Sabtu, Ogos 07, 2004

Selamat Datang ke Jelebu

Malam ini bertempat di Hotel Sri Klawang, Jelebu, Negeri Sembilan akan berlansung Malam Puisi Patriotik dan Pelancaran 5 buah buku Karya Penulis-Penulis Negeri Sembilan.
Buku-buku tersebut ialah “Hostel” sebuah novel yang diterbitkan oleh Esastera.com, ditulis oleh beberapa orang penulis esastera antaranya Drirwan, Hasimah Haron, Anbakri, Muhammad Zakir, Abdullatip dan lain-lain. Turut dilancarkan ialah Antologi Puisi Pendatang Malam karya Ida Munira Abu Bakar yang juga diterbitkan oleh Esastera.com. Selain itu akan dilancarkan juga Kumpulan Cerpen Kebenaran karya A.Latip Talib terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Dua buah novel Remaja pemenang hadiah Satera Utusan iaitu Mencari Locus Standi karya Nisah Haron dan Ombak Sfera Lotus karya Siti Jasmina Ibrahim akan turut dilancarkan.
Majlis ini dianjurkan bersama oleh Majlis Kebudayaan Daerah Jelebu, Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) dan Esastera.Com. Inilah pertama kali majlis seperti ini diadakan di Jelebu dan dijangka akan menarik perhatian peminat sastera dan penduduk tempatan. Untuk itu pihak penganjur sengaja memilih lokasi di luar supaya lebih “santai” dan terbuka kepada sesiapa sahaja untuk datang menyaksikannya.
Ahli PEN akan mempersembahkan Tumbuk Kalang satu permainan tradisi Negeri Sembilan dan deklamasi puisi oleh beberapa orang deklamator yang berbakat..
Majlis turut dimeriahkan oleh Pelajar-Pelajar dari Universiti Malaya yang membuat persembahkan Menifesatasi, deklamasi Puisi, lagu P.Ramlee dan membaca mentera.
Tiga orang tokoh sastera akan memperkatakam mengenai penulis dan buku-buku yang akan dilancarkan. Profesor DR Ir Wan Abu Bakar akan memperkatakan Novel Hostel dan Kumpulan Puisi Pendatang Malam, Mahaya Mohd Yassin akan memperkatakan Kumpulan Cerpen Kebenaran dan Puan Nor Azah Aziz akan memperkatakan Novel Mencari Locus Standi dan Ombak Sfera Lotus.
Dato’ Razak Mansor ADUN kawasan Pertang yang juga Ahli EXCO Kerajaan Negeri Sembilan, Tuan Pegawai Daerah Jelebu dan beberapa pemimpin tempatan akan akan hadir untuk menyaksikan persembahan dan pelancaran buku-buku tersebut.
Saya bagi pihak penganjur mengalu-ngalukan kedatangan Yang Berhormat Datuk, Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekelian.

0 ulasan: