Malam Puisi Di Jelebu
Memang kena pada masa dan tempatnya apabila Majlis Kebudayaan Daerah Jelebu berkerjasama dengan Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) dan Esastera.Com untuk menjayakan Malam Puisi, Pelancaran Buku dan bengkel Penulisan yang akan dijadikan sebagai acara tahunan di Jelebu.
Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) yang diketuai oleh Encik Agus Salim terkenal sebagai satu-satunya badan penulis di Negeri Sembilan yang aktif dengan mengadakan pelbagai aktiviti yang berkaitan dengan bidang penulisan. PEN juga telah menganjurkan sayembara menulis Cerpen dan Puisi yang bertemakan Negeri Sembilan pada tahun lepas.
PEN juga sedang berusaha untuk menerbitkan buku yang mengandungi biodata 300 orang penulis dan penggiat sastera di Negeri Sembilan sejak mula ditubuhkan sehingga terkini.
Esastera.Com pula diterajui oleh Profesor DR IR Wan Abu Bakar, bukan sahaja sebuah majalah sastera internet malah turut menjadi penerbit buku-buku yang dihasilkan oleh ahli-ahlinya.
Pada malam puisi patriotik dan pelancaran buku di Jelebu baru-baru ini, Esastera.Com turut menyumbangkan 2 buah buku terbitannya untuk dilancarkan, sebuah novel berjudul " Hostel" dan sebuah kumpulan puisi "Pendatang Malam" karya Ida Munira Abu Bakar anak kelahiran Kuala Pilah.
Selain terlibat dalam pelancaran buku, Esastera.Com turut memeriahkan majlis dengan pelbagai persembahan yang menarik penonton seperti deklamasi puisi, bacaan mentera, lagu P.Ramlee, teater dan manifestasi oleh pelajar-pelajar Universiti Malaya.
Persembahan Esastera.Com pada malam itu dimulakan oleh Sdr Dahrie dengan bacaan mentera yang berjaya menarik perhatian penonton. Kemudian diikuti oleh Sdr Kablam22 dengan berteater sendirian dengan gayanya yang tersendiri. Walaupun dialognya dalam bahasa Inglish dan ramai yang tidak memahaminya, namun gaya persembahannya menarik hati.
Sdr Anbakri dan Sdr Muhammad Zakir turut mengambil bahagian dengan mendeklamasikan beberapa buah puisi.
Cuma yang agak kurang memuaskan persembahan lagu P.Ramlee disebabkan masalah teknikal menjadikan lagu itu tidak dapat dimainkan sepenuhnya.
Acara Esastera.Com pada malam itu diakhiri dengan persembahan manifestasi oleh pelajar-pelajar UM.
Profesor Dr Ir Wan Abu Bakar pada malam itu, selain menjadi juruacara majlis turut memperkatakan Novel Hostel dan Kumpulan Puisi Pendatang Malam. Sdr Ida Munira mengambil kesempatan untuk membaca sebuah pusi yang termuat dalam buku tersebut.
Sebelum itu penonton dihiburkan oleh Kumpulan Tumbuk Kalang Sri Jelebu yang mewakili Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN). JU Nazrah, pemenang tempat kedua Sayembara Deklamasi Puisi Anjuran Kemas Daerah Jelebu turut mendeklamasikan puisi ciptaannya sendiri. Diikuti oleh Farah Nabila pemenang Sayembara Puisi Bulan Kemerdekaan dan akan mewakili Negeri Sembilan ke peringkat kebangsaan.
Pada malam itu juga Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) telah berjaya melancarkan 5 buah buku hasil karya penulis-penulis Negeri Sembilan.
Buku-buku tersebut ialah Mencari Locus Standi karya Nisah Haron dan Ombak Sfera Lotus karya Siti Jasmina Ibrahim. Kedua novel tersebut telah memenangi hadiah Sastera Utusan 2003.
Turut dilancarkan Kumpulan Cerpen Kebenaran karya A. Latip Talib yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dan Kumpulan Puisi Pendatang Malam karya Ida Munira Abu bakar yang diterbitkan oleh Esastera.Com.
Selain itu Novel Hostel, sebuah novel yang diterbitkan oleh Esastera.Com turut dilancarkan.
Dato’ Razak Mansor, 56, dalam ucapannya berharap akan muncul lebih ramai lagi penulis dari Negeri Sembilan yang prolifik dalam bidang penulisan.
Beliau mencadangkan program Deklamasi Puisi, pelancaran buku dan Bengkel Penulisan dijadikan acara tahunan di Jelebu.
" Dengan adanya usaha ini dapat mencungkil serta menggilap bakat yang sedia ada di kalangan pelajar dan belia di daerah ini," katanya.
0 ulasan:
Catat Ulasan