Ahad, Mei 06, 2007

PESTA BUKU ANTARABANGSA 2007

Hari ini Ahad 6hb, hari terakhir Pesta Buku Antarabangsa. Saya datang lagi ke gerai PTS untuk mempromosikan novel pahlawan Islam yang saya tulis. InsyaAllah.

Semalam 5hb (Sabtu) saya berada di Booth PTS dari jam 11.30 pagi hingga 6 petang. Saya, Azre Rahmani, Saridah dan Ainin Naufal sama-sama duduk satu meja mempromosikan buku kami. Kerana semalam cuti hari Sabtu ramai pengunjung.

Kali kedua datang (kali pertama hari rabu 2hb) sudah mula rasa kurang malunya hendak mempromosikan novel sendiri. Semoga kali yang ketiga (hari ini 6hb) sudah tidak malu-malu lagi hehe.

Semalam banyak juga perkara-perkara yang menarik hati saya untuk diceritakan dalam blog peribadi saya ini. Salah satunya bila ada seorang wanita dari Bogor Indonesia bersama anak-anaknya singgah di gerai PTS. Dia tertarik hati lalu membeli novel-novel pahlawan Islam itu.

Saudara penulisnya?. tanya wanita dari Bogor itu.

Iya, jawab saya.

Selain dari empat judul ini ada lagi yang saudara tulis?

Ada tetapi masih dalam proses penulisan.

Apa judulnya?

Sultan Muhamad Al Fateh.

Bila sudah terbit nanti saya akan berusaha untuk membelinya.

Lalu dia mengajak saya bergambar untuk kenang-kenangan. Saya rasa terharu.

Selain dari wanita itu, beberapa orang bakal guru yang sedang menuntut di Maktab Perguruan Durian Daun Melaka dan UPSI singgah lalu membeli novel-novel pahlawan Islam itu. Semasa menandatangani buku-buku itu saya katakan, semoga menjagi guru cemerlang. Mereka kelihatan sangat berminat hendak membacanya.

Ada seorang gadis membeli sekaligus empat judul lalu meminta saya menanda tangani novel-novel tersebut.

Saya mendapat tahu novel-novel ini sedap ceritanya dari kawan saya. Sebab itu saya datang membelinya hari ini, kata gadis itu.

Ada pula seorang lelaki yang memakai ketayap putih, (saya hormat lelaki yang memakai ketayap putih) datang lalu membelek-belek novel Khalid Memburu Syahid.

Adakah ini cerita rekaan? Tanyanya.

Bukan rekaan tetapi berdasarkan fakta dan kisah sebenar yang dilalui oleh pahlawan terbilang itu. Jawab saya.

Kenapa ada dialog? Adakah dialog itu dialog sebenar yang diucapkan oleh Khalid?

Ada dialog sebenar yang diucapkan oleh Khalid. Saya ambil dari buku rujukan saya. Tetapi ada juga dialog yang saya cipta sendiri sesuai dengan peristiwa yang dilaluinya dan bertujuan untuk memudahkan pembaca mengikuti kisahnya.

Itu yang saya tidak setuju. Kata lelaki itu.

Itulah beza antara novel dengan buku sejarah. Jawab saya pula.

Lelaki itu tetap tidak setuju kerana saya menulisnya dalam bentuk novel.

Saya teringat, bila Saidina Umar dan Saidina Osman mula-mula hendak menulis wahyu Allah dalam bentuk mushaf (Al Quran) ada para sahabat yang pada mulanya tidak setuju antaranya Zaid bin Thabit sehingga dia berkata, saya lebih suka kalau disuruh memindahkan gunung dari disuruh menulis wahyu Allah itu untuk dijadikan kitab. Katanya.

Malah ketika mula-mula ada usaha hendak menterjemahkan ayat-ayat Al Quran ke dalam bahasa Melayu pun ketika itu ada yang tidak setuju. Tetapi sekarang ternyata usaha itu sangat besar faedahnya.

Saya mengambir iktibar dari kisah ini untuk terus menulis Novel Sejarah Islam. Ada yang tidak setuju kerana menganggap itu perkara baru yang belum pernah dibuat orang. Tetapi lebih ramai yang setuju dan memuji usaha saya yang kecil itu.

Itulah antara sebab-sebab saya rasa terpanggil untuk datang lagi ke Booth PTS pada hari ini.

0 ulasan: