Khamis, Mei 03, 2007

PESTA BUKU ANTARABANGSA 2007






Gambar diambil dari blog puan Saridah.


Banyak perkara yang hendak saya tulis semasa berada di Pesta Buku Antarabangsa semalam (2hb Mei) dan tidak rugi berada di booth PTS dari jam 3 petang hingga 7 malam.

Gembira melihat ramai pengunjung datang ke booth PTS menandakan mereka tertarik dengan buku-buku yang diterbitkan oleh penerbit yang dipengerusikan oleh Puan Ainon itu. Ibu bapa membiarkan anak-anak mereka memilih sendiri buku-buku mana yang berkenan di hati masing-masing kerana yakin buku-buku yang diterbitkan oleh PTS selamat kalau dibaca oleh anak-anak mereka.

Tambah gembira melihat para petugas PTS yang memakai apron seperti tukang masak bekerja bersungguh-sungguh untuk mempromosikan buku-buku. Mereka bukan sahaja mempastikan buku-buku keluaran PTS bermutu malah dapat menjualnya kepada orang ramai. Kerana itu sewajarnya penulis membaca entri puan Ainon yang bertajuk

BAGAIMANA KEUNTUNGAN DIKONGSI DALAM INDUSTRI PENERBITAN

Berada di booth PTS dapat berjumpa dan berkenalan dengan penulis-penulis PTS yang selama ini Cuma berjumpa di alam maya sahaja. Saya kagum dengan penulis Puan Saridah yang sanggup datang ke gerai PTS setiap hari untuk membantu mempromosikan buku-buku PTS.

Walaupun Cik Norasyikin mengatakan sesi saya dari jam 3 hingga 5 petang tetapi pada jam 7.30 malam baru saya meninggalkan booth PTS untuk solat Maghrib. Sebelum pulang saya, isteri dan anak-anak bertemu dengan Puan Ainon di tingkat bawah dan kami sempat berbincang agak lama juga. Sifu memang pandai memberi motivasi.

Seperti yang saya katakan pada awal tadi, hati gembira sepanjang berada di booth PTS. Gembira melihat orang ramai datang berkunjung. Gembira melihat mereka memegang dan membelek-belek novel Sejarah Islam yang saya tulis. Lebih mengembirakan bila ada yang membeli lalu meminta saya menurunkan tanda tangan.

Namun apa yang lebih mengembirakan saya ialah maklum balas daripada mereka yang membeli dan membaca novel tersebut. Ada yang bertanya macam mana boleh mendapat idea menulis kisah pahlawan ini dalam bentuk novel?

Idea itu datang selepas menghadiri kursus yang dianjurkan oleh PTS, dibimbing oleh Puan Ainon. Jawab saya.

Saya turut beranikan hati mempromosikan novel tersebut kepada pengunjung yang datang. Tetapi cuma kira-kira 10 buah saja yang dapat saya jual. Selebihnya mereka membelinya setelah mendengar promosi daripada Cik Norashikin dan rakan-rakannya. Ada yang membelinya sampai 4 judul sekaligus. Alhamdulillah.

Selain dari puji-pujian ada juga komen yang menyentuh perasaan tetapi tidaklah sampai melemahkan semangat. Antaranya. Ada seorang lelaki yang umurnya lebih muda dari saya tiba-tiba datang lalu membelek-belek ke empat novel sejarah Islam di depan saya.

Encik, ini kisah pahlawan Islam ditulis dalam bentuk novel. Elok kalau dihadiahkan kepada anak-anak. kata saya.

Saya tak suka takut anak saya menjadi teroris setelah membaca novel seperti ini. katanya sambil tergesa-gesa pergi.

Astagfirullah. Saya mengucap dalam hati.

Percayalah. Membaca dan menghayati perjuangan pahlawan-pahlawan Islam membuat kita berasa kagum dengan semangat dan ketinggian akhlak budi pekerti dan sifat kemanusiaan mereka. Pahlawan Islam tidak membunuh kanak-kanak, wanita dan orang tua. Pahlawan Islam tidak mengancam mereka yang berlindung dalam rumah dan tidak mengganggu mereka yang sedang berada dalam tempat ibadat. Mereka hanya keras terhadap musuh di medan perang tetapi apabila musuh meminta damai atau menyerah diri mereka terus dimaafkan. Salahudin Al Ayubi sanggup menghantar ubat, air dan buah-buahan apabila mendengar King Richerd (musuhnya) sakit kuat. Kalau semangat pahlawan Islam itu dicontohi akan menjadi teroriskah kita?

Kemudian muncul pula seorang wanita lalu saya cuba mempromosikan novel tersebut.

Saya pelajar universiti. Saya lebih suka kalau ditulis dalam bentuk buku sejarah. Tapi bila dijadikan novel begini saya tak minat membacanya. katanya lalu pergi.

Tetapi saya tidak marah kerana sebelum itu beberapa orang gadis yang apabila saya Tanya mereka juga pelajar universiti telah membeli novel-novel tersebut. Mereka begitu berminat hendak membacanya.

Ada seorang gadis begitu berminat hendak membelinya tetapi setelah mengira-ngira duit dalam begnya tidak cukup lalu saya tolong bayarkan.

Sultan Muhamad Al Fateh dah terbit? Tanya seorang lelaki.

Tahulah saya pemuda itu peminat blog Puan Ainon kerana dalam satu entrinya Sifu pernah mengatakan saya akan menulis kisah Sultan Muhamad Al Fateh.

Cik Norasyikin mengatakan ada pembaca yang komplen kenapa dalam novel Tariq, ada bab yang menceritakan khalifah Bani Umaiyah menerima sogokan hadiah berupaya emas dan wanita-wanita cantek daripada raja-raja Eropah?

Kisahnya begini, setelah Tariq berjaya menakluk Andalus dan Portugal maka dia membuat persediaan menyibarkan Islam ke negara-negara Eropah yang lain. Maka timbul ketakutan raja-raja Eropah lalu mereka menghantar utusan menemui khalifah Bani Umaiyah meminta perdamaian. Mereka memberikan pelbagai hadiah termasuk emas dan wanita-wanita yang cantik dengan satu permintaan iaitu jangan menyerang negara mereka.

Sebelum menulis bab ini timbul pertanyaan demi pertanyaan di hati saya. Kenapa Tariq dipanggil pulang ke Damsyik oleh khalifah sedangkan ketika itu dia telah membuat persediaan bagi menyerang negar-negara Eropah?. Dan kenapa Tariq meninggal dunia setelah dia pulang ke Damsyik.

Untuk menjawab persoalan ini saya menggali semula sejarah kejatuhan Bani Umaiyah, sejarah kejatuhan Bani Abasiyah, sejarah kejatuhan Empayer Osmaniyah di Turki dan sejarah kejatuhan kesultanan Melayu Melaka. Jawapannya, apabila sultan atau khalifah leka dengan kemewahan dunia dan berlaku zalim maka runtuhlah kerajaannya.

Kerana itu tidak salah bukan kalau saya masukkan kelakuan khalifah Bani Umaiyah menjelang kejatuhannya agar menjadi pengajaran.

0 ulasan: