Pelaburan Untuk Anak-Anak
Setiap ibu bapa tentu ingin melihat anak-anak mereka berjaya dalam pelajaran. Kerana itu masing-masing sanggup bersusah payah menyekolahkan anak-anak dari peringkat TADIKA hingga ke Universiti. Mereka tidak sayang untuk membelanjakan duit demi untuk masa depan anak-anak. Sesungguhnya duit yang digunakan untuk pelajaran anak-anak adalah pelaburan yang paling baik.
Pada 20hb Ogos yang lalu, saya dan isteri bersama kira-kira 1,500 orang ibu bapa atau penjaga berkumpul dalam Dewan Sri Budiman UiTM Shah Alam untuk menyaksikan Istiadat Konvokesyen ke-60 yang berlansung selama 10 hari dari 19 – 29 Ogos. Dan pada tahun ini seramai 14,408 graduan terima diploma/ijazah.
Apa yang ingin saya perkatakan bukanlah kejayaan UiTM yang dulunya dikenali sebagai ITM melahirkan beratus ribu graduan bumiputra sejak mula ditubuhkan hingga sekarang. Sebagai ibu bapa apatah lagi yang terdiri dari golongan berpendapatan rendah dan sederhana berasa amat bertuah bila anak-anak berjaya melanjutkan pelajaran ke Universiti.
Memang benar anak-anak yang keluar dari Universiti belum tentu mendapat pekerjaan yang setaraf dengan kelulusan mereka malah kabarnya ramai yang menganggur. Namun ibu bapa tetap berasa gembira sekiranya anak-anak berjaya melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi. Matlamat utama mereka supaya anak-anak mendapat pendidikan setinggi yang boleh. Selepas tamat belajar terpulang kepada mereka untuk berkerja.
Seperti juga ibu bapa yang lain, Saya berasakan zaman saya telah pun berlalu. Kini biarlah anak-anak pula yang berusaha untuk berjaya dalam pelajaran. Sebagai bapa saya akan berusaha mencari duit untuk pelajaran anak-anak.
Saya mempunyai 3 orang anak. Alhamdulillah mereka mendapat pelajaran yang lebih baik dari saya. Saya rasa kegagalan saya untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti telah berjaya ditebus oleh mereka.
InsyaAllah, tahun depan sekali lagi saya akan menghadiri istiadat yang sama di UKM. Dan puncak rasa syukur dan bahagia itu bila melihat anak-anak naik ke pentas menerima penghormatan dari kejayaan yang telah mereka capai.
2 ulasan:
A'kum, tahniah atas kejayaan anak. Ibu bapa mana tak gembira melihat anaknya yang dididik berjaya, membawa segulung kertas yang lebih bernilai dari emas. salam emrdeka!
sdranonymous, terima kasih atas ucapan tahniah. semoga anak-anak sdr juga mendapat kejayaan. amin.
Catat Ulasan