah kutemukan di dunia ini seorang sahabat yang setia dalam duka. Pada hal hidupku sentiasa berputar-putar antara suka dan duka.

Jika suka melanda, aku sering bertanya: "Siapakah yang sudi menjadi sahabatku?"

Pada waktu aku senang, sudah biasa ramai yang akan iri hati, namun apabila giliran aku susah mereka pun bertepuk tangan.

Aku dapat bergaul secara bebas dengan orang lain ketika nasibku sedang baik. Namun, ketika musibah menimpaku, kudapatkan mereka tidak ubahnya rodazaman yang tidak mahu bersahabat dengan keadaan.

Jika aku menjauhkan diri daripada mereka, mereka mencemuh dan jika aku sakit, tidak seorang pun yang menjengukku.

Jika hidupku berlumur kebahagiaan, banyak orang iri hati, jika hidupku berselimut derita mereka bersorak sorai.

Apabila tidak ketemu sahabat yang takwa, lebih baik aku hidup menyendiri daripada aku harus bergaul dengan orang jahat.

Selasa, Mei 09, 2006

AGUS SALIM

AGUS SALIM DENGAN ISTERINYA MAHAYA YASSIN.

Agus Salim atau nama sebenarnya Haji Padzali @Salim Haji Taib telah kembali ke rahmatullah pagi Isnin 8hb jam 6.15 pagi dan jenazahnya selamat dikebumikan sebelum waktu Zohor.

Saya sampai ke rumah beliau di Taman paroi Jaya jam 11 pagi. Ketika itu jenazah selesai dimandi dan dikafan hanya menunggu untuk disembahyangkan. sebelum solat jenazah sempat juga kami bertahlil rengkas.

Alhamdulillah. Dianggarkan 70 orang yang menyembahyangkan jenazah allahyarham Cikgu Agus Salim. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atasnya.

Semasa hayatnya Cikgu Agus Salim merupakan tenaga penggerak PEN. Beliau lama memegang jawatan Ketua Satu sebelum diambil alih oleh Puan Mahaya yang juga isterinya.

Antara kenangan dengan beliau apabila berjumpa biasanya Cikgu Agus akan bertanya, apa karya terbaru?.

Saya dan keluarga mengucapkan takziah kepada Puan Mahaya Yassin. Al Fatihah.

Isnin, Mei 08, 2006

KISAH TELADAN

Pada suatu hari Abdullah bin Jaafar bin Abi Talib dalam perjalanan lalu berehat di kebun kurma. Di situ ada seorang hamba berkulit hitam yang menjaga kebun tersebut. Setelah mereka berbual tiba-tiba hamba itu berasa lapar lalu mengeluarkan makanannya iaitu tiga buku roti. Pada masa yang sama datang seekor anjing lalu mengelilingi mereka sambil menjulurkan lidah tanda sedang kelaparan.

Hamba itu berasa kasihan lalu mencampakkan sebuku roti kepada anjing tersebut. Tetapi anjing itu masih lapar lalu dicampakkan sebuku roti lagi. Namun anjing itu masih belum kenyang. Akhirnya hamba itu mencampakkan roti yang ketiga kepada anjing tersebut.

Abdullah berasa hairan lalu bertanya. Berapa banyak makanan yang engkau ada?
Jawab hamba itu, Hanya tiga buku roti sahaja.

Tanya Abdullah lagi, Kenapa engkau berikan semuanya kepada anjing itu?

Jawab hamba itu, Anjing itu datang dari jauh dan dia sedang kelaparan. Sedangkan saya masih boleh menahan lapar hingga esok.

Tanya Abdullah lagi. Apakah yang menyebabkan engkau begitu bermurah hati pada anjing itu?

Jawab hamba itu. Nabi pernah menceritakan bagaimana seorang wanita pelacur diampunkan dosanya kerana memberi minum seekor anjing yang sedang kehausan. Saya ingin mendapat keampunan-Nya.

Abdullah berasa terharu dan mengakui sifat dermawannya telah dikalahkan oleh hamba tersebut.

Maka dibelinya kebun kurma beserta dengan hamba tersebut. Kemudian hamba itu dibebaskannya.

Semenjak itu Abdullah semakin bersifat dermawan. Pernah dia bersedekah berpuluh ribu dinar dalam satu hari.

Khalifah Muawiyah sangat sayang kepada Abdullah. Beliau memberikan Abdullah sejuta dirham setiap tahun tetapi kesemua duit itu habis disedekahkannya kepada mereka yang memerlukan.

Semasa Muawiyah menjadi khalifah, apabila tiba musim haji beliau memberi minuman kepada jemaah haji dengan perbelanjaannya sendiri. Apabila ditanya mengapa maka Muawiyah menjawab, kalau memberi minum seekor anjing boleh mendapat keampunan apatahlagi memberi minuman kepada manusia. Semoga Allah ampunkan dosaku.

Selasa, Mei 02, 2006

PRAMOEDYA MENINGGAL DUNIA

(Dari Utusan Malaysia)

Penulis terkemuka Indonesia, Pramoedya Ananta Toer yang menghidapi penyakit jantung dan diabetes meninggal dunia pada usia 81 tahun.Anak perempuan Pramoedya, Tatiana Ananta menyatakan, bapanya meninggal dunia di rumahnya di Jakarta Timur.

Bapa saya meninggal dunia dengan tenang pada pukul 8.55 pagi. Dia telah membaktikan seluruh hidupnya kepada negara ini menerusi karyanya. Kami semua telah kehilangan seorang bapa yang baik, seorang penulis besar. Saya sangat berbangga dengannya, kata Tatiana kepada Associated Press (AP).

Pramoedya yang lantang memperjuangkan demokrasi dibawa pulang semalam selepas beberapa hari ditempatkan di unit penjagaan rapi (ICU) Hospital St. Carolus, di sini.
Beliau yang pernah dipenjarakan selama beberapa tahun dicalonkan beberapa kali untuk Hadiah Nobel dalam bidang kesusasteraan manakala 34 buku dan esei beliau diterjemahkan ke dalam 37 bahasa.

Karyanya yang paling terkenal, siri novel Buru Quartet mengenai perjuangan Indonesia menuntut kemerdekaan daripada Belanda, ditulis pada cebisan kertas dan diseludupkan keluar ketika beliau menjalani hukuman penjara di pulau Buru.

Pramoedya mula-mula dipenjarakan pada 1947 oleh tentera Belanda kerana mengambil pendirian ‘antikolonialis’.

Beliau dipenjarakan lagi selepas junta tentera Jeneral Suharto mengambil alih kuasa pada 1966 dan menghabiskan 14 penjara ditahan tanpa perbicaraan di pulau Buru bersama-sama ribuan lagi penentang kerajaan Suharto.

Pramoedya yang telah lama menghadapi masalah kesihatan dimasukkan ke hospital pada Khamis lalu kerana komplikasi diabetes dan jantung, kata menantunya, Gun.
- AP