REAKSI PEMBACA 1
Soalan
A.M Jarni
Salam,
Saya belum habis lagi baca karya ini. Tapi saya ada satu soalan untuk En. Abdul Latip, adakah Barnis dalam buku (Salahudin: Penakluk Jerusalem) ini Reynald de Chatillon ? Jika ya, kenapa nama dia jadi Barnis?
Jawapan
Semasa menulis novel Salahudin saya merujuk kepada beberapa buah buku dalam bahasa Melayu asli dan terjemahan dari bahasa Arab. Nama-nama buku itu ada dicatatkan pada bahagian terakhir novel tersebut.
Dalam buku berjudul Salahudin Al Ayubi yang ditulis oleh Dr Mahmud Syalabi (terjemahan) ada disebut Raja Raymond berasal dari raja Eropah yang menjadi Raja Tripoli kemudian berkahwin dengan Ratu Tibriah lalu dilantik menjadi Raja Jerusalem.
Manakala Birnis Arnat pula ialah penguasa Wilayah Kark.
Dalam buku Perang Salib yang ditulis oleh Mustafa Suhaimi terdapat juga nama Raja Raymond ialah pemimpin tentera salib yang menawan Jerusalem daripada orang Islam.
Ketika itu Salahudin belum lahir.
Dalam buku Sejarah Keagungan Kerajaan Islam oleh Mohd Mokhtar Shafie juga terdapat nama Raja Jerusalem bernama Raymond.
Kerana itu saya yakin Raymond atau Reynald adalah gelaran bagi Raja Jerusalem
Untuk mengatasi kecelaruan itu maka nama-nama pahlawan salib saya ambil dari buku Salahudin Al Ayubi yang ditulis oleh Dr Mahmud Syalabi.
Dalam buku itu terdapat nama Raja Raymond muka surat 75 dan Birnis Arnat muka surat 98.
Dalam satu peristiwa keduanya berjaya ditawan oleh Sultan Salahudin Al Ayubi. Raja Raymond dilepaskan tetapi Birnis dibunuh sendiri oleh Salahudin kerana dia terlalu kejam telah berkali-kali menyerang jemaah haji dan pernah dua kali hendak menawan Mekah sehingga Sultan Salahudin bernazar hendak membunuhnya dengan tangannya sendiri.
Dengan ini jelaslah Raja Raymond (Reynald) dan Birnis itu bukan orang yang sama.
Sebelum manuskrip diterbitkan saya telah berbincang dengan Editor PTS Fortuna Cik Norasyikin apakah mahu dinamakan watak itu Reynald ataupun Raymond. Saya cadangkan Raymond sahaja.
Namun apa yang penting dalam novel ini ialah perjuangan Salahudin Al Ayubi menakluk Jerusalem dari tentera Salib. Nama pahlawan-pahlawan salib itu kalau tidak wujud ataupun tidak tepat pun rasanya tidak mencatatkan ceritanya.
Seperti juga dalam filem Kingdom Of Heaven, hanya nama Saladin dan Raja England sahaja yang wujud. Nama-nama pemimpin tentera Salib yang lain tidak ada wataknya dalam filem itu.
Wallahuaklam.
0 ulasan:
Catat Ulasan