Ingin Jadi Penulis
Perkampungan Penulis Muda Daerah Jelebu telah selesai dijalankan. Pihak penganjur berpuas hati kerana mendapat sambutan. Kami inginkan 40 orang peserta tetapi yang datang 44 orang. Mereka terdiri dari pelajar menengah dan Universiti, kakitangan kerajaan dan belia. Pihak penganjur bercadang akan menjadikannya sebagai acara tahunan. Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) Esastera.com dan Persatuan Sejarah Jelebu telah menyatakan kesanggupan untuk memberikan kerjasama kepada Majlis Kebudayaan daerah Jelebu untuk menjayakannya.
Semalam (17hb) seorang peserta yang menghadiri bengkel penulisan menelefon ke rumah saya menyatakan hajat di hatinya ingin berkunjung ke rumah. Kerana pada sebelah pagi saya dan isteri tidak ada di rumah maka saya terpaksa berterus terang. Tambahan pula saya belum mengenalinya lagi kerana itu berbagai persoalan bermain dalam fikiran saya.
Pada sebelah petangnya selepas kami pulang ke rumah, sekali lagi gadis misteri itu menelefon dan menyatakan hajat di hatinya ingin berkunjung ke rumah kami. Kebetulan pula Isteri saya yang mengangkat telefon.
“ Datanglah kami ada di rumah,” jawab isteri saya.
Gadis itu datang ke rumah saya ditemani oleh ibu dan ayahnya. Saya berasa terharu apabila ibu gadis itu membekalkan tiga bungkus kuih wajid yang dimasaknya sendiri untuk diberikan kepada saya.
“ Anak saya ni ingin jadi penulis. Sebab itu dia datang hendak belajar cara-cara menulis,” kata ibu gadis itu.
Saya teringat zaman kanak-kanak dulu. Nenek saya buatkan kuih wajid untuk diberikan kepada guru yang akan mengajar saya membaca al Quran. Tetapi siapalah saya untuk menjadi guru kepada gadis tersebut.
Lalu saya katakan pada mereka bahawa semasa bengkel penulisan tempoh hari para penceramah telah memberi tunjuk ajar kepada peserta bagaimana cara menulis cerpen, novel dan sajak.
“ Cubalah ikut panduan yang telah diberikan oleh penceramah,” kata saya kepada gadis itu.
Lalu gadis itu memberikan saya sebuah cerpen yang telah dihasilkannya. Cerpen itu hanya bertulis tangan ditulis pada tiga helai kertas kajang. Bila saya baca sepintas lalu ternyata gadis itu memang ada bakat menulis.
“ Kenapa tulis tangan?. Kenapa tak gunakan mesin taip atau komputer?” tanya saya kepada gadis itu.
Lantas saya teringat pesanan Encik Lokman Hakim wartawan Utusan kepada peserta dalam bengkel supaya jangan mengirim karya dengan tulisan tangan kerana sukar editor surat kabar hendak membacanya.
“ Ayah tak mahu belikan komputer,” jawab gadis itu.
Lalu saya mengerti antara tujuan gadis itu membawa ayah dan ibunya berjumpa saya untuk memujuk ayahnya membelikan dia sebuah komputer. Lalu saya yakinkan ayah gadis itu bahawa anaknya memang ada bakat menjadi penulis.
“ Belikanlah dia sebuah komputer. Selain dari menulis komputer juga boleh membantu pelajarannya,” pujuk saya lalu memberi contoh Siti Jasmina Ibrahim yang telah berjaya menjadi penulis kerana dorongan ayah dan ibunya.
Kali pertama saya jumpa Jasmina dalam satu majlis yang dianjurkan oleh PEN di Seremban saya lihat dia ditemani oleh ayah dan ibunya. Ketika di Jelebu juga dia ditemani oleh ayah dan ibunya. Galakan serta dorongan ayah dan ibu dapat membantu seseorang penulis untuk berjaya.
Di rengkaskan cerita, ayah gadis itu mula mengagumi bakat yang ada pada anak gadisnya dan berjanji akan membelikan sebuah komputer tambahan pula saya kira dia memang mampu.
Sebelum balik saya berikan gadis itu sebuah kumpulan cerpen dan sebuah majalah Tunas Cipta dengan harapan gadis itu akan dapat memanfaatkannya.
Moga akan lahir seorang lagi penulis wanita dari Jelebu. InsyaAllah.
0 ulasan:
Catat Ulasan