REAKSI PEMBACA 2
Soalan
Tikrit:
sstgh buku (krngn Abd Nasih Ulwan) ckp Syawur yg sebenarnya ctc Sultan Nuruddin minta bantuan.. novel Pak Latip Khalifah Al-Adid yang minta bantuan dr Sultan Nuruddin..bole combine x 2 cerita tu..
Jawapan
Walaupun saya tidak kenal siapa orangnya yang bernama Tikrit, tetapi saya tetap akan menjawab pertanyaannya kerana dia memang telah membaca novel Salahudin Penakluk Jerusalem.
Ketika itu Mesir di perintah oleh Daulah Fatimiyah. yang menisbahkan diri mereka sebagai keturunan Siti Fatimah iaitu anak Rasulullah S.A.W yang menjadi isteri Saidina Ali. Mereka berfahaman Syiah dan menjadi saingan kepada Daulah Abbasiyah di Baghdad dan Daulah Umaiyah di Andalusia. Mereka tidak sefahaman terutama dalam politik.
Namun Sultan Salahudin menumbangkan Daulah Fatimiyah di Mesir yang telah memerintah selama beratus tahun bukan dia benci fahaman Syiah (walau ada yang kata Salahudin anti Syiah tetapi saya menafikannya) ketika itu Daulah Fatimiyah berada di ambang kejatuhan kerana ketika itu di perintah oleh Khalifah Al Adid, yang melantik Syawur sebagai perdana menterinya.
Elok juga saya nyatakan Salahudin pergi ke Mesir bukan untuk menumbangkan kerajaan Fatimiyah tetapi menghalau tentera salib yang menyerang Mesir. Dia dilantik menjadi sultan setelah khalifah Al Adid meninggal dunia. Bukan rampasan kuasa.
Adapun Syawur ini bukan orang Arab tetapi orang Sudan tetapi ada pula mengatakan dia orang Habsyah. Khalifah Al Adid berbaik dengan orang-orang Sudan dan Habsyah kerana ingin mengimbangi kuasa Daulah Abasiyah dan Umaiyah.
Pada masa itu ramai orang-orang Sudan dan Habsyah dilantik menjadi pembantu Khalifah Al Adid sehingga mereka bebas keluar masuk ke Mesir. Malah Syawur banyak mempengaruhi keputusan khalifah sehingga dia bercita-cita menjadi raja Mesir.
Pada suatu ketika Syawur dipecat oleh Khalifah Al Adid kerana cuba merampas kuasa. Kemudian Syawur pergi ke Aleppo meminta bantuan Sultan Nuruddin untuk menumbangkan Khalifah Al Adid.. Dan Sultan Nuruddin menghantar panglima Assadudin Syirkuwah dan pasukan tenteranya ke Mesir.
Kerana panglima Asadudin Syirkuwah (guru yang mendidik Salahudin ilmu peperangan) seorang yang bijak dan berpandangan jauh, dia tidak menumbangkan Khalifah Al Adid sebaliknya menyuruh baginda berbaik semula dengan Syawur dan melantik semula sebagai perdana Menteri Mesir.
Namun Syawur masih tidak berpuas hati dan sentiasa mencari peluang untuk menjatuhkan khalifah Al Adid. Peluang itu muncul apabila dia bersubahat dengan tentera salib yang menyerang Mesir bertujuan menjatuhkan Khalifah Al Adid dengan harapan dia akan menjadi raja Mesir.
Ketika itulah Khalifah Al Adid meminta bantuan Sultan Nuruddin untuk menghalau tentera salib dari Mesir dan menggagalkan niat jahat Syawur.
Kerana itu novel saya tidak bercanggah dengan buku karangan Abd Nasih Ulwan seperti yang dikatakan oleh Tikrit.
Cuma novel Salahudin Penakluk Jerusalem yang saya tulis itu kisah bermula semasa tentera salib sudah mengepung Iskandariyah. Kerana itu ia bermula dengan Khalifah Al Adid yang meminta bantuan Sultan Nuruddin.
Beberapa tahun sebelum itu memang benar Syawur yang meminta bantuan Sultan Nuruddin.
Di harap saudara Titrit dan pembaca yang lain berpuas hati dengan jawapan saya.
Namun hanya Allah sahaja yang lebih mengetahuinya.
0 ulasan:
Catat Ulasan